Mengusung Iblis Tengah Malam
Subuh itu,
sesudah menunaikan sembahyang subuh dan mandi air embun, Datuk terus mendukung
Razman ke bawah pokok asam kumbang. Kaki Razman diikat dengan tali sabut ke
sebatang anak pokok. Datuk membiarkan sinar matahari pagi yang cemerlang
menikam kulit badan Razman.
"Mail,
biarlah aku dengan di cemani oleh Tamar selesaikan kerja ni. Kau tak usah
tengok, nanti kau takut. Aku minta kau pergi ke masjid dan baca Al-Quran di
samping berdoa pada Allah supaya sakit anak kau sembuh”
"Baiklah,
tapi awak tak minum lagi?"
"Aku
terpaksa berpuasa waktu menjalankan kerja ini. Tamar juga begitu”
"Pelik
juga sakit anak saya ni”
"Inilah
dunia. Banyak manusia jadi korban syaitan dan iblis semata-mata kerana nafsu
jahat. Anak kau salah seorang daripadanya”
Saya lihat
mulut Mail yang berbadan melengkung itu terlopong. Tanpa banyak bicara dia
meninggalkan kami. Datuk sudah pun mengenakan pakaian serba hitam. Dia duduk
bersila tidak jauh dari tempat Razman terbaring. Datuk minta saya menumpahkan
darah ayam dalam cawan di hujung lututnya. Saya lakukan. Datuk pun mula
bertafakur. Matanya terpejam rapat.
Kedua belah
tangannya memeluk dada erat-erat. Matahari pagi memancar dengan cantik sekali.
Tiba-tiba Razman menggeliat macam orang baru bangun tidur. Dia tersenyum dan
duduk bersila macam Datuk. Datuk petik ibu jari kaki kiri tiga kali
berturut-turut. Saya terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran dan Surah
An-Nisa’. ltu pesan Datuk yang saya mesti patuhi. Tiba-tiba dari tompokan darah
ayam di hujung lutut Datuk menjelma seekor ayam jantan putih. Terus berkokok
dengan nyaring. Ayam jantan itu segera menuju kepada Razman.
Dan Razman
membelai-belai badan ayam sambil memerintahkan ayam jantan itu berjalan ke sana
ke sini. Apa yang dikatakan oleh Razman, diikuti oleh ayam itu. Datuk
meluruskan tangan kirinya ke depan. Manakala tapak tangan kanannya melurut
lengan kirinya dari pangkal hingga ke hujung perlahan-lahan. Bila urutan itu
sampai ke hujung jari, ayam jantan yang mengikut perintah Razman hilang. Razman
terlompat-lompat dan menjerit. Dia marah kerana Datuk menghilangkan ayam jantan
putihnya.
Mujurlah tali
sabut yang mengikat kakinya kuat. Ikatan yang Datuk lakukan ini bukan sebarang
ikatan. Ikat bersyarat dan berpetua. Kalau tidak pasti putus, kerana tenaga
Razman ketika itu cukup luar biasa.
Semua
anak-anak pokok getah, halba dan pokok janggut keli sekitarnya dicabut dengan
mudah. Perkara yang nyata memang ada perlawanan kebatinan antara Datuk dengan
kuasa tertentu yang melindungi Razman.
Buktinya,
muka Datuk berpeluh. Urat-urat tangannya timbul, kedua belah bahunya bergerak
macam menarik sesuatu dari direbut oleh pihak lain. Akhirinya Razman lemah
sendiri. Terbaring atas tanah. Datuk bertafakur lagi. Dalam sinar matahari yang
mula keras itu, tiba-tiba menjelma bapak kambing hitam meluru ke arah Razman.
Kambing
jantan mencium dahi Razman dan Razman pun bangun lalu menepuk--nepuk belakang
kambing hitam. Melihat keadaan yang ganjil itu, Datuk jadi resah. Datuk
menggenggam kedua belah tangannya dan di lapis dua. Genggam tangan kiri sebelah
atas, genggam tangan kanan sebelah bawah, macam budak-budak main tum-tum bak.
Dia rapatkan mata. Dia bangun perlahan-lahan dan berdiri sebelah kaki.
Kaki kanannya
dibengkokkan. Bila kaki kanannya diluruskan dan dihentakkan ke bumi sekuat
hati, kambing jantan yang menjelma secara tiba-tiba mengembek sekuat hati,
macam kena curahan air panas dan terus hilang. Razman rebah kembali. Matahari
kian meninggi. Datuk merenung ke perdu pokok asam kumbang yang berdaun lebat.
Badan saya mula berpeluh terutama di pangkal kedua belah ketiak. Perut mula
terasa dimasuki angin, akibatnya saya sendawa bertalu-talu. Panas pagi itu
memang lain macam rasanya, kulit muka terasa cukup pedih.
Datuk
mengalih pandangannya dari perdu pokok asam kumbang ke arah rumpun lalang di
sebelah barat daya secara perlahan-lahan. Tapak tangan kirinya menekan pangkal
dada kiri dan melurut ke bawah perlahan-lahan. Bila pandangannya sampai kepada
matlamat, tangan kirinya lurus ke bawah. Tetapi, jari telunjuknya menekan
pangkal belikat. Mulutnya saya lihat bergerak-gerak, macam membaca sesuatu.
Lama juga Datuk merenung perdu lalang yang tumbuh liar itu.
"Kita
bawa Razman segera balik”, kata Datuk.
Bila Datuk
memegang pangkal tangannya, Razman segera menggelupur. menendang dan menumbuk
Datuk. Datuk menepis dengan cepat. Tetapi tendangan Razman dari sebelah kiri
tidak dapat dielakkan.
Datuk tersungkur.
Mukanya tersembam ke bumi. Saya lihat kekuatan Razman memang luar biasa.
Pergerakannya cukup tangkas macam orang sihat. Razman mula menerkam dan mahu
memijak belakang Datuk. Cepat-cepat Datuk melarikan badannya ke kiri hingga
keluar dari bawah bayang-bayang pohon asam kumbang. Razman tidak dapat melepasi
bayang-bayang pokok asam kumbang. Bila dia terkeluar dari kawasan bayang-bayang
itu tenaganya jadi lemah. Datuk menyedari tentang hal itu.
"Carikan
aku batang tepus”, pekik Datuk pada saya.
Saya toleh ke
kiri, toleh ke kanan. Batang tepus tidak juga saya nampak.
"Cari
sebelah matahari jatuh. Tak jauh dari pokok talang”, suara Datuk cukup lantang.
Perintahnya
saya akur. Memang betul cakap Datuk. Batang tepus saya temui berdekatan dengan
pokok talang berbatang licin. Saya cabut sebatang dan berlari ke arah Datuk
lalu menyerahkan batang itu padanya. Datuk mara lalu memukul bertalu-talu pada
badan Razman. Saya lihat Razman menjerit dan terlompat-lompat bila batang
tepus menjamah tubuhnya. Akhirnya, Datuk hentak pangkal sikunya dengan sekuat
hati ke pangkal bahu Razman. Razman melayang rebah ke bumi. Saya kira tulang
bahunya pasti patah dua. Razman tergolek macam ayam kena langgar lori tentera.
Datuk gosok
bahagian bahu Razman yang dihentakkan dengan pangkal sikunya. Kemudian Datuk
gerakkan tangan Razman berkali-kali. Urut lagi dua kali dan gerakkan ke kiri
dan ke kanan. Datuk tepuk bumi dan dada Razman. Saya lihat Razman bergerak ke
kiri dan ke kanan. Datuk menghampiri saya.
"Tangannya
yang patah sudah aku betulkan atas izin Allah. Sekarang kita bawa dia pulang”,
kata Datuk.
Dia pun
memikul batang tubuh Razman. Saya mengekor dari belakang dan saya terasa macam
ada bayang-bayang orang memburu saya. Rumput kiri kanan saya lihat macam
dipijak orang dalam sinar matahari yang keras.
Anehnya, saya
tidak nampak apa-apa. Tiba-tiba saya rasa bahu kanan bagaikan ditampar orang.
Pedihnya bukan kepalang. Saya terus melangkah, peluh terus meleleh di dahi dan
mengalir ke pangkal dagu. Kulit muka terasa pedih dan gatal-gatal. Dalam hati
saya terus membaca Surah An-Nas dengan tenang. Gangguan itu tidak berlaku lagi
pada diri saya.
Bila sampai
di rumah, Datuk pun meletakkan Razman di tempatnya. Saya lihat jam di dinding
rumah sudah pukul sebelas pagi. Dari tingkap rumah Mail, saya melihat kemuncak
Bukit Larut yang berkabus tebal. Datuk bersandar pada tiang seri. Lima belas
minit kemudian Mail pun pulang. Tidak banyak yang ditanya oleh Mail terhadap
kerja-kerja yang dilakukan oleh Datuk. Mail terus masuk ke biliknya untuk
menghisap rokok. Dia tahu Datuk berpuasa hari itu. Mail tahu, tidak manis
menghisap atau makan di depan orang yang berpuasa. Mail keluar, duduk bersila
di depan Datuk.
Datuk masih
lagi termenung panjang. Perhatiannya tidak tertumpu apa yang berlaku di
depannya. Datuk bagaikan berada di dunia lain. Saya tahu bagaimana mahu
menyedarkan Datuk supaya kembali dalam keadaan biasa.
Saya pun
melipat bucu tikar mengkuang dan menindihnya dengan lutut. Saya gigit kuku jari
kanan sekuat hati sambil pura-pura batuk. Apa yang saya lakukan berhasil
menyedarkan Datuk. Petua yang saya jalankan itu saya peroleh dari Datuk juga.
Harus digunakan dalam keadaan yang tertentu mengikut hari dan bulan Islam di
samping memperhitungkan masa.
"Mail”,
Datuk bersuara sambil merenung wajah Mail. “Ada tak kejadian-kejadian aneh
berlaku di pokok asam kumbang tempat anak kau suka pergi tu?", tambah
Datuk.
Mail luruskan
kaki kanan. Datuk tarik nafas panjang. Mata saya terus merenung apa yang ada
dalam ruang rumah. Rasa panas bertambah kurang kerana angin yang bertiup di
luar masuk ke ruang rumah menerusi tingkap dan pintu yang terdedah.
"Ada”,
jawab Mail.
"Apa
dia?"
"Di
bawah pokok asam kumbang itu dulu tempat orang mati bertembak"
"Siapa
menembaknya Mail?"
"Penjahat
itu berbalas tembak dengan pihak polis”
"Siapa
namanya Mail?"
"Din
Taiwan”
"Waktu
matinya petang atau tengah malam?"
"Tengahari,
kata orang waktu rembang lebih kurang pukul dua belas tengahari”
Datuk
menggigit lidah mendengar keterangan dari Mail itu. Dan Mail memberitahu Datuk
bahawa Din Taiwan masa hidupnya memang terkenal sebagai kaki rompak yang
handal. Namanya amat ditakuti oleh penduduk sekitar Daerah Larut. Sikapnya
tidak ubah macam kata orang tua-tua, beraja di mata, bersultan di hati.
"Kaki
botol, kaki rogol. Dia memang pelesit”, keluh Mail.
Datuk
tersenyum. Saya memperkemaskan sila. Mail merenung wajah Datuk yang kelihatan
tenang. Perut saya mula terasa pedih dan lapar. Bau sambal tumis petai membuat
saya bertambah lapar lagi. Dalam kepala saya membayangkan betapa enaknya
keluarga Mail makan tengahari nanti. Kalaulah saya tidak berpuasa, dua pinggan
nasi tentu habis saya telan.
"Kata
orang dia banyak ilmu”, tambah Mail.
"Ilmu
untuk dunia tanpa ilmu akhirat selalunya membuat manusia sesat”
"Betul.
Cuma yang anehnya bila dia dibawa ke hospital dan pada sebelah petangnya saya
pergi ke tempat itu, saya lihat kesan-kesan darah Din Taiwan di tanah hilang,
macam ada orang yang mengambilnya”
Datuk
terkejut mendengar cerita dari Mail. Muka Mail saya renung. Datuk bangun,
berdiri di muka tingkap merenung ke luar. Dia tidak berkata walau sepatah pun.
Datuk macam memikirkan sesuatu. Datuk terus melangkah ke anjung rumah dan
tidur.
Datuk bangun
bila waktu Zuhur tiba dan terus sembahyang. Sementara menanti masuk waktu Asar,
Datuk terus membaca Al-Quran. Lepas sembahyang Asar Datuk dan saya pergi lagi
ke bawah pokok asam kumbang. Dalam jarak dua puluh kaki dari pokok itu, Datuk
membentangkan sehelai kain pelikat dan kami duduk di atasnya. Matahari sudah
condong, sinarnya tidak sekeras tadi.
"Jangan
tegur apa yang kau lihat”, bisik Datuk kepada saya sambil menyelitkan sehelai
daun lalang ke telinga kiri saya.
Datuk juga
menyelitkan daun lalang ke telinganya. Saya terasa keadaan keliling terlalu
sepi. Dunia bagaikan tidak ada penghuninya.
"Tumpukan
seluruh pancaindera kamu Tamar pada alam lain”, saya terdengar sayup-sayup
suara Datuk.
Dan saya
terasa badan bagaikan berada di awang-awangan sebentar. Hujung baju Datuk saya
pegang erat-erat.
"Buka
mata kamu Tamar”, Datuk memerintah.
Cakapnya saya
patuhi. Mata saya tertumpu pada pangkal pokok asam kumbang. Saya terlihat
seorang lelaki jatuh berlumuran darah. Lelaki itu hilang dan saya lihat batang
tubuh Datuk terbongkok-bongkok mengambil tanah yang ada kesan darah dari lelaki
itu. Datuk juga turut hilang. Dalam keadaan separuh sedar itu, saya terasa paha
saya ditampar oleh Datuk. Saya toleh ke arahnya. Datuk tersenyum daun lalang
yang berada di celah telinga saya sudah pun berada di tangan Datuk.
"Sekarang
sudah tahu puncanya dengan izin Allah sakit Razman boleh diubati tetapi dia
harus memulangkan barang yang diambilnya kepada orang yang berhak”, beritahu
Datuk pada saya.
Matahari kian
condong. Datuk masih lagi belum mahu bergerak dari tempat duduknya. Dia memberitahu
saya, bahawa saya dan dirinya harus berada di situ hingga remang-remang senja.
Menurut Datuk diri saya dan dirinya tidak dapat dilihat oleh sesiapa. Bagi
Datuk duduk di situ tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ada saja kerja
yang di buatnya. Mulutnya sentiasa terkumat-kamit dan anggota badannya yang
lain juga selalu bergerak-gerak.
Bila hari
sudah remang-remang senja, Datuk pun menghentakkan kakinya ke bumi. Seluruh
kawasan itu berbau harum. Saya terpandangkan bayang orang perempuan yang tidak
begitu jelas duduk bersimpuh di hadapan Datuk.
Tetapi
melihat gaya penempaan itu duduk dan cara dia bertudung, saya yakin perempuan
itu adalah isteri muda Datuk iaitu, orang bunian. Perempuan itu bercakap
dengan Datuk. Saya tidak dapat menangkap dengan jelas apa yang diperkatakan
oleh Datuk dengan perempuan itu. Dengan sekelip mata perempuan itu hilang.
Bekas tempat perempuan itu duduk terdapat tiga longgok tanah yang berdarah.
Datuk terus berpeluk tubuh. Matanya merenung lurus ke depan. Dia menarik nafas.
Datuk
hulurkan kaki kiri ke arah ketiga-tiga longgok tanah yang berdarah. Bila
kakinya dilipatkan kembali seperti asal, saya lihat dari tanah longgok pertama
keluar ayam jantan putih. Dari longgok kedua keluar kambing dan dari longgok
ketiga terdampar mayat lelaki. Kerana longgok tanah yang berdarah sederet,
semua jenis makhluk yang keluar darinya beratur sederet.
Remang-remang
senja bertambah hitam. Angin mula menampar-nampar dedaun asam kumbang. Bunyi
desiran angin itu cukup kuat bersama titik gerimis yang sambung menyambung.
Saya terasa cukup seram. Ada bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Ada suara
orang minta tolong. Ada suara ayam berkokok, ada suara kambing mengembek. Akhir
sekali saya terdengar suara orang lelaki memuja sesuatu, suara itu macam suara
Razman. Datuk menamparkan tapak tangan kanan ke tapak tangan kiri, serentak
dengan itu, saya lihat batang tubuh Razman berdiri bagaikan bayang-bayang dalam
warna senja yang kian beransur gelap. Ketiga-tiga makhluk yang terdampar di
hadapan Datuk bergerak dan menuju ke arah Razman lalu hilang meresap ke dalam
tubuhnya.
Bayang-bayang
Razman hilang lalu diganti dengan suara perempuan menggilai di atas pucuk pokok
asam kumbang. Suara perempuan menggilai itu cukup nyaring dan akhiarnya, pokok
asam kumbang bergegar macam di goncang oleh sesuatu. Buah-buah asam kumbang
yang muda berguguran atas bumi Suasana menjadi seram. Angin terus bertiup dan
suara gagak mula kedengaran.
Macam-macam
lembaga yang amat menakutkan wujud di hadapan saya dan Datuk. Tetapi Datuk
tidak menampakkan rasa takut atau bimbang. Dia bagaikan yakin apa yang
dikerjakannya akan berjaya. Datuk terus membaca Surah Al-Kursi dengan tenang
dan teratur. Bila semuanya sudah selesai dibaca, Datuk bangun lalu
menghentakkan tumit kaki kirinya ke bumi. Semua yang ada di hadapan hilang
terus.
"Syaitan”,
kata Datuk lalu mengajak saya pulang.
Dalam
perjalanan pulang itu Datuk memberitahu saya, bahawa Razman telah memuja darah
orang mati dibunuh untuk sesuatu maksud yang jahat. Tetapi dia tidak dapat
menunaikan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syaitan untuk
dilaksanakannya. Akibatnya dia jatuh sakit dan ilmu salah yang dituntutnya itu
memakan dirinya sendiri. Razman menguji ilmunya dengan darah ayam dan kambing.
Ternyata ilmunya itu berjaya. Ayam dan kambing jelmaan yang didampingi oleh
syaitan akan mengikut semua perintahnya. Kemudian Razman mengambil darah orang
mati di bunuh di bawah pokok asam kumbang. Darah orang mati di bunuh itu dipuja
dengan menggunakan beberapa kelengkapan tertentu di bawah pokok tersebut.
"Darah
orang mati dibunuh tu dipuja waktu bunga senja”, ujar Datuk pada saya dengan
tenang.
Saya anggukan
kepala dalam langkah senja yang kian gelap. Tetapi langit kelihatan bersih dan
cerah.
"Darah
tu dipuja tujuh Jumaat. Orang yang melakukan pemujaan tu bersemadi menghadapi
arah matahari naik dan arah angin tanpa memakai pakaian kecuali cawat untuk
menutup bahagian kemaluan”, beritahu Datuk lagi.
Saya mula
terasa cemas tidak tentu fasal. Langkah saya percepatkan. Datuk terus juga
bercakap menerangkan apa yang dia tahu pada saya. Datuk yakin yang Razman
berguru pada orang yang tahu tentang kerja-kerja maksiat ini. Dan orang tempat
dia berguru itu belajar separuh jalan saja.
"Sayang,
orang tempat dia berguru itu hanya mencari yang jahat untuk tujuan yang jahat”,
keluh Datuk.
"Maksud
Datuk?", saya memotong cakapnya.
"Dia
menuntut untuk niat jahat, bagi merosakkan sesama manusia. Kerana itu dia tidak
menuntut bagaimana mahu menghancurkan perbuatan sendiri”, jelas Datuk lagi.
Saya diam dan
tidak mahu menyoal Datuk lagi. Akhirnya, kami sampai ke kaki tangga rumah Mail.
Ketika Datuk selesai membasuh kaki dan memijak anak tangga pertama, suara Azan
mula kedengaran. Saya cukup gembira kerana tempoh menahan lapar dan dahaga
sudah berakhir. Bila berada dalam rumah hati saya bertambah lapang. Sudah ada
makanan yang tersedia untuk saya dan Datuk. Mail lalu mempersilakan kami
menjamah hidangan. Datuk hanya minum segelas air sejuk dan sebiji pisang. Lepas
itu dia terus sembahyang. Saya juga berbuat demikian dengan harapan selesai
Datuk sembahyang, dia akan makan kembali.
Harapan saya
tidak dipenuhi. Lepas sembahyang Datuk terus berwirid panjang dan membaca Surah
Yasin tujuh kali hingga masuk ke waktu Isyak. Bila Datuk selesai sembahyang Isyak
barulah dia menghadapi hidangan.
Datuk cuma
makan tujuh jemput nasi dan minum separuh air sejuk. Tetapi, saya terus makan
dengan semahu-mahunya. Datuk tidak menegur perbuatan saya itu. Kerana saya
makan terlalu banyak, saya merasa agak sukar mahu bernafas dan bergerak. Saya
tersandar di dinding dan perut kelihatan agak buncit, macam perut bantal. Datuk
menghampiri saya.
"Makan
terlalu berlebihan tidak elok. Makan cara itu berkawan dengan iblis kerana
terlalu mengikut nafsu”, bisik Datuk ke telinga saya. Saya tidak dapat berkata
apa-apa. Saya cuma tersenyum sinis.
"Cuba
jangan malukan aku”, tambahnya.
Datuk terus
menuju ke tempat Razman. Datuk duduk bersimpuh di hadapan Razman. Datuk serkup
muka Razman dengan kain hitam. Dengan hati-hati Datuk menekan buku lali kaki
Razman sebelah kiri. Badan Razman bergerak dan Datuk memanggil Mail supaya
duduk dekatnya. Mail datang. Datuk mengeluarkan sebatang rotan seni dari bawah
pahanya. Saya tidak tahu dari mana Datuk memperolehi rotan tersebut. Datuk urut
batang rotan itu tujuh kali ke atas dan tujuh kali ke bawah. Razman secara
mendadak bangun dan Datuk dengan cepatnya pula meletakkan hujung rotan itu ke
atas kain hitam.
Saya lihat
Razman tidak mampu bangun. Hujung rotan itu bagaikan ada batu besar yang tidak
terdaya ditolak oleh Razman, sedangkan Datuk memegang pangkal rotan itu dengan
dua jari saja. Dalam sekelip mata saja warna rotan bertukar menjadi hitam. Muka
Datuk berpeluh. Datuk tarik rotan itu dan letakkan kembali d bawah pahanya.
"Anak
kamu Mail sudah teruk benar. Susah nak menghilangkan ilmu yang sudah sebati
satu badan"
"Saya
minta tolong ikhtiarkan. Dialah satu-satunya anak jantan saya”
"Saya
boleh cuba”
Muka Mail
kelihatan tenang mendengar janji Datuk itu. Datuk meninggalkan Razman di
tempatnya. Datuk ajak Mail pergi ke anjung rumah. Mereka duduk di situ. Saya
malas mahu mengikut mereka. Saya rasa lebih selesa duduk bersandar di dinding.
Saya terus terlelap dan terjaga bila terasa bahu sebelah kanan ditendang orang.
Saya buka mata, saya lihat ada lelaki berbaju dan berseluar hitam berdiri di
hujung kaki Razman. Dada saya berdebar, bila saya lihat Razman duduk bersila
macam orang sihat dan lelaki yang berdiri itu terus sujud di kaki Razman.
"Sudah
kau jalankan perintah aku?", saya terdengar suara Razman.
"Belum”,
jawab lelaki itu tunduk.
"Kenapa
kau tak ikut perintah aku?"
"Upahnya
belum saya dapat”
"Kerana
itu kau seksa aku begini?”
"Bila
saya dapat minum darah perempuan beranak sulung malam Jumaat, semuanya akan
selesai, saya tidak akan menghisap darah awak lagi”
"Aku
dalam bahaya. Ada orang yang mahu memisahkan kau dengan aku. Tahu?"
"Darah
dan roh awak sudah sebati dengan saya. Awak yang memuja saya, tidak ada orang
yang boleh menewaskan saya. Saya dahaga saya mahu minum”
Sebaik saja
lelaki itu berhenti bercakap, saya lihat dia memegang pergelangan kaki kanan
Razman. Dia terus menggigit ibu jari kaki Razman. Suara Razman bergema
menguasai ruang rumah sambil melompat. Datuk segera datang kepada Razman,
batang tubuh lelaki itu hilang. Cuma yang kelihatan kepulan asap nipis masuk ke
lubang hidung Razman bila dia menarik nafas. Semua yang saya lihat, saya
ceritakan pada Datuk. Tanpa membuang masa lagi Datuk pun membuka bajunya lalu
diserkupkan ke bahagian dada Razman. Muka Razman Datuk serkup dengan kain
merah. Rotan seni Datuk letakkan melintang di atas dada Razman.
"Biarkan
barang-barang itu di situ. Kau tunggu di sini, kalau ada apa-apa beritahu aku
di anjung”, Datuk meninggalkan satu pesan yang amat berat buat saya.
Sebelum Datuk
beredar dia menyuruh saya membaca Surah Al-Ikhlas seberapa banyak yang boleh
hingga saya terlelap.
Mail masuk ke
dalam bilik tidur. Selama berada di rumahnya saya cukup sukar mahu melihat
wajah isterinya. Suara isterinya juga jarang kedengaran memarahi anak-anaknya
yang nakal. Saya terlelap dan Datuk tidur di anjung rumah. Lebih kurang pukul
tiga pagi, saya tersedar dari tidur. Saya lihat Datuk sedang melakukan
sembahyang Tahajud. Kemudian dia melakukan pula sembahyang Istikharah. Datuk
tidur kembali.
Saya merasa
senang hati kerana tidak ada kejadian aneh yang berlaku di hadapan saya. Dengan
dada yang lapang saya menyambung kembali tidur yang terputus. Setelah
menunaikan sembahyang subuh bersama Datuk dan Mail, saya terus berubah tempat.
Duduk di anjung rumah dekat kepala lutut Datuk yang sedang membaca Surah Yasin.
"Aku
rasa dengan izin Allah aku dapat melawan perbuatan jahat itu. Aku mesti
menjalankannya dengan sebaik-baiknya. Niat aku bukan apa-apa, aku mahu
mengembalikan budak itu ke jalan benar”, demikian Datuk memberitahu saya. Datuk
juga sudah menyiapkan beberapa rancangan yang akan dilakukannya selepas dia
mandi embun.
Ketika
matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, Datuk sudah pun selesai mandi
embun. Dia kembali menghadap Razman, semua perkakas yang di letakkan atas tubuh
Razman diambilnya. Datuk meneliti rotan seni yang panjang dua kaki itu dengan
rapi sekali. Tidak ada sebarang perubahan pada rotan tersebut. Datuk ambil air
dari tempayan dapur lalu membasuh muka Razman.
"Razman
bangun nak, bangun", suara Datuk tenang di hadapan saya dan Mail.
Rotan seni di
tangan terus Datuk bengkokkan. Bila rotan itu diluruskan Razman pun bangun dan
duduk, macam orang sihat dan terus minta makanan. Datuk berbisik dengan Mail.
Dua tiga kali Mail anggukkan kepala, kemudian terus ke bahagian dapur. Mail
datang kembali membawa secawan kopi dan dua ketul lepat pisang. Barang-barang
itu Datuk ambil. Air kopi Datuk campurkan dengan air dari tempayan. Lepat
pisang Datuk tikam dengan hujung rotan. Kemudian barang-barang itu Datuk
serahkan pada Razman.
Bila Razman
mahu menghirup air kopi, cawan yang dipegangnya pecah. Bila dia mahu makan
lepat pisang, lepat pisang itu terbang macam ada orang yang menyentapnya. Datuk
terus bertafakur. Tanpa saya duga secara mendadak Razman bangun dan menendang
ke arah badan Datuk. Dua tiga kali dia menendang tetapi badan Datuk tidak
bergerak. Datuk membengkokkan jari telunjuknya. Razman rebah. Datuk saya lihat
mengisut ke depan lalu membaca Surah Yasin dengan nyaring. Bacaan itu diikuti
oleh Razman, tetapi, bila sampai pada ayat-ayat terakhir suara Razman tidak
kedengaran.
Razman terus
rebah. Datuk bangun dan membiarkan Razman terkapar di situ. Datuk lalu minta
Mail mengorek lubang separas dada dekat pokok asam kumbang. Permintaan itu
dilaksanakan oleh Mail. Bila lubang itu sudah dikorek, Datuk terus masuk ke
dalamnya. Dia minta Mail pulang ke rumah. Tinggallah saya dengan Datuk dan
Datuk minta saya menimbus separuh badannya dengan tanah. Datuk minta saya
mencarikan beberapa helai daun lalang kering. Daun lalang kering yang sudah
saya peroleh itu, saya letakkan di hadapannya. Kerana pancaran matahari cukup
terik membuat separuh badan Datuk yang tidak ditimbus oleh tanah berpeluh.
"Bakar
lalang tu”, perintah Datuk.
Saya terus
patuh. Bila api membakar lalang kering, saya terasa cukup panas. Angin yang
bertiup membawa lalang yang terbakar ke arah Datuk. Dalam sekelip mata saja
saya tidak dapat melihat separuh daripada badan Datuk, hilang dalam kemarakan
api. Saya lihat rambut dan muka Datuk terbakar. Saya kira ini satu kerja gila.
Kenapa Datuk mesti melakukan kerja yang tidak akan dilakukan oleh manusia yang
berfikiran waras? Apakah Datuk juga mendampingi dirinya dengan syaitan? Ini
kerja mengarut, fikir saya sambil menutup kedua belah mata dengan tapak tangan.
Tidak sanggup saya melihat Datuk dalam keadaan demikian.
"Aku
tidak berdampingan dengan syaitan Tamar, apa yang aku lakukan ini adalah
sebahagian dari kerja aku yang aku warisi dari guruku yang tidak bertentangan
dengan ajaran Islam. Ini sebenarnya sebahagian dari ujian dan ketahanan diri,
demi keyakinan aku yang bersandarkan pada kuasa Allah”, tiba-tiba saya
mendengar suara Datuk.
Dia berdiri
di kanan saya. Baju dan anggota badannya tidak pun rosak. Paling melucukan
Datuk sendiri melihat tempat dia kena timbus tadi penuh dengan api. Datuk
meminta saya menyimpan rahsia aneh itu dari pengetahuan Mail dan orang lain.
Segala apa yang terjadi tadi adalah untuk diri saya dan dirinya saja.
Kami kembali
ke rumah Mail. Datuk membuat beberapa persiapan terakhir. Dia mencari sendiri
beberapa jenis akar kayu, daun dan beberapa ketul batu hitam yang diambil dari
bekas lombong. Semua barang-barang itu Datuk kumpulkan dalam kain hitamnya.
Dari waktu Zuhur membawa ke waktu Isyak Datuk terus membaca Al-Quran. Dia
berhenti bila sampai waktu sembahyang. Walau macam mana susahnya, Datuk tetap
meneruskan puasanya. Dia berbuka puasa dengan segelas air saja. Dan saya juga
diperintahkan mengikut apa yang dilakukannya. Kerana saya suka dengan tugas
Datuk yang mencabar itu, pahit maung dan susah saya harungi dengan harapan
perkara-perkara aneh itu akan menjadi khazanah pengalaman yang berharga pada
diri saya.
Lebih kurang
pukul dua pagi, Datuk dan saya memikul batang tubuh Razman keluar dari rumah
tanpa diketahui oleh keluarga Razman. Tempat yang kami tuju ialah ke perdu
pokok asam kumbang. Datuk masukkan separuh badan Razman ke dalam lubang tempat
Datuk membakar diri pada sebelah siang tadi. Badan Razman kami timbus dengan
tanah. Datuk pun membakar semua barang-barang yang dibungkusnya dalam kain
hitam. Api menyala dengan garangnya, memakan barang-barang itu. Api menjulang
ke atas, macam disimbah dengan minyak petrol.
Razman
menjerit dengan sekuat hati. Datuk memadamkan api itu dengan sekali hembus.
Bila api padam, semua barang-barang dalam kain hitam tidak terjejas. Datuk
mengambil seketul batu hitam lalu ditanamkan ke dalam tanah dengan ibu jari
kakinya. Dalam masa itu juga bermacam binatang buas muncul di hadapan Datuk dan
saya.
Ada harimau,
ada ular dan macam-macam lagi. Semua binatang buas itu hilang bila Datuk
menepuk tangannya.
Akhirnya,
muncul seorang lelaki dari sebelah kiri Razman, bentuknya macam bayang-bayang
lalu bersatu dengan diri Razman. Dengan menggunakan jari kaki juga, Datuk
cungkil batu hitam yang tertanam. Batu itu Datuk ambil lalu digenggamnya
erat-erat. Dari celah-celah lurah jarinya keluar asap. Datuk buka tangannya
sebentar. Batu hitam sudah menjadi bara yang merah saga. Datuk genggam kembali.
Datuk mencampakkan kain hitamnya pada saya.
"Bakar”,
katanya.
Saya pun
bakar kain hitam. Cahaya api dari kain hitam itu menerangi seluruh kawasan yang
gelap. Sebenarnya kain hitam tidak terbakar, sekadar mengeluarkan cahaya
seperti lilin yang terbakar. Saya lihat muka Datuk bersih benar malam itu. Dia
duduk bersimpuh merenung muka Razman.
"Kau
siapa?", tanya Datuk.
"Din
Taiwan”
"Kenapa
kau mengacau orang lain?”
"Dia
memuja aku untuk tujuan tertentu”
"Sebab?"
"Dia
suruh aku bawa gadis bernama Mariam padanya”
"Sudah
kau buat?”
"Belum
lagi”
"Sebab?"
"Dia
belum beri aku darah perempuan beranak sulung”
Percakapan
yang terjadi antara Datuk dengan Razman berhenti. Datuk lalu melontar dua urat
akar kayu ke arah Razman. Razman menjerit dan meminta Datuk jangan mengulangi
perbuatannya itu. Datuk setuju dengan syarat Razman harus bercerita
asal-usulnya. Permintaan itu dipersetujui oleh Razman. Sebenarnya bukan Razman
yang bercakap ketika itu, orang yang dilawan oleh Datuk bercakap itu ialah Din
Taiwan.