Sumpah Selendang Merah
Saya lihat Datuk kurang senang dengan arahan yang diberikan oleh Sajono
pada saya.
“Ayuh, orang muda,” suara Sajono lembut.
“Cucu saya, masih bodoh pak.”
“Dia harus belajar, mungkin di masa akan datang dia tidak akan
berhadapan dengan perkara semacam ini.”
“Tapi...”
“Jangan bimbang, biarkan dia lalui pengalaman ini, setidak-tidaknya akan
jadi bahan sejarah untuk dirinya. Ayuh,” Sajono menggosok-gosok kepala saya.
Badan saya menggeletar. Takut dan bimbangnya Tuhan saja yang tahu. Saya
berharap Datuk akan berusaha menggagalkan rancangan yang diaturkan oleh Sajono
itu.
“Pergi Tamar, jangan kecewakan kepercayaan orang.” Kata Datuk. Ternyata,
saya tidak ada pilihan lain.
Saya pun rapat ke arah Samad Perang yang terlentang, kedua belah kakinya
terkangkang. Biji matanya bergerak mengikut gerak geri saya. Dengan hati-hati
saya masukkan anak kunci ke lubang kunci. Usaha saya berjaya. Saya renung muka
Sajono.
“Kau sudah membuka kunci di kakinya, sekarang rantai dan kunci di
bahagian tangannya,” perintah Sajono. Saya renung muka Datuk minta simpati.
Datuk tersenyum.
“Buka kunci di tangannya Tamar,” perintah Datuk. Saya sungguh kecewa
dengan sikapnya itu.
Saya terus membuka kunci di kedua belah tangannya. Bila saya memberi
belakang pada Samad Perang, saya terasa ada sesuatu yang menghentak pada
pangkal belikat saya. Saya terjerumus di hujung lutut Sajono. Samad Perang mula
melompat dan menari, tidak ubah macam orang berjoget.
“Bangun nak, kau jatuh sendiri, orang yang sakit tidak menendang mu, ada
orang lain yang membuatnya,” Sajono melekapkan telapak tangan kanannya di dahi
saya.
Badan saya tidak terasa sakit malah macam tidak ada apa-apa yang berlaku
pada saya. Saya segera duduk di sebelah Datuk. Sajono terus merenung dengan
renungan yang tajam dan marah. Samad Perang berhenti menari.
“Duduk di sini,” kata Sajono. Samad Perang terus duduk.
Sajono mengeluarkan rotan seni sepanjang enam inci dari celah
pinggangnya. Badan Samad Perang dipukulnya lima kali berturut-turut. Kemudian
dia menentang biji mata Samad Perang. Samad Perang angkat kepala dan terus
menentang mata Sajono dengan wajah yang bengis. Sajono tetap tenang dan matanya
tidak berkedip memanah ke mata Samad Perang. Saya lihat seluruh badan Samad
Perang menggeletar dan akhirnya rebah atas lantai.
“Bangun, tentang mata saya,” kata Sajono. Samad Perang berusaha bangun.
Percubaannya itu tetap gagal, setiap kali dia bangun, setiap kali pula dia
rebah.
Mukanya nampak pucat, kedua-dua belah cuping telinganya nampak kecut.
“Awak bangun perlahan-lahan Samad dan kemaskan sila, duduk menghadap
saya,” ucap Sajono dalam nada suara yang lembut.
Cukup sukar Samad Perang mematuhi arahan Sajono itu. Setelah menghempas
pulas, akhirnya Samad Perang berjaya. Duduk bersila di hadapan Sajono. Saya
sudah dua kali mengucap. Datuk dan Mamat Bukit tidak berkata apa-apa. Mereka
cuma memerhati dengan penuh teliti segala gerak-geri Sajono dan Samad Perang.
Sajono merenung muka Datuk dan Mamat Bukit. Mereka berbalas senyum. Sajono
rapat pada Samad Perang.
“Yang jahat, yang baik semuanya keluar,” suara Sajono meninggi.
Samad Perang rebah kembali. Tidak sedarkan diri. Tidak ada sesuatu yang
dilakukan oleh Sajono untuk menyedarkan Samad Perang dari pengsan.
“Biarkan dia sedar sendiri.” Beritahu Sajono pada Mamat Bukit dan Datuk.
Isteri Samad Perang sandarkan badan ke dinding dengan wajah yang tenang.
Malam bertambah tua udara terasa amat dingin sekali. Sayup-sayup
kedengaran kokok ayam. Bunyi burung hantu dan jampuk, tidak kedengaran lagi,
suara cengkerik juga tidak sehebat tadi. Sesekali terdengar bunyi dedaun rumbia
di pinggir rumah berlaga sama sendiri, disentuh angin malam yang bertiup. Samad
Perang sedar dari pengsan. Dia terus duduk dalam keadaan yang amat letih
sekali. Sajono tersenyum sambil menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya.
Kemudian, Sajono membetulkan letak songkoknya yang senget. Kain pelikat
berpetak besar yang tersangkut di bahu kanan diubah ke bahu kiri.
“Yang jahat jangan datang, yang baik berumah dalam diri,” cukup lantang
suara Sajono.
Mukanya kelihatan merah padam. Anak rambut di kiri kanan pelipisnya
bergerak-gerak.
Samad Perang jatuh pengsan lagi. Kali ini, Sajono segera memulihkannya
dengan menggunakan kain pelikat.
“Air,” muka Samad Perang.
“Berikan,” ujar Sajono.
Isteri Samad Perang hulurkan segelas air pada Mamat Bukit dan Mamat
Bukit serahkan pada Samad Perang.
“Minum,” kata Sajono.
“Terima kasih,” jawab Samad Perang.
Semua yang ada di situ merasa gembira. Saya lihat kelopak mata isteri
Samad Perang digenangi air jernih. Tetapi di bibirnya tetap terukir segaris
senyum yang melambangkan kebahagiaan dirinya.
“Pertama kali saya melihat suami saya bercakap dengan baik dan sopan
santun,” kata isteri Samad Perang pada Datuk. Sajono yang berwajah tenang
menggigit bibir. Samad Perang merenung wajah isterinya.
“Kau menangis, Sofiah?”
“Tak, saya tak menangis bang.”
“Mata mu berair.”
“Ya, saya menangis bang, saya gembira kerana abang dah baik.”
“Aku tak faham dengan cakap kau Sofiah.”
“Abang sebenarnya sakit.”
“Sakit?” Samad Perang renung Mamat Bukit.
Saya lihat Mamat Bukit anggukkan kepala. Membenarkan kata-kata yang
diucapkan oleh isterinya.
“Beri dia bantal, biar dia berehat,” Sajono menujukan kata-kata itu pada
isteri Samad Perang.
Perempuan yang berbadan kurus dan berwajah cengkung itu segera masuk ke
bilik tidur dan keluar membawa sebiji bantal. Samad Perang saya lihat seperti
keadaan orang bingung. Dia renung pada rantai besi dan ibu kunci yang terdapat
pada tiang seri.
“Saya mengantuk,” katanya pada Mamat Bukit.
“Tidurlah dulu.”
“Maafkan saya, mata saya tak boleh tahan,” suara Samad Perang lemah sekali.
Dia terus merebahkan badannya atas lantai. Mamat Bukit angkat kepalanya
dan isterinya menyorongkan bantal.
“Ikat tangannya saja, bukan apa-apa sekadar untuk berjaga,” isteri Samad
Perang segera mematuhi arahan dari Sajono.
Dalam beberapa minit saja, kami yang berada di situ sudah dapat
mendengar suara dengkur Samad Perang.
“Selesai atau ada lagi Kiai?” cukup hati-hati Mamat Bukit mengajukan
pertanyaan pada Sajono yang sedang duduk termenung macam memikirkan sesuatu.
“Ada lagi ke Kiai?” ulang Mamat Bukit.
“Untuk malam ini dah selesai, malam esok saya datang untuk
menamatkannya,” Sajono bangun.
Saya dan Datuk juga berjalan dalam ruang rumah dua kali. Bermula dari
arah selatan menuju ke utara dan berhenti di muka pintu. Dia merenung malam yang
gelap, merenung pokok-pokok yang tertegun di halaman. Kokok ayam bertambah
kerap. Udara sejuk kian terasa.
“Saya nak pulang,” kata Sajono pendek dan ketika itu juga saya terdengar
jam dinding di rumah Samad Perang berbunyi sebanyak dua belas kali.
Mamat Bukit segera turun ke tanah. Isteri Samad Perang membawa lampu
gasolin ke muka pintu. Cahaya daripada lampu gasolin menerangi sebahagian
daripada kawasan halaman rumah.
“Saya hantarkan Kiai,” ujar Mamat Bukit sambil menolak basikal tua
keluar dari bawah rumah. Sajono memijak mata anak tangga dengan teliti. Dia
akhirnya menyarungkan selipar kulit ke kaki. Berdiri di situ sejenak.
“Malam esok saya datang lagi, saya minta sediakan rotan halus atau rotan
seni yang panjangnya kira-kira tiga kaki,” Sajono meninggalkan pesan pada
isteri Samad Perang.
“Saya balik dulu, malam esok saya harap awak datang,” Sajono merenung
muka Datuk.
“Dengan izin Allah saya akan datang,” balas Datuk.
“Saya harap Allah akan memperkenankan permintaan awak,” balas Sajono lalu
bersalaman dengan Datuk.
“Jaga suami awak baik-baik, saya rasa malam ni dia akan tidur sampai
siang. Kalau takut, cari kawan,” Sajono renung isteri Samad Perang.
“Baik Kiai, saya jaga dia.”
“Lepas hantar Kiai, saya datang ke mari,” cara mendadak Mamat Bukit
bersuara.
“Bagus,” celah Datuk. Sajono renung muka saya dan tangan kanannya
menepuk bahu kiri saya.
Sajono terus duduk di bahagian belakang basikal. Mamat Bukit pun kayuh
basikal tanpa lampu membelah malam yang gelap.
“Hebat, naik basikal malam tak berlampu,” kata saya.
“Mamat sudah biasa begitu,” sahut isteri Samad Perang.
Datuk ketawa kecil, seolah-olah memberitahu saya, itulah keistimewaan
orang kampung yang tidak kenal dunia moden, tidak kenal lampu elektrik di tepi
jalan. Tetapi, mereka tidak pernah mengeluh dengan keadaan itu, mereka hadapi
dengan tenang dan penuh cabaran.
“Kami balik dulu,” beritahu Datuk pada isteri Samad Perang.
“Selamat jalan, jangan lupa malam esok datang lagi.”
“Kalau tak ada sakit demam dan umur pula panjang, saya sampai, jawab
Datuk.
Saya dan Datuk sampai ke rumah hampir pukul satu subuh. Nenek menyambut
kami dengan wajah yang masam di muka pintu. Tetapi, Datuk tetap memberikan
senyum yang paling manis untuk seorang isteri yang setia, seperti nenek.
“Janda mana yang awak gila, anak dara mana yang awak intai hingga jauh
malam baru sampai ke rumah,” gegendang telinga saya menangkap suara nenek.
“Tak ada janda, tak ada anak dara, yang ada awak seorang aje, sebab
itulah saya balik ke rumah,” tingkah Datuk yang diakhiri dengan ketawa pendek.
Nenek terus diam dan merapatkan daun pintu serta menguncinya sekali.
Saya terus merebahkan badan di bilik kecil yang dikhaskan untuk saya. Semua
yang saya lihat dan alami di rumah Samad Perang terbayang kembali. Sukar untuk
dipercayai dengan fikiran yang waras, bila seseorang menyuruh sesuatu yang
dianggap jahat dan baik keluar dari tubuh manusia, kemudian mengizinkan benda
yang baik menguasai hati dan perasaan manusia seperti yang dilakukan oleh
Sajono pada Samad Perang. Andainya, kalau saya ceritakan pada orang lain
tentang kejadian itu, pasti orang yang mendengarnya ketawa dan mengira perkara
itu tidak masuk akal lalu menuduh saya pembohong.
Tetapi, perkara yang tidak masuk di akal itulah yang saya saksikan dengan
mata kepala saya sendiri. Memang aneh, dunia dan manusia tidak dapat dipisahkan
dari menjalani kejadian-kejadian aneh yang kadang-kadang tidak masuk di akal,
kata hati kecil saya sambil menarik selimut. Akhirnya saya terlelap.
Saya terjaga dari tidur, bila Datuk menarik kaki saya dengan kuatnya.
“Bangun, jangan dilayan kemahuan hati, nanti kau berkawan dengan
syaitan, bangun sembahyang Subuh,” katanya keras.
Saya tidak boleh membantah. Saya pun bangun dan menjalankan rukun Islam
kedua.
Datuk sengaja pulang lewat ke rumah Samad Perang malam ini. Kata Datuk
tidak guna pergi awal, Sajono sendiri sudah mengatakan yang dirinya akan sampai
ke rumah tersebut pukul dua belas tengah malam.
“Pukul sebelas kita bertolak dari rumah, sementara itu biar aku membaca
Quran,” beritahu Datuk pada saya.
Rasa gembira menguasai hati saya, bila mendengar keputusan dari Datuk.
“Kau pergi baca surah Yasin,” ujar Datuk lagi.
“Saya baca dalam bilik tuk.”
Tanpa membuang masa saya masuk ke bilik. Pintu bilik saya kunci dari
dalam.
Membaca surah Yasin, bukanlah satu tugas yang menyenangkan hati saya,
lebih-lebih lagi kalau ada tugas lain yang saya kira lebih mustahak dari itu.
Jadi, saya buat keputusan yang muktamad. Saya tidak mahu membaca surah Yasin.
Saya harus menyambung kerja saya yang terbengkalai sejak dua tiga hari yang
lalu, iaitu membuat sangkar burung. Pelita minyak tanah saya pasang dua sekali.
Keadaan dalam bilik cukup terang tetapi, saya tidak puas hati. Saya mahu cahaya
yang terang lagi. Saya pasang lima batang lilin. Kemudian saya keluarkan pisau
kecil serta bilah-bilah buluh yang sudah diraut dari bawah katil. Saya pun
memulakan kerja membuat sangkar burung mengikut bentuk yang saya ingini.
“Tamar kau baca Yasin atau tidur, tak dengan suara pun.”
“Saya baca tuk, tapi tak boleh kuat, suara serak, tekak saya sakit.”
“Betul ke ni Tamar.”
“Betul, sumpah tuk,” kata saya sambil menajamkan bilah buluh bahagian
bawah, kemudian bilah itu saya tekan pada rotan yang dijadikan gelegar sangkar.
Bagi meyakinkan hati Datuk yang saya membaca surah Yasin sesekali saya
tinggikan suara sambil menyebut beberapa ayat dari surah tersebut yang saya
ingati. Sambil melakukannya, saya ketawa sendirian kerana saya sudah berjaya
memperdayakan Datuk. Tepat jam sebelas malam, Datuk terus ketuk pintu bilik.
Kelam-kabut saya sorongkan sangkar yang baru siap separuh ke bawah katil.
Kepala saya sarungkan dengan songkok, surah Yasin saya pegang. Pintu bilik saya
buka lebar-lebar.
“Bagus, kau cucu yang baik dan mendengar cakap,” kata Datuk.
“Terima kasih tuk.”
“Habis, apa lagi.”
Saya dan Datuk pun meninggalkan rumah. Nenek Cuma menghantar hingga ke
kaki tangga saja. Nenek berpesan supaya kami berhati-hati berjalan kerana
banyak binatang bisa yang merayap malam. Begitulah sikap nenek saya, dalam
marah dia tetap sayangkan suami. Setiap detik yang berlalu, tidak dipersiakan
begitu saja, tetap diisi dengan doa dan harapan semoga berbahagia serta
dipanjangkan usia.
“Nenekmu wanita kampung yang banyak menyerahkan harapan pada keadaan.
Seorang isteri yang setia tetapi mempunyai suami yang kurang mementingkan hati
dan perasaannya,” Datuk mengeluh dalam perjalanan.
“Saya sayangkan nenek tuk.”
“Aku juga sayangkan dia Tamar. Kalau kau mencari isteri, carilah
perempuan sebaik nenekmu.”
“Saya tak mahu kahwin tuk.”
“Satu waktu, kau akan kahwin juga Tamar.”
“Dengan siapa tuk.”
“Hanya Allah Yang Maha Besar akan menentukan jodohmu Tamar.” Saya
tersenyum mendengar cakap Datuk.
Saya bayangkan dalam kepala wajah-wajah gadis yang saya kenali. Tetapi,
semuanya tidak saya minati. Kami sampai ke rumah Samad Perang. Sajono dan Mamat
Bukit duduk di bawah pokok bertemankan lampu minyak tanah. Datuk tidak menyoal
kenapa mereka duduk di luar tidak di dalam rumah. Datuk tahu selagi belum tepat
jam dua belas malam, Sajono tidak akan memijak lantai rumah Samad Perang. Saya
dan Datuk turut duduk di bawah pokok. Sajono yang tenang tidak banyak bercakap.
Tetapi, Mamat Bukit tetap rancak bercakap dengan Datuk.
Tepat jam dua belas. Kami pun masuk ke rumah Samad Perang. Duduk di
ruang tengah. Isteri Samad Perang menyerahkan rotan seni pada Sajono.
“Bagaimana keadaannya,” tanya Sajono.
“Alhamdulillah, dia tidak meracau dan terus tidur, bila dia jaga dia
minta air.”
“Lagi.”
“Dia bercakap dengan baik dan mula bertanya khabar tentang
kawan-kawannya.”
“Bersyukurlah pada Allah yang memberkati usaha-usaha kita,” Sajono
menadahkan kedua belah telapak tangannya sambil membaca sesuatu.
Bila mulutnya berhenti bergerak, kedua belah telapak tangannya menyapu
muka.
“Saya mulakan sekarang,” beritahu Sajono pada Datuk dan Mamat Bukit.
“Silakan,” jawab Mamat Bukit dan Datuk serentak.
Sajono terus membuka kunci pada rantai besi yang mengikat tangan Samad
Perang.
“Bangun,” Sajono kejutkan Samad Perang, tergesa-gesa Samad Perang, gosok
kelopak mata serta duduk bersila di depan Sajono.
Tangan kanan Samad Perang dijamah oleh Sajono, tiap sendi jejari tangan
itu dipicitnya berkali-kali. Kemudian Sajono mengikat jejari tangan kanan itu dengan
rotan seni. Bila dirasakannya ikatan itu sudah cukup kejap, Sajono terus
merentapnya dengan kasar sekali. Samad Perang kelihatan cemas wajahnya berkerut
menahan rasa sakit. Samad Perang terus menjerit dan meronta-ronta. Sajono terus
memegang hujung rotan dengan sekuat hatinya. Samad Perang berpusing-pusing di
lantai, dia bagaikan kehilangan tenaga untuk berdiri dan jejari tangan kanannya
yang diikat dengan rotan, kelihatan lembik. Samad Perang terus lemah, suaranya
bagaikan tidak keluar ketika itu juga Sajono meratapinya, lalu menepuk
belakangnya. Saya lihat Samad Perang terus kaku, macam patung kayu tetapi,
kelopak mata masih boleh dipejam celikkan.
“Syaitan masih mahu mengganggunya lagi,” Sajono renung muka Mamat Bukit.
Cepat-cepat Mamat Bukit anggukkan kepala. Datuk juga begitu.
Samad Perang rebah perlahan-lahan atas lantai. Tetapi Sajono segera
memulihkan badan Samad Perang yang lemah itu dengan melucutkan rotan yang
mengikat kelima-lima jari kanannya.
“Samad,” kata Sajono.
“Ya.”
“Kau kenal dengan saya?”
“Tak kenal, awak siapa?”
“Saya Sajono, datang untuk berusaha memulihkan sakit dan Allah
mengizinkan usaha itu, kau beransur sembuh.”
“Terima kasih.”
“Ingat Samad, Allah itu Maha Besar, Maha Mengetahui, tidak ada kuasa
yang boleh mengatasi kuasa Allah, penunggu itu syaitan.”
“Saya faham,” kata Samad Perang.
Sajono tersenyum merenung kami. Dia menyerahkan rotan yang telah
digunakannya pada isteri Samad Perang. Dia pun membaca doa kesyukuran pada
Allah yang telah memberkati segala usahanya itu.
“Hantarkan saya pulang,” Sajono mengemukakan pertanyaan pada Mamat Bukit
yang bersandar di dinding.”
“Terlalu cepat nak balik,” kata Datuk pula, muka Sajono di renungnya
lama-lama.
Sajono membetulkan songkoknya. Dan hujung kain pelikat di bahu dirabanya
berkali-kali.
“Niat dari rumah untuk menolong orang, bila niat sudah tercapai, mesti
pulang, hidup tidak boleh banyak cabang nanti ditumpangi syaitan,” Sajono
memberikan ceramah pendek. Datuk anggukkan kepalanya.
“Apa puncanya sakit kawan saya ni Kiai,” Mamat Bukit menyoal.
“Amalan yang baik, tersilap langkah itu saja silapnya.”
“Maksud Kiai.”
“Saya cuma dapat memberi tahu setakat itu saja.”
Sajono pun bangun melangkah menuju ambang pintu. Mamat Bukit segera
memintas di depannya dan terus menuju ke tanah. Dalam beberapa minit saja,
Mamat Bukit sudah sedia dengan basikal buruk di kaki tangga.
“Semoga Allah akan memberkati perjalanan awak,” suara Datuk pendek.
“Mudah-mudahan,” jawab Sajono.
Mamat Bukit pun kayuh basikal. Saya dan Datuk berpandangan, ketika itu
juga saya terdengar suara dari isteri Samad Perang menyuruh kami duduk untuk
minum kopi panas. Permintaan itu tidak kami hampakan. Samad Perang yang sudah
pulih itu turut sama duduk dekat Datuk. Terlalu banyak yang Samad Perang
tanyakan pada Datuk berhubung dengan dirinya. Semua pertanyaan itu tidak perlu
dijawab oleh Datuk. Isterinya menjelaskan kedudukan yang sebenar. Di malam yang
singkat itu, tanpa diminta oleh sesiapa Samad Perang menceritakan pada Datuk
dan saya bagaimana nama perang tercantum di hujung namanya.
Menurut Samad gelaran perang di hujung namanya itu diperolehi waktu
zaman darurat dulu. Ketika itu dia berkhidmat dalam pasukan keselamatan. Saya
jadi polis di bahagian Jungle Squad, setiap kali saya membawa orang-orang saya
masuk hutan, pasukan yang saya pimpin selalu kena serang dan sejak itu nama
saya ditambah dengan perkataan perang kerana bila masuk hutan saya mesti
berperang dengan komunis,” kata Samad Perang dengan nada suara yang rendah tetapi,
wajahnya tetap membayangkan rasa bangga dan megah. Samad Perang juga
memberitahu kami, ketika berkhidmat dalam pasukan keselamatan jugalah, dia
belajar ilmu yang bertujuan untuk mempertahankan dirinya dari serangan pihak
musuh.
“Apa ilmu yang kau belajar?” tanya Datuk.
“Ilmu kebal, saya juga mandi minyak dan lain-lain lagi hingga saya
diberikan oleh guru saya selendang merah.”
“Di mana kau belajar semuanya itu?”
“Waktu saya bertugas di Cincin, Melaka.”
“Apa yang kau dapat dari ilmu yang kau tuntut itu.”
“Bila saya masuk hutan, saya pakai selendang merah, komunis tidak
sanggup menentang pasukan yang saya pimpin terlalu lama.”
Datuk terdiam mendengar keterangan dari Samad Perang. Isterinya
tersenyum mendengar cerita suaminya. Samad Perang nampak bersih, biji matanya
merenung tulang bumbung rumah dua tiga kali.
“Dulu, suami saya patuh dengan syarat yang diberikan oleh mahaguru,
tetapi, sejak dia berhenti semua syarat-syarat itu dilupakan,” tiba-tiba isteri
Samad Perang bersuara. Biji mata Datuk terbeliak mendengarnya. Samad Perang
cuma senyum saja.
“Apa syarat-syaratnya?” Datuk mula mencungkil rahsia. Samad Perang
renung isterinya, kemudian anggukkan kepala, seolah-olah memberi kebenaran pada
isterinya untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Datuk.
“Apa syaratnya?” Ulang Datuk lagi.
“Sembahyang lima waktu tak boleh tinggal, tidak boleh minum arak, tidak
boleh berjudi dan main perempuan, setiap malam Jumaat mesti baca Yasin, tidak
boleh makan minum di kedai bukan Islam,” cukup lancar isteri Samad Perang
bercakap.
Saya lihat Samad Perang terdiam. Wajahnya nampak kesal sesekali dia
menarik nafas panjang, membayangkan rasa hampa dan kecewa dalam hati.
“Semuanya saya langgar, saya minum arak, saya berjudi saya percaya pada
perkara-perkara tahyul, akibatnya saya tanggung sekarang. Saya menyesal,” kata
Samad Perang.
Saya simpati dengan nasib malang yang menimpa diri Samad Perang. Tetapi,
bila saya fikirkan yang dirinya gagal memenuhi syarat-syarat yang dicarinya
sendiri. Rasa simpati itu segera hilang.
“Mulai sekarang, ikut pesan guru kamu yang baik itu dan buang perangai
yang tidak baik dari dirimu,” Datuk melahirkan nasihat.
Datuk minta diri untuk pulang. Samad Perang dan isterinya mengizinkan
permintaan Datuk itu.
Bila saya dan Datuk berada di halaman rumah. Mamat Bukit pun tiba.
Mukanya berpeluh dalam kedinginan malam.
“Bagaimana keadaan dirinya,” Mamat Bukit bersuara.
“Nampaknya sihat dan elok.”
“Kata Kiai, dia akan pulih betul dalam seminggu dua ini. Kiai itu juga
beritahu saya, guru tempat Samad Perang belajar ilmu dulu, sepupunya.”
“Apa pesannya, ilmu yang dituntut sudah luput, pesan yang baik mesti
diikut, kalau tidak diikut syaitan datang lagi.”
“Sepupunya, masih ada lagi?”
“Sudah balik ke Tanah Jawa.”
Datuk bersalam dengan Mamat Bukit. Kami tinggalkan halaman rumah Samad
Perang ketika Mamat Bukit memijak anak tangga pertama. Angin malam terus
bertiup lembut, menggugurkan dedaun tua. Kokok ayam mula kedengaran
sayup-sayup. Saya dan Datuk terus melangkah dengan tenang. Waktu saya dan Datuk
sampai ke rumah, nenek masih belum tidur lagi. Dia menunggu kami pulang untuk
makan malam bersama.
“Nasi dan lauknya masih panas, baru selesai dimasak, saya dah agak awak
bersama cucu pulang dalam waktu begini,” kata nenek lalu duduk di sisi Datuk.
Kami makan dengan penuh selera, meskipun malam sudah terlalu dekat
menuju ke pagi.
Sebulan kemudian, saya dan Datuk mengunjungi rumah Samad Perang.
Keadaannya sudah banyak berubah, tidak mudah naik darah. Wajahnya kelihatan
tenang, berhati-hati bila bercakap.
“Sejak malam itu, saya sudah insaf, saya berkawan baik dengan Sajono,
saya belajar ilmu mengubat orang sakit dengan menggunakan rotan,” beritahu
Samad Perang pada Datuk.
“Kau mahu jadi dukun pula?”
“Saya sudah belajar, kalau ada anak buah saya mengalami sakit macam itu,
bolehlah saya gunakan ilmu yang saya tuntut.”
“Bagus, apa kau tak pernah ke hutan lagi mencari rotan?”
“Saya sudah berhenti, biarlah Mamat Bukit dan kawan-kawannya membuat
kerja itu.”
“Kau buat apa sekarang?”
“Saya mengusahakan tanah di belakang rumah, saya tanam pisang dan
keledek, ini sumber rezeki saya.”
“Pelik?”
“Tak pelik, saya tak mahu buat kerja maksiat.”
“Maksud awak?”
“Masa mencari rotan dulu, sayalah kepala memuja tunggul buruh, pokok
besar untuk mencari kekayaan.”
“Aku tak faham Samad.”
“Saya jadi kepala menurun nombor ekor, memang kami berjaya dapat duit
ekor sampai lima enam ribu, tapi duit habis begitu saja. Duit haram tetap
panas,” Samad Perang mengeluh.
Datuk tersenyum kerana sudah mengetahui rahsia sebenar kenapa Samad
Perang menentang bermati-matian ketika dia menyertai rombongan Mamat Bukit
mencari rotan dulu.
“Sudahlah Samad lupakan semuanya itu,” kata Datuk dengan tenang. Samad
Perang ketawa.
“Sebulan dua lagi, saya nak pindah ke Kuala Lumpur, anak saudara saya
mengajak saya ke sana, katanya di sana ada banyak peluang berniaga,” terkejut
juga saya mendengar cakap Samad Perang itu.
Saya harap apa yang diucapkannya itu tidak akan menjadi kenyataan.
“Kau bergurau atau sungguh-sungguh,” tanya Datuk.
“Apa yang dicakapkannya tu betul, saya dah pergi ke Kuala Lumpur, saya
sudah menandakan tanah untuk dibuat rumah, anak saudara saya yang buat semuanya
ini,” jawab isteri Samad Perang.
“Di mana? Di Kuala Lumpur tu luas,” soal Datuk lagi.
“Di Kampung Nakhoda, dekat Batu Caves, pacak rumah dulu, sementara nak
bertapak, malam saya nak jual mee, siang Samad menjual ikan dan sayur di pasar
Selayang,”
“Banyak modalnya itu.”
“Anak saudara yang keluarkan modal dulu,” tambah isteri Samad Perang.
Beberapa bulan kemudian, Samad Perang dan isterinya pindah ke Kuala
Lumpur. Berita terakhir yang saya dengan dari kawan-kawannya, Samad Perang
sudah menjadi ahli perniagaan yang berjaya di Kampung Nakhoda. Tanah haram yang
didudukinya, sudah menjadi miliknya sendiri. Dia mendirikan rumah batu dua
tingkat. Samad Perang banyak menghabiskan masa lapangnya di masjid.
Saya gembira mendengar berita itu dan berharap Samad Perang tidak akan
jatuh dalam dunia perniagaannya, kalau dia jatuh, saya bimbang dia akan membuat
kerja lamanya menyembah tunggul dan pokok-pokok besar untuk meminta nombor
ekor.
“Allah memberikan jalan yang baik untuknya, semoga dia akan jadi manusia
yang berguna pada agama, saya senang dengan cara saya mencari rezeki dengan
memanjat bukit untuk mencari rotan,” kata Mamat Bukit, bila dia mendengar
berita tentang kawan karibnya itu.