Pendekar Terbang
Datuk menolak ramalan yang tidak berasas itu. tetapi ramalan yang
bergerak dari mulut ke mulut itu, tidak dapat disekat dan terus mempengaruhi
orang-orang kampung. Akibatnya, orang-orang kampung berada dalam kecemasan.
“Entah siapa yang pandai buat ramalan mengarut tu,” rungut Haji Salim
ketika saya mengunjungi tempat kerjanya. Dari cara ia bercakap dan kerut
wajahnya membayangkan rasa kesal yang mendalam.
“Kau lihat sendiri Tamar dah dua minggu cucu saudaraku ditanam, sudah
dua minggu jugalah peristiwa hujan panas itu terjadi, tak ada pun perkara yang
tak baik terjadi,” sambungnya lagi sambil membakar beberapa campuran besi untuk
dibuat keris panjang.
Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya. Apa yang dikatakan
oleh Haji Salim itu memang benar. Sejak dua minggu kebelakangan ini, tidak
terdapat makhluk berjubah hitam dan wanita berwajah cantik, merayau seluruh
kampung menjelang waktu Maghrib. Tidur saya juga aman tenteram, tidak diganggu
oleh mimpi-mimpi yang menakutkan.
“Kubur lama juga tidak dipuja orang lagi?” saya terkejut mendengar
kata-kata Haji Salim. Wajahnya yang berpeluh dan merah dibahangi oleh
kepanasan, saya tenung.
“Macam mana Pak Haji tahu?”
“Aku pergi sendiri dengan tidak memberitahu Datuk kamu.”
“Kerja tu merbahaya Pak Haji.”
“Aku tahu. Kalau aku pergi dengan Datuk kamu, aku tak boleh membalas
dendam. Datuk kamu bertindak lambat sangat,” tambah Haji Salim lagi.
Saya menarik nafas panjang. Tahulah saya bahawa Haji Salim masih menaruh
dendam pada orang-orang yang memuja kubur lama. Ia yakin, kematian cucu
saudaranya angkara manusia pemuja syaitan.
“Kematian cucu saudaraku mesti dibalas,” ujarnya sambil menggenggam
penumbuk.
Peluhnya yang meleleh dari hujung dahi terus menitik atas dadanya. Air
peluh itu bercampur dengan air peluh di dada lalu mengalir ke arah perutnya
yang agak buncit sedikit dan kulitnya nampak kendur. Saya terus memerhatikan ia
membuat kerja. Secara tidak diduga, saya teringatkan Datuk yang sejak pagi lagi
pergi ke kaki bukit memburu ayam hutan.
“Aku tahu, Datuk kamu sudah memagar seluruh kampung ni dengan beberapa
syarat dan petua,” Haji Salim merenung ke arah saya.
Cepat-cepat saya kerutkan dahi, saya tidak tahu dari mana Haji Salim
mendapat sumber cerita yang baru ini. Saya kira, Haji Salim cuma mahu bergurau
atau cuba membuat ramalan kosong. Sepanjang ingatan saya, belum pernah Datuk
melakukan sesuatu kerja tanpa memberitahu saya. Selangkah ia bergerak dalam
usaha untuk kebaikan ia pasti memberitahu saya. Kalau tidak beritahu pada saya,
ia akan beritahu pada nenek. Dan nenek akan memberitahu saya.
Bila Haji Salim berkata demikian, menimbulkan rasa sangsi dalam diri
saya terhadap Haji Salim. Saya rasakan, Haji Salim seolah-olah mengintip segala
kegiatan Datuk. Apakah Haji Salim meragui kejujuran Datuk? Mungkin Haji Salim
mahu memperlihatkan kelebihan yang ada pada dirinya pada Datuk.
Mungkin Haji Salim merasakan apa yang dilihatnya di tanah kubur lama itu
satu rancangan Datuk yang disembunyikan dari pengetahuannya, timbul pertanyaan
dalam diri saya. Kalaulah apa yang saya fikirkan itu benar, sesuatu yang lebih
dahsyat akan terjadi bila dua orang yang berilmu mahu menunjukkan kepandaian
masing-masing.
“Aku yang meminta Datuk kamu membuatnya. Pada mulanya ia enggan. Setelah
aku rayu baru ia setuju, ia melakukannya waktu tengah malam tanpa ada orang
lain yang tahu, kecuali diri aku sendiri,” saya tersenyum. Rasa sangsi dan
bimbang yang bergolak dalam dada saya menemui jalan akhir.
“Hari ni hari Rabu. Aku ada janji dengan orang nak berjumpa di Kampung
Ulu Kelubi,” Haji Salim berhenti membakar besi. Ia mengelap peluh di tubuhnya
dengan tuala kecil cap matahari.
“Apa halnya Pak Haji?”
“Orang tu menempah parang. Parangnya dah siap. Aku nak menghantarnya
sekarang, apa kau nak ikut sama.”
“Boleh juga.”
“Orang ni aneh sikit Tamar. Matanya buta tapi ia tahu warna baju yang
dipakai oleh orang yang datang berjumpa dengannya.”
“Hebat orang tu Pak Haji.”
“Tak tahulah aku nak kata, hebat atau tidak. Kau tengoklah sendiri.”
Haji Salim ketawa.
Ia meninggalkan saya di rumah kerjanya. Haji Salim masuk ke bilik mandi.
Kemudian pakai kain dan baju Melayu. Dengan motosikal, kami menuju ke Kampung
Kelubi. Saya ditugaskan oleh Haji Salim memegang parang.
Lebih kurang sepuluh minit kami melalui jalan raya, akhirnya kami
melalui memasuki satu lorong kecil. Tidak sampai lima minit melalui lorong yang
sempit itu, kami sampai ke sebuah rumah papan kecil.
Haji Salim tongkat motosikal di bawah pokok mempelam. Dalam perkiraan
saya, jarak Kampung Kelubi dengan kampung saya kira sepuluh batu lebih. Kampung
Kelubi berada dalam jajahan Larut dan Matang.
Haji Salim terus memberi salam. Salam Haji Salim dijawab. Bila saya
merenung ke pintu rumah, seorang lelaki tercegat di situ, orangnya kecil,
berkulit agak hitam, rambutnya kerinting.
“Naik, budak yang pakai baju merah dan berseluar putih tu siapa?” tanya
orang itu pada Haji Salim. Saya tahu kata-kata itu ditujukan pada saya.
“Nanti sekejap lagi saya beritahu,” jawab Haji Salim dan terus melangkah
ke kaki tangga.
Bila berada dalam rumah orang itu, saya duduk dekat Haji Salim. Orang
itu terus menjentik parang yang diberikan oleh Haji Salim padanya dengan kuku
ibu jari kiri.
“Besinya baik, tidak rapuh,” katanya sambil meletakkan parang itu di
hujung lututnya. Dari raut wajahnya, saya kira orang itu berusia antara 50-55
tahun. Haji Salim memanggilnya sebagai Lebai Din. Peramah dan suka berjenaka.
“Budak yang kamu bawa ni, berkulit cerah, rambut kerinting, ada parut di
kepala,” Lebai Din terus memperkatakan diri saya. Semua yang dikatakannya itu
memang tepat. Meskipun matanya buta. Saya kagum dengan kebolehannya itu.
“Pak Lebai nak buat apa parang ni?” tanya saya.
“Nak menebas kebun getah, biar mudah aku menoreh.”
“Eh, buta pun boleh menoreh dan menebas kebun.”
“Apa kau fikir orang buta tak boleh kerja? Dalam hidup ni biar kita buta
mata, jangan buta hati. Kalau dah buta hati, celik pun tak guna.”
Haji Salim ketawa mendengar cakap Lebai Din itu. Saya merasakan ungkapan
itu satu sindiran buat saya yang celik. Kalau saya tidak fikir yang berkata itu
orang yang cacat anggotanya, mahu rasanya saya bertekak. Panas hati saya
disindir dalam baik.
“Dia bukan menyindir, cakapnya itu penuh makna,” kata Haji Salim bila
melihat saya dalam keadaan resah. Lebai Din tersenyum.
“Aku tahu budak tu marah. Tapi dia harus ingat, orang cepat marah selalu
rugi. Hei budak kamu marahkan aku?” ujar Lebai Din dalam senyum yang memanjang.
“Saya tak marah.”
“Belajarlah dalam hidup untuk jadi orang yang tidak lekas marah. Aku
tahu kamu budak pintar,” Lebai Din terus menepuk-nepuk kepala saya. Haji Salim
hanya memperhatikan sahaja telatah Lebai Din terhadap diri saya.
Tanpa diminta, Lebai Din menceritakan pada saya bahawa kedua belah
matanya buta sejak kecil lagi. Pada mulanya ia sakit mata dalam usia tujuh
tahun. Ibunya membawa dia menemui dukun mata. Entah di mana silapnya, sejak
menemui dukun mata itu matanya terus sakit dan akhirnya menjadi buta.
Menurut cerita ibunya, dukun mata itu tersalah ramuan ubat. Mungkin
dukun mata itu merasa bersalah lalu menjadikan ia anak angkat. Semasa menjadi
anak angkat dukun mata itulah ia belajar silat, mengenal bentuk tubuh dan kulit
orang berdasarkan bau badan. Dari tekanan suara seseorang ia dapat membaca
watak peribadi orang itu.
Memanglah Lebai Din orang buta yang hebat, pada tanggapan saya. Kalau ia
bercerita tentang dirinya memang asyik kita mendengarnya.
“Itu kisah lalu,” katanya mengakhiri cerita dirinya sambil merenung ke
arah saya.
Meskipun kedua belah kelopak matanya tercantum, saya masih dapat
merasakan di sebalik kulit yang bercantum itu ada sepasang mata yang tajam
boleh menembusi hati dan perasaan sesiapa yang berada di hadapannya.
“Sekarang ada kisah baru Haji,” Lebai Din memperkemaskan silanya. Ia
meraba kepala lututnya.
“Cerita apa Pak Lebai?” sahut Haji Salim.
“Begini, sejak dua tiga minggu lalu, orang-orang di kampung ini heboh
memperkatakan tentang seorang pendekar yang boleh terbang atas angin.”
“Siapa orangnya Pak Lebai?”
“Aku tak kenal.”
“Pernah Pak Lebai bercakap dengannya.”
“Ada sekali. Waktu aku sedang motong getah ia lalu, kemudian ia minta
kebenaran dari aku untuk mendirikan pondok di kebun getah aku.”
“Aku izinkan. Bila aku izinkan dia tak mahu, dia minta kebenaran untuk dirikan
pondok di sawah aku yang terpencil.”
“Habis Pak Lebai izinkan.”
“Aku izinkan. Apalah salahnya dia nak menumpang. Lagipun bumi ini Allah
yang punya. Kita cuma diamanatkan untuk menjaganya semasa kita masih hidup.”
Haji Salim merenung wajah saya. Kemudian Haji Salim kerutkan kening
sambil meraba-raba pangkal dagunya. Macam memikirkan sesuatu.
“Bila aku tanya kenapa dia tak mahu mendirikan pondok dalam kebun getah
yang letaknya tidak jauh dari rumah aku, jawapannya meragukan,” Lebai Din berhenti
bercerita. Ia termenung panjang. Perbuatannya itu membuat saya tidak sabar lalu
mengajukan pertanyaan.
“Apa dia jawapannya Pak Lebai?”
“Hai kau pun nak tahu jawapannya?”
“Ceritakanlah Lebai, saya juga nak tahu,” sahut Haji Salim dengan
tenang.
“Katanya, dia ramai anak murid. Mengajar silat dari tengah malam hingga
pagi, kalau dekat kampung nanti orang kampung marah,” Lebai Din memberikan
keterangan. Saya dan Haji Salim anggukkan kepala.
“Dari cara orang tu bercakap berdasarkan gerak suaranya, dia memang
tidak jujur. Kalau aku boleh mengintip mahu aku mengintipnya waktu malam.”
Sambung Lebai Din. Dari cara Lebai Din bercerita itu, ia seolah-olah minta Haji
Salim mengintip gerak geri pendekar tersebut.
Lebih kurang sejam kami berada di rumahnya, kami pun minta diri. Kami
tidak singgah di mana-mana. Terus pulang ke rumah. Bila sampai di rumah Haji
Salim, saya terkejut besar melihat Datuk berdiri di halaman rumah Haji Salim
sambil memulas tangan kanan Daud ke belakang.
Daud saya lihat tunduk sambil menahan kesakitan. Wajah Datuk merah. Haji
Salim segera menghampiri Datuk.
“Kenapa? Kenapa Daud dibuat macam tu,” suara Haji Salim lembut. Wajahnya
cemas. Datuk tidak menjawab. Daud ditolaknya hingga terjerumus ke bumi.
“Aku bunuh kamu, kalau kamu membuat perkara maksiat tu,” suara Datuk
meninggi.
Datuk terus menumbuk pokok pisang melepaskan geramnya. Pokok pisang yang
ditumbuk Datuk terus patah dua macam dipotong dengan parang. Datuk terus
termenung panjang di situ. Haji Salim segera menghampiri Daud yang baru bangun
sambil meraba dadanya. Mukanya nampak pucat.
“Kenapa Daud?” soal Haji Salim.
“Saya orang miskin. Kata orang dalam kubur lama ada harta karun, ada
emas berlian, jadi saya cuba korek. Baru dua kali korek orang tua datang,” Daud
merenung ke arah Datuk. Muka Daud nampak cemas sekali.
Haji Salim terus menarik Daud ke dalam ruang tempat kerjanya. Ia suruh
Daud duduk di situ. Kemudian Haji Salim terus menemui Datuk. Mereka
bercakap-cakap sebentar. Datuk dan Haji Salim terus menemui Daud.
“Sekarang aku mahu kau bercerita perkara yang benar,” kata Haji Salim
pada Daud. Datuk tidak berkata apa-apa. Ia cuma termenung dan berusaha
menenangkan rasa marah yang membara dalam dirinya.
Daud terus bercerita. Kira-kira dua bulan yang lalu, ia diajak oleh
seorang kawannya dari Pulau Pinang untuk memasuki satu kumpulan yang kerjanya
mencari kubur lama untuk dipuja dengan tujuan mencari harta karun. Menurut
ketua kumpulan, setiap kubur lama terutama kubur raja-raja dahulu kala
menyimpan harta karun kerana dipercayai orang-orang yang mati itu ditanam
bersama-sama dengan hartanya. Dalam usaha mencari harta karun itu, mereka sudah
menjelajah ke seluruh tanah air. Mereka bergerak waktu malam.
“Siapa nama ketua kumpulan kamu,” soal Datuk.
“Kamal, orang Batu Maung. Tetapi, ketua nombor satu seorang dukun tua
yang berulat kaki. Saya yang memberitahu mereka di sini ada kubur lama.”
“Patutlah kamu selalu keluar. Kata kamu kerja kontrak tetapi lain pula
yang kamu lakukan,” potong Haji Salim.
“Ya, saya menipu,” sahut Daud.
Datuk terus merisik rahsia dari Daud. Daud mengakui dia pernah memakai
Jubah Hitam dan berada di kubur lama melakukan pemujaan. Tetapi, ia tidak
pernah memotong lidah anak dara sunti. Cuma ia memberitahu pada kumpulannya
tentang jumlah anak dara sunti yang terdapat di kampungnya.
“Kata dukun panglima di kampung kita ni susah sikit, ada penghalangnya.
Penghalangnya besar dia ni,” Daud menudingkan jari telunjuknya ke arah Datuk.
Haji Salim menarik nafas panjang. Datuk tersenyum, ia sudah dapat mengawal
perasaannya.
“Orang yang kau sebut sebagai Dukun Pendekar tu, boleh mengubat orang
dan mengambil upah membuat orang,” tanya Datuk.
“Ya, semua kerja jahat dia boleh buat. Dia berdendamkan kamu,” jawab
Daud. Datuk menarik nafas panjang.
“Begini saja Daud. Kau ceritakan pada kami tentang kehebatan Dukun
Pendekar yang aku lihat pada kami. Kalau ia betul-betul hebat, kami ikut dia.
Sama-sama kita cari harta karun. Aku tahu tempat kubur lama yang menyimpan
harta,” Haji Salim memujuk Daud penuh sopan santun.
Pada mulanya, Daud keberatan mahu menceritakan kisah ketuanya itu. Bila
Haji Salim memperlihatkan kemampuannya menggenggam bara api dan mematahkan besi
pejal, Daud terus membuka rahsia.
Kata Daud, kaki kanan Dukun Pendekar dihinggapi penyakit tokak, sudah
berulat. Ulat-ulat tokak itu tidak pernah dibuang atau dibunuh. Jika ulat-ulat
itu jatuh, ia akan mengutipnya dibungkus dalam kain kuning. Kemudian ulat-ulat
dipelihara dalam balang besar dan diberi makan bangkai dan lidah manusia serta
binatang.
Setiap kali Dukun Pendekar masuk gelanggang, tokak di kaki kanannya
sukar untuk dikesan oleh para muridnya. Ia pernah melihatkan kemampuannya di
hadapan Daud dan anak-anak muridnya yang lain, berjalan dalam hujan lebat waktu
malam dengan membawa pelita. Pelita yang dibawanya tidak padam.
Dia berjalan cukup laju, kalau ia mahu pergi ke sesuatu tempat, ia akan
menyebut nama tempat. Selesai saja sebut nama tempat tersebut ia akan hilang
dan dirinya akan berada di tempat yang disebutnya,” ujar Daud penuh rasa
kekaguman.
“Lagi apa kebolehannya?” desak Datuk.
“Bila ia berhadapan dengan orang yang warak dan taat dengan hukum Allah,
ia akan memperlihatkan dirinya sebagai orang yang tinggi dalam ilmu agama.
Boleh menyebut ayat al-Quran dengan fasih.”
“Waktu siang, suka memencilkan dirinya di gua atau pondok buruk.”
Datuk dan Haji Salim berpandangan. Saya memicit jerawat batu di pipi
kanan. Angin yang menerpa ke dalam ruang menjamah wajah saya. Terasa nyaman dan
selesa. Beberapa helai daun kering kelihatan gugur di halaman.
Daud terus membisu, rambut panjangnya yang menyerkup dahi diangkatnya
dengan telapak tangan kanan. Parut di dahi sebelah kiri jelas kelihatan. Parut
itu nampak kehitam-hitaman sedikit.
“Orang tu sekarang duduk di mana?” suara Datuk agak meninggi.
Sepasang matanya tertumpu ke wajah Daud. Cepat-cepat Daud mengalihkan
pandangannya ke arah lain. Tidak mampu Daud menentang sepasang biji mata Datuk
yang berkaca-kaca itu.
“Orang tu, berada tak jauh dari sini. Jangan kacau, dia berjanji pada
saya tidak mahu kacau orang-orang kampung kita,” kata Daud yang berbadan tegap
dan tidak suka memakai baju.
“Buktinya?” tingkah Haji Salim.
“Dah dua minggu dia tak kacau,” balas Daud sambil merenung wajah Haji
Salim. Aneh sungguh sikap Daud. Cakap dengan Haji Salim berani, tentang muka
dengan Datuk tidak berani.
Saya hanya memerhatikan telatah Daud dengan ekor mata sambil memicit
jerawat yang mula membengkak di sudut dagu kanan. Memicit jerawat memang
menyeronokkan. Bila terasa sakit dilepaskan, kemudian diraba, digosok
perlahan-lahan dan dipicit lagi.
“Boleh kau tunjukkan tempatnya pada kami,” nada suara Datuk mula lembut.
Kali ini Datuk tidak merenung ke arah Daud. Datuk renung dinding. Saya lihat
Daud merenung muka Datuk. Perlahan-lahan Daud menjuihkan bibirnya ke depan, ia
semacam memperkecil-kecilkan Datuk.
“Pendekar Kamal, tidak mudah dijumpai atau ditemui. Lebih-lebih lagi,
kalau orang yang mahu menemuinya mempunyai niat tertentu,” Daud segera bangun.
Melangkah dua tapak ke arah saya, berdiri di sisi saya. Tiba-tiba perasaan saya
jadi gementar.
Saya jeling ulas-ulas lengan Daud yang menonjol dan keras. Orangnya
cukup tinggi hampir lima kaki tujuh inci. Saya jeling dadanya yang berbulu.
Saya kira, kalau ia menghentakkan siku kanannya ke dada saya, pasti saya
tersungkur.
“Saya tidak akan menunjukkan tempat Pendekar Kamal, walaupun tempatnya
saya tahu,” cara mendadak sahaja Daud menjerit. Ia terus menendang pelipat kaki
saya, saya terus jatuh.
Daud terus menendang apa sahaja yang ada di depannya. Saya cuba bangun.
Belum pun sempat saya berdiri dengan betul, satu penendang hinggap di bahagian
kanan perut saya. Saya terus menggulung-gulung atas lantai menahan kesakitan.
Perut terasa senak. Daud terus melompat dan menyambar lembing.
“Sesiapa yang mahu kacau guru aku, aku bunuh sampai mampus,” Daud
mengacukan mata lembing ke arah Haji Salim. Saya lihat Haji Salim tenang
sahaja.
Melihat Datuk dan Haji Salim terpaku dengan tindakannya itu, Daud mula
memperlihatkan taringnya. Ia melompat atas pelantar lalu mengambil parang
panjang. Lembing di tangan terus dibuang.
“Daud,” jerit Haji Salim.
Serentak itu Haji Salim melompat lalu melepaskan penampar sulungnya yang
lembut ke pipi kiri Daud. Tidak saya duga sama sekali penampar yang lembut itu
boleh menyebabkan Daud jatuh tersungkur. Daud menggeletek macam ikan keli kena
pukul. Mulut Daud kelihatan berbuih-buih sambil mengeluarkan suara dengkur,
tidak ubah macam bunyi lembu yang kena sembelih.
“Macam mana awak buat budak ni Haji?” tanya Datuk.
“Saya lepaskan bisa biar dia tahu tua-tua saya, bukan tua saja. Tua-tua
saya, tua berisi.”
“Awak sudah keterlaluan.”
“Saya tahu. Melihatkan sikapnya yang takbur saya terpaksa menamparnya
dengan bisa tangan.”
“Awak yang melepaskan bisa tangan, saya tidak upaya menawarnya. Awak
tawarlah sendiri.”
Haji Salim mendekatkan telapak tangan kirinya yang menampar muka Daud ke
bibirnya. Saya lihat bibirnya bergerak-gerak, kemudian jejarinya terus dicium.
Haji Salim rapat ke arah Daud. Tangan kirinya diletakkan ke pipi Daud. Badan
Daud yang menggeletar kembali macam biasa. Mulutnya yang berbuih, sudah tidak
berbuih lagi.
Dengkurnya yang meninggi mula menurun. Daud membuka mata dan terus duduk
termenung, tidak ubah macam ayam mabuk tahi.
“Budak tu belum cukup pulih. Kalau dibiarkan begitu dia akan jadi bodoh
seumur hidup,” Datuk mengingatkan Haji Salim. Saya lihat Haji Salim anggukkan
kepala.
Ia meninggalkan kami di ruang kerjanya, menuju ke ruang dapur. Saya
tidak tahu apa yang dilakukan oleh Haji Salim di ruang dapurnya. Haji Salim
menemui kami kembali. Di tangannya ada secawan air putih. Ia terus menghampiri
Daud. Kepala Daud digosoknya beberapa kali.
“Minum air ini,” ia memujuk.
Daud terus mengambil cawan di tangan Haji Salim. Tanpa berfikir panjang,
Daud terus meneguk air di cawan sampai habis. Dalam sekelip mata sahaja, Daud
terus bangun dan bertenaga kembali.
Mata Daud kelihatan merah. Ia mula bertempik dan menyambar parang
semula. Kali ini, terus menyerang dengan melulu. Saya terpaksa lari keluar.
Daud memilih Datuk sebagai sasaran utamanya. Ia terus menyerang
bertubi-tubi. Setiap kali Daud melibaskan parang panjangnya, Datuk terpaksa
melompat ke kiri, melompat ke kanan. Datuk terus menyusup ke bawah pelantar dan
melindungkan badannya dengan papan. Datuk terus bersembunyi di situ.
Melihat Datuk menyusup bawah pelantar, Daud bertambah marah. Ia terus
menjerit-jerit sambil memukul dadanya dengan hulu parang. Ia menoleh ke kanan
lalu menyerang Haji Salim dengan bertubi-tubi. Macam Datuk juga, Haji Salim
terpaksa mengelak ke mana sahaja, asalkan mata parangnya tidak menjamah tubuhnya.
Kekuatan Daud sungguh berbisa. Langkahnya cukup cepat macam kilat.
Telapak kakinya seolah-olah tidak memijak lantai. Wajahnya cukup garang dan
menggerunkan sesiapa yang melihatnya.
“Jangan apa-apakan budak itu, dia dah kemasukan syaitan. Pertahankan diri
awak dari kena parangnya,” jerit Datuk dari bawah pelantar mengingatkan Haji
Salim. Datuk tidak mahu Haji Salim bertindak sembarangan.