Bercakap Dengan Jin

Bercakap Dengan Jin

Sunday 31 May 2015

Siri 17- Bertarung Dengan Bomoh Orang Asli


Bertarung Dengan Bomoh Orang Asli

Dan Wansi segera bangun. Datuk juga begitu. Dalam beberapa saat saja lelaki itu hilang dari penglihatan Datuk dan Wansi. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan Latifah yang cukup keras dan nyaring. Datuk dan Wansi segera masuk ke dalam bilik Latifah. Latifah berguling-guling atas lantai, kedua belah tangannya memegang batang leher. Matanya kelihatan merah. Haji Azhar dan isterinya tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada menangis. Wansi segera memegang pergelangan kaki kiri Latifah. Ditekannya dengan sekuat hati atas lantai. Jeritan Latifah berhenti dan tidak lagi berguling-guling atau meronta-ronta. Wansi menyuruh Haji Azhar mengangkat anaknya ke atas tilam. Datuk rapat kepada Wansi dan mendengar dengan teliti apa yang dicakapkan oleh Wansi padanya. Datuk keluar dari bilik untuk beberapa minit. Masuk kembali dengan kain hitam terselempang di bahu. Wansi menyambar kain hitam itu lalu melibas ke badan Latifah tiga kali berturut-turut.

Saturday 30 May 2015

Siri 16 - Kain Dalam Perut Gadis


Kain Dalam Perut Gadis

Sesudah perempuan muda itu mencium tangan Datuk, dia pun membetulkan selendangnya yang jatuh ke atas bahu. Saya lihat alis mata perempuan itu cukup tebal dan lentik. Kerlingnya cukup tajam. Datuk memperkemaskan silanya dan sepasang mata Datuk terus meratah ke paras wanita muda di depannya. Nenek terus menghidangkan lemang dan rendang. Bunyi mercun dan meriam buluh sekali-kali terdengar juga memecah kesunyian kampung. Tiba-tiba saya terkejut, perempuan tua bangun serentak, tanpa menjamah barang-barang yang dihidangkan oleh nenek.

Mereka menuju ke muka pintu, sampai bendul pintu mereka merenung ke arah nenek dan Datuk sambil melambaikan tangan. Datuk kelihatan tersenyum senang. Perempuan tua dan perempuan muda memijak anak tangga. Sinar matahari yang mencerah di luar menerpa ke wajah mereka.

Friday 29 May 2015

Siri 15 - Dikejar Mayat


Dikejar Mayat

Dalam pergelutan yang hebat itu, ternyata Datuk tidak dapat menandingi tubuh lembaga yang berbulu lebat itu. Datuk sering saja tercampak. Dan memang perangai Datuk tidak mudah mengaku kalah. Dia terus bergelut. Saya dan ketua kampung didakap rasa kecemasan. Di langit saya lihat tidak ada sebiji bintang bersinar. Pokok-pokok di kiri kanan bagaikan dilanda taufan. Suara burung hantu bagaikan orang berlagu mengiringi pertarungan Datuk dengan lembaga itu.

Tiba-tiba,saya lihat berpuluh-puluh ekor burung gagak hinggap di ranting pokok. Berbunyi bersahut-sahutan. Kemudaan burung-burung gagak itu terus turun ke tanah lapang. Tanah itu jadi gelap dengan burung gagak. Saya benar-benar berada dalam keadaan cemas. Lembaga yang berbulu lebat terus mencampakkan tubuh Datuk ke pangkal pokok pisang.

Thursday 28 May 2015

Siri 14 - Bersuamikan Hantu Raya


Bersuamikan Hantu Raya

Tanpa bertangguh-tangguh lagi Datuk pun menceritakan, apa yang kami alami dalam hutan Ulu Kinta pada orang-orang kampung Ulu Kinta yang menanti kami di depan Balai Polis Tanjung Rambutan. Saya tidak melibatkan diri ketika Datuk bercerita. Saya lebih senang duduk di pangkal pokok kelapa di rusuk kanan balai tersebut. Balai itu kini sudah dirobohkan, digantikan dengan bangunan yang baru.

“Pelik juga ceritanya, betul ke ni?” Saya terdengar salah seorang daripada orang kampung itu bersuara. Sepasang mata Datuk merenung tepat ke arah batang hidung orang itu.

“Terpulanglah pada awak, sama ada awak mahu percaya atau tidak, saya dan cucu sudah merasa dan mengalaminya.”

“Apa yang orang tu berikan pada awak.”

Wednesday 27 May 2015

Siri 13 - Penunggu Hutan Hulu Kinta



Penunggu Hutan Hulu Kinta

Datuk terus berbisik kepada saya, “tidurlah, esok kau akan tahu apa yang dah terjadi,” saya angguk kepala dan cuba memejamkan mata dengan harapan saya akan terus terlena. Usaha saya itu gagal sama sekali. Tetapi banyak perkara yang menakutkan datang dalam kepala saya. Datuk tahu dengan apa yang saya alami. Dua kali dia menghembus muka saya, kemudian memicit batang leher saya mencari urat tidur. Bila urat tidur itu dipicitnya, mata saya terasa berat sekali. Akhirnya saya terlena.

Bila saya membukakan kelopak mata, saya lihat Datuk sudah pun selesai sembahyang subuh. Tanpa banyak bicara saya terus ke perigi mengambil air sembahyang. Bila saya mahu memulakan sembahyang saya lihat Datuk menyandarkan badannya ke dinding. Kedua belah kakinya diluruskan.

Tuesday 26 May 2015

Siri 12 - Toyol Jadi-jadian



Toyol Jadi-jadian

Kalaulah bukan Datuk yang mengejutkan saya di tengah malam buta itu sudah pasti kena penendang sulung saya. Kerana Datuk, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Terpaksa saya terima dengan manis muka, mesti pun hati meradang dengan perbuatannya.

“Kenapa tok?” tanya saya sambil menggesel kelopak mata. Datuk tersenyum sambil meraba-raba misai bengkoknya yang macam tanduk seladang jantan. Sekali-kali misainya turut bergerak.

“Kita sudah hampir pada matlamatnya.”

“Matlamat apa tuk?”

“Mencari orang yang jadi tuan toyol.”

“Kalau kau faham baguslah.”

Monday 25 May 2015

Siri 11 - Menunggang Harimau Di Tengah Malam



Menunggang Harimau Di Tengah Malam

Datuk terus membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu dibaling pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan lelaki yang besar dan gagah. Dia segera menjerit dengan sekuat hatinya. Kemudian dia menghilangkan diri. Air sungai yang melimpah terus surut. Suasana yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan. Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepok dalam perut sampan.

“Dia sudah pergi,” kata Datuk dan terus mengalah sampan ke hilir. Lebih kurang pukul sepuluh malam kami sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ Datuk menumpang lori ikan menuju ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke balai polis. Sarjan Ramli menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa Datuk ke Jambatan Pengkalan Bharu kembali.

Sunday 24 May 2015

Siri 10 - Mencari Harta Karun



Mencari Harta Karun

Mahu atau tidak mahu, saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.

“Berapa lama kita di sana tok,” tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas putih. Memang itu perangai Datuk. Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat rajah dulu. Dia mahu memastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau sebaliknya.

Saturday 23 May 2015

Siri 9 - Panjat Bilik Anak Dara


Panjat Bilik Anak Dara

Sepanjang malam itu, Datuk tidak tidur. Dia duduk termenung di anjung rumah hingga matahari pagi terbit di kaki langit. Cuma ada satu saja yang Datuk rasa agak ganjil, setelah menemui manusia berkepala anjing dia tidak mendengar suara perempuan pun menjerit atau menerima pengaduan dari anak buahnya sama ada mereka bertemu atau memburu manusia berkepala anjing.

Friday 22 May 2015

Siri 8 - Manusia Berkepala Anjing



Manusia Berkepala Anjing

Imam Hamid mengedutkan dahinya hingga berlapis empat. Dia renung muka Datuk. Dia renung muka saya hingga kepucatan yang terhampir di wajahnya hilang

“Mustahak ke ?” soalnya agak ragu.

“Memang mustahak, perkara yang mahu diceritakan ni ada hubungannya dengan diri Pak Imam.”

“Dengan diri saya ?”

“Iya,” Datuk angguk kepala.

Thursday 21 May 2015

Siri 7 - Terkencing Dalam Seluar




Terkencing Dalam Seluar

Bulan di langit mula dilitupi awan. Angin kian keras bertiup. Bunyi dedaun yang bergeseran sama sendiri amat menakutkan. Dan Datuk terus melangkah dengan tenang. Api yang memakan daun kelapa, sekerap marak, sekejap suram.

“Kenapa kita ikut sini tok ?” tanya saya. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Datuk, bunga-bunga api dari andang daun kelapa jatuh atas bumi. Saya tidak tahu kenapa Datuk ikut jalan ini. Kenapa dia tidak mahu ikut jalan biasa yang mudah dan senang. Tidak perlu melintas tanah sawah yang luas terbentang.

Wednesday 20 May 2015

Siri 6 - Melihat Jembalang Air



Melihat Jembalang Air

Datuk menghadapi peristiwa itu dengan tenang. Dan ular terus menghampirinya. Datuk cabut golok perak di pinggang.

"Kalau kau berniat baik kau lalu, kalau niatmu buruk kau berhenti." Sebaik sahaja datuk mengakhiri cakapnya itu ular sudah pun berada di depannya. Ular pun pangung kepala. Bagaikan kilat datuk mencantas kepala ular. Badan ular terus dikerat tiga. Jatuh ke dalam perut sungai satu-satu. Barulah puas hati datuk. Malam bertambah dingin. Daun-daun pokok di kiri kanan jalan bergerak-gerak diterajang oleh angin. Bunyi suara burung hantu bersahut-sahutan. Di selang-seli dengan raungan anjing yang mendayu-dayu.

Tuesday 19 May 2015

Siri 5 - Berjaga di Hujung Jambatan



Berjaga di Hujung Jambatan

Datuk amat merahsiakan peristiwa yang terjadi pada dirinya pada anak cucu. Pada orang lain perkara itu bukan rahsia bagi datuk. Dia boleh menceritakan peristiwa itu dari A sampai Z . Biasanya, perkara itu cuma sekali sahaja datuk mahu menceritakannya. Kalau ada orang minta datuk bercerita bagi kali yang kedua, datuk akan marah.

Monday 18 May 2015

Siri 4 - Kereta Datuk Tersadai Di Tepi Jalan



Kereta Datuk Tersadai Di Tepi Jalan

Sudah seminggu Hari Raya berlalu, tapi rumah datuk tetap sibuk dengan anak cucu yang datang berhari raya ke rumahnya, pada malam 27 likur yang lalu, datuk turut sama memasang lampu di halaman rumah dengan anak cucu. Datuk membelikan mereka untuk anak cucu. Datuk membelikan mercun untuk anak cucunya. Sesungguhnya, datuk amat menyayangi semua anak cucunya memang menjadi kebiasaan dalam hidup datuk, pada Hari Raya pertama ia akan mengumpulkan anak cucunya di anjung rumah, makan lemang dan rendang bersama anak cucu, kemudian akan mengepalai anak cucunya pergi ke masjid untuk sembahyang Hari Raya.

Saturday 16 May 2015

Siri 3 - Tidur Di Rumah Bunian



Tidur Di Rumah Bunian

Sebulan kemudian, datuk pergi ke tempat tersebut. Ia berhasrat untuk menemui perempuan cantik. Tepat, pukul tiga petang datuk pun masuk ke dalam hutan. Lebik kurang setengah jam berada di dalam hutan. Datuk diberkas oleh anggota tentera kerana masuk ke dalam kawasan hitam. Datuk lalau dibawa ke balai polis. Seminggu datuk tidur dalam lokap sementara menanti hari perbicaraan. Bila dihadapkan ke mahkamah datuk didapati bersalah dan dihukum penjara selama seminggu, datuk bersyukur pada tuhan, kerana pihak mahkamah mengambil kira hukuman itu berjalan dari tarikh ia mula ditahan. Pada perbicaraan itu datuk pun dibebaskan.

Saturday 9 May 2015

Siri 2 - Bertemu Dengan Penunggu Babi Hutan


Bertemu Dengan Penunggu Babi Hutan

Percakapan datuk dengan jin semakin hangat, secara perlahan-lahan percakapan itu bertukar kepada pertarungan kebatinan. Kemampuan dan kekuatan datuk benar-benar teruji. Mata datuk bercahaya garang dengan urat-urat timbul di dahi dan lengannya. Peluhnya jangan dikira terus menerus membasahi seluruh badan.

Saturday 2 May 2015

Siri 1 - Bercakap Dengan Jin


Bercakap Dengan Jin

Suatu petang dalam tahun 1960, datuk yang sudah menjangkau usia 57 tahun, membersihkan senapang kampung berlaras satu di anjung rumahnya. Dengan tenang dia berkata pada saya "Kamu usah jadi pemburu." "Kenapa tok?" Dia tidak menjawab. Datuk terus menimang-nimang senapangnya. Kemudian datuk ambil golok perak. Dia mengasah golok di batu dekat kepala tangga. Dan saya masih menanti jawapan dari datuk. "Aku tak mahu cucu-cucu aku jadi pemburu," tiba-tiba datuk bersuara. Dia duduk di anjung rumah kembali. Mendengar cakapnya itu saya buat keputusan tidak akan mengajukan sebarang pertannyaan padanya. Datuk mudah naik darah, kalau selalu ditanya atau disoal. Dia juga tidak suka orang membangkang cakapnya, terutamanya dari anak-anak cucunya sendiri.