Tulang Jari Di Daun Keladi
Sejak pulang dari Hospital Lumut, sudah tiga minggu saya berkurung dalam
rumah. Setiap malam, nenek akan membalut kaki saya dengan Naga Buana. Perut
pula, dibalut dengan pucuk pisang emas.
“Kenapa nek buat begini, pada kaki dan perut saya?”
“Untuk mengelakkan kaki kau dari kisit urat dalam perut mesti
dikecutkan, kalau tak dibalut dengan daun pisang, perut kau boroi bila
“Huh, saya dah jemu kena balut nek.”
“Jangan begitu, perut mesti dijaga. Kau tahu sakit angin, sakit urat
saraf dan sakit-sakit badan semuanya berpunca dari perut. Kalau perut sihat,
badan juga sihat.”
Saya terdiam mendengar cakap nenek itu. Saya hubungkan cakap nenek itu,
dengan kata-kata yang telah diucapkan oleh seorang Imam dalam khutbah
Jumaatnya. Imam itu memetik sabda nabi Muhammad SAW yang menyuruh umatnya
supaya makan tidak berlebih-lebihan. Ia mahu umatnya makan sederhana saja.
“Kalau engkau melihat orang lelaki perut boroi dan badannya gemuk,
tandanya orang itu tidak sihat. Aku tak mahu kau jadi macam itu, bila sudah
berumur empat puluh lebih, jagalah perut kerana perut kunci kesihatan,” tambah
nenek. Saya terus anggukkan kepala.
Demi kebaikan, saya relakan nenek membalut perut saya dengan pucuk
pisang emas, bercampur minyak kelapa. Tetapi, rasa bosan duduk di rumah memang
tidak dapat saya hindarkan. Datuk amat mematuhi cakap nenek dan tidak mahu
mengajak saya ke mana-mana. Datuk suruh saya duduk di rumah membaca kitab agama
dan Quran. Katanya, kalau nenek mengizinkan atau pantang larangnya sudah tamat.
Ia pasti membawa saya ke mana sahaja. Satu janji yang amat menyenangkan.
Sebagai orang tua yang banyak pengalaman, Datuk tahu saya akan merasa
jemu dan bosan membaca Quran dan kitab. Bila ia turun ke pekan ia belikan
akhbar tulisan jawi – Utusan Melayu. Kalau Datuk pergi ke Balai Penghulu, pasti
ia pulang dengan membawa risalah-risalah dari Jabatan Penerangan dan Jabatan
Pertanian. Semuanya dalam tulisan jawi. Kalau anginnya baik, ia akan membeli
akhbar dan majalah kanak-kanak, seperti Utusan Kanak-kanak, Tunas dan lain-lain
lagi.
Jangan harap Datuk mahu membeli akhbar dan majalah hiburan seperti
Utusan Filem dan Sports, Fesyen, Gelanggang Filem dan Arena Filem. Pantang
tujuh keturunan bagi Datuk, kalau saya menatap majalah-majalah tersebut. Saya
hanya mendapat tahu tentang perkembangan filem-filem Melayu dan bintang-bintang
filemnya seperti P. Ramlee, Kasma Booty, Nordin Ahmad dan Roomai Noor, menerusi
mulut-mulut kawan-kawan. Begitu juga dengan kisah penyanyi masa itu seperti R.
Azmi, Jasni serta Momok dan Nona Asiah.
“Buat apa tahu tentang orang wayang dan penyanyi, jangan baca kisah
mereka, semuanya tak berfaedah. Semuanya itu kisah dunia yang tak boleh dibuat
bekal ke akhirat. Lebih baik kau baca kitab,” kata Datuk bila saya menyatakan
ingin membaca dan memiliki majalah-majalah tersebut.
Kata Datuk, kata muktamad. Tidak ada ulang-rayu. Kalau dilawan biji
matanya akan tersembul, macam telur burung merpati. Suaranya jadi keras dan
parau macam guruh. Mahu tak mahu terpaksa baca kisah menanam pokok getah,
menanam padi dan menanam kelapa.
Sesekali hati kecil saya memberontak juga. Mana boleh tahan cuma
berlegar-legar dalam kawasan rumah sahaja. Paling jauh saya dibenarkan oleh
nenek pergi ke rumah Haji Salim, kira-kira dua rantai jaraknya dengan rumah
Datuk. Bukan ada apa-apa di rumah Haji Salim menitik dan membakar besi untuk
membuat keris dan parang.
Saya kagum melihat Haji Salim memegang besi panas dan membentuknya
hingga menjadi sebilah keris yang berlok tujuh atau sembilan. Bila saya tanya
pada Haji Salim, apa ilmu yang dipakai hingga tapak tangannya tidak terbakar.
Haji Salim tidak mahu memberitahu, ia cuma berkata:
“Keyakinan pada diri sendiri dan Allah mengizinkan semuanya itu.”
Jawapan yang membosankan. Sambil memerhatikan ia bekerja, ia menyuruh
saya membaca al-Quran. Kalau pembacaan tajwid saya tidak betul ia segera
menegurnya. Bila saya tidak mahu membaca Quran, ia akan bercerita pada saya
tentang kisah-kisah 25 orang nabi pilihan atau memberi penerangan tentang fardu
Ain, fardu Kifayah dan fikah.
INDAH
Pagi Selasa yang indah. Di dada langit, matahari memancar cemerlang.
Dedaun di ranting bergerak lembut mengikut irama angin. Saya masih lagi
membalut badan dengan gebar. Perbuatan yang jarang-jarang saya lakukan. Jam
sudah pukul sembilan. Jalur sinar matahari masuk ikut tingkap yang dibuka
separuh itu, terdampar atas lantai. Sebenarnya, saya memprotes sikap nenek. Ia
tidak membenarkan saya mengikut Datuk pergi ke hutan untuk melihat jerat napuh
dan pelanduk. Meskipun Datuk sudah meminta izin darinya.
Nenek lebih senang, kalau saya menghabiskan masa berjam-jam dengan Haji
Salim. Sepanjang ingatan saya selama tiga minggu berkurung di rumah. Sudah dua
kali Datuk berjalan jauh. Kali pertama Datuk ikut kenalannya pergi ke Dungun,
Terengganu. Kali kedua, Datuk pergi ke Kroh di Ulu Perak mencari gading gajah.
“Nenek sudah melampau, mahu ke hutan tengok jerat pun tidak boleh,”
rungut saya.
Gebar saya campakkan ke tepi. Saya segera bangun. Saya terus bersilat
dengan tujuan untuk menyegarkan tubuh badan. Boleh juga diistilahkan bersilat
untuk bersenam.
“Tamar kau buat apa di dalam, macam nak patah lantai rumah,” pekik nenek
bertalu-talu sambil mengetuk-ngetuk pintu bilik.
Tanpa melabuhkan kain yang berada di paras lutut, saya terus membuka
pintu. Saya ketawa melihat nenek yang terkejut.
“Kenapa muka nenek pucat? Apa nenek merasa hairan melihat gulung kain
berat ke kanan dan kain pula atas lutut? Saya bersilat untuk menegangkan urat,”
ucap saya. Nenek tidak menjawab. Wajahnya mula pucat.
“Nenek marah?”
“Tidak Tamar.”
“Nenek sakit?”
“Tidak Tamar.”
“Habis, apa yang nenek fikirkan?”
“Kaki kau Tamar.”
“Kaki saya? Kenapa dengan kaki saya nek.”
Tidak ada jawapan dari nenek. Sepasang mata hitamnya tertumbuk pada
sepasang kaki saya. Nenek menarik tangan saya ke ruang tengah. Saya disuruh
duduk di lantai sambil menjulurkan kaki. Wajah nenek terus didakap rasa cemas
yang sukar untuk dibaca.
“Itulah kau langgar petua aku Tamar. Kaki kau tak boleh kena air embun
dan angin masa berubat, sekarang apa dah jadi kau lihat sendiri,” suara nenek
tersekat-sekat.
Wajah cemasnya segera bertukar dibayangi rasa kecewa. Saya terus
merenung kaki. Memang benar kata nenek! Kaki saya terus mengecil, kisit. Tidak
berbuah betis lagi. Tetapi aneh sekali kesannya hampir tidak terasa. Hati saya
mula terasa hiba dan mahu menangis. Saya rasa hidup ini sudah tidak bermakna
lagi. Apalah ertinya hidup bagi saya, kalau anggota tubuh sudah cacat. Apalah
nilainya sepasang kaki, kalau tidak boleh digunakan.
Sesungguhnya, saya tidak sanggup menghadapi penderitaan seperti ini.
Saya terus menangis. Nenek terus membelek-belek urat-urat di kaki. Kerana Datuk
sudah pergi ke hutan, nenek segera menemui Haji Salim. Saya cemas bila Haji
Salim datang dengan membawa sebilah keris tanpa ulu dan sarung. Saya lihat
keris itu masih berasap kerana baru dikeluarkan dari api. Haji Salim terus
menjamah buku lali kaki. Ia kelihatan tenang. Senyum tidak putus-putus menari
di bibirnya.
“Usah bimbang, berusahalah dengan sabar. Carilah daun serunai laut, daun
gelanggang dan pucuk paku hutan. Sapukan pada kaki setiap pagi. Kisitnya masih
baru, ada harapan baik,” wajah Haji Salim kelihatan tenang. Senyum terus
bermain di wajahnya.
Haji Salim segera meminta diri. Bila sampai di anak tangga penghabisan
ia berhenti. Renung muka nenek dengan muka saya silih berganti.
“Tamar sikit lagi datang ke tempat aku, biar aku ajar kau membuat
keris,” Haji Salim meraba pangkal leher kiri.
“Kaki saya Aji.”
“Tak apa, sakitnya masih baru.”
“Saya bimbang Aji.”
“Tak usah bimbang.”
Haji Salim terus melangkah menuju ke rumahnya. Nenek kerutkan dahi.
Sesekali menggaru tempurung rambut yang tidak gatal. Dua tiga helai ubat
melekat di jari. Nenek berada dalam keadaan yang serba salah. Saya terus duduk
berjuntai kaki di muka pintu. Nenek ke dapur. Saya tidak tahu apa yang nenek
buat di dapur. Saya bayangkan dalam hati, kalau kedua belah kaki saya dipotong.
Tentu susah jadinya. Saya terpaksa berjalan memakai tongkat.
Lamunan yang tidak bertepi itu, mati dengan mendadak. Diganggu oleh
lintasan bayangan yang kurang jelas. Dan bayangan itu terjadi hanya dalam
beberapa detik sahaja. Kesannya amat mendebarkan hati. Bulu roma saya tegak
dalam sinaran matahari pagi yang kian garang. Kepala saya terasa pening.
Pandangan saya mula berpinar-pinar. Pokok-pokok yang saya lihat nampak
bergoyang. Perut terasa pedih dan tekak juga mula loya. Rasa muntah-muntah mula
terasa.
“Nenek…,” jerit saya.
Nenek segera datang. Bahu saya dipegangnya. Kemudian nenek meletakkan
telapak tangan kanannya ke dada saya. Ia menarik nafas dengan tenang.
“Dada kau berdebar?”
“Ye nek.”
“Apa puncanya?”
“Saya macam terpandang lintasan bayangan hitam melintas di depan saya
nek.”
“Itu cuma perasaan kau saja Tamar.”
“Betul nek.”
“Sudahlah Tamar, pergi mandi. Lepas itu pergi makan. Kopi dan rebus
keledek aku sediakan untuk kamu.”
Nenek meninggalkan saya. Arahannya saya patuhi. Ada sesuatu yang saya
rasa tidak kena pada kedua belah kaki. Waktu melangkah dari pintu depan menuju
ke ruang dapur tadi, terasa sengal-sengal di pelipat. Saya juga terasa amat
sukar untuk mengimbangi badan. Semuanya tidak saya nyatakan pada nenek.
Semangat saya untuk pergi ke rumah Haji Salim meluap-luap. Saya mahu
menghilangkan sakit di pelipat dan rasa sengal itu dengan berjalan.
Setelah mengenakan seluar panjang kuning, baju kemeja lengan pendek saya
ke rumah Haji Salim. Nenek hanya memerhatikan sahaja gelagat saya di muka
pintu. Sampai di rumah Haji Salim saya terus duduk di bangsal kerjanya. Pada
mulanya, saya duduk dekat tempat membakar besi. Saya tidak tahan dengan bahang
bara api yang garang.
“Kau tak tahan dengan bahang api Tamar?”
“Ya Pak Aji, kulit muka macam mahu terbakar rasanya.”
“Inilah orang muda sekarang. Bahang api pun tak tahan, tak pernah mahu
merasakan susah.”
“Sebenarnya saya tak berapa biasa dengan keadaan macam ini.”
“Kau harus biasakan, sebagai orang Melayu, kau tidak akan melepaskan
diri dari berhadapan dengan tanah, air, api dan angin.”
“Ya, saya faham.”
Haji Salim tersenyum. Ia sudah arif dengan perangai saya. Bila saya
menyebut perkataan terakhir itu. Ia sudah dapat membaca hati saya yang tidak
berminat untuk mendengar dengan perkara yang dikatakannya itu. Saya menoleh ke
kanan. Atas pelantar bangsalnya tersusun beberapa bilah parang, ada yang
panjang, beberapa bilah tajak dan pisau penyabit. Semuanya barang-barang itu
tidak mempunyai ulu. Haji Salim mengangkat besi merah dari dalam bara dengan
menggunakan penyepit besi. Besi yang merah menyala itu diletakkan atas
pelantar.
“Sebelum besi ini dibakar, sudah aku campurkan dengan tujuh jenis besi,”
kata Haji Salim sambil mengambil besi yang masih merah itu. Besi itu terus di
tempa hingga menjadi sebilah keris dengan tangan.
“Pak Aji nak jual keris ni?” tanya saya.
“Tidak, nak pakai sendiri.”
“Boleh buatkan saya sebilah.”
“Belum masanya.”
Haji Salim menghampiri saya. Ia rasa kaki saya. Dengan hati-hati Haji
Salim menuangkan air dari dalam labu tanah ke dalam gelas. Air dalam gelas itu
dirapatkan ke bibirnya yang sedang bergerak-gerak membaca sesuatu.
“Nah sapukan ke kaki kamu, dengan izin Allah sakit sengal yang kamu rasa
itu, akan hilang,” Haji Salim sambil menyerahkan air dalam gelas pada saya. Air
itu saya sapukan ke kaki. Sepuluh minit kemudian rasa sengal-sengal di kaki
terus hilang.
“Kau usah bimbang, kaki kau yang kisit, tak berdaging tu, akan sembuh
nenek kau boleh mengusahakannya.”
“Dengan apa nenek nak menyembuhkannya Pak Aji.”
“Dengan senaman, kalau nenek kau tak tahu Datuk kau tahu, Datuk kau tu
apa kurangnya.”
REBAH
Saya terus diam. Badan saya rebahkan atas pelantar. Dua hari dulu, waktu
saya baring di pelantar, cucunya datang membawakan dua cawan kopi. Kali ini
saya berharap kisah yang berlaku itu akan berulang lagi. Saya mahu melihat cucu
perempuannya yang berwajah manis, berkulit cerah. Ada lesung pipit di pipi.
Tidak mudah mengeluarkan kata-kata. Tetapi senyumnya amat murah sekali.
Sesungguhnya, saya terpikat dengan sinar matanya yang lembut. Dengan rambutnya
yang ikal mayang. Dengan senyumnya yang menawan.
“Hari ni nampaknya, tak ada kopi Tamar.”
“Tak apa Pak Aji.”
“Bukan tak apa Tamar, aku terpaksa masak sendiri.”
“Mak Aji ke mana?”
“Dia menghantar Saadiah, ke rumah emak bapanya di Beranang, dah sebulan
dia berada di sini, emak bapanya suruh balik. Dengar cerita ada orang nak masuk
meminangnya.”
“Hum, begitu,” kata saya dengan tenang.
Satu kehampaan berkocak dalam dada saya. Tujuan utama saya menemui Haji
Salim, bukanlah mahu menunaikan pesannya. Ada tujuan lain. Saya mahu melihat
wajah Saadiah cucunya. Saya mahu kenyit mata padanya. Apakan daya, harapan yang
dicari tidak terlaksana.
“Tamar.”
“Ya Pak Aji.”
“Kau mahu tahu tanda-tanda orang yang celaka dalam dunia.”
“Mahu.”
Haji Salim berhenti menempa mata keris dengan tangan sebentar. Ia renung
muka saya. Aneh, renungan itu, saya rasakan bukan renungan Haji Salim tetapi
renungan Saadiah cucunya. Saya tersenyum.
“Kenapa kau senyum?”
“Tak ada apa-apa Pak Aji.”
“Tanda-tanda orang-orang celaka tu ada empat. Pertama, lupakan dosa-dosa
yang lepas dan tidak mahu bertaubat. Kedua, ia mengingati amal ibadah yang
dibuatnya, menghitung berapa banyak sedekah jariahnya, berapa banyak sembahyang
yang dibuat,” Haji Salim berhenti bercakap.
Ia merenung bentuk keris yang ada di atas pelantar. Keris itu sudah siap
separuh. Cuma bahagian pangkalnya sahaja yang belum menjadi.
“Tanda yang ketiga, kau nak tahu apa dia Tamar?”
“Saya tak tahu Pak Aji.”
“Tanda yang ketiga, orang yang berkenaan sentiasa memandang orang yang
berdarjat, tidak pandang orang yang miskin dengan sebelah mata pun.”
“Tanda yang keempat pula Pak Aji? Apa dia.”
“Yang keempat pula, dalam hal akhirat orang itu merasakan dirinya saja
yang sudah sempurna, memandang hingga orang yang tidak sembahyang, tidak puasa
serta mengamalkan hukum Islam, seolah-olah dirinya seorang saja orang Islam
yang tulen, itulah tanda-tanda orang yang celaka di dunia.”
Haji Salim berhenti berkata-kata. Ia meneruskan kerjanya kembali.
Menempa sebilah keris dengan tangannya sendiri. Setiap kali ia menekan besi,
besi itu kelihatan lembut dan mengikut bentuk yang dihajatinya.
Saya segera menoleh ke kiri, ke arah jalan yang menghubungkan rumah
Datuk dengan rumah Haji Salim. Saya berbuat demikian kerana terdengar nama saya
dipanggil berkali-kali. Kerana panggilan itu kurang jelas, saya tidak dapat
meneka, suara siapa yang saya dengar. Nenek suaranya nyaring dan halus tetapi,
suara yang saya dengar kasar. Kalau mahu dikatakan suara Datuk memang mustahil,
Datuk masih belum pulang dan suara Datuk tidak macam itu.
Suara Datuk agak serak-serak basah dan parau. Paling menakjubkan tidak
nampak bayang Datuk atau nenek di muka jalan. Jadi suara siapa pula yang saya
dengar? Keresahan yang melanda diri saya, dapat dibaca oleh Haji Salim.
“Kau terdengar suara orang memanggil nama kamu Tamar?”
“Ya Pak Aji, agaknya suara hantu Pak Aji.”
“Bukan, mana ada hantu waktu siang begini, aku agak suara makhluk Allah
yang berkenankan kamu.”
“Macam mana Pak Aji tahu, saya terdengar suara orang.”
“Dari gerak-geri kamu Tamar.”
Saya mula resah. Hati mula berdebar. Badan terasa lain macam. Bulu roma
saya mula tegak tanpa sebab. Saya mula dibayangi dengan bermacam-macam
perasaan. Ada lintasan bayangan seperti yang terjadi di muka pintu tadi,
melintas di depan saya. Bentuknya sukar mahu digambarkan dengan tepat.
Sepintas lalu, bentuknya macam papan keranda yang melayang-layang. Ada
sehelai kain hitam melekat di papan itu. Dari kain hitam itu berjuntai
jari-jari tangan tanpa daging. Tulang-tulang jari yang keras dan putih itu
bagaikan mahu mencakar wajah saya. Inilah yang menimbulkan rasa takut dalam
hati.
“Biarlah, saya balik dulu Pak Aji.”
“Silakan Tamar.”
Saya pun meninggalkan Haji Salim di bangsal. Dalam debar dada yang cemas
saya terus melangkah tanpa menoleh ke arah Haji Salim. Dahi saya mula berpeluh.
Sebaik sahaja saya sampai dekat pokok mempelam pauh yang besar dan tinggi,
dahan mempelam itu patah lalu jatuh. Kalau tidak cepat saya mengelak, pasti
saya ditimpa dahan tersebut. Dalam masa yang sama, lintasan bayangan yang tidak
menyenangkan itu terjadi lagi di hadapan saya.
Langkah saya terus kaku sebentar. Bila saya mahu melangkah kembali
terdengar suara menyebut nama saya. Cepat-cepat saya merenung ke arah pangkal
pokok mempelam. Rasa cemas segera hilang. Seorang tua yang tidak saya kenali
muncul di situ dan menuju pada saya.
“Berikan ini pada Datuk kamu,” kata orang tua itu. Ia menyerahkan satu
bungkusan kecil yang berbalut dengan daun keladi, bila bungkusan itu mahu saya
buka, orang tua segera memegang tangan saya.
“Belajarlah jadi manusia yang amanah,” katanya.
“Maafkan saya.”
“Aku maafkan, jangan menoleh arah mana kamu datang, kerana aku mahu ke
sana.”
“Ya, saya faham.”
Orang tua itu segera bergerak ke arah belakang saya. Bunyi tapak kakinya
cukup jelas menuju ke arah rumah Haji Salim. Saya terpegun sejenak, bau yang
amat wangi segera menyumbat lubang hidung. Saya pasti bau wangi itu datang dari
tubuh badan orang tua tersebut.
Ada dua persoalan timbul dalam hati saya. Pertama, kenapa orang tua itu
tidak memberi salam. Kedua, orang tua itu memang bukan orang kampung. Ia orang
asing. Dua persoalan yang menggugat hati, membuat saya melanggar larangannya.
Saya segera menoleh ke belakang. Orang tua itu tidak kelihatan lagi.
Tetapi, bau wangi masih dapat dicium. Dedaun senduduk dan lalang di sebelah
kanan jalan, kelihatan bergerak-gerak, macam baru sahaja dirempuh oleh manusia.
Saya tahu, kawasan sebelah kanan jalan yang dikuasai oleh pokok senduduk dan
lalang itu, luasnya hampir suku batu. Hujung kawasannya bertemu dengan sebuah
anak sungai. Seberang sungai itu terdapat kawasan perkuburan yang tidak
digunakan lagi.
Nenek pernah memberitahu saya, kawasan perkuburan itu tidak luas. Cuma
menempatkan tujuh buah kubur. Batu nisannya diambil dari batu gunung. Tidak
seorang pun yang tahu, mayat siapa yang ditanam di situ. Kata Datuk ada waktu
yang terluang, ia sering kali mengajak saya ke situ untuk membersihkannya. Bagi
Datuk membersihkan kubur merupakan satu amalan yang baik.
Bila saya mengingatkan orang yang baru saya temui itu menuju ke kubur
lama, saya jadi takut. Saya terus lari menuju ke rumah. Waktu itu saya tidak
ingat langsung yang kaki saya tidak begitu baik.
JATUH
Waktu saya sampai di kaki tangga. Saya sudah kehabisan tenaga. Tidak
mampu memijak mata tangga yang setia menanti sesiapa sahaja untuk memijaknya.
Saya terjatuh. Bungkusan barang dalam daun keladi terbuka dan tercampak dekat
saya.
“Tolong,” jerit saya, bila melihat tulang jari terdampar atas tanah,
(tidak jauh dari daun keladi yang jadi pembungkusnya) nenek segera menerpa pada
saya. Nenek segera memapah saya. Ia suruh saya duduk atas tangga.
Tanpa diduga, Datuk pulang awal dari hutan. Tidak ada pelanduk atau
napuh yang dibawanya. Datuk terkejut dengan apa yang terjadi pada saya.
“Kenapa Tamar?” Tanya Datuk.
“Ada orang beri barang pada tuk.”
“Mana dia barangnya?”
“Itu dia tuk.”
Mata Datuk melihat ke arah yang ditunjuk oleh jari telunjuk saya. Dia
menggigit ibu jari kanannya. Macam memikirkan sesuatu. Datuk suruh nenek
beredar dari situ. Nenek segera masuk ke rumah.
“Pelik, masa dalam hutan tadi ada orang yang tak aku kenal, kirim salam
pada kau. Bila aku tanya siapa dia, orang itu terus meninggalkan aku, tetapi ia
meninggalkan bungkusan daun keladi dekat pokok meranti,” Datuk memulakan
cerita.
“Apa isinya tuk.”
“Sama dengan apa yang aku lihat sekarang, tulang jari manusia.”
“Orang yang tok jumpa tu, lelaki ke perempuan.”
“Perempuan tua.”
“Serupa juga dengan saya, saya juga jumpa perempuan tua, mukanya
ditutup.”
Datuk tidak berkata apa-apa lagi. Ia suruh saya masuk ke rumah. Daun
keladi dan tulang jari manusia itu diambilnya dan terus ditanam kira-kira
serantai dari halaman rumah.
JUMPA
Pukul empat setengah petang. Datuk duduk di anjung rumah sambil membaca
kitab. Datuk tidak memakai baju. Kepalanya dilekati oleh ketayap putih. Datuk
seolah-olah, tidak menganggap sesuatu yang luar biasa dengan peristiwa yang
terjadi. Mungkin peristiwa itu tidak menarik minatnya. Kalau Datuk tertarik,
pasti ia bercerita. Bila melihat sikap Datuk begitu, saya sendiri tidak ambil
kisah dengan apa yang terjadi.
Nenek terus berusaha memulihkan kaki saya yang kian mengecil itu. Ia
menyentuh dan mengurut urat-urat tertentu di kaki. Di samping itu, nenek juga
sudah menyediakan berbagai-bagai jenis daun untuk dibalut ke kaki saya.
“Kaki Tamar tu, kalau diizinkan Allah, akan sembuh juga,” cara mendadak
Datuk bersuara.
“Kalau tak diusahakan, tentu tak menjadi,” balas nenek. Suaranya agak
meninggi. Datuk tutup kitab yang dibacanya. Ia renung muka nenek.
“Kalau kakinya mengecil atau kisit tak ada isi disebabkan kena air embun
dan angin, kenapa kita tak cuba ubat dengan embun dan angin juga,” kata Datuk.
Ia bangun lalu rapat ke arah nenek yang mengurut kaki saya.
“Caranya bagaimana?”
“Kita lumurkan kakinya dengan embun, dua puluh pagi Jumaat, kita juga
kenakan angin malam Jumaat, di samping membaca doa tertentu,” kata Datuk
tenang.
“Awak buatkan.”
“Ya, saya buatkan mulai malam dan pagi Jumaat depan.”
Nenek tersenyum mendengar pengakuan Datuk. Ia merasakan Datuk tidak
melepaskan tanggungjawab itu pada dirinya seorang sahaja.
Tiba-tiba saya terhidu bau wangi yang amat kuat. Saya segera bergerak
menuju ke muka pintu. Tanpa saya sedari Datuk mengekor dari belakang. Saya
terkejut, di halaman rumah, ada perempuan tua yang saya tengok pada sebelah
pagi berdiri di situ. Kali ini, mukanya ditutup dengan kain selendang.
“Ada apa hajat,” tanya Datuk.
“Tak ada apa-apa hajat buat apa datang ke mari.”
“Nak berziarah pun tak boleh.”
Datuk terdiam. Mulutnya bagaikan terkunci untuk menjawab kata-kata dari
perempuan tua itu. Datuk segera merenung ke arah saya. Melihat perempuan tua
itu masih tercegat di halaman, saya terus bersuara:
“Beradatlah sikit, berilah salam.”
“Sudahlah, saya nak cari rumah orang yang pandai membuat keris, keris
suami saya hilang,” suara perempuan tua itu tenang.
“Awak pergi arah ke darat sana, cari orang nama Haji Salim, dia pandai
buat keris, kalau pedang laki awak hilang pun dia boleh buat.”
“Awak menyindir.”
“Sudahlah perempuan….” Datuk segera menutup mulut saya dengan tangan.
Biji mata Datuk bagaikan mahu tersembul merenung muka saya. Bila sudah
begitu keadaannya, tentulah Datuk sudah marah. Saya tunduk.
“Maafkan cucu saya,” kata Datuk. Perempuan tua itu pusingkan badannya.
Ia terus menuju ke rumah Haji Salim.
“Jangan biadab sangat, kita belum kenal siapa dia,” kata Datuk. Dengan
tenang Datuk menarik tangan saya untuk masuk ke ruang tengah. Dari
gerak-gerinya, saya tahu perasaan Datuk tidak tenteram.
Rasa tidak tenteram dalam diri Datuk itu berlanjutan hingga masuk waktu
asar. Lepas sembahyang asar, ia masih lagi memikirkan tentang perempuan tua
yang ditemuinya dalam hutan, tentang perempuan tua yang memberikan barang saya,
tentang perempuan tua yang baru meninggalkan halaman rumah sebentar tadi.
“Boleh jadi apa yang kita lalui ini, ada hubungannya dengan Sariyah yang
aku tolong dan aku jadikan anak angkat,” keluh Datuk.
“Apa yang mesti kita buat tuk?”
“Kita hadapi semuanya, kita sudah terlalu jauh dicabarnya, kaki kau
hampir lumpuh tetapi, mereka masih belum puas, percayalah kalai kita berusaha
dan berserah pada Allah kita akan menang.”
“Masanya terlalu panjang tuk.”
“Sabarlah, kemenangan tidak akan terjadi dengan sekelip mata.”
Saya menggigit bibir mendengar cakap Datuk. Wajah perempuan tua masih
terbayang di kepala saya. Wajahnya yang ditutup dengan kain selendang, saya
bayangkan amat hodoh sekali. Matanya terperosok ke dalam. Tidak ada hidung.
Dahinya bersopak dan kulit pipi mengerutu.
“Jangan fikirkan yang bukan-bukan tentang dirinya,” saya terkejut
mendengar cakap Datuk itu. Rupa-rupanya Datuk dapat membaca dengan apa yang
tersirat dalam hati saya.
“Membayangkan wajah orang dalam keadaan buruk, memang tidak baik. Itu
perbuatan syaitan,” sambung Datuk. Saya tersengih. Saya terus menuju ke muka
pintu.
Saya lihat matahari petang sudah condong benar. Burung gagak itu hinggap
di pelepah pisang mencari ulat dalam daun pisang yang bergulung. Angin petang
tidak bertiup langsung, membuat badan saya terasa panas dan berpeluh.
Tiba-tiba saya terpandang tulang jejari manusia bertaburan atas tanah di
halaman. Tulang-tulang itu bagaikan muncul dari perut bumi dan bumi kelihatan
macam merekah. Dari rekahan bumi itu saya bagaikan terlihat tengkorak manusia
bergerak-gerak, bagaikan mahu tersembul. Saya jadi cemas. Saya renung ke arah
halaman rumah lama-lama. Ternyata apa yang saya lihat tadi, memang tidak ada. Tetapi,
saya merasa hairan kenapa hal yang tidak ada itu boleh wujud di hadapan mata
saya.
Barangkali, semuanya ini perasaan semata-mata, saya terlalu banyak
memikirkan tentang wajah perempuan tua itu, membuatkan saya
terpandang-pandangkan perkara yang menakutkan, kata hati saya. Saya renung
bayang pokok kelapa yang memanjang di bumi. Matahari petang kian condong.
Sesekali terdengar kokok ayam jantan, menunjukkan lagak di depan ayam betina
sambil mengembangkan kepak di badan. Burung gagak terbang bersimpang siur,
mencari ulat daun pisang.
Dalam keramahan dan keganjilan suasana petang itu, saya dikejutkan oleh
suara yang tidak asing lagi buat saya. Cepat-cepat saya merenung ke arah suara
itu datang. Haji Salim tercegat di sempadan halaman rumah.
“Ada apa Pak Aji?”
“Datuk kau, ada di rumah Tamar.”
“Ada.”
Haji Salim rapat ke kaki tangga Datuk pula segera mempamerkan diri di
muka pintu. Saya ditolak ke belakang.
“Apa hajat sahabat?” tanya Datuk.
“Nak mengajak pergi berziarah ke kubur lama.”
“Kenapa dah sayup benar, matahari dah nak jatuh, susah jadinya kalau
kita tidak berhati-hati.”
“Tak apa, tadi ada orang perempuan tua jumpa saya, minta tolong
tengokkan anak perempuannya yang sesat di kubur lama.”
“Sahabat kenal orang perempuan tua itu.”
“Tak kenal pula.”
Datuk melangkah turun. Matahari kian bertambah condong. Burung gagak
terus berbunyi. Haji Salim menghampiri Datuk. Masing-masing mengedutkan dahi
luas, macam memikirkan sesuatu masalah yang besar.
“Kalau tak kenal macam mana kita tolong,” Datuk meluahkan suara hatinya.
Haji Salim termenung sejenak. Mungkin ia sependapat dengan pendapat yang Datuk
bentangkan.
“Tak apalah, kita tolong,” jawab Haji Salim.
“Sahabat yakin yang perempuan tua tu manusia?”
“Tentulah manusia, bukan syaitan.”
“Kalau begitu, biar saya tukar pakaian dulu.”
Datuk segera naik ke rumah. Pakai seluar dan baju Melayu. Selitkan
parang panjang di pinggang. Tujuannya bukan apa-apa. Parang itu akan digunakan
untuk menebas semak-samun di tanah perkuburan. Bila semuanya sudah selesai
mereka pun berangkat. Saya pun ikut sama.
Meredah hutan senduduk dan lalang, bukanlah sesuatu yang mudah. Mujurlah
Datuk membawa parang panjang. Haji Salim bawa golok. Dapatlah dahan-dahan dan
ranting senduduk dirintis. Dengan berbuat demikian, banyak masa terbuang.
Sebenarnya, memang ada jalan pintas yang boleh cepat sampai ke kawasan
tanah perkuburan lama itu. Pelik juga, kenapa Datuk dan Haji Salim tidak mahu
ikut jalan tersebut. Agaknya, dengan cara meredah hutan senduduk dan lalang,
mereka berharap akan dapat bertemu dengan anak pada perempuan tua yang hilang.
Ramalan saya itu mungkin tepat dan mungkin tidak tepat. Perkara yang
pasti, saya tidak menghadapi sebarang kesukaran. Setelah hutan senduduk
dirintis, barulah saya dibenarkan berjalan. Seronok berjalan dengan orang tua
yang tahu menghargai kekurangan diri orang seperti saya.
Setelah badan dibasahi peluh. Kami sampai ke tebing sungai. Menyeberang
sungai yang cetek airnya, tidak banyak menghadapi masalah. Air sungai yang
sejuk itu memberikan rasa kesegaran pada tubuh.
Saya merenung ke kaki langit, matahari yang kian condong mula dihampiri
awan putih yang tebal. Kerana kawasan kubur lama itu dikelilingi oleh
pokok-pokok jati dan jejawi yang besar, digayuti oleh akar-akar hutan yang
berselirat, menjadikan suasana di situ agak samar-samar dan sunyi.
Bunyi dengung nyamuk cukup jelas. Begitu juga dengan suara burung merbah
dan burung puyuh. Tidak jauh dari kawasan kubur itu terdapat sebuah busut
jantan yang tingginya sama paras dengan orang dewasa. Anai-anai kelihatan
merayap di puncak busut itu. Tanah busut nampak berlubang-lubang dan
seakan-akan merekah.