Lumpuh Di Kaki
Perlahan-lahan Datuk meraba dahi saya. Dari dahi jejari Datuk merayap ke
pangkal tengkuk. Saya rasa jejari Datuk sejuk macam ais.
“Keadaan badan kamu macam biasa, tidak panas dan tidak pula sejuk,
berdasarkan denyut darah yang aku rasa dari kepala hingga ke pangkal tengkuk,
kau masih ada harapan.”
“Maksud Datuk?”
“Lumpuh di kaki kamu boleh sembuh jika diizinkan oleh Allah, cuma aku
mesti berusaha.”
“Bawa saya ke hospital untuk diperiksa, saya tidak mahu berubat dengan
dukun dan bomoh.”
“Kalau itu yang kamu mahu, aku turutkan,” balas Datuk dengan senyum.
Pintu yang terdedah terus juga menghantar angin malam ke dalam rumah.
Suara jampuk sudah tidak sehebat tadi, begitu juga dengan bunyi burung hantu.
Sesekali terdengar bunyi suara burung cenderawasih yang terbang berkawan. Kokok
ayam jantan pun meningkah dalam suasana malam yang memburu pagi.
“Mudah-mudahan Allah akan memberkati segala usahaku,” Datuk melahirkan
harapan, sambil meraba kedua belah kaki saya yang lumpuh dan saya memang
mengharapkan apa yang Datuk katakan itu akan menjadi kenyataan.
“Sabar Tamar, aku akan berusaha.” Sebaik sahaja Datuk mengakhiri
kata-katanya, satu pancaran kilat melemparkan sinarnya ke dalam ruang rumah.
Datuk dan saya terkejut seketika.
“Barangkali hari nak hujan Tamar?”
“Agak-agaknya begitulah tuk.”
Datuk terus bangun. Ia memulakan langkah menuju ke pintu. Langkah satu,
langkah dua, dan tiga berjalan lancar. Langkah keempat segera terbantut.
Diganggu oleh bunyi petir yang amat kuat. Datuk segera menoleh ke arah saya.
Bunyi angin kencang jelas kedengaran melanggar dedaun dan reranting pokok di
luar. Angin itu seolah-olah berlegar-legar di kawasan rumah.
Datuk pun menghidupkan langkah yang mati. Ia berdiri di muka pintu
sambil kedua belah tangannya merapatkan daun pintu. Datuk terus memasang selak
pintu. Bunyi titik-titik hujan mula kedengaran bersama dengan tiupan angin.
Rasa dingin mula menyerbu tubuh badan. Kokok ayam jantan terus kedengaran.
“Hujan tu rahmat Allah, menyegarkan pokok-pokok. Kata orang hujan
menjelang Subuh membawa berkat pada orang yang jaga, membawa celaka pada orang
yang tidur.”
“Silap tu tuk, sebetulnya membawa nikmat pada orang yang tidur dan tidak
membawa apa-apa pada orang yang jaga.”
“Dari mana kau belajar semuanya ini Tamar?”
“Dari kawan-kawan tuk.”
Saya lihat Datuk tersenyum panjang mendengar kata-kata itu. Ia terus
duduk di sisi saya. Kedua belah kaki saya yang lumpuh diurutnya perlahan-lahan.
“Celaka pada orang yang tidur maksudnya, orang itu tidak akan bangun
menunaikan sembahyang Subuh kerana terlalu seronok tidur waktu hujan dan
syaitan akan membekalkan dirinya dengan mimpi-mimpi yang indah. Berkat pada
orang yang jaga kerana ia dapat menunaikan sembahyang Subuh dengan sempurna,”
Datuk menjelaskan pada saya. Saya terus anggukkan kepala membenarkan
kata-katanya itu.
Hujan lebat yang bermaharajalela di luar membuat saya menguap dan rasa
mengantuk yang amat sangat. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk macam ayam
mabuk tahi. Kalau Datuk tidak ada di sini, sudah lama saya berdengkur.
“Aku nak sembahyang jemaah di masjid Tamar.”
“Hujan, macam mana tuk nak pergi?”
“Walau macam mana susah pun, perintah Allah tidak boleh diketepikan. Aku
ni sihat dan diberi akal, lagi pun masjid bukannya jauh dengan rumah, aku pakai
payung, kalau tak ada payung cari daun pisang.”
“Uzur macam saya ni tak payahlah sembahyang tuk.”
“Kena, kalau kau tak boleh bangun, boleh sembahyang cara duduk, soal
utama perintah Allah mesti ditunaikan.”
“Hum…,” keluh saya dalam hati.
Datuk segera mengejutkan nenek. Kemudian, ia terus keluar ikut pintu
dapur. Pesan Datuk, nenek mesti menjaga saya supaya jangan terlelap kecuali
matahari sudah memancar, saya dibenarkan tidur.
“Jaga si Tamar tu jangan sampai ia tertidur, kalau tertidur sentap kedua
belah kakinya sekuat hati,” saya dapat mendengar pesan terakhir dari Datuk.
Kerana tidak mahu kaki saya ditarik secara mengejut, saya mengambil
keputusan tidak akan tidur hingga tengah hari. Salah satu cara bagi mengelakkan
saya tertidur, saya minta nenek bercerita sambil memicit kedua belah kaki saya.
Permintaan saya itu ditunaikan oleh nenek. Baru sahaja nenek mahu memulakan cerita
dan mengurut, terdengar azan Subuh dalam deru hujan. Suara azan itu sungguh
merdu dan menusuk perasaan. Saya terpegun sambil mengingati kebesaran Allah
yang menjadikan alam semesta.
“Biar aku sembahyang dulu, jangan tidur,” nenek mengingatkan saya dan
terus menuju ke ruang dapur untuk mengambil air sembahyang.
Nenek menunaikan fardu Subuh dekat saya. Masa nenek sembahyang itu saya
dapat peluang merapatkan kedua belah kelopak mata. Tetapi, saya tidak dapat
tidur dengan sempurna, bila mahu terlelap, saya didatangi oleh mimpi-mimpi yang
menggerunkan, membuat saya terjaga kembali. Setelah selesai menunaikan
sembahyang nenek terus ke dapur. Ia kembali menghampiri saya dengan membawa
mangkuk tembikar besar berisi kerak nasi bercampur air dingin.
“Buat apa benda ni nek?”
“Untuk mengubat kaki kau, supaya urat-uratnya jangan kaku.” Nenek terus
melumurkan kerak nasi pada sepasang kaki saya.
Aduh, sejuknya sampai ke tulang. Nenek tersenyum melihat wajah saya yang
berkerut-kerut. Saya merasa beruntung kerana nenek hanya melumurkan kerak nasi
ke kaki sebanyak tiga kali. Kalau lebih dari itu, pasti saya terkencing.
Sebelum matahari terbit di kaki langit, Datuk sudah berada di rumah. Ia sudah
pun mandi air embun dan melakukan senaman.
Mungkin, nenek mahu menjaga hati saya supaya tidak rasa disisihkan.
Nenek membawa hidangan sarapan ke tempat saya duduk. Sikap nenek yang
mementingkan perasaan orang lain, membuat hati saya rasa gembira. Walaupun saya
sakit tetapi tidak terpisah untuk bersarapan bersama nenek dan Datuk seperti
keadaan sebelum sakit dulu. Selesai sarapan, Datuk terus menyatakan pada nenek
untuk membawa saya ke hospital. Wajah nenek nampak berubah setelah mendengar
kata-kata Datuk itu.
“Kenapa tak berusaha cara kampung?” tanya nenek.
“Kita sekadar memenuhi hajat Tamar.”
“Kalau tak mahu sembuh bagaimana?”
“Kita cuma berusaha, doktor yang mengubat orang sakit tu pun berusaha,
dia tidak dapat menentukan penyakit seseorang itu boleh sembuh, tanpa diizinkan
Allah.:
“Saya faham, selalunya awak tidak begitu, awak tak suka berubat dengan
doktor.”
“Awak silap, saya tak suka tu, kalau sakit itu terjadi pada diri saya,
pada orang lain saya galakkan jumpa doktor, bukankah doktor tu belajar dan
mempunyai alat-alat yang lengkap, kita cuma ada petua saja.”
“Begitu pula,” keluh nenek.
TEKSI
Datuk terus meninggalkan saya dan nenek. Ia pergi mencari teksi.
Setengah jam kemudian, Datuk kembali dengan teksi tua milik Awang Said. Saya
pun diusung ke dalam teksi. Duduk di bangku belakang bersama nenek. Datuk duduk
di hadapan bersama Awang Said.
Dalam perjalanan menuju ke hospital daerah yang terletak di bandar kecil
Lumut, Datuk terus berborak rancak dengan Awang Said. Sampai sahaja di hospital
yang terletak di atas bukit kecil yang menghadapi Selat Dinding, saya diusung
ke bilik pemeriksaan.
Doktor yang memeriksa saya ialah Doktor M.K. Menon. Orangnya peramah,
pandai berbahasa Melayu meskipun ia dari keturunan Ceylon. Setelah diperiksa,
doktor terus menyatakan pada Datuk semua gerakan darah dalam kaki saya berjalan
lancar dan baik. Doktor itu merasa pelik bagaimana sakit lumpuh itu boleh
terjadi. Kaki saya terus di X-ray. Hasil dari X-ray juga menunjukkan urat-urat
di kaki berada dalam keadaan baik, tidak ada yang tersimpul atau terputus.
Keadaan darah juga macam biasa. Saya jadi lemas dan bosan kerana terlalu banyak
pemeriksaan dilakukan sebelum saya diletakkan dalam wad.
Sebulan lebih saya meringkuk dalam hospital. Hari-hari daging paha saya
disuntik, kesannya tidak mendatangkan apa-apa, tidak ada tanda-tanda sakit
lumpuh yang saya alami akan sembuh. Walaupun demikian, hati saya tetap
terhibur. Setiap pagi nenek mengunjungi saya untuk melumurkan kerak nasi di
kaki. Nenek tidak peduli dengan teguran beberapa orang jururawat yang bertugas
di wad tersebut yang melarangnya membawa kerak nasi serta melumurkan ke kaki
saya.
Nenek menerima larangan itu dengan wajah yang manis, penuh simpati
melambangkan sifat seorang wanita kampung yang banyak menyerahkan sesuatu pada
keadaan. Tidak mudah mahu melawan atau membantah tetapi banyak merayu.
“Saya berikhtiar cara orang kampung cu, bukan mahu melawan doktor, saya
tahu cu lebih pandai dari saya, doktor lagi pandai, kalau tak boleh sebelah
pagi biar saya buat sebelah malam,” itulah yang diucapkan oleh nenek setiap
kali jururawat yang bertugas menegur perbuatannya.
Di Lumut, nenek menginap di rumah anak buahnya yang bekerja sebagai
pemandu kereta dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jarak rumahnya dengan
hospital tidak jauh. Tidak sampai setengah batu. Tidak menjadi masalah untuk
nenek mengunjungi saya sehari dua kali, pada sebelah pagi dan petang atau pada
sebelah malam.
Biasanya, pada sebelah petang atau malam, ia ditemani oleh anak buahnya
yang dipanggilnya sebagai Din sahaja. Nenek menyuruh saya memanggil lelaki yang
kurus tinggi itu sebagai Pak Din. Dalam masa tertentu nenek selalu menceritakan
pada saya tentang hubung-kait dirinya dengan Mat Ladin ayah pada Pak Din. Pak
Din yang sudah berkeluarga itu juga menasihati saya supaya sabar. Di samping
itu, ia juga berjanji akan berikhtiar mencari bomoh atau pawang terkenal dalam
usaha menyembuhkan kaki saya yang lumpuh itu.
Secara jujur saya katakan pada Pak Din yang saya tidak begitu tertarik
untuk mengubati kaki saya yang lumpuh itu dengan dukun atau bomoh. Sebabnya,
terlalu sulit mencari seorang dukun yang jujur dan pandai, kebanyakan dukun
atau pawang bila mengubati seseorang selalu menurun dengan memanggil roh Datuk
nenek yang saya kira, perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.
LAWAT
Pada suatu pagi, setelah nenek pulang. Katil saya dikunjungi oleh
seorang lelaki tua. Tinggi lampai orangnya. Dari raut wajahnya, saya dapat
meneka bahawa lelaki tua itu berbangsa Cina.
“Saya Hassan.”
“Saya Tamar.”
Saya segera menyambut huluran tangan orang tua itu. Saya mempersilakan
ia duduk di katil. Ia memakai seluar warna kelabu tahi anjing. Bajunya berwarna
putih yang dibuat dari kain belacu. Bentuknya, seperti bentuk baju yang selalu
digunakan oleh pekebun-pekebun sayur bangsa Cina. Bahagian tengkuknya bulat,
macam tengkuk baju Melayu yang selalu dipakai oleh orang-orang Melayu Johor. Di
tempat saya baju jenis ini disebut sebagai baju Melayu Teluk Belanga. Bahagian
depan baju orang tua itu mempunyai lima butang. Songkok putih (ketayap) yang
dipakainya cukup bersih. Saya kira ia seorang saudara baru Islam (mualaf) yang
mahu mengutip derma. Saya nanti ia menghulurkan kertas derma. Tetapi ia tidak
berbuat demikian.
“Dah lama masuk agama Islam?” Orang tua itu merenung muka saya sejenak.
Ia tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu saya. Kemudian ia menarik nafas,
seolah-olah dirinya berhadapan dengan sesuatu kekecewaan yang amat sangat.
“Setiap orang Melayu yang saya temui, mereka akan bertanya seperti apa
yang awak tanyakan, saya tak salah kan mereka kerana mereka tidak tahu.”
“Cuba terangkan hal yang sebenarnya pada saya.”
“Nanti dulu, barangkali petang ini, esok atau lusa awak akan tahu juga,”
balas orang tua itu dengan tenang.
Kerana tidak mahu mengganggu fikiran dan perasaannya, perkara itu tidak saya
ulangi. Setiap para pekerja hospital Lumut yang bertugas dalam wad tersebut
akan memberi salam pada orang itu dengan ramah sekali. Seolah-olah mereka sudah
mengenali orang tua itu sejak lama dan orang tua itu tidak dilarang untuk
menemui sesiapa sahaja pesakit yang ingin ditemuinya.
“Anak sakit apa?” tanyanya pada saya.
“Kedua belah kaki saya lumpuh.”
“Apa kata doktor tentang sakit tu.”
“Doktor sendiri tidak tahu puncanya, bila di x-ray dan diselidik, semua
urat-urat di kaki saya elok, darah berjalan dengan baik.”
“Dia tak suruh awak keluar?”
“Tidak, kata doktor penyakit saya masih dalam kajian, dua minggu lagi
doktor pakar dari Kuala Lumpur akan datang memeriksa saya.”
“Bersabarlah, esok saya datang jumpa awak, kalau diizinkan oleh Allah saya
akan cuba mengubati kaki awak.”
“Ubat kaki saya?”
“Ya.”
Orang tua itu terus bangun dan meninggalkan saya di katil, tanpa sempat
saya mengucapkan terima kasih padanya. Kepala saya terus digayuti dengan
berbagai-bagai persoalan tentang diri orang itu, yang saya anggap sebagai orang
tua yang ganjil. Bila nenek dan Pak Din menemui saya pada sebelah petang. Semua
yang saya alami pada sebelah pagi saya ceritakan pada mereka. Nenek terus
menggesa Pak Din supaya mengambil Datuk yang tinggal di kampung. Nenek mahu,
Datuk mesti berada bersama saya ketika orang tua itu datang.
“Tak apa sekejap lagi saya ambil dia,” Pak Din memberikan ikrar pada
nenek. Tidak sulit bagi Pak Din mengambil Datuk di kampung yang jaraknya
kira-kira tiga puluh batu.
“Saya pergi ambil dia,” tiba-tiba Pak Din bersuara dan terus keluar dari
wad.
Saya renung wajah nenek yang duduk di sisi saya. Angin petang yang
datang dari arah Selat Dinding membekalkan rasa nyaman ke batang tubuh saya dan
nenek. Beberapa orang pelawat keluar masuk dari dalam wad. Mereka melawat
sahabat handai yang terlantar di situ.
“Kau kenal orangnya Tamar.”
“Tak kenal nek.”
“Habis macam mana dia mahu menolong kau.”
“Dia datang melawat saya, kemudian berjanji untuk menolong saya.”
Nenek menggigit bibir bawah setelah mendengar penjelasan dari saya.
Matanya merenung saya keluar wad. Macam ada sesuatu yang nenek fikirkan. Macam
selalu, sebelum nenek meninggalkan saya, ia pasti menekankan ibu jarinya ke
pangkal paha saya. Kenapa ia berbuat demikian, saya sendiri pun tidak tahu.
Nenek keluar dari wad. Dengan renungan yang sayu saya melihat nenek
melangkah di jalan raya menuruni bukit kecil. Saya kira sepanjang perjalanan
menuju ke rumah Pak Din. Ia pasti mendoakan supaya sakit lumpuh yang saya
deritai akan berakhir. Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Bahagian
kaki saya yang lumpuh terasa amat sakit, macam ditikam dengan jarum. Bisanya
bukan kepalang.
Selain dari itu, wajah orang tua yang menemui saya pada sebelah pagi
tadi, sering-kali datang dalam kepala saya. Bermacam-macam sangkaan buruk
terhadap orang tua itu timbul dalam diri saya. Saya ragu-ragu, apakah
kedatangannya kelak benar-benar mahu menolong saya atau dia ada menyimpan
maksud yang tertentu. Mungkin ia mahu memperdayakan saya. Susah benar saya mahu
menyingkirkan semua persoalan itu dari dalam kepala saya.
DATANG
Saya gembira, ketika matahari pagi melebarkan sayapnya ke dalam wad,
nenek dan Datuk sudah pun berada di sisi saya. Wajah mereka kelihatan tenang
menanti kedatangan orang tua aneh.
“Kalau ia datang dengan tujuan baik untuk mengubat cucuku, aku terima
dengan baik, kalau ia datang dengan niat buruk, ia akan menerima padahnya,”
kata Datuk pada nenek. Saya lihat nenek tidak menjawab kata-kata itu.
Beberapa orang jururawat yang bertugas pada sebelah pagi, berkeliaran
dalam wad. Mereka buat tidak tahu dengan kehadiran nenek dan Datuk ke katil
saya, begitu juga dengan para pesakit yang ada dalam wad tersebut. Rupanya,
orang tua yang berjanji itu amanah orangnya. Tepat jam sembilan setengah pagi
ia sudah berada di tepi katil saya. Berkali-kali ia mengucapkan Alhamdulillah,
bila saya perkenalkan dirinya dengan Datuk. Mereka terus bersalam.
“Boleh saya sentuh kaki cucu awak?”
“Silakan.”
“Alhamdulillah.”
Orang tua itu, terus meraba-raba kedua belah kaki saya yang lumpuh. Ia
menekan beberapa urat di pergelangan kaki. Semua gerak-gerinya diperhatikan
oleh Datuk dan nenek. Hasil dari sentuhan di urat kaki. Badan saya terus
berpeluh.
“Begini, pagi esok dan lusa saya datang lagi,” katanya sambil memberikan
saya serangkai buah tasbih. Ia menyuruh saya menyebut perkataan Subhanallah
seberapa banyak yang boleh sambil membilang buah tasbih.
Ia juga menyuruh saya meyakinkan diri yang saya tidak mengalami sakit
lumpuh. Hari kedua, orang tua itu datang lagi. Ia terus memicit urat-urat di
pergelangan kaki saya seperti hari pertama. Sebelum pulang, ia membekalkan saya
dengan sepotong ayat al-Quran dari Surah al-Waqiah. Ayat itu mesti saya baca
pada setiap saat. Pada sebelah petangnya, saya boleh menggerakkan kaki sebelah
kanan dengan perlahan-lahan. Hal itu segera saya beritahu pada Datuk dan nenek.
Mereka gembira. Hari ketiga, orang tua itu datang lebih awal dari biasa. Kali
ini semua daging di kedua belah kaki saya dipicitnya hingga lebam.
Sakitnya Allah sahaja yang tahu, berair mata saya dibuatnya. Selalunya
bila selesai ia mengurut kaki saya, ia terus pulang. Tetapi kali ini ia tidak
terus pulang. Ia terus berada di sisi katil saya. Anehnya, bila doktor melawat
ke katil saya ia terus bercakap dengan doktor tentang keadaan kaki saya. Doktor
hanya tersenyum dan terus mencatat sesuatu di kertas yang tergantung di hujung
katil saya.
Kira-kira pukul sebelah pagi, ia menyuruh saya bangun dari katil. Tentu
sahaja saya tidak dapat melakukan seperti apa yang dikatakannya. Mujurlah,
Datuk dan nenek memapah saya. Saya dapat berdiri dengan dikapit oleh nenek dan
Datuk. Kemudian orang tua itu menyuruh Datuk dan nenek tinggalkan saya. Saya
dapat berpaut pada Datuk. Orang tua itu menyuruh Datuk memimpin saya berjalan.
“Tolak,” saya terdengar suara orang tua itu. Dan saya dapati Datuk
meninggalkan saya sendirian. Kerana Datuk tidak menolak saya, orang tua segera
datang dekat saya dan terus menolak bahu saya.
Saya terasa badan saya mahu jatuh ke kanan. Saya cuba mengimbangi badan
supaya jangan jatuh. Dalam keadaan cemas begitu, saya dapat mengimbangi badan
saya dan terus melangkah beberapa langkah ke depan dan akhirnya berhenti dekat
sebuah katil pesakit lain. Saya terus berdiri di situ, sambil memikirkan apakah
kaki saya sudah tidak lumpuh lagi. Saya segera teringatkan cakap orang tua yang
menyuruh saya meyakinkan diri bahawa saya tidak lumpuh. Berpegangkan pada
keyakinan itu, saya terus melangkah mendatangi katil saya. Ternyata saya boleh
berjalan. Kaki saya sudah tidak lumpuh lagi.
“Alhamdulillah, kaki cucu awak sudah sembuh,” kata orang tua itu pada
Datuk dan nenek.
Apa yang menarik perhatian saya, bila Datuk dan nenek mengucapkan ribuan
terima kasih, orang tua tidak mengucapkan perkataan sama-sama seperti yang
dilakukan oleh kebanyakan orang bila menerima ucapan terima kasih. Ia hanya
menjawab dengan perkataan Alhamdulillah. Seolah-olah orang tua itu bagaikan
tidak mengerti dan faham dengan budi bahasa orang Melayu.
Petang itu juga, kaki saya terus diperiksa oleh doktor M.K. Menon. Dan
ia mengakui kaki saya sudah pulih seperti sediakala. Bila Datuk menyatakan,
orang tua itu yang berusaha memulihkan kaki saya, doktor M.K. Menon hanya
tersenyum sahaja. Saya dan nenek terus pulang ke rumah Pak Din. Datuk tidak
ikut pulang kerana ia mahu bercerita panjang dengan orang tua yang menolong
saya itu.
Sampai di rumah Pak Din, nenek masih mengingatkan saya supaya jangan
bergerak terlalu cergas, menurutnya kaki saya belum begitu baik lagi. Pukul
lima petang baru Datuk pulang ke rumah Pak Din. Nenek terus mengajak Datuk
pulang ke kampung. Cadangan nenek itu dibantahi oleh Datuk, kerana ia sudah
berjanji dengan orang tua untuk sembahyang Maghrib dan Isyak bersama di masjid
Lumut.
“Saya setuju, tidur lagi semalam di sini, esok baru balik,” ujar Mak
Bedah, isteri Pak Din menyokong cadangan Datuk. Nenek akur dengan permintaan
Datuk dan Mak Bedah. Saya tersenyum, kesempatan untuk bermesra dengan anak-anak
Pak Din terbuka luas.
MASJID
Pada mulanya hasrat saya untuk menemani Datuk ke masjid ditentang oleh
nenek. Alasan nenek cukup kuat kenapa ia berbuat demikian. Pertama, keadaan
kaki saya belum begitu kuat. Kedua, orang yang baru sembuh dari lumpuh tidak
boleh kena angin dan embun malam.
“Tak mengapa biarlah Tamar ikut saya berjemaah di Masjid. Lepas
sembahyang Isyak, kami balik. Lagi pun saya ada bersamanya,” kata Datuk.
“Saya tahu tapi, sejauh mana awak boleh mengawalnya. Awak tahu, kalau
kakinya kena embun, salah satu kakinya akan mengecil dan tidak ada mempunyai
buah betis.”
“Dengan izin Allah saya boleh mengawalnya,” balas Datuk. Nenek terus
menarik nafas panjang.
Saya dan Datuk terus melangkah ke masjid Lumut yang letaknya di suatu
kawasan yang agak tinggi. Dari pintu masjid saya dapat melihat pangkalan yang
jadi tumpuan orang ramai untuk pergi ke Pulau Pangkor, Damar Laut dan Kampung
Baru.
Ramai juga yang sembahyang jemaah di masjid tersebut, kebanyakannya
terdiri dari kakitangan kerajaan. Lepas sembahyang Maghrib dan Isyak Datuk
terus membaca al-Quran yang memakan masa hampir satu jam. Orang tua yang
merawat saya di hospital juga ada di situ. Ia membaca surah Yasin dengan penuh
khusyuk. Orang itu menamatkan pembacaan surah Yasin. Ia terus mendekati saya
sambil tersenyum.
“Saya harap sakit di kaki tidak akan berulang lagi.”
“Saya juga berharap begitu.”
“Bersyukurlah pada Allah,” katanya lalu menepuk-nepuk bahu kanan saya.
Datuk berhenti membaca Quran. Ia terus menghampiri saya dan orang tua
yang duduk di tengah masjid. Semua para jemaah sudah pulang. Sesekali terdengar
hembusan angin yang datang dari Selat Dinding menguasai ruang masjid yang luas.
“Tak balik?” tanya Datuk pada orang tua itu.
“Tidak, saya tak ada rumah, saya bermalam di masjid ini untuk seminggu
dua kemudian saya akan berjalan dan bermalam di masjid lain pula.”
“Macam mana kalau malam ini, bermalam di rumah saudara saya.”
“Alhamdulillah, saya minta maaf.”
Datuk menggigit bibir mendengar jawapan dari orang tua itu. Memang
perangai Datuk, dia merasakan dirinya tidak lengkap, kalau ia tidak mengenali
latar belakang orang yang dikenalinya.
“Maafkan saya, kalau pertanyaan saya kurang menyenangkan diri awak?”
“Silakan, saya tak marah.”
“Dah lama masuk Islam?”
“Sejak berada dalam perut ibu saya.”
“Awak mempermainkan saya.”
“Tidak saya bercakap benar.”
Datuk terdiam sambil merenung wajah saya berkali-kali. Mungkin orang tua
itu tahu, apa yang bergolak dalam dada Datuk. Dan ia merasakan dirinya perlu
menyelesaikan rasa sangsi yang bersarang dalam dada Datuk dan saya. Di bawah
bumbung masjid yang tenang didakap malam. Orang tua tersebut terus
mengungkapkan kisah dirinya pada saya dan Datuk.
Menurutnya, ia berasal dari Yunan satu daerah di Negara China. Semua
penduduk di situ beragama Islam sejak abad ke-8 yang dikembangkan oleh
pedagang-pedagang Islam dari Tanah Arab.
“Minta maaf, kalau saya katakan bahawa kami lebih awal mengenali agama
Islam, jika dibandingkan dengan kedatangan Islam ke Melaka. Saya bukan baru
sepuluh atau dua puluh tahun beragama Islam, saya Cina Islam tulen, sejak Datuk
nenek lagi,” orang tua itu memperkemaskan silanya.
“Masih ada lagi kaum keluarga di sana,” soal Datuk.
“Itu saya tak tahu, hanya Allah saja yang menyelamatkan diri mereka.”
“Saya tak faham dengan cakap awak.”
“Kalau awak mahu memahaminya, saya terpaksa bercerita panjang, mahukah
awak mendengarnya.”
“Mahu,” sahut Datuk.
Orang tua itu tunduk merenung lantai masjid. Kemudian ia membaca doa.
Katanya, doa itu untuk para arwah umat Islam di tempatnya. Bila dia selesai
membaca doa, wajah Datuk direnungnya dengan pandangan yang sayu. Ia pun
memulakan ceritanya.
“Bila komunis berkuasa kebebasan terus disekat, orang-orang Islam di
tempat saya ditekan,” katanya memulakan kisah dirinya.
Menurut orang tua itu lagi, ayahnya menjadi Imam Masjid dan dihormati
oleh para penduduk setempat. Pihak komunis kurang senang dengan kegiatan
ayahnya. Mereka melarang ayahnya menjadi imam dan menggunakan masjid.
Melihat tekanan yang begitu kuat terhadap diri ayahnya membuat ia
membentuk satu pasukan yang terdiri dari tiga orang pemuda untuk mempertahankan
kesucian agama Islam di samping menghalang anggota komunis dari membunuh dan
memukul orang-orang Islam yang sedang bersembahyang.
“Dua orang kawan saya ditangkap dan dihukum tembak selepas menunaikan
sembahyang Zuhur, saya sungguh sedih dengan peristiwa tersebut, dua hari
kemudian saya terus bertindak menetak dua orang anggota komunis yang berkawal
di kampung saya,” orang tua itu berhenti bercerita.
Ia menelan air liur dan meraba pangkal hidungnya berkali-kali. Menahan
rasa sedih yang mula menggoncang dada. Akibat dari tindakannya yang
terburu-buru itu. Dia terus diburu oleh anggota komunis. Ia berpisah dari kedua
orang tua yang dicintai.
Pada suatu malam ia berjaya meloloskan dirinya masuk ke rumah. Ia terus
meminta pertolongan dari ayahnya untuk menyelamatkan dirinya. Ia kecewa bila
orang tuanya menyatakan tidak dapat berbuat sesuatu terhadapnya. Orang tuanya
menyuruh ia melakukan sembahyang Istikharah. Lepas sembahyang tersebut, orang
tuanya menyuruh ia berzikir hingga menjelang fardu Subuh.
“Saya masih ingat, ketika saya melakukan sembahyang Subuh, emak saya
memasukkan pakaian saya ke dalam beg kecil berserta dengan bekalan nasi serta
wang,” orang tua itu berhenti bercerita. Ia termenung panjang.
“Ayah menyuruh saya meninggalkan rumah setelah sembahyang Subuh. Saya
keberatan mahu mengikut cakapnya kerana kawasan rumah saya sudah dikepung oleh
orang-orang komunis, mereka tahu tentang kepulangan saya,” kata orang tua itu
pada Datuk. Ia mematikan ceritanya.
“Akhirnya apa yang kau buat?” soal Datuk.
“Ayah terus mendesak supaya saya meninggalkan rumah. Ia menyuruh saya
melangkah dengan kaki kanan dan terus membaca doa qunut sepanjang perjalanan di
samping meyakinkan yang diri saya dilindungi Allah.”
“Kau turut cakapnya?”
“Ya, saya turut cakapnya. Saya terus melangkah dan membaca doa qunut
sepanjang perjalanan. Dengan izin Allah, semua anggota komunis tidak nampak
saya. Akhirnya, saya bertemu dengan seorang lelaki dan membawa saya ke sebuah
pelabuhan lalu saya naik tongkang miliknya hingga sampai ke Singapura.”
“Hebat pengalaman awak.”
“Semuanya atas izin Allah.”
Saya renung muka orang tua itu sejenak. Saya kira ceritanya berakhir di
situ sahaja. Sangkaan saya itu tidak tepat. Orang tua itu masih mahu bercerita
tentang dirinya.
Menurutnya, dari Singapura ia berhijrah ke Semenanjung dan kedatangannya
disambut oleh saudara-saudara Islamnya di semenanjung dengan senang hati. Bagi
menyara kehidupannya, ia berniaga buku-buku agama dan minyak wangi. Hasil dari
berjimat cermat, ia sudah dua kali pergi ke tanah suci.
Orang tua itu juga menceritakan pada Datuk ketika di Yunan dulu, ia
sempat belajar dari orang tuanya cara-cara mengubat orang yang kena sakit
lumpuh dan bengkak paru-paru.
“Saya tak pakai hantu syaitan, saya memohon pada Allah berdasarkan pada
ayat-ayat dari Quran. Tetapi, orang yang mahu diubati itu mesti diyakinkan pada
diri sendiri.”
“Awak mengubat orang sepenuh masa?” Datuk cungkil rahsia dirinya.
“Tidak, saya ni berniaga menjual buku-buku agama, minyak wangi, saya
merantau dari satu tempat ke satu tempat.”
“Kalau dah berniaga kenapa merayau ke hospital.”
“Ini amal jariah saya, kalau dulu saya pernah ditolong oleh orang,
kenapa saya tidak boleh menolong orang terutama orang seagama dengan saya.”
“Saya berdoa awak akan selamat sejahtera.”
“Alhamdulillah, memang sudah jadi kebiasaan saya, bila saya tinggal di
masjid yang berhampiran dengan hospital saya mesti pergi ke hospital untuk
menolong orang-orang yang memerlukan pertolongan seperti cucu awak.”
Saya mula menguap. Tetapi, Datuk saya lihat masih bertenaga. Tidak ada
tanda-tanda yang menunjukkan diri Datuk akan mengantuk atau mahu tidur. Ia
masih ghairah lagi mahu mendengar cerita dari orang tua itu. Walaupun apa yang
ingin diketahuinya dari orang tua itu sudah habis.
“Cucu awak sakit ganjil, ada syaitan campur tangan.” Saya terkejut
mendengar cakap orang tua itu. Bulu bengkok saya mula berdiri.
“Boleh awak menolong saya dalam hal ini.”
“Minta maaf, awak berusahalah sendiri. Yakinlah syaitan akan kalah
dengan kuasa Allah,” orang tua itu segera bangun. Ia meminta maaf pada Datuk
kerana ia mahu tidur.
“Besok saya akan merantau lagi menjual buku-buku agama ke arah selatan,
mungkin dua tiga bulan atau lebih saya akan datang ke sini,” katanya lalu
merebahkan badan di tepi dinding.
Saya dan Datuk pun meninggalkan masjid Lumut, kira-kira pukul satu
malam. Sepanjang jalan menuju ke rumah Pak Din, suasana terasa amat sepi
sekali. Cuma terdengar bunyi deru bunyi angin dari Selat Dinding. Tiba-tiba
kaki kiri saya terkena air embun. Sakit datang serta-merta. Tidak terdaya
rasanya mahu melangkah. Mujurlah rasa sakit itu tidak lama, cuma lima minit
sahaja. Lepas itu kaki saya pulih kembali.
Lepas sarapan pagi di rumah Pak Din, Datuk bergegas menuju ke masjid
dengan harapan untuk menemui orang tua tersebut. Ternyata, kedatangan Datuk
sudah terlewat. Datuk diberitahu, oleh Tuk Siak masjid, yang orang tua sudah
meninggalkan masjid setelah menunaikan sembahyang Subuh. Datuk pulang ke rumah
Pak Din dengan rasa hampa.
“Tak apa, bila ia datang lagi saya beritahu Pak Long,” kata Pak Din,
ketika saya, nenek dan Datuk masuk ke dalam perut teksi.
Waktu teksi bergerak meninggalkan bandar kecil Lumut saya
melambai-lambaikan tangan pada Pak Din. Sejak hari itu, saya tidak pernah lagi
berjumpa dengan Pak Din.
Beberapa tahun yang lalu, saya menerima berita Pak Din sudah berhenti
dari jadi pemandu di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Khabarnya sejak berhenti,
Pak Din membuka kedai makan di Lumut yang dikenali sebagai Warung Pak Din.
Di samping itu Pak Din juga membawa teksi bagi menambahkan
pendapatannya. Anak-anaknya sudah besar-besar belaka dan sudah ada yang
bekerja.