Rahsia Sebuah Kolam
Secebis kain hitam berbucu tiga dikeluarkannya. Datuk tahan nafas sambil
bibirnya bergerak-gerak. Perlahan-lahan Datuk membuka tapak tangan kanannya dan
kain hitam itu digosoknya berkali-kali di tapak tangan. Setiap kali Datuk gosok
tapak tangan dengan kain hitam, kaca-kaca halus, dan serbuk dari miang buluh
bergerak dan berkumpul di ruang tengah bilik.
"Kau warisi ibu santau ini dari ayah kamu? Setiap kali ada orang
yang kau santau ibu santau ini akan bertambah, bila tidak ada orang yang kau
korbankan dia akan susut?", Datuk ajukan pertanyaan pada Dumba. Saya lihat
Dumba anggukkan kepala.
"Kau mahu melupakan dan membuangkan ilmu yang kau tuntut ini
Dumba?"
"Ya."
"Secara rela atas keinsafan bahawa ilmu syaitan ini tidak diberkati
oleh Allah atau secara terpaksa?"
"Secara ikhlas, saya mahu kembali ke jalan Allah, saya mahu amal
ibadah saya diterima oleh Allah. Sekarang saya sembahyang dan puasa, ikut semua
perintah Allah tetapi, saya membuat perkara yang ditegahnya."
Mendengar kata-kata Dumba itu, Datuk terus renung wajah saya. Beberapa
saat Datuk melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah beberapa kali, sambil
mengecilkan mata kanannya. Bola matanya yang terlindung oleh kelopak mata
merenung jauh ke arah tertentu yang sukar saya gambarkan. Saya yakin, apa yang
Datuk lakukan itu adalah satu sorotan secara kebatinan ke dalam hati kecil
Dumba.
"Kau ikhlas Dumba?"
"Ya, saya mahu bertaubat', ujar Dumba sambil menangis.
Bila tangisan Dumba berakhir, terdengar satu ledakan petir yang amat
kuat. Lantai tempat kami duduk bergegar. Muka meja yang dibuat dari anyaman
buluh berkecai atas lantai. Saya menerpa ke pintu. Daun pintu saya tolak, saya
lihat suasana di luar tetap tenang. Matahari bersinar dengan baik, tidak ada
hujan dan pekerja-pekerja di kedai itu tidak kelihatan cemas, mereka tidak
mendengar bunyi ledakan petir.
Daun pintu saya rapatkan kembali. Berdiri di situ sambil merenung ke arah
Dumba dan Datuk yang duduk berhadapan. Kedua belah tapak tangan kiri mereka
bercantum. Mereka bersalam dalam keadaan yang luar biasa sekali. Setahu saya,
bersalam dengan tangan kiri hanya dilakukan oleh anggota-anggota pengakap saja.
Mereka bangun perlahan-lahan, macam orang membuka bunga silat di gelanggang.
Tangan yang berjabat tidak juga terbuka. Sekarang mereka sudah berdiri dengan
betul. Berpandang wajah dan bertentang mata.
Datuk menekan telapak tangan kirinya pada telapak tangan kiri Dumba. Dan
Dumba terus mempertahankan dengan penuh tenaga supaya dia tidak jatuh.
Tiba-tiba Dumba mengeluh dan badannya kian merendah. Dia tidak berjaya
memisahkan telapak tangan kirinya yang bagaikan bercantum dengan telapak tangan
kiri Datuk. Dumba terduduk dan Datuk segera menarik telapak tangan kirinya.
Bila telapak tangan kiri Datuk berpisah dengan Dumba, muka Datuk kelihatan
berpeluh.
"Sampai saat-saat begini, kau masih mahu menguji aku Dumba?"
"Saya tidak berniat begitu tetapi, saya bagaikan dipaksa berbuat begitu."
"Sebagai manusia yang ada pengalaman dalam hal ini, kau tentu dapat
merasakan dari arah mana perintah tersembunyi itu datang?"
"Dari sebelah kanan."
"Aku rasa, kekuatan itu mengikut tekanan angin yang bertiup dari
sebelah kanan badan kau Dumba."
"Ya."
Datuk terus menekan pangkal belikat kirinya. Kemudian Datuk terus duduk
bersila panggung. Tumit kaki kanannya yang menindih kaki kiri dirapatkan ke
pangkal pusat. Dengan meluruskan tangan kiri, Datuk menekan hujung jari kaki
kanan dengan jari kaki kiri. Cara duduknya, tidak ubah seperti pendekar yang
mahu memberikan tauliah pada anak murid yang sudah tamat menuntut ilmu silat.
Perlahan-lahan Datuk merenung dinding bilik, macam mencari sesuatu.
Datuk senyum, apa yang dicarinya sudah ditemui. Datuk menggamit saya yang masih
berdiri dekat pintu. Saya segera datang dan duduk di sisinya.
"Apa yang aku duga memang tidak lari, ada lubang rahsia untuk angin
masuk ke dalam. Kenapa ini kau rahsiakan dari aku Dumba?", suara Datuk
meninggi. Dia tidak merenung ke wajah Dumba.
"Saya sebenarnya tidak tahu", balas Dumba.
Datuk termenung panjang. Dia anggukkan kepala beberapa kali, bagaikan
setuju dengan apa yang dicakapkan oleh Dumba itu. Datuk meluruskan badannya
seketika. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya lalu berhadapan dengan
dinding rumah.
"Dumba, kau rapat ke dinding mengikut arahan telunjuk aku",
kata Datuk sambil menuding jari telunjuk ke dinding. Dumba bangun dan mematuhi
cakap Datuk.
"Tutupkan lubang itu dengan kain ini", sambung Datuk lagi
sambil melemparkan secebis kain kuning sebesar dua jari pada Dumba. Dumba
sambut kain tersebut sambil anggukkan kepala.
"Sumbat cepat", ujar Datuk lagi dalam nada suara yang agak
meninggi. Puas Dumba mencari lubang yang dikatakan itu tidak juga ditemuinya.
"Kau duduk di situ dan mengisut perlahan-lahan ke arah dinding,
bila aku kata berhenti kau berhenti", arahan yang dikeluarkan oleh Datuk
dipatuhi oleh Dumba dengan hormat. Dumba pun mengisut. Lebih kurang dalam jarak
satu kaki mahu sampai ke tepi dinding, Datuk menyuruh Dumba berhenti mengisut.
Satu arahan lagi Datuk keluarkan untuk Dumba. Datuk suruh Dumba hulurkan
tangan kanannya yang memegang kain kuning ke depan. Dumba lakukan dengan teliti
hingga telapak tangannya yang menggenggam kain kuning itu bertemu dengan
dinding. Dumba terkejut besar, dia berhadapan dengan satu lubang kecil sebesar
wang siling lima puluh sen. Aneh, sudah bertahun-tahun aku gunakan bilik ini,
tetapi aku tidak tahu yang dinding ini berlubang, bisik hati kecil Dumba.
Keningnya kelihatan berkerut.
"Sumbat lubang tu', pekik Datuk. Dumba segera menyumbat lubang itu
dengan kain kuning. Tiba-tiba saya dapati seluruh ruang bilik jadi gelap gelita
buat beberapa saat. Bila keadaan kembali terang, Dumba segera mendapatkan Datuk
kembali.
"Saya tahu sekarang, bila saya duduk dengan membelakangi dinding
tersebut, saya selalu merasai diri saya ini cukup bertenaga dan mampu melakukan
apa saja", Dumba menyatakan pada Datuk. Saya lihat Datuk tersenyum. Tanpa
menyebut sesuatu Datuk terus bangun. Melangkah ke tengah ruang bilik. Berdiri
di situ dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh. Matanya merenung tajam pada
serbuk kaca, rambut dan serbuk dari miang buluh yang berkumpul di situ. Lama
juga Datuk merenung benda-benda ganjil itu, serbuk kaca kelihatan
berkilau-kilauan.
"Carikan aku besi berlubang sepanjang enam inci Dumba", Datuk
mohon pertolongan dari Dumba. Tanpa membuang masa Dumba terus menuju ke arah
peti hitam yang terletak di sudut bilik. Bila penutup peti hitam yang dibuat
dari kayu Medang Sawa itu dibuka, kelihatan kepul asap yang nipis naik ke
udara. Tanpa mempedulikan kepulan asap tersebut, Dumba hulurkan tangan ke dalam
peti tersebut. Dia berjaya mengambil dan mengeluarkan besi bulat sepanjang enam
inci. Dengan tenang dia melangkah menghampiri Datuk dan serahkan besi itu pada
Datuk. Dengan menggunakan kain hitam sebagai lapik telapak tangan, Datuk
menerima besi tersebut.
"Memang bekas asalnya", suara Datuk merendah sambil merenung
besi tersebut dari hujung ke pangkal beberapa kali.
"Memang betul", jawab Dumba.
"Dulu kau menerimanya dengan menggunakan besi ini, dan sekarang
kita matikan kekuatannya dengan besi ini", balas Datuk.
"Saya mengikut saja"
"Itu yang aku harapkan dari kau Dumba"
Datuk terus membongkok sambil menyumbat sesuatu ke pangkal besi bulat
tersebut. Besi bulat sepanjang enam inci itu diletakkan berdekatan dengan
serbuk kaca, rambut dan miang buluh. Datuk tegakkan badannya kembali. Berdiri
dengan meletakkan telapak tangan kanan ke atas bahu kiri. Kaki kanannya dilangkah
setapak ke depan. Datuk jatuhkan tangan kanan seperti keadaan asal. Lagi sekali
Datuk membongkok dan memusingkan badannya melepasi longgokan serbuk kaca,
rambut dan miang buluh. Datuk meniarap atas lantai.
Perlahan-lahan dia menghembus benda-benda tersebut dan dengan
perlahan-lahan pula benda-benda itu bergerak dan terus masuk ke dalam lubang
besi sepanjang enam inci itu.
Bila semua benda-benda itu berada dalam lubang, Datuk segera menyumbat bahagian pangkal lubang besi itu
dengan segumpal kain hitam. Saya terkejut, dengan tiba-tiba sahaja besi
sepanjang enam inci itu menjadi merah, seperti besi yang dibakar. Datuk
membiarkan besi itu di situ. Bila besi itu menjadi hitam macam kayu arang,
barulah Datuk mengambilnya dengan menggunakan kain hitam juga.
"Ke mari Tamar", kata Datuk. Saya segera menghampirinya dan
Dumba yang tidak dipanggil juga ikut menghampirinya. Datuk memandang wajah kami
dengan tenang.
"Cuba lihat"
Biji mata saya dan Dumba tertumpu pada tempat yang ditunjukkan oleh
Datuk. Saya gelengkan kepala beberapa kali sambil menggigit lidah.
"Terbakar", kata Dumba.
"Mestilah, ini menunjukkan betapa bisanya ibu santau yang kau
simpan, tempat habuk-habuk itu berkumpul jadi macam arang", balas Datuk.
Dumba terdiam seketika. Wajahnya mempamerkan rasa kesal.
"Serbuk santau ini, bila dah masuk ke dalam tubuh manusia semua
saluran darah jadi rosak, kau tengok Dumba betapa tidak baiknya santau kepada
manusia". Dumba hanya menggigit bibir mendengar cakap Datuk itu. Saya
anggukkan kepala beberapa kali.
Tanpa membuang masa lagi, Datuk terus memasukkan besi sepanjang enam
inci ke dalam buluh kuning yang panjangnya kira-kira satu kaki, ukuran lubang
buluh itu kira-kira satu hingga dua inci. Datuk balut buluh kuning itu dengan
kain hitam. Buluh kuning itu Datuk peroleh dari dalam bilik itu juga. Datuk
letakkan buluh kuning yang sudah berbalut itu atas peti hitam.
"Aku harap semuanya sudah selesai segala petua dan langkah sudah
aku buat sebaik-baiknya, kalau ada ujian dari syaitan kita hadapi
bersama", dengan tenang Datuk menujukan kata-kata itu pada Dumba. Datuk
terus melangkah ke pintu. Dia buka daun pintu lebar-lebar. Datuk berdiri di
situ merenung ke langit. Daun pintu Datuk rapatkan kembali. Semua gerak-geri
Datuk diperhatikan oleh Dumba dengan ekor matanya. Saya kira, Dumba belum
begitu yakin dengan niat Datuk untuk berbuat baik dengannya.
"Meniarap", pekik Datuk dengan sekuat hati.
Bagaikan ada satu kuasa yang mendorongkan saya merebahkan badan dengan
begitu pantas atas lantai. Dumba juga demikian. Bila saya renung arah Datuk
saya dapati Datuk juga sudah merapatkan badannya atas lantai. Ketika itu juga
saya terdengar deru angin yang cukup kuat dalam bilik tersebut, angin itu
berpusing-pusing dalam empat penjuru bilik. Semua yang berada dalam bilik tersebut
berterbangan. Bila bunyi deru angin itu berakhir, saya terdengar bunyi suara
ledakkan yang tidak berapa kuat.
"Bangun", kata Datuk.
Saya dan Dumba segera bangun. Ketika itu juga saya lihat pintu bilik
terbuka dengan lebarnya, beberapa keping kertas melayang-layang keluar ikut
pintu tersebut. Bila keadaan sudah kembali tenang, Datuk segera menghampiri
saya dan Dumba. Secara mendadak saja, hati saya menjadi cemas dan berdebar
tidak menentu. Perkara yang tidak pernah saya fikirkan, berlaku di hadapan mata
saya sendiri. Dumba menangis teresak-esak sambil memaut lutut Datuk.
"Jangan buat begitu Dumba, cara yang kau lakukan ini seperti
menyembah dan mendewa-dewakan aku, perbuatan ini salah, tidak ada yang mulia di
antara kita, kerana kita semuanya hamba Allah", kata Datuk.
Ternyata Dumba tidak menghiraukan kata-kata Datuk itu. Dia terus memeluk
lutut Datuk. Dengan kasar Datuk menolak Dumba hingga terlentang atas lantai.
Dumba berguling-guling sambil menangis. Saya jadi kelam-kabut melihat keadaan
yang serba ganjil itu. Datuk yang tadi kelihatan tenang dan lembut segera
bertindak agak kasar. Tangan kanan Dumba disambarnya serta dipulaskannya ke
belakang.
"Apa kena kau Dumba?"
"Masanya sudah sampai"
"Apa yang sampai?"
"Saya akan mati tuan, hari ini saya akan mati tuan"
"Mana kau tahu?"
"Saya tahu tuan, bila besi yang saya berikan pada tuan tadi
dimasukkan ke dalam buluh kuning, kuasanya akan hilang. Ayah saya dulu, secara
tidak sengaja telah memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, akhirnya dia
mati dibunuh orang."
Datuk terus menggigit bibir sambil mengerutkan keningnya. Dia jadi serba
salah bila berhadapan dengan orang yang teguh keyakinannya pada sesuatu perkara
yang tidak berasas. Datuk sedar keyakinan yang ada dalam diri Dumba itu secara
tidak langsung menafikan kekuasaan Allah. Meskipun tangan Dumba dipulas agak
kuat, kesannya tidak ada pada Dumba. Dia terus meronta-ronta seolah-olah dia
tidak mengalami sebarang rasa sakit.
Dalam saat-saat yang mencemaskan itu, saya lihat Datuk terus membaca surah
Al-Fatihah beberapa kali. Kemudian Datuk merapatkan mulutnya ke telinga Dumba
sambil membaca surah Al-Ikhlas. Sebaik saja ayat-ayat dari surah itu tersebut
Datuk tamatkan, saya lihat Dumba terdiam. Tidak menangis dan tidak
meronta-ronta lagi.
"Dumba"
"Ya"
"Tahukah kau ajal maut seseorang terletak pada Allah, tidak ada
manusia di dunia ini boleh menentukan tarikh kematian seseorang, walaupun orang
itu pandai melangit, kaya dengan ilmu batin, kaya dengan seribu petua dan
langkah."
"Tetapi, ayah saya sudah membuktikan kebenaran itu."
"Itu terjadi secara kebetulan saja, kalau ayah awak tidak
memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, dia akan mati juga, kerana janjinya
sudah sampai", Datuk melepaskan tangan Dumba dan termenung sejenak.
Sepasang matanya merenung wajah Datuk.
"Dumba, memang menjadi tabiat orang-orang Melayu yang mengamalkan
ilmu dunia, perkara yang berlaku secara kebetulan itu dianggap sebagai perkara
yang benar dan mesti, mereka sudah melupakan kebesaran Allah, akal fikiran yang
diberikan oleh Allah pada mereka tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, di
sinilah syaitan memesongkan iktikad kita sebagai orang Islam", Datuk
memberikan ceramah singkat.
Saya lihat Dumba terdiam. Dia sandarkan badannya ke dinding sambil
melihat pokok-pokok buluh di dalam biliknya yang sudah lintang-pukang
kedudukannya. Daun buluh juga sudah kelihatan layu. Datuk segera bangun lalu
mengambil buluh kuning yang terletak atas peti hitam. Buluh kuning itu
diletakkan di celah ketiak kirinya.
"Mari kita selesaikan kerja ni, Dumba."
"Ke mana lagi tuan."
"Jangan panggil aku tuan, panggil nama atau kawan saja', ujar Datuk
sambil melangkah ke pintu. Saya segera bangun begitu juga dengan Dumba. Sampai
di muka pintu, Datuk berhenti sebentar. Dia merenung ke arah saya dan Dumba.
"Ke mana kita nak pergi?", soal Dumba dengan nada suara yang
agak cemas.
"Ke hutan mencari kolam tinggal untuk membuang ini", balas
Datuk sambil menunjukkan buluh kuning yang terkapit di celah ketiaknya.
Tanpa membuang masa lagi kami keluar dari bilik khas Dumba yang terletak
di bahagian belakang kedainya. Ketika melintas di ruang kedai, saya lihat ramai
juga orang yang minum kopi di situ. Dumba terus menemui salah seorang pekerja
sambil bercakap sesuatu. Lepas itu Dumba kembali mengekori Datuk hingga ke tepi
jalan raya. Datuk merenung ke langit lagi.
"Cuaca baik", katanya.
"Ke mana kita nak pergi tuk?"
"Ke bukit sana", telunjuk Datuk mengarah ke sebuah bukit yang
letaknya cukup jauh, nampaknya berbalam-balam dari tepi jalan.
Saya mula membayangkan tentang kesusahan yang akan dialami untuk sampai
ke tempat tersebut. Saya terbayangkan pacat gunung yang laparkan darah, saya
terbayang binatang-binatang buas dan akar-akar kayu. Mahu saja saya
mencadangkan pada Datuk, supaya membatalkan hasratnya itu. Tetapi, saya tidak
berani menyuarakannya pada Datuk.
"Mari, jangan buang masa lagi", Datuk pun melangkahkan kaki
kanannya. Saya dan Dumba juga melangkah tetapi saya tidak berapa pasti sama ada
saya melangkah kaki kanan atau kaki kiri dulu.
Bagi saya, kaki kanan atau kiri tetap sama. Pokoknya, mesti sampai ke
tempat yang dituju. Itu pendapat saya, pendapat seorang cucu yang berani-berani
takut dengan Datuknya. Satu sikap yang tidak wajar wujud dalam diri seseorang
yang mahu menjadi orang berilmu macam Datuk. Kerana itu agaknya, saya tidak
punya cita-cita walau sebesar biji saga untuk jadi macam Datuk. Tetapi, saya
terhibur mengikutinya ke mana-mana.
Lebih kurang setengah batu kami berjalan kaki di tepi jalan raya menuju
ke arah Tajung Malim. Sampailah kami di satu selekoh berdekatan dengan sebuah
bukit kecil, Datuk menyuruh kami berhenti berjalan.
"Kita masuk ikut ini", kata Datuk.
"Awak tahu jalannya?", tanya Dumba.
"Ikut saja cakap saya", balas Datuk sambil tersenyum memandang
ke arah saya. Saya keberatan sekali untuk melangkah kaki masuk ke dalam hutan
kecil di tepi jalan yang dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok yang subur.
Beberapa orang pemandu kenderaan yang lalu di jalan raya merenung ke arah kami
yang berdiri di tepi jalan. Mereka merasa hairan melihat kami berdiri di situ
sambil merenung ke bukit kecil. Badan saya mula berpeluh dipanah matahari yang
cukup terik. Melihat kedudukan matahari ketika itu, saya meramalkan sudah
hampir pukul dua belas tengahari.
"Mari", Datuk terus menarik tangan saya ke dalam hutan kecil.
Dumba mengikut dari belakang. Lebih kurang dua puluh minit berjalan, saya sudah
tidak mendengar bunyi kenderaan di jalan raya. Kiri kanan saya di penuhi dengan
pokok-pokok besar yang tinggi. Cuaca agak lembab, sinar matahari tidak dapat
menembusi kawasan yang kami lalui kerana dilindungi oleh pokok-pokok besar.
Suara burung liar bersahut-sahutan, di samping suara reriang rimba yang
memanjang dan menyeramkan. Perjalanan saya tidak begitu lancar, saya terpaksa
melangkah dengan hati-hati supaya tidak tersepak akar-akar rotan, dan kayu yang
menjalar di situ.
Saya lihat Dumba tidak mengalami masalah seperti yang saya hadapi. Dia
melangkah dengan rancak dan bersemangat. Tetapi, wajahnya sentiasa dibayangi
rasa cemas, sesekali dia mengeluh macam orang yang putus asa. Datuk terus juga
melangkah tanpa mempedulikan keadaan diri saya dan Dumba. Dia tidak mahu ambil
tahu sama ada kami merasa dahaga atau letih. Perjalanan menuju ke bukit
tersebut kian sukar. Dua tiga kali saya terjatuh terlanggar akar kayu. Nyamuk
hutan yang besar, kian ganas menyerang saya dan Dumba. Suara nyamuk itu cukup
nyaring dan kuat sekali.
"Dahaga, saya dahaga tuk", jerit saya. Datuk mematikan
langkahnya lalu menghampiri ke pokok besar yang berjuntaian dengan akar-akar
sebesar lengan budak. Salah satu akar itu Datuk potong dengan golok.
"Mari minum", katanya sambil menghulurkan akar yang
mengeluarkan air yang jernih itu kepada saya. Air dari akar kayu itu terus saya
sedut hingga rasa dahaga hilang. Dumba juga melepaskan rasa dahaganya seperti
yang saya lakukan tetapi Datuk tidak berbuat demikian. Dia cuma membasuh muka
saja.
"Jauhkah lagi tuk?", tanya saya.
"Tak jauh lagi, kira-kira selari angin saja."
"Selari angin tu apa dia tuk?"
"Jarak selari angin tu, kira dua batu lagi", terang Datuk
sambil ketawa. Saya dan Dumba mengeluh, dua batu berjalan dalam hutan bukanlah
satu perkara yang senang.
"Jangan duduk lama sangat, mari kita pergi sekarang", sebaik
saja mendengar cakap Datuk itu, saya dan Dumba segera bangun dan meneruskan
perjalanan dalam hutan yang tidak berapa saya senangi itu. Saya
menyumpah-nyumpah dalam hati bila saya terpaksa mendaki bukit yang di lerengnya
dipenuhi dengan pokok-pokok bertam dan kelubi yang berduri tajam.
Kalau kurang hati-hati melangkah, pasti tergelincir dan jatuh dalam
rimbunan pokok bertam dan kelubi. Anda tentu dapat membayangkan betapa sakitnya
badan, bila duri-duri yang tajam itu mencucuk daging tubuh saya yang lembut
ini.
Setelah bersusah payah mendaki, akhirnya kami sampai ke puncak bukit
yang tinggi menjulang itu. Dari puncak bukit itu, saya dapat melihat hutan yang cukup luas
menghijau dengan dedaun kayu. Pemandangannya amat menarik dan cantik sekali.
Keadaan bertambah menyenangkan, bila angin menyentuh kulit muka dan badan,
terasa sejuk dan nyaman sekali. Awan kelihatan berarak dengan tenang, tidak ada
suara burung hutan atau monyet, kecuali
bunyi deru angin dan sesekali kelihatan burung helang terbang rendah di bawah
puncak bukit.
Rasa susah dan penat saya hilang dengan sendirinya bila berhadapan
dengan keadaan alam yang begitu indah. Sungguh indah ciptaan Allah keluh batin
saya sendirian.
"Kalau tak silap, kita sekarang berada di sempadan antara negeri
Pahang dan Selangor." ujar Datuk yang tersandar di pangkal pokok besar.
Sebaik saja dia bercakap, Datuk segera bangun.
Dia berjalan menuju ke arah barat daya tanpa mengajak saya dan Dumba
ikut serta. Dalam waktu beberapa minit Datuk hilang dari pandangan kami
dilindungi oleh pokok-pokok besar yang tumbuh gagah di situ.
Saya dan Dumba berpandangan, bimbang juga dengan tindak-tanduk Datuk
itu. Rasa bimbang itu hilang bila Datuk muncul dengan tiba-tiba dari arah
belakang kami.
"Aku dah jumpa kolam tinggal", beritahu Datuk pada kami dengan
wajah yang riang. Datuk terus mengajak kami menuju ke kolam tersebut.
Jarak kolam tinggal dari tempat mula-mula kami berhenti lebih kurang
lima rantai. Kedudukan kolam itu betul-betul berada di tengah puncak bukit,
bentuknya macam kawah dan tebingnya agak curam sedikit tanpa ditumbuhi sebarang
jenis rumput. Kolam itu tidak berapa besar, panjangnya dianggarkan sepuluh kaki
dan lebarnya antara lima hingga enam kaki. Airnya cukup jernih. Bahagian atas
tebing kolam itu dikelilingi oleh pokok besar dan bertam. Kerana kolam itu
berada di bahagian tengah puncak bukit, airnya dapat menerima sinaran matahari
dengan cukup sempurna.
Anehnya, walaupun kolam itu dikelilingi oleh pokok-pokok besar, tidak
ada sehelai pun daun dari pokok-pokok tersebut jatuh ke kolam atau tersadai di
tebingnya. Saya merasakan kolam itu bagaikan dijaga oleh orang tertentu dengan
begitu rapi dan baik sekali. Datuk terus berpusing di bibir kolam itu sebanyak
tiga kali. Kemudian, Datuk mengambil ranting kering lalu dicampakkan ke dalam
kolam. Air dalam kolam berombak.
"Tempat yang sesuai", kata Datuk sambil bertinggung di bibir
kolam. Sepasang matanya merenung tajam pada air kolam. Dia menajamkan mulutnya
sambil menghembus angin.
"Dalam kolam ini tidak ada ikan, kolam ini juga bukan tempat
binatang minum", tambah Datuk lagi sambil berdiri. Saya dan Dumba
berpandangan sama sendiri. Tidak berani menyoal atau bertanya sesuatu pada
Datuk.
"Kita tidak boleh membuang jenis bisa ke dalam kolam yang jadi
tempat binatang minum atau tempat ikan, perbuatan begitu, satu perbuatan yang kejam
menyeksa makhluk lain untuk kesenangan diri sendiri, kerana itu aku ajak kau ke
mari", Datuk berleter lagi.
Dumba terdiam, dia nampak resah tidak menentu, macam ada sesuatu yang
menekan perasaannya.
"Semuanya kita tamatkan di sini Dumba, dan kau rela aku melakukan
semuanya ini?", Datuk mengajukan pertanyaan sambil merenung wajah Dumba
dengan tepat. Dumba anggukkan kepala sambil menyembunyikan rasa cemasnya dari
pengetahuan Datuk.
"Kau takut Dumba?"
"Ya, saya kira hidup saya juga akan berakhir di sini."
"Jangan jadi bodoh.", Datuk marah dengan tiba-tiba. Suara
Datuk yang meninggi itu membuat Dumba terkejut. Rasa takut dan cemas hilang
dari diri Dumba. Datuk segera mengambil
buluh kuning yang tersepit di celah ketiaknya. Buluh itu dijulangnya tiga kali
ke udara sambil mulutnya membaca sesuatu. Dengan pantas Datuk mencabut sebatang
pokok yang besarnya kira-kira sama besar dengan betis budak berusia enam tahun.
Datuk terus mengikat buluh kuning pada bahagian akar pokok tersebut
dengan tali guni. Kemudian Datuk terus membenamkan akar pokok dan bawang kayu
ke dalam kolam.
Cara Datuk membenamkan pokok tersebut juga agak ganjil, dia tidak perlu
masuk ke dalam kolam. Apa yang dibuatnya ialah berlari sebanyak tujuh kali
mengelilingi kolam dan akhirnya dia melompat menyeberangi kolam dari sebelah
kiri ke kanan.
Bila dia yakin yang dirinya berada betul-betul di tengah-tengah kolam,
barulah pokok yang dicabutnya itu ditekan ke dalam perut kolam. Datuk berada
betul-betul di bahagian tengah kolam itu tidak lama. Dia berada di situ lebih
kurang tiga minit saja. Dan keadaannya seperti orang terbang dengan kedua belah
kakinya lurus ke arah tebing kolam, manakala tangannya terus menekan pokok yang
masih berdaun itu ke perut kolam dengan penuh tenaga.
Bila tugasnya selesai, Datuk memusingkan badannya ke udara dan bergerak
ke tepi tebing sebelah kiri. Dia berdiri di situ, seolah-olah dia tidak
melakukan sesuatu. Semua kejadian yang saya anggap amat menakjubkan itu berlaku
bagaikan mimpi di hadapan mata saya dan Dumba. Datuk segera menghampiri kami.
Saya lihat pokok yang Datuk cacakkan di tengah kolam itu bertukar warna.
Daunnya yang hijau segar terus menjadi layu dan kering begitu juga dengan
batangnya.
Air dalam kolam yang tadi jernih dan tenang segera bertukar menjadi
kelabu dan berbuih, macam buih sabun. Buih-buih itu pula mengeluarkan asap di
permukaan kolam. Datuk melihat kejadian itu dengan tenang. Bila asap di
permukaan kolam tinggal itu hilang, Datuk menyuruh saya mencari pucuk bertam
dan kelubi. Dumba pula disuruhnya mencari kulit pokok samak dan kulit jelutung.
Kulit pokok itu harus diambil dari arah kanan ke kiri. Semua yang Datuk
inginkan dapat saya dan Dumba adakan.
Semua ramuan itu Datuk biarkan berada dalam kolam selama setengah jam.
Bila tempohnya sudah cukup, air kolam kembali jernih dan pokok yang Datuk
benamkan di tengah kolam kembali segar.
"Dumba, ibu santau yang kau simpan ini akan kekal selama sepuluh
keturunan dalam keluarga kau, bisanya macam bisa asal, kau sudah membuangnya
dan ibu santau tidak akan mencari sesiapa untuk jadi tuannya", terang
Datuk pada Dumba.
Saya lihat Dumba menarik nafas panjang. Dia terus memeluk Datuk dengan
eratnya. Datuk terus menepuk-nepuk bahunya dengan penuh mesra.
"Saya terlepas dari kuasa syaitan, saya harap keturunan saya yang
akan datang tidak akan jadi pembunuh akibat mewarisi ilmu santau yang tidak
pernah saya minta", kata Dumba sambil mengesat air mata.
Datuk terus menasihatkan Dumba supaya bertenang. Terharu juga perasaan
saya melihat peristiwa yang terjadi di antara Dumba dengan Datuk di tengah
hutan itu. Bila keadaan sudah tenang Datuk mengambil pucuk bertam, kelubi dan
kulit pokok samak serta kulit pokok jelutung. Datuk mengambil dengan tangan
sambil memasukkan separuh dari kakinya ke dalam kolam.
"Dengan izin Allah yang maha besar, kerja aku berjaya", suara
Datuk lemah. Dia terus membaca Al-Fatihah dan doa kesyukuran.