Berkasih Dengan Langsuir
Datuk terus
duduk di sisi saya di kaki tangga. Kami merenung suasana malam yang kelam itu.
Suara lolongan anjing terus sambung menyambung, tingkah meningkah dengan suara
cengkerik dan katak. Angin malam yang bertiup melanggar dedaun dan dahan-dahan
pokok sekitar kawasan rumah, melahirkan bermacam-macam bunyi. Sekejap terdengar
semacam orang berlari, sekejap terdengar semacam suara orang mengerang kerana
menahan kesakitan.
"Selalunya
perbuatan ni, perbuatan syaitan”, kata Datuk lalu bangun, menuju ke kawasan
yang di duga tempat buah pisang muda jatuh.
Seluruh
kawasan itu Datuk periksa. Tidak ada buah pisang muda yang ditemui, kecuali
pelepah pisang yang panjangnya kira-kira lima inci. Datuk ambil pelepah pisang
itu lalu diramasnya hingga hancur.
"Mari
kita pergi ke rumah batu tu”, Datuk tarik tangan saya.
Kerana Datuk
menarik agak kasar dan kuat, saya hampir tersungkur mencium tanah. Memang, ada
ketikanya Datuk kadang-kadang bersikap kasar dengan saya Dan saya tidak pernah
tersinggung dengan perbuatannya itu, kerana saya tahu kasih sayangnya terhadap
saya tidak pernah surut dari hari nuraninya.
Kami pun
berjalan dengan hati-hati. Tidak ada kesukaran yang kami hadapi kerana cahaya
bulan malam tiga belas Syaaban yang mengeluarkan cahaya yang samar-samar banyak
menolong kami. Setelah berjalan kira-kira sepuluh minit, kami pun sampai di
kawasan rumah batu dua tingkat itu. Datuk membuat keputusan untuk masuk ke
kawasan rumah batu itu dari bahagian belakang yang dipagari dengan pokok-pokok
buluh. Datuk mengalami kesulitan kerana bahagian sebelah dalam pokok-pokok
buluh itu dilapisi dengan kawat berduri. Dalam jarak lima atau sepuluh kaki
dari pohon-pohon buluh yang di tanam itu terdapat pula pokok besar yang tumbuh
merimbun bersama dengan akar-akar yang berjuntaian. Suasana di situ terasa amat
menyeranikan.
Ada
bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Dengan pertolongan cahaya bulan saya
dapat melihat beberapa ekor ular, lipan dan kala jengking merayap-rayap atas
daun buluh yang kemudian memanjat akar yang berjuntaian dari pokok besar.
"Bagaimana
kita nak masuk tok?”, tanya saya dengan jujur.
Datuk
terdiam. Matanya mula melihat bulan tiga belas Syaaban yang kian bersinar di
dada langit. Ketika itu juga, saya terasa angin malam mula bertiup. Dedaun tua
dari pokok besar kelihatan menayang-nayang dan terus jatuh di atas daun buluh.
Suara lolongan anjing kian hebat. Dalam saat-saat begitu saya terdengar suara
burung hantu bersahut-sahutan di atas pokok besar. Bunyi angin yang menyentuh
dedaun dan dahan-dahan kayu amat menakutkan. Bunyinya kadang kala macam orang
menangis, macam orang mengeluh.
Semua
terpaksa saya hadapi dengan tenang kerana Datuk tetap dengan cita-citanya untuk
masuk ke dalam kawasan rumah batu dua tingkat itu. Sayup-sayup saya terdengar
bunyi loceng jam dari rumah dua tingkat itu berbunyi sebanyak dua belas kali.
Badan saya mula menggigil akibat dijamah angin malam. Suara jeritan anjing liar
bersahut-sahutan memanjang bagaikan merayu-rayukan hiba. Datuk mula berdiri
kemas-kemas sambil memeluk tubuh. Datuk lalu menyuruh saya berdiri di sisinya
dan berpeluk tubuh. Datuk mula membaca sesuatu. Dalam keadaan yang tenang itu tiba-tiba
badan saya dan Datuk ditimpa oleh air, macam air hujan sedangkan hari tidak
hujan, cuaca cukup baik, langit cerah bersama bulan yang sedang mengambang.
"Air apa
tok?" saya menyoal Datuk.
Pertanyaan
saya tidak mendapat jawapan. Angin kian kuat bertiup, lolongan anjing dan suara
burung hantu berpadu menguasai malam yang sudah berganjak ke subuh. Air dari
langit itu datang lagi, menimpa muka saya.
“Air apa
tok?"
"Air
kencing langsuir”
"Ha,
saya takut tok”
"Diamlah”,
pekik Datuk.
Saya terdiam terus.
Datuk segera mengangkat kedua belah tangannya separas dada, lurus, kemudian
kedua belah tangannya itu dibengkokkannya hingga sepuluh jarinya menghala ke
dada. Datuk menggerak-gerakkan kepalanya. Sebaik saja Datuk meletakkan tapak
tangan kirinya ke atas bahu kanan, pokok besar bergoyang dengan hebatnya.
Ranting-ranting kering jatuh ke bumi bertalu-talu.
Bila saja
pokok besar itu berhenti bergoyang, terdengar suara orang perempuan menggilai
panjang. Selain dari suara itu terdengar juga bunyi orang memukul pangkal paha
dengan tapak tangan bertalu-talu, suara ketawa itu sambung menyambung dan
bertingkah pula dengan suara anjing liar yang menyalak panjang. Lagi sekali
pokok besar itu bergoyang. Datuk masih bertenang. Dia tidak peduli dengan suara
perempuan yang ketawa itu. Datuk menarik nafas panjang serentak dengan itu
suara perempuan menggilai segera berhenti dan diganti dengan suara perempuan
menangis panjang.
"Jangan
perdayakan aku”, suara Datuk mula meninggi.
Datuk terus
melompat ke arah pokok besar. Perdu pokok besar itu dipeluknya kuat-kuat.
Dengan kekuatan yang luar biasa Datuk menggegarkan pokok tersebut hingga daun
dan dahan pokok itu jatuh ke tanah. Suara perempuan menggilai dan menangis
terus hilang. Suasana di sekeliling luar rumah batu dua tingkat itu terasa
sunyi sekali. Datuk masih lagi berada di bawah pokok besar. Dengan tenang Datuk
menikam perdu pokok besar dengan jari kelingking, saya lihat jari kelingkling
Datuk terbenam dalam perdu pokok tersebut. Bila jarinya dicabut, saya terdengar
suara jeritan yang memanjang di atas pokok.
Datuk
melompat kembali ke sisi saya. Datuk terus duduk bersila di atas tanah membaca
sesuatu. Dalam keadaan yang kelam kabut itu, suara jeritan di atas pokok
berhenti. Dari perdu pokok saya lihat seorang wanita berjalan ke arah kami,
wanita itu memakai kain serba putih. Bila wanita yang memakai pakaian serba
putih itu sampai di tempat saya dan Datuk duduk, perempuan itu terus menggilai
sambil mengibas-ngibas pakaian putihnya ke kiri dan ke kanan, ketika itu juga bunyi
suara burung hantu bertambah kuat bersama lolongan anjing. Perempuan yang
memakai pakaian serba putih itu bagaikan terangkat dari bumi bergerak menuju ke
bumbung rumah batu dua tingkat.
"Apa
benda tu tuk?"
"Itulah
langsuir”
"Dia nak
ke mana tok?”
"Entah”,
suara Datuk pendek.
Saya terdiam
dan tidak mahu mengemukakan pertanyaan padanya. Datuk dan saya terus
berlegar-legar di tepi pagar pokok buluh. Saya tidak tahu apakah yang akan
Datuk lakukan. Saya selalu saja cemas melihat ular yang menjalar di atas pokok
buluh. Datuk terus menepuk bumi tiga kali. Seluruh kawasan tempat saya berdiri
jadi berasap tebal. Dua tiga kali saya terbatuk, kepala saya mula terasa
pening. Lagi sekali Datuk menampar bumi, kali ini saya lihat pagar-pagar dari
pokok buluh terbelah dua terbentang jalan berpasir menuju ke dalam kawasan
rumah batu dua tingkat.
"Masuk”,
kata Datuk.
"Ya,
saya ikut”
Saya pun
mengikut langkah Datuk. Datuk melangkah tiga langkah ke depan. Bila langkah
yang keempat dimulai, Datuk merendahkan badannya ke kiri dan tumit kakinya
diangkat setinggi empat inci. Sementara kaki sebelah kanan di angkat separas
lutut. Apa yang Datuk lakukan saya buat dengan teliti. Datuk terus menampar
tapak kaki kirinya dengan tangan kanan tiga kali berturut-turut. Bila Datuk
meletakkan ibu jari kirinya ke pangkal hidungnya, saya terdengar satu letupan
kecil dan diikuti dengan kepulan asap yang tebal.
Bila kepulan
asap itu hilang, pokok buluh yang terpisah tadi bercantum kembali. Dan kami
sudah pun berada di dalam kawasan rumah batu dua tingkat. Saya dan Datuk duduk
di bawah pokok Bunga Tanjung. Tingkap bilik tidur di rumah batu dua tingkat itu
terbuka. Lampu masih terpasang.
"Kita
tengok apa yang akan berlaku. Kau jangan tegur”, Datuk mengingatkan saya,
sambil melilitkan secebis kain hitam di pergelangan tangan kanan saya. Angin
malam, terus juga bertiup, embun jantan mula turun. Saya mula terasa kesejukan,
bibir saya menggeletar. Tiba-tiba lampu di bilik tidur dipadamkan buat beberapa
minit. Bila lampu itu di hidupkan, pemuda yang dikatakan mengalami penyakit
ganjil mendepakan kedua belah tangannya sambil menguap panjang. Lepas itu dia
menekan jenang tingkap. Kerana dia tidak memakai baju, bulu dadanya jelas
kelihatan begitu juga dengan bulu ketiaknya. Walau pun malam terasa amat dingin
tetapi pemuda yang tinggal di rumah batu dua tingkat itu tidak terasa dingin.
Pemuda itu
merenung ke langit pada bulan yang kelihatan bersinar di dada langit. Dengan
mendadak saja pemuda itu menjerit terlolong macam anjing menyalak kucing di atas
pokok. Bila pemuda itu selesai menjerit dia terus memadamkan lampu biliknya.
Dalam beberapa minit kemudian saya dapat lihat lampu di bahagian bawah menyala.
Serentak dengan itu pemuda tersebut terus membuka pintu. Sinar lampu di
bahagian depan itu sampai ke kawasan pokok Bunga Tanjung, saya dan Datuk
terpaksa berlindung di balik batang pokok tersebut, dengan berbuat demikian
kami harap pemuda tersebut tidak akan dapat melihat kami. Apa yang kami
harapkan memang menjadi, pemuda itu tidak merenung ke arah kami.
"Wangi”,
bisik saya pada Datuk, kerana saya terhidu bau yang wangi Datuk segera menekup
mulut saya dan memberitahu saya supaya jangan menegur sesuatu yang dirasakan
ganjil. Cakap Datuk itu saya patuhi. Bau wangi itu terus menusuk lubang hidung
saya.
Tiba-tiba
pemuda yang tinggal di rumah batu dua tingkat itu muncul di muka pintu dengan
pakaian yang cukup rapi. Dia berdiri sambil menyandarkan badannya ke tiang
pintu. Dia merenung ke depan sambil menarik nafas dengan tenang. Seolah-olah
dia cukup senang menyedut udara yang berbau harum itu. Dari kejauhan saya dan
Datuk mula terdengar lolongan anjing yang mendayu-dayu. Di tengah suara anjing
yang mendayu-dayu itu pemuda ganjil itu menari sambil menyanyi dengan kuatnya
dan matanya tetap melihat bulan yang mengambang. Saya mengeluh panjang, dari
arah jalan yang menuju ke pintu rumah batu dua tingkat itu, saya melihat
seorang perempuan bergaun putih menuju ke arah tempat pemuda ganjil itu
berdiri.
Angin malam
yang berhembus membuat gaun perempuan berkibar-kibar, seakan-akan menari di
jalan menuju ke rumah yang sepi itu. Datuk menyuruh saya membaca beberapa
potong ayat Al-Quran dengan tujuan menghalau syaitan. Saya jadi kelam kabut,
tidak ada satu ayat pun yang dapat saya ingati. Seluruh badan saya menggeletar.
Datuk segera
membaca beberapa mantera peneguhan semangat, kemudian Datuk hembus cuping
telinga sebelah kanan saya tiga kali berturut-turut. Rasa cemas dan darah
gemuruh saya mula terkawal. Saya dapat menumpukan perhatian saya pada lelaki
ganjil dan perempuan yang bergaun putih.
Saya lihat
perempuan bergaun putih itu sudah berdiri di hadapan pemuda tersebut sambil
menghulurkan tangannya. Pemuda itu menyambut tangan perempuan yang bergaun
putih dengan senang hati. Mereka berpeluk-pelukan. Suara anjing terus menyalak
mendayu-dayu, angin terus bertiup tenang, bau harum menguasai seluruh kawasan
rumah batu dua tingkat itu.
"Perempuan
itu syaitan menjadikan dirinya wanita cantik”, bisik Datuk pada saya.
"Mana
boleh begitu, dia manusia”, saya membantah.
"Kau
baring rapatkan telinga kanan kau ke bumi, dan mata kau renung ke arahnya”,
ujar Datuk.
Saya patuh
dengan cakapnya. Bila saya sudah meniarap Datuk pun memegang buku lali kaki
kiri saya, dia menyuruh saya melihat ke arah perempuan yang memakai gaun putih.
Lagi sekali saya menarik nafas panjang, perempuan yang bergaun putih memang
berwajah hodoh. Matanya merah, kepalanya tanpa rambut, hidungnya panjang macam
sumbu badak dari kedua belah rahangnya terjulur gigi yang panjang macam gading
gajah.
"Sudah,
jangan tengok lama-lama, nanti kau tak boleh tidur”, Datuk terus menepuk
pangkal ketiak saya.
Semua yang
saya lihat hilang, perempuan yang bergaun putih yang sebentar tadi saya lihat
dalam keadaan yang amat menakutkan, sudah kembali normal pada penglihatan macam
manusia biasa. Pemuda dan perempuan bergaun putih itu melangkah ke arah bangku
yang terletak di bawah pokok Cempaka, mereka duduk di situ dan bercengkerama.
"Kau
cantik macam kawan kau juga Mariatun”, kata pemuda itu sambil memeluk pinggang
wanita yang bergaun putih.
Percakapan
mereka dapat saya dengar dengan jelas, setelah Datuk dan saya berkisar tempat
duduk iaitu ke arah angin datang. Datuk juga mengikat secebis kain hitam pada
sebatang kayu yang dipacakkan di hadapan kami. Memang menakjubkan, kain hitam
yang sebesar dua jari itu bagaikan ada kuasa menghantarkan buah bicara pemuda
ganjil dan perempuan bergaun putih kepada saya dan Datuk.
"Jangan
kau tinggalkan aku dan kawan-kawanku”, suara perempuan bergaun putih.
Si pemuda
terus ketawa terkekeh mendengar cakap kekasihnya itu. Tiba-tiba pemuda itu
terus mendukung perempuan bergaun putih, dibawanya ke rumah iaitu di tingkat
atas. Beberapa saat kemudian lampu di bilik tidur menyala, saya lihat perempuan
bergaun putih membuka gaunnya lalu merangkul pinggang pemuda. Kedua-duanya
rebah di atas ranjang, apa yang saya dengar ialah suara ketawa pemuda dan
perempuan bergaun putih penuh mesra.
Datuk terus
mengajak saya pulang, saya tidak membantah. Waktu saya dan Datuk keluar dari
kawasan rumah batu dua tingkat itu, bau harum masih lagi berleluasa di situ,
suara salakan anjing mendayu-dayu, dan lampu di bilik tidur pemuda ganjil itu
terus menyala. Sebaik saja saya dan Datuk sampai ke kaki tangga rumah khas,
saya terdengar suara jeritan orang perempuan, lalu di ikuti oleh suara orang
lelaki, cukup nyaring dan meremangkan bulu tengkuk. Jeritan dari lelaki itu
memanjangkan dan bergema di tengah malam yang dingin.
Suara jeritan
itu berlanjutan hingga beberapa jam. Bila bulan di langit diliputi awan dan
tidak boleh mengeluarkan sinarannya, suara jeritan pemuda itu akan berhenti.
Datuk tidak menghiraukan semuanya itu. Datuk sandarkan badan ke dinding. Saya
rebahkan badan di atas lantai. Beberapa minit kemudian saya terlena, tidak ada
sesuatu yang saya takutkan, bila tidur sudah menguasai diri.
Pagi itu,
Datuk sengaja mengajak saya pergi mandi embun berhampiran kawasan rumah batu
dua tingkat itu. Kemudian Datuk dan saya terus menceroboh ke kawasan rumah
pemuda yang di anggap oleh orang-orang kampung mengalami penyakit ganjil. Saya
dan Datuk masuk ikut sebelah kanan bangunan tersebut. Kerana banyak pokok-pokok
tumbuhan yang tumbuh di situ, kami tidak begitu sukar untuk memperoleh air
embun.
Menurut
Datuk, kebanyakan pokok yang tumbuh di situ semuanya dari jenis daun yang ada
khasiat. Sedang saya dan Datuk asyik mandi embun, tiba-tiba secara mengejut
seekor kucing hitam muncul dari celah-celah rimbunan pokok buluh. Rupa kucing
itu amat ganjil sekali. Seluruh bulu di badannya berwarna hitam. Tetapi di
bahagian mukanya terdapat buluh putih yang tumbuh melintang.
Kucing itu
menerkam ke arah Datuk dan mahu membaham ibu jari kaki kiri Datuk. Cepat-cepat
Datuk mengelak, kucing itu segera pula melompat ke arah Datuk dan bersedia
untuk menggigit jari tangan kiri Datuk. Datuk menggigit bibir, dia terasa ada
sesuatu yang ganjil pada kucing hitam itu. Kucing hitam itu bukan kucing
sembarangan. Matahari pagi terus bangkit dan mengeluarkan sinarnya lalu memanah
ke setiap dinding rumah batu dua tingkat itu. Saya mula terasa kulit muka
pedih, akibat sinaran matahari.
"Bersedia”,
kata Datuk.
Serentak
dengan itu Datuk menghentakkan tumit kaki kanannya ke bumi sebanyak tujuh kali.
Kucing hitam itu mengiau , saya lihat kucing hitam itu sudah tidak mampu untuk
bergerak tetapi dia masih mampu memperlihatkan gigi dan taringnya pada kami.
"Berambus
kau”, suara Datuk keras, dia lantas memetik ibu jari tangannya.
Kucing hitam
itu bagaikan ditolak oleh sesuatu, tercampak ke dalam perdu buluh dan mengiau
panjang di situ.
"Mari
kita mandi lagi”, Datuk tolak badan saya.
Saya
terdorong ke hadapan. Kami sudah berada betul-betul di hadapan pintu rumah batu
dua tingkat. Datuk meneliti keadaan pintu rumah tersebut, macam mencari
sesuatu. Saya dan Datuk terkejut. Pintu rumah batu dua tingkat itu terbuka.
Pemuda ganjil muncul di hadapan kami dengan senyum.
"Mengacau
saya?"
"Tidak,
kami tersesat”
"Huh,
sila masuk”
Datuk dan
saya terus menunaikan jemputan pemuda itu. Pagi itu pemuda tersebut nampak
kemas, rambutnya disikat rapi lurus ke belakang. Orangnya tinggi kurus.
Wajahnya agak pucat dan kurang bermaya bila melangkah. Kelopak matanya
seakan-akan mahu tertutup macam orang keletihan dan kurang tidur.
"Nak
minum apa?", tanya pemuda itu pada kami.
"Tak
payah, kami sudah minum”
"Saya
kurang tidur, malam tadi isteri saya datang”
"Isteri?”
"Ya,
kenapa?"
Datuk tidak
menjawab pertanyaan orang muda itu. Tanpa di minta oleh Datuk, pemuda itu
menceritakan orang-orang kampung menyingkirkan dirinya kerana berkahwin
sendirian. Datuk hanya anggukkan kepala sahaja.
Ternyata
cerita pemuda itu amat berbeza dengan cerita orang tua dan orang kampung
sendiri. Kemudian pemuda itu membawa saya dan Datuk ke dapurnya. Dia
menunjukkan periuk dan kuali yang selalu di gunakan oleh isterinya. Pemuda itu
juga menunjukkan beberapa helai rambut isterinya yang disimpan dalam botol.
Tetapi, bila Datuk mahu memasukkan paku ke dalam botol yang ada rambut
isterinya, pemuda itu melarangnya.
"Pesan
isteri saya, jangan bawa paku bila datang ke sini, rambutnya tak boleh kena
paku, nanti rumah terbakar”
"Maafkan
saya, berapa bini awak?”
“Tiga orang”
"Bila
dia datang melawat awak?"
"Sebelah
malam, bila bulan mengambang mereka datang bergilir-gilir”
Dialog yang
terjadi antara Datuk dengan pemuda itu amat menarik hati saya. Dari percakapannya
itu, tidak nampak pemuda itu seorang yang ganjil. Dia adalah manusia biasa.
Soalnya, kenapa dia menjerit bila bulan mengambang dan tinggal sendirian di
rumah batu dua tingkat? Pertanyaan itu berlegar-legar dalam kepala saya.
Akhirnya, Datuk meminta diri dari pemuda itu untuk pulang. Pemuda ganjil
menghantar kami ke pintu pagar. Baru tujuh tapak Datuk melangkah dari pintu
pagar rumah batu, dia segera memusingkan badannya menyebabkan langkah saya yang
rancak terhenti. Datuk merenung ke pintu pagar dan saya lihat pemuda ganjil
melambai-lambaikan tangan ke arahnya.
"Dia
bagaikan tahu gerak-geri aku”, keluh Datuk dan memusingkan badannya ke tempat
asal, membelakangi pintu pagar dan rumah batu.
Datuk dan
saya meneruskan perjalanan tanpa menoleh ke arah pintu pagar rumah batu.
Matahari pagi terus kembang, cahayanya jatuh ke daun-daun pokok yang dilekati
air embun, sekali pandang air embun yang di panah oleh sinar matahari kelihatan
berkilau-kilauan bagaikan batu berlian. Hati saya terasa senang menengar
kicauan berburung di hujung dahan.
"Berhenti
dulu”, kata Datuk dan langkah saya terus kaku.
Datuk terus
menggeliat sambil meramas daun ketapang dengan tangan kanan. Datuk melihat
pokok-pokok ketapang yang berdaun lebat tumbuh di situ. Tanpa memberitahu saya,
Datuk terus memeriksa setiap batang pokok ketapang .yang terdapat di situ.
"Apa
yang tok cari?", tanya saya setelah Datuk berada di samping saya. Datuk
mengedutkan dahi sambil menggigit bibirnya.
"Tak ada
apa-apa”
"Kalau
tak ada apa-apa, kenapa diperiksa?"
"Ah, kau
ni banyak cakap sangat, jalanlah”, suara Datuk agak keras.
Dia terus
menolak bahu kanan saya. Walaupun saya tidak melahirkan sebarang bantahan atas
tindak-tanduk Datuk itu, tetapi hati saya tetap tidak puas. Cara yang paling
selamat ialah melihat tindak-tanduk Datuk selanjutnya itu lebih baik dari
memaksa dirinya bercerita, fikir saya dalam hati. Saya dan Datuk terus mengatur
langkah, meninggalkan pokok-pokok ketapang, pokok buluh dan keduduk di
belakang. Badan saya mula berpeluh dan perut sebelah kanan saya mula terasa
sakit kerana penat berjalan. Tetapi, Datuk tidak nampak letih. Langkahnya masih
rancak, mukanya kelihatan merah dan berseri, macam orang muda yang baru berusia
tiga puluhan.
Kami sampai
ke rumah yang dikhaskan untuk kami. Datuk terus memasak air panas dan membuat
kopi. Ketika kami sedang enak menghirup kopi, saya terdengar suara orang batuk
di luar. Datuk segera letakkan cawan kopi ke piring dan mata kanannya
dikecilkan hingga kedua belah keningnya hampir bertemu. Dengan perlahan-lahan
Datuk meletakkan jari manis sebelah kanan atas tulang pipi. Dia bagaikan
melihat sesuatu di luar rumah dengan kuasa matanya.
"Naiklah”,
ujar Datuk. Seorang lelaki memakai baju Melayu cekak musang, berkain pelikat
petak besar muncul di muka pintu. Sebelum meletakkan punggungnya ke lantai
lelaki itu angkat tangan pada Datuk .
"Silakan
duduk”
"Terima
kasih"
Lelaki itu
sandarkan badan ke dinding. Datuk pun segera duduk disisirnya. Wajah lelaki itu
kelihatan tenang dengan rambut yang disikat rapi lurus ke belakang.
"Bagaimana
dengan anak saya?"
"Sabarlah,
saya sedang berusaha”
"Malam
tadi dia datang ke rumah saya, dia nak tikam emaknya dengan buluh runcing. Dia
marahkan emaknya kerana awak ada di sini”
"Malam
tadi? Ah pelik benar keadaannya”
"Tidak
pelik. Dia datang betul, nasib baik setelah saya pujuk dia tinggalkan rumah
saya dengan aman”
Wajah Datuk
saya lihat cemas sedikit setelah mendengar cerita dari ayah pemuda aneh itu.
Hati saya jadi serba salah untuk memastikan sama ada cerita itu benar atau
tidak. Sepanjang yang saya tahu dan lihat pemuda aneh itu tidak ke mana malam
tadi. Saya kira Datuk mengetahui tentang kedudukan hal ini. Datuk renung muka
saya sambil menegakkan ibu jari kirinya, saya faham dengan maksud itu. Dia mahu
saya jangan campur dalam urusannya atau membuka rahsia apa yang telah dilakukan
oleh Datuk dan saya malam tadi.
"Saya
tak tahu langsung perkara itu”, Datuk membohongi ayah pemuda ganjil itu.
Secara
diplomasi Datuk bagaikan memaksa ayah pemuda ganjil bercerita tentang rumah
batu tempat pemuda ganjil itu tinggal. Tujuan Datuk berbuat demikian bukan
apa-apa atau ada maksud yang tertentu. Saya kira dengan mengetahui asal usul
sesuatu kejadian itu adalah lebih baik dan memudahkan tugasnya. Senang
bertindak dan membuat keputusan. Mungkin kerana ayah pemuda ganjil itu memang
mengharapkan pertolongan Datuk untuk mengubat anaknya, dia terus bercerita
dengan terus terang.
Menurutnya,
rumah batu itu milik arwah ayahnya yang berasal dari Muara Enim, Jambi,
Sumatera Selatan, Indonesia. Rumah itu didirikan dari hasil rompakan yang
dilakukan oleh arwah ayahnya ketika di sana. Dalam rancangannya, wang yang
dirompak dari orang-orang Belanda itu akan di kumpul untuk digunakan bagi
menentang penjajah Belanda. Kerana arwah ayahnya cekap dalam kira mengira dan
dianggap amanah lalu ia dilantik sebagai penyimpan wang rompakan itu. Tiba-tiba
arwah ayahnya gelap mata lalu melarikan wang itu ke tanah Semenanjung. Bila
sampai di Semenanjung, ayahnya menukar nama dan membeli sebidang tanah lalu
mendirikan rumah batu, di samping itu menjalankan perniagaan kayu balak dan
lombong.
"Sayangnya,
rumah itu tidak dapat didiami oleh arwah ayah saya kerana ada lembaga hitam
yang tangannya berbulu tebal mengganggu ayah saya. Malah saya, menurut cakap
ibu dilahirkan di rumah lain”, kata ayah pemuda ganjil itu.
Katanya lagi,
dalam zaman pemerintahan Jepun rumah itu dijadikan markas tentera Jepun untuk
memancung kepala orang-orang yang menentang mereka. Bila Jepun kalah rumah itu
dijual pada seorang saudagar Cina, tetapi saudagar itu memulangkan kembali
rumah tersebut pada warisnya.
"Bila
ayah awak meninggal?" tanya Datuk.
"Sebelum
Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan dalam tahun 1942”
"Apa
amanatnya pada awak?"
"Dia
mahu anak saya atau cucunya dihantar ke Padang Panjang, Sumatera, untuk belajar
agama, dia mahu cucunya jadi seorang ulama yang terkenal”
"Awak
tunaikan amanatnya?"
"Saya
tunaikan”
"Anak
yang mana awak hantar ke sana?"
"Anak
saya yang tinggal di rumah batu itu”
Datuk
tersentak mendengar cakap ayah pemuda ganjil itu. Saya menarik nafas panjang.
Ayah pemuda ganjil itu menggaru kulit rambutnya yang tidak gatal. Matanya
merenung sayu ke wajah saya macam orang putus asa. Datuk bangun lalu berdiri di
muka tingkap melihat sinar matahari pagi yang garang menikam halaman rumah.
"Berapa
lama anak awak di sana?", soal Datuk.
"Baru
dua tahun di sana, dia tidak mahu belajar dan pulang ke sini lalu tinggal di
rumah itu”, ayah pemuda ganjil memicit dahinya berkali-kali.
Datuk kembali
duduk di sisinya.