Pukau Ular Tedung
Din Taiwan
memberitahu Datuk dengan ilmunya dia telah merogol lebih dari seratus orang
wanita yang terdiri dari anak dara, janda dan isteri orang. Dia telah
menggunakan ilmunya itu untuk merompak dan membunuh orang.
Akhirnya di
tembak menggunakan peluru emas. Memang pada awalnya, dia menuntut ilmu itu
untuk melindungi dirinya dari perbuatan orang, tetapi, bila separuh menuntut
dia sudah terpengaruh dengan syaitan untuk merosakkan orang lain demi
kebahagiaannya. Dia meninggalkan gurunya lalu menjadi orang jahat. Masa dia
membuat kerja-kerja maksiat itulah dia selalu mempengaruhi anak-anak muda lain
untuk menganggotai kumpulannya.
Dia mengakui,
dialah yang memberi beberapa ajaran pada Razman yang patah cinta, kerana
pinangannya ditolak oleh kedua orang tua Mariam. Dia mengajarkan Razman supaya
melarikan Mariam untuk dijadikan perempuan simpanan.
"Kau
memang jahat”, kata Datuk secara mendadak.
"Siapa
guru kamu?"
"Aku
menuntut pada mulanya dengan orang asli di hutan Sabah, kemudian aku terus
memuja-memuja roh dan pangkal-pangkal kayu”
"Syaitan”,
jerit Datuk lalu membaca Surah Al-Kursi, kemudian Datuk melemparkan batu yang
digenggamnya ke arah Razman (Din Taiwan).
Api menjulang
bersama jeritan yang amat kuat. Bila api padam di kawasan tempat tubuh Razman
ditanam, terdapat timbunan abu. Abu itu berkumpul di dalam lubang. Datuk timbus
abu itu dengan tanah. Kami meninggalkan kawasan itu bila fajar sidik timbul di
kaki langit.
"Kita
harus berada di rumah sebelum azan”, beritahu Datuk pada saya.
Kami
melangkah dengan cepat menuju ke rumah Mail. Tetapi, hati saya sungguh kesal,
secara tidak langsung Datuk telah membunuh Razman anak kesayangan Mail. Apakah
yang akan dijawab oleh Datuk pada Mail dalam hal ini? Datuk sudah menambahkan
musuh dalam hidupnya. Saya merasa menyesal dan menganggap Datuk seorang
pembunuh. Bagi menjimatkan masa, kami tidak terus ke rumah Mail. Kami singgah
di perigi mengambil air sembahyang. Kemudian ke rumah Mail, terus duduk di
anjung. Beberapa minit kemudian kami terdengar suara azan.
Ketika Datuk
mahu memulakan sembahyang, Mail datang dan Datuk menjadi imam pagi itu. Setelah
selesai sembahyang, Datuk tergesa-gesa masuk ke ruang rumah. Alangkah
terkejutnya saya, bila mendapati Razman terbaring di tempatnya. Saya jadi bodoh
dengan kejadian itu. Siapakah yang didukung dan dibakar oleh Datuk tadi?
Dalam keadaan
yang serba salah itu, saya lihat Datuk berdiri di hujung kepala Razman. Datuk
minta semangkuk air dari Mail. Datuk masukkan tangan ke dalam mangkuk itu.
Air melekat
di hujung jari itu Datuk titiskan ke muka Razman. Razman mengeluh. Serentak
dengan itu, saya lihat macam kabus nipis keluar dari hujung kaki Razman. Kabus
nipis itu terus berkumpul dan akhirnya wujudlah batang tubuh seorang lelaki
iaitu, Din Taiwan.
"Pulanglah
syaitan, jangan kau kacau anak cucu Adam ini”, kata Datuk.
Kabus itu
ghaib. Mail terkejut, dia tidak tahu dengan siapa Datuk bercakap. Dia tidak
nampak seperti apa yang saya lihat. Saya juga hairan macam mana benda-benda
ganjil itu boleh saya lihat. Bila saya menoleh ke kiri merenung wajah Datuk
tersenyum.
"Pulangkan
kain hitam aku”, minta Datuk, barulah saya sedar yang kian hitam itu membuat
saya melihat kejadian aneh sebentar tadi.
Kain hitam
dalam saku saya serahkan pada Datuk. Datuk terus lipatkan kain hitam hingga
jadi tiga segi. Kemudian, Datuk sumbatkan kain itu ke dalam saku seluarnya.
Perlahan-lahan Datuk membuka sila. Datuk lunjurkan kaki kirinya dan kaki
kanannya dilipatkan. Saya lihat Datuk menggigit ibu jari kirinya dua kali.
Kemudian dia menyusun jari sepuluh dan hujung jarinya itu bertemu dengan bibir
atas, macam pendekar zaman silam mengadap sultan.
Saya terkejut
bila Datuk terbatuk, bagaikan ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya.
Datuk senyum pada saya, selalunya bila Datuk berbuat begitu, membawa tanda ada
sesuatu yang belum pernah saya lihat akan dilakukannya. Ramalan saya itu memang
tepat. Datuk sudah pun membetulkan silanya dengan kedua belah tapak tangannya
menekan ke pala lutut. Datuk mengalihkan pandangannya ke mangkuk putih, matanya
kelihatan bersinar tidak berkedip merenung ke arah bibir mangkuk putih yang
terletak dekat tubuh Razman. Urat-urat merah mula timbul di bahagian mata
putihnya. Pangkal urat-urat yang merah itu bagaikan berakar dari keliling
bahagian anak mata hitamnya. Dan air dalam mangkuk putih berkocak sendiri,
bagaikan ada tenaga ghaib yang menggerakkan badan mangkuk tersebut.
Saya
tersentak bila mangkuk itu terbelah dua dan airnya melimpah atas tikar
mengkuang yang dianyam rapat-rapat. Air yang melimpah itu kelihatan
berkilau-kulau dipanah oleh sinar matahari pagi yang memancar masuk ikut
tingkap rumah yang terbuka lebar. Datuk segera membongkok sambil mengenakan
hujung jari hantunya pada air yang melimpah atas tikar. Sebaik sahaja jari
hantu terkena air tersebut, air yang melimpah terus hilang. Mangkuk putih yang
terbelah dua tercantum kembali seperti asal tanpa air di dalamnya. Mail yang
melihat kejadian-kejadian yang berlaku di depan matanya diam tidak berkata.
Dahinya nampak berkerut sesekali wajahnya kelihatan cemas.
"Bangun
anakku”, suara Datuk parau.
Serentak
dengan itu Razman yang terbaring kaku segera bangun. Dia nampak terkejut sambil
merenung ke kiri dan ke kanan. Datuk merenung biji mata Razman.
"Bersila
di situ”, kata Datuk Razman akur dengan perintah Datuk itu macam orang kena
pakau.
Datuk lalu
memerintahkan Mail mencari pucuk pisang nangka, pucuk palas dan air satu
buyung. Mail mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengadakan
batang-batang tersebut. Sementara menanti barang itu berada di depan Datuk.
Datuk menyuruh saya melipatkan setiap bucu tikar yang terdapat di ruang rumah
tersebut. Saya laksanakan tugas itu hingga selesai. Bila tugas itu selesai saya
kembali duduk di sisi Datuk. Razman masih duduk terpaku atas tikar macam
patung.
Datuk buka
baju yang dipakainya. Letak di hujung lutut sebelah kanan dengan ibu jari
tangan sebelah kiri Datuk tekan tepi baju. Datuk merenung ke arah tingkap yang
terdedah. Dia melihat sinar matahari pagi yang cukup cerah. Saya terasa pangkal
kening sebelah kiri saya gatal. Saya terus menggarunya beberapa kali. Bila saya
selesai menggaru, saya dapati rumah Razman sudah pun ditutup oleh Datuk dengan
bajunya. Datuk ambil kembali baju yang menutup muka Razman dengan jari
kelingking kiri. Baju itu Datuk sarungkan ke tubuhnya kembali.
Saya lihat
muka Razman merah, tidak pucat macam orang sakit. Razman mula tersenyum. Tetapi
dia tidak terdaya mahu bangun, macam ada sesuatu benda yang berat melekat di
bawah punggungnya. Mail sudah pun meletakkan sebuyung air di hadapan Datuk
berserta dengan pucuk pisang nangka dan daun palas ke dalam buyung. Dan mulut
buyung Datuk tutup dengan kain pelikat yang selalu di pakai oleh Razman. Kain
pelikat itu terbakar dan mengeluarkan asap nipis. Bila kain pelikat itu menjadi
abu, Datuk tekankan ke dalam mulut buyung. Dengan hati-hati Datuk goncang
buyung, air di dalamnya berkocak dan berasap. Datuk terus membaca sesuatu.
Datuk merenung ke arah mangkuk itu dan saya lihat terus jadi retak seribu dan
hancur berderai. Serbuk dari mangkuk putih itu Datuk ambil dan masukkan ke
dalam buyung.
"Rapatlah
pada aku dan duduklah di hujung lututku ini, hai anakku”, kata Datuk. Razman terus
bangun dan duduk di hujung lutut Datuk.
"Yang
jahat akan pergi dan yang baik tinggal pada kau”, Datuk bersuara sambil
mengangkat buyung lalu meletakkan ke atas kepala Razman.
Buyung yang
tidak bocor itu mengeluarkan air lalu membasahi seluruh tubuh Razman. Saya
lihat Razman mula menggigil kesejukan. Datuk ambil buyung dari atas kepala
Razman.
"Buyung
dan semua barang-barang yang ada di dalamnya kau hanyutkan ke laut”, kata Datuk
pada Mail.
"Bila?"
"Hari
ini belum matahari terbenam”
"Kalau
begitu terpaksa pergi ke Port Weld untuk membuang benda ni”, suara Mail
menurun.
Datuk
anggukkan kepala. Saya lihat Mail berbisik dengan Datuk. Kemudian Mail ambil
buyung lalu keluar. Kira-kira sepuluh minit kemudian Mail kembali. Dia
tersenyum di ambang pintu. Melangkah dan terus duduk di samping Datuk.
"Cepat”,
kata Datuk.
"Saya
suruh adik saya uruskan, secara kebetulan pula dia mahu turun ke laut memancing
ikan”
"Kau
percaya dengannya?"
"Percaya.
Dia adik saya, banyak menolong saya untuk berusaha mengubat sakit Razman”
"Tak
apalah kalau dah begitu”
Datuk puas
hati dengan keterangan Mail. Razman sudah tidak menggigil lagi. Datuk suruh
Mail menggantikan pakaian Razman. Cepat-cepat Mail bawa Razman ke dalam bilik.
Saya terkejut, bila melihat Razman keluar dari bilik memakai seluar putih, baju
baru lengan panjang. Rambutnya disikat rapi dan ada jambul di bahagian depan,
macam jambul seniman P. Ramlee dalam filem Hujan Panas. Melihat keadaannya itu,
saya kira Razman terjumlah dalam kategori anak muda yang kacak juga. Tingginya
kira-kira lima kaki, lima inci.
"Siapa
yang siapkan dirinya Mail?”
"Emak
tirinya”
"Begitulah,
jiwa orang perempuan ni halus. Penuh simpati dan rasa kasih sayang yang tidak
mengenal batas sempadan, hanya orang yang nakal saja mengatakan ibu tiri
kejam”, ujar Datuk lagi.
Razman dan
Mail duduk di hadapan Datuk. Dengan menggunakan kebijaksanaannya Datuk
mencungkil rahsia dari Razman. Apa yang menjadi misteri dalam diri Razman
terbuka. Dia memberikan pengakuan yang jujur pada Datuk. Razman terus
memberitahu yang dirinya mencintai seorang gadis. Gadis yang bekerja sebagai
kerani di Jabatan Kerja raya itu tidak menolak cintanya. Dalam perkataan lain,
mereka saling cinta mencintai. Razman pun membuat persiapan dengan mengumpulkan
wang untuk meminang gadis tersebut.
Malangnya
orang tua gadis itu tidak merestui cinta mereka dan gadis itu terus ditunangkan
dengan seorang pemuda yang menjadi pegawai di sebuah kilang perusahaan di
Kamunting. Bertolak dari peristiwa yang tidak pernah diduga oleh Razman itu,
menyebabkan dia menjadi manusia separuh gila. Bagi menghilangkan rasa sepinya,
dia mula mencari ganja dan terjumpa Din Taiwan. Din Taiwan lah yang
menggalakkan dirinya supaya membalas dendam. Setidak-tidaknya mencederakan muka
kekasihnya atau muka tunang kekasihnya.
"Saya
terpengaruh dan menuntut ilmu jahat darinya", kata Razman dengan wajah
yang tenang.
Mail
gelengkan kepalanya. Ada rasa kesal bermain di wajahnya.
"Sepanjang
kau terbaring di sini apa yang kamu rasakan?”, tanya Datuk.
"Saya sebenarnya
tidak sakit. Saya berjalan ke mana-mana. Saya makan dan minum”
"Itu
hanya perasaan yang kau sangka. Kau sudah jauh dikuasai oleh syaitan”, Datuk
merenung muka Razman.
Mail tunduk
merenung lantai. Saya tidak tahu apa yang ada dalam kepala Mail. Angin yang
bertiup di luar masuk ke dalam ruang tempat kami duduk. Razman menguap panjang.
"Mail,
dalam hal begini saya tidak salahkan anak awak seratus peratus. Awak siang
malam duduk di masjid tetapi awak tidak pernah ambil tahu tentang diri anak
awak. Apakah dia sudah belajar rukun iman, rukun Islam dan sembahyang.
Segala-galanya awak serahkan pada dirinya untuk mengetahui semuanya tanpa
perhatian dari awak”, ujar Datuk.
"Inilah
silapnya saya. Saya fikirkan bila dia dah besar dan bekerja dia tahu mencari
yang baik”
"Itu
satu pendapat yang silap”
"Saya
berjanji hal macam ni tak akan berlaku lagi”
Datuk senang
sekali mendengar janji dari Mail. Kemudian saya dan Datuk pergi ke anjung
rumah. Tidak lama kemudian Razman turut serta. Datuk memberitahu Razman banyak
perkara yang harus dilakukan supaya kekuatan semangat dalam diri Razman dapat
dipulihkan seperti sedia kala.
"Semuanya
bergantung pada diri kamu. Sama ada kau setuju atau tidak”, beritahu Datuk pada
Razman.
Saya lihat
Datuk lihat Razman termenung panjang. Sebentar dia gigit bibir dan sebentar
pula raba pangkal dagu. Dia bagaikan berada dalam keadaan serba salah.
"Kalau
boleh saya mahu membebaskan diri dari belenggu syaitan”, Razman bersuara.
"Atas
kerelaan hatimu sendiri?"
"Ya.
Atas kerelaan saya sendiri”
Mendengar
cakap Razman itu, Datuk segera bangun. Dari ruang depan Datuk memanggil Mail.
Bagaikan kilat Mail datang menemui Datuk.
"Biar
aku pulihkan semangat anak kamu Mail”
"Memang
itulah yang saya harapkan”
"Aku
terpaksa tinggal di sini selama tiga hari”
"Lebih
dari itu pun tak apa”, balas Mail dengan ketawa kecil.
Selama tiga
hari tinggal di rumah Mail, Datuk menumpukan seluruh perhatian pada diri
Razman. Setiap subuh Datuk membangunkan Razman, mengajak sembahyang bersamanya.
Datuk juga memberikan beberapa ayat untuk Razman baca selepas menunaikan
sembahyang subuh selama 44 subuh. Pada setiap petang pula, dari pukul lima ke
pukul enam. Datuk mengajak Razman berlari berbatu-batu. Sepanjang masa berlari
itu Razman tidak dibenarkan minum kecuali memakan pucuk jambu batu bila terasa
letih. Pada sebelah malamnya, Datuk mengajak Razman membaca Surah Yasin hingga
jam dua belas malam.
Kemudian
barulah Razman disuruh tidur di anjung rumah tanpa menggunakan bantal dan
gebar. Pukul tiga pagi, Datuk akan mengejutkan Razman dari tidurnya dan
menyuruh Razman mandi. Sesudah mandi, Razman disuruh minum air sejuk sebanyak
lima gelas besar. Waktu makan tengah hari Razman hanya dibenarkan makan nasi
tujuh suap, minum air setengah cawan dan memakan ulam-ulam yang Datuk buat dari
dedaun kayu. Memang, Razman terasa cukup seksa menjalani rawatan yang Datuk
lakukan. Bila saya tanyakan pada Datuk, kenapa dia lakukan hal seperti itu pada
Razman yang baru sembuh dari sakit, Datuk menjelaskan tujuan dia berbuat demikian
untuk mengembalikan tenaga pada diri Razman di samping menguatkan semangatnya
serta memulihkan rasa yakin pada dirinya sendiri.
"Ubat
yang aku berikan padanya untuk memulihkan perjalanan darah dalam urat-uratnya.
Dia terlalu lama baring banyak urat-urat sendinya jadi tegang dan kaku”,
demikian Datuk menjelaskan pada saya.
Selepas tiga
hari Razman mengalami rawatan dari Datuk, dia kelihatan segar. Tidak banyak
mengelamun atau mudah terkejut. Dia nampak bertambah yakin pada dirinya
sendiri. Dan dia mula sedar bahawa yang dirinya adalah hamba Allah yang harus
ada kekuatan dalam hidup. Dan sendi kekuatan setiap orang dalam hidup ini ialah
berlandaskan pada ajaran agama Islam yang dianutinya. Bersandarkan pada itu,
Razman merasakan dirinya berada dalam dunia baru yang serba segar. Dia
merasakan dirinya cukup tenang bila sembahyang. Jiwanya terasa bersih dan murni
setiap kali dia membaca Surah Yasin. Dalam dunia ini dia merasakan tidak ada
yang perlu ditakutkan kecuali Allah yang Maha Besar dan Maha Mengetahui.
"Bagaimana
kau sekarang?", tanya Datuk pada Razman ketika mahu meninggalkan
rumahnya.
Razman yang
petang itu memakai baju Melayu dan kain pelikat tersenyum.
"Saya
rasa diri saya cukup aman, tidak ada rasa takut atau bimbang”
"Baguslah,
jangan lupakan sembahyang lima waktu. Jauhkan diri kau dari kerja-kerja yang
tidak baik. Berusahalah untuk jadi orang yang berguna pada bangsa dan agama”
"Saya
faham. Saya mahu membuat hidup baru”
"Itu
yang baiknya”, Datuk terus menepuk belakang Razman beberapa kali.
Satu
peristiwa yang mengejutkan petang itu ialah bila ayah Razman (Mail) memulangkan
Razman pada Datuk.
"Saya
mahu menyerahkan Razman pada awak, kerana awak dia baik dari sakit dan insaf”
"Jangan
kata begitu. Bukan kerana saya dia baik. Semuanya kerana Allah, saya cuma
berikhtiar”, Datuk tepuk meja.
Mail terkejut
dan dia mula sedar tentang kesilapan yang dilakukannya.
"Maafkan
saya. Saya berhasrat dan memang niat dari mula lagi, kalau sakitnya baik, saya
mahu memulangkan pada awak”, sambung Mail teratur tetapi wajahnya nampak pucat
sedikit.
Datuk
tersenyum.
"Tak
apalah, saya terima hajat awak tu, mulai hari ini, Razman jadi anak angkat
saya”, cukup gembira Datuk berkata.
Datuk lalu
mengeluarkan benang hitam dari sakunya. Benang itu di pintalnya menjadi tali
yang kecil. Datuk keluar wang syiling dua puluh sen. Datuk tebuk lubang wang
tersebut. Datuk sarungkan benang hitam bersama wang ke leher Razman macam
menyarungkan kalung ke leher.
"Inilah
tandanya kau jadi anak angkat aku Razman, jangan dicabut kecuali dia putus”,
pesan Datuk.
"Saya
berjanji”, jawab Razman.
Petang itu
juga kami meninggalkan Kampung Pinang, pulang ke tempat asal. Seminggu kemudian
Razman menemui Datuk menceritakan yang dirinya telah diberhentikan dari Jabatan
Ukur. Razman juga menyatakan yang dia berhasrat untuk menjadi Askar Melayu dan
meminta pertolongan dari Datuk untuk memenuhi cita-citanya. Kerana Razman
bersungguh mahu menjadi Askar Melayu, Datuk pun membawa Razman menemui seorang
pegawai Askar Melayu yang tinggal di Kampung Simee, Ipoh. Pegawai Askar Melayu
itu berpangkat Mejar dan berasal dari Negeri Sembilan.
Pegawai itu
bernama Abdul Muluk (kalau tak silap) pernah menemui Datuk untuk mendapatkan
beberapa petua serta amalan untuk pelindung diri ketika berada di hutan memburu
pengganas komunis. Cara kebetulan pula, pegawai itu memang orang yang
bertanggung jawab memilih anggota Askar Melayu yang baru. Syarat yang
diperlakukan pada setiap orang yang mahu menjadi anggota Askar Melayu ada pada
diri Razman. Mejar Abdul Muluk terus membawa Razman menemui pegawai atasnya.
Usaha itu berjaya dan Razman pun mengikuti latihan menjadi Askar Melayu.
Malangnya,
semasa menjalankan tugas, Razman terkorban apabila ditembak pengganas komunis.
Jenazah Razman pulang ke kampungnya dan Datuk turut serta mengebumikan jenazah
anak angkatnya. Sejak kematian anak angkatnya itu, Datuk lebih banyak
menghabiskan masanya di tanah perkuburan Razman. Kadang-kadang bila bertemu
dengan kawan-kawan rapatnya, Datuk melahirkan rasa bangganya atas kematian anak
angkatnya yang berjuang mempertahankan tanahair dari ancaman pihak komunis.
Pagi itu,
matahari bersinar dengan terangnya. Saya sudah mengorek lebih kurang dua puluh
lubang untuk menanam anak-anak pisang mas, walaupun hari baru pukul sebelas
pagi. Kerja saya terganggu bila saya terdengar suara Datuk memanggil nama saya
dari tepi sempadan. Saya berlari ke arah Datuk. Terasa juga penatnya berlari di
atas tanah seluas dua ekar itu. Terpaksa berari-ari dengan hati-hati, kalau
tersepak tunggul getah pasti tersembam ke bumi. Kalau tidak kena caranya, dahi
boleh berdarah. Tanah milik Datuk terletak dalam mukim Buruk Bakal.
Jaraknya dari
jalan raya Kuala Kangsar-Simpang Tiga, kira-kira satu batu. Kira-kira setengah
batu dari tanah Datuk ialah kaki gunung yang bersambung dengan banjaran
Titiwangsa. Menurut kata Datuk, banjaran gunung itu memisahkan sempadan Perak
dengan negeri Pahang.
"Aku
rasa ada orang yang mahu datang ke sini. Kita bersembunyi mana tahu kalau yang
datang orang komunis”, kata Datuk sambil membawa saya dekatnya.
Datuk ketika
itu masih lagi memegang hujung kayu yang dicacakkan ke tanah. Dengan
perantaraan kayu yang tercacak itu, Datuk dapat mengetahui sama ada manusia
atau binatang buas akan datang ke kawasan tanahnya.
"Petuanya
mudah saja, kau cari pokok kayu sebesar ibu kaki yang daunnya lebat ke arah
matahari terbit dan pucuknya pula menghala ke arah matahari jatuh, kau potong
dan tanamkan ke bumi arah mata angin yang datang.
Tanam
kira-kira setengah kaki, kau lekapkan telinga kau pada batangnya, nanti kau
akan dengar tapak kaki binatang. Kalau manusia kau akan dengar suaranya”, Datuk
mencurahkan petua orang tua-tua pada saya.
Tanah milik
Datuk itu pada mulanya ditanam dengan pokok-pokok getah. Kerana pokok getah
sudah tua dan tidak dapat mengeluarkan susu yang banyak, Datuk tebang dengan
tujuan untuk di tanam pokok pisang. Peluh terus membasahi badan Datuk dengan
dan badan saya. Angin yang bertiup tidak dapat menghilangkan rasa panas di
badan kami.
"Mari”,
kata Datuk dan terus menarik tangan saya.
Kami terus
bersembunyi di bawah rimbunan pokok serunai laut. Waktu saya mahu bersila di
situ, tiba-tiba seekor ular tedung panggukan kepala. Saya jadi cemas.
"Jangan
bergerak”, bisik Datuk pada saya.
Dan saya
lihat Datuk mengambil daun serunai laut lalu diramasnya hingga hancur. Datuk
tepuk tanah, serentak dengan itu ular tedung terus meluru ke arahnya.
Cepat-cepat Datuk membalingkan daun serunai laut yang diramasnya ke arah ular
tedung tersebut. Ular itu bagaikan terpukau di situ. Datuk terus mengarahkan
kedua biji matanya ke mata ular tedung. Datuk pukau ular tedung yang berbisa
itu dengan kuasa matanya dengan badannya di atas tanah.
"Bergerak”,
ujar Datuk, ular itu bergerak dan terus merebahkan badannya atas tanah.
"Bangun”,
perintah Datuk.
Ular itu
bangun.
"Jangan
kacau kami. Kami mahu menumpang sebentar, tidak mahu membinasakan kamu”
Saya lihat
ular itu bagaikan faham dengan apa yang Datuk katakan. Datuk menyuruh ular itu
pergi ke bawah rimbunan pokok serunai laut. Ular itu patuh dengan arahan Datuk,
menyusur perlahan-lahan arah ke selatan hingga hilang dari pandangan saya dan
Datuk.
"Meniarap”,
kata Datuk pada saya.
Saya pun
rebahkan badan dan Datuk juga berbuat demikian. Saya lihat beberapa ekor semut
api dan belalang merayap atas daun serunai laut. Bunyi deru angin jelas
kedengaran bersama dengan bunyi ranting-ranting kering jatuh ke bumi.