Bercakap Dengan Jin

Bercakap Dengan Jin

Tuesday 30 June 2015

Siri 47 - Bila Syaitan Datang Menguji



Bila Syaitan Datang Menguji

Saya mula terasa bosan duduk dalam kedai kopi. Bagi menghilangkan rasa bosan itu, saya terus menggaru pangkal dagu beberapa kali.

Dan sepasang mata saya terus tertumpu ke dada jalan raya yang mula sibuk dengan kenderaan. Debu-debu jalan berterbangan dalam sinar matahari pagi yang kian garang.

Saya toleh ke kiri. Lelaki berketayap putih dan Datuk masih termenung. Masing-masing merenung dinding kedai kopi yang cat putihnya sudah pudar bertukar menjadi kekuning-kuningan. Apa yang mereka fikir, saya pun tidak tahu.

Monday 29 June 2015

Siri 46 - Berjalan Atas Angin



Berjalan Atas Angin

Kedai kopi dan barang-barang runcit yang diusahakan oleh Saadun Juling mendapat sambutan amat menggalakkan dari para penduduk setempat. Di samping berniaga, Saadun Juling terus mendalami ilmu agama. Setiap malam, dia mengundang seorang guru agama yang terkemuka di daerahnya Tuan Haji Nawawi Al-Petani ke rumahnya. Dia belajar selok-belok agama Islam dari pukul sepuluh hingga menjelang dua belas malam. Selama dua tahun Saadun Juling berniaga, dia telah mendermakan wang ringgitnya untuk membesarkan beberapa buah masjid di daerahnya, juga mendirikan beberapa buah surau serta mendirikan sekolah agama rakyat untuk kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke atas belajar agama Islam.

Sunday 28 June 2015

Siri 45 - Badan Pawang Berasap



Badan Pawang Berasap

Datuk terus menggosok-gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Matahari pagi kian meninggi, sudah berada di paras pucuk kelapa bercabang dua dan sinarnya terus menjamah pada air sungai yang bergelombang kecil itu. Memang tidak ada seorang pun penduduk Kampung Tanjung Ara yang mengetahui kami berada di kawasan itu. Kedudukannya agak tersorok dan dilindungi oleh beberapa pohon-pohon besar yang di gayuti oleh akar sebesar lengan budak. Manakala bibir tebing tempat kami berdiri pula, berkeadaan seperti sebuah teluk kecil yang pantainya berpasir halus. Melihat pada keadaan tempat tersebut dan bentuk pasir yang terdapat di situ, ternyata kawasan tersebut menjadi tempat buaya berjemur dan bertelur.

Saturday 27 June 2015

Siri 44 - Skandal Pawang Buaya



Skandal Pawang Buaya

Datuk masih lagi berdiri di anjung rumah Alang Botak. Kedua belah tapak tangannya menekan kayu palang yang memisahkan bahagian dalam anjung dengan bahagian luar rumah. Mata Datuk merenung tajam ke arah batang tubuh si suami malang yang dijamah oleh sinaran matahari petang yang lembut. Batang tubuh si suami malang hilang dari pandangan Datuk di balik pokok besar, dekat liku jalan yang tajam. Datuk mengeluh kecil sambil menggamit saya yang sedang berlari bersama kenalan-kenalan baru mengelilingi pokok asam belimbing buluh di tengah halaman rumah Alang Botak.

Friday 26 June 2015

Siri 43 - Buaya Jadi Jadian



Buaya Jadi Jadian

Musim tengkujuh pun tiba. Langit di Kampung Mandi Upeh sentiasa kelihatan mendung dan setiap hari hujan turun. Sungai kecil yang merentang di tengah-tengah kampung melimpahkan airnya hingga ke paras tebing. Dan sejak pulang dari Tanjung Malim, Datuk tidak kemana-mana. Dia banyak menghabiskan masanya di ladang getah. Sekali-sekala dia ke hutan melihat jerat pelanduknya sama ada mengena atau tidak. Sepanjang musim tengkujuh kesihatan Datuk tidak begitu baik. Dia selalu diserang sakit lelah dan lemah-lemah badan. Walaupun begitu, Datuk tidak pernah lupa melakukan senaman harimau dan mandi embun pada setiap pagi.

Thursday 25 June 2015

Siri 42 - Sepasang Tangan Berbulu



Sepasang Tangan Berbulu

Suasana dalam rumah terasa amat sepi. Datuk dan ayah pemuda ganjil itu tidak berkata walau sepatah pun, begitu juga dengan saya. Kesepian itu terusik juga oleh kicau burung murai yang mencari cacing di luar rumah.

"Sabarlah, nanti saya usahakan. Dengan izin Allah anak awak akan kembali pada keadaan asal”, tiba-tiba Datuk bersuara.

Bahu ayah pemuda ganjil itu ditepuknya berkali-kali. Ayah pemuda ganjil itu minta diri dan Datuk menghantarinya hingga ke kaki tangga.

Wednesday 24 June 2015

Siri 41 - Berkasih Dengan Langsuir



Berkasih Dengan Langsuir

Datuk terus duduk di sisi saya di kaki tangga. Kami merenung suasana malam yang kelam itu. Suara lolongan anjing terus sambung menyambung, tingkah meningkah dengan suara cengkerik dan katak. Angin malam yang bertiup melanggar dedaun dan dahan-dahan pokok sekitar kawasan rumah, melahirkan bermacam-macam bunyi. Sekejap terdengar semacam orang berlari, sekejap terdengar semacam suara orang mengerang kerana menahan kesakitan.

"Selalunya perbuatan ni, perbuatan syaitan”, kata Datuk lalu bangun, menuju ke kawasan yang di duga tempat buah pisang muda jatuh.

Tuesday 23 June 2015

Siri 40 - Pemuda Menjerit Malam



Pemuda Menjerit Malam

Setelah selesai menari kera itu akan membawa tempurung menemui orang yang melihatnya. Orang ramai akan mencampakkan wang ke dalam tempurung. Bila bertemu dengan budak perempuan yang comel kera itu akan menarik baju atau memeluk pinggang gadis comel sebagai tanda persahabatan. Tarian kera ini pada mulanya diperkenalkan oleh orang-orang India yang datang dari Madras. Orang Melayu juga ada menjalankan pertunjukan ini dengan tujuan mencari wang. Kalau kera itu bertuankan orang-orang India tarian yang dipersembahkan tetap berunsurkan tarian India, kalau orang Melayu yang jadi tuannya, kera itu pandai menari joget atau inang.

Monday 22 June 2015

Siri 39 - Dendam Orang Sabar



Dendam Orang Sabar

Selama satu minggu saya dan Datuk berada di kampung Kiai Muslih, boleh dikatakan hari-hari hujan turun. Kalau tidak sebelah pagi, sebelah petang pasti hujan. Orang-orang mula mengerjakan sawah masing-masing. Walaupun masalah kemarau yang melanda kampung itu sudah berakhir, tetapi Kiai Muslih meminta Datuk tinggal di situ untuk beberapa bulan lagi. Kiai Muslih menjadikan Datuk teman rapatnya untuk mengajar agama di beberapa buah kampung sekitar daerahnya.

Sunday 21 June 2015

Siri 38 - Suara Azan Dalam Kolam



Suara Azan Dalam Kolam

“Dapat mayat nya pun jadilah”, sahut lelaki berbadan tegap.

Datuk angguk kepala dan tersenyum dalam cahaya gasolin yang memancar garang.

"Baiklah, kalau dah begitu hajat kamu”, nada suara Datuk cukup lembut.

Dia menyuruh saya memadamkan lampu gasolin.

Saturday 20 June 2015

Siri 37 - Terkena Badi Belibis



Terkena Badi Belibis

Matahari terus memancar. Sesekali terdengar suara burung tekukur dan merbuk tingkah meningkah di dahan kayu. Beberapa monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan. Lama juga kami meniarap, saya sudah merasa bosan dan lemas. Maklumlah mencium bau daun dan tanah.

"Mereka sudah hampir”, kata Datuk.

Saya angkat kepala, toleh kiri, toleh kanan. Tidak ada batang tubuh manusia yang lihat. Saya lihat muka Datuk. Dia senyum dan dia bagaikan tahu apa yang bergolak dalam diri saya.

Friday 19 June 2015

Siri 36 - Pukau Ular Tedung



Pukau Ular Tedung

Din Taiwan memberitahu Datuk dengan ilmunya dia telah merogol lebih dari seratus orang wanita yang terdiri dari anak dara, janda dan isteri orang. Dia telah menggunakan ilmunya itu untuk merompak dan membunuh orang.

Akhirnya di tembak menggunakan peluru emas. Memang pada awalnya, dia menuntut ilmu itu untuk melindungi dirinya dari perbuatan orang, tetapi, bila separuh menuntut dia sudah terpengaruh dengan syaitan untuk merosakkan orang lain demi kebahagiaannya. Dia meninggalkan gurunya lalu menjadi orang jahat. Masa dia membuat kerja-kerja maksiat itulah dia selalu mempengaruhi anak-anak muda lain untuk menganggotai kumpulannya.

Thursday 18 June 2015

Siri 35 - Mengusung Iblis Tengah Malam



Mengusung Iblis Tengah Malam

Subuh itu, sesudah menunaikan sembahyang subuh dan mandi air embun, Datuk terus mendukung Razman ke bawah pokok asam kumbang. Kaki Razman diikat dengan tali sabut ke sebatang anak pokok. Datuk membiarkan sinar matahari pagi yang cemerlang menikam kulit badan Razman.

"Mail, biarlah aku dengan di cemani oleh Tamar selesaikan kerja ni. Kau tak usah tengok, nanti kau takut. Aku minta kau pergi ke masjid dan baca Al-Quran di samping berdoa pada Allah supaya sakit anak kau sembuh”

"Baiklah, tapi awak tak minum lagi?"

Wednesday 17 June 2015

Siri 34 - Berjanji Dengan Syaitan


Berjanji Dengan Syaitan

Saya lihat lelaki itu duduk di atas anak tangga sambil tunduk memicit pangkal keningnya. Pak Mardan dan Datuk hanya memperhatikan saja telatah lelaki itu dalam kedinginan malam yang mula merangkak ke subuh. Di langit, bintang timur mula bangkit bersama kokok ayam yang bertalu-talu dari kampung berdekatan. Datuk menggeliat, dia tahu sebentar lagi orang-orang kampung akan datang berjemaah di masjid.

Kalau boleh, Datuk dan Pak Mardan tidak mahu orang-orang kampung tahu tentang perbuatan lelaki itu. Kalau orang-orang kampung tahu bahawa angkara yang terjadi di malam pengantin berpunca dari lelaki itu, tentu sahaja lelaki itu akan menerima akibat yang buruk. Datuk dan Pak Mardan mahu menghindarkan kejadian itu dari berlaku dalam kawasan masjid.

Tuesday 16 June 2015

Siri 33 - Muntahkan Ulat dan Paku Karat


Muntahkan Ulat dan Paku Karat

Pak Mardan dan saya terus ke bahagian belakang rumah. Lama juga Pak Mardan berlegar-legar di situ. Hujan terus turun mencurah-curah. Petir dan kilat sabung-menyabung di malam yang pekat. Saya dan Pak Mardan naik ke bilik pengantin. Halimah masih memegang besi kuning erat-erat. Pak Mardan meletakkan baldi di sudut bilik dan terus duduk di situ.

"Kau Tamar, duduk dekat lutut aku ni”, Pak Mardan memerintah dan saya patuh pada perintahnya.

Monday 15 June 2015

Siri 32 - Bomoh Hujan Kena Uji


Bomoh Hujan Kena Uji

Suara jeritan itu bergema ke seluruh kampung melepasi puncak Gunung Tungga. Datuk terus mencacakkan buluh runcing ke dada bumi dan melipatkan kaki seluar sebelah kiri separas lutut. Datuk duduk mencangkung dengan tapak tangan kirinya terletak pada bahagian atas buluh runcing. Mulutnya terus bergerak, membaca sesuatu. Ketua kampung masih belum sedarkan diri. Saya lihat kaki kanan Osman bergerak-gerak lemah. Kedua belah tangannya menguakkan dahan dan dedaun yang menutupi tubuhnya.

"Bangun”, bisik saya pada Osman dan memberitahu padanya supaya jangan bertanya sesuatu.

Sunday 14 June 2015

Siri 31 - Rumah Misteri


Rumah Misteri

Datuk pun melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Angin petang yang bertiup kencang menggugurkan dedaun getah tua yang memagari pinggir kampung. Mata saya masih tertumpu ke arah rumah papan yang beratap rumbia. Pintu dan tingkap rumah bertutup rapat. Di kaki tangga ada tempayan besar. Sebelah kanan rumah terdapat pokok mempelam telur yang sedang berbunga lebat.

"Apa yang kau nampak?", tanya Datuk pada saya.

"Tak ada apa-apa tuk"

Saturday 13 June 2015

Siri 30 - Ilmu Raja Kelawar


Ilmu Raja Kelawar

Datuk pun mengeluarkan perintah pendek buat saya.

"Jangan memancing di kolam waktu bunga senja. Kalau kau bantah, aku patah-patahkan leher kamu”, begitulah Datuk, dalam perintah yang lembut terselit satu ugutan yang amat menakutkan.

"Faham!" sergahnya.

"Faham tok!"

Ternyata pengakuan saya itu tidak dapat menenangkan perasaannya. Datuk tidak putus-putus menyatakan kesalnya pada nenek terhadap perbuatan saya itu. Tetapi, nenek tetap memberitahu Datuk apa yang saya lakukan itu terjadi secara tidak sengaja.

Friday 12 June 2015

Siri 29 - Dikacau Penunggu Kolam


Dikacau Penunggu Kolam

Apa yang dikatakan oleh imam berjubah hijau itu dilaksanakan oleh janda Omar dengan sempurna. Datuk tidak banyak campur tangan dalam urusan tersebut, kecuali menemani janda Omar pergi ke kubur selama lapan pagi berturut-turut. Masuk hari yang ke empat belas, suara tangisan dari kubur sudah tidak kedengaran lagi. Dan janda Omar pun menyatakan hasratnya pada Datuk untuk pulang ke Pontian.

"Tangguhkan lah dulu”, kata Omar pada jandanya.

"Kenapa?"

Thursday 11 June 2015

Siri 28 - Kubur Berasap


Kubur Berasap

Saya masih dapat mengawal perasaan. Datuk pun memadamkan api yang membakar sumbu lilin. Nyamuk mula menggigit cuping telinga dan muka. Dalam samar-samar senja itu Datuk memandang wajah saya tepat-tepat.

"Kita balik saja”, kata Datuk.

"Kenapa?"

"Jangan banyak soalan, ikut cakap aku"

"Tapi tok.."

"Jalan”, pekik Datuk.

Wednesday 10 June 2015

Siri 27 - Manusia Tanpa Kepala


Manusia Tanpa Kepala

Datuk pun membasuh kepala dan muka lelaki itu dengan air daun pisang dara. Datuk juga membasuh seluruh tubuh lelaki itu dengan air bunga tujuh jenis dan tujuh warna. Kedua belah tapak kaki dan tangan lelaki itu dibasuh oleh Datuk dengan air tanah liat.

Akhirnya, Datuk menjirus air penawar dari kepala ke kaki lelaki itu Datuk merimbas badan lelaki dengan kain hitam sebanyak tiga kali. Dengan penuh teliti, Datuk menyarungkan kain pelikat ke badan lelaki malang itu dalam keadaan terbalik.

Cara menyarungnya juga agak ganjil iaitu, dari kepala ke kaki. Datuk membawa lelaki tersebut pulang ke rumahnya. Datuk minta lelaki itu baring di muka pintu dan Datuk meletakkan batang tepus atas dada lelaki itu. Datuk berdiri di anak tangga terakhir sambil matanya menatap wajah lelaki itu.

Tuesday 9 June 2015

Siri 26 - Isterinya Jadi Kelip-kelip


Isterinya Jadi Kelip-kelip

Dengan nada suara yang keras Datuk menyuruh saya membakar sumbu pelita yang padam. Seluruh ruang rumah terang. Uda Lodin masih terpaku dekat dinding rumah. Saya lihat Uda Lodin membongkokkan badannya sambil menekan perut.

"Kau sedar apa yang berlaku?", tanya Datuk pada lelaki yang baru sedar dari tidur.

Lelaki itu gelengkan kepalanya beberapa kali. Datuk pun menceritakan semua yang terjadi pada lelaki (suami perempuan yang jadi hantu) tersebut. Lelaki itu mengeluh panjang.

Monday 8 June 2015

Siri 25 - Sumpah Nasi Tangas


Sumpah Nasi Tangas

Suasana di pekan kecil Terung di pagi Selasa dalam musim tengkujuh cukup lembap. Lopak-lopak yang terdapat berhampiran bangunan-bangunan kedai di situ ditakungi air, akibat hujan yang memanjang pada sebelah malamnya. Saya dan Datuk masih lagi duduk di warung kopi sebelah kanan jalan menghala ke Kuala Terung. Di perhentian bas kira-kira 10 hingga 15 anak muda menanti bas.

Mereka mahu pergi ke bandar Taiping menonton filem Melayu. Datuk mula resah. Uda Lodin, kawan Datuk belum juga tiba. Jam di dinding warung sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Saya mengambil akhbar Utusan Melayu milik tuan punya warung yang terletak di meja sebelah.

Sunday 7 June 2015

Siri 24 - Puaka Tiang Seri


Puaka Tiang Seri

Lebih kurang pukul dua belas malam, Tok Kaya Sendi Diraja datang menemui Datuk. Dia pun menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi memang tidak di duganya. Kalaulah dia tahu kejadian itu akan membuka rahsia dirinya, memang dia tidak akan mengundang Datuk ke rumahnya. Tetapi, Datuk terus menasihati Tok Kaya Sendi Diraja supaya menerima kenyataan ini dengan rela hati.

"lnilah kuasa Allah, dia melakukan sesuatu atau menunjukkan sesuatu di dunia untuk kita supaya kita sedar. Allah boleh melakukan pembalasan terhadap kerja yang tidak direlakanNya di muka dunia tanpa menunggu kita menemui ajal”

Saturday 6 June 2015

Siri 23 - Roh Bayi Cari Ibu


Roh Bayi Cari Ibu

Datuk menggigit bibir. Sepasang matanya berpaut pada wajah Norlin yang kelihatan cemas itu. Dari wajah Norlin, mata Datuk beralih ke wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.

"Mahu halau siapa? Tidak ada seorang pun yang masuk ke sini?", ulang Datuk dengan nada suara yang cukup lembut.

"Ada. Dia selalu ganggu saya, kalau diusir diaaaa...", dan Norlin terus menghentak-hentakkan kaki ke lantai sambil meronta-ronta. Ibunya terus memeluk dengan erat dan kemas. Datuk terdiam, tidak tahu apa yang harus di buatnya. Suara bising di bilik atas membangunkan Pak Ayub Naim dan isterinya yang tidur di bilik bawah. Mereka naik ke bilik Norlin. Waktu Pak Ayub dan isterinya sampai, Norbaya sedang menyapu peluh yang tumbuh di dahi Norlin. Isteri Pak Ayub Naim terus bertanya:

Friday 5 June 2015

Siri 22 - Penunggu Rumah Tok Kaya Sendi Diraja


Penunggu Rumah Tok Kaya Sendi Diraja

Datuk rebah ke bumi. Batang tubuh ketua pukau terlepas dari pelukannya. Mat Jali menghampiri ketua pukau yang sudah kaku itu. Dari lubang hidung dan telinga keluar darah yang merah kental. Saya menghampiri Datuk. Tubuhnya masih berwarna biru. Muntah darahnya sudah berhenti. Datuk membuka tangannya perlahan-lahan. Tengkorak yang dipegangnya menjadi hitam, macam arang dan akhirnya bertukar menjadi serbuk halus macam amang bijih yang dibuang.

"Campakkan ke air", kata Datuk.

Thursday 4 June 2015

Siri 21 - Berguru Dengan Syaitan


Berguru Dengan Syaitan

Datuk tersenyum memandang saya. Dengan pertolongan cahaya bulan yang samar-samar itu, saya lihat ketua pukau terus berdiri dekat tengkorak kering. Tengkorak itu masih juga mengeluarkan buih dan sejenis habuk seakan-akan asap. Menurut Datuk, tengkorak itu diambil dari tengkorak orang mati dibunuh, ketika hujan panas.

Lebih berkesan lagi kalau tengkorak itu dari tengkorak orang yang mati kena tikam. Tidak kira, sama ada orang yang mati itu orang Islam atau tidak. Mengambil tengkorak orang yang mati dibunuh itu, harus melalui beberapa ujian yang tertentu.

Wednesday 3 June 2015

Siri 20 - Memburu Raja Pukau


Memburu Raja Pukau

Datuk mengambil keputusan untuk pulang saja ke perkampungan orang asli. Bah Lanjut tidak membantah dengan keputusan yang di buat oleh Datuk itu. Kami meredah hutan untuk pulang. Kami sampai di perkampungan orang asli ketika bulan sudah berada di pucuk tualang bercabang lima. Malam itu Datuk tidak dapat tidur dengan lelap. Dia selalu saja terjaga dan Datuk akan melompat ke halaman dan berjalan sambil mengelilingi pondok. Saya mempersetankan saja telatah Datuk itu.

Bila Datuk selesai sembahyang subuh, dia membakar sehelai kain buruk yang baunya cukup wangi. Datuk hanya membakar sebahagian saja dari kain buruk itu. Dan abunya Datuk isikan dalam buluh yang beruas pendek. Buluh itu Datuk letakkan di hujung bendul pokok.

Tuesday 2 June 2015

Siri 19 - Diresapi Semangat Monyet


Diresapi Semangat Monyet

Langit di Batu Enam Belas Jalan Tapah-Cameron Highlands malam itu cukup cerah. Bah Lanjut dan Datuk terus berjaga di pangkal pokok Jelutung patah dahan. Saya terus mencampakkan dahan dan ranting kayu ke dalam unggun api di belakang pondok. Bahang dari unggun itu menghilangkan rasa dingin yang menyelimuti tubuh saya. Sesekali terdengar bunyi dahan kayu berlaga sesama sendiri, dirempuh angin malam, lalu melahirkan satu nada irama yang memanjang. Embun jantan mula menitik atas kepala saya.

"Sudah dinihari," keluh Datuk. Bah Lanjut angguk kepala. Matanya merenung tajam ke arah hutan tebal di sebelah kanan pondok. Saya terus mencampakkan puntung-puntung kayu ke dalam unggun, bila puntung kayu berada di dalam anggun api, ia kelihatan marak dan bunga api berterbangan ke udara. Saya kira sudah pukul dua lebih. Suara binatang buas terdengar sayup-sayup di kaki bukit. Saya lihat Datuk tertidur di pangkal pokok Jelutung. Bah Lanjut terus bergerak ke hulu ke hilir sambil memaut golok di pinggang. Saya tidak mempedulikan mereka.

Monday 1 June 2015

Siri 18 - Diganggu Lembaga Hitam


Diganggu Lembaga Hitam

Di luar hujan turun mencurah-curah. Kilat dan guruh tingkah meningkah. Cahaya kilat yang masuk ke dalam pondok menjilat wajah Datuk, Bah Lanjut dan saya. Bila bunyi hujan beransur reda, diganti pula dengan bunyi angin yang cukup keras melanggar dahan dan ranting pokok hutan. Api pelita melentuk-liuk mengikut arah tiupan angin. Bagi menyelamatkan api pelita dari padam, Bah Lanjut segera menaruh daun bertam muda di sekelilingi badan pelita.

Beberapa bahagian daripada daun bertam muda itu dibuat lubang kecil bagi mendapatkan cahaya dari pelita tersebut. Di luar hujan sudah berhenti terus. Angin sudah tidak sekeras tadi merempuh ranting dan dedahan pokok hutan. Bunyi cengkerik cukup gamat. Sekali-sekala terdengar lolongan anjing hutan sayup-sayup. Bunyi suara burung tukang cukup nyaring. Saya melihat jam saku Datuk yang bertali tembaga di hujung lututnya.