Terkena Badi Belibis
Matahari
terus memancar. Sesekali terdengar suara burung tekukur dan merbuk tingkah
meningkah di dahan kayu. Beberapa monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan.
Lama juga kami meniarap, saya sudah merasa bosan dan lemas. Maklumlah mencium
bau daun dan tanah.
"Mereka
sudah hampir”, kata Datuk.
Saya angkat
kepala, toleh kiri, toleh kanan. Tidak ada batang tubuh manusia yang lihat. Saya
lihat muka Datuk. Dia senyum dan dia bagaikan tahu apa yang bergolak dalam diri
saya.
"Cuba
renung ke depan”, bisik Datuk.
Saya pun
renung ke depan. Dari celah-celah daun serunai laut itu, saya lihat tiga
manusia datang ke arah kami. Dua daripadanya membawa senapang kampung laras
dua. Seorang lagi membawa kayu bulat kira-kira enam kaki panjangnya. Sambil
melangkah mereka merenung ke kiri dan ke kanan macam mencari sesuatu. Akhirnya,
mereka terus duduk atas tanah Datuk.
"Keluar”,
kata Datuk.
"Ke mana?"
tanya saya.
"Rapat
pada mereka”
"Merbahaya
tu tok”
"Kau ni
suka sangat bantah cakap orang, ikut saja sudahlah”, Datuk mula marah dan
menarik saya keluar dari bawah rimbunan daun serunai laut.
Datuk suruh
saya berdiri sambil meletakkan tapak tangan kanan atas bahagian punggung.
"Jatuhkan
tangan itu dan melangkah perlahan-lahan”, perintah Datuk saya patuhi.
Kerana kami
melangkah begitu hati-hati dan datang pula dari arah belakang, ketiga-tiga
manusia yang duduk itu tidak sedar kami sudah menghampiri mereka. Datuk
pura-pura batuk. Ketiga-tiga manusia itu melompat dan terkejut besar. Salah
seorang daripada mereka menghalakan muncung senapang itu.
"Kerana
awak berniat mahu menembak lepaskan tembakan itu”, kata Datuk.
Orang itu
tergamam melihat wajah Datuk yang dibasahi peluh. Senapangnya terlepas dari
tangan, Datuk terus menyambarnya. Melihat senapang sudah berada di tangan
Datuk, kawannya yang seorang lagi jadi cemas.
Kawannya itu
merasakan keselamatan dua orang kawannya dalam bahaya dan tanpa berfikir
panjang orang itu menghalakan hujung senapangnya ke arah Datuk lalu menarik
pemetik senapang. Senapang itu tidak berbunyi dan mengeluarkan peluru walaupun
pemetiknya ditarik berkali-kali. Melihat keadaan yang ganjil itu, orang itu
jadi cemas. Mukanya pucat.
"Saya
tidak berniat jahat pada awak semua. Kenapa mahu menembak kami? Awak bertiga
masuk ke tanah saya”, beritahu Datuk pada orang ketiga.
Mereka
berpandangan sesama sendiri. Datuk memulangkan senapang di tangannya kepada
orang yang berhak.
"Saya bukan
musuh. Saya bukan komunis yang mesti awak takutkan”, tambah Datuk lagi.
Saya lihat
orang bertiga menarik nafas panjang. Mereka bersalam dengan Datuk minta maaf.
Datuk pula minta mereka melepaskan tembakan ke udara kerana menurut Datuk,
peluru senapang itu harus dikeluarkan kerana itu adalah merupakan niat dari
tuan punya senapang. Kalau tidak dilepaskan senjata itu akan memakan tuannya
sendiri. Berpandukan pada petua Datuk itu, kedua lelaki yang memiliki senapang
berlaras dua melepaskan tembakan. Gema dari tembakan itu menguasai seluruh
kawasan di pinggir banjaran gunung Titiwangsa yang mengakibatkan monyet-monyet
liar bertempiaran lari, melompat dari dahan ke dahan. Dedaun getah muda dan tua
berguguran. Suasana di kawasan tersebut jadi haru-hara.
Bila suasana
sudah tenang, Datuk pun mengajak ketiga-tiga orang itu bersila di atas tanah.
Kerana kami ada membawa air kopi dan goreng pisang Datuk pun menjamu mereka.
Rasa kemesraan terjalin antara kami dengan orang bertiga.
Saya merenung
ke arah lelaki yang berbadan tegap, berambut panjang dengan parut besar
melintang atas dahinya. Dia kelihatan resah tidak menentu macam ada sesuatu
yang dibimbangkannya. Tetapi, dua orang lagi kawannya tidak begitu resah atau
bimbang.
"Ceritakan
pada saya”, Datuk mengajukan pertanyaan pada orang yang berbadan tegap itu.
Orang itu kerutkan dahinya lalu memandang kepada dua orang kawannya. Dan
kawannya memberikan isyarat supaya menjawab apa yang di soal Datuk.
"Kami
mencari kawan kami yang ghaib tiba-tiba waktu menembak burung belibis”, lelaki
berbadan tegap membuka rahsia.
Datuk
anggukkan kepala sambil melihat langit yang cerah dan bersih.
"Di
mana?"
"Di
kolam dekat kaki gunung waktu senja”
"Bila
hilangnya?"
"Kira-kira
dua hari yang lalu”
"Awak
semua ni dari mana?"
"Kami
dari Talang, Kuala Kangsar”
"Jauhnya
mencari burung belibis”
"Ada
orang yang diberitahu kami di situ tempat burung belibis mandi senja”
Datuk menarik
nafas panjang. Datuk menikam-nikam tanah dengan ranting getah. Orang bertiga
itu melihat sahaja telatah Datuk. Wajah orang bertiga itu jadi pucat bila Datuk
memberitahu mereka, sejak lepas perang Jepun, sudah tujuh orang ghaib di kaki
gunung itu kerana menembak burung belibis. Kehilangannya tidak dapat dikesan
oleh sesiapa pun.
"Masuk
kawan awak ini, sudah jadi lapan orang”, ujar Datuk sambil menyapu peluh yang
berkumpul dipangkal dagu dengan tapak tangan kiri. Orang bertiga berpandangan
sesama sendiri. Saya melihat ke arah lubang yang baru saya korek.
"Kalau
kami tak jumpa, kami nak buat sembahyang ghaib”, mendadak sahaja orang berbadan
tegap bersuara sambil menggosok laras senapangnya.
Saya tahu
bila Datuk merenung awan berarak, ertinya dia mencari ke arah mana tiupan angin
itu menuju. Datuk tersenyum, dia sudah menemui apa yang di carinya.
"Awak
semua berhajat benar nak menemui kawan awak yang hilang tu”, tanya Datuk minta
kepastian.
"Memang
berhajat. Kami mahu mencari mayatnya untuk disempurnakan pengebumiannya sebagai
seorang Islam. Pihak warisnya berharap benar pada kami mencarinya”, jawab orang
berbadan tegap.
Belibis ialah
sejenis burung yang bentuk badannya hampir serupa dengan itik biasa. Tetapi
ukurannya lebih kecil. Biasanya terbang berkawan dan mencari makan di
bekas-bekas lombong dan paya yang terpencil. Dagingnya boleh dimakan oleh orang
Islam dan rasanya lebih kurang macam daging ayam hitam.
Datuk terus
berpeluk tubuh. Rapatkan kedua belah matanya dan mulutnya membaca sesuatu.
Datuk bertafakur lebih kurang dua minit. Dia buka mata kembali, renung wajah
orang bertiga dengan tenang.
"Sebenarnya
kau orang masuk kawasan orang lain. Kawan yang hilang tu namanya Usman, ada
isteri dan anak. Satu anaknya bekerja sebagai kerani Jabatan Parit dan Taliair
di Kuala Kangsar, umurnya baru 32 tahun”, demikian Datuk memberi keterangan tentang
orang yang hilang. Orang bertiga besar mengakui apa yang Datuk katakan itu
memang benar.
"Apa dia
ditawan oleh komunis?" tanya orang berbadan tegap.
"Tidak,
ada di kawasan kolam tinggal tu”
"Masih
hidup lagi ke?"
"Susah
nak cakap”, balas Datuk sambil tersenyum.
Datuk dan
orang bertiga mengadakan perundingan dan Datuk pula bersedia memberikan
khidmatnya untuk membantu mereka. Supaya kerja yang akan dilakukan berjalan
lancar, Datuk mengajak mereka tinggal di rumah Datuk. Tawaran Datuk itu mereka
terima. Datuk pun mengadakan rundingan kilat dengan orang bertiga. Datuk
bersedia memberikan khidmatnya bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi.
Tawaran dari Datuk yang tidak pernah mereka duga itu amat menggembirakan
mereka.
"Kita
akan mencari orang yang ghaib tu dua hari lagi. Kita mulakan pada sebelah
petang dan kita mesti berada di tepi kolam tempat belibis turun sebelum waktu
senja”, Datuk meluahkan rancangan pada orang yang terconggok di hadapannya.
Ada beberapa
persediaan yang perlu Datuk adakan. Orang bertiga itu perlu dibekalkan dengan
beberapa tangkal tertentu bagi menghindarkan diri mereka dari diresapi semangat
penunggu kolam. Lebih kurang pukul satu petang, kami pun sampai di rumah. Datuk
menyuruh orang bertiga mandi di sungai. Saya terus memberitahu nenek supaya
memasak nasi dan sayur lebih dari biasa. Ada tetamu baru yang harus di jamu
makan sampai kenyang.
Bila selesai
sembahyang Zuhur, kami pun terus makan. Memang enak makan pucuk ubi bersama
gulai lemak pucuk labu dan nasi dari padi huma. Lepas makan saya terus
tersandar di dinding rumah. Datuk menyuruh salah seorang dari orang bertiga itu
pulang ke tempatnya untuk memberitahu pada orang-orang di tempatnya yang diri
mereka berada dalam keadaan selamat.
"Biarlah
saya saja yang pergi”, orang yang berbadan tegap itu menawarkan diri.
Tidak ada
bantahan dari kawan-kawannya yang lain. Orang itu pun segera berangkat dengan
janji dia akan sampai ke rumah Datuk sebelum tengah hari keesokannya. Lepas
sembahyang Asar, Datuk terus mengajak kenalan barunya berborak di bawah pokok
manggis. Sedang asyik berborak, dua orang anak muda datang menemui Datuk. Datuk
terkejut dengan kedatangan anak muda yang tidak di kenalinya itu. Rasa
terkejutnya itu segera hilang dari hati Datuk, bila salah seorang anak muda itu
memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Rahman Hitam datang dari Parit Terachi,
Negeri Sembilan.
"Kami
sebenarnya mengelilingi tanah semenanjung dengan berbasikal, singgah ke sini
nak jumpa Mohammad Ramli, kawan saya sama-sama belajar di Ipoh dulu”,kata Abdul
Rahman Hitam yang berbadan kurus.
"Di Ipoh
belajar di mana?",soal Datuk.
"Trade
School, macam Ramli”
"Macam
mana tahu rumah ini?"
"Ikut
alamat yang diberi oleh Ramli”
"Ramli
itu cucu saya, dia baru dua hari pergi ke Segamat”
"Apa
halnya?"
"Kerja.
Dia jadi juruteknik rendah JKR di sana”
Abdul Rahman
Hitam termenung panjang. Rasa hampa terbayang di wajahnya. Datuk terus menepuk
bahu kanan Abdul Rahman dua kali, sambil menjeling ke arah kawannya yang duduk
atas bangku panjang bawah pokok manggis.
"Sabarlah.
Satu hari nanti kau akan berjumpa juga dengannya”, ujar Datuk.
"Dia
kawan baik saya, dah lama kami tak jumpa”, keluh Abdul Rahman sambil menggigit
ibu jari kiri.
Datuk pun
memperkenalkan saya dengan Abdul Rahman Hitam. Datuk memberitahu padanya, saya
adalah salah seorang daripada cucunya yang dipelihara sejak berusia sebulan.
Dan Abdul Rahman memberitahu saya, dia salah seorang pekerja syarikat lombong
besi iaitu EMMCO di Bukit Besi, Terengganu. Dia dihantar oleh syarikat tersebut
belajar ke Trade School Ipoh mengikuti kursus jurutera selama tiga tahun. Di
Ipoh dia berkenalan dan berkawan rapat dengan sepupu saya Mohammad Ramli. Bila
dia tamat belajar dia terus berhenti dari menjadi pekerja dengan syarikat
tersebut.
Abdul Rahman
mahu meneruskan cita-cita mengelilingi dunia dengan basikal dan mahu menetap di
Jerman Barat di samping meneruskan pelajarannya di bidang kejuruteraan. Tidak
lama Abdul Rahman bercakap dengan Datuk dan saya, kira-kira satu jam sahaja.
Kemudian Abdul Rahman Hitam dan kawannya meneruskan perjalanan ke utara. Bila
selesai mengelilingi tanah semenanjung, dia akan mengelilingi dunia pula.
Tetapi sejak
petang itu cerita tentang diri Abdul Rahman Hitam tidak saya ketahui. Apakah
dia berjaya dalam cita-citanya atau dia masih hidup lagi kini, saya pun tidak
tahu. Malah, sepupu saya pun tidak pernah menyebut tentang dirinya.
"Dia
anak muda yang bercita-cita besar”, kata Datuk pada saya sebaik sahaja Abdul
Rahman dan kawannya meninggalkan kawasan rumah.
Suasana
petang itu cukup damai. Langit cerah dan angin bertiup lemah tetapi, mampu
menggugurkan daun-daun manggis yang tua. Datuk mengajak dua orang kenalannya
itu pergi menjala ikan di sungai untuk di buat lauk makan malam. Kenalannya itu
setuju. Saya dengan nenek pula pergi ke sawah melihat dan memetik buah terung
dan mentimun yang ditanam atas batas bendang. Sebelum menjelang waktu Maghrib
kami berkumpul kembali di rumah.
Pada sebelah
malam membawa ke waktu subuh Datuk menghabiskan masanya dengan membaca
Al-Quran. Pada sebelah paginya, Datuk mengajar kedua kenalannya cara membaling
buluh runcing supaya tepat pada sasarannya. Menurut Datuk, perkara itu perlu
untuk mereka bila masuk ke dalam hutan kelak. Datuk tidak mahu mereka
menggunakan besi jika berhadapan dengan binatang buas.
Masa yang
ditetapkan pun tiba. Datuk sudah pun mengikat benang hitam bercampur putih pada
pergelangan tangan kiri kedua orang kenalannya, manakala kenalan yang berbadan
tegap pula Datuk gantungkan benang hitam bercampur putih di lehernya.
"Kau aku
jadikan harapan”, kata Datuk pada lelaki yang berbadan tegap itu.
Datuk
menyerahkan pada mereka buluh kuning sepanjang tiga kaki, tiap seorang. Datuk
melihat matahari di langit.
Dia membaca
sesuatu dan melangkah tiga tapak ke depan lalu memacakkan buluh kuning yang
dibawanya ke situ. Datuk pun menyukat bayang buluh itu dengan tapak kaki
kanannya. Dia merenung wajah saya dan orang bertiga dengan tersenyum.
"Dah
pukul lima lebih, eloklah kita pergi, semua barang-barang dah siap?",
Datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki yang berbadan tegap.
"Dah”,
jawab lelaki itu.
"Periksa
lagi sekali. Kita terpaksa bermalam dalam hutan, kalau tak kena caranya, kita
pula yang sesat”
"Ah,
seram juga dengarnya. Biarlah saya periksa”
Lelaki
berbadan tegap itu terus memeriksa barang-barang yang akan dibawa sekali lagi.
Dia yakin, semua barang yang diperlukan oleh Datuk sudah ada. Tetapi Datuk
tidak puas hati, dia sendiri memeriksa barang-barang itu bagi kali terakhir.
"Saya
puas hati”, katanya pada kami.
Tanpa banyak
bicara Datuk meninggali pesan pada nenek, kalau dia tidak pulang dalam masa
tiga hari, dia minta nenek memberitahu orang-orang kampung supaya mencarinya.
Nenek berjanji akan melaksanakan semua pesan Datuk, dan nenek memberikan doa
selamat atas keberangkatan rombongan kami pada petang itu.
Bila sampai
ke gigi hutan, Datuk menyuruh lelaki berbadan tegap dan berambut panjang jadi
kepala jalan. Pada mulanya lelaki berbadan tegap itu enggan memenuhi permintaan
Datuk dengan memberi berbagai-bagai alasan.
"Jangan
takut, aku tak membiarkan kamu susah, aku ada bersama kamu. Aku ingat kamu ikut
saja cakap aku ni. Kamu sudah biasa datang ke sini, ini lebih memudahkan kita,
cepat sampai ke tempat yang dituju," suara Datuk mula keras.
"Saya
..... saya"
"Usah
berdalih lagi. Jalan saja. Kalau aku jadi kepala jalan lambat sampai nanti.
Semua kerja kita tak menjadi"
"Baiklah"
Lelaki
berbadan tegap yang berambut panjang itu membawa kami masuk ke kawasan hutan
sebelah kanan. Saya mula terasa sukar untuk melangkah. Kaki saya selalu sahaja
tersepak akar-akar kayu. Pokok-pokok besar yang terdapat di situ semuanya
dililit oleh akar yang berjuntaian, sesekali saya melihat ular daun memanjat
akar menuju ke dahan pokok besar.
Nyamuk mula
terasa menggigit muka dan telinga, manakala pacat hutan berkeliaran di
daun-daun kayu dan cuba memanjat tubuh kami. Bunyi burung-burung hutan yang
bersahutan membuat bulu tengkuk saya meremang. Beberapa ekor pelanduk
terlompat-lompat di celah-celah perdu pokok besar.
"Jangan
aniaya binatang itu, dia mahu hidup," pesan Datuk bila dia melihat lelaki
berbadan tegap mahu melontarkan buluh runcing ke arah binatang tersebut.
Lelaki
berbadan tegap itu segera minta maaf pada Datuk. Matahari bertambah condong.
Perjalanan menjadi bertambah sukar. Lelaki berbadan tegap dua tiga kali
tersungkur akibat tersepak akar kayu.
"Jauh
lagi ke ?", tanya Datuk pada lelaki berbadan tegap.
"Tak
jauh lagi, lebih kurang lima rantai dari sini"
"Tak
apalah," balas Datuk sambil meneruskan perjalanan.
Tiba-tiba
lelaki berbadan tegap itu berhenti melangkah. Mukanya pucat dan undur
mendapatkan Datuk. Keadaan jadi kelam kabut sebentar. Seekor harimau duduk
mencangkung di hadapan kawasan yang akan kami lalui. Datuk tersenyum dan
memaksa lelaki berbadan tegap itu mara. Ternyata lelaki berbadan tegap itu
tidak berdaya melangkah. Dia jatuh tersepuk. Kedua orang kawannya bersedia
untuk lari tetapi di halang oleh Datuk. Perbuatan Datuk itu menimbulkan
kemarahan pada mereka dan mereka menghalakan buluh runcing ke arah Datuk.
"Awak
berdua jangan nak buat kurang ajar dengan saya”, Datuk mula marah.
Saya
menggigit bibir dan terus duduk di pangkal pokok besar sambil memerhati dengan
teliti ke arah harimau. Saya lihat harimau itu menjelirkan lidahnya dan terus
menguap.
"Awak
nak aniaya kami!”, jawab salah seorang dari mereka.
"Aniaya
apa, saya nak tolong awak”
"Harimau
ada di depan awak suruh pergi”
"Apa
salahnya?” ,
"Awak
nak suruh kami mampus!”, pekik orang itu lalu merodokkan buluh runcing ke perut
Datuk.
Buluh runcing
itu tidak dapat menembusi perut Datuk. Orang itu jadi serba salah. Bila orang
itu mencuba merodok perut Datuk untuk kali yang kedua, harimau yang ada di
hadapan melompat dan terus merebahkan orang itu ke bumi.
"Jangan”,
pekik Datuk.
Harimau itu
tidak jadi mencakar muka orang itu dengan kukunya. Datuk menepuk kepala harimau
itu dua tiga kali. Saya lihat harimau itu dengan penuh manja menjilat lengan
Datuk.
"Kau
tahu aku ke sini”, kata Datuk.
Harimau itu
goyangkan ekornya sambil mengesel-geselkan badannya pada kaki Datuk.
"Merbahayakah
aku ikut sini?", tanya Datuk pada harimau.
Dan harimau
itu bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Datuk. Dia mengaum dengan
perlahan lalu memusingkan kepalanya dari arah matahari terbit ke arah matahari
jatuh.
"Kita
ikut arah yang ditunjukkannya”, kata Datuk pada saya.
Datuk
menyuruh lelaki yang mahu menikamnya dengan buluh runcing bangun. Begitu juga
dengan lelaki yang berbadan tegap. Kali ini saya lihat gerak-geri lelaki
bertiga itu kian bersopan dan menghormati Datuk. Mereka tidak berani memandang
wajah Datuk. Saya tidak tahu apakah perbuatan itu kerana malu atau kerana
mereka takut pada Datuk.
"Biar
aku jadi kepala jalan, kalau ada di antara kita berniat jahat, jangan marahkan
saya bila menerima padahnya”, Datuk mengingatkan lelaki bertiga. Mereka diam
dan tunduk.
"Untut,
kau jaga kami dan bawa kami ikut jalan selamat”, kata Datuk.
Harimau yang
berada beberapa ela di hadapan Datuk segera menghampiri Datuk dari rusuk
sebelah kiri. Harimau itu mencium badan Datuk dan menjilat tangan kiri Datuk
sebelum berlari ke depan semula. Kami terus mengekori harimau itu. Sebaik
sahaja sampai ke satu kawasan lapang harimau itu terus ghaib. Datuk berdiri di
kawasan lapang itu sambil merenung ke kiri dan ke kanan. Kiri kanan kawasan lapang
itu di tumbuhi oleh pokok -pokok buluh.
"Kita
dah sampai”, secara mendadak sahaja lelaki berbadan tegap bersuara.
Dia terus
berdiri dekat Datuk. Tiba-tiba kami terdengar kokok ayam hutan bertalu-talu.
Daun-daun buluh yang tua berguguran meskipun angin tidak bertiup ketika itu.
Saya merenung di bahagian kawasan lapang yang ditumbuhi pokok-pokok buluh.
Ternyata pokok-pokok buluh itu bersambung dengan kawasan hutan yang tebal
hingga ke kaki Gunung Titiwangsa.
"Mana
kolamnya?", Datuk menyoal lelaki berbadan tegap.
"Mari
kita ke hadapan lagi”, jawabnya.
Datuk pun
mengikutinya. Saya mula terasa sakit pada pergelangan kaki. Badan mula terasa
letih tetapi saya paksakan juga melangkah menuju ke tempat yang di cari.
"Disini”,
jerit lelaki berbadan tegap.
Dan saya
melihat sebuah kolam terbentang di hadapan mata dengan airnya yang cukup
jernih. Di permukaan kolam terdapat pokok teratai dan kiambang terapung-apung.
Anak-anak ikan yang melompat mencipta alun kecil yang menghempas pada batang
teratai. Suasana terasa nyaman dan sunyi sekali. Datuk segera memerintahkan
kami mencari tempat yang sesuai untuk tempat duduk. Datuk dan lelaki berbadan
tegap itu terus mengelilingi kolam tersebut. Sesekali saya terdengar suara
harimau mengaum yang memberikan keyakinan pada saya bahawa kami berada dalam
keadaan yang selamat.
Saya lihat
langit yang terbentang. Awan berselisih bersama pancaran matahari yang
membekalkan keadaan yang samar-samar di sekitar kawasan kolam.
"Pukul
berapa?", tanya saya pada salah seorang kenalan Datuk yang duduk dekat
saya. Orang itu segera melihat jam tangannya.
"Lagi
lima minit pukul enam setengah”, katanya.
"Kalau
di luar keadaan tak macam ini”
"Tentulah
kita sekarang berada di tengah hutan, pokok-pokok besar ini melindungi sinar
matahari”
"Betul
cakap awak tu”, tingkah saya.
Kami berbalas
senyum. Kawannya yang seorang lagi membakar ranting-ranting kayu untuk di buat
unggun. Asap yang datang dari unggun itu menghalau nyamuk dari menggigit kami.
Datuk dan lelaki tegap tu masih lagi mengelilingi kolam. Saya terus duduk
mencangkung macam Cina kalah judi. Saya masih memikirkan bagaimanakah rupa dan
bentuk burung belibis itu. Tanpa saya sedari, Datuk dan lelaki berbadan tegap
itu sudah berdiri di belakang saya. Datuk merenung ke tengah kolam macam
mencari sesuatu. Semua orang yang berada di situ diam tidak berkata melihat
keadaan Datuk.
"Di mana
hilangnya?", tanya Datuk pada lelaki berbadan tegap.
"Di
situ”, lelaki berbadan tegap itu menunjuk ke arah sebuah busut jantan yang
tidak jauh letaknya dari perdu buluh.
Datuk
anggukkan kepala. Datuk menggeliat dan menguap panjang, kemudian terus duduk
dekat perdu buluh. Datuk termenung panjang di situ. Suasana yang tenang dan
damai itu dipecahkan oleh bunyi suara azan. Kami berpandangan sesama sendiri.
Kami tidak tahu dari arah mana suara azan itu datang. Bila suara azan itu
ghaib, Datuk segera bangun menuju ke bibir kolam. Datuk benamkan tangan kirinya
ke dalam air kolam kira-kira dua tiga minit. Datuk buat tidak kisah tentang
suara azan yang didengarinya itu.
"Kalau
siapa nak mandi boleh mandi, tapi jangan pergi jauh”, ujar Datuk pada kami.
Dia terus
memacakkan buluh kuning yang di bawanya dalam kolam. Datuk terus basuh muka
sambil mulutnya bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Keadaan di sekitar kawasan
kolam bertukar dari samar-samar menjadi gelap. Bunyi burung-burung hutan mula
kedengaran tingkah meningkah antara satu sama lain. Datuk terus memandang ke
arah saya dan kawan-kawannya.
"Siapa
yang mahu mandi, silalah turun”, suara Datuk lembut.
Tidak ada
seorang pun yang mahu memberi jawapan atas pertanyaan Datuk itu, masing-masing
membatu dengan wajah cemas. Datuk pun beredar dari bibir kolam, berdiri dekat
unggun api.
"Kalau
mahu mandi, jangan lepas dari kawasan buluh yang aku pacakkan tu”, tambah Datuk
sambil membuka baju.
"Saya
tak mahu mandi”, tiba-tiba lelaki berbadan tegap bersuara.
Dan dua orang
lagi rakannya juga memberikan jawapan yang sama. Datuk tersenyum sambil membuka
seluar dan membelitkan kain basahan ke pinggangnya. Datuk terus terjun ke dalam
kolam. Setelah selesai mandi dan menyarungkan kain dan baju ke tubuhnya, Datuk
terus ambil air sembahyang. Bila melihat Datuk berbuat demikian kami terus
ambil air sembahyang.
Kami pun
sembahyang Maghrib dan Datuk jadi imamnya. Tidak ada sesuatu pun yang mengacau
kami ketika itu. Bila selesai memberi salam, saya lihat ada harimau duduk
tertungguk berhampiran perdu buluh. Bila Datuk selesai membaca doa, harimau
tersebut terus ghaib. Datuk tukar pakaian. Dia menyarungkan seluar dan baju hitam
ke tubuhnya. Datuk lilit kepalanya dengan kain merah dan mendongakkan kepalanya
ke langit, melihat langit dan awan kira-kira dua tiga saat.
"Kau
yakin tempat ini belibis turun?”, soal Datuk pada lelaki berbadan tegap.
Lelaki itu
anggukkan kepalanya. Datuk kerutkan kening, dia terasa sudah cukup lama
menanti, sedangkan belibis tidak juga turun bermain dalam kolam. Datuk terus
berpeluk tubuh sebentar. Sepasang matanya tertumpu kepada air kolam yang tenang
itu.
"Baiklah,
kita mulakan sekarang. Jangan ada di antara kamu menegur apa yang aku buat”,
Datuk mengeluarkan perintah dan dia terus duduk bersila.
Kami pun
segera mencari tempat duduk yang sesuai. Datuk terus menekan bumi dengan ibu
jari kiri. Tiga kali berturut-turut dia melakukan perkara itu. Kemudian Datuk
pun meletakkan kedua lengannya atas kepala lutut kiri dan kanan. Mulutnya
membaca sesuatu dan kedua belah matanya dirapatkan. Datuk menumpukan seluruh
pancainderanya ke alam ghaib. Anehnya, saya lihat Datuk berkali-kali
menggelengkan kepalanya dan berusaha dengan sedaya upayanya menyatukan seluruh
perasaannya dengan alam ghaib. Wajah Datuk terus berpeluh.
Suara burung
hantu mula kedengaran. Pokok-pokok buluh bergoyang dengan sendirinya macam
dilanda ribut besar. Bermacam jenis suara mula kedengaran. Ada suara orang
bertempik, ada suara orang membaca syair bersama paluan gendang. Bila suara itu
hilang, seekor ular sawa sebesar batang kelapa merayap di hadapan kami. Ular
sawa itu menuju ke arah Datuk lalu membuka mulutnya di belakang Datuk. Badan Datuk
bagaikan berada dalam rahang ular itu. Manakala bahagian badan ular pula
melingkari kawasan Datuk duduk, tetapi, Datuk tidak menghiraukan semuanya.
Kenalan Datuk
yang bertiga tidak dapat berkata apa-apa, wajah mereka pucat. Beberapa saat
kemudian ular itu ghaib. Air dalam kolam pula berkocak. Kemudian berhenti,
suasana kembali aman. Tidak ada sebarang keganjilan berlaku. Semuanya seperti
keadaan biasa. Datuk berhenti dari tugasnya. Datuk nampak resah sekali,
wajahnya yang di mandi peluh nampak merah. Saya terus menyuruh lelaki berbadan
tegap menyalakan lampu gasolin. Tergesa-gesa dia membuka bungkusan yang di
bawanya. Dia keluarkan lampu gasolin dan minyak tanah lalu memasangnya. Cahaya
gasolin menerangi seluruh kawasan tanah lapang. Datuk menggaru pangkal kening
kirinya berkali-kali. Sesekali dia merenung ke arah busut jantan.
"Susah.
Dia sudah tidak bernyawa lagi”, keluh Datuk.