Orang Berjubah Hitam
Suara di sekitar kubur lama kembali sepi. Tidak ada terdengar suara
orang perempuan dan suara kanak-kanak menangis. Lelaki yang menatang
kanak-kanak itu meletakkan kanak-kanak itu atas kubur. Kanak-kanak itu kembali
menangis dan terus diam bila lelaki itu menyumbat susu ke dalam mulutnya.
“Aku yakin kanak-kanak itu, bukan kanak-kanak betul,” beritahu Datuk
pada Haji Salim.
“Tapi, macam mana ia boleh menangis tuk,” tanya saya.
“Itu bukan suara kanak-kanak tu Tamar.”
“Habis suara siapa tuk?”
“Suara itu datang dari dalam kubur.”
Saya terus diam. Dengan serta merta bulu tengkuk saya mula meremang.
Tetapi mata saya terus tertumpu ke arah kubur lama. Saya lihat lelaki itu
mengeluarkan pisau lalu menikam kanak-kanak tersebut. Suara jeritan kanak-kanak
itu melalak. Saya lihat darah dari perut kanak-kanak itu mercik. Membasahi
pergelangan tangan lelaki yang menikamnya.
Suara ketawa dari orang yang mengelilingi kubur lama itu mula terdengar.
Bila suara ketawa itu berakhir, terdengar suara orang perempuan menggilai
bersahut-sahutan dari angkasa. Orang-orang yang mengelilingi kubur lama
bertepuk tangan menyambut hilai ketawa dari udara.
Lebih kurang lima minit suara ketawa dan menggilai itu berbalas-balas.
Lepas itu suasana di situ terasa sepi. Orang lelaki yang menikam kanak-kanak
itu terus berdiri. Ia mendepangkan kedua belah tangannya. Kain hitam yang
dipakainya mengembang lebar macam sayap kelawar.
“Hai ratu, raja dahulu. Aku tahu kuburmu kubur Seri Banian, waris
terdekat dari Selendang Delima. Khabarkan pada kami di mana harta keturunan
kamu disimpan,” suara lelaki itu meninggi.
Tidak ada jawapan yang terdengar. Lelaki itu mengulangi perkataan itu
untuk kali yang kedua. Tiada jawapan yang diterima. Lelaki berjubah hitam itu
berjalan atas kubur. Suara lolongan anjing terdengar sayup-sayup. Burung hantu
terus menyanyi dengan semahu-mahunya. Angin bertiup dengan kencang. Pokok-pokok
di belakang kami bergegar macam ada orang yang menggoyangkannya. Ada lembaga
besar dan tinggi melintas di depan kami.
“Jangan tegur apa yang kamu lihat,” Datuk memberi pesan.
Saya dan Haji Salim anggukkan kepala. Lelaki yang berdiri di atas kubur
berhenti berjalan. Berdiri di depan seorang lelaki yang berpakaian macamnya.
Lelaki itu melompat dan melutut di depannya.
“Semua harta itu ada di dalam kubur kami. Kamu tidak boleh mengambilnya
kalau tidak memenuhi syarat,” orang berlutut bersuara.
“Apa syaratnya?”
“Kami mahu lidah dara sunti, bukannya kanak-kanak, syarat kedua kami
mahu mengacau penduduk di sini dan syarat ketiga kamu semua harus datang ke
sini pada setiap tengah malam Jumaat,” selesai sahaja orang itu berkata-kata ia
terus rebah. Tidak ada orang yang mahu menolong membangunkannya.
Orang yang mengelilingi kubur lama terus ketawa. Mereka bertepuk bila
melihat orang yang rebah bangun dan terus duduk bersimpuh di depan lelaki yang
berdiri.
“Syarat dari siapa?” tanya lelaki yang berdiri.
“Syarat dari aku, raja terawal yang memerintah negeri ini. Berasal dari
utara,” suara perempuan yang halus dan lunak. Ia membuka kain hitam yang
menutup kepalanya.
Dengan pertolongan cahaya api, wajahnya mudah dilihat. Orangnya berkulit
putih berambut panjang separas bahu. Orang lain yang mengelilingi kubur terus
bertepuk tangan, macam orang tidak sedarkan diri.
Datuk terus mengarah saya dan Haji Salim supaya rapat ke kubur. Kami
terus merangkak dengan perlahan-lahan. Berhenti merangkak bila berada di
belakang orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu.
Malam yang kian jauh memburu pagi itu, terasa amat dingin sekali. Pokok
kecil yang tumbuh sekitar kawasan itu nampak bergoyang disentuh angin.
Cengkerik dan katak puru terus melompat tetapi, nyamuk tidak ada yang datang
menyerang kami. Mungkin nyamuk takut dengan sinaran api yang marak itu.
“Bukan orang sini,” bisik Datuk pada Haji Salim.
“Aku rasa pun begitu,” jawab Haji Salim sambil merapatkan dadanya ke
tanah.
Saya menggaru cuping telinga. Saya terasa terlalu sukar untuk bernafas
dalam keadaan meniarap. Bau tanah menyucuk lubang hidung. Kalau ada semut yang
merayap di pipi, tak boleh ditampar. Semut itu harus ditangkap dan diletakkan
atas daun-daun kering.
“Apa yang mereka buat tuk?” tanya saya pada Datuk.
“Memuja kubur.”
“Tujuannya untuk apa tuk.”
“Ada bermacam-macam, mungkin mereka mahu mencari harta karun mungkin
mereka mahu mengamalkan ilmu salah.”
“Apa yang harus kita buat tuk?”
“Menghalau mereka dari sini, mereka tak boleh dibiarkan begitu, nanti
kita yang susah. Syaitan yang dipuja tu akan ganggu kita semua.”
Saya terdiam. Tidak ada pertanyaan yang mahu saya kemukakan pada Datuk.
Biji mata saya arahkan pada dua orang yang berada di tengah kubur. Saya lihat
orang yang duduk berlutut sudah berdiri. Ia mengeluarkan botol besar dari dalam
kain hitamnya. Botol itu diserahkan pada orang di depannya.
Bila lelaki itu mendapat botol, tanpa membuang masa botol itu diketuknya
pada batu nisan. Serpihan botol itu diambilnya dan diserahkan pada orang yang
baru bangun dari melutut itu.
“Untuk raja,” katanya.
“Terima kasih, kau pula harus melutut,” orang yang berdiri segera
melutut.
Dan orang yang dipanggil sebagai raja itu menutup kembali kepalanya
dengan kain hitam.
“Apa yang aku mahu adalah darah kamu semua,” orang yang dipanggil raja
itu terus bersuara.
Ia menyerahkan kembali serpihan kaca pada orang yang berdiri. Salah
seorang daripada orang yang mengelilingi kubur lama itu bangun. Ia meletakkan
baldi kecil di depan orang yang melutut. Dengan tenang orang yang melutut itu
melukakan lengan tangan kirinya. Ia membiarkan darahnya menitis dalam baldi.
Perbuatan yang sama juga dilakukan oleh orang-orang yang mengelilingi kubur
lama.
Bila semuanya sudah menitiskan darah dalam baldi. Orang dipanggil raja
itu terus minum darah. Bila selesai berbuat demikian, baldi itu diserahkan pada
orang lain untuk menikmati rasa darah dalam baldi. Bila upacara ganjil itu
selesai. Darah yang masih ada dalam baldi dicurahkan pada batu nisan.
Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus bertepuk tangan.
“Makan,” kata orang yang dipanggil raja.
Semua orang yang mengelilingi kubur lama mengeluarkan daun keladi dari
celah ketiak lalu diletakkan di depan. Orang yang dipanggil raja itu
mengeluarkan sesuatu dari dalam kain hitam dan meletakkan atas daun keladi yang
tersusun di depan orang-orang yang mengelilingi kubur lama.
“Makan,” katanya.
Orang-orang yang mengelilingi kubur lama terus membongkok dan menyuapkan
sesuatu dari daun keladi ke mulut. Upacara itu berlangsung kira-kira lima minit
sahaja.
“Apa lagi yang kamu mahu?” tanya orang yang dipanggil raja dan terus
duduk.
Belakangnya disandarkan kepada batu nisan. Matanya menatap wajah-wajah
orang yang mengelilingi kubur lama.
“Ilmu yang bertentangan dengan hukum agama hukum akal, tidak mengenal
belas sesama manusia,” jawab orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu
serentak.
“Baik, setiap kamu yang ada di sini harus membawa lidah anak dara sunti,
kemudian bila lidah itu sudah ada di sini, aku tawarkan untuk memperdaya semua
manusia,” cukup tenang orang dipanggul raja itu memberikan jawapan.
Datuk dan Haji Salim terus diserang rasa gelisah. Mereka tahu kalau
semua orang yang mengelilingi kubur lama itu mematuhi permintaan manusia yang
dipanggil raja itu, padahnya akan menimpa gadis-gadis sunti yang tidak berdosa.
“Ini sudah merbahaya,” rungut Datuk.
“Memang merbahaya,” jawab Haji Salim.
Saya hanya menggigit bibir. Pelik juga saya memikirkan, kenapa Datuk dan
Haji Salim tidak mahu bertindak dengan segera.
Selain daripada itu, bila mereka merompak waktu malam, tubuh mereka
sukar dilihat dengan mata kasar. Penjelasan Datuk itu diakui oleh Haji Salim.
Bila semuanya sudah mengenakan kesah darah di batu nisan ke tubuh, mereka
duduk di tempat asal kembali dan terus bertepuk tangan. Orang yang pengsan di
batu nisan tidak ada siapa yang mahu ambil tahu. Akhirnya orang itu sedar
sendiri. Ia membuka kain hitam yang menutup kepalanya. Dan wajahnya saya lihat
berbeza sekali.
Kalau tadi kulitnya putih lembut dengan rambut panjang, kali ini kulit
wajahnya menjadi sawo matang dan keras, rambutnya digunting pendek macam
tentera yang baru selesai menjalani latihan, di pusat latihan tentera di Port
Dickson. Ia melangkah longlai ke tepi kubur lama lalu duduk di situ. Saya
menguap panjang sebanyak dua kali. Rasa mengantuk kian terasa. Rasa dingin kian
hebat menggigit kulit tubuh.
Tanpa diduga, Haji Salim terbatuk dengan kuat. Semua orang yang
mengelilingi kubur segera bangun. Mereka terus membakar andang daun kelapa.
Seluruh kawasan kubur terang benderang. Kain hitam yang membungkus kepala
mereka jatuhkan. Semuanya berambut pendek dengan wajah yang bengis.
Dalam keadaan yang cemas begitu, Datuk terus melompat dan berdiri tidak
jauh dari mereka.
“Maksiat,” pekik Datuk. Haji Salim dan saya terus berdiri di kiri dan
kanan Datuk.
Pada mulanya kumpulan berjubah hitam itu mahu menentang kedatangan kami.
Tetapi, bila mereka melihat Haji Salim melambaikan tangan ke arah hutan tebal,
seolah-olah memanggil orang lain keluar dari hutan tebal, membuat kumpulan itu
berpandangan sama sendiri.
“Apa yang kamu buat di sini,” tanya Datuk. Tiada ada jawapan yang
diterima. Semua anggota kumpulan itu melangkah setapak ke belakang.
“Tinggalkan,” saya terdengar suara dari sebelah kanan.
Serentak dengan itu anggota kumpulan tersebut terus menghilangkan diri.
Meredah pokok-pokok yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.
Haji Salim terus mengejar mereka dengan harapan salah seorang daripada mereka
dapat ditangkap. Usaha Haji Salim itu gagal. Kumpulan berjubah hitam itu cukup
cekap berlari dalam gelap. Apa yang mereka bawa seperti tempat perasap, daun
kelai, baldi dan botol semuanya sempat disambat untuk dibawa lari bersama.
Haji Salim kembali mendapatkan saya dan Datuk yang berdiri di atas
kubur. Haji Salim tercungap-cungap. Dengan pertolongan cahaya api, saya dapat
melihat peluh menitik dari muka ke atas bajunya.
“Penat,” Haji Salim merungut.
“Sepatutnya, jangan dikejar tadi,” balas Datuk.
“Itulah silap saya, sekarang apa yang harus kita buat. Kalau kumpulan
itu mengamuk, susah kita dibuatnya.”
“Bertenang, masih ada masa untuk kita berusaha.”
“Caranya?”
“Nanti kita fikirkan.”
Datuk terus menepuk bahu Haji Salim. Tanpa banyak cakap kami pun
meninggalkan kawasan tanah kubur lama itu. Seperti yang diduga, ketika kami
menyeberang sungai mahu pulang ke rumah, hujan turun dengan lebatnya.
Titik-titik hujan yang kasar itu disertai dengan kilat dan bunyi guruh.
Seluruh pakaian kami habis basah kuyup. Saya menggeletar dan dua kali
buang air kecil. Berjalan dalam hujan waktu malam memang menyeksakan. Sama ada
suka atau tidak saya mesti menjalaninya dengan perasaan yang sabar.
“Singgah dulu, kita sembahyang Subuh bersama,” kata Haji Salim bila
sampai ke kawasan rumahnya.
“Tak payahlah, rumah kita pun tak jauh lagi,” Datuk menolak permintaan
Haji Salim dengan tenang.
Haji Salim menuju ke rumahnya. Saya dan Datuk meneruskan perjalanan.
Hari masih gelap, hujan terus gugur bersama kilat dan bunyi guruh
sambung-menyambung. Memang dalam suasana demikian memang seronok tidur, fikir
saya. Entah apa yang Datuk fikirkan ketika berjalan dalam hujan itu, saya
sendiri pun tidak tahu. Saya dan Datuk pun sampai di rumah.
“Pergi mandi tukar baju basah tu,” perintah Datuk.
“Baik tuk,” saya pun masuk ke bilik air. Datuk terus menuju ke perigi.
Baru dua gayung air menjirus badan, saya terdengar pintu bilik air diketuk
orang bertalu-talu.
“Siapa tu?”
“Aku.”
“Aku tu siapa?”
“Nenek kaulah, kenapa kau mandi di rumah Tamar. Kenapa tak mandi di
telaga.”
“Tuk yang suruh nek.”
“Cucu dengan Datuk sama saja. Adakah patut suruh cucu mandi di rumah,”
rungut nenek. Saya tersenyum sendirian dalam bilik air.
Lepas mandi saya terus ganti pakaian. Tidak lama lagi waktu Subuh akan
tiba. Nenek melarang saya masuk ke bilik tidur. Ia tahu, kalau saya masuk bilik
tidur, sembahyang Subuh pasti tidak saya lakukan.
“Apa yang kau orang dapat di kubur lama Tamar?”
“Itu kena tanya tuk,” saya renung muka nenek. Dalam waktu yang sama
Datuk masuk ke rumah. Ia berdiri di depan nenek sebentar.
“Awak nak tahu apa kami dapat di kubur lama?”
“Apa dia?”
“Jumpa orang buat kerja maksiat.”
“Kerja maksiat.”
“Ya.”
Datuk pun masuk ke ruang tengah. Tiba-tiba terdengar suara Datuk
menjerit. Saya dan nenek menerpa ke ruang tengah. Saya lihat Datuk membongkok
mengambil sesuatu dan mencampakkan ke luar ikut tingkap.
“Apa dia tuk?”
“Daging orang dalam daun keladi, aku campakkan ke tanah.”
“Kenapa tuk tak tanam.”
“Ah, tak usah banyak tanya,” suara Datuk keras.
Kerana azan Subuh sudah kedengaran, saya dan Datuk meneruskan sembahyang
Subuh. Lepas sembahyang saya ikut Datuk bersenam. Hujan masih lagi turun,
tetapi tidak selebat tadi. Pagi itu, Datuk tidak mandi embun.
Lebih kurang pukul sembilan pagi, hujan berhenti terus. Matahari kembali
bersinar. Datuk dan saya berehat di anjung rumah. Dari jauh kelihatan bayang
seorang lelaki berbaju putih berseluar hitam datang ke arah kami. Langkahnya
cukup laju. Sampai di halaman ia terus memberi salam. Datuk membalasnya dengan
penuh hormat.
“Silakan naik,” pelawa Datuk. Orang itu tidak menjawab. Ia terus
mengurut-urut janggut sejemput di bawah dagu.
Satu hal yang pasti, orang itu tidak berani menentang mata Datuk. Setiap
kali Datuk merenung matanya ia segera mengalihkan pandangannya ke arah lain.
“Rasanya kita pernah berjumpa tapi, di mana saya tak ingat,” Datuk
bersuara dengan nada riang.
Belum pun selesai Datuk berkata-kata. Orang itu memalingkan mukanya ke
kiri dan terus melangkah tanpa mahu menoleh lagi ke rumah Datuk. Akhirnya,
hilang dalam sinar matahari yang kian garang. Datuk termenung sejenak. Dahinya
kelihatan berkerut macam mengingati sesuatu. Datuk menumbuk lantai sambil
berkata:
“Aku ingat.”
“Apa yang tuk ingat.”
“Orang itu pernah datang jumpa aku di rumah ni waktu malam, masa itu ia
memakai jubah sambil membilang tasbih,”
“Siapa orangnya tuk?”
“Namanya aku tak tahu, tapi ia pernah memberi amaran pada aku kerana
menolong perempuan yang aku jadikan anak angkat.”
Saya anggukkan kepala. Wajah Sariyah dan ibunya terbayang di ruang mata
saya. Sudah lama mereka tidak datang menemui Datuk. Rasa kesal terus juga
bermain di hati saya. Kenapa Datuk mesti menerima akibatnya setelah melakukan
sesuatu yang bertujuan untuk kebaikan.
Saya segera menggigit bibir bawah. Rasa geram terus meluap-luap di dalam
dada. Kalau diturutkan kata hati, mahu rasanya saya membawa kayu dan memukul
batang leher lelaki jahanam itu.
Dalam saya berperang dengan perasaan itu cara mendadak Haji Salim
datang. Ia membawa sebilah keris. Datuk mengajak ia naik. Haji Salim menolak.
“Ada apa hajat?” tanya Datuk.
“Nak mengajak pergi ke kubur lama.”
“Apa pula sebabnya?”
“Hati saya berkata-kata tak puas rasanya kalau tak melihat apa yang
ditinggalkan oleh orang-orang maksiat itu.”
“Kalau begitu, eloklah kita pergi.”
Datuk pun turun. Saya juga ikut turun. Tanpa memberitahu nenek Datuk
terus menuju ke kawasan kubur lama. Kerana hujan lebat pada sebelah malam,
kesan air hujan masih terasa di daun kayu dan bumi pun agak lembap sepanjang
perjalanan menuju ke tempat tersebut.
Biasanya, air sungai tidak naik. Tetapi, pagi itu air sungai naik
kira-kira dua kaki. Airnya pula mengalir keruh. Kami terpaksa meranduk air yang
keruh itu. Tidak banyak perkara yang Datuk bualkan sepanjang perjalanan itu. Ia
asyik membaca sesuatu. Sebabnya saya berani berkata begitu, sepanjang
perjalanan itu mulut Datuk sentiasa bergerak-gerak sahaja.
Setelah melawan arus sungai, kami pun sampai ke seberang dan terus
memanjat tebing. Dari situ bergerak menuju ke kubur lama. Apa yang saya lihat
di situ ialah puntung-puntung kayu dan abu yang lembap. Kesan darah di batu
nisan sudah tidak kelihatan lagi. Semuanya hilang kena air hujan.
Datuk dan Haji Salim terus memeriksa seluruh kawasan kubur lama. Mereka
terjumpa dengan serpihan tembikar tempat perasap serta beberapa ketul kemenyan
yang bertaburan. Haji Salim mengambil ketul kemenyan itu. Ditelitinya sebentar,
kemudian dicampakkan dalam semak.
“Kita balik saja,” saya terdengar suara Datuk.
“Ya, tak ada guna membuang masa di sini,” sahut Haji Salim.
Kami pun melangkah meninggalkan kawasan kubur lama. Bila sampai dekat
sungai kami terdengar suara orang perempuan memanggil nama Haji Salim dan Datuk
bertalu-talu. Datuk dan Haji Salim buat tidak kisah dengan panggilan itu.
“Jangan dijawab,” Datuk mengingatkan saya.
“Kenapa tuk.”
“Itu suara syaitan.”
“Suara syaitan,” ulang saya sambil meraba pangkal tengkuk.
GANGGU PENDUDUK
Sudah seminggu lebih penduduk kampung Mandi Upih didakap keresahan.
Setiap senja dan Subuh rumah mereka didatangi orang-orang berjubah hitam yang
tidak dikenali.
Orang-orang yang berjubah hitam itu mengetuk pintu, terutama waktu
sembahyang Maghrib. Kalau pintu tidak dibuka ketukannya terus berlanjutan.
Kalau dibiarkan papan pintu akan pecah. Bila dibuka, orang yang membuka hanya
melihat belakang manusia berjubah hitam dalam tempoh beberapa saat sahaja.
Kemudian orang berjubah hitam itu terus hilang.
Kalau yang membuka pintu itu orang lelaki. Ia tidak melihat manusia
berjubah hitam tetapi, ia akan melihat wanita cantik memakai pakaian serba
kuning dengan wajah yang menawan. Kalau direnung lama-lama, wajah yang menawan
itu akan bertukar menjadi hodoh. Gigi yang putih menjadi merah , macam darah.
Kiri kanan gigi akan tumbuh siung. Hidung yang mancung jadi berlubang dengan
beberapa ekor ulat, begitu juga dengan biji mata. Sebelum menghilangkan diri
perempuan itu akan ketawa. Dari mulutnya akan keluar bau yang amat busuk. Tidak
ubah macam bau bangkai.
Malang bagi orang luar atau saudara mara yang datang ke rumah saudara
mara di kampung itu waktu Maghrib. Mereka terpaksa membaca ayat fatihah dan
ayat ‘Qulhuallah’ serta dua kalimah syahadat dengan lantang. Bila pembacaan itu
betul dan lancar, baru saudara atau adik-adik membuka pintu dan mempersilakan
masuk. Kalau tidak boleh membaca anak sendiri pun tidak akan dibuka pintu.
Mereka berbuat demikian, kerana mematuhi nasihat dari Haji Salim.
Akibat dari undang-undang yang tidak bertulis, kanak-kanak yang belum ke
sekolah sudah lancar membaca ayat-ayat tersebut. Kesannya memang baik. Sejak
undang-undang itu dilancarkan, orang-orang jubah hitam mula berkurangan
mengacau para penduduk di situ waktu Maghrib.
Meskipun kegiatan kumpulan jubah hitam itu berkurangan. Tetapi, Datuk
tidak puas hati. Ia mahu menghancurkan dan melenyapkan kumpulan itu dari
mengacau para penduduk. Jadi, tidaklah menghairankan kalau ada setiap masa
Datuk berusaha dengan pelbagai cara untuk menghancurkan kumpulan itu.
Hari itu, seorang lelaki mengunjungi rumah Datuk. Tetamu yang jadi
kenalan baik Haji Salim itu dipersilakan masuk ke rumah. Ia ditemani oleh Haji
Salim.
“Apa hajatnya,” soal Datuk.
Teman Haji Salim yang berasal dari Kampung Matang Aceh itu tunduk
merenung lantai. Kemudian ia mengangkat mukanya perlahan-lahan merenung muka
Datuk dan Haji Salim.
“Silakan,” gesa Haji Salim.
“Saya disuruh oleh Ketua Kampung Matang Aceh menemui awak.”
“Sebabnya.”
“Ada anak dara sunti di kampung mati dicekik orang waktu senja dan
lidahnya dipotong,” kata teman Haji Salim.
“Dah repot pada polis.”
“Sudah.”
“Bila perkara itu terjadi.”
“Dua hari yang lalu.”
“Jumpa saya nak buat apa?”
“Minta ikhtiar supaya perkara macam itu jangan berulang lagi.”
Datuk menarik nafas panjang. Datuk renung muka Haji Salim. Mereka
berbalas senyum, macam ada sesuatu rahsia besar yang tersembunyi dalam pancaran
senyuman mereka.
“Baliklah, jaga kampung,” nasihat Datuk.
Teman Haji Salim minta diri dan pulang. Haji Salim cuma menghantarnya
hingga ke kaki tangga sahaja. Kemudian ia naik ke rumah Datuk kembali. Datuk di
anjung.
“Saya yakin, perbuatan itu dilakukan oleh orang yang kita lihat di kubur
lama,” Haji Salim meluahkan perasaannya. Datuk anggukkan kepala. Lama juga
Datuk dan Haji Salim bertukar-tukar fikiran dan pendapat.
Akhirnya, mereka meninggalkan rumah untuk pergi ke surau untuk
menunaikan sembahyang Asar. Lepas sembahyang Asar, Datuk tidak pulang ke rumah.
Ia singgah di rumah Haji Salim. Haji Salim membawa Datuk melawat ke bahagian
tempat ia menempah keris.
Datuk terkejut besar, bila ia melihat beberapa bilah lembing yang di
bahagian hujung matanya terlekat buah limau nipis manakala ulu lembing dilumur
dengan tanah liat yang berwarna kuning.
“Buat apa ni Haji?”
“Ini caranya membunuh orang yang tidak makan besi tajam.”
“Kenapa kita mesti membunuh, kalau kumpulan jubah hitam itu berniat
jahat, jawabnya mata lembinglah.”
Datuk ketawa mendengar cakap Haji Salim. Sebenarnya, ia juga ada petua
tersendiri bagi mengalahkan orang yang tidak mampan oleh peluru dan senjata
tajam. Petua yang diamalkan itu mesti diiringi dengan pembacaan ayat-ayat suci.
Hal itu tidak pula dinyatakan oleh Datuk pada Haji Salim.
“Aku yakin, orang-orang itu tak payah dicari, mereka akan datang mencari
kita. Aku rasa orang itu ada dekat kita.,” ujar Datuk lagi. Haji Salim renung
kiri kanan, macam mencari sesuatu. Ia tidak nampak ada manusia di situ, selain
diri saya, Datuk dan dirinya.
“Awak bergurau.”
“Tidak, saya yakin orang itu ada di sini,” selesai sahaja Datuk
bercakap, ulu lembing yang tersusun itu terangkat sendiri macam ada orang yang
mengangkatnya.
Ulu lembing itu tersusun kembali seperti asal, ketika itu juga Haji
Salim terlihat bayang-bayang manusia melintas di depannya.
“Awak menggunakan pancaindera yang keenam,” kata Haji Salim.
“Tidak, saya menggunakan gerak rasa dan hati. Sejak masuk tadi saya
terasa ada orang bersembunyi di sini, tapi sukat untuk dilihat,” jelas Datuk.
Haji Salim tersenyum lalu menepuk pangkal lengan kanan Datuk.
“Kebolehan yang ada pada awak dan pada saya kita satukan untuk menentang
perkara jahat.”