Ilmu Raja Kelawar
Datuk pun
mengeluarkan perintah pendek buat saya.
"Jangan
memancing di kolam waktu bunga senja. Kalau kau bantah, aku patah-patahkan leher
kamu”, begitulah Datuk, dalam perintah yang lembut terselit satu ugutan yang
amat menakutkan.
"Faham!"
sergahnya.
"Faham
tok!"
Ternyata
pengakuan saya itu tidak dapat menenangkan perasaannya. Datuk tidak putus-putus
menyatakan kesalnya pada nenek terhadap perbuatan saya itu. Tetapi, nenek tetap
memberitahu Datuk apa yang saya lakukan itu terjadi secara tidak sengaja.
"Barang
kali mereka mahu menguji sejauh mana kekuatan ilmu yang aku tuntut”, Datuk
mengeluh sambil memperkemaskan silanya, menghadapi hidangan makan malam.
"Usah
ingatkan kisah tu”, ujar nenek sambil menghulurkan mangkuk nasi pada saya. Nasi
pun saya masukkan ke dalam pinggan. Nenek hulur pula mangkuk nasi pada Datuk.
Bila makan malam selesai, saya tersandar di dinding. Nenek terus membasuh
pinggan mangkuk di dapur. Datuk mengambil daun sirih dari tepak. Kemudian,
Datuk menyuruh saya mengambil daun serunai laut dan kapur di ruang tengah.
Perintah itu
saya ikuti. Daun sirih dan serunai laut Datuk campurkan dengan kapur.
Ketiga-tiga benda itu Datuk hancurkan dengan tapak tangan. Akhirnya di
rendamkan dalam cawan beberapa saat. Datuk pisahkan daun sirih, daun serunai
laut dan kapur dari air di dalam cawan dengan menggunakan penapis yang halus.
Sebelum air itu diminum, saya lihat Datuk membaca sesuatu.
"Ini
ubat yang baik”, katanya sambil merebahkan badan atas lantai.
Saya terus
masuk ke dalam bilik, saya melihat dan membaca beberapa kitab tua tentang
perubatan tradisional yang ditulis dalam tulisan jawi. Ada beberapa perkataan
Jawa Kuno yang tidak saya faham, saya akan bertanya pada Datuk dan dia akan
memberikan makna perkataan itu pada saya hingga faham. Memang, ubat yang dibuat
oleh Datuk cukup berkesan untuk dirinya. Batuk Datuk beransur kurang. Menjelang
pukul dua belas malam,batuk Datuk tidak kedengaran lagi. Cuma yang saya dengar
bunyi dengkurnya tidak putus-putus.
Saya
terdengar kokok ayam bertalu-talu. Mata saya masih segar. Tidak ada rasa
mengatuk. Dua buah kitab lama sudah selesai saya baca. Badan mula terasa sejuk.
Saya pun rebahkan badan ke atas lantai. Saya terpandangkan daun tingkap bilik
terbuka dengan sendirinya. Saya bangun untuk merapatkan daun tingkap tersebut.
Bila papan tingkap saya sentuh, saya terdengar bunyi belalang pelesit berbunyi
dengan nyaringnya dari sebelah kanan. Saya cuba mencarinya tetapi, belalang itu
tidak kelihatan kecuali suaranya yang cukup keras. Angin dinihari yang bertiup
lembut membawa bunyi kicau burung murai. Dari mana datangnya, saya sendiri pun
tidak tahu. Dengan sepenuh tenaga, daun tingkap saya tarik.
Usaha saya
gagal. Bagaikan ada suatu kuasa yang menahan pada daun tingkap itu. Saya terasa
pula angin terlalu keras bertiup. Saya lihat pokok-pokok di luar macam
digoncang manusia. Saya juga terdengar sekawan burung berak-berak terbang
tinggi sambil berbunyi dengan rancaknya. Burung-burung itu berpusing-pusing
atas bumbung rumah. Tanpa membuang masa, saya pun dongakkan kepala ke langit.
Saya terlihat
satu cahaya berjerumbai (bertali-tali) dari bahagian bawah lembaga yang terbang
di angkasa menuju ke arah anak bukit di sebelah utara. Dalam saat yang sama
juga saya terdengar suara burung jampuk bertalu-talu dari dahan pokok kekabu
tinggi di kanan rumah. Dalam gelap malam yang memanjang itu, saya bagaikan
terpandang kelibat lembaga besar melintas di depan mata saya.
Saya segera
mengambil pelita minyak tanah. Bila saya berpatah balik ke arah tingkap, saya
dapati tingkap yang lagi satu terbuka dan daun tingkap itu dihempas
bertalu-talu dengan kuatnya. Semua rumah bergegar. Datuk terjaga dari tidurnya.
Datuk datang dan berdiri di belakang saya. Datuk menyuruh saya beredar dari
situ dan mengambil alih tempat saya. Dia berdiri di muka tingkap dan burung
berek-berek lalu berlegar-legar atas bumbung rumah semula.
Datuk pun
menekan pangkal hidungnya dengan ibu jari kanan. Matanya tajam menembusi malam
yang pekat itu. Dengan mudah Datuk merapatkan kedua belah daun tingkap lalu
menguncinya. Baru dalam dua tapak Datuk melangkah ke arah saya, daun tingkap
terbuka semula. Bila Datuk mahu merapatkannya semula, satu pukulan kepak burung
hinggap ke muka Datuk. Muka Datuk segera berubah jadi lebam kebiru-biruan.
Datuk jatuh ke atas lantai.
Saya segera
mengambil beberapa helai bulu burung yang gugur di sisinya. Saya lihat Datuk
berguling-guling atas lantai menahan kesakitan. Pipi kanan Datuk berdarah kena
cakar kaki burung. Saya
jadi
kelam-kabut dan saya lihat ke atas bendul tingkap terjulur kepala manusia yang
berbulu burung.
Dalam
saat-saat yang cemas itu Datuk membuka kain. Saya tersipu-sipu melihatnya
berbogel di depan saya. Darah dari pipi kanannya terus mengalir. Datuk
menyarungkan kain pelekat dalam keadaan terbalik dari kepala ke kaki. Semua
perbuatan Datuk itu diperhatikan lembaga bermata merah.
"Ambilkan
aku segenggam beras”, jerit Datuk sekuat hati. Nenek tergesa-gesa masuk ke
dalam bilik dengan membawa segenggam beras erat-erat dan memberikan kepada
Datuk. Datuk pun melemparkan beras yang digenggamnya ke arah lembaga bermata
merah. Satu jeritan terdengar di tengah malam yang pekat itu, bersama pekik anjing
dan burung hantu bersahut-sahutan. Lembaga bermata merah hilang di muka
jendela.
Suasana
kembali tenang. Nenek memimpin Datuk keluar dari bilik saya. Muka Datuk pucat.
Darah yang mengalir di pipi bertukar menjadi air putih yang kental. Baunya
cukup busuk macam bau bangkai.
"Ambilkan
aku segenggam beras lagi. Basuh beras itu dengan air kelapa muda. Dan kau
jangan terkena air kotor ini, pergilah cepat-cepat. Aku nak basuh muka. Aku tak
tahan lagi rasanya menahan panas ni. Daging pipi aku macam kena api”, Datuk
berkata dengan tenang pada nenek.
Dan nenek pun
ke dapur mengambil beras serta memetik kelapa muda jenis rendah di belakang
rumah. Nenek melakukan seperti apa yang dikatakan oleh Datuk. Sambil membaca
beberapa ayat-ayat al-Quran Datuk membasuh mukanya dengan air kelapa pembasuh
beras. Muka Datuk kembali merah dan segar. Air yang jatuh atas lantai Datuk
sapu dengan kain busuk dan kain itu dimasukkan ke dalam satu baldi kecil.
"Esok
kena tanam”, kata Datuk.
Dia bangun
dan terus rapat ke muka jendela. Lama juga Datuk berdiri di situ. Saya tidak
tahu apa yang di buatnya. Bila Datuk terdengar suara azan subuh, barulah Datuk
beredar dari muka tingkap dan mengajak saya mengambil air sembahyang. Sementara
menanti matahari pagi terbit di kaki langit, Datuk membaca al-Quran. Saya
mengulangi mata pelajaran bahasa Inggeris dan membuat kerja rumah (homework)
seperti yang di suruh oleh Mr. Ismail. Mr. Ismail lulusan Kirkby College
mengajar di sekolah rendah Inggeris tempat saya. Kemudian berkahwin dengan seorang
gadis yang mengajar satu sekolah. Mr. Ismail akhirnya bertukar mengajar ke
Maktab Tentera di Sungai Besi. Dalam pilihan raya tahun tujuh puluhan, Mr.
Ismail bertanding sebagai calon bebas, tetapi kalah di tangan calon Barisan
Nasional bagi Kawasan Pangkalan Bharu. Sejak itu cerita tentang Mr. Ismail
tidak saya dengar lagi.
Pagi itu
selepas menanam kain buruk dan baldi, Datuk mengajak saya pergi ke pekan kecil.
Kami naik basikal. Saya duduk di belakang dan Datuk mengayuh basikal. Tidak
lama kami berada di pekan. Setelah membeli ikan masin dan bilis, dalam waktu
satu jam kami pun pulang. Sementara menanti waktu makan tengahan, Datuk
mengajak saya menebang buluh untuk buat raga dan lukah (bubu).
Datuk cukup
cekap memotong buluh dan menakiknya. Dia tidak kelihatan letih walau sedikit
pun. Tugas saya tidak berat, cuma memisahkan ranting buluh dari batangnya dan
membelah buluh yang sudah di potong oleh Datuk. Buluh yang sudah di belah itu
saya aturkan atas tanah supaya kena cahaya matahari.
Dengan itu
buluh akan cepat kering dan memudahkan kerja merautnya. Kerja kami berhenti,
bila nenek menjemput kami makan. Cukup berselera Datuk dan saya makan.
"Jarang-jarang
kita dapat makan bersama”, kata saya.
"Tentulah,
kau dan Datuk asyik berjalan aja”, celah nenek.
"Betul,
aku rasa esok pun kita tak boleh makan macam ni"
"Kenapa
pula?" tanya saya pada Datuk.
"Ada
alamat aku akan panggil orang"
"Apa
alamatnya tok?"
"Masa
aku terbang buluh tadi, ada anak kelawar terbang melawan angin.
"Hum
baru saya tahu”, saya meningkah cakap Datuk.
Disambut
dengan ketawa oleh nenek. Memang tepat cakap Datuk, lebih kurang pukul tiga
petang, seorang anak muda berdahi luas tiba di kaki tangga. Anak muda itu
memakai seluar panjang kuning, berbaju putih berlengan pendek dan memakai
selipar Jepun.
"Saya
tahu tujuan awak datang”, kata Datuk sebelum anak muda itu membuka mulut. Datuk
lalu mengajak anak muda itu naik.
"Tempat
awak dikacau syaitan?", tambah Datuk lagi.
Anak muda
yang termangu-mangu itu anggukkan kepala. Tanpa diberi sebarang isyarat, nenek
terus meletakkan kopi dan roti kering di hadapan Datuk dan anak muda itu. Anak
muda yang berkulit agak gelap itu memberitahu Datuk yang dirinya bekerja
sebagai nelayan di Pantai Remis. Sudah ramai dukun dan pawang yang ditemuinya
meminta jasa baik mereka menghalau sejenis makhluk yang mengganggu penduduk
kampungnya di Batu Tujuh, Segari.
“Semuanya
menolak tidak sanggup”, kata anak muda itu.
"Habis
mana kau tahu rumah aku? Aku bukan pawang dan aku bukan bomoh"
"Ada
orang menyuruh saya minta jasa baik pakcik”
"Siapa?"
"Sarjan
Hamid, balai polis Pantai Remis"
"Kau
harus tahu. Aku bukan pawang dan aku bukan dukun. Aku hanya berikhtiar, yang
menentukan kejayaannya Allah yang Maha Besar"
"Saya
faham pakcik”, nada suara anak muda itu merendah.
Sebelum
memulakan sebarang perjalanan, Datuk menghitung dan mengira apakah
perjalanannya membawa tuah atau celaka. Setelah bertafakur berapa minit, Datuk
memberitahu anak muda itu, masa yang paling sesuai melangkah apabila matahari
sudah condong separas dahan kelapa. Anak muda itu tidak membantah permintaan
Datuk itu.
Di luar sinar
matahari cukup angkuh jatuh atas bumi dan dedaun di halaman rumah. Kicau burung
kelicap amat riang, melompat dari dahan ke dahan bersama hembusan bayu yang lembut
dan nyaman. Kepala saya digayuti persoalan. Kenapa begitu mudah Datuk
menunaikan permintaan dari orang yang memerlukan pertolongannya. Apakah Datuk
mahu mencari dan menambah pengalaman? Atau Datuk mahu menguji ilmu yang
dituntutnya? Persoalan itu tidak mendapat jawapan dan mati dengan sendirinya
dalam tempurung kepala saya.
"Kenapa
kau yang sibuk-sibuk sangat, apa kau diwakilkan oleh penduduk di situ mencari
aku?", Datuk menyoal anak muda itu.
"Tidak"
"Kalau
tidak kenapa kau mesti bersusah payah?"
"Ada
hubungan dengan ayah saya"
"Ayah
kau? Siapa dia ayah kau?", Datuk agak terkejut.
Matanya
meraut seluruh wajah anak muda itu. Dari gerak-gerinya ternyata anak muda itu
kurang senang dengan pertanyaan itu. Ada sesuatu yang mahu dirahsiakannya dari
Datuk.
"Usah
berahsia dengan aku. Kalau kau bercakap jujur dan terus terang akan memudahkan
kerja-kerja aku. Ingatlah, apa yang kau buat sekarang bukan untuk kejahatan”,
Datuk cuba membunuh rasa resah dalam diri anak muda itu. Anak muda itu
tundukkan kepala merenung lantai rumah.
"Ayah
saya Haji Saad Talu”, dengan nada suara yang lemah anak muda itu menyatakan
pada Datuk.
Wajahnya
kelihatan agak muram. Datuk memperkemaskan silanya dan merenung keluar. Melihat
dedaun rambutan dan manggis yang di tolak angin. Bergerak-gerak penuh malas.
"Pernahkah
pakcik dengar nama tu?"
"Pernah.
Ayah kamu berasal dari Sumatera dari daerah Talu, aku kira dia sengaja
mengekalkan nama tempat lahir di hujung namanya"
"Ya,
memang ayah sendiri ada menceritakan yang dia berasal dari Talu"
Datuk
kelihatan tenang mendengar cakap anak muda itu. Datuk menekan pangkal
belikatnya dengan tapak tangan. Menghilangkan rasa lenguh akibat terlalu lama
duduk.
"Ayahmu
sakit?" soal Datuk lagi.
"Tidak"
"Jadi
untuk apa kau datang ke mari?"
"Ayah
saya sudah meninggal dunia"
Datuk
membeliakkan biji matanya. Hujung kening sebelah kanannya saya lihat
bergerak-gerak. Tanpa banyak bicara Datuk bangun lalu masuk ke dalam biliknya.
Datuk keluar dengan membawa secebis kain hitam tiga segi. Datuk letakkan kain
hitam itu di hujung lutut kanan anak muda tersebut. Kemudian Datuk menyuruh
anak muda itu menekan bahagian tengah kain hitam dengan ibu jari kanannya.
Datuk melihat urut-urut yang timbul di belakang tangan anak muda itu. Datuk
tersenyum lalu memegang pangkal siku anak muda tersebut.
Dalam
beberapa saat saja saya lihat dahi anak muda itu berpeluh. Mukanya berkerut
menahan kesakitan yang amat sangat. Saya lihat Datuk tidak memperlakukan
sesuatu terhadapnya. Datuk sekadar menemukan kulit tangan dengan kulit di
bahagian siku anak muda itu bagaikan terkunci.
Dari hujung
kedua belah bibirnya terkeluar air liur, meleleh hingga ke pangkal dagu. Air
liur itu kelihatan kekuningan macam air liur basi dan baunya kurang
menyenangkan. Datuk berhenti menjamah kulit siku anak muda itu. Anak muda itu
nampak termengah-mengah macam berlari berbelas batu dalam panas yang terik.
Bahagian belakang baju putihnya basah oleh peluh, macam baru kena hujan.
"Kau ada
menuntut sesuatu dari ayahmu?", soal Datuk sebaik saja anak muda itu
menyandarkan badannya ke dinding.
Mata Datuk
dengan mata anak muda itu bertemu. Macam ada perlawanan ilmu batin antara anak
muda itu dengan Datuk. Cukup susah saya mahu menggambarkan keadaan perlawanan
itu. Perkara yang nyata urat-urat dalam kolam mata anak muda itu bagaikan
tersembul merah.
"Berterus-terang
dengan aku. Jangan uji aku nanti kau binasa”, pekik Datuk sekuat hati.
Serentak
dengan itu dia menampar lantai. Papan lantai yang ditampar oleh Datuk saya
lihat berlubang sebesar tapak tangan. Bahagian tepi papan yang berlubang itu
mengeluarkan asap, manakala papan yang tercerai saya lihat menjadi hitam macam
arang.
"Ada,
cuma separuh jalan. Ayah yang paksa saya menuntut darinya. Saya tak mahu. Dia
paksa juga. Jangan jahanamkan hidup saya pakcik”, anak muda itu mula menangis.
Datuk
terdiam. Dari gerak-gerinya saya tahu, Datuk kesal dengan apa yang telah
berlaku. Tanpa segan silu Datuk minta maaf pada anak muda itu.
"Kamu
terlalu berahsia dengan aku. Bukankah sudah aku katakan berterus-terang saja
dengan aku"
"Saya
tidak berniat begitu pakcik. Tetapi, saya bagaikan di gerak oleh sesuatu untuk
berbuat begitu"
"Aku
faham, semuanya terjadi di luar kemampuan diri kamu. Ini membuktikan yang arwah
ayah kamu mahu kamu menurut jejak langkahnya"
Mendengar
cakap Datuk itu, anak muda yang malang terus mengeluh. Secara terbuka anak muda
itu mengakui dia tidak setuju dengan beberapa ilmu kebatinan yang diamalkan
oleh arwah ayahnya yang bertentangan dengan akidah Islam.
"Banyak
perkara yang meragukan saya pakcik”, ujar anak muda itu.
"Antaranya?"
Datuk mula mencungkil rahsia.
"Dia
mengajarkan ajaran ilmu matahari yang dibawanya dari salah sebuah negeri di
Timur Tengah semasa dia menjadi kelasi dulu"
"Lagi?"
"Ajaran
itu bercampur aduk antara Islam dengan pemujaan pada sesuatu seperti memuja
bulan, matahari dan laut. Adakalanya benda-benda yang dipuji itu lebih mulia
sifatnya dari Allah yang menjadikan alam ini"
"Dia
sudah ke Mekah dan bergelar Haji?"
"Ini
juga meragukan saya. Menurut beberapa kawan rapat ayah saya, dia tidak ke
Mekah. Tetapi, menunaikan ibadah haji di salah satu tempat di Pulau Pinang.
Ayah saya tidak pernah sembahyang Jumaat dan berjemaah di surau. Dia lebih
banyak mengasingkan diri dan membuat amalan secara rahsia"
"Apa
tindakan orang-orang kampung tempat kamu?”
"Sejak
kematian ibu, saya dan ayah dipulaukan. Adik-adik yang lain membawa diri ke
tempat lain”
Datuk
termenung panjang. Dan anak muda itu meneruskan ceritanya tentang arwah
ayahnya. Menurut anak muda itu, ketika ayahnya mahu menghembuskan nafas yang
terakhir, ayahnya berhempas pulas menendang dinding dan lantai. Sesudah
mengeluh macam lembu kena sembelih barulah roh ayahnya bercerai dengan jasad.
Bila ayahnya mahu dikuburkan, satu perbalahan telah berlaku antara orang kampung.
Satu puak tidak mahu ayahnya dikuburkan di tanah perkuburan Islam. Mereka mahu
menempatkan tubuh ayahnya itu di satu tempat lain. Alasan mereka kenapa hal itu
patut dilakukan, kerana mereka mengira arwah ayahnya bukan seorang Islam.
Mana kala
pihak yang satu lagi mahu tubuh ayah anak muda itu disemadikan di tanah
perkuburan Islam. Alasan mereka arwah Haji Saad memang seorang Islam. Surat
lahir dan kad pengenalan membuktikan yang arwah itu memang Islam. Pihak itu
juga menyatakan, menentukan sama ada seseorang itu Islam atau tidak, bukanlah
terletak di tangan orang kampung. Ada pihak yang tertentu boleh memutuskan
seperti Jabatan Agama, Mufti dan lain-lain lagi.
"Hanya
Allah sahaja lah yang dapat menentukan seseorang itu Islam atau
sebaliknya", kata Datuk.
Anak muda itu
terdiam. Dia tidak mengatakan cakap Datuk itu benar atau tidak. Dari kerdipan
matanya yang lembut, saya membuat kesimpulan anak muda itu setuju dengan apa
yang dikatakannya oleh Datuk.
"Setelah
penghulu dan ketua kampung campur tangan, ayah arwah saya ditanam di tanah
perkuburan orang-orang Islam”, anak muda itu menyambung perbualan yang
terputus.
Anak muda itu
menceritakan tentang arwah ayahnya dengan wajah yang muram. Menurutnya, waktu
tubuh ayahnya mahu ditimbus dengan tanah, beberapa orang kampung yang
meletakkan tubuh ayahnya dalam lubang kubur melihat sesuatu yang ganjil berlaku
pada tubuh ayahnya.
"Apa
yang ganjilnya tu?", saya pula menyoal.
"Mukanya
ditumbuhi bulu macam burung”, jawabnya.
"Apa
yang mereka buat?" Datuk pula mengajukan pertanyaan.
"Mereka
tanya saya sama ada saya mahu melakukan sesuatu. Saya tidak ada pilihan
melainkan menyuruh mereka menimbusnya dengan tanah"
Saya menarik
nafas panjang. Seram juga saya mendengarnya. Saya lihat wajah Datuk masih dalam
keadaan yang tenang. Anak muda itu menggigit ibu jarinya. Suasana dalam ruang
rumah terasa sepi buat beberapa minit. Kami termenung panjang. Masing-masing
membuat perhitungan dan tanggapan yang tersendiri setelah mendengar cerita
ganjil dari anak muda itu. Anak muda itu bangun dan berdiri dekat pintu.
Merenung ke arah pokok-pokok mempelam dan manggis yang disinari mata hari
petang. Lama juga dia termenung di situ.
"Selepas
orang-orang kampung pulang dari tanah kubur, langit yang cerah bertukar hitam.
Kilat guruh berbunyi kuat. Pokok nibung di belakang rumah kamu dipanah petir.
Kemudian hujan turun dengan lebatnya. Hujan itu berhenti bila masuk waktu
subuh", tanpa di duga Datuk terus berkata demikian.
Anak muda
segera mengalihkan pandangannya pada Datuk.
"Mana
pakcik tahu?", anak muda terkejut besar.
"Ilmu
yang diamalkan oleh ayah kamu satu ilmu yang salah. Sebenarnya saya tahu serba
sedikit tentang ilmu itu”, terang Datuk dengan jujur padanya.
Datuk lalu
memberi penerangan tentang ilmu tersebut. Menurut Datuk, ilmu itu di kenali
dengan nama Ilmu Kelawar atau Ilmu Burung yang pernah digunakan oleh
kelasi-kelasi kapal bila kapal mereka pecah atau karam di tengah laut pada
zaman dahulu. Masa berlaku peperangan antara tentera Belanda dengan pejuang
Kemerdekaan Indonesia, beberapa orang yang mengamalkan ilmu tersebut telah
menggunakannya untuk melawan pihak musuh terutama di daerah Mendailing dan
Talu. Orang yang mahu memperoleh itu harus bertapa dalam keadaan menanamkan
separuh badan dalam tahi kelawar.
Sebelum itu,
orang yang terlibat harus pergi ke sebuah gua di Gunung Kidul di Pulau Jawa.
Mengabdikan diri pada syaitan di situ dengan membuat pemujaan pada sekeping
papan yang sudah berusia beribu-ribu tahun. Papan yang dipuja akan menjadi
lembaga yang menyerupai dengan tubuh badan yang mahu menuntut ilmu. Kemudian
lembaga itu akan menghisap darah ibu kaki orang yang mahu memperhambakan diri.
Syarat utama orang yang menuntut ilmu itu harus mengakui papan tua itu adalah
benda yang paling berkuasa, maha mengetahui dan menyerahkan roh dan jasadnya
pada papan penunggu. Dilarang sama sekali melakukan perkara-perkara yang
disuruh oleh Allah.
Semasa orang
itu menanamkan separuh badannya dalam tahi kelawar, dia hanya memakan kepak
kelawar selama empat puluh empat hari. Bila amalannya sudah genap, 100 hari
tubuhnya akan berbulu seperti burung dari kepala hingga ke pinggang. Dari
pinggang ke bawah macam tubuh manusia. Ketika bulan mengambang penuh, dia akan
terbang dan kembali ke rumah asalnya. Setiap malam, dia harus menyediakan darah
kelawar satu mangkuk putih dan diletakkan di bawah pokok nibung. Demikian Datuk
memberitahu tentang ilmu yang diamalkan oleh arwah ayahnya.
"Apa
untungnya ilmu tu Datuk?" tanya saya.
"Boleh
mengumpulkan kekayaan, asalkan patuh dengan perintah syaitan. Boleh menjadikan
diri macam burung dan terbang untuk menjahanamkan orang. Satu perbuatan
laknat”, kata Datuk lagi.
Anak muda
yang malang itu mengeluh. Dia mula tahu sekarang kenapa masa arwah ayahnya
masih hidup, selalu mengasingkan dalam sebuah bilik gelap. Setiap malam tidak
pernah berada di rumah kecuali waktu menjelang subuh.
Lebih kurang
pukul empat petang kami pun memulakan perjalanan menuju ke sebuah kampung kecil
di pinggir pekan Segari yang terletak di Daerah Manjung (dulu Daerah Dinding).
Masa yang kami ambil untuk sampai ke situ lebih kurang satu jam lebih dengan
menaiki teksi. Anak muda itu terus menunjukkan ke arah rumah papan yang
letaknya agak terpencil dengan rumah lain di kampung tersebut.
"Sejak
ayah saya mati, rumah ini kami tinggalkan. Setiap malam ada manusia berkepala
burung dan berbadan manusia datang mengganggu kami yang diam di situ. Sejak
rumah ditinggalkan kami mendengar orang bercakap dalam bahasa yang kami tidak
tahu", anak muda itu menceritakan tentang rumah papan yang kami lihat dari
jauh.
"Lagi,
ada apa yang ganjil?" tanya Datuk.
"Sejak
akhir-akhir ini benda ganjil itu sudah mengganggu rumah orang lain pula”,
tambah anak muda itu.