Skandal Pawang Buaya
Datuk masih
lagi berdiri di anjung rumah Alang Botak. Kedua belah tapak tangannya menekan
kayu palang yang memisahkan bahagian dalam anjung dengan bahagian luar rumah.
Mata Datuk merenung tajam ke arah batang tubuh si suami malang yang dijamah
oleh sinaran matahari petang yang lembut. Batang tubuh si suami malang hilang
dari pandangan Datuk di balik pokok besar, dekat liku jalan yang tajam. Datuk
mengeluh kecil sambil menggamit saya yang sedang berlari bersama
kenalan-kenalan baru mengelilingi pokok asam belimbing buluh di tengah halaman
rumah Alang Botak.
"Ada apa
tok?", tanya saya di kaki tangga sambil menyapu peluh di dahi dengan telapak
tangan kanan. Datuk senyum sambil meraba misai bengkoknya.
"Jangan
terlalu riang bermain. Tok takut hilang riang datang duka”, katanya dengan
tenang.
Saya gigit
bibir dan termenung panjang sambil berfikir, kenapa Datuk harus mengeluarkan
ingatan itu pada saya? Apakah dia sudah dapat menciumi nasib malang yang akan
menimpa diri saya? Pertanyaan itu terus berlegar-legar dalam kepala saya tanpa
menemui sebarang jawapan.
"Sudah,
jangan termenung”, kata Datuk sambil menepuk bahu kanan saya.
Sesungguhnya,
saya tidak sedar bila masanya Datuk turun ke tanah lalu berdiri di sisi saya.
"Mari
ikut aku ke tebing sungai”, tambahnya lalu mengatur langkah.
Saya pusing
ke kanan lalu mengekorinya dari belakang. Langkah Datuk cukup pantas.
Kenalan-kenalan baru saya cuma melihat saja telatah saya dan Datuk. Meskipun
matahari petang memancar redup, bahang panas terasa juga menjamah kulit badan.
Muka saya berpeluh, ketiak terasa bergetah begitu juga dengan bahagian belakang
saya. Langkah Datuk cukup cepat. Bagi memperimbangkan langkahnya dengan langkah
saya, saya terpaksa berlari-lari anak. Saya dan Datuk sampai ke tebing sungai
Tanjung Ara. Air sungai kelihatan tenang dan nampak bermanik-manik disentuh
sinar matahari. Rumput-rumput hijau di tebing terus merunduk bila kami pijak,
tetapi, bangun semula bila kami mengatur tapak kaki ke arah lain.
Saya macam
orang bodoh dibuat oleh Datuk. Dia tidak berkata walau sepatah pun. Matanya
tetap merenung ke arah riak air sungai yang beralun lembut. Meskipun dia
melangkah tanpa merenung bumi, Datuk bagaikan ada panca indera yang keenam,
boleh mengelakkan dirinya dari melanggar tunggul buruk atau lubang yang banyak
terdapat di tebing sungai. Sudah berantai-rantai berjalan di tepi tebing sungai
menuju ke hulu. Belum terdapat tanda-tanda yang Datuk akan berhenti melangkah.
Kedua belah pangkal paha saya mula terasa sakit. Angin petang yang bertiup
tidak dapat menghilangkan rasa resah dalam diri saya. Saya resah mengikut cara
Datuk berjalan, saya resah kalau buaya timbul lalu ekornya memukul badan saya
yang berjalan di tepi tebing sungai.
"Aw...”,
jerit saya sekuat hati, kaki kanan saya bagaikan dipukul dengan kayu keras.
Tanah tebing tempat saya berdiri kelihatan rebak dan air sungai bergelombang
kuat. Saya sudah tidak mampu berdiri lagi. Pandangan saya mula
berkunang-kunang. Satu pukulan datang lagi. Kali ini lebih kuat dari pukulan
yang pertama. Badan saya bagaikan ditarik oleh sesuatu yang mendorong
sebahagian daripada badan saya tercampak ke dalam sungai. Saya terus menjerit
dan mulai terasa lemas. Air sungai terus menyumbat lubang hidung dan mulut
saya. Badan saya bagaikan dibelit oleh sesuatu yang secara tidak langsung
menekan dan menarik saya ke tengah sungai. Saya berjuang dengan menggunakan
segala kekuatan yang terdapat dalam diri saya supaya badan saya jangan
tenggelam.
"Tolong
saya tok, tolong”, kata saya dalam keadaan tercungap-cungap. Antara tenggelam
dan timbul itu, saya masih lagi dapat melihat batang tubuh Datuk di tepi tebing
dalam keadaan yang samar-samar.
"Sabar Tamar”,
kata Datuk lalu dia melemparkan kain ikat kepalanya ke arah saya. Cepat-cepat
kain ikat kepala yang berwarna merah itu saya sambar. Saya berpaut pada kain
itu sekuat hati. Kemudian badan saya bagaikan terbang ke udara lalu jatuh
betul-betul di kaki Datuk.
"Kau
sakit”, tanya Datuk.
Saya
anggukkan kepala. Datuk segera mengambil sekepal rumput hijau lalu menyapu ke
muka saya tiga kali berturut-turut. Kemudian Datuk menyuruh saya mengunyah dan
menelan rumput hijau. Pada mulanya, tekak saya tidak dapat menerimanya kerana
rasa rumput itu pahit dan payau. Bila rumput itu saya telan, secara tiba-tiba
saya terkencing dan terus muntah.
"Bisanya
sudah aku tawarkan tetapi paha kanan kau luka kena giginya”, Datuk bersuara
tenang.
Saya masih
lagi terlentang di bumi merenung awan dan langit. Rasa sakit mula terasa di
paha kanan saya. Datuk terus meraba paha saya dan darah mula membasahi
rumput-rumput hijau yang segar di situ. Kain lilit kepala tempat saya
bergantung tadi, masih berada dalam tangan Datuk. Saya merasa hairan, kain
lilit kepala yang tidak sepanjang mana itu boleh menyelamatkan saya. Bagaimana
kain merah itu boleh panjang dan menjadi tali untuk menolong saya?, timbul
pertanyaan dalam hati. Datuk terus memetik daun serunai laut, pucuk mengkuang
hutan dan pucuk gelenggang. Semua jenis daun itu Datuk satukan dan terus
diramasnya hingga sebati dan kemudian diperahnya. Air dari perahan daun itu
Datuk sapukan ke bahagian paha yang luka.
Darah segar
berhenti keluar, rasa sakit tidak terasa, diganti dengan rasa sejuk dan segar.
Datuk segera menyuruh saya duduk di bawah pokok Pulai. Dia kembali ke tepi
sungai. Duduk bertinggung di situ. Beberapa saat kemudian seekor buaya timbul
dan rapat ke tebing sungai. Datuk berkata sesuatu dan buaya itu membuka
mulutnya luas-luas. Datuk hulurkan tangannya ke dalam mulut buaya macam
mengambil sesuatu. Datuk berlari ke arah saya. Tangan yang diselukkannya ke
dalam mulut buaya itu, segera disapukan ke paha saya yang luka. Tiga kali Datuk
berbuat demikian hingga saya terasa yang diri saya tidak mengalami apa-apa
kecederaan. Saya boleh bangun dan cuba berlari, rasa sakit tidak saya alami.
Datuk mendapatkan buaya yang sedang membuka mulut itu. Datuk tepuk kepalanya
tiga kali, hingga buaya itu merapatkan mulutnya lalu tenggelam ke dalam air.
"Masih
ada buaya yang tidak dapat dipujanya. Tidak dapat diambil semangatnya dan buaya
itu akan jadi sahabat kita”, ujar Datuk pada saya sambil melihat bekas gigitan
buaya di paha saya. Parutnya hingga kini kekal di paha saya, berwarna kehitam-hitaman
dan kulit parut itu timbul sebesar jari kelingking yang memanjang bentuknya.
Datuk terus
memimpin saya ke rumah Alang Botak. Sambil merawat saya malam itu, Datuk
menceritakan apa yang berlaku atas diri saya pada Alang Botak. Bila Alang Botak
mendesak Datuk supaya melaporkan hal itu pada pawang buaya (Saadun Juling),
Datuk menolak dan meminta Alang Botak merahsiakan kejadian. Datuk tidak mahu
kejadian itu akan jadi buah mulut orang kampung yang boleh menghilangkan rasa
keyakinan orang-orang kampung terhadap kemampuan pawang buaya tersebut. Malam
itu, kalau tidak silap saya malam Selasa, lebih kurang pukul dua belas tepat,
Datuk membangunkan saya. Dia suruh saya bersiap.
"Ke mana
tok tengah malam buta begini?"
"Aku nak
meronda kampung”
"Sebab?"
Datuk tidak
menjawab pertanyaan saya. Dia duduk di sudut bilik sambil melilitkan kain merah
ke kepala. Kemudian mulutnya kumat-kumit macam membaca sesuatu.
"Sudah
sampai masa pertukarannya, antara penggantian masa dari dua belas kedua belas,
dari bulan muram ke bulan bercahaya dari laluan kuasa syaitan kepada manusia”
Saya dengar
suara Datuk bercakap sendirian. Bila habis bercakap jam dinding rumah Alang
Botak berbunyi dua belas kali. Saya terdengar desiran angin malam melanggar
daun-daun di luar rumah. Saya terasa seram sendirian. Saya juga terdengar bunyi
suara kocakkan air sungai yang hebat dituruti dengan bunyi orang memukul air
sungai dengan papan, bunyinya bersahut-sahutan dan memanjang bercampur dengan
tiupan serunai batang padi. Bulu roma saya mula berdiri. Bunyi desiran angin
bertambah kuat membawa suara lolongan anjing liar yang mendayu-dayu.
"Sekarang
sudah pukul dua belas dua minit tengah malam, yang bertukar sudah berlaku, kita
pergi sekarang Tamar”, Datuk mengeluarkan perintah dan dia sudah pun membuka
pintu. Berdiri di situ merenung malam yang kelam.
Datuk
melangkah, saya pun melangkah. Tujuh biji anak tangga kami pijak hingga
akhirnya, tapak kaki saya dan Datuk bertemu tanah. Embun jantan yang menitik
menyentuh kulit telinga dan hidung. Kedinginan mula terasa menggigit tubuh.
Bunyi kocakkan air dan tiupan serunai batang padi sudah tiada kedengaran lagi.
Tetapi, desiran dedaun yang disentuh angin tetap juga kedengaran. Di langit
tiada sebiji pun bintang. Dan cengkerik terus bernyanyi. Katak puru terus
melompat.
"Kau
jangan banyak soal dan banyak tanya, ikut saja apa yang aku buat”, satu ingatan
dari Datuk.
Saya
anggukkan kepala. Kami pun berjalan melintasi pepohon kecil yang tumbuh di kiri
kanan jalan enam kaki.
Sekali-sekala
badan saya dilanggar oleh kelawar liar yang terbang malam. Dari celah-celah
pepohon yang kecil yang tumbuh merimbun itu terdengar suara burung segan.
Berjalan malam di tengah hawa yang dingin begitu amat menyeksakan. Bibir saya
terketar-ketar. Sekarang, kami terpaksa menempuh kawasan yang penuh dengan
pokok-pokok kelapa. Beberapa biji buah kelapa mambung jatuh, mengejutkan hati
saya. Semangat terasa hilang. Akhirnya, saya dapat mengesan ke mana Datuk mahu
membawa saya malam itu. Ternyata kami sedang menuju ke sebuah surau lama yang
tidak digunakan di kampung itu. Di bahagian belakang surau itu terdapat sebuah
pondok yang bersambung dengan surau tersebut. Di situlah pawang buaya Saadun
Juling ditempatkan oleh orang-orang kampung.
"Berhenti”,
ujar Datuk, sebaik saja sampai ke perdu pokok kelapa gading.
Saya pun
berhenti melangkah. Datuk terus duduk bersila di bawah pokok kelapa. Saya pun
begitu. Dari pondok di belakang surau terdengar bunyi orang menepuk tapak
tangan yang diikuti dengan suara orang menyebut sesuatu, suara itu sekejap
meninggi sekejap menurun macam orang membaca Quran. Kalau didengar dengan
teliti, ternyata orang itu bukan membaca Quran, tetapi menyeru sesuatu yang
sengaja dibuat macam orang membaca Quran. Ada panjang, ada pendeknya.
"Rapat
ke pondok, jangan berjalan. Kita merangkak perlahan-lahan jangan sampai
terdengar olehnya”, Datuk pun mula merangkak atas pasir.
Datuk jadi
kepala jalan dan saya menuruti dari belakang. Bila sampai di bawah pondok, kami
segera bangun.
Dari
celah-celah dinding tepus, saya dan Datuk mengintai ke dalam pondok. Angin
malam kian kurang bertiup, suara anjing liar cukup jelas kedengaran bersama
dengan suara burung hantu dan jampuk. Suara itu tingkah meningkah,
bersahut-sahutan macam satu irama muzik di majlis pesta. Keadaan bertambah
seram dan menakutkan bila suara anjing, burung hantu dan jampuk itu disambut
oleh suara dari dalam pondok yang gementar dan parau bunyinya.
"Tamar,
kau lihat sini”, bisik Datuk dan menyuruh saya mengintai ke dalam pondok.
Saya terkejut
besar. Pawang buaya Saadun Juling yang tidak pernah saya tegur sapa itu sedang
duduk bersimpuh menghadapi sebatang lilin besar berwarna merah. Di hujung kedua
belah lututnya terdapat lilin kecil yang diletakkan atas papan. Kedua-dua lilin
itu mengeluarkan cahaya yang malap. Cahaya dari lilin besar cukup jelas
memperlihatkan dada Saadun Juling yang bidang. Kepalanya hilang di selubung
oleh kain hitam yang lonjong (tajam ke atas macam pucung). Di bahagian kain
yang menutup mata, hidung dan mulut dilubangkan yang di kiri kanan lubang itu
dilapisi dengan kain putih mengikuti selebar mana lubang itu dibuat. Memang
menyeramkan melihat keadaan Saadun Juling, dalam keadaan demikian, kepalanya
bergoyang ke kiri dan ke kanan macam orang ratib sambil mengeluarkan suara yang
serak dan parau. Dua tiga ekor kelawar liar berterbangan dalam pondok.
Dua tiga ekor
cicak mula datang ke arah Saadun Juling. Cicak-cicak itu beratur di hadapannya.
Salah seekor dari cicak itu yang bentuk badannya agak besar dari cicak biasa
segera menjongketkan ekornya, berpusing-pusing macam gasing. Pada mulanya cicak
itu berpusing ligat, kemudian beransur perlahan-lahan. Sebelum cicak itu
berhenti berpusing Saadun Juling segera menangkapnya. Saadun Juling dekatkan
cicak itu ke api lilin besar. Ketika itu cicak-cicak yang tidak ditangkap
segera menghilangkan diri, lilin di kiri kanan lututnya segera padam. Suasana
dalam pondok bertambah kelam, ketika itu terdengar bunyi deru air yang amat
kuat, seolah-olah lantai pondok itu menjadi aliran air sungai.
Terdengar
bunyi ekor buaya memukul air bertalu-talu. Seluruh badan Saadun Juling jadi
basah kuyup oleh air yang dari mana datangnya, saya sendiri tidak tahu. Dalam
cahaya samar-samar itu, saya lihat ada bayang-bayang buaya duduk tertungguk di
hadapan Saadun Juling. Warna buaya itu tidak berapa jelas. Bila bayang buaya
itu hilang, terdengar suara orang ketawa memanjang dari setiap sudut pondok,
sarang labah-labah berterbangan atas lantai. Badan saya jadi berpeluh, saya
terasa ada sesuatu yang lalu di sisi saya yang tidak dapat saya lihat dengan
mata kasar.
Ada bunyi
benda merangkak atas pasir menuju ke sungai. Suara burung hantu kian kuat
berbunyi, lolongan anjing bertambah sayu dan langit yang tadi muram mula cerah.
Saya renung ke kanan, saya lihat Datuk meraba hujung kening kanannya tiga kali
berturut-turut, masa itu juga lubang telinga saya menangkapi bunyi deru angin
yang amat kuat. Bagi memastikan dari arah mana angin itu datang, saya renung ke
kanan dan ke kiri, saya lihat pokok-pokok kecil tidak bergoyang. Tetapi, badan
saya mula terasa mahu rebah macam ditolak oleh angin yang kencang, saya
terpaksa berpaut pada tiang gelegar pondok.
"Kau
pegang kuat-kuat, semuanya untuk sementara saja”, bisik Datuk pada saya sambil
meramas-ramas lengan tangan kanan saya berkali-kali. Badan saya terasa panas.
Dan badan saya terasa bertambah kuat dan tegap. Tidak lagi terasa mahu rebah.
"Kita
tunggu dan lihat, sampai dia keluar dari pondok ini”, beritahu Datuk pada saya
lagi. Muka Datuk saya renung, saya sudah tidak terdaya lagi mahu berdiri.
Kepala lutut terasa lenguh. Apa yang saya alami, tidak saya ceritakan pada
Datuk, saya takut dia marah. Mahu atau tidak, saya terpaksa mengintai ke dalam
pondok melihat apa yang akan dilakukan selanjutnya oleh Saadun Juling. Saadun
Juling membuka sarung kepalanya, kain itu dilipat rapi dan diletakkan dekat
dinding pondok. Saadun Juling bangun, berjalan tiga langkah ke hadapan,
berpusing ke belakang lalu melangkah tiga tapak sambil tangan kanannya
diletakkan atas kepala. Kemudian dia berdiri seperti mula-mula tadi. Duduk,
membaca sesuatu dengan tenang. Saadun Juling membuka bungkusan dari kain hitam.
"Apa
benda tu tok?" Saya beranikan diri menyoal Datuk.
"Tengok
dulu, jangan banyak tanya”, balas Datuk.
Saya
menggigit bibir dan mata terus melihat gerak-geri Saadun Juling. Dengan tenang
Saadun Juling mengambil sesuatu lalu di sumbat ke dalam mulut, dikunyahnya
dengan tenang dan penuh nafsu.
"Dia
makan daging buaya kering”, Datuk menjelaskan pada saya. Saadun Juling bangun,
ambil mangkuk dan air dan duduk kembali. Mangkuk yang sudah diisi air itu
diletakkan di hadapannya. Kemudian Saadun mengambil sesuatu dari bungkusan kain
hitam. Benda yang diambilnya itu direndam ke dalam mangkuk kira-kira sepuluh
minit. Kemudian, cepat-cepat Saadun Juling meminumnya. Dalam beberapa saat saja
mukanya kelihatan merah.
"Kau
tahu apa yang direndamnya tu Tamar?"
"Tak
tahu tok”
"Dia
rendam cula buaya tembaga”
"Apa dia
cula buaya tu tok?"
"Anu
buaya, eh, alat kelamin buaya jantan”
"Gunanya
tok?"
"Bila kau
besar, kau akan tahu sendiri gunanya”
Setelah
beberapa tahun kemudian saya tahu juga kegunaan cula buaya itu. Menurut
kepercayaan tradisional, cula buaya jantan itu setelah disalai atau
dikeringkan, kemudian diredamkan ke dalam air sejuk atau air panas, dan airnya
diminum bagi mendapatkan kekuatan luar biasa pada alat kelamin lelaki bila
melakukan hubungan jenis.
Saadun Juling
menyimpan kembali semua barang-barang yang dibungkusinya. Dia mengenakan baju
Melayu cekak musang ke badannya. Dengan tenang dia meninggalkan pondok menuju
ke tebing sungai. Datuk dan saya mengikutinya dari belakang. Sampai di tebing
sungai, Saadun berdiri dekat tunggul buruk sambil memeluk tubuh.
Dia toleh
kiri, toleh kanan bagi memastikan tidak ada orang yang mengintip dirinya. Bila
sudah yakin tidak ada orang yang mengintipnya, dia pun terus membongkok di tepi
tebing sungai menepuk air sungai tiga kali berturut-turut. Air sungai
bergelora, semua pokok keladi dan mengkuang di gigi sungai bergerak-gerak. Bila
gelora air sungai menjadi tenang, berpuluh-puluh ekor buaya timbul di .
permukaan sungai.
Saadun Juling
duduk bersimpuh di atas tebing sambil bersuara:
“Jum Kali
jum, laut Khalzum dari bukit Kaf ke Jabal Nur Bahtera Noh jadi penyelamat. Aku
tahu asal usulmu terselamat dari bencana neraka seorang anak bernaung di
bahtera Noh. Dengar kata Noh, dengar kataku. Ucapku, adalah ucap Sulaiman,
terkunci gerakmu, mendengar kataku berkat doa, Asyahadu anla illaha… Jangan
ganggu umat Adam, selagi belum aku perintahkan, pulanglah...”
Sebaik saja
pawang buaya Saadun Juling selesai bercakap, buaya-buaya itu terus hilang.
Suasana di sekitar sungai kembali damai. Saadun Juling bertempik dengan sekuat
hatinya. Dia terjun ke dalam sungai berenang dan mandi dengan bebasnya di malam
yang dingin. Buaya tetap mengiringinya bila dia berenang ke tengah sungai. Bila
selesai mandi dan berenang, Saadun Juling segera naik ke darat. Kenakan seluar
dan baju, langkahnya cukup rancak menuju ke sebuah rumah di pinggir kampung.
Dia terus ketuk pintu rumah yang berdindingkan papan berlidah. Seorang
perempuan muda berkemban membuka pintu. Mereka bertukar-tukar senyum. Perempuan
muda itu duduk di muka pintu. Saadun Juling pula duduk di anak tangga paling
akhir. Perempuan muda itu hulurkan tangannya dan Saadun Juling menggosok-gosok
tangan perempuan muda itu.
"Suami
kau sudah tidur?"
"Sudah”
"Malam
ini aku datang lagi. Kau pasti merasa bahagia”
"Hum...”,
suara perempuan muda itu penuh manja.
Saya lihat
Saadun Juling mengeluarkan sesuatu dari dalam sakunya lalu mengenakan pada bahu
perempaun muda. Dan perempuan muda itu kelihatan seperti orang berkhayal.
"Sial.
Dia mengenakan minyak ekor buaya pada perempuan itu. Minyak ekor buaya yang
sudah dijampi bila terkena pada kulit perempuan, boleh membuat perempuan itu
menyerah dan berkhayal”, rungut Datuk sambil menggenggamkan penumbuk. Mukanya
merah padam.
Sesungguhnya
Datuk memang tidak boleh berhadapan dengan manusia yang menggunakan kepandaian
dan kebolehan untuk memperdayakan sesama manusia. Bagi Datuk, setiap orang atau
anggota masyarakat yang ada kebolehan tersendiri sewajarnya menggunakan
kebolehannya itu untuk menolong sesama manusia, bukannya untuk digunakan bagi
kepentingan diri sendiri.
"Manusia
dibekalkan oleh Allah dengan akal dan fikiran. Tahu membezakan yang buruk dan
yang baik. Tetapi, manusia selalu memilih yang buruk kerana yang buruk itu
indah bagi syaitan. Aku tak mahu kejadian begini berlaku di hadapan mata aku”,
tambah Datuk, badannya mula menggeletar menahan perasaan marah.
Dua tiga
batang pokok keduduk dan pokok rambutan yang sebesar pangkal lengan Datuk cabut
hingga ke akar umbi, matanya mula merah wajahnya amat menyeramkan, nada
suaranya cukup keras. Datuk cuba menahan sabar sedaya upaya yang boleh.
Kesabaran Datuk sudah tidak boleh ditahan lagi bila dia melihat Saadun Juling
menarik wanita muda itu ke dalam rumah. Datuk segera bertempik, Saadun Juling
terkejut lalu terjun ke tanah. Perempuan muda yang berkemban juga terkejut, dia
bagaikan tersedar dari khayalan. Perempuan itu menangis di ambang pintu.
Suaminya keluar lalu memimpin perempuan muda ke dalam rumah. Saadun Juling
hilang dalam gelap. Datuk terus menemui suami perempuan muda itu.
"Aku
harap kau tidak menceritakan semuanya ini pada orang lain. Aku sedang berusaha
menolong kau, bawalah isteri kamu ke tempat tidur. Basuh mukanya dengan air dan
suruh dia ambil air sembahyang, aku selesaikan kerja aku malam ini”, ujar Datuk
pada suami perempuan muda itu. Si suami yang malang itu anggukkan kepala dan
berjanji akan mematuhi apa yang Datuk sarankan padanya.
"Mari
kita cari pawang sial tu”, Datuk renung muka saya.
Tangan saya
di tariknya. Saya kira Datuk akan terus menuju ke pondok di belakang surau.
Rupanya, Datuk melencong ke kiri menuju ke tebing sungai. Di tebing sungai itu
Saadun Juling sedang memerintahkan buaya-buaya supaya mengganas, sambar apa
saja yang ada di tebing sungai tidak kira manusia atau binatang ternakan.
"Saadun
hentikan perbuatan syaitan itu”, pekik Datuk.
Saadun Juling
tersenyum dan membiarkan Datuk serta saya menghampirkannya yang berdiri di
tebing sungai. Dalam perhitungannya, bila Datuk berdiri di tebing sungai,
buaya-buaya akan melompat ke darat lalu menyambar paha Datuk. Perhitungan
Saadun tidak menjadi kenyataan . Memang buaya-buaya itu timbul tetapi, tidak
ada seekor pun yang mahu menyerang Datuk dan saya.
Melihat
keadaan itu, Saadun Juling jadi resah. Datuk kian hampir padanya. Saadun Juling
merabai pangkal pinggangnya, macam mencari sesuatu. Datuk terus melangkah, lagi
lima tapak Datuk melangkah pasti muka Saadun Juling dengan Datuk akan berlaga.
Badan saya mula menggigil, hawa malam yang dingin kian terasa mencucuk kulit
tubuh saya. Kepala buaya kelihatan timbul di permukaan sungai, suara kokok ayam
mula terdengar bertalu-talu, suara ungka dan burung tukang juga terdengar
sayup-sayup datang dari kaki bukit.
"Kita
bersahabat Saadun, dalam hidup aku tidak ada musuh sesama orang Islam kerana
setiap orang Islam itu adalah bersaudara”, Datuk menghulurkan tangan.
Saadun Juling
terdiam, mulutnya bergerak-gerak, dia mahu menggunakan segala kebolehan yang
ada pada dirinya untuk menguji Datuk. Tiba-tiba dalam gelap itu, satu pukulan
yang keras hinggap di kepala Datuk. Pukulan itu tidak mendatangkan sebarang
kesan pada Datuk. Saya terkejut, Saadun Juling hilang dari pandangan, tempat
dia berdiri segera di ganti oleh seorang tua yang berjanggut panjang. Orang tua
berjanggut panjang itu berdiri beberapa detik saja di situ. Bila orang tua itu
hilang, batang tubuh Saadun Juling terpacak di situ.
"Saadun,
kuasa yang abadi dalam dunia ini ialah kuasa Allah, kuasa syaitan hanya sifat
sementara saja. Bila datang yang hak, kuasanya tidak bermakna lagi, aku tidak
mahu bergaduh atau bermusuh sesama Islam”, kata Datuk lagi.
Saadun Juling
tetap membisu seribu bahasa. Saadun Juling masih juga menunjukkan sikap
permusuhan. Datuk segera membongkok. Hujung ibu jari kanannya di teka ke bumi
hingga tenggelam separas kuku, bila ibu jari itu di cabutnya kembali, Saadun
Juling jadi lemah, tidak mampu berdiri. Datuk segera memangku tubuhnya dan di
bawa pulang ke pondok di belakang surau. Datuk letakkan batang tubuh Saadun
Juling di tengah ruang pondok. Lebih dari sepuluh minit Datuk mengurut seluruh
tubuh Saadun Juling hingga dia pulih seperti sedia kala. Bila dia sedar Datuk
memberi Saadun minum air panas.
Di kaki
langit, cahaya subuh mula bangkit, suara ayam berkokok mula hilang, tidak lama
kemudian terdengar suara Azan subuh dilaungkan dari menara masjid. Datuk segera
mengambil air sembahyang dan melakukan sembahyang subuh di pondok tempat Saadun
Juling menginap. Bila keadaan hari sudah beransur cerah, Datuk terus mandi
embun, kemudian kembali ke rumah Alang Botak. Datuk sedikit pun tidak bimbang
atau cemas membiarkan Saadun Juling sendirian di pondok tersebut tanpa mengikat
kaki atau tangannya. Menurut Datuk, kekuatan Saadun Juling tidak akan pulih,
selagi rambutnya tidak kena cahaya matahari. Sebaik saja saya dan Datuk sampai
di anak tangga rumah, Alang Botak sudah menanti kami di ambang pintu, dia
menyatakan rasa cemas dan bimbangnya kerana Datuk dan saya tidak turut sama
sembahyang subuh di masjid.
"Ke mana
sepanjang malam tadi, saya sedar masa awak berdua keluar malam tadi?",
soal Alang Botak.
"Ada hal
sedikit”, jelas Datuk.
Kami terus
memijak anak tangga. Bila sampai ke dalam rumah, sarapan pagi sudah tersedia.
Nenek sudah pun menuangkan kopi ke dalam cawan. Saya terus sarapan tetapi Datuk
cuma minum air sejuk saja. Lebih kurang pukul tujuh pagi, saya dan Datuk terus
menuju ke pondok tempat Saadun Juling menginap. Ketika saya dan Datuk melintas
di hadapan dewan orang ramai kampung tersebut, beberapa orang penduduk segera
memberitahu Datuk, bahawa buaya kembali mengganas, memukul apa saja yang
berdiri di tepi tebing. Datuk menyuruh mereka bersabar hingga pawang buaya,
Saadun Juling bertindak.
"Kenapa
tok cakap macam tu pada dia orang. Tok kan tahu pawang tu memang tak berapa
baik orangnya”, saya minta kepastian dari Datuk. Datuk renung muka saya sambil
tersenyum dia berkata:
"Tak
baik membuka keburukan seorang pada orang lain”
Saya terdiam.
Akhirnya saya dan Datuk sampai ke pondok tempat Saadun Juling terbaring. Datuk
terus menghampirinya, dia kelihatan letih dan wajahnya nampak lesu. Matanya
tidak bercahaya langsung. Datuk segera memicit buah betisnya dua tiga kali. Di
luar, matahari pagi mula memancar. Datuk segera mengusung Saadun Juling ke
tanah. Sebelum itu, Datuk terlebih dahulu menggosok mukanya dengan kain ikat
kepala sebanyak tiga kali berturut-turut. Saadun Juling di biarkan duduk di
atas tanah, bila sinar matahari pagi menjamah rambutnya, Saadun Juling mula
menggeliat dan mukanya kembali merahi. Dalam beberapa saat saja, dia sudah
boleh bangun dan bercakap.
"Kenapa
awak buat saya begini? Saya dijemput untuk menghalau buaya, ini balasan awak
terhadap saya”, itulah kata-kata pertama yang ditujukan oleh Saadun Juling pada
Datuk.
Saya lihat
Datuk tetap bersikap tenang. Dia terus mengikut langkah Saadun Juling yang
menuju ke pondok. Bila Saadun Juling mahu masuk ke rumah Datuk menghalangnya
dengan berdiri di muka pintu. Saadun Juling terpaksa berdiri di atas tanah dan
Datuk berdiri di ambang pintu pondok.
"Kenapa
awak harus menipu diri sendiri?", suara Datuk lantang.
"Maksud
awak?"
"Awak
berlagak jadi orang baik, sedangkan hati awak kotor. Awak bersikap mahu
menolong orang tetapi, hati kecil awak telah melakukan kejahatan. Di mana
keikhlasan diri awak?”
"Saya
tak faham”
"Awak
goda isteri orang untuk berzina”
Tangan kanan
Datuk memegang jenang pintu pondok. Wajah Saadun Juling kelihatan pucat. Dia
kelihatan resah dan terus merenung tanah.
"Awak
bukannya menghalau buaya tetapi awak ganaskan buaya, kemudian awak pujuk
buaya-buaya di sini mendengar cakap awak dengan tujuan supaya orang percayakan
awak. Bila orang sudah percaya awak percayakan mereka. Orang lain boleh awak
tipu, tapi saya bukan orangnya. Kalau awak benar, buktikan kebenaran awak tu”,
Datuk mencabar Saadun Juling.
Memang di
luar dugaan saya yang Saadun Juling sanggup menjawab cabaran Datuk itu.
"Boleh,
mari kita ke sungai sekarang”, katanya.
"Mari”,
sahut Datuk dengan tenang.
Kami bertiga
pun segera menuju ke sungai . Sampai di sungai, Saadun Juling terus menyeru
semangat buaya, dan buaya-buaya pun timbul, berbaris macam kayu buruk.
"Awak
tengok, semua buaya dalam sungai ini saya kuasai dan buaya-buaya ini akan
meninggalkan tempat ini. Kalau saya bohong dan menipu ada buaya yang tidak
mendengar cakap saya”
"Betulkah
ni Saadun?"
"Betul,
saya bekerja kerana Allah. Kalau awak boleh buktikan perbuatan saya ni salah,
saya mengikut cakap awak”
"Saadun,
dalam membuat kerja-kerja begini, janganlah mempermainkan nama Allah nanti kita
dikutuknya”
"Ah…
buktikan kerja saya ni tidak ikhlas, usah banyak cakap”
"Kalau
awak berhajat, boleh saya lakukan, ingat perbuatan kita ini mencari kebenaran,
buka mahu menunjuk pandai”
"Saya
setuju”
Datuk segera
berdiri di tepi tebing. Datuk membaca surah Al-Fatihah dan beberapa surah yang
lain termasuklah ayat Al-Qursi. Datuk berhenti membaca dan terus mengambil
segenggam tanah lalu di buang ke dalam sungai. Beberapa saat kemudian, seekor
buaya timbul terus membuka mulutnya ke arah Datuk. Datuk mencampakkan sehelai
daun ke dalam mulut buaya itu. Dengan tenang buaya itu merapatkan mulutnya lalu
bercampur dengan buaya-buaya lain yang timbul di permukaan sungai.
"Bagaimana
Saadun? Apa kau masih tidak mahu mengakui perbuatan terkutuk itu, apa kau mahu
aku hebahkan perkara ini pada orang lain?", tanya Datuk pada Saadun
Juling.
Saya terdiam.
Datuk gosok batang hidungnya dua tiga kali. Saadun Juling tidak juga mahu
mengakui segala kesilapan yang sudah dilakukan. Kemudian Datuk terus memujuk
Saadun Juling supaya berhenti daripada melakukan kerja-kerja yang tidak terpuji
itu. Datuk lalu menyebut padanya tentang maksud dari Surah At-Tin yang
bermaksud lebih kurang begini: Sesungguhnya Allah itu mencipta manusia
sebaik-baik kejadian, kemudian Allah akan mencampakkan mereka ke tempat yang
paling rendah sekali, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh.
"Saadun,
marilah kita gunakan segala ilmu dan kepandaian pemberian Allah ini untuk
menolong sesama manusia, bukan menjahanamkan mereka”, pujuk Datuk Saadun Juling
yang mengeluh dan termenung panjang.
"Kejahatan
terlalu panjang umurnya berbanding kebaikan, jadi masa yang pendek itu harus
kita isi dengan perjuangan menegakkan kebaikan”, tambah Datuk lagi.
Saya lihat
Saadun Juling mula resah. Saadun Juling termenung panjang, matanya merenung ke
arah air sungai yang nampak berkilau-kilau disinar matahari pagi. Buaya-buaya
yang timbul sudah menghilangkan diri. Air Sungai Tanjung Ara tetap mengalir
tenang. Cahaya matahari yang memancar terik itu membentuk bayang-bayang kami
yang pendek di bumi.
"Kau
fikir dan tanyalah dirimu sendiri, apakah kamu mahu mengakhiri hidupmu dengan
cara begini. Ingatilah alam dunia ini sentiasa bersifat baru, tidak ada yang
kekal. Yang abadi hanyalah Allah jua, kata Datuk lagi.
Saadun Juling
tetap membisu seribu bahasa. Datuk terus bertindak, tangan kanan Saadun Juling
disambarnya lalu dipulas ke belakang. Saadun Juling terkial-kial menahan
kesakitan.
"Aku tak
menghalang kau nak membuat jahat kerana itu adalah tanggungjawab kau dengan
Allah. Tetapi, kalau kau mahu melakukan sesuatu yang tidak senonoh di sini aku
akan jadi penghalangnya”, nada suara Datuk mula keras.
Tangan Saadun
Juling dilepaskannya. Mungkin Saadun Juling merasa insaf atau merasakan dirinya
tidak selamat selagi tidak berterus terang dengan Datuk. Dia lalu memilih jalan
yang mudah, dia mengakui ilmu yang di tuntutnya itu memang bercanggah dengan
hukum agama dan tatasusila kehidupan. Tetapi, dia tidak boleh berpisah dengan
semuanya itu, kalau dia tidak melakukan sesuatu mengikut ilmu yang dituntutnya,
badannya sakit-sakit dan batuk darah.
"Dari
mana kamu menuntut ilmu ini Saadun?"
"Dari
kawan baik ayah saya yang berasal dari Kuala Tari, Acheh, Sumatera”
"Apa
pantangnya?"
"Saya
tidak boleh kahwin seumur hidup. Kalau aku mahu memenuhkan tuntutan nafsu, aku
mesti menggoda atau merayu perempuan yang sudah bersuami sampai aku berjaya
tidur dengannya. Aku juga dilarang melakukan hubungan jenis dengan janda muda
walau secantik mana pun”, Saadun bersuara dengan tenang.
Datuk
mendengarnya dengan teliti. Saadun Juling juga menceritakan bagaimana dia jatuh
hati dengan seorang janda muda di Kuala Sepetang dan hampir mahu melangsungkan
perkahwinan dengannya. Akibatnya dia hampir dibaham oleh buaya ketika menangkap
buaya di Sungai Kerian.
"Sekarang,
aku minta kau menangkap buaya yang ganas dan buaya-buaya lain jangan kau ganggu
atau kau puja semangatnya”, Datuk melahirkan permintaannya dan juga permintaan
orang-orang kampung.
Saadun Juling
terdiam. Dia macam keberatan mahu melaksanakan permintaan Datuk itu.
"Engkau
sebenarnya menjadi buaya. Salah seekor dari buaya itu sudah kau satukan dengan
semangat kau. Aku tahu buaya itu berwarna putih dan kau memberitahu pada
orang-orang di sini yang buaya itu buaya keramat. Mana ada buaya keramat cuma
kau yang mengkeramatkan”, Datuk membuka rahsia.
Saadun Juling
menggigit bibir.