Berguru Dengan Syaitan
Datuk
tersenyum memandang saya. Dengan pertolongan cahaya bulan yang samar-samar itu,
saya lihat ketua pukau terus berdiri dekat tengkorak kering. Tengkorak itu
masih juga mengeluarkan buih dan sejenis habuk seakan-akan asap. Menurut Datuk,
tengkorak itu diambil dari tengkorak orang mati dibunuh, ketika hujan panas.
Lebih
berkesan lagi kalau tengkorak itu dari tengkorak orang yang mati kena tikam.
Tidak kira, sama ada orang yang mati itu orang Islam atau tidak. Mengambil
tengkorak orang yang mati dibunuh itu, harus melalui beberapa ujian yang
tertentu.
Bila
tengkorak itu diambil dari tanah perkuburan, harus dipisahkan dengan badannya,
tengkorak yang sudah di pisahkan dengan badan itu tidak boleh menyentuh tanah
atau dipegang. Mesti dibawa pulang dengan mengandarnya.
Orang yang
mengandarnya mesti ditutup kedua matanya dengan kain. Mesti sampai ke rumah
sebelum subuh. Tengkorak itu akan disalai sampai kecut, kemudian dipuja oleh
orang-orang yang tahu dengan kerja-kerja syaitan itu. Lepas itu baru diserahkan
pada orang yang memerlukannya dengan syarat, bila memasuki rumah orang, tuan
rumah jangan dianiayai, kecuali tuan rumah itu bercakap besar atau takbur dan
mahu menguji kebolehan orang yang menyimpan tengkorak tersebut.
"Sebenarnya,
ilmu pukau ini ada bermacam-macam cara, tetapi memukau dengan tengkorak cukup
berkesan. Kekuatan ghaibnya mengatasi ilmu-ilmu pukau yang lain", begitulah
yang dinyatakan oleh Datuk pada saya secara ringkas.
"Lihat
mereka sudah bersedia untuk masuk ke dalam rumah," kata Datuk dengan nada
suara yang cukup perlahan. Memang benar cakap Datuk itu, saya lihat ketua pukau
dua tiga kali berjalan di hadapan anak tangga. Dia memerintah anak buahnya
memijak anak tangga pertama dengan hati-hati.
Saya
terdengar selak pintu jatuh. Serentak dengan itu daun pintu terbuka. Tuan rumah
tercegat dan mempersilakan kaki-kaki pukau memijak lantai rumahnya .
"Kau
tidurlah, kami tak ganggu kau", cukup lantang suara ketua pukau. Tuan
rumah angguk kepala lalu merebahkan diri di muka pintu.
"Bukan
di situ, tempat kau di bilik", mendengar suara ketua pukau, tuan rumah
segera bangun dan menuju ke bilik tidur. Ketua pukau mengambil tengkorak lalu
melekapkan pada hujung gelegar rumah dekat tiang seri. Dia bagaikan bercakap
sesuatu dengan tengkorak tersebut. Ketua pukau ketuk dinding rumah tiga kali
berturut sambil berkata:
"Mulakan.
Ingat niat kita hanya mengambil barang, jangan ganggu anak isteri tuan
rumah."
Habis saja
ketua pukau berkata-kata, seluruh perut rumah terang benderang. Anak buah ketua
pukau pun masuk ke rumah. Mereka mencari barang-barang berharga. Lebih dari
setengah jam mereka menjalankan kerja tersebut. Anak buah ketua pukau
menurunkan barang yang dicuri. Semua barang-barang itu diserahkan pada
ketuanya. Saya lihat ketua pukau memasukkan barang-barang kemas dalam beg kulit
hitam, kemudian menghitung wang yang dicuri.
"Dah
selesai?" tanyanya pada anak buah.
"Ambil
daun tujuh helai dan ranting berkapit dua", ketua pukau memberitahu anak
buahnya. Perintah itu segera dipatuhi oleh anak buahnya. Daun dan ranting
berkepit dua lalu diletakkan di bawah rumah. Ketua pukau lagi sekali berhadapan
dengan tengkorak kecut. Dia bercakap sesuatu di situ.
"Apakah
yang mesti kita buat sekarang tok", saya menyoal Datuk bila melihat ketua
pukau dan anak buahnya meninggalkan kawasan rumah yang di curi.
"Biarlah
mereka pergi", pendek saja Datuk memberikan jawapan.
Bila kumpulan
itu sudah pergi jauh dan Datuk yakin jentera kereta kumpulan pukau sudah
dihidupkan dan kereta mereka sudah bergerak, Datuk pun mengambil ranting
berkepit dua dan sehelai daun di bawah rumah. Semua benda-benda itu Datuk bawa
pulang ke pondoknya.
Sebaik sahaja
Datuk sampai ke pondok, dia segera menyalakan pelita dan menghidupkan bara api
di tempatnya. Daun yang sehelai itu dilayarkan ke api pelita, manakala ranting
berkapit dua dipatah-patahkan lalu ditaruh ke dalam tempat bara api.
Saya tidak
bertanya kenapa Datuk melakukan semua kerja itu. Saya lihat Datuk terus
termenung di depan bekas bara api sambil menaburkan kemenyan ke dalamnya.
"Aku
harap orang-orang yang mencuri itu akan datang menemui aku siang esok,"
kata Datuk dengan nada suara yang tenang.
Saya terus
diam dan merebahkan badan di hujung lutut Datuk . Lepas itu saya tidak tahu apa
yang Datuk buat tetapi saya di kejutkan oleh Datuk ketika azan subuh menguasai
kampung.
Pagi itu Din
Kerani menemui Datuk dan mencarikan pada Datuk apa yang berlaku di rumah ketua
kampung. Datuk juga diberitahu, barang-barang yang hilang dinilai lebih dari
enam ribu ringgit, termasuk wang tunai yang berjumlah dua ribu ringgit, hasil
dari penjualan tanah isteri ketua kampung di Rendang Sawa, dekat Batu Gajah.
Secara terang-terangan
Din Kerani melahirkan rasa kesal kerana Datuk tidak berjaya menahan kejadian
pukau itu dari berlaku. Malah Din Kerani meminta kata putus dari Datuk sama ada
dia sanggup menjalankan kerjanya atau tidak. Kalau tidak sanggup Din Kerani
mahu mencari orang lain.
"Apa kau
fikir menangkap orang berilmu sama macam menangkap anak ayam?", tanya
Datuk pada Din Kerani sambil membeliakkan biji mata.
"Saya
dah tak boleh sabar, semua orang kampung dah tahu, saya yang bawa awak ke sini
untuk mengatasi masalah ini, kalau tak berjaya tentulah saya malu."
"Kenapa
kau begitu bodoh, beritahu orang kampung? Apa kau tak boleh sabar sikit?"
Nada suara
Datuk yang meninggi itu membuat Din Kerani termenung panjang. Dia bimbang benar
kalau rumahnya akan menjadi mangsa ketua pukau. Datuk minta Din Kerani menunggu
di pondok hingga pukul empat petang.
"Buat
apa?"
"Untuk
melihat ketua pukau"
Mendengar
cakap Datuk itu, air muka Din Kerani segera berubah. Dia bagaikan tidak percaya
dengan apa yang dicakapkan oleh Datuk. Mana mungkin pencuri mahu menyerah diri,
kalau tidak ditangkap. Fikir Din Kerani.
"Benar
atau berjenaka?", Din Kerani meminta kepastian.
"Benar",
jawab Datuk dengan tegas.
Entah apa
malangnya, ramalan Datuk tidak menjadi kenyataan. Hingga jam lima petang ketua
pukau yang diharapkan itu tidak datang. Satu tamparan yang cukup hebat dalam
tugas Datuk. Belum pernah dia mengalami perkara seperti itu sebelumnya. Mukanya
merah padam. Din Kerani tidak mahu bercakap walau sepatah pun dengan Datuk. Dia
meninggalkan pondok dengan seribu pertanyaan.
"Orang
ini benar-benar handal dan dia tidak akan tunduk pada sesiapa," keluh
Datuk sambil merenung ke muka saya. Dia terus ambil air sembahyang lalu
menunaikan fardu asar. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh Datuk selepas
sembahyang. Saya lihat dia tertungguk depan tikar sembahyang sambil membuka
beberapa buah kitab.
Habis membaca
kitab, Datuk membaca surah Yasin. Datuk berhenti melakukan semua itu, setelah
masuk waktu Maghrib. Saya dan Datuk sembahyang di pondok. Bila masuk Isyak saya
dan Datuk berjemaah bersama-sama orang kampung di surau.
Di surau
orang-orang kampung membentuk satu jawatankuasa bertindak mengawal kampung.
Mulai malam itu, lima orang lelaki dikehendaki mengawal kampung mulai jam 9.00
malam hingga 2.00 pagi. Dari pukul 2.00 hingga 6.00, orang yang lain pula
datang mengambil tugas itu yang berjumlah lima orang juga. Din Kerani dipilih
sebagai ketua gerakan tersebut. Dia diwajibkan berada di surau setiap kali
lepas waktu sembahyang Isyak.
Saya merasa kurang
senang hati terhadap sikap orang-orang kampung pada Datuk. Mereka buat tidak
kisah dengan Datuk, tidak seperti mula-mula Datuk datang dulu. Barangkali
mereka mula sedar, bahawa Datuk tidak mampu bertindak lebih jauh lagi untuk
mencegah kejadian pukau. Meskipun begitu Datuk tidak merasa kecil hati. Dia
tetap melayan orang-orang kampung dengan baik dan peramah. Dia bercakap dengan
tok siak, dia menyapa tok imam dan ketua kampung. Sebelum pulang Datuk bercakap
dengan Din Kerani dan Datuk minta Din Kerani datang ke pondoknya kira-kira
pukul satu malam.
Malam itu
Datuk tetap berusaha untuk memberkas ketua pukau. Dia berazam untuk menangkap
ketua pukau itu dan mahu menasihatinya supaya jangan meneruskan kerja yang
boleh menyusahkan orang ramai. Datuk mahu menasihatkan ketua pukau itu supaya
mencari rezeki yang halal.
Datuk
membentangkan kain hitam di tengah ruang pondok. Dia meletakkan keris panjang
di tengah kain. Mangkuk putih yang berisi air ditempatkan diburu kain hitam
sebelah kanan. Bucu sebelah kiri diletakkan tempurung serta sabut.
Datuk berdiri
tegak menghadapi benda-benda itu semua. Datuk memakai seluar hitam serta baju
hitam dan pinggangnya diikat dengan kain merah. Kepala dililit dengan kain
kuning. Datuk berdiri sambil memeluk tubuh. Datuk terus membaca ayat Al-Iqra'
hingga tamat.
Lepas itu dia
membaca Al-Fatihah. Sebaik saja Datuk selesai membaca dengan tiba-tiba mangkuk
putih yang berisi air bagaikan meletup, air melimpah atas kain putih. Datuk
terus duduk. Keris panjang saya lihat bergerak sendiri menuju ke bucu kain
hitam sebelah kanan. Wajah Datuk cukup cemas. Peluh halus muncul dengan
tiba-tiba di dahi luasnya.
"Orang
ini mencabar aku", kata Datuk pada saya.
Cepat-cepat
Datuk membuka bungkusan kain kuning yang disimpannya dalam beg rotan. Dia
mengeluarkan sebilah keris pendek berulu gading. Mata keris itu kelihatan
berkarat. Datuk pernah menceritakan pada saya, bahawa keris itu memang di
bawanya dari Jambi, Indonesia. ltulah satu-satunya peninggalan orang tuanya
yang dapat diwarisinya. Keris itu pernah digunakan, ketika menentang Belanda di
Acheh.
"Besinya
dikutip dari besi-besi sekitar Acheh dan Jambi, dibuat dengan tangan. Mata
keris itu sudah di taruh racun getah ipoh", kata Datuk pada saya satu masa
dahulu. Datuk juga memberitahu keris tersebut pernah membunuh beratus-ratus
tentera Belanda.
Keris itu
disimpan dalam busut di bawah rumah. Bila orang tuanya mahu meninggal dunia,
keris itu diserahkan padanya dengan syarat dia tidak boleh memijak bumi Jambi
sampai akhir hayat, kalau mahu keris itu menyimpan bisa dan kuasanya.
Hanya itu
saja yang saya tahu tentang keris tersebut. Datuk terlalu merahsiakan tentang
keris itu dari anak cucunya, kecuali saya. Datuk melayarkan mata keris ke atas
bara. Saya lihat keris itu bertukar kemerah-merahan. Di mata keris tersebut
timbul huruf-huruf jawi iaitu dua kalimah syahadah. Datuk menyimpan keris
kembali. Dia merenung tembikar mangkuk putih yang berserak.
"Kau
memang mahu menghancurkan aku", tiba-tiba saya terdengar satu suara dari
arah kanan. Saya segera menoleh. Seorang lelaki tua berdiri di situ. Dari mana
datangnya saya sendiri tidak tahu. Datuk merenung lelaki itu dengan pandangan
yang tajam.
"Aku
sebenarnya tidak pernah tenang dan aku harap kau akan memberikan ketenangan itu
pada aku", lelaki itu bersuara lemah.
Datuk
terdiam. Saya lihat Datuk seperti berada dalam keadaan yang tidak tentu arah.
Datuk menarik
tangan saya. Dan saya pun segera mendekatinya. Dalam keadaan yang agak tenang
itu, Datuk sempat memberitahu saya, bahawa lelaki tua yang kelihatan itu adalah
kenalannya yang sama-sama datang dari Jambi.
Bila sampai
ke semenanjung, kenalannya itu sudah mati lemas di sungai, dekat pangkalan di
Hutan Melintang. Perahu yang dinaiki kawannya itu karam akibat berlanggar
dengan batang kayu di musim tengkujuh. Datuk menyuruh saya duduk di muka pintu
pondok. Arahan Datuk itu saya patuhi.
"Kenapa
kau yang datang Tandang Ali. Aku bukan mencari kau", kata Datuk sambil
membaca sesuatu. Ibu jari tangan Datuk menekan pangkal belikat. Wajah Datuk agak
pucat sedikit.
"Aku
tahu apa yang kau cari Ucang Diah", beritahu lelaki itu. Saya terkejut,
kerana lelaki itu dapat menyebut nama Datuk dengan tepat. Sebenarnya tidak
ramai orang yang tahu nama sebenar Datuk. Dalam kad pengenalan Datuk namanya
tercatat sebagai - Kulub Mohd Diah. Dan orang-orang kampung, anak cucunya juga
tahu itulah nama Datuk yang sebenar.
Tetapi pada
saya, Datuk memberitahu secara rahsia nama sebenarnya yang diberitahu oleh
orang tuanya ialah Ucang Diah. Ucang itu adalah nama keturunan atau suku yang
dibawanya dari Jambi.
"Engkau
boleh memberi ketenangan pada roh aku"
"Maksud
kau?"
"Akulah
yang memberikan tengkorak pada ketua pukau. Aku mengambilnya dari kubur dan aku
memujanya. Selagi tengkorak itu tidak hilang darinya, roh aku tidak aman."
"Kenapa
kau memanjangkan ajaran syaitan?"
"Itulah
silapnya aku."
"Kau
tahu hukumnya menyeksa mayat? Berdosa besar."
"Masa
itu aku tidak terfikir. Yang aku fikirkan masa itu ialah menyuruh mereka
memukau rumah-rumah orang putih yang menjajah negara kita, tetapi mereka
melakukan sebaliknya."
"Apa pun
niat kau tetap berdosa. Islam tidak mengajar pengikutnya membuat jahat. Islam
menyuruh umatnya berunding dan menggunakan akal fikiran. Kenapa kau
menyempitkan ajaran Islam?"
"Aku
tahu..", belum pun sempat orang itu mengakhiri cakapnya, Datuk terus
membelakanginya. Dengan sekelip mata saja, lelaki itu hilang dari pandangan
saya. Datuk terus menuju ke muka pintu. Dengan tenang memijak anak tangga
pondok. Saya mengekornya dari belakang.
"Ke mana
tok?"
"Ke
surau."
Sebaik saja
saya dan Datuk melangkah lima langkah ke depan, tiga orang lelaki menghalang.
Saya kenal lelaki yang berbaju putih dengan badik di tangan itu ialah ketua
pukau.
"Hei
kalau kau benar-benar handal tunjukkan, apa hak kau menghalang kerja
kami?", cukup keras suara ketua pukau. Salah seorang dari rakannya
memberikan golok perak kepadanya. Datuk menyuruh saya undur. Muka ketua pukau
saya lihat merah padam dalam samar-samar cahaya bulan malam itu.
"Aku
guni kan awak dengan anak awak, kami nak campak ke dalam Sungai Kinta,"
ketua pukau terus mengugut.
Datuk berdiri
tegak di hadapan ketiga-tiga lelaki itu. Kaki kanan Datuk saya lihat
bergerak-gerak. Mata Datuk tidak berubah merenung muka ketua pukau. Datuk
menikam tumit kaki kanan ke dalam bumi. Separuh dari tumit itu saya lihat
tenggelam.
"Kenapa
bersekutu dengan syaitan untuk mencari kemewahan?", Datuk terus menyergah
ketua pukau.
Dan ketua
pukau sudah tidak sanggup menerima penghinaan itu. Dia lalu mengangkat golok
perak untuk menetak batang leher Datuk. Datuk kerutkan muka. Tumitnya kian
kejap ditekan ke bumi. Saya lihat seakan-akan ada kepulan asap mengelilingi
buku lali kaki Datuk.
Ketua pukau
angkat senjata, tiba-tiba tangan dan kakinya tidak boleh bergerak bagaikan
terkunci. Dia berusaha mahu bergerak. Usahanya gagal. Mulutnya separuh terbuka.
Datuk melangkah ke depan. Dengan cepat Datuk menyentuh mata golok perak.
Dengan
tiba-tiba golok perak itu patah dua. Bahagian atas yang patah jatuh betul-betul
di hujung sepatu ketua pukau. Datuk menghentakkan kakinya ke atas tanah sekuat
hati. Golok perak yang tinggal separuh di tangan ketua pukau terlepas.
"Kuncinya
sudah aku buka. Apa yang aku mahu sekarang, ingat bersekutu dengan syaitan
tidak akan boleh ke mana-mana. Belajarlah hidup dengan berusaha mencari rezeki
yang halal", Datuk memberitahu ketua pukau.
Dengan
mendadak saja ketiga-tiga ahli kumpulan pukau itu sujud di kaki Datuk.
Cepat-cepat Datuk menolak ketiga-tiga badan anggota pukau itu. Datuk berubah
tempat berdiri.
"Jangan
sujud di kaki aku. Aku adalah manusia seperti kau juga, berasal dari tanah.
Dalam Islam tidak ada manusia yang tinggi dan rendah, semuanya sama saja. Kamu
semua harus sujud pada Allah yang Maha Besar meminta ampun dan bertaubat",
kata Datuk.
"Tapi kami
mahu minta maaflah pada orang yang kami curi harta-bendanya. Jangan hukum
kami."
"Aku
tidak boleh menghukum kamu. Allah yang Maha Besar berhak atas dirimu. Pada
Allah terletak hukuman yang adil"
"Kami
bertaubat"
"Bertaubatlah
pada Allah dan aku minta kau serahkan tengkorak itu pada aku", Datuk
mengemukakan permintaan secara jujur.
Belum pun
sempat ketua pukau melakukan apa yang di perintahkan Datuk, Din Kerani pun
datang. Datuk terus memberitahunya, bahawa kaki pukau yang di cari ada di
hadapan. Din Kerani mahu bertindak untuk membawa kaki pukau ke balai polis.
Permintaan itu tidak dapat ditunaikan oleh Datuk.
"Maafkan
orang yang bersekutu dengan syaitan lebih mulia dari menghukumkannya. Dengan
kesempatan yang kita berikan, boleh membuat mereka insaf dan kembali ke ajaran
Islam yang sebenarnya", itulah alasan yang diberikan oleh Datuk pada Din
Kerani.
Datuk
membebaskan mereka, dan mereka berjanji akan memberikan pada Datuk tengkorak
kecut yang digunakan ketika mencuri.
Sejak terjadi
peristiwa itu, kejadian mencuri dengan memukau tidak lagi berlaku. Saya dan
Datuk terus duduk di Kampung Tanjung Tualang selama tiga minggu lagi. Dalam
rancangan Datuk, sesudah dia mendapatkan tengkorak kecut dari ketua pukau,
barulah dia pulang ke kampung.
Ternyata, ketua
pukau tidak menunaikan janjinya. Mereka berpindah tempat melakukan kegiatan
memukau di kawasan Kampar pula. Datuk merasa kesal kerana membebaskan mereka
tempo hari. Sedarlah Datuk, sekali syaitan menguasai hati manusia memang sukar
untuk membuangnya.
Datuk menjadi
manusia yang paling berdukacita dengan kejadian itu. Lebih-lebih lagi berita
itu didengarnya pada setiap hari bila dia berjemaah ke surau. Datuk pun
mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan dia akan cuba menghancurkan
kumpulan pukau itu dengan caranya yang tersendiri.
Dua hari di
kampung, Datuk terus mengajak saya pergi ke Kampung Bahagia di Teluk Intan.
Kami tinggal di rumah seorang ustaz yang mengajar di sekolah Sultan Abdul Aziz.
Dengan secara jujur Datuk memberitahu ustaz tersebut yang secara kebetulan
mempunyai pertalian keluarga yang agak jauh dengan nenek, tujuannya datang
untuk ke situ untuk memberkas kumpulan pukau.
Ustaz
tersebut memperkenalkan Datuk dengan seorang mata gelap. Mat Jali namanya,
orang Lambor Kanan. Mat Jali memang sudah lama mengikuti kegiatan kumpulan
pukau tersebut. Mat Jali memang mengharapkan dengan adanya kerjasama dari
Datuk, kegiatan kumpulan itu akan segera dapat ditumpaskan. Memang Datuk
berazam, bila kumpulan itu dapat di berkas, Datuk tidak akan memberikan ampun
dan maaf pada mereka. Datuk mahu mereka dihukum mengikut undang-undang yang
telah di tetapkan.
Suatu petang
Mat Jali datang menemui Datuk. Mereka bercakap panjang di halaman rumah hingga
waktu Maghrib. Lepas waktu maghrib, lagi sekali Mat Jali datang menemui Datuk.
Saya tidak mahu ambil tahu dengan apa yang mereka bicarakan. Perkara yang nyata
ialah, sambil Datuk bercakap, Mat Jali mencatatkan sesuatu di kertas kecil.
Sebelum Mat Jali meninggalkan rumah, Datuk terus berpesan padanya:
"Saya yakin,
mereka akan di situ malam ini. Saya yakin dengan pertolongan Allah yang Maha
Besar, firasat saya ini betul, dan awak akan berjaya"
"Semoga
Allah akan memberkati kerja saya ini"
"Sama-samalah
kita berdoa", sahut Datuk dari muka pintu.
Datuk masuk
ke rumah. Dia terus membaca surah Yasin, duduk di ruang tengah bersama saya dan
ustaz. Menurut Datuk, kumpulan pukau itu akan kecundang. Dua sebab kenapa
kumpulan pukau itu kecundang. Pertama, ketuanya mungkir janji dan kedua gurunya
sendiri tidak merestui kerja tersebut.
"Kerja
dia orang licin", kata ustaz.
"Saya
tahu. Guru mereka kawan saya dan sudah pun mati, sekarang rohnya tak
aman."
"Macam
mana Wak tahu hal itu?"
"Kerja
jahat, janganlah ditanya. Pada Wak, cuma Wak mahu buat dengan tak mahu buat
saja. Setiap kerja yang kita lakukan kita harus memikirkan apakah kerja tu di
berkati oleh Allah atau tidak"
"Saya
faham"
Cuma setakat
itu saya dengar kata-kata Datuk dan ustaz. Lepas itu masing-masing masuk bilik.
Lebih kurang pukul dua pagi, rumah ustaz di ketuk orang bertalu-talu. Datuk
buka pintu. Muka Mat Jali tersembul.
"Apa
halnya?", soal Datuk.
"Semuanya
dapat kami tangkap."
''Di mana?''
"Macam
awak katakan itu, mereka nak pukau rumah penghulu Tapah yang duduk di
Bidor."
"Sekarang
dia orang di mana?", tanya Datuk lagi. Dia tersenyum puas.
"Di
Balai Polis Langkap"
"Kenapa
di Langkap, tidak di bawa ke Kampar?", celah ustaz yang berbadan besar,
ada janggut sejemput di dagu, memakai kaca mata putih.
"Tak
tahu, pegawai suruh bawa ke Langkap, esok baru di bawa ke Kampar"
"Begitu",
suara Datuk lemah.
Malam itu
juga, saya dan Datuk naik kereta Moris Minor Mat Jali menuju ke Balai Polis
Langkap. Atas daya usaha Mat Jali, Datuk dan saya dapat menemui ketua pukau
bersama kawannya di dalam lokap.
"Kenapa
kamu tak insaf?", soal Datuk pada ketua pukau. Pertanyaan Datuk itu tidak
mendapat jawapan. Ketiga-tiga kaki pukau itu diam membisu. Dari Mat Jali Datuk
mendapat tahu nama sebenar ketua pukau itu ialah Kusman tetapi lebih dikenali
dengan panggilan Hitam. Sudah ada anak dan isteri. Anaknya yang besar belajar
tingkatan dua di Kampar yang pada masa itu dibela oleh abangnya. Datuk terus
meminta tengkorak kering dari ketua pukau.
Datuk
memberitahu tengkorak kering itu harus di pulangkan kepada tuannya secara ghaib,
di samping itu Datuk juga memberitahu, bawa guru mereka Tandang Ali memintanya
mengambil tengkoraknya itu dari mereka.
"Dia
sudah mati", meletus jawapan dari ketua pukau.
"Aku
tahu, tapi rohnya tidak aman. Bila harta peninggalannya kau pulangkan pada yang
berhak, baru dia aman. Aku tahu, dia kawan aku".
Ketua pukau
terdiam. Datuk terus memujuknya. Hingga terbit fajar pagi Datuk tidak
memperolehi apa-apa darinya. Datuk tahu tengkorak itu ada padanya. Siapa pun
tidak akan menjumpainya kalau mencari di badannya, kecuali menggunakan beberapa
petua yang tertentu. Tengkorak itu boleh di sembunyikan dicelah kulit bahagian
paha di mana orang tidak akan nampak.
Pada pukul 10
pagi Datuk melihat ketua pukau itu dimasukkan ke dalam perut jeep untuk di bawa
ke Balai Polis Kampar. Sebelum bertolak Datuk mengingatkan polis yang
mengawalinya supaya berhati-hati dengan ketua pukau. Meskipun tangan digari,
dia boleh melepaskan diri. Ketua pukau itu juga mempunyai beberapa kebolehan
dalam ilmu kebatinan. Bagi menjamin ketua pukau itu tidak boleh melepaskan
diri, Datuk menawarkan diri untuk mengikuti jeep itu pergi ke Kampar.
Permintaan
Datuk itu tidak dapat ditunaikan oleh ketua Balai Polis Langkap. Datuk merasa
bertuah kerana Mat Jali bersedia membawa Datuk ke Kampar dengan menaiki
keretanya kerana Mat Jali mengekor dari belakang.
Datuk nampak
resah sahaja. Dia menyatakan pada Mat Jali ada sesuatu yang akan berlaku dalam
perjalanan. Tetapi Mat Jali meyakinkan Datuk, bahawa semuanya berjalan dengan
baik,
malah dia
yakin ketua pukau itu tidak akan berjaya melepaskan diri.
Datuk diam.
Dia memejamkan kedua belah matanya. Dahinya berkerut. Mukanya mula didatangi
oleh peluh-peluh halus. Saya tahu, bila Datuk melakukan hal sebegitu, dia
merenung atau menilik sesuatu yang jauh darinya.
"Dia
berjaya membuka garinya", tiba-tiba Datuk bersuara agak keras.
Ketika itu
kereta jeep yang membawa ketua pukau sedang melintas jambatan di Sungai Air
Kuning, dekat Kampar (jambatan itu dirobohkan dalam tahun 1976, sebagai
gantinya
satu jambatan
baru telah dibina, seperti yang ada sekarang ini).
"Dia
akan terjun ke dalam sungai", kata Datuk lagi.
Sebaik saja
Datuk selesai bercakap, saya dan Mat Jali melihat ketua pukau terjun ke atas
jalan raya, kemudian terjun ke dalam sungai. Polis yang berada di sisinya
terpaku. Mat Jali membunyikan hon menyuruh kereta jeep berhenti. Jeep itu pun
berhenti dan Mat Jali menghentikan keretanya ke tepi. Datuk keluar dari perut
kereta.
"Dia
agak handal orangnya", ujar Datuk sambil merenung ke dalam sungai yang
berbuih. Polis angkat rifle dan menjunamkan muncung ke arah perut sungai.
"Kita
tidak akan dapat menangkapnya. Dia ada ilmu tahan air", kata Datuk.
Cakap Datuk
itu memang benar. Tiga puluh minit menunggu, ketua pukau tidak juga muncul. Air
tempat dia terjun tetap berbuih.
Datuk
memberitahu Mat Jali dia boleh memberkas ketua pukau itu, tetapi memakan masa
sedikit. Datuk meminta Mat Jali menyuruh pemuda jeep membawa kawan ketua pukau
ke Kampar. Jeep pun bergerak. Datuk berdiri di tebing sungai. Dia mengambil air
sungai dengan daun keladi. Air itu di lambung ke atas.
Sebelum air
itu jatuh ke tanah, Datuk menyambutnya dengan mulutnya, kemudian air itu
disemburkan ke dalam perut sungai. Saya lihat air sungai bagaikan menggelegak
dan berbuih-buih, kemudian tempat ketua pukau terjun itu berpusing-pusing
menjadi semacam lubuk.
Dengan
mendadak sahaja air sungai itu menjulang badan ketua pukau lalu mencampakkannya
ke tepi tebing. Ketua pukau tersadai di situ. Dari bawah dagunya keluar satu
benda putih.
Benda itu
berbuih dan akhirnya menjadi satu tengkorak. Datuk pun mengambil tengkorak
tersebut.
Datuk merawat
ketua pukau hingga pulih. Dia berdiri sambil merenung Mat Jali di sisinya, dan
bagaikan kilat dia merampas pistol Mat Jali, lalu melepaskan tembakan ke arah
Datuk.
Datuk
cepat-cepat menguncikan sendi badannya. Pistol di tangan ketua pukau terjatuh
di kaki, dan secara mendadak saja pistol itu meletup dan pelurunya mengenai
perut kedua pukau. Sebelum ketua pukau rebah ke bumi, Datuk memeluk tubuhnya
dan dengan sekilap mata sahaja Datuk muntah darah.
Seluruh badan Datuk menjadi biru.