Manusia Tanpa Kepala
Datuk pun
membasuh kepala dan muka lelaki itu dengan air daun pisang dara. Datuk juga
membasuh seluruh tubuh lelaki itu dengan air bunga tujuh jenis dan tujuh warna.
Kedua belah tapak kaki dan tangan lelaki itu dibasuh oleh Datuk dengan air
tanah liat.
Akhirnya,
Datuk menjirus air penawar dari kepala ke kaki lelaki itu Datuk merimbas badan
lelaki dengan kain hitam sebanyak tiga kali. Dengan penuh teliti, Datuk
menyarungkan kain pelikat ke badan lelaki malang itu dalam keadaan terbalik.
Cara
menyarungnya juga agak ganjil iaitu, dari kepala ke kaki. Datuk membawa lelaki
tersebut pulang ke rumahnya. Datuk minta lelaki itu baring di muka pintu dan
Datuk meletakkan batang tepus atas dada lelaki itu. Datuk berdiri di anak
tangga terakhir sambil matanya menatap wajah lelaki itu.
"Kau
sekarang bangun perlahan dengan tangan kiri kau menolak batang tepus hingga ke
hujung kaki”, kata Datuk dan lelaki itu patuh dengan apa yang dikatakan oleh
Datuk.
"Sekarang,
tak ada suatu apa pun yang mesti kau takutkan. Tugas aku sudah selesai”,
beritahu Datuk pada lelaki itu sambil melangkah ke dalam perut rumah. Datuk
duduk dengan tiang seri menyandarkan badannya. Saya bersandar dekat dinding.
Matahari pagi kian meninggi, sudah masuk pukul sepuluh pagi. Saya kira bila
kerja Datuk sudah selesai tentu dia akan pulang.
Paling lewat
tiga atau empat petang kami akan meninggalkan Kuala Trong, fikir saya dalam
hati. Lelaki yang sudah diubati oleh Datuk terus menghidangkan kopi pada saya
dan Datuk. Lelaki itu sendiri menuangkan air kopi ke dalam cawan.
"Minumlah.
Goreng pisang belum masak”, ujar lelaki itu.
Datuk senyum.
Saya terus menghirup kopi. Tiba-tiba saya tersedak. Air kopi tersembur ke atas
lantai.
"Kenapa?",
suara Datuk keras.
Biji matanya
terbeliak merenung wajah saya. Hati saya jadi kecut bila Datuk memandang
demikian.
"Kopi ni
panas tok”, ujar saya.
"Kalau
dah tahu panas, kenapa kau telan. Apa kau tak boleh tunggu sampai air itu
sejuk”, tekanan suara Datuk cukup keras dan meninggi.
Wajahnya
masam. Saya tahu, Datuk memang tidak senang dengan perangai gelojoh saya itu.
Datuk mahu saya menjadi manusia yang penuh sopan santun, bila menghadapi
hidangan terutama sekali bila berada di rumah orang.
"Tak
apalah tu. Tapi Kamal mana dia?", tanya lelaki itu sambil menyapu air kopi
yang tumpah di lantai dengan kain buruk.
"Dia
terus balik”, jawab saya.
"Oh
begitu, saya tak sedar. Uda Lodin juga tak nampak batang hidungnya”, tingkah
lelaki itu lagi.
"Uda
Lodin tu penat”, Datuk bersuara tenang.
Lelaki itu
tersenyum. Tanpa memberitahu saya dan Datuk, lelaki itu terus ke dapur. Datang
semula sambil membawa sepiring goreng pisang. Kami pun makan bersama. Memang sedap
makan goreng pisang panas bersama air kopi. Bila sarapan pagi sudah selesai,
Datuk menghampiri lelaki yang isterinya menjadi hantu itu sambil berkata:
"Kau
ampunkan dosa isterimu?"
"Saya
ampunkan"
"Kalau
begitu, malam ini kita adakan majlis tahlil"
"Saya
tak ada wang"
"Aku
beri kau wang”, nada suara Datuk cukup tegas.
Datuk seluk
saku dan mengeluarkan wang. Dengan wajah yang agak cemas lelaki itu menerima
wang pemberian Datuk. Saya juga hairan dari mana Datuk memperoleh wang. Setahu
saya sewaktu datang dulu, Datuk tidak banyak membawa wang. Saya segera
menghampiri Datuk dan terus bertanya dari mana dia dapat wang. Datuk
menerangkan pada saya, bahawa wang yang diberikan pada lelaki itu adalah
daun-daun kering. Dalam tempoh tertentu wang itu akan jadi daun kembali.
"Kenapa
tok buat begitu?"
"Untuk
menolong orang susah"
"Rugilah
orang yang menjual barang padanya"
"Tidak.
Sebelum wang kertas itu bertukar menjadi daun seperti asalnya, orang bunian
isteri aku akan datang dan menukarkan wang yang betul pada penjual barang
tersebut"
Saya menarik
nafas panjang mendengar penjelasan Datuk itu. Sebenarnya Datuk bagaikan
berahsia dengan diri saya tentang ilmu kepandaian yang ada pada dirinya. Dia
hanya menunjukkan kebolehannya dalam waktu yang tertentu tanpa di duga atau
dijangka oleh sesiapa. Berdasarkan pada itulah saya lebih senang mengikutinya
walau ke mana-mana.
Dan majlis
tahlil pun berlangsung di rumah lelaki itu. Lima belas orang telah hadir. Datuk
sendiri jadi tukang masak dan membacakan doa. Bila acara majlis itu selesai,
Datuk memberitahu pada orang yang datang itu bahawa apa yang berlaku itu adalah
petunjuk dari Allah untuk renungan manusia yang masih hidup.
"Jadikanlah
ini sebagai contoh dan teladan. Allah dapat menunjukkan kebesaran dan kekuasaanNya
pada bila-bila masa”, nada suara Datuk menurun.
Orang yang
berada dalam rumah tertegun. Tumpukan perhatian pada cakap Datuk.
”Jika kamu
sayangkan isteri kamu, cuba elakkan atau kawal diri mereka dari jadi penderhaka
pada kamu. Isteri yang derhaka pada suami, tidak akan mencium bau syurga”
"Tetapi,
suami akan berdosa besar, kalau menggunakan taat setia seorang isteri untuk
mencari kesempatan”, Datuk mengakhiri cakapnya.
Bila semua
tetamu malam itu pulang, saya dan Datuk mengambil tempat di ruang hadapan untuk
tidur.
Lelaki itu
tidur dalam bilik, manakala Uda Lodin tidur di rumah lain. Uda Lodin bimbang
kalau dia tidur di situ, pengalaman ngeri yang dilalui akan terulang lagi.
Lebih kurang pukul dua belas malam lelaki itu mengejutkan Datuk. Saya secepat
kilat bangkit dari baring.
"Ada
apa?" tanya Datuk.
”Bagaimana
cara saya nak ampunkan isteri saya?"
"Hum..",
Datuk garu pangkal kening.
"Saya
termimpikan dia menangis di atas tanah lapang”, ujar lelaki itu lagi.
Saya
sandarkan badan ke tepi dinding. Datuk pun menyoal lelaki itu waktu bila ia
mengalami mimpi itu.
Apakah masa
dia mahu tidur tadi badannya bersih dan ada membaca ayat-ayat suci.
"Masa
saya masuk tidur saya ada air sembahyang. Sebelum tidur saya membaca ayat
Al-Kursi”, jelas lelaki itu.
"Isteri
kau mengharapkan keampunan dari kau?"
"Apa
yang mesti saya buat?" tanyanya lagi.
Datuk bangkit
dari tidur. Datuk berjalan di kawasan ruang itu dua tiga kali. Suasana malam
cukup sepi.
"Kau
pergi ke kubur isterimu tujuh pagi. Bacakan surah Yasin. Setiap kali kau
sembahyang subuh, berdoalah pada Allah minta dosa isteri kau diampunkan",
itu nasihat Datuk pada lelaki malang itu.
"Saya
buat. Saya mahu rohnya tenang dan damai. Saya ampunkan dosanya”, kata lelaki
itu.
Dia pun
meninggalkan saya dan Datuk di ruang hadapan. Malam itu tidur saya cukup
nyenyak. Bila bangun pagi, badan terasa segar lebih-lebih lagi bila mandi embun
bersama Datuk. Kulit badan terasa sejuk dan kelihatan kemerah-merahan. Pagi itu
saya bersama Datuk meninggalkan Kuala Trong menuju ke pekan Trong. Datuk terus
menemui Uda Lodin yang memang menanti kedatangannya.
"Kita
balik berasinganlah”, beritahu Datuk pada Uda Lodin.
"Sebab?"
"Aku nak
pergi ke pekan minggu di Changkat Jering. Aku nak beli parang"
"Bagaimana
bayaran ubat menolong orang tu? Saya dah minta pada orang kampung tiga ratus
ringgit. Mereka setuju bayar"
Dahi Datuk
bergerak-gerak. Biji matanya macam berputar-putar merenung muka Uda Lodin.
Datuk terus memegang batang leher Uda Lodin.
"Kenapa
ni?”, Uda Lodin terkejut.
"Ingat
aku bukan cari makan dengan cara ini. Aku menolong orang kerana Allah, bukan
niat aku nak buat harta dengan ilmu yang ada pada aku ni. Ilmu ini pemberian
Allah untuk menolong orang. Aku nak hidup mesti berusaha cara lain. Lagi sekali
kau cakap macam itu, aku patahkan batang leher kau”, cukup keras suara Datuk.
Dua tiga
orang yang lalu di situ berhenti. Mereka mendekati Datuk dan Uda Lodin. Salah
seorang daripada mereka menyangka Datuk dan Uda Lodin bergaduh, lalu menasihati
Datuk dan Uda Lodin supaya berdamai.
"Jangan
campur, ini urusan kami”, ujar Datuk pada orang itu.
Dengan wajah
yang tersipu-sipu orang itu menjauhkan diri dari Datuk dan Uda Lodin.
"Kau
pergi beritahu pada orang yang kau cakapkan mahu wang, katakan apa yang aku
buat itu semuanya percuma. Tak kena bayar satu sen pun”, Datuk mengeluarkan
perintah pada Uda Lodin.
Tanpa banyak
cakap Uda Lodin terus naik bas yang memang menanti penumpang untuk pergi ke
Kuala Terung. Datuk terasa lega.
"Kawan
ni adakalanya jadi racun”, rungut Datuk sebaik saja bas bergerak menuju ke
Kuala Terung.
Datuk yakin
Uda Lodin akan memberitahu pada orang tertentu dengan apa yang di katakan oleh
Datuk padanya. Saya dan Datuk terus menahan teksi yang dipandu oleh pemuda
berbangsa Cina menuju ke pekan minggu Changkat Jering. Memang, tujuan utama
Datuk ke situ untuk membeli sebelah parang panjang. Setelah membayar harga
teksi tersebut, saya dan Datuk terus masuk ke dalam gerai menjual buah-buahan
kampung hingga ke gerai makanan, saya dengan Datuk berjalan dalam suasana
tenang.
Akhirnya,
kami pun sampai ke gerai yang menjual golok serta parang kepunyaan Usman Rumba
dari Sayong, Kuala Kangsar. Di samping menjual golok dan parang, Usman Rumba
juga menjual labu sayung atau labu air yang terkenal itu. Datuk memberi sebilah
parang panjang berhulukan tanduk kerbau serta tiga biji labu air. Setelah
membayar harga barang yang kami beli, Datuk pun mengajak saya pergi ke gerai
kopi yang berhampiran dengan balai polis di situ.
Waktu mahu
masuk ke gerai tersebut, seorang anggota polis lengkap dengan pakaian seragam
dengan pistol terselit di pinggang, berlari ke arah Datuk. Polis itu menepuk
bahu Datuk dari belakang. Darah saya tersirap. Apakah salah yang telah Datuk
lakukan? Kenapa Datuk mesti di tangkap? Persoalan itu timbul dalam tengkorak
kepala saya.
"Kau
Atan”, ujar Datuk sebaik saja matanya tertumpu ke wajah anggota polis yang
berusia kira-kira empat puluh tahun itu.
Anggota polis
itu menyatakan rasa kagumnya kerana Datuk masih dapat mengingatinya, walaupun
sudah hampir dua puluh tahun tidak bertemu. Anggota polis itu berasal dari
Johor dan pernah bertugas di balai polis Pekan Bruas sekitar tahun 1943-1945.
Awal tahun 1946 dia ditukarkan ke balai Polis Umbai, Melaka. Sejak itu
hubungannya dengan Datuk putus sama sekali.
"Ini
siapa?", tanya anggota polis itu pada Datuk sambil merenung muka saya.
"Tamar
cucu aku”, jawab Datuk.
Anggota polis
tersenyum. Dia memberitahu Datuk bahawa anak sulungnya yang sebaya dengan saya
sudah bekerja sebagai anggota polis dan ditempatkan di Kuala Terung juga.
Kemudian Atan (anggota polis), mengajak saya dan Datuk ke rumahnya. Barangkali
ada tujuan yang tertentu. Paling kurang, dia mahu menuntut ilmu dari Datuk,
fikir saya.
Memang tepat
apa yang saya duga. Dia memang sudah lama mencari Datuk untuk diajak ke Batu
Pahat. Dia menyatakan hanya Datuk seorang saja yang boleh menyelesaikan masalah
yang di hadapi oleh pihak keluarganya. Sudah banyak pawang dan dukun terkenal
dipanggil ke tempatnya. Tetapi, mereka tidak berjaya mengatasi masalah yang
menimpa keluarga anggota polis itu.
"Apa
masalahnya?”, soal Datuk.
"Kubur
anak saudara saya berasap"
"Kuburnya
berasap?" Datuk terkejut.
"Biasanya
kubur itu berasap pada sebelah pagi dan senja. Serentak dengan itu orang yang
dekat tanah kubur terdengar suara orang menjerit minta tolong”, terang anggota
polis itu.
Datuk
terdiam. Datuk tidak jadi minum kopi yang di hidang oleh isteri anggota polis
itu. Saya kira Datuk terkejut dengan apa yang didengarnya itu. Lama juga Datuk
termenung. Dahinya berkerut. Belum pernah dia mendengar dan berhadapan dengan
peristiwa semacam itu.
"Ada
gambar anak saudara awak tu di sini Atan?", Datuk renung muka anggota
polis itu.
"Ada,
nanti saya ambilkan”, anggota polis masuk ke dalam bilik dan keluar dengan sekeping
gambar poskad di tangan. Gambar itu diserahkan pada Datuk. Lama juga Datuk
merenung wajah anak saudara anggota polis tersebut. Tanpa mengucapkan sesuatu,
Datuk memulangkan gambar tersebut pada anggota polis yang berasal dari Johor
itu.
"Saya
boleh cuba”, pendek Datuk memberikan jawapan.
"Terima
kasih”, wajah anggota polis itu saya lihat berseri-seri. Senyumnya tidak
putus-putus bermain di bibir.
"Bila
kita akan pergi?”, tanpa sabar-sabar anggota polis itu mendesak.
Datuk
menggigit bibir sambil merenung ke wajah saya.
"Minggu
depan, kita bertolak petang"
"Eloklah
tu, saya boleh minta cuti"
"Cara
nak pergi macam mana? Pergi bersama atau berasingan?”, Datuk mengajukan
pertanyaan.
"Kita
pergi dengan kereta saya”, lega hati saya mendengar pengakuan dari anggota
polis itu.
Saya tahu,
kalau berasingan, Datuk akan menunggang harimau peliharaannya waktu malam. Satu
cara yang amat tidak saya sukai. Seram sejak badan saya memaut batang leher
harimau, meskipun harimau itu jinak dan boleh diurut ekor dan kepalanya. Datuk
terus memberi alasan kenapa dia terpaksa pergi ke Batu Pahat minggu depan.
Pertama dia mahu menemui isteri mudanya (orang bunian) sebelum berjalan jauh.
Kedua, dia perlu menghubungi harimau belaannya untuk jadi pengiring ketika dia
berada di sana. Dan ketiga Datuk perlu membuat persiapan-persiapan yang
tertentu.
Sementara
menanti minggu depan, saya dan Datuk pulang ke kampung. Semasa berada di
kampung boleh dikatakan setiap malam Datuk memanggil harimau belaannya datang
ke halaman rumah. Datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih dan
menyediakan air dalam bekas buluh gading. Datuk bermain-main dengan harimau di
bawah cahaya bulan yang sedang mengambang dan Datuk memberitahu pada harimau
belaannya itu supaya pergi ke arah selatan tanahair.
Kadang-kadang
saya lihat Datuk duduk atas belakang harimau dengan isterinya orang bunian
menuju ke arah Bukit Kota. Anehnya, bila saya bangun dari tidur pada esok
harinya, saya dapati Datuk berada di rumah. Waktu bila dia pulang saya sendiri
tidak tahu.
Pagi Selasa
itu, sebuah kereta Austin 1100 bercat merah yang dipandu oleh Atan (anggota
polis) datang ke rumah Datuk. Mana barang yang difikirkan perlu dimasukkan ke
dalam bahagian belakang kereta itu. Tepat pukul sepuluh kami pun bertolak. Lebih
kurang pukul empat petang kami pun sampai di Balai Polis Cheras, Kuala Lumpur.
Kami singgah di rumah Kadir Khan, pangkat abang ipar kepada Atan (Kadir Khan
baru saja ditauliahkan menjadi sarjan di Balai Polis tersebut). Balai polis
Cheras kami tinggalkan setelah menunaikan sembahyang Maghrib.
Sepanjang
perjalanan Datuk tidak putus-putus bercerita dengan Atan. Ternyata banyak yang
Datuk tahu tentang keluarga dan sanak-saudara Atan. Perjalanan yang amat
membosankan itu saya isikan dengan tidur. Bila jaga saya akan melihat keluar.
Pemandangan malam memang tidak menyenangkan hati saya.
Saya juga
tidak pernah bertanya pada Datuk, bandar atau pekan yang dilintasi oleh kereta
yang saya naik itu. Buat apa bertanya, buat penat mulut saja. Tidak banyak
kenderaan yang kami temui atau berselisih dengan kami sepanjang perjalanan.
Badan terasa cukup sejuk. Bila saya melihat keluar, saya terasa takut melihat
hutan dan bukit yang tertegun di kiri kanan jalan. Tiba-tiba saya terasa Atan
memperlahankan laju keretanya.
"Pukul
berapa?", saya terdengar suara Datuk.
Atan tidak
menjawab pertanyaan itu. Kereta bagaikan ditarik sesuatu dari belakang.
"Pukul
dua”
"Kita
dekat mana ni Atan?"
"Dekat
Sungai Rambai, dah dekat sempadan Johor"
Saya terasa
cukup resah. Saya yakin kereta yang saya naiki itu tidak bergerak. Walaupun
Atan menekan minyak dan memutar stereng. Saya panjangkan leher ke depan. Kepala
saya hampir saja mahu menyentuh kepala Atan. Saya terkejut besar. Saya lihat
muka Atan pucat. Matanya tajam merenung ke depan. Ada sesuatu yang tidak kena
terjadi pada kami.
"Tok”,
saya mencuit bahu Datuk, ”kereta kita tidak berjalan tok”, tambah saya lagi.
Datuk
anggukkan kepala. Secara mengejutkan saja, Datuk menampar dahi Atan. Saya lihat
Atan terpinga-pinga macam orang bangun tidur. Dia menyebutkan sesuatu mengenai
kereta yang di pandunya tidak bergerak. Empat tayar kereta bagaikan terlekat
pada sesuatu. Tidak ada sebuah pun kereta yang lalu untuk diminta pertolongan.
Suasana cukup gelap. Datuk membaca sesuatu dan menghembus pangkal telinga Atan.
"Mengucap
Atan”, kata Datuk.
Atan pun
mengucap dan Datuk tahu bahawa Atan sudah pulih dari keadaan khayalan. Bila
Datuk bertanya pada Atan kenapa dia jadi demikian, Atan menyatakan yang dirinya
berada di satu tempat lain yang indah, diapit oleh wanita sambil mendayung
sampan.
"Kau
diresapi syaitan penunggu”, bisik Datuk ke telinga Atan.
Dengan
pertolongan lampu kereta, saya melihat tubuh manusia tanpa kepala sedang
menunggang basikal. Saya segera memberitahu pada Datuk dan Atan. Rupanya mereka
melihat apa yang saya lihat.
Tubuh manusia
tanpa kepala yang naik basikal itu kian hampir pada kami dan berhenti
betul-betul di hadapan kereta yang di pandu oleh Atan. Jentera kereta
serta-merta mati. Datuk buka pintu kereta, saya dan Atan pun keluar sama. Dada
saya berdebar. Jalan raya itu terasa kosong benar. Tidak ada kenderaan yang
lalu, tidak ada manusia yang berjalan. Dari hutan kecil di kiri kanan jalan
raya terdengarbermacam-macam bunyi.
Ada bunyi air
terjun, ada bunyi suara orang menyanyi. Hati saya jadi kecut, lembaga tanpa
kepala itu turun dari basikal. Saya lihat batang lehernya berlubang penuh
dengan urat-urat yang berjuntai atas dada. Darahnya meleleh di seluruh badan.
"Syaitan”,
jerit Datuk.
Mulutnya
membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu lalu dilemparkannya ke arah
lembaga tanpa kepala. Lembaga itu menjerit dan terus melompat ke atas basikal.
Kami segera masuk kereta. Datuk menyuruh Atan mengekori lembaga itu. Bila
sampai ke kawasan Sungai Kesang, lembaga tanpa kepala itu terus hilang. Sampai
ke Batu Pahat hal itu diceritakan oleh Atan pada kawan-kawannya. Menurut
kawan-kawan Atan, tubuh tanpa kepala itu memang selalu mengacau pemandu
kenderaan. Menurut mereka tubuh tanpa kepala itu berasal dari tentera Gurkha
yang di pancung oleh tentera Jepun dalam perang dunia yang kedua dulu.
Lebih kurang
pukul sembilan pagi pada hari Isnin, kami pun sampai ke Kampung Jorak Ilahi.
Atan memperkenalkan Datuk dengan ayah saudaranya iaitu, Omar berusia lebih
kurang enam puluh tahun, ada ladang kelapa dan kopi. Pada mulanya, Datuk
membuat keputusan untuk menginap di masjid berhampiran tanah perkuburan itu.
"Tidur
di rumah saya. Masjid itu dikawal jin”, Omar memberitahu Datuk.
Kemudian Omar
pun bercerita tentang beberapa keanehan yang terjadi pada masjid itu. Datuk
tidak begitu tertarik dengan cerita tersebut. Datuk hanya tertarik tentang
kubur anak Omar yang berasap dan menjerit waktu senja dan pagi. Setelah
berbincang dengan Omar dan Atan, Datuk bersetuju melihat kawasan kubur yang di
katakan itu. Bila bunga senja mula jatuh di seluruh Kampung Jorak Ilahi, Datuk
pun memakai seluar hitam dan baju hitam. Datuk ikat kepala dengan kain merah.
“Biar saya
tinjau dulu dengan cucu saya”, beritahu Datuk pada Omar dan Atan.
Kedua-duanya
anggukkan kepala tanda setuju. Omar menyerahkan pada Datuk sebatang anak kopi
berdaun tiga. Memang, Datuk menyuruh Omar menyediakannya untuk tangkal. Waktu
saya dan Datuk sampai di pinggir jalan kawasan perkuburan, tengkuk saya terasa
seram. Ada bunyi suara burung murai batu dan puyuh tanah. Suasana sekeliling
kelam dan samar-samar. Datuk dan saya berdiri tenang menghadapi batu-batu nisan
yang memenuhi tanah perkuburan.
Angin yang
bertiup menolak dedaun di tanah perkuburan. Dedaun itu berlaga sesama sendiri
dan melahirkan bunyi air ombak diselang-seli dengan bunyi orang ketawa.
Terdengar bunyi suara jampuk dan burung hantu kubur mengais-ngais tanah. Secara
mendadak saja saya memeluk tubuh Datuk, bila saya terdengar bunyi suara orang
menjerit dan minta tolong di tanah perkuburan dalam suasana senja yang
bertambah gelap.
Tanpa banyak bercakap, Datuk mengheret saya ke tengah kawasan
perkuburan. Langkah kami mati bila berhadapan dengan sebuah kuburan yang
mengeluarkan asap nipis dari rekahan tanah antara dua batang nisan. Datuk pun
membakar lilin. Asap itu jelas kelihatan macam wap yang keluar dari ketul ais.
Suara orang minta tolong dan ampun menendang gegendang telinga saya. Suasana di
kawasan perkuburan itu amat menakutkan saya.