Mamat Bukit Yang Gagah
Saya dan Datuk berpandangan, tahulah kami sebelum kami tiba ke situ,
mereka terlebih dahulu sampai.
"Lagi apa yang kau dapat?", tanya Mamat Bukit pada Dollah
Beranggas sambil merenung muka Samad Perang. Mereka berbalas senyum. Dengan
tenang Dollah Beranggas mengeluarkan seluar dan baju kelabu yang ada tanda
tentera di dadanya. Dia juga mengeluarkan beberapa kerongsong peluru.
"Ini baju dan seluar dalam perempuan. Aku jumpa tiga keping
gambar”, Dollah memberikan gambar-gambar itu pada Datuk. Habis saja Datuk
melihatnya diserahkan pada saya. Saya lihat gambar itu dengan tenang, dua
keping gambar menunjukkan dua orang lelaki bersama keluarganya, manakala yang
sekeping lagi gambar seorang gadis bersama orang tuanya. Saya kira lelaki tua
itu ayahnya.
"Saya fikir barang-barang ni membahayakan diri kita. Kalau kita
tertembung dengan orang dalam (komunis) kita akan ditahan, dan kita tak boleh
mencari rotan di sini”, ujar Mamat Bukit.
"Apa yang nak ditakutkan? Kita jumpa dari bangkai kapal terbang.
Orang dalam tu sendiri tentu sudah jumpa lebih dahulu dari kita. Aku ingat
orang-orang yang ada di dalamnya sudah dibunuh”, Dollah Beranggas bersuara.
Dia terus memberitahu Datuk yang dia dan kawan-kawannya pernah melihat
sebuah kapal terbang berlegar-legar rendah di kawasan hutan Bubu, Senggeng,
kemudian terus hilang.
"Aku melihatnya dari Kampung Cangkat pada satu petang kira-kira
tiga bulan yang lalu, dan sekarang kita sudah jumpa”, tambah Dollah Beranggas
lagi. Dia enggan memenuhi permintaan Mamat Bukit yang mahu semua barang-barang
itu dibakar.
"Demi keselamatan diri kita, ada baiknya kita bakar”, kata Datuk.
Dan cakap Datuk itu segera dipatuhi. Selepas menunaikan sembahyang Maghrib,
semua barang-barang itu jadi bahan unggun api. Rasa sedih dan hampa terbayang
di wajah Samad Perang dan Dollah Beranggas.
Kira-kira dua belas malam, bangsal tempat kami berteduh bergegar, macam
digoncang orang. Datuk yang sedang wirid membaling tasbih segera membangunkan
Mamat Bukit dan Mamat Bukit memerintahkan kawan-kawannya memeriksa setiap
penjuru bangsal. Tidak terdapat tanda-tanda kesan orang atau binatang liar yang
datang ke situ. Keadaan begini mendatangkan rasa cemas di hati saya.
"Tiga batang rotan semambu saya hilang”, Datuk mengadu kepada Mamat
Bukit yang masih tercegat di depan bangsal. Wajah Mamat Bukit saya lihat cemas
sedikit.
"Di mana awak letak?"
"Saya letak dekat hujung lutut."
"Awak dah cari?"
"Nak cari apa, masa bangsal ni bergoyang rotan semambu masih ada
lagi di situ tak sampai seminit rotan semambu itu hilang dari mata.
Mamat Bukit terdiam mendengar penjelasan dari Datuk. Dengan lampu picit
berubat (bateri) lapan, Mamat Bukit menyuluh tempat Datuk meletakkan rotan
semambunya. Datuk menepuk dahi dua tiga kali, rotan semambunya masih berada di
situ. Bila Datuk mahu menjamahnya, Mamat Bukit segera menahannya.
“Jangan, kita tengok dulu”, kata Mamat Bukit tanpa mengubah pancaran
cahaya lampu picit nya. Tiga batang rotan semambu itu bergerak-gerak dan
bertukar warna dari hijau menjadi merah, hitam dan kuning macam tembaga. Dalam
beberapa saat pula bertukar menjadi ular tedung yang kepalanya menghala pada
kami. Mamat Bukit terus melompat dan menyambar ranting pokok berdaun hijau di
sisinya.
Daun dan ranting dihumbankan pada rotan semambu yang menjadi ular.
Ketika ranting dan daun hijau mengenai rotan semambu, saya terlihat satu
pancaran cahaya macam kilat yang datang dari arah kanan bangsal, rotan semambu
milik Datuk kembali pada keadaan asalnya.
“Ganjil”, kata Datuk.
"Ganjil pada awak, pada kami tidak. Hal semacam itu selalu terjadi
pada pencari rotan”, dedah Mamat Bukit lalu mengajak saya dan Datuk duduk
berlonggok dengan kawan-kawannya.
"Kalau awak nak tahu itulah penunggu rotan”, tiba-tiba Udin Candung
bersuara. Kata-kata itu ditujukan pada Datuk.
"Itu syaitan”, balas Datuk.
"Bukan. Itu penunggu”, sahut kawan-kawan Mamat Bukit serentak.
Mereka seolah-olah tidak mahu menerima dengan apa yang diucapkan oleh Datuk.
Saya lihat Datuk tersenyum. Dia tidak marah bila orang tidak mahu menerima
pendapatnya. Kerana takut berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi,
satu keputusan telah diambil. Semua yang ada di situ tidak boleh tidur
serentak. Datuk terkecuali dari keputusan itu kerana dia sudah pun tidur
selepas menunaikan sembahyang Isyak, kira-kira dua jam lamanya. Sekarang, Datuk
memutuskan untuk berjaga sampai pagi sambil membaca ayat-ayat suci.
"Awak boleh pilih sama ada mahu berjaga atau tidur”, kata Mamat
Bukit pada saya sambil tersenyum. Kerana memikirkan berjaga lebih selamat dari
tidur, saya memutuskan untuk berjaga macam Datuk. Ternyata Mamat Bukit senang
dengan keputusan itu.
"Kau orang tidur dulu, biar aku sama Dollah Beranggas berjaga. Bila
aku kejut kau orang mesti bangun”, beritahu Mamat Bukit pada Udin Candung dan
Samad Perang. Tidak ada bantahan daripada orang yang menerima arahan. Udin
Candung dan Samad Perang pun merebahkan badan masingmasing.
Sudah setengah jam masa berlalu. Dollah Beranggas tidak mampu berjaga.
Atas rasa kasihan Mamat Bukit mengizinkan Dollah Berangas tidur. Tinggallah
saya dan Mamat Bukit menghadapi unggun api. Datuk tidak menghiraukan kami, dia
tetap dengan tugasnya membilang tasbih dan membaca ayat-ayat suci dalam
bangsal. Saya terhibur dengan cerita-cerita yang diungkapkan oleh Mamat Bukit
tentang pengalaman-pengalaman aneh yang dialaminya ketika bermalam dalam hutan.
Semua cubaan dan rintangan itu dapat diatasinya. Berdasarkan pada
cerita-cerita itu, saya segera membuat kesimpulan bahawa Mamat Bukit bukanlah
calang-calang orangnya. Menurutnya, gelaran Bukit di hujung namanya itu diberi
oleh penduduk-penduduk kampungnya kerana kepandaiannya menguasai puncak bukit
serta tahu nama-nama bukit di daerahnya. Memang seronok bercakap atau berborak
dengan Mamat Bukit, masa yang berlalu tidak terasa sama sekali.
"Cahaya”, jerit saya bila melihat cahaya api itu datangnya dari
salah satu puncak gunung dari barisan Banjaran Titiwangsa. Saya perhatikan
cahaya itu menuju ke arah kami.
"Bertenang”, bisik Mamat Bukit pada saya.
Mamat Bukit pun bangun. Berdiri sambil merenung tajam ke arah cahaya
itu. Dia meluruskan tangan kanannya ke arah cahaya itu. Kelima-lima jarinya terkembang
macam menahan sesuatu. Dalam beberapa detik kelima-lima jarinya bergerak macam
orang memulas buah kelapa.
"Puhhhhhh...”, katanya sekuat hati. Saya lihat cahaya sebesar bola
tenis bagaikan pecah, berserakan di udara dan akhirnya hilang entah ke mana.
Dahi Mamat Bukit berpeluh dan dia terus jatuh. Dalam beberapa minit saja dia
bangun kembali. Mungkin kerana kedinginan dia terus merapatkan badannya ke
unggun api. Datuk masih lagi dengan tugasnya. Dengkur kawan-kawan yang tidur
bertambah kuat. Lagi sekali saya terkejut, apabila seekor lembu jantan berwarna
putih berdiri di sebelah kanan Mamat Bukit, sambil ekornya memukul badannya.
Bila Mamat Bukit bergerak, lembu itu dengan tiba-tiba bersuara, jadi marah dan
merenung ke arah saya dan Mamat Bukit.
Belum pun sempat saya dan Mamat Bukit berbuat sesuatu, lembu itu terus
mengelilingi unggun api beberapa kali. Akhirnya, lembu itu naik minyak dan
menyerang apa saja yang terdapat di sekelilingnya. Dua tiga kali lembu itu mahu
melanggar saya. Kalau tidak kerana kecekapan Mamat Bukit mempertahankan diri
saya dengan gerak dan langkah silatnya yang tangkas, sudah pasti badan saya
hancur dipijak lembu tersebut.
"Kau ke sana”, Mamat Bukit menolak badan saya dari berpaut padanya.
Saya terdorong agak jauh juga dari unggun api. Rupanya Mamat Bukit menggunakan
kepintarannya, dengan berbuat demikian lembu yang sedang naik minyak itu akan
menyerang saya. Dalam saat begitu memberi kesempatan pada Mamat Bukit melakukan
sesuatu. Ketika lembu itu memburu saya, Mamat Bukit terus menyambar ekor lembu
dan terus dipulasnya dengan sekuat hati. Mamat Bukit dan lembu memperadukan
tenaga. Dalam pertarungan itu Mamat Bukit lebih hebat, lembu itu tidak terdaya
menarik batang tubuh Mamat Bukit. Lembu itu terus jatuh dan hilang, tanah tempat
lembu itu jatuh berasap dan berlubang. Seluruh badan Mamat Bukit dibasahi peluh
dan nafasnya tercungap-cungap.
"Tempat ni memang keras”, rungut Mamat Bukit sambil merenung lubang
yang berasap. Sebelum saya mengajukan sebarang pertanyaan pada Mamat Bukit,
lubang yang berasap itu terus menjadi rata tanpa meninggalkan sebarang kesan.
"Saya mesti mengadakan semah atau jamuan di tempat ini”, Mamat
Bukit lalu menandakan tempat itu dengan sebatang kayu yang bercabang dua. Salah
satu cabang itu Mamat Bukit ikatkan dengan kain warna hitam.
Mamat Bukit terus duduk bersila di situ, badannya terus menggeletar,
suaranya juga berubah parau dan kasar, kemudian bertukar macam suara orang
perempuan. Mamat Bukit terus menghempas-hempaskan badannya di bumi, macam ayam
kena sembelih. Kelakuan Mamat Bukit itu mengejutkan kawan-kawannya yang sedang
tidur. Mereka terus menerkam ke arah Mamat Bukit yang tidak sedarkan diri.
Samad Perang terus mencangkung di depannya.
"Hai Datuk penunggu, kenapa anak cucu yang mencari makan di sini
diganggu?”, kata Samad Perang. Mamat Bukit yang berguling-guling atas tanah
berhenti berguling, terus duduk mencangkung sambil menekankan mulutnya ke bumi.
Saya lihat bibirnya penuh dengan tanah.
"Datuk mahu makan? Boleh kami beri”, sambung Samad Perang.
"Ya, kambing jantan warna putih, disembelih, tujuh sikat pisang
emas”, balas Mamat Bukit dalam suara seorang perempuan, Mamat Bukit terus
menggilai.
"Lagi apa tuk penunggu mahu?"
"Adakan jamuan itu pada tiap-tiap tahun, nanti kau orang senang
mencari rezeki di sini."
"Baik Datuk penunggu."
"Ingat pesan aku."
Begitulah lebih kurang percakapan Samad Perang dengan penunggu rotan
yang meresap ke dalam diri Mamat Bukit. Bila percakapan itu selesai, Mamat
Bukit pun pulih seperti biasa. Datuk tidak campur tangan dalam urusan tersebut.
Pagi itu, setelah Datuk menunaikan sembahyang Subuh serta mandi embun,
barulah Datuk bertanya pada Mamat Bukit tentang peristiwa yang dialaminya pada
sebelah malam. Datuk mengakui tentang kehebatan Mamat Bukit, menurut Datuk
kalau calang-calang orang tidak mungkin boleh berhadapan dengan kejadian yang
aneh itu. Nampaknya Mamat Bukit kurang senang dengan pujian yang diberikan oleh
Datuk.
"Saya buat apa yang saya tahu”, beritahu Mamat Bukit pada Datuk.
"Dari mana kau belajar semuanya ini Mamat?"
"Dari arwah orang tua saya."
"Cuma ada satu saja yang cacatnya dalam perkara ini."
Saya lihat muka Mamat Bukit segera berubah. Dia bagaikan terkejut
menerima kata-kata Datuk yang tidak diduga sama sekali terkeluar dari mulut
Datuk. Dengan pandangan yang tajam dia merenung muka Datuk lama-lama.
"Apa maksud dengan cacat yang awak katakan?”, soal Mamat Bukit.
"Saya tahu, ayah awak memang handal di hutan, saya berkawan
dengannya. Saya merasa megah kerana awal sedikit sebanyak dapat ilmu darinya.”
"Lagi?"
"Sejak semalam saya belum melihat awak bersembahyang sebagai tanda
bersyukur pada pemberianNya, awak menerima rezekiNya, tapi awak tidak pernah
mengingatinya. Maafkan saya kalau tersinggung, sebagai seorang Islam saya cuma
mengingatkan awak. Saya tidak memaksa”, dengan tenang Datuk bersuara. Mamat
Bukit tersenyum. Dan Mamat Bukit tidak mahu memperkatakan perkara yang Datuk
sebutkan itu. Dia mengalih persoalan pada penunggu rotan semambu yang mahukan
kambing putih, secara tidak langsung dia membebankan masalah itu pada diri
Datuk, cara halis dia seolah-olah mahukan Datuk mengadakan kambing putih itu.
Datuk yang mengerti dengan tujuan dan maksud Mamat Bukit itu, menolak
permintaan itu dengan secara terhormat. Dan Mamat Bukit pula tidak merasa hampa
atau kecewa dengan sikap Datuk itu, malah kalau Datuk tidak mahu mengadakan,
dia sendiri akan berusaha hingga perkara yang dijanjikannya itu pasti
terlaksana.
“Usahlah buat kerja membazir tu Mamat. Itu perbuatan syaitan”, kata
Datuk dengan tenang. Mamat Bukit gelengkan kepala beberapa kali.
“Ini janji.”
“Janji dengan Syaitan.”
“Tidak, dengan penunggu”, suara Mamat Bukit mula meninggi. Matanya merah
merenung muka Datuk. Dan kawan-kawannya juga merasa kurang senang dengan
tindak-tanduk Datuk itu.
Dollah Beranggas menghampiri Datuk. Dua kali bahu kanan Datuk
ditepuknya.
“Awak tak usah masuk campur, ini urusan kami selesaikan sendiri”, kata
Dollah Beranggas.
“Tapi perbuatan itu tak kena pada tempatnya, bertentangan dengan hukum
agama Islam.”
“awak tahu, bila hajat penunggu ditunaikan, rotan akan menjadi-jadi dan
rezeki kami akan bertambah.”
Datuk menggigit bibir, muka Dollah Beranggas direnungnya. Saya lihat
Mamat Bukit, Samad Perang dan Udin Candung tersenyum sinis pada Datuk.
“Kerja mengarut.”
“Mengarut pada awak, pada kami tidak”, sahut Mamat Bukit. Datuk terus
membisu dan beredar dari situ menuju ke belakang bangsal. Tidak siapa yang tahu
kenapa Datuk pergi ke belakang bangsal.
Saya tahu, Datuk kurang senang dengan peristiwa yang terjadi, begitu
dengan Mamat Bukit dan kawan-kawannya. Mereka merasakan kehadiran Datuk dalam
kumpulan mereka tidak mendatangkan manfaat yang besar. Samad Perang secara
terang-terangan menyalahkan Mamat Bukit yang membenarkan Datuk ikut serta dalam
kumpulan mereka. Mamat Bukit tetap mempertahankan apa yang dibuatnya itu memang
kena pada tempatnya.
Mujurlah perbalahan kecil yang terjadi antara mereka tidak sampai
didengar oleh Datuk. Kalau Datuk dengar sudah tentu perasaannya tersinggung.
“Jangan beritahu pada Datuk awak, apa yang awak dengar...”, Mamat Bukit
mengingatkan saya. Tanpa berfikir panjang saya anggukkan kepala.
Matahari pagi kian meninggi, jalur sinarnya memanah pada daun-daun
kering di bumi. Mamat Bukit dan kawan-kawannya sudah pun memikul gulung rotan
ke atas bahu masing-masing. Bersedia untuk pulang.
“Macam mana ni? Kita balik ikut jalan kita datang atau ikut jalan
lain?”, Udin Candung bersuara.
“Ikut jalan datang”, balas Samad Perang.
Saya merasa kagum dengan tenaga yang dimiliki oleh mereka. Walaupun
tubuh badan mereka agak kecil, tetapi mereka mampu memikul gulung (berkas)
rotan yang berat untuk meredah hutan dan paya.
“Nanti dulu, sahabat saya belum bersedia”, suara Mamat Bukit meninggi.
Dan kawan-kawannya terpaksa meletakkan kembali gulung rotan di bahu ke tanah.
Semua biji mata kawan-kawan Mamat Bukit merenung pada Datuk yang muncul dari
belakang bangsal. Dia tangan kanannya ada sebatang kayu sebesar ibu jari kaki.
“Buat apa kayu tu?”, tanya Mamat Bukit.
“Buat tongkat, waktu turun dari bukit.”
“Saya dah bertahun masuk hutan, tak pernah bawa kayu bila turun bukit.”
"Itu awak, sudah biasa. Saya tak pandai."
Kawan-kawan Mamat Bukit terus ketawa mendengar jawapan dari Datuk itu.
Datuk terus mengambil rotan semambunya dalam bangsal. Tiba-tiba Datuk berpatah
balik, mukanya nampak cemas.
"Kenapa?", soal Mamat Bukit.
"Ular tedung dekat rotan semambu saya."
"Itulah, awak tak percaya pada penunggu. Sekarang apa dah jadi?”,
cara mendadak saja Samad Perang bersuara yang diakhiri dengan senyum menyindir.
"Jangan timbulkan masalah lagi”, Mamat Bukit menengking Samad
Perang dan di wajahnya terpamer rasa kesal atas tindakan Mamat Bukit itu.
Mamat Bukit terus mengajak Datuk ke tempat rotan semambu. Saya pun ikut
serta. Apa yang dikatakan oleh Datuk itu memang benar. Seekor ular- tedung
berlingkar atas batang rotan semambu milik Datuk. Bila mendengar bunyi tapak
kaki kami, ular itu bergerak-gerak dan panggungkan kepala. Sebenarnya, kalau
Datuk tidak memanggil Mamat Bukit pun masalah itu boleh diatasi. Datuk boleh
mengusir ular itu dengan kayu atau membunuhnya. Ada masalah yang lebih besar
dari itu Datuk boleh menyelesaikannya, kenapa masalah sekecil ini Datuk
memerlukan tenaga orang lain? Tindak-tanduk Datuk itu menimbulkan tanda tanya
pada diri saya sendiri. Apakah muslihat Datuk yang sebenar? Apakah dia mahu
menguji kemampuan diri Mamat Bukit atau sekadar mahu tahu sejauh mana Mamat
Bukit mempercayai perkara tahyul.
Mamat Bukit hulurkan tangan kirinya pada ular itu. Saya lihat badan ular
itu bergerak cepat lalu mematuk tangan Mamat Bukit. Aneh, Mamat Bukit masih
tersenyum dan terus menangkap kepala ular. Dengan ibu jari dan telunjuk dia
menekan rahang ular hingga mulutnya terbuka. Siung (gigi) ular jelas kelihatan.
Mamat Bukit tekan siung ular itu pada kayu keras hingga siungnya mengeluarkan
air jernih yang agak kental.
"Itu bisa ular”, bisik Datuk pada saya.
Ular di tangan Mamat Bukit jadi lemah. Mamat Bukit melemparkan ular itu
ke dalam hutan tebal. Dengan telapak tangannya, Mamat Bukit mengambil bisa ular
yang jatuh atas daun kering dan digosokkan pada kedua belah tangannya.
"Dengan cara ini saya akan kebal dari sebarang bisa ular”, beritahu
Mamat Bukit pada Datuk.
"Kau memang hebat Mamat."
"Sebenarnya begini, saya belajar perkara ini semasa saya berada di
Siam."
"Macam mana awak boleh ke sana?"
"Panjang ceritanya. Saya ditangkap oleh tentera Jepun dan jadi
buruh kereta api maut, saya lari dari kem. Berbulan-bulan duduk dalam hutan.
Masa itulah saya berjumpa dengan seorang sami”, Mamat Bukit berhenti bercerita.
"Apa yang awak buat dengan sami tu?"
"Dialah yang mengajar saya ilmu ini, tetapi, sebelum itu saya
terpaksa makan hempedu ular yang bisa."
"Begitu”, keluh Datuk sambil mengerutkan dahi.
Mamat Bukit terus menepuk-nepuk belakang saya berkalikali. Datuk terus
melihat kawasan sekeliling.
"Jadi ular tadi bukan ular penunggu?", saya bertanya padanya.
"Bukan”, sahut Mamat Bukit lalu menyuruh Datuk mengambil rotan
semambu.
Datuk terus ambil rotan semambu, kemudian kami pun menuju ke kawasan
lapang depan bangsal. Samad Perang, Udin Candung dan Dollah Beranggas masih
duduk mencangkung di situ.
“Mari, kila beredar sekarang”, Mamat Bukit mengeluarkan perintah.
Kawan-kawannya bangun serentak dan meletakkan gulung rotan ke atas bahu
masing-masing. Mamat Bukit jadi kepala jalan. Datuk berada di belakang sekali.
Baru dua tiga rantai melangkah, Mamat memerintahkan kami berhenti.
"Tak seronok rasanya, kawan kita berada di belakang sekali. Kenapa
tak ke depan dekat saya”, kata-kata itu Mamat Bukit tujukan pada Datuk.
"Tak apa, biarlah saja jadi ekor jalan."
"Bukan apa-apa, kalau bercerai nanti saya takut awak sesat."
"Dengan izin Allah, saya tak sesat."
Mamat Bukit puas hati dengan penjelasan Datuk itu. Dia meneruskan
perjalanan. Orang yang paling resah sekali dengan sikap Datuk itu ialah Samad
Perang. Dia seolah-olah tidak mahu Datuk berada di belakangnya. Kalau boleh
biarlah Datuk berada di depannya. Kenapa Samad Perang bersikap demikian? Saya
sendiri pun tidak tahu. Badan saya mula berpeluh, saya kira orang-orang lain
dalam perjalanan juga berpeluh. Kami sudah pun menuruni tiga buah bukit yang
curam. Setiap kali turun bukit saya pasti jatuh kerana tidak pandai mengimbangi
badan. Satu hal yang pasti, dalam perjalanan itu kami tidak banyak bercakap,
kecuali ada hal yang penting.
"Sial”, pekik Samad Perang sambil membuangkan gulung rotan di bahu.
Samad Perang terus mencabut golok perak dan mencantas semua pokok-pokok
kecil di kelilingnya. Rambutnya yang digunting pendek kelihatan tegak macam
bulu landak, biji natanya mula merah. Kata-kata yang lahir dari mulutnya tidak
menentu dan curang jelas, sukar untuk memahami dengan apa yang dituturkannya.
"Buat bulatan keliling dia. Kalau dia mahu lari, tangkap”, Mamat
Bukit mengeluarkan arahan. Arahan itu segera dipatuhi. Samad Perang terus
mengamuk, tidak ada seorang pun yang berani menghampirinya.
"Siapa berani sila rapat, aku keluarkan isi perut kamu semua”,
suaranya meninggi. Golok perak terus diacu-acukan pada kami yang
mengelilinginya. Samad Perang gulingkan badan atas tanah. Habis semua
pokok-pokok renek di situ dilanggarnya. Aneh, bajunya tidak koyak, badannya
juga tidak luka.
"Aku mahu kambing jantan putih”, suara Samad Perang berlainan benar
kali ini. Parau dan garang. Dia cuba merempuh bulatan yang kami buat. Dalam
masa kelam kabut itu, Mamat Bukit terus mencabut sebatang pokok kecil. Badan
Samad Perang dipukulnya bertalu-talu. Pukulan itu tidak mendatangkan sebarang
kesan pada Samad Perang. Malah, Samad Perang bertambah berang. Kekuatan yang
diperlihatkannya amat luar biasa sekali. Mamat Bukit tidak boleh menahan sabar
lagi, bila Samad Perang menendang perut Udin Candung hingga termuntah-muntah.
Udin Candung tersungkur di bumi.
Mamat Bukit segera bertindak. Dia melompat tinggi dan melepaskan satu
tendangan kencang di bahu kanan Samad Perang. Samad Perang tergolek di bumi.
Mamat Bukit terus mengikat kedua belah tangan dan kaki Samad Perang dengan
rotan. Kemudian dia menyuruh Dollah Berangas dan Udin Candung membuat
pengusung. Cukup cepat mereka bekerja. Tidak sampai satu jam, pengusung pun
siap.
"Nampaknya kita terpaksa pikul sampai ke rumah”, kata Mamat Bukit.
Bagi memastikan Samad Perang tidak melompat dari pengusung, badannya diikat
dengan rotan pada gelegar pengusung. Mamat Bukit dan Dollah Berangas di depan,
Udin Candung dan Datuk di belakang. Saya terkecuali dari tugas itu, tetapi,
saya terpaksa memikul tiga batang rotan semambu milik Datuk. Tiga batang rotan
semambu bukanlah berat sangat, tetapi, rotan semambu yang saya pikul ini
beratnya agak aneh, macam berat seguni padi.
Saya teringat pesan Datuk. Katanya, bila hati merasa cemas atau sangsi
terhadap sesuatu bacalah ayat Kursi. Hal itu segera saya lakukan. Rotan semambu
yang terasa berat itu menjadi ringan kembali.
Memikul manusia dalam hutan bukanlah satu perkara yang mudah. Kerana
semangat setia kawan yang kental, kerja yang sukar itu menjadi senang.
Lebih kurang pukul dua petang, pengusung yang membawa Samad Perang
terdampar di halaman rumahnya. Kaum keluarganya jadi gempar. Ada yang menangis
dan ada yang meratap. Pada sangkaan mereka Samad Perang sudah meninggal dunia.
Bila keadaan sebenar dijelaskan oleh Mamat Bukit, suasana menjadi aman dan
tenang. Samad Perang dibawa ke dalam rumah dan dibaringkan di ruang anjung.
Semua ikatannya dibuka. Mamat Bukit meraba pangkal lehernya lalu menekan salah
satu urat di situ.
Samad Perang membukakan kedua belah kelopak matanya. Dia senyum seketika
dan lepas itu dia terus melompat dan bertempik, semua barang yang ada berada di
anjung habis ditendangnya. Samad Perang menjelirkan lidahnya macam anjing
kehausan. Dan sepasang matanya yang merah merenung tajam ke wajah isterinya
yang berdiri tidak jauh darinya. Gerakannya cukup pantas, dengan sekelip mata
sahaja dia menerkam ke arah isterinya dan terus mencekik leher isterinya.
Mamat Bukit segera bertindak. Dia melepaskan satu penumbuk kencang di
dagu Samad Perang. Saya lihat Samad Perang terus jatuh. Udin Candung terus
memapah isteri Samad Perang dalam keadaan separuh sedar dan pengsan ke ruang
tengah rumah. Beberapa orang perempuan terus memberi rawatan kilat pada isteri
Samad Perang.
Di luar dugaan, Samad Perang yang kena penumbuk kencang itu boleh bangun
dengan segera dan terus menyerang Mamat Bukit. Datuk, Udin Candung serta Dollah
Berangas terus menangkap Samad Perang tetapi,usaha itu gagal.
Samad Perang terlalu gagah. Dengan sekali pusing sahaja ketiga-tiga
orang itu terhumban atas lantai anjung rumah. Dahi Udin Candung berdarah kena
tiang. Bibir Dollah Beranggas pecah kena lantai. Pangkal kening Datuk bengkak
kena penumbuk. Mamat Bukit berhempas mahu melepaskan dirinya dari pelukan Samad
Perang. Setiap kali Samad Perang menggigit tubuhnya, muka Mamat Bukit berkerut
menahan kesakitan. Darah membasahi baju Mamat Bukit. Satu pemandangan yang amat
ngeri bagi diri saya.
"Tolong saya, tangkap dia”, jerit Mamat Bukit. Dengan serentak
Datuk dan Dollah Beranggas memeluk tubuh Samad Perang dari belakang.
Kedua-duanya kena penendang, tersungkur atas lantai. Udin Candung pula
bertindak dan mengalami nasib yang sama.
"Kita tangkap kakinya”, Dollah Beranggas beri cadangan.
"Ya, mari kita cuba”, jawab Udin Candung.
"Satu cara yang baik”, sahut Datuk.
Serentak mereka bertiga memaut kaki Samad Perang dan Samad Perang pun
rebah. Mamat Bukit berjaya melepaskan dirinya dan terus memeluk tubuh Samad
Perang.