Manusia Harimau
Bila Datuk merasakan tidak ada hal-hal yang perlu dilakukannya, dia pun
mengajak kami pulang.
"Kalau sesiapa di antara kamu masuk ke dalam hutan dan bertemu
dengan pokok yang tumbuh dalam kolam, hati-hatilah menggunakan air dari kolam
tersebut”, sambil menggeliat Datuk berkata begitu kepada saya.
"Kenapa tuk?"
"Orang tua-tua dulu yang kaya dengan ilmu dunianya, membuang saka
ilmu dunia dengan tiga cara, terutama kalau ilmu yang dituntutnya bercanggah
dengan ajaran Islam atau ilmu yang dituntutnya akan menjadi ilmu keturunan”,
Datuk memicit-micit bahu kirinya dengan tapak tangan.
"Ke mana ilmu salah tu dibuang tuk?", soal saya lagi.
Datuk terdiam seketika macam mengingati sesuatu. Dia terus melangkah
mencari arah jalan pulang yang harus dilalui. Datuk memilih jalan pulang ikut
sebelah kanan bukit, Datuk tidak mahu mengikut jalan awal yang telah digunakan
tadi. Apa tujuan Datuk berbuat demikian, saya tidak dapat meramalkan. Mungkin
ada muslihat tertentu fikir saya.
Saya dongak ke langit, matahari sudah berubah kedudukannya. Tiupan angin
juga tidak serancak tadi. Mengikut kedudukan matahari, saya kira waktu zohor
sudah hampir dan saya dapat menduga bahawa Datuk mahu mencari jalan dekat
supaya cepat sampai ke rumah. Dia mahu berada di rumah sebelum waktu zohor
berakhir.
"Tempat yang dipilih ialah Kuala Sungai yang bertemu dengan laut,
dan ketiga seperti yang aku lakukan tadi”, secara mendadak Datuk menjawab
pertanyaan saya yang terputus tadi.
Jawapan yang saya nantikan tu Datuk berikan ketika saya bergayut pada
sebatang pokok untuk turun dari puncak bukit. Saya tersenyum sendirian, dengan
sikap Datuk. Kenapa untuk menjawab pertanyaan yang mudah itu mesti memakan masa
yang agak lama. Saya rasa menuruni bukit lebih sukar dari mendakinya. Sebabnya,
ketika menuruni bukit kita harus pandai mengimbangi badan, kalau kurang pandai
boleh membuat kita terlajak ke depan yang boleh menyebabkan kita terlanggar
batu atau pokok. Anehnya kesukaran yang saya hadapi itu, tidak menjadi masalah
buat Datuk. Dia boleh berjalan dengan cepatnya.
Akhirnya, kami sampai ke kaki bukit. Perjalanan seterusnya tidaklah
berapa sukar. Tetapi, sendi kedua belah kaki saya mula berasa sengal dan
sakit-sakit.
"Hati-hati minum air kolam yang ada pokok tumbuh di dalamnya, mana
tahu kalau pokok itu dijadikan penekan ibu ilmu salah, kalau orang yang
membuang ilmu bisa itu tidak menawarnya akan membawa padah pada orang yang
meminumnya”, Datuk mengingatkan saya dan Dumba, ketika itu kami sudah agak jauh
meninggalkan bukit yang telah kami daki tadi.
Suara kenderaan mula terdengar sayup-sayup menendang gegendang telinga.
Langkah saya terus rancak, kalau diturutkan hati mahu saja saya berlari supaya
segera sampai ke tepi jalan raya. Rupanya langkah saya yang rancak dan
bersemangat itu tidak boleh dilanjutkan lagi. Ada sesuatu yang menghalangnya.
Datuk menyuruh saya dan Dumba berlindung di balik pokok besar. Tindakan Datuk
itu amat mengejutkan. Wajahnya kelihatan cemas sedikit. Dari balik pokok besar
saya dan Dumba melihat dengan teliti tingkah laku Datuk yang berdiri di kawasan
yang agak lapang itu. Datuk meletakkan tangan kanannya ke cuping telinga kiri,
macam mendengar sesuatu. Datuk melangkah dua tapak arah ke kanan. Berhenti di
situ sambil merenung dedaun pokok yang bergoyang di kiri kanannya kerana
dirempuh angin.
"Silakan, kalau masih sangsi”, suara Datuk cukup lantang.
Saya tidak tahu kepada siapa kata-kata itu ditujukan oleh Datuk. Dumba
renung muka saya dengan penuh rasa ragu dan bimbang. Saya cuma tersenyum saja.
Tetapi, mata saya tetap tertumpu ke arah Datuk. Saya lihat, Datuk menapak dua
langkah ke kiri pula, berhenti di situ dengan tenang. Macam menanti sesuatu.
Siapakah yang Datuk tunggu dan nanti dalam hutan begini, kata hati saya.
"Silakan”, ulang Datuk lagi.
"Ya, aku datang dan bertemu lagi dengan kau”, terdengar suara dari
arah kanan Datuk.
Saya terkejut, apa yang saya lihat ialah batang tubuh Mahyuddin, berdiri
sambil memeluk tubuh. Mahyuddin memintas di depan Datuk. Berdiri berdepan
dengan Datuk sambil memeluk tubuh.
Gerak-gerinya cukup pantas, macam orang muda yang berusia tiga puluhan.
Sinar matanya cukup garang. Tidak terpamer segaris senyum pun di wajahnya.
Keadaan yang saya lihat itu amat membimbangkan.
Pertemuan Datuk dengan Mahyuddin kali ini bukanlah pertemuan seorang
sahabat dengan sahabat, tetapi pertemuan dua orang musuh yang sudah lama
menaruh dendam. Saya berdoa pada Allah, semoga Allah yang Maha Besar akan
membiarkan kesabaran pada Datuk, mudah-mudahan Datuk tidak akan bertindak liar.
Saya tidak mahu Datuk menjadi mangsa Mahyuddin. Rupanya, doa saya diperkenankan
oleh Allah.
Datuk kelihatan cukup tenang, meskipun Mahyuddin bersikap agak kasar
dengan tujuan menaikkan rasa marah dan geram di hati Datuk. Semuanya tidak
mendatangkan kesan, Datuk tetap berlembut dan sabar. Tindakan Datuk itu
memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang pengecut dan penakut. Satu hal yang
pasti, meskipun Datuk mengalah dia tetap berjaga-jaga. Setiap langkah Mahyuddin
bagaikan sudah dibacanya terlebih dahulu.
"Kau bersubahat, kau melindungi Dumba manusia pembunuh”, kata
Mahyuddin dengan nada suara yang keras. Badannya kelihatan menggeletar, matanya
bertambah merah.
"Nanti dulu, biar aku terangkan keadaan sebenarnya."
"Sudah, kau menyimpan ibu santau itu di sini."
"Tidak Mahyuddin, kau silap."
"Sudah, jangan berdusta. Manusia pura-pura, kau munafik."
"Mahyuddin dengar dulu."
"Sudah”
Mata Mahyuddin mula menentang biji mala Datuk untuk beberapa saat dengan
harapan untuk menewaskan Datuk. Usaha itu gagal, Datuk masih macam keadaan
biasa, masih mampu melahirkan senyum untuk Mahyuddin.
"Biarkan aku selesaikan Dumba di sini, jangan kau lindungi dia,
kalau kau berkeras buruk padahnya", Mahyuddin melahirkan cita-citanya yang
sebenar tanpa selindung lagi.
Datuk meraba dahi luasnya berkali-kali. Memang Datuk berada dalam
saat-saat yang paling genting sekali. Andainya Datuk tersalah langkah atau
tersilap cakap, dirinya akan terjerat.
Datuk terus duduk bersila atas tanah. Saya kira, tindakan Datuk tidak
kena pada tempatnya. Dia seolah-olah menyerah nyawanya pada Mahyuddin, betapa
tidak dengan sekali terkam bersama parang di lengan, leher Datuk akan putus.
Anehnya, Mahyuddin tidak menyerang Datuk. Dia membiarkan Datuk duduk
dengan aman di atas tanah. Mungkin Mahyuddin berpendapat bukanlah langkah atau
prinsip seorang pendekar menyerang orang yang tidak melawan. Kemenangan yang di
peroleh secara itu bukanlah satu kemenangan yang terpuji tetapi, satu
kemenangan yang keji. .
Datuk masih lagi duduk bersila, perasaannya berperang sama sendiri,
apakah wajar dia menyerahkan Dumba pada Mahyuddin begitu saja? Memang, kalau
dia mahu mencari jalan senang, serahkan Dumba pada Mahyuddin habis perkara,
mereka tidak bermusuh.
Tetapi, cara itu bukanlah satu cara yang baik. Apalah untungnya
menyerahkan orang yang sudah insaf atas perbuatannya yang lalu pada musuh
ketatnya.
Membunuh manusia yang seagama kerana dendam bukanlah ajaran agama Islam.
Orang yang sudah insaf itu harus diberikan kesempatan membetulkan dirinya.
Siapa tahu, orang yang sudah insaf atas perbuatannya akan menjadi manusia yang
baik dan berguna pada bangsa dan agama.
Semua persoalan itu menghantui diri Datuk. Dia harus memberi satu
keputusan yang tegas. Dia juga harus menanggung sebarang akibat dari keputusan
yang dibuatnya.
Tiba-tiba Datuk melompat dan berdiri kembali. Kali ini tidak ada senyum
yang terpancar di wajahnya. Datuk kelihatan begitu serius merenung wajah
Mahyuddin.
"Tidak, Dumba dalam perlindungan aku, dia harus diberi kesempatan
membetulkan dirinya”, kata Datuk sambil melipat lengan bajunya hingga ke paras
siku. Mahyuddin kelihatan tergamam dengan tindakan Datuk itu.
"Tak apa”, balas Mahyuddin, dia mula mengangkat kedua belah
tangannya ke depan. Sepasang kakinya mula bergerak memijak pokok-pokok kecil.
Mahyuddin kelihatan menggigil dan wajahnya nampak merah. Mahyuddin sudah
naik angin, kemarahannya sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Dia membuka
silat sambil mematah-matahkan pokok-pokok yang tumbuh liar di kiri kanannya.
Melihat rentak dan bunga silat yang dihasilkan oleh Mahyuddin itu, Datuk
menduga Mahyuddin bukan orang sembarangan, ilmu silat alau pendekar yang ada
pada dirinya melambangkan yang dirinya memiliki ilmu kelas tinggi di dalam
salah satu aliran silat.
Datuk membiarkan Mahyuddin membuka rentak dan langkah silat dengan
tujuan membaca kepandaian yang dimiliki oleh Mahyuddin.
"Aku tahu sekarang, dia membawa aliran silat harimau yang disebut
Cilek Babiat oleh orang-orang Mendailing (Mandailing)”, bisik hati kecil Datuk,
Datuk bersedia untuk mengelakkan diri dari serangan Mahyuddin.
Datuk tahu benar, silat jenis itu hanya terdapat di kalangan masyarakat
Mendailing saja. Bukan satu perkara yang mudah untuk sampai ke taraf pendekar
dalam jurusan ilmu silat Cilek Babiat, banyak rintangan dan dugaan yang harus
dilalui. Datuk melangkah ke kanan dengan kedua belah tangannya berkembang di
bahagian paras dada. Kaki kanannya bergerak ke depan dalam keadaan yang tidak
lurus, begitu juga dengan kaki kirinya yang bertugas sebagai tupang (penyokong)
pada kaki kanannya.
Gerakan Datuk begitu hati-hati sekali. Dalam saat yang sama juga Datuk cuba
mengunci dan mematikan langkah Mahyuddin secara batin. Usaha Datuk itu gagal
sama sekali. Datuk mula merasakan semua usaha yang dilakukannya tidak menjadi.
Datuk berada di dalam keadaan yang agak sukar. Sebagai manusia yang tidak
mengenal erti putus asa Datuk terus berusaha sambil berdoa, supaya segala
usahanya, itu direstui Allah. Datuk tidak mahu menyerahkan begitu saja pada
Mahyuddin.
Datuk juga sedar, orang-orang yang tinggi pengetahuannya, dalam ilmu
silat Cilek Babiat (silat harimau) dalam waktu tertentu akan bertukar menjadi
seekor harimau yang ganas. Datuk tahu, Mahyuddin boleh melakukan perkara
demikian sekiranya dia terdesak.
"Sebelum terjadi, aku mesti hati-hati, cara yang paling baik
menimbulkan kemarahannya supaya dia jadi harimau”, Datuk membuat keputusan
dengan langkah silatnya yang teratur itu.
Sambil mempertahankan diri, Datuk terus mencari akal bagaimana mahu
menimbulkan kemarahan yang meruap-ruap dalam diri Mahyuddin. Datuk terus
mendongakkan kepalanya ke langit melihat matahari yang kedudukannya sudah agak
condong ke barat. Angin juga bertiup dalam keadaan yang lemah. Kerana kedudukan
matahari sudah condong membuat pokok-pokok atau manusia yang kena panahan
matahari mencipta bayang-bayang di bumi.
Sumpahan atau pantang pada orang-orang yang menuntut ilmu silat Cilek
Babiat atau silat harimau bila pihak musuh menindih bayangnya. Datuk tahu benar
tentang pantang larang itu, dia mahu mengambil kesempatan dari pantang-larang
itu. Di bawah hembusan angin hutan yang lemah itu, Datuk melompat dan menerkam
ke arah Mahyuddin hingga bayang-bayang Datuk dapat menindih bayang-bayang
Mahyuddin. Dalam saat yang agak kelam-kabut itu, Datuk menyeru nama Dumba dan
menyuruhnya keluar dari tempat persembunyiannya. Dumba meluru keluar.
"Awak mencabar saya”, kata Mahyuddin dengan nada suara yang cukup
keras.
Dia melompat, semua tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekeliling
ditendang hingga tercabut.
Kali ini Mahyuddin tidak menyerang Datuk. Dia hanya berdiri sambil
membuka sepuluh jari tangannya. Badan Mahyuddin menggeletar, sepuluh jari
tangannya bergoyang.
"Dumba, kembali ke tempat kamu”, kata Datuk. Dumba segera
bersembunyi. Mahyuddin membongkokkan badannya, sambil bergerak dalam langkah
silat yang teratur, sepasang matanya yang tajam dan merah tetap merenung muka
Datuk.
"Eeee hemmmm ... “, jerit Mahyuddin dan Datuk saya lihat tersandar
di perdu pokok besar, seolah-olah bahagian dadanya ditendang oleh sesuatu.
Datuk terus bertahan di situ. Gerak kaki Datuk terasa amat lemah. Mahyuddin
dengan perlahan-lahan rapat ke arah Datuk sambil mengembangkan sepuluh jari
tangannya.
Jejari itu bergerak-gerak bagaikan mahu mengoyak kulit dada Datuk yang
tersandar di perdu pokok besar itu. Datuk masih lagi bertenang. Mata Datuk
tetap mengawasi langkah kaki Mahyuddin yang bergerak setapak dalam langkah
silat harimau.
Tiba-tiba Mahyuddin memberhentikan gerakan langkahnya. Dia merenung muka
Datuk dengan tepat sekali. Datuk terus menentang mata Mahyuddin yang kelihatan
berkaca-kaca bersama-sama dengan urat mata yang merah. Datuk kelihatan seperti
orang lemas. Mahyuddin terus merendahkan badannya, kemudian bangun secara
perlahan-lahan, ketika itu saya mula nampak perubahan yang aneh terjadi pada
diri Mahyuddin, terutama bentuk wajah dan kepalanya bertukar seakan-akan wajah
harimau.
Bulu yang halus berwarna merah kekuning-kuningan tumbuh di wajahnya.
Rambutnya juga berwarna demikian. Bulu yang berwarna merah kekuning-kuningan
itu terus merayap ke leher, ke lengan hingga ke seluruh badannya. Bentuk asal
Mahyuddin sudah hilang sama sekali. Dari hujung sepuluh jari tangannya muncul
kuku tajam yang meruncing, macam kuku harimau, kekuatan Mahyuddin juga
kelihatan bertambah seperti kekuatan seekor harimau jantan. Saya mengurut dada
beberapa kali, kasihan melihat Datuk yang tidak boleh bergerak itu, sebenarnya
Datuk masih boleh meninggalkan perdu pokok besar itu jika dia mahu berbuat
demikian.
Anehnya, kenapa Datuk tidak mahu menyelamatkan dirinya yang berada dalam
bahaya itu? Timbul pertanyaan dalam diri saya. Dalam kepayahan itu, saya lihat
Datuk tidak mengalihkan wajah dan matanya dari merenung wajah Mahyuddin yang
bertubuh harimau itu. Mulut Datuk kelihatan bergerak-gerak, tentunya Datuk
membaca sesuatu. Mahyuddin yang sudah menjadi harimau itu terus marah sambil
cuba mencakar wajah Datuk.
Saya terkejut, Mahyuddin berhenti merapati Datuk. Dia terpaku di situ,
sinar matanya yang garang tiba-tiba menjadi layu. Walaupun Mahyuddin tidak
melangkah, mata Datuk tetap merenung wajah Mahyuddin yang kelihatan mula
bertukar kepada wajah asalnya. Mahyuddin terpacak di situ dengan nafas yang
tercungap-cungap.
Bila Datuk merasakan yang dirinya berada dalam keadaan selamat, barulah
Datuk bergerak dari pangkal pokok besar itu. Datuk terus menghampiri Mahyuddin.
Datuk hulurkan tangan sambil berselawat sebanyak tiga kali. Huluran tangan
Datuk itu disambut oleh Mahyuddin. Masa berjabat tangan itu Datuk dan Mahyuddin
mengucapkan dua kalimat syahadah dengan jelas.
"Kita orang Islam, tidak ada permusuhan dan dendam sesama orang
Islam. Setiap orang Islam adalah bersaudara, bila dua orang Islam bergaduh,
tempatnya ialah neraka sama ada yang membunuh atau terbunuh”, dengan mendadak
Mahyuddin bersuara, tekanan suaranya agak lemah kepenatan.
Saya lihat Mahyuddin seperti mengalami sesuatu, dia kelihatan susah
bernafas macam orang kelemasan. Mahyuddin terus duduk atas tanah.
"Bertenang Mahyuddin, hilangkan perasaan marah kamu yang masih ada
sisanya dalam hati”, kata Datuk.
"Ya, aku sedang berusaha ke arah itu. Aku sedang berikhtiar untuk
mengembalikan seluruh semangat aku seperti sedia kala."
"Baguslah, aku tahu orang-orang yang menuntut ilmu silat harimau ke
peringkat tinggi akan menjadi manusia harimau bila dilanda marah yang amat
sangat atau dirinya terancam.
"Aku kira kesalahan aku boleh kau maafkan”, nada suara Datuk cukup
lembut, macam jejaka kacak memujuk dara pujaan hati yang tersinggung.
"Aku maafkan”, jawab Mahyuddin pendek. Datuk memanggil saya dan
Dumba. Kami pun keluar dari tempat persembunyian. Datuk suruh Dumba duduk
sebelah Mahyuddin. Pada mulanya Dumba agak keberatan mematuhi cakap Datuk itu.
Dumba masih ragu-ragu dengan kejujuran dan keikhlasan hati Mahyuddin. Setelah
Datuk paksa, barulah Dumba duduk dekat Mahyuddin.
Rasa bimbang segera lari dari hati Dumba bila Mahyuddin menghulurkan
tangan padanya sambil membaca selawat. Saya terus merenung Mahyuddin dengan
rasa kagum atas kebolehan yang ada pada dirinya. Tidak hairanlah, dia boleh
menewaskan tentera Jepun dengan mudah.
"Maafkan saya Mahyuddin, saya nak bertanya sedikit”, Datuk renung
muka Mahyuddin.
"Sila sahabat."
"Awak bukan orang Bangkahulu sejati?"
"Mana sahabat tau?"
"Biasanya ilmu silat Cilek Babiat diamalkan orang-orang dari daerah
Mahyuddin, Sumatera.
"Tepat sekali, saya di lahir dan dibesarkan di Kampung Hutabargot,
kemudian merantau ke Bangkahulu. Di tempat asal saya memelihara dan menunggang
harimau bukanlah satu hal yang aneh, sudah jadi perkara biasa”, Mahyuddin
menerangkan pada Datuk dengan wajah yang berseri-seri.
Saya dan Dumba berpandangan. Datuk mengaru-garu kepalanya yang tidak
gatal. Beberapa helai rambut tua lekat di jari Datuk. Rambut itu berterbangan
menuju ke arah selatan. Sinar matahari kian meredup, dan rasa panas di tubuh
mula berkurangan.
"Orang-orang Mendailing di tempat asal saya menyebut harimau
sebagai Na Betengi yang bermaksud yang kuat perkasa”, tokok Mahyuddin lagi.
Datuk anggukkan kepala.
Saya bangun dan menggeliat untuk menghilangkan rasa lenguh. Saya duduk
kembali.
"Walaupun harimau dimuliakan, tetapi martabat harimau jauh lebih
rendah, dibandingkan dengan martabat manusia. Harimau tidak kuat menentang muka
manusia, kerana itu harimau menyerang manusia dari belakang”
Saya lihat air muka Mahyuddin berubah, dia terkejut mendengar cakap
Datuk tadi. Kemudian dia tersenyum tenang.
"Sahabat tahu kunci dan kelemahan ilmu silat saya, sebab itu
sahabat menentang muka saya ketika berlawan, saya yakin sahabat mempunyai
pengetahuan yang luas tentang asal-usul harimau. Sahabat orang
Mendailing?", begitu ghairah Mahyuddin bersuara, dia terus berubah tempat,
duduk bertentang muka dengan Datuk.
"Saya berasal dari Jambi. Barangkali Datuk nenek saya berasal dari
tempat yang sama dengan awak”, pendek Datuk menjawab.
"Tahu asal-usul harimau?"
"Tahu."
"Apa dia?"
"Harimau makhluk Allah sama seperti manusia. Tetapi manusia itu
dijadikan oleh Allah sebaik-baik kejadian, ini kelebihan manusia”, Datuk
menyapu peluh yang tumbuh di dahi dengan telapak tangan kanannya. Mahyuddin
terdiam. Kemudian tanpa diminta oleh sesiapa, Datuk terus memperkatakan tentang
martabat manusia, dari segi martabatnya manusia terletak di tengah-tengah
antara martabat binatang dan martabat malaikat. Dari segi keperluan makanan dan
keturunan, manusia adalah dianggap sebagai tumbuhan.
Dari segi bergerak dan merasa mengikut pilihan, manusia dianggap sebagai
binatang. Dari segi rupa dan bentuk, manusia seperti gambar yang terukir.
Tetapi, keistimewaan manusia ialah mengetahui tentang hakikat benda-benda.
Manusia yang menggunakan seluruh anggota dan tenaganya untuk mendapatkan ilmu
yang bermanfaat dan beramal, adalah serupa dengan malaikat.
Semua pendapat yang Datuk bentang itu berdasarkan pembacaan dari
kitab-kitab agama terutama karya Imam AI-Ghazali. Tidak ada di antara kami yang
ingin bertanya berhubung dengan perkara yang dihuraikan oleh Datuk itu.
Masing-masing terpegun, macam kena pukau.
“Tahukah kamu, Saiyidatuna Aisyah telah meriwayatkan Sabda Rasulullah
yang bermaksud lebih kurang begini: Manusia itu kedua matanya sebagai petunjuk,
kedua telinganya sebagai corong, lidahnya sebagai jurubahasa, kedua tangannya
sebagai sayap, kedua kakinya sebagai pembawa utusan dan hatinya sebagai raja.
Jika raja itu baik, maka baiklah tentera-tenteranya”, sambung Datuk lagi sambil
bangun.
Datuk merenung ke arah Mahyuddin dan Dumba yang sedang meraba-raba dagu
masing-masing. Datuk menggeliat untuk menghilangkan rasa lenguh.
"Aku harap, jangan ada di antara kamu yang bertanya perbezaan
martabat binatang dengan manusia”, tambah Datuk.
Kemudian Datuk mencadangkan supaya kami pulang ke rumah. Cadangan Datuk
itu tidak mendapat sebarang bangkangan. Kami pun mula menapak meninggalkan
kawasan tersebut. Satu perkara yang amat menyenangkan hati saya dalam
perjalanan pulang atas sikap ramah yang diperlihatkan oleh Mahyuddin. Dia terus
bercerita tentang manusia dan harimau.
"Di tempat saya, orang-orang yang memelihara harimau ataupun
manusia harimau ataupun dikira sebagai manusia yang berilmu tinggi, biasanya
tidak banyak cakap, selalu merendah diri”, kata Mahyuddin memulakan kisahnya di
bawah sinar matahari yang tidak berapa garang.
Saya berusaha dengan seboleh-bolehnya supaya berada dekatnya untuk
mendengar cerita. Akibat terlalu ghairah mahu mendengar cerita dari Mahyuddin
saya terlanggarkan batang buruk hingga terjatuh dua tiga kali. Datuk tersenyum
saja melihat telatah saya yang agak lucu itu. Semua pokok-pokok kecil saya
langgar tanpa menghitung atau mengira yang diri saya akan sakit dibidas oleh
pokok-pokok yang saya rempuh itu.
Menurut Mahyuddin untuk memelihara harimau atau menjadi manusia harimau
seseorang itu mesti bertapa selama berbulan-bulan di dalam hutan.
"Setelah bertapa berbulan-bulan, berjaya mengatasi segala cubaan
dan dugaan, seekor harimau akan mendekati si pertapa dan menyerahkan diri.
Harimau itu terus ditunggangnya hingga sampai ke kampung”, kata Mahyuddin
sambil melompat parit kecil di depan.
Datuk tidak pula menyoal mahu bertanya sesuatu ketika Mahyuddin
bercerita. Datuk hanya mendengar sambil melangkah dengan tenang. Dumba pula
begitu berminat mendengar cerita Mahyuddin. Kalau boleh dia mahu Mahyuddin
terus bercerita tanpa berhenti-henti.
"Susah tak pelihara harimau?", saya menyoal cara mendadak.
"Memelihara harimau berbeza dengan memelihara kambing atau kerbau,
memelihara harimau secara sembunyi-sembunyi. Harimau yang dipelihara hidup
bebas dalam hutan. Bila kita perlukan panggil saja, pasti dia tiba."
"Faedahnya yang kita peroleh darinya?"
"Boleh dijadikan kawan, boleh disuruh menangkap ikan, menjaga rumah
dan naik atas belakang”, Mahyuddin ketawa sambil menepuk-nepuk bahu saya.
"Perkara yang jelas, setiap pemelihara harimau tidak mempunyai
tujuan jahat. Lagi apa yang mahu kau tanya pada aku, hai cucu seorang sahabat”,
Mahyuddin berhenti berjalan, dia merenung wajah saya sambil berkata: "Kau
mahu jadi manusia harimau?"
"Tak mahu."
Serentak dengan itu saya terdengar suara Datuk dan Dumba ketawa panjang.
Bagi menghilangkan rasa malu, saya buat-buatan ketawa. Akhirnya kami sampai ke
tepi jalan raya. Kami berhenti di situ buat beberapa minit. Sebenarnya, saya
masih belum puas hati dengan apa yang saya tanyakan pada Mahyuddin. Masih ada
lagi soalan-soalan yang mahu saya hadapkan padanya.
"Cukuplah kita berehat, mari kita melangkah”, Datuk mengeluarkan
perintah. Dan perintah itu kami patuhi. Sambil berjalan saya terus bertanya
dengan Mahyuddin secara perlahan-lahan. Apakah ilmu memelihara harimau atau
silat harimau dapat diwariskan pada orang lain?
"Ada yang boleh, ada yang tidak”, bisik Mahyuddin.
"Macam mana begitu?"
"Mengikut cara ilmu itu diperoleh ketika menuntut. Kalau sudah
berjanji mahu mewariskan pada orang lain bolehlah diwariskan, kalau tidak maka
tak boleh."
"Begitu."
"Jadi manusia harimau pula macam mana?"
"Lagi susah, kena menuntut."
Tiba-tiba Datuk menepuk bahu saya dari belakang. Dengan kasar dia memisahkan
saya dengan Mahyuddin. Rupa-rupanya Datuk kurang senang dengan sikap saya itu.
"Tamar, apa yang kau tanyakan itu tak berfaedah untuk diri kamu,
kamu tidak mustahak mengetahui semuanya itu”, suara Datuk keras. Saya terdiam.
Mahyuddin tersenyum merenung arah Datuk.
"Biar saya terangkan sahabat. Cucu sahabat bertanya tentang manusia
harimau. Untuk jadi manusia harimau harus belajar silat harimau sampai ke
peringkat paling tinggi. Itu saja yang mahu saya jelaskan padanya”, kata
Mahyuddin pada Datuk.
"Jangan layan sangat cucu saya tu. Dia tu kadang-kadang melalut tak
tentu fasal."
"Tak apa, dia sekadar bertanya”, Mahyuddin segera menarik saya ke
depan. Saya dan Mahyuddin berjalan bersaingan.
Datuk berjalan di belakang kami. Saya merasa bertuah kerana Datuk tidak
menolak permintaan Mahyuddin.
"Di kampung asal saya memang ada orang yang mewariskan harimau
peliharaan umpamanya dari ayah ke anak hingga ke cucu-cicitnya. Kerana itu di
kawasan kebun penduduk di sana selalu ditemui harimau yang sudah tua
berkeliaran dengan keadaan kakinya yang pincang. Itulah harimau yang di
wariskan dari ayah ke anak atau cucu”, saya amat puas hati dengan keterangan
yang diberikan oleh Mahyuddin itu.
Lepas itu, saya tidak lagi mengajukan apa-apa pertanyaan pada Mahyuddin,
malah memisahkan diri darinya. Saya lebih senang berjalan bersaingan dengan
Dumba di belakang. Biarlah Datuk dengan Mahyuddin di hadapan.
Akhirnya, kami sampai ke tempat asal. Dumba berpisah dengan kami. Dia
menuju ke kedainya. Saya, Datuk dan Mahyuddin terus menuju ke masjid. Kami
menunaikan sembahyang Asar, kemudian baru mengqada sembahyang Zohor yang
tertinggal.
"Mari ke rumah saya”, bisik Mahyuddin pada Datuk setelah menunaikan
kerja yang wajib. Datuk terdiam, matanya merenung ke arah saya yang duduk
bersandar di dinding masjid.
"Apa halnya? Dah petang begini saya malas nak bergerak ke
mana-mana, niat hati tu nak balik saja ke kampung”, balas Datuk.
"Ada hal yang mahu saya bincangkan dengan awak?"
"Bincang apa? Awak dengan Dumba sudah elok."
"Ada hal lain, marilah."
Datuk termenung panjang, macam memikirkan sesuatu. Perasaannya berbalah
sama sendiri, sama ada dia mahu menunaikan permintaan Mahyuddin atau tidak.
Datuk terus melangkah menuju ke pintu masjid dengan diikuti oleh Mahyuddin.
Mereka berhenti di situ, merenung ke halaman masjid yang lapang. Mereka tidak
bercakap walau sepatah apa pun.
Akhirnya, Datuk dan saya serta Mahyuddin berdiri di halaman masjid. Saya
terasa lapang kerana angin petang yang bertiup waktu itu memberikan rasa segar
pada diri saya.
"Macam mana? Boleh pergi ke rumah saya?"
"Boleh”, balas Datuk.
Saya lihat wajah Mahyuddin cukup riang. Dia terus menepuk-nepuk bahu
Datuk beberapa kali. Kemudian dia jadi kepala jalan membawa kami ke rumahnya.
Bila saya dan Datuk masuk ke rumahnya, saya dapati sudah ada hidangan
ringan untuk makan petang tersedia di ruang tengah. Siapakah yang menyediakan
semuanya itu? Apakah hidangan itu dihantar oleh harimau peliharaan Mahyuddin?
Timbul pertanyaan dalam hati saya. Saya terus duduk bersila menghadapi hidangan
yang tersedia.
"Minumlah”, pelawa Mahyuddin. Datuk anggukkan kepala tanpa
menyentuh cawan yang diisi dengan air teh panas. Bila Datuk enggan meminum teh
yang tersedia, Mahyuddin terus bertindak dengan meminumnya terlebih dahulu dan
Mahyuddin yakin dengan perbuatannya itu akan meyakinkan hati Datuk bahawa air
teh yang tersedia tidak mengandungi racun.
"Kita tahu air teh ini bersih. Jangan ragu dengan kejujuran saya,
tapi saya tidak berapa gemar minum teh sebelah petang”, kata Datuk.
Mahyuddin tersenyum sambil menghulurkan cawan teh kepada saya, bagaikan
orang mengantuk disorongkan bantal, air teh itu terus saya hirup.