Sebilah Keris Aneh
Baru dua langkah Datuk mengatur tapak, saya terpandangkan cahaya api
yang kuat. Cahaya itu kelihatan bergerak menuju ke masjid. Perasaan saya jadi
cemas.
"Ada orang bawa suluh datang ke sini tuk”, kata saya memberitahu
Datuk. Dan Datuk segera membatalkan niatnya menuju ke arah benda jatuh. Dia
patah balik dan berdiri dekat saya di ambang pintu masjid. Tiada rasa cemas dan
bimbang terpamer di wajahnya.
"Tamar"
"Ya tuk"
"Yang kau tengok tu bukannya suluh."
"Kalau bukan suluh, apa dia tuk?"
"Itu disebut andang yang dibuat dari daun kelapa."
"Hum, saya tak tahu tuk."
"Kalau tak tahu belajar, orang Melayu kaya dengan bahasa, setiap
benda ada nama dan gelarannya."
"Huh..”, satu keluhan terpancut dari mulut saya.
Dalam saat-saat cemas begitu, Datuk masih mahu memperkenalkan saya
dengan benda-benda yang baru. Saya mula terasa yang diri saya ini, terlalu
miskin dengan perbendaharaan kata-kata bahasa sendiri. Mata saya masih lagi
terpaku pada andang daun kelapa. Bunga-bunga api yang dicipta oleh andang
tersebut kelihatan berterbangan di udara, sebelum jatuh ke bumi. Satu
pemandangan yang amat menarik dan cantik bagi saya. Cahaya api itu, kian lama
kian hampir ke masjid.
"Sahabat, saya datang”, dada saya terasa lapang. Saya kenal dengan
suara itu. Datuk renung muka saya. Api andang daun kelapa pun padam. Dengan
tenang Mahyuddin melangkah menghampiri saya dan Datuk. Wajahnya nampak tenang.
"Kenapa lambat'!"
"Mencari benda yang mahu saya serahkan pada awak. Benda itu hilang
dari tempat simpanannya”, suara Mahyuddin penuh kesal.
Datuk terus menepuk-nepuk bahu Mahyuddin beberapa kali. Mahyuddin seluk
baju cekak musang yang dipakainya. Dia mengeluarkan sekotak mancis cap kuda
terbang. Mahyuddin terus membakar sumbu pelita minyak tanah yang dibawanya.
Sebahagian daripada ruang masjid terang benderang dilingkari oleh cahaya lampu
minyak tanah.
Saya merenung ke luar, tidak ada satu benda pun yang dapat saya lihat,
suasananya gelap. Datuk dan Mahyuddin sandarkan badan ke dinding masjid.
Masing-masing merenung api di sumbu pelita minyak tanah yang terlentuk-lentuk
ke kiri dan ke kanan mengikut hembusan angin malam. Suara cengkerik jelas
kedengaran.
“Tadi ada benda jatuh dalam masjid, baru mula nak cari, awak dah
datang”, ujar Datuk seraya menggosok-gosok pangkal hidungnya.
"Apa bendanya sahabat?"
"Entah, saya pun tak tahu, pinjam pelita sekejap biar saya cari apa
bendanya."
"Itu memang elok, kalau yang jatuh tu benda tak bernyawa tak
apalah, tetapi kalau benda bernyawa seperti ular atau lain-lain, bahaya kita
dibuatnya."
"Betul cakap awak”, balas Datuk.
Saya renung kiri kanan, memang seram bila Mahyuddin menyebut perkataan
'ular' bulu tengkuk saya berdiri dengan sendiri. Saya dapat membayangkan kalau
benar ular jatuh tengah masjid, pasti bukan ular sembarangan, mungkin ular
jadi-jadian. Saya terus melompat dan duduk di sisi Mahyuddin.
"Kau takut?" Tanyanya pada saya.
"Tidak”, balas saya sambil menegakkan dada.
Tunjuk berani tetapi, hati tetap berdebar. Tuhan sahaja yang tahu
perasaan saya ketika itu. Kepala lutut saya yang bertemu dengan kepala lutut
Mahyuddin menggeletar, membuat Mahyuddin tersenyum sinis pada saya. Dengan
cahaya pelita minyak tanah di tangan, Datuk terus berarak menuju ke arah sebelah
kanan masjid. Datuk yakin di situlah benda ganjil ilu jatuh. Saya dan Mahyuddin
hanya melihat segala gerak-geri Datuk.
"Keris”, jerit Datuk.
Saya dan Mahyuddin segera menghampirinya. Sebilah keris terdampar atas
lantai masjid. Hulunya diperbuat dari tanduk dalam bentuk muncung dan paruh
burung helang. Sarungnya diperbuat dari kayu jenis keras. Bila terkena cahaya
pelita, sarung dan hulu keris kelihatan bersinar·sinar. Datuk tidak berani
menjamah keris tersebut, kerana hulu keris mengeluarkan asap nipis yang
memanjang ke atas, bentuk asap itu kelihatan berliku-liku. Bila asap itu
hilang, keris tersebut kelihatan bergerak sendiri dalam sarungnya, macam mahu
keluar. Dengan tenang Mahyuddin menjamah keris tersebut. Kemudian membalutkan
badan keris itu dengan kain kuning yang dikeluarkan dari saku seluarnya. Keris
itu diletakkan kembali atas lantai dan Mahyuddin terus duduk bersila di depan
keris. Dia kelihatan macam orang bertafakur.
"Inilah yang mahu saya berikan pada sahabat, belum pun sempat saya
bertindak dia dah terbang mencari sahabat”, ujar Mahyuddin sambil merenung
wajah Datuk.
Beberapa saat kemudian, saya lihat Mahyuddin menatang keris itu untuk
diserahkan pada Datuk. Tetapi, Datuk enggan menerimanya. Mahyuddin terpaksa
meletakkan kembali atas Rupanya tindak tanduk Datuk itu difahami oleh
Mahyuddin.
Datuk mahu dia bercerita serba sedikit tentang keris ganjil itu. Menurut
Mahyuddin, keris itu dibuat dengan tangan oleh guru silatnya. Mata keris itu
dipadukan dengan lima jenis besi yang diambil dari lima buah gua di gugusan
kepulauan Melayu iaitu dari tanah Bugis, Melaka, Bukit Seguntang, Pulau
Mindanao (Filipina) dan Patani (Selatan Siam). Ketika dia bertapa dalam hutan,
mata keris itu telah dijilat oleh harimau tiga malam berturut-turut.
Kata Mahyuddin lagi, keris itu telah membunuh tiga orang Belanda, tiga
orang Inggeris dan lima korbannya terdiri dari orang-orang asing yang mahu
menjajah alam Melayu. Saya menarik nafas panjang mendengar ceritanya. Saya
kira, ceritanya itu tidak dapat diterima oleh akal. Datuk tidak melahirkan
sebarang pendapat berhubung dengan cerita Mahyuddin itu. Datuk hanya menggigit
kuku di ibu jari.
"Sekarang sahabat sudah tahu, sayalah harimau dan sayalah orang
yang menyimpan keris air liur harimau yang bisa. Ingat, keris ini ada
pantangnya. Jangan dibuat sembarangan, pantangnya tidak boleh ditikam ke badan
manusia yang sebangsa dan seagama, kalau dilanggar pantang orang yang
menyimpannya akan mati muntah darah”, kata Mahyuddin lagi. Saya garu dahi dan
Datuk terus membisu seribu bahasa.
"Sahabat, umur saya dah lebih lapan puluh tahun, dengan kemahuan
Allah saya sudah menemui seorang sahabat, sekarang sudah sampailah masanya saya
menghebahkan rahsia diri saya pada orang-orang kampung. Sahabat dan cucu
sahabat menjadi saksi dalam hal ini”, tekanan suara Mahyuddin cukup lantang.
Mukanya kelihatan berseri-seri. Dia terus meletakkan keris yang berbalut
kain kuning atas riba Datuk. Cepat-cepat Datuk meletakkan keris itu ke tempat
asalnya. Datuk tidak mahu menerima pemberian tersebut. Datuk segera bangun.
Tangan kanannya ditekankan ke dinding masjid. Pelita minyak tanah terus
mengerdip. Suara katak dan cengkerik tidak putus-putus berbunyi.
"Apa erti semuanya ini Mahyuddin?", soal Datuk.
"Orang yang merantau akan kembali, setiap kehebatan dan kekuatan
ilmu dunia yang dituntut akan terpisah juga dengan manusia, hanya ilmu akhirat
saja yang dibawa, begitu juga dengan saya”, cukup jelas dan teratur Mahyuddin
berkata-kata.
Tetapi, saya jadi kelam-kabut, sukar sekali memahami atau mencari pati
dari kata-katanya itu, berbelit-belit macam ada unsur falsafah.
"Sahabat ku.. "
"Saya faham, tunggu sampai sembahyang subuh”, ujar Datuk bila
Mahyuddin mahu menyambung kata-katanya.
Mahyuddin patuh dengan permintaan Datuk. Mahyuddin bangun, berjalan ke
muka pintu surau. Datuk mengekor di belakangnya. Mereka berdiri di situ
merenung ke kaki langit, sebutir bintang timur kelihatan mengerdip dengan
indah. Awan cukup bersih.
"Mahyuddin."
"Ya sahabat."
"Awak berkawan dengan jin?"
"Ahhh...”
Mahyuddin tidak menghabiskan kata-katanya. Datuk terus memicit bahu
kanan Mahyuddin yang kelihatan resah tidak menentu. Saya mula rapat ke arah
Datuk dan Mahyuddin, berdiri di belakang mereka. Pelita minyak tanah terus
menyala. Badan saya mula terasa sejuk. Dua tiga kali saya mengeliat dan menguap
panjang.
"Mahyuddin maafkan aku, kalau kau tersinggung. Aku bukan apa-apa
Mahyuddin, kita sebagai manusia harus hati-hati, jangan sampai berkawan dengan
jin kafir. Kata orang ketika kita mahu mati nanti kita disesatkannya”, ujar
Datuk.
Mahyuddin terus membisu. Mata Mahyuddin masih tertumpu ke kaki langit.
"Sebaik-baiknya biar kita kenai dengan jin yang seagama dengan
kita, sekadar berkenal saja, kerana mereka makhluk Allah, jangan sekali-kali
kita memperhambakan diri kita pada mereka atau kita hambakan mereka”, sambung
Datuk lagi.
"Sudahlah sahabat, usahlah mengajar”, dari nada suara yang dikeluarkan
Mahyuddin itu ternyata dia kurang senang dengan sikap Datuk. Datuk terus diam.
Rupanya sikap Datuk itu menguntungkan. Mahyuddin kelihatan tenang. Dia berjalan
ke arah kerantung (beduk) yang tergantung di luar masjid. Kerantung itu
dipalunya bekali-kali menandakan Subuh sudah hampir. Mahyuddin dan Datuk terus
mengambil air sembahyang.
"Pukul lagi kerantung tu, waktu Subuh sudah masuk”, Mahyuddin
mengeluarkan perintah pada saya, ketika dia melintas di depan saya.
Tanpa membuang masa, saya terus memukul kerantung bertalu-talu. Memukul
kerantung memang menjadi kegemaran saya, tidak saya nafikan, serba sedikit saya
telah belajar dari Datuk meningkah kerantung dengan baiknya, tingkah (pukulan)
yang saya buat itu semacam ada satu irama yang boleh membuat orang tersentak
dari tidur. Kata Datuk, memukul kerantung Subuh mesti pandai, tidak
sembarangan, mesti menarik minat orang dan boleh membuat orang bangun dari
tidur, walaupun bukan bangun untuk bersembahyang. Peluang itu saya gunakan
sekarang.
"Sudah”, jerkah Datuk sekuat hati, kayu pemukul terlepas dari
tangan saya. "Bila orang suruh pukul, buatlah setakat yang patut, ini
sampai berjam-jam”, sambung Datuk lagi.
Saya tersengih, macam kerang busuk. Apa mahu dikatakan lagi, memang
salah diri sendiri, tanggunglah akibatnya.
Azan Subuh dilaungkan oleh Mahyuddin, suaranya memang merdu. Kalau
dengar pada suaranya, memang orang tidak duga yang Mahyuddin sudah berusia
hampir lapan puluhan, suaranya lantang macam orang muda berusia dua puluhan.
Setelah selesai menunaikan sembahyang Subuh, Mahyuddin berlari ke pintu.
Dia minta orang yang bersama dalam masjid supaya jangan meninggalkan masjid.
Dari muka pintu, Mahyuddin membuka rahsia dirinya. Dia menceritakan
namanya yang sebenar serta asal usulnya. Orang ramai agak terkejut dengan
peristiwa itu.
"Saya rasa tugas saya sudah hampir selesai. Halalkan makan minum
saya, terima kasih atas budi baik orang di sini. Pada sesiapa yang terlalu
hormat dan kagum dengan diri saya, buangkan semuanya itu. Saya adalah manusia
biasa”, cukup bersemangat Mahyuddin bercakap, kemudian dia berjabat tangan dan
berpeluk-pelukan dengan setiap orang yang lalu dekat pintu. Dia menangis dan
memeluk badan Dumba.
Bila semuanya selesai, Mahyuddin tergesa-gesa meninggalkan masjid tanpa
mengucapkan sesuatu pada saya dan Datuk. Ketika itu hari sudah hampir cerah.
Matahari mula bangun di kaki langit, menebarkan sinarnya ke seluruh pelosok
kampung.
"Ganjil perangainya, dengan orang berpeluk bersalam dengan kita dia
buat tak tahu”, Datuk melahirkan rasa kurang senang. Saya tersenyum sambil
merenung ke arahnya.
"Agaknya dia lupakan kita tuk."
"Boleh jadi juga, maklumlah manusia ini tidak lepas dari sifat
lalai dan lemah”, Datuk tersenyum.
Rambut genjur saya dijamahnya berkali-kali. Penuh manja. Setelah selesai
mandi embun dan membuat serba sedikit senaman. Datuk dan saya menuju ke kedai
kopi. Saya makan sebungkus nasi lemak dan minum secawan kopi.
Datuk pula minum air panas yang di campur dengan sedikit garam. Sebagai
mengalas perut, Datuk cuma makan dua biji kuih koci.
"Minum air panas dengan garam untuk cuci perut dan melancarkan
perjalanan darah, boleh menghilangkan sakit tekak. Garam mesti dikacau hingga
hancur dan airnya bila sudah dingin baru diminum”, begitu Datuk memberitahu
saya.
"Biasanya Datuk tidak minum dengan air panas”, kata saya.
"Itu masa di rumah, kau sendiri tahu di rumah tuk minum air yang
sudah di dingin sepanjang malam dan diisi dengan labu, di kedai mana kita nak
dapat air macam tu."
"Saya, faham sekarang."
"Apa yang tuk buat ni boleh diamalkan tetapi khasiatnya kurang
sedikit dari air yang kita dinginkan sepanjang malam."
Datuk membayar semua harga minuman dan makanan.
Kami pulang ke masjid untuk mengambil barang Datuk yang tertinggal
iaitu, sehelai kain hitam tiga segi. Pada mulanya, Datuk memutuskan selepas
sarapan pagi, mahu terus pulang ke kampung.
"Kau tunggu di sini, biar aku saja yang masuk”, saya tidak
membantah arahan itu. Badan Datuk hilang ditelan pintu masjid. Beberapa minit
kemudian dia muncul. Kali ini saya lihat wajahnya lain macam, dahinya berkerut.
Di tangan kanannya terdapat bungkusan yang dibalut dengan kain kuning. Saya
tahu apa yang ada dalam tangan Datuk, kerana itu saya tidak menegurnya.
Matahari kian bersinar. Saya kira sudah pukul lapan. Kulit muka saya
terasa pedih kena panahan matahari. Dua tiga kali saya meraba kulit muka, tanpa
saya sedari Datuk sudah berdiri di sisi saya. Dua tiga kali Datuk dongakkan
kepala melihat matahari, kelopak matanya pejam celik menahan panahan matahari.
"Mari kita pulangkan hak Mahyuddin ni."
"Tapi, dia dah beri pada Datuk."
"Aku tidak kata apa-apa, sama ada mahu menerima atau
menolaknya."
"Betul juga cakap tuk tu."
Secara tidak sengaja saya terpandangkan lengan kanan Datuk yang memegang
benda berbalut kain kuning. Urat-urat lengan Datuk kelihatan timbul. Benda yang
dipegangnya seakan-akan bergerak sendiri dalam genggaman Datuk. Kulit muka
Datuk kelihatan tegang macam menahan sesuatu. Saya terpegun dengan kejadian
itu.
"Tamar, jangan tengok benda dalam tangan aku”, pekik Datuk.
Serentak dengan itu telapak tangan kirinya jatuh atas kepala saya. Kepala saya
dipulasnya, hingga pandangan saya beralih ke arah lain. Batang tengkuk saya
terasa sakit sekali.
"Jangan”, tambah Datuk lagi. Badan saya ditolaknya ke depan.
"Nak ke mana lagi tuk?"
"Ikut aku ke rumah Mahyuddin”, biji mata Datuk kelihatan bersinar
garang. Gerak-gerinya jadi serba tangkas.
Begitulah, di bawah sinar matahari saya dan Datuk melangkah di jalan
kecil yang muat untuk dua basikal berselisih. Sebelah kanan jalan ditumbuhi
lalang dan sebelah kirinya dikuasai oleh pokok serunai laut. Langkah Datuk
terlalu cepat dan saya terpaksa berlari anak supaya tidak jauh ketinggalan di
belakangnya. Ketika bintik-bintik peluh menguasai dahi, saya dan Datuk sudah
pun berada di halaman rumah Mahyuddin. Pintu rumah tertutup rapat Tiga kali
Datuk memberi salam, semuanya tidak berjawab. Datuk renung tanah di halaman
rumah.
"Tapak harimau”, kata Datuk.
"Tapak harimau?”, tanya saya cemas, badan mula terasa lain macam.
"Ya”, Datuk terus membongkok meneliti kesan tapak kaki harimau.
Datuk luruskan badannya kembali, dan merenung ke arah belukar kecil di
belakang rumah Mahyuddin. Datuk mengikut kesan tapak kaki harimau yang menuju
ke belukar tersebut Ternyata kesan tapak kaki harimau itu tidak sampai ke tepi
belukar. Hilang di antara tiang depan dengan tiang bahagian dapur rumah. Datuk
termenung panjang, kemudian mendekati saya yang berdiri tidak jauh dari tangga.
Datuk renung muka saya tepat-tepat dan bergerak dari kiri ke kanan di depan
saya. Datuk berhenti melangkah. Bibir bawahnya ditekan dengan ibu jari
seketika.
"Ganjil”, kata Datuk. "Apa yang ganjil tuk?"
"Tapak harimau hilang dalam kawasan rumah”, suara Datuk rendah.
Keris yang berbalut kain kuning masih dalam genggamannya. Kerana saya
ditegah melihatnya, saya tidak melihat malah hampir lupa dengan keris tersebut
yang berada pada Datuk.
"Ikut aku Tamar."
"Baik tuk."
"Jangan tegur, jangan tanya apa yang aku buat"
"Baik tuk."
Sinar matahari bertambah terik, sesekali kedengaran suara ungka
bersahut-sahutan di kaki bukit. Burung murai terus berkicau di hujung dahan
menyambut sinar matahari yang memancar terang. Datuk pijak anak tangga pertama
hingga ke anak tangga bongsu. Saya juga berbuat begitu. Datuk tolak daun pintu
yang tidak berkunci. Pandangan pertama yang saya lihat sesudah pintu terbuka
amat mengejutkan. Mahyuddin terbaring kaku di ruang tengah rumah. Mukanya
nampak lebam. Baju cekak musang di bahagian dadanya terbelah dua. Kulit
badannya terkoyak macam dicakar sesuatu, kedua belah kakinya terlipat. Terdapat
garisan yang memanjang di kedua belah betisnya. Datuk jamah pergelangan tangan
Mahyuddin, memeriksa pergerakan nadinya. Datuk menarik nafas panjang sambil
meluruskan kedua belah kaki Mahyuddin. Bahagian dada Mahyuddin Datuk tutup
dengan kain pelekat berkotak besar, berwarna merah dan hijau. Kain pelekat itu
Datuk ambil dari longgokkan kain Mahyuddin yang terletak dekat dinding rumah.
"Dia sudah mati."
"Keadaannya ganjil sekali tuk."
"Setiap orang yang dapat meresapkan perasaannya menjadi harimau
akan mati dalam keadaan begini. Selalunya, bila orang menuntut ilmu ini membuka
rahsia diri sendiri, dia tidak akan lama hidup."
"Dia boleh menentukan tarikh matinya tuk?"
"Tidak, dia cuma dapat alamat saja. Kematian dirinya terletak pada
kuasa Allah yang Maha Besar. Ada orang yang menuntut ilmu ini membuka rahsia
dirinya di depan orang ramai tetapi, masih hidup beberapa tahun lagi."
"Apa yang terjadi pada dirinya, cara kebetulan saja ya tuk."
"Ya memang cara kebetulan, selepas dia buat pengumuman dia pun
mati, ini tidak bererti dia sudah menentukan tarikh matinya. Ingat, jangan
sesatkan diri dengan kejadian begini”, ujar Datuk sambil meraba-raba hujung
dagunya.
Saya dan Datuk berehat sebentar dalam rumah Mahyuddin. Keris yang
berbalut kain kuning Datuk letakkan dalam peti hitam di bucu rumah. Peti hitam
itu Datuk tindih dengan seketul batu yang Datuk ambil di ruang dapur. Tiba-tiba
saya terdengar menggelodak dalam peti hitam macam ada orang mengetuk-ngetuk
dari dalam. Bunyinya cukup kuat tetapi, beberapa minit kemudian bunyi itu
beransur kurang dan terus hilang. Wajah Datuk kelihatan tenang.
"Aneh sungguh mayat Mahyuddin tuk"
"Ya Tamar, sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia
melompat macam harimau untuk beberapa minit, kemudian menjadi lemah dan terus
mati”
"Dahsyatnya tuk."
"Begitulah ilmu dunia, tidak ada yang kekal, ada kelebihan dan
kekurangan”, nada suara Datuk amat perlahan sekali.
Datuk menyuruh saya menemui Dumba untuk menceritakan hal yang berlaku
pada diri Mahyuddin. Perintah Datuk saya patuhi. Dengan ditemani oleh Dumba
saya pergi ke rumah anak angkat Mahyuddin. Tidak sampai setengah jam, berita
kematian Mahyuddin heboh seluruh kampung. Salah seorang penduduk kampung terus
menuju ke masjid, memukul beduk (kerantung) menandakan ada kematian berlaku di
kampung. Menjelang waktu Zohor, mayat Mahyuddin pun dikebumikan. Orang yang
bekerja keras menyelenggarakan pengebumian Mahyuddin, tidak lain dan tidak
bukan ialah Dumba sendiri dengan dibantu oleh anak angkat Mahyuddin.
"Semuanya sudah selesai, biarlah kami balik”, beritahu Datuk pada
anak angkat Mahyuddin dan Dumba di kaki tangga.
Muka Dumba segera berubah mendengar cakap Datuk, begitu juga dengan anak
angkat Mahyuddin. Mereka tahu, bukanlah satu perkara yang mudah untuk
mendapatkan kenderaan, bila sudah pukul lima petang. Belum sampai ke Slim River
hari sudah malam, lagi pun perkhidmatan bas penumpang tamat pada jam enam
petang.
"Begini saja, arwah bapa angkat saya ada meninggalkan pesan,
sekiranya dia mati, dia minta rumahnya ditunggu selama satu malam. Orang yang
dipilihnya ialah tuan sendiri”, anak angkat Mahyuddin membuka rahsia. Orangnya
bertubuh kecil, berambut kerinting dan berdahi sempit.
"Bila dia cakap dengan awak?"
"Sejak dia mengenali diri tuan, katanya tuan tahu serba sedikit
tentang kebolehannya."
Datuk termenung panjang. Saya tahu fikiran Datuk ketika itu berbalah
sama ada mahu tidur di rumah Mahyuddin atau meneruskan perjalanan. Kalau Datuk
bertanya pada saya, sama ada mahu bermalam di situ atau pulang, saya akan
menyuruh Datuk pulang saja. Apakan daya Datuk tidak bertanya pada saya.
"Tunaikan pesanan arwah. Kalau dulu awak minta saya berbaik
dengannya dan saya penuhi permintaan awak, sekarang saya minta awak tunaikan
wasiatnya”, Dumba pula mengeluarkan pendapatnya.
Datuk masih lagi termenung, keningnya kelihatan berkedut. Ruang rumah
Mahyuddin direnung pada setiap sudut. Akhirnya, biji mata Datuk tertumpu pada
peti hitam yang berisikan keris.
"Baiklah, cuma semalam saja”, kata Datuk sambil bangun.
Anak angkat Mahyuddin dan Dumba yang sedang duduk bersila di lantai
rumah turut bangun sama. Mereka kelihatan riang. Datuk tidak menghampakan
permintaan mereka. Malam itu setelah selesai sembahyang Maghrib dan Isyak di
masjid, saya dan Datuk terus menuju ke rumah arwah Mahyuddin, bila sampai di
rumah, anak angkatnya sudah sedia menanti kami. Makan malam sudah tersedia di
ruang rumah. Tiga pelita minyak tanah sudah terpasang.
Ada satu keganjilan yang dilakukan Datuk ketika makan malam. Dia
mengepalkan nasi sebanyak tujuh kepal. Diletakkan berderet di pinggir pinggan.
Datuk memulakan makan nasi yang sudah dikepalkannya itu dari kiri ke kanan. Dia
tidak menjamah lauk pauk yang tersedia di situ.
"Ini petua, kalau si mati bersahabat dengan makhluk jahat kita
boleh tahu”, Datuk membuka rahsia. Mulut anak angkat Mahyuddin terlopong.
Sayang, Datuk cuma membuka rahsia setakat itu saja. Dia tidak
menerangkan perkara ini dengan lebih mendalam lagi.
"Macam mana kita nak tahu hal tu tuan?" Tanya anak angkat
Mahyuddin.
"Bila kepal nasi yang ganjil bilangannya kita telan, kita akan
tersedak, tapi ada pula caranya yang boleh membuat hal itu jadi. Bukan boleh
pakai suap saja, nanti lain kali aku beritahu pada kamu”, Datuk terus meneguk
air.
Lebih kurang pukul sepuluh malam. Anak angkat Mahyuddin membawa pulang
pinggan mangkuk yang telah digunakan itu. Saya terus baring dan Datuk terus
membaca surah Yasin. Dalam suasana yang tenang itu, peti hitam yang berisikan
keris berbunyi. Batu penindih yang diletakkan di atas penutupnya terus
bergerak. Makin lama, bunyi itu makin kuat. Saya mula resah. Datuk berhenti
membaca surah Yasin. Dia terus renung ke arah peti hitam yang masih berbunyi
itu. Datuk lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Mulutnya mula
bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Tiba-tiba Datuk menampar lantai rumah
dengan sekuat hati. Bunyi dalam peti hitam terus berhenti. Serentak dengan itu,
pintu rumah terbuka. Anak angkat Mahyuddin terpacak di situ. Mukanya pucat
lesi, ditoreh tidak berdarah.
"Kenapa?" Tanya Datuk.
"Saya diikuti harimau besar."
"Tak apa, kau baliklah, ambil kain pelekat ayah kamu dan belitkan
ke badan, nanti harimau itu tak akan mengikut kau lagi”, Datuk menyerahkan kain
pelekat pada anak angkat Mahyuddin.
Dengan tenang lelaki berambut kerinting yang mempunyai anak satu itu
meninggalkan rumah. Usaha Datuk tidak sia-sia. Setelah dibekalkan dengan kain
pelekat, anak angkat Mahyuddin dapat meneruskan perjalanannya dengan aman.
Kalau dia diganggu atau diekori harimau tentu dia datang menemui Datuk. Kami
tunggu hingga jam dua belas malam. Anak angkat Mahyuddin tidak juga
muncul-muncul.
Lebih kurang jam dua pagi, saya terpandangkan seorang lelaki berserban
kuning duduk atas peti hitam menatang sebilah keris. Wajahnya kelihatan bersih.
Hal itu segera saya beritahu pada Datuk yang masih membaca surah Yasin. Lelaki
berserban kuning masih lagi duduk di atas peti hitam. Kedua belah tangannya
terletak atas kepala lutut. Saya lihat keris yang ditatangnya sudah tidak ada
lagi di tangannya. Bila Datuk selesai membaca surah Yasin, dia segera merapati
peti hitam. Orang yang berserban kuning sudah tidak ada lagi di situ. Datuk
membuka peti hitam dan mengeluarkan keris yang berbalut kain kuning. Keris itu
ditatangnya seketika.
"Bukan keturunan aku mengambil barang yang bukan hak aku, sekarang
aku pulangkan kembali pada yang berhak kerana orang yang menjaganya selama ini
sudah tak ada lagi”, perkataan yang keluar dari mulut Datuk cukup jelas dan
teratur, bagaikan ada manusia di hadapannya mendengar apa yang dikatakannya.
Datuk membuka sila lalu bangun. Dia melangkah dua tapak ke belakang.
Berhenti dan meluruskan kedua belah kakinya, macam tentera yang sedang berkawad
di padang. Kedua belah tangannya masih lagi menatang keris yang berbalut kain
kuning. Datuk maju setapak, dua tapak dan berdiri betul-betul di depan peti
hitam. Keris yang berbalut kain kuning diletakkannya di situ.
"Ini hak kamu, aku diberikan kuasa oleh Mahyuddin untuk menjaga
sekejap saja”, kata Datuk sambil duduk bersila, macam seorang panglima
menghadap sultan di zaman silam.
Ketika itu juga, terdengar suara harimau mengaum di bawah rumah.
Suaranya cukup kuat dan nyaring sekali, boleh membangunkan seluruh penduduk
kampung yang sedang tidur. Rumah terasa bergegar seketika, tiupan angin mula
terasa, cukup lembut dan nyaman sekali. Setelah itu, suasana tenang dan sepi
sekali. Saya terlihat orang berserban kuning berdiri dekat peti hitam
membongkok lalu mencapai keris yang berbalut dengan kain kuning. Datuk masih
terpegun di situ. Beberapa saat kemudian, orang yang berserban kuning hilang
dari pandangan saya.
"Semuanya sudah selesai Tamar”, bisik Datuk pada saya. Dia menyuruh
saya tidur kembali, tetapi mata saya tidak mahu tidur. Saya terus bertanya pada
Datuk:
"Apakah yang kita lihat tadi jin, kawan Mahyuddin tuk?"
"Susah aku nak cakap, tetapi itulah kenyataan yang kita lihat,
sudahlah”, kata Datuk.
Akhirnya saya terlelap.