Bomoh Terjun
Datuk terus memulas kedua belah tangan Samad Perang ke belakang. Udin
Candung pula memegang kedua belah kaki. Mamat Bukit terus duduk di atas belakang
Samad Perang.
“Dollah kau ambil rotan,” Mamat Bukit beri arahan pada Dollah Beranggas.
Cepat-cepat Dollah Beranggas melompat ke tanah dan segera naik ke rumah bersama
segulung rotan.
Tanpa membuang masa, Dollah Beranggas buka gulung rotan dan terus
mengikat kedua belah pergelangan kaki Samad Perang.
“Rotan. Aku nak ikat tangannya, cepat sikit Dollah,” Dollah pun
melemparkan rotan pada Mamat Bukit. Kedua belah tangan Samad Perang pun terus
diikat.
Samad Perang terkapar di situ, nafasnya tercungap-cungap macam ikan atas
daratan.
Mungkin kerana letih membuat Datuk, Mamat Bukit, Udin Candung dan Dollah
Beranggas tersandar di dinding rumah.
“Kita tak boleh membiarkan dia begitu, kesian dan tak elok pada mata
orang lain, macam kita tak berakal sangat,” kata Datuk pada Mamat Bukit.
“Habis apa yang patut kita buat?, Kalau kita buka ikatannya nanti dia
membunuh orang lain.”
”Bagaimana, kalau kita rantaikan kakinya pada tiang seri.”
“Betul juga cakap awak, kita kena berunding dengan kaum keluarganya
dulu.”
“Terpulanglah pada awak Mamat.”
Mamat Bukit pun menemui keluarga Samad Perang. Setelah berunding Mamat
Bukit menyuruh Dollah Berangas mencari rantai besi dan kunci. Dollah Beranggas
segera akur dengan permintaan Mamat Bukit itu. Setengah jam kemudian, Dollah
Beranggas kembali ke rumah dengan membawa rantai besi serta ibu kunci tembaga.
Semuanya diserahkan pada Mamat Bukit.
“Di mana kamu dapat barang-barang ni Dollah?” Soal Mamat Bukit.
“Rantai besi dan kunci tu, saya pinjam dari Haji Ishak.”
“Macam rantai pengikat sampan (perahu) rupanya.”
“Ya, memang rantai pengikat sampan, kunci tembaga tu kunci peti
duitnya.”
“Habis sekarang peti duitnya tak berkuncilah Dollah?”
“Duitnya memang tak ada, dia simpan petinya saja,” kata Dollah Beranggas
sambil tersenyum.
Samad Perang pun diangkat berhampiran tiang seri, kakinya terus
dirantai, dan dikunci. Rotan yang mengikat kaki dan tangannya pun dibuka. Samad
Perang terus bangun sambil meronta-ronta.
“Lepaskan aku, lepaskan aku, aku nak kambing putih, aku nak balik ke
bukit,” jerit Samad Perang dengan lantang.
Pinggan berisikan nasi yang dihulurkan oleh isterinya terus
dipecahkannya dan nasinya dipijak-pijak. Jiran-jiran yang melihat kejadian aneh
itu, ada yang geleng kepala dan ada pula yang menangis penuh simpati. Beberapa
orang dukun yang cuba mengubati semuanya kena maki hamun dari Samad Perang. Dan
Datuk tidak dapat berbuat apa-apa dalam masalah ini, Datuk merasakan apa yang
terjadi pada diri Samad Perang memang ganjil sekali.
“Pelik, sungguh tadi elok sihat tiba-tiba ini jadinya,” keluh Datuk.
“Bukan apa-apa tu, kena sampuk penunggu bukit,” celah Mamat Perang.
“Penunggu?”
“Ya, apa awak tak percaya? Awak dah tengok sekarang.”
Datuk menggigit kuku di jari manis. Dia agak enggan mahu mengakui
kebenaran kata-kata akhir dari Mamat Bukit itu. Dan Mamat Bukit bagaikan tahu
kesangsian yang bermain dalam diri Datuk.
“Kau tidak percaya pada penunggu?”
“Susah nak aku cakapkan, terus terang aku katakan pada kamu Mamat, ini
semuanya kerja syaitan.”
“Terpulanglah, tak usah kita bertengkar fasal ini, apa yang mesti kita
fikirkan bagaimana mahu memulihkan diri Samad Perang.”
“Ya, memang betul cakap kau.”
Mamat Bukit dan Datuk berbalas senyum. Secara spontan Mamat Bukit minta
Datuk mengubatinya. Tetapi, Datuk menolaknya dengan alasan dia tidak mampu.
Samad Perang yang dirantai kakinya terus menjerit sambil menumbuk-numbuk dada.
Dia berusaha mahu memutuskan rantai besi, untuk lari ke hutan. Tiang seri dari
kayu cengal terus di gegarnya.
Kerana kedudukan tiang seri itu teguh dan dipasak dengan baji kayu jenis
keras, membuat tiang itu tidak bergerak walau sedikit pun.
“Saya balik dulu Mamat,” bisik Datuk pada Mamat Bukit.
“Silakan. Tapi esok macam mana?”
“Saya tak faham cakap awak.”
“Mudah saja, pagi esok kami nak ke hutan menghantar kambing jantan putih
serta membuat semahan atau jamuan untuk penunggu.”
“Saya tidak mahu subahat dengan kerja-kerja yang bercanggah dengan
ajaran agama Islam Mamat.”
“Tak apalah, awak jangan menyesal kalau penunggu kacau awak.”
“Saya serahkan pada Allah yang maha besar.”
Saya dan Datuk pun meninggalkan rumah Samad Perang yang jaraknya dengan
rumah Datuk kira-kira dua batu lebih. Bersama sinar matahari petang yang kian
menurun, terdengar sayup-sayup jeritan Samad Perang. Sampai di rumah Datuk
terus menyelitkan rotan semambunya di gelegar rumah. Bila saya tanya kenapa
Datuk tidak membawa masuk ke dalam rumah. Datuk hanya memberi jawapan yang
pendek begini bunyinya:
“Menurut petua orang tua-tua, barang-barang yang diambil dari hutan,
tidak baik dibawa terus ke dalam rumah.”
“Apa sebabnya tuk?”
“Entahlah, tapi itu kepercayaan entah betul entah tidak dan hati aku
ragu-ragu nak bawa masuk.”
Saya puas hati dengan penjelasan yang diberikan, tidak ada pertanyaan
yang mahu saya kemukakan padanya. Dari air mukanya saya dapat menduga bahawa
Datuk begitu kecewa dengan nasib malang yang menimpa diri Samad Perang. Dua
hari kemudian, saya dan Datuk pergi semula ke rumah Samad Perang kembali. Orang
pertama yang ditemui oleh Datuk ialah Mamat Bukit. Mereka bersalaman.
“Permintaan penunggu sudah kami tunaikan,” beritahu Mamat Bukit.
“Macam mana kamu buat?”
“Kami buat ancak, semua barang yang dikehendakinya kami letakkan di
situ, di bawah pokok besar.”
“Kambing jantan putih?”
“Kami sembelih, separuh dagingnya kami bawa balik, separuh lagi kami
tinggalkan di bawah pokok.”
“Kerja membazir,” Datuk terus merungut.
Mamat Bukit ketawa kecil dan memberikan keyakinan pada Datuk yang
penyakit Samad Perang akan sembuh dalam sedikit masa lagi kerana permintaan
penunggu sudah dipenuhi.
Datuk agak keberatan untuk mempercayai jaminan yang diberikan oleh Mamat
Bukit itu.
Dengan ditemani oleh Mamat Bukit Datuk terus menemui isteri Samad
Perang.
“Sudahkah awak berusaha mengubati penyakit suami awak?”
“Sudah dua orang pawang saya panggil, semuanya gagal.”
“Awak tak mahu bawa ke rumah sakit?”
"Kalau dibawa ke rumah sakit, suami saya akan dihantar ke rumah
sakit otak di Tanjung Rambutan, saya mahu berusaha cara kampung.”
“Ya, kita cuba cara kampung dulu,” Datuk memberikan keyakinan pada
isteri Samad Perang.
Datuk pun meninggalkan isteri Samad Perang di situ, baru tiga langkah
Datuk melangkah meninggalkan, isteri Samad Perang segera menghampirinya.
“Malam ni ada bomoh terkenal datang untuk mengubati suami saya.”
“Bomoh dari mana?”
“Dari mana saya tak tahu, anak saudara saya yang uruskan, bayarannya
juga mahal.”
“Berapa?”
“Lima ratus ringgit, tidak termasuk tambang dan makan minumnya, saya
harap awak datang malam ni.”
“Baiklah.”
Malam itu selepas menunaikan sembahyang Isyak, saya dan Datuk terpaksa
menapak sejauh dua batu menuju ke rumah Samad Perang. Ketika kami tiba,
beberapa jiran sudah pun berada di anjung rumah. Semuanya duduk bersila.
Seorang lelaki berbadan tegap yang dipanggil Mahaguru duduk menghadapi mangkuk
perasap yang berisi bara. Dia menaburkan kemenyan atas bara, seluruh ruang
dikuasai bau kemenyan. Satu baldi air tersedia di sebelah kanannya. Lelaki yang
dipanggil mahaguru itu terus bangun, dia membuka langkah silat dan menyeru nama
beberapa pahlawan Melayu, antara nama yang disebutnya termasuklah nama Hang
Jebat. Dia terus menampar muka Samad Perang dan kakinya menyepak badan Samad
Perang. Kemudian dia mengambil baldi yang berisi air. Badan Samad Perang
dijirusnya dengan air. Saya lihat badan Samad Perang menggeletar kesejukan.
Lelaki yang digelar mahaguru itu meletakkan hujung keris yang berluk sembilan
atas dahi Samad Perang.
“Ikut cakap aku,” katanya.
“Saya patuh dengan perintah mahaguru,” jawab Samad Perang.
“Buka kunci dan rantai besi,” suara mahaguru keras.
Rantai besi yang mengikat kaki Samad Perang pun dibuka oleh Mamat Bukit.
Mahaguru terus duduk berhadapan dengan Samad Perang yang kelihatannya terlalu
lemah dan mengikut apa sahaja perintah yang dikeluarkan oleh mahaguru. Beberapa
orang jiran berbisik sama sendiri memuji kehandalan Mahaguru. Dengan
perlahan-lahan Mahaguru menghembus asap kemenyan ke muka Samad Perang. Mahaguru
terus menepuk lantai dengan tangan kiri. Keris berluk sembilan diletakkan dekat
kepala lutut kiri.
“Bukan apa-apa, dia ditegur jin bukit,” kata mahaguru.
“Apa macam boleh dipulihkan Mahaguru,” tanya isteri Samad Perang.
“Boleh baik, usahkan jin bukit, jin gunung pun boleh saya ajar,” kata
Mahaguru dengan bangga.
Mahaguru pun menentang biji mata Samad Perang. Tiba-tiba Samad Perang
bertempik dan bangun, tempat perasap kemenyan ditendang hingga hancur, bara
bertaburan atas lantai. Keris mahaguru disambarnya, muka mahaguru disepaknya.
Semua orang yang berada di situ terkejut. Dan mahaguru yang mendakwa dirinya bomoh
terkenal jadi kelam-kabut, tanpa berfikir panjang dia terus terjun ikut tingkap
melarikan diri, kain sampingnya tersangkut di tingkap, semua alat-alat
perubatannya habis dipijak-pijak oleh Samad Perang. Bila melihat mahaguru lari
ikut tingkap, jiran-jiran yang berada di situ juga lari bertempiaran, beberapa
orang jiran bengkak di dahi akibat berlaga sama sendiri, saya dan Datuk juga
lari. Keadaan jadi kelam kabut masing-masing mahu menyelamatkan diri. Dalam
keadaan yang tidak menentu itu Samad Perang terus menjerit dan lari menuju ke
hutan di malam yang hitam. Mujurlah Mamat Bukit cepat bertindak dengan memburu
Samad Perang. Mamat Bukit berjaya menangkap Samad Perang dan kedua belah
kakinya dirantai kembali.
Mungkin kerana keletihan membuat Samad Perang tidak melakukan sesuatu
yang ganjil setelah kakinya diikat. Dia terus tidur hingga berdengkur. Lebih
kurang pukul satu malam dia bangun dan meminta nasi. Permintaan itu segera
ditunaikan oleh isterinya. Samad Perang makan tiga pinggan nasi tanpa lauk. Bila
perutnya sudah kenyang dia tidur kembali. Sepanjang malam itu saya, Datuk dan
Mamat Bukit berada di rumah Samad Perang semata-mata memenuhi permintaan
isterinya. Menjelang waktu Subuh, Samad Perang kembali menjerit dan
meronta-ronta di tiang seri. Bila matahari terbit di kaki langit dia terus
tidur. Sebelum meninggalkan rumah Samad Perang pagi itu, Datuk berpesan pada
isterinya supaya berikhtiar mengubati suaminya, walau dengan apa cara
sekalipun. Datuk juga melahirkan rasa puas hatinya pada Mamat Bukit yang
berjanji akan membantu isteri Samad Perang yang sedang dilanda masalah besar
itu.
“Saya tidak akan membiarkan keluarga kawan saya menderita.”
“Baguslah, semoga Allah akan menolong kamu.”
“Saya juga berharap awak tidak membiarkan saya keseorangan.”
“Tidak, carilah saya bila awak memerlukan pertolongan.”
Mamat Bukit senang hati dengan janji yang diberikan oleh Datuk itu.
Mereka terus berjabat tangan. Tetapi Mamat Bukit melahirkan juga rasa kesalnya
atas sikap manusia yang menggelar dirinya sebagai mahaguru itu.
“Hati-hati bila kau mencari orang untuk mengubat kawan kamu Mamat,
sekarang banyak orang menyamar. Ada ilmu setengah cawan mengaku mahaguru.”
“Ya, saya faham. Mahaguru tu sambil dia lari sempat juga dia menyambar
wang dalam mangkuk putih.”
“Itulah manusia Mamat.”
“Kalau tak sanggup mengaku tak sanggup, jangan ambil wang orang, bini
Samad sandar tanah pada ketua kampung nak cari wang sebanyak itu.”
“Lupakan saja tentang itu Mamat, kita cari yang lain.”
“Doakan saya berjaya.”
“Jangan bimbang, saya tetap bersama awak.”
Datuk dan saya pun meninggalkan Mamat Bukit di halaman rumah Samad
Perang.
RUMAH
Sudah dua minggu saya dan Datuk tidak mengunjungi rumah Samad Perang.
Tetapi Datuk tahu segala kegiatan yang terjadi di rumah tersebut. Dollah
Beranggas selalu menemui Datuk dan menceritakan apa yang terjadi. Dari mulut
Dollah Beranggas juga Datuk mendapat tahu, selama dua minggu lima orang bomoh
sudah diundangkan untuk mengubati sakit yang ditanggung oleh Samad Perang.
Semua usaha itu menemui jalan buntu. Masuk minggu yang ketiga, Mamat Bukit
sendiri datang ke rumah Datuk.
“Bagaimana sekarang apa usaha yang telah kamu lakukan Mamat?”
“Macam-macam ikhtiar saya jalankan. Malam ini ada sukarela nak
mengubatinya.”
“Siapa orangnya.”
“Saya tak kenal, kalau awak nak kenal eloklah datang malam ini.”
“Baiklah saya datang nanti.”
Seperti yang dijanjikan, kira pukul sepuluh malam. Saya dan Datuk pun
sampai di rumah Samad Perang. Tidak ada apa-apa peralatan yang disediakan di
ruang tengah seperti tempat perasap kemenyan, mangkuk putih atau sebagainya
yang selalu digunakan oleh bomoh atau dukun bila mengubati orang yang sedang
sakit. Mamat Bukit terus memperkenalkan Datuk dengan seorang lelaki. Orangnya
kurus, memakai songkok hitam yang sudah kuning tepinya. Air mukanya nampak
bersih dan tenang. Datuk terus bersalam dan memperkenalkan diri padanya.
“Dari mana,” bisik Datuk padanya.
“Asalnya orang Parit Jawa, Johor. Sekarang menetap di Cenderung Balai
Teluk Intan.”
“Macam mana boleh datang ke sini?”
“Saya datang ke rumah anak yang jadi guru sekolah di sini, dia minta
tolong ikhtiarkan mengubat orang sakit ganjil.”
“Ada hubungan keluarga dengan orang sakit.”
“Tidak, anak si sakit ini, murid anak saya. Menurutnya budak itu pintar
tetapi, sejak ayahnya sakit sudah lama tak datang ke sekolah.”
“Kerja apa?”
“Saya bersawah dan jadi imam surau.”
Walaupun baru bertemu, saya lihat Datuk dan orang itu sudah cukup mesra,
bagaikan sudah berkenalan bertahun-tahun.
“Silakan kiai,” kata Mamat Bukit.
“Jangan panggil saya kiai, ini terlalu tinggi panggil saja nama biasa,
nama saya Sajono.”
“Minta maaf pak.”
“Tak mengapa, awak tak tahu.”
Sajono bangun dan terus menuju ke tempat Samad Perang. Dia menyuruh
Mamat Bukit membukakan rantai besi yang mengikat kaki Samad Perang. Bila rantai
dibuka, macam diarah-arah oleh sesuatu Samad Perang terus duduk bersila di
hadapan Sajono. Sajono menentang biji mata Samad Perang. Saya lihat mata Samad
Perang tidak berkelip menentang mata Sajono. Makin lama, makin garang sinar
mata Samad Perang. Sajono pun begitu juga. Mereka beradu kekuatan dengan mata.
Badan Samad Perang menggeletar macam menahan benda berat yang terdampar atas
kedua belah bahunya. Sesekali saya terdengar dengan jelas suara Sajono membaca
ayat-ayat al-Quran dari surah Al-Jin. Tiba-tiba Sajono terus jatuh atas lantai.
Biji mata Samad Perang yang merah dan kelihatan agak tersembul itu terus
merenung muka Sajono. Perlahan-lahan Sajono bangun tetapi, tersungkur kembali.
Sajono bangun kembali.
Kali ini dia memperkemaskan duduknya. Wajahnya kelihatan tenang dan
peluh-peluh halus kelihatan berbintik-bintik di kedua belah pipinya yang
berkulit lembut itu. Sajono terus membaca ayat-ayat dari al-Quran. Semua orang
yang ada di situ dapat mendengarnya. Sebabnya, ketika Sajono berikhtiar
mengubati Samad Perang, suasana di ruang anjung agak sepi. Tidak ada seorang
pun yang berani bercakap atau bersuara. Andainya kalu ada sebatang jarum yang
jatuh pun akan dapat didengar, begitulah tenang dan sunyi di ruang anjung.
Semua yang hadir tumpukan seluruh perhatian pada Sajono. Cara Sajono berusaha
berbeza dengan cara-cara yang dilakukan para pawang atau dukun yang datang
mengubati Samad Perang dulu, kebanyakan melompat atau bersilat. Ada pula yang
seperti kemasukan syaitan bercakap tidak tentu arah dan terus tidak sedarkan
diri.
“Memang Sajono ada cara yang tersendiri,” kata hati kecil saya. Dan saya
kira orang-orang yang berada di situ juga akan beranggapan demikian.
Suasana yang sepi itu berkocak juga akhirnya, semua orang yang hadir
terkejut besar. Samad Perang yang tadinya kelihatan gagah dan garang beransur
lemah dan terus rebah atas lantai. Terkapar di situ, macam ayam kena sembelih.
Sajono terus sujud syukur pada Allah yang memberkati usahanya, Sajono terus
merenung wajah-wajah yang ada di situ dengan senyum.
“Bersyukurlah tuan-tuan semua pada Allah yang memberkati usaha saya
ini,” katanya dengan tenang. Mamat Bukit segera menghampirinya.
“Apa sakitnya Pak Sajono.”
“Semuanya ni kerja syaitan.”
“Syaitan?”
“Ya, syaitan. Awak tahu syaitan pada setiap saat berusaha mahu
membinasakan anak Adam, dalam pelbagai bentuk dan cara ada kalanya menyerupai
manusia.
Saya lihat Mamat Bukit menarik nafas panjang, agaknya dia dapat menerima
dengan apa yang dikatakan oleh Sajono itu. Saya dan Datuk berpandangan. Samad
Perang sedar dari pengsan. Sajono menghampirinya. Dua kali Sajono menepuk
bahunya.
“Ikat dia kembali, saya akan datang lagi untuk berusaha menolongnya,”
beritahu Sajono pada Mamat Bukit. Samad Perang pun dirantai semula. Datuk terus
mendekati Sajono.
“Syaitan terlalu kuat mempengaruhi perasaannya,” kata Sajono.
“Apa lagi yang mahu tuan lakukan padanya.”
“Malam besok saya datang lagi, saya mahu menyambung kerja-kerja ini di
rumah anak saya.”
“Memang baik cadangan awak, saya harap awak akan bersama saya malam
esok.”
Datuk dan Sajono berpeluk-pelukan. Dengan diiringi oleh anak saudara
Samad Perang, Sajono melangkah ke tangga. Dari kaki tangga Sajono terus duduk
di atas lanting basikal (bahagian belakang basikal untuk seorang penumpang).
Anak saudara Samad Perang terus kayuh basikal membelah kegelapan malam menuju
ke jalan besar.
“Saya tunggu sampai pagi di sini,” kata Mamat Bukit pada Datuk, bila
Datuk minta diri untuk pulang. Saya dan Datuk terus menapak menuju ke rumah
sejauh dua batu di malam yang mula dingin.
DATANG
Malam itu, saya dan Datuk datang lagi ke rumah Samad Perang. Kami terus
duduk di anjung. Isteri Samad Perang menghidangkan dua cawan kopi untuk kami.
“Minum, kopi bujang aje,” kata isteri Samad Perang.
“Tak apa ini pun sudah seribu rahmat dapat kopi,” balas Datuk bersama
ketawa kecil. Saya merenung permukaan cawan yang berasap nipis.
“Mamat Bukit ke mana?” Tanya Datuk pada isteri Samad Perang yang
kelihatan cengkung dan agak pucat itu tetapi, masih mampu melayan setiap tetamu
yang datang ke rumahnya dengan wajah yang manis.
Senyumnya tidak pernah mati dari bermain dari bibir. Setiap kata yang
diucapkannya membayangkan ketabahan dan keyakinan yang suaminya akan pulih
seperti sediakala.
“Mamat Bukit belum datang lagi, tiap-tiap malam dia berjaga menjaga
suami saya, katanya malam ni dia datang lewat sikit,” ujar isteri Samad Perang.
“Payah mahu mencari kawan yang setia macam dia.”
“Nampaknya, begitulah.”
“Macam mana keadaannya, selepas kami balik malam semalam.”
“Ada kurang sikit cuma, waktu subuh dia menjerit dan meronta-ronta nak
lari masuk ke hutan.”
“Bersabar, berkat usaha dan diizinkan oleh Allah, dia akan sembuh.”
“Saya harap begitu.”
Percakapan Datuk dengan isteri Samad Perang saya ikuti dengan teliti.
Datuk minta izin pada isteri Samad Perang untuk melihat suaminya, permintaan
Datuk itu diperkenankan.
“Tamar kau nak ikut aku?”
“Tak mahu, biar saya tunggu di sini.”
“Tak mahu pun tak apa,” kata Datuk sambil bangun.
Datuk pun melangkah, satu, dua, tiga, masuk langkah yang keempat saya
mula terasa seram. Punggung saya terangkat dari lantai. Bulu tengkuk saya
meremang dengan sendiri. Tanpa membuang masa saya terus mengejar Datuk.
“Kenapa Tamar?”
“Saya seram tuk.”
“Seram? Kau ni penakut sangat,” rungut Datuk sambil menjeling tajam pada
saya.
Isteri Samad Perang tersenyum melihat telatah saya yang agak melucukan
itu.
Datuk menghampiri Samad Perang yang terikat di tiang seri. Kedua belah
kelopak mata Samad Perang bertaut rapat, dadanya kelihatan turun naik, menarik
dan melepaskan nafas macam orang penat selepas melakukan kerja-kerja yang
berat.
“Jangan bangunkan, biar dia tidur,” kata Datuk, bila melihat isteri
Samad Perang mahu mengejutkan suaminya.
Tanpa diduga Samad Perang membuka kedua belah kelopak matanya.
“Kawan awak, ini cucunya,” celah isterinya.
Samad Perang diam. Kedua-dua biji matanya kelihatan merah macam biji
saga. Dari atas ke bawah, dari bawah ke atas, dia memandang saya dan Datuk.
“Aummmmmm...,” Samad Perang mendengus sambil memperlihatkan giginya,
macam harimau jantan berhadapan dengan kucing.
Samad Perang terus meronta-ronta mahu menerkam ke arah Datuk dan saya.
Kami segera berundur dan menuju ke anjung rumah semula. Datuk nampak kesal. Dia
seolah-olah menyesal menghampiri Samad Perang tadi. Saya merenung keluar, tidak
ada sesuatu yang dapat saya lihat. Semua gelap belaka. Bunyi cengkerik dan
burung hantu jelas kedengaran. Dalam saat yang sama kedengaran suara Samad
Perang ketawa memanjang, bersama bunyi rantai besi berlaga dengan lantai dan
tiang seri.
Suasana begitu sungguh tidak menyenangkan dan menakutkan diri saya.
Badan saya menggeletar tidak tentu arah. Datuk tetap duduk bersila sambil
menundukkan kepalanya merenung lantai. Isteri Samad Perang kelihatan tidak
tentu arah. Sekejap datang ke ruang anjung, sekejap berlari ke ruang tengah dan
menuju ke dapur, tidak ubah macam kucing kehilangan anak.
“Sabar dan tenang,” Datuk mendamaikan hati isteri Samad Perang.
“Minta pertolongan dan perlindungan dari Allah,” suara isteri Samad
Perang perlahan sekali.
Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya dan isteri Samad Perang
segera hilang, bila Mamat Bukit dan Sajono tiba.
“Dah lama sampai?” Tanya Mamat Bukit pada Datuk.
“Lama juga, kira setengah jam lebih.”
“Saya terlambat sikit, memang mengikut petua saya, masa datang malam,
kedua dan ketiga harus dilambatkan sejam, tidak boleh datang dalam masa yang
sama, malam ini saya datang pukul sebelas, malam esok pukul dua belas,” Sajono
menerangkan sebab-sebab ia datang lewat.
Datuk anggukkan kepala dan terus bersalam dengan Sajono dan Mamat Bukit.
Sajono dan Mamat Bukit duduk. Isteri Samad Perang meletakkan dua cawan kopi di
hadapan mereka.
“Minta maaf, saya tak boleh minum selagi kerja belum selesai, malam
pertama boleh minum, sebelum memulakan kerja, malam kedua boleh minum selepas
selesai jalankan kerja dan malam ketiga langsung tak boleh minum, walaupun
kerja dah selesai,” Sajono memberitahu isteri Samad Perang.
Kopi yang disediakan untuk Sajono dibawa ke dapur kembali. Dan Mamat
Bukit terus minum kopi bahagiannya. Angin malam yang bertiup lembut masuk ke
ruang rumah menerusi jendela yang terbuka, beberapa ekor kelekatu terus
mengharung cahaya gasolin. Seekor kelawar sesat masuk ke ruang tengah rumah
terbang tidak tentu arah dan akhirnya keluar ikut jendela. Bunyi burung hantu
dan jampuk jelas kedengaran. Semuanya itu tidak mendatangkan sebarang kesan
buat diri Sajono, malah dia marahkan Mamat Bukit yang cuba mahu membunuh seekor
cicak yang jatuh dari tulang bumbung ke atas lantai.
“Jangan bunuh dia biarkan dia hidup, bukankah dia makhluk Allah,”
katanya.
“Cicak membawa sial pada kita, Kiai,” balas Mamat Bukit.
“Pada Allah tidak ada makhluk yang sial dan bertuah, cuma manusia saja
yang pandai membeza-bezakannya,” jawab Sajono.
Tidak ada jiran-jiran lain yang datang ke rumah Samad Perang. Malam
sebelumnya, ruang anjung itu penuh dengan para jiran yang jumlahnya lebih dari
dua puluh orang. Mungkin mereka merasa bosan atau merasakan tidak ada faedahnya
berjaga, sedang keadaan Samad Perang tidak banyak berubah, menyebabkan mereka
tidak mahu datang.
“Saya mulakan sekarang,” kata Sajono pada Datuk.
“Silakan.”
“Mari ikut saya, Sajono renung muka Datuk, renung muka Mamat Bukit dan
saya.
Tanpa banyak karenah, Datuk, Mamat Bukit dan saya terus mengiringi
Sajono menuju ke tempat Samad Perang dirantai. Sajono terus menepuk bahu Samad
Perang, kemudian duduk bersila berhadapan dengan Samad Perang.
“Kamu bukakan rantainya,” kata Sajono pada saya. Badan saya mula
menggeletar menerima anak kunci dari Mamat Bukit.
“Cucu saya pak,” kata Datuk dengan wajah yang cemas.
“Tak mengapa biarkan.”
“Tapi, dia tak tahu semuanya ini pak.”
“Dia harus belajar,” Sajono merenung wajah Datuk sambil menepuk bahu
kiri Datuk....