Diresapi Semangat Monyet
Langit di
Batu Enam Belas Jalan Tapah-Cameron Highlands malam itu cukup cerah. Bah Lanjut
dan Datuk terus berjaga di pangkal pokok Jelutung patah dahan. Saya terus
mencampakkan dahan dan ranting kayu ke dalam unggun api di belakang pondok.
Bahang dari unggun itu menghilangkan rasa dingin yang menyelimuti tubuh saya.
Sesekali terdengar bunyi dahan kayu berlaga sesama sendiri, dirempuh angin
malam, lalu melahirkan satu nada irama yang memanjang. Embun jantan mula
menitik atas kepala saya.
"Sudah
dinihari," keluh Datuk. Bah Lanjut angguk kepala. Matanya merenung tajam
ke arah hutan tebal di sebelah kanan pondok. Saya terus mencampakkan
puntung-puntung kayu ke dalam unggun, bila puntung kayu berada di dalam anggun
api, ia kelihatan marak dan bunga api berterbangan ke udara. Saya kira sudah
pukul dua lebih. Suara binatang buas terdengar sayup-sayup di kaki bukit. Saya
lihat Datuk tertidur di pangkal pokok Jelutung. Bah Lanjut terus bergerak ke
hulu ke hilir sambil memaut golok di pinggang. Saya tidak mempedulikan mereka.
Tiba-tiba
saya terasa kelopak mata cukup berat. Lepas itu, saya tidak tahu apa yang
berlaku, bila saya membuka mata kembali, saya lihat Bah lanjut pula tertidur di
pangkal pokok Jelutung dan Datuk pula bertindak sebagai pengawal. Datuk, saya
dan Bah Lanjut merasa cukup kecewa. Lembaga hitam yang dinantikan sepanjang
malam, tidak juga menjelma.
"Dia
bagaikan tahu kita menantinya," kata Datuk pada Bah Lanjut sesudah melihat
fajar subuh bangun di kaki langit.
"Dia
takut agaknya," sahut Bah Lanjut.
"Boleh
jadi juga," balas Datuk dan Bah Lanjut kecewa. Bah Lanjut meminta diri
pulang ke rumahnya. Saya dan Datuk beredar menuju ke arah sebuah anak sungai.
Kami mengambil air sembahyang. Hari mula beransur cerah.
Waktu Datuk
mahu mendaki anak bukit ke pondok, di terserempak dengan tapak kaki binatang,
sebesar tapak kaki gajah, anehnya tapak kaki menyerupai tapak kaki manusia, tetapi
mempunyai empat jari. Jari sebelah kanan berbentuk bulat macam anak lesung
batu. Datuk membuat kesimpulan, itulah ibu jari kaki lembaga hitam. Datuk
menandakan kesan tapak kaki binatang itu dengan sebatang pokok kecil yang
dipatahkan dua. Sebelum beredar Datuk baca sesuatu di situ.
"Supaya
jangan hilang bila dicari," Datuk memberitahu saya. Dan saya cuma
tersenyum sambil angguk kepala dua tiga kali.
Selepas
menunaikan sembahyang subuh dan bersarapan pagi, saya dan Datuk di halaman
pondok. Beberapa minit kemudian Bah Lanjut datang. Wajahnya nampak riang.
"Kita
kena bertolak pergi ke sana," katanya. "Jalan kaki," sahut Bah
Lanjut.
"Susah
tu," celah saya.
"Tak
susah sebelum matahari condong sampailah kita ke sana." Bah Lanjut
memberikan satu keyakinan dalam diri saya. Datuk termenung panjang. Datuk
berjalan dua tiga tapak keliling halaman pondok. Berhenti betul-betul di depan
kaki tangga pondok.
"Begini
tok batin, tok batin pergi dulu, kami ikut kemudian." "Nanti sesat,
susah."
"Tak
apa, syarat utamanya bila tok batin sampai ke sana, tandakan kawasan itu dengan
kain merah," Datuk mengemukakan cadangan.
"Cara?"
"Ikat
kain merah pada buluh, dan buluh itu dicacakkan atas tanah lapang."
"Baiklah."
Bah Lanjut pun melangkah ke arah utara. Sebelum hilang ditelan oleh pokok-pokok
hutan yang tebal itu, Bah Lanjut sempat melambaikan tangan ke arah saya dan
Datuk. Saya lihat cukup tangkas Bah Lanjut bergerak, saya tidak dapat melihat
bayang atau tubuhnya kecuali melihat pokok-pokok yang bergerak saja. Tidak
sampai lima minit, saya tidak dapat mendengar suara Bah Lanjut menjawab laungan
dari Datuk. Matahari bertambah tinggi, tetapi rasa sejuk masih kuat mencengkam diri.
Bibir saya terketar-ketar. Datuk mengambil dua tiga helai daun kayu muda.
Digosoknya ke tapak tangan beberapa kali.
"Bila
kita bertolak ke Kampung Raja tok?" tanya saya sesudah melihat Datuk tidak
membuat sebarang persiapan untuk pergi ke tempat tersebut. Datuk tidak menjawab
pertanyaan saya. Dia terus menakuk-nakuk pangkal pokok jelutung dengan golok
peraknya. Datuk menyuruh saya mencari ranting dan dahan kering. Saya patuh
dengannya. Saya sudah pun berjaya mengumpul satu bekas dahan dan ranting kering.
Saya tempatkan di bawah pokok.
"Bila
kita nak pergi," tanya saya lagi sekali. Datuk merenung tajam ke arah
saya. Dia kerutkan mukanya.
"Itu
urusan aku. Bila aku ajak, kau ikut. Kalau tidak kau tunggu di sana," nada
suara Datuk membayangkan kemarahan. Datuk terus duduk atas tunggul buruk. Saya
terdiam memukul tanah dengan tangan kiri sebanyak tiga kali. Matahari terus
memancar. Bunyi burung terus bersahut-sahutan. Saya duduk termenung di bawah
pondok. Tidak berani saya melihat muka Datuk yang macam muka harimau itu. Datuk
berubah tempat duduk bersila di bawah pokok jelutung. Kedua belah lengannya
diletakkan atas kepala lutut.
Mata Datuk
merenung ke arah hutan. Tiba-tiba saya lihat beberapa ekor monyet melompat atas
dahan sambil menjerit, monyet-monyet itu terus melompat dari dahan ke dahan
dengan cepat seperti dikejar sesuatu. Dada saya berdebar, dari sebelah utara
pondok, keluar dua ekor harimau belang berbadan besar. Salah seekor daripada
harimau belang badannya besar. Salah seekor dari pada harimau itu ternyata
mempunyai kaki yang untut sebelah kiri.
Harimau itu
menuju ke arah Datuk yang duduk mencangkung Lebih kurang lima minit lamanya,
salah seekor daripada harimau itu memusingkan ekornya mengusap dan menyapu
wajah Datuk dengan ekornya. Datuk membiarkan harimau itu melakukan apa saja
terhadap dirinya. Bila sudah penat, harimau itu beredar dan duduk kembali di
depan Datuk. Harimau yang seekor lagi pula, menerpa ke arah Datuk dan menjilat
wajah Datuk dengan lidahnya yang merah. Saya lihat misai harimau yang keras itu
berlaga dengan misai Datuk yang lembut. Datuk menepuk-nepuk pangkal leher
harimau itu dengan lemah lembut. Harimau itu mengaum kecil. Datuk memeluk leher
harimau itu dengan penuh rasa kasih sayang.
"Kau
rindukan aku," terdengar suara Datuk. Harimau menggerak-gerakkan ekornya.
Manakala harimau yang lagi seekor berguling-guling di atas tanah sambil
keempat-empat kakinya menghala ke langit.
"Aku dan
cucuku selamat di sini, pulanglah. Berkalih hari kau datang ke sini,"
selesai saja Datuk bercakap, dia bangun. Harimau segera berdiri di sisinya.
Harimau kaki untut sebelah kanan, yang tidak untut di sebelah kiri.
"Pulanglah,"
tambah Datuk lagi sambil menepuk-nepuk belakang harimau.
Kedua ekor
harimau itu mengaum serentak. Dan berjalan tenang masuk ke dalam hutan tebal.
Datuk merapati saya lalu menyuruh saya memasak nasi. Datuk juga memberitahu
saya, bahawa dia akan turun ke sungai untuk menangkap ikan.
Datuk terus
meninggalkan saya di pondok. Dan saya terus menghidupkan api. Membasuh beras dan
memasak nasi. Sebaik saja air nasi di dalam periuk kering, Datuk kembali dari
sungai membawa ikan. Datuk mencari kayu kecil dan ikan itu lalu dipanggang dan
diangkatkan pada api. Semuanya berjalan dengan baik. Bila matahari sudah berada
betul-betul di tengah kepala, saya dan Datuk terus makan, Datuk berdiri di
halaman melihat bayangannya di atas bumi.
"Sudah
masuk sekarang," pendek saja suara Datuk. Dan fahamlah saya, bahawa Datuk
menyuruh saya pergi ke sungai mengambil air sembahyang. Saya terus pergi ke
sungai. Setelah selesai sembahyang, Datuk terus duduk di pangkal jelutung.
Entah apa yang dibuat oleh Datuk di situ saya sendiri pun tidak tahu.
"Bah
Lanjut sudah sampai ke tempat yang dituju," Datuk memberitahu saya. Datuk
terus naik ke pondok. Ambil pakaian dan barang-barang keperluan. Saya juga
berbuat begitu. Datuk menutup kedua belah mata saya dengan kain hitam. Dia
menyuruh saya berdiri di kaki tangga. Saya akur dengan perintah itu, Datuk
menyuruh saya meluruskan kedua belah tangan saya ke hadapan.
Darah saya
tersirap. Saya menyentuh badan harimau. Saya terasa lidah harimau
menjilat-jilat kedua belah lengan saya. Datuk memimpin saya ke depan, lalu
mendudukkan saya atas badan harimau.
"Kau
tunggang dia sendirian," kata Datuk.
"Aku
naik belakang siuntut, tetapi jangan buka kain penutup mata, kalau kau ingkar,
kau tak akan melihat dunia lagi," sambung Datuk ada nada mengugut perasaan
hati saya.
"Saya
faham tok."
"Faham
saja tak mahu, tapi mesti taat," tengking Datuk.
"Saya
taat Datuk"
"Hum ...
bagus."
Saya terasa
harimau yang saya tunggang itu bergerak perlahan-lahan, kemudian laju dan terus
laju saya terasa kedua belah cuping telinga saya cukup sejuk kerana di sentuh
angin. Saya tidak pasti sama ada harimau yang saya naik itu terbang atau berjalan
di atas bumi. Dalam saya berfikir-fikir itu, harimau yang saya naik berhenti
berjalan. Datuk pun membuka kain yang membalut ke dua belah mata saya.
"Bagus,
kau dah berani sekarang," serentak dengan ucapan itu Datuk terus memukul
belakang saya dua tiga kali. Saya raba bibir saya yang terasa kebas. Saya gigit
bibir hingga terasa sakit.
"Kau dah
berani sekarang," ulang Datuk sambil mengeluarkan bertih dari uncangnya.
Bertih itu ditaburkannya atas tanah lapang untuk makanan harimau peliharaannya.
Sesudah memakan bertih, harimau itu mengaum kecil sambil menggoyang-goyang
ekornya. Datuk tepuk kepala harimau dan ia pun terus masuk ke dalam hutan tebal
lalu hilang.
“Di mana kita
sekarang ni tok?"
"Kita
ikut tepi hutan ni menuju ke arah matahari naik." Datuk dan saya pun
melangkah serentak meredah hutan, melanggar akar dan duri. Sayup-sayup
terdengar bunyi kokok ayam hutan, tingkah meningkah dengan salakan anjing.
Saya yakin,
bahawa kami memang tidak jauh dari perkampungan orang asli. Matahari bertambah
condong, kabus tebal mula bangkit di sekitar kawasan hutan. Badan saya
bertambah sejuk. Datuk dan saya terus meredah hutan, dari jauh sudah nampak
asap berkepul dari puncak sebuah bukit kecil.
"Berhenti,"
Datuk memaut bahu kanan saya. Kami terdengar bunyi benda bergerak di sebelah
kiri, saya lihat pokok-pokok di situ bergerak sendiri. Dada bertambah cemas.
Seorang lelaki muncul di situ.
"Bagaimana
cepat awak sampai," kata Bah Lanjut kehairanan.
"Kita
belum lagi memacak kain," tambahnya sambil meraba dahi. Datuk tidak
menjawab pertanyaan itu. Datuk meminta Bah Lanjut membawanya segera ke
perkampungan orang asli di Kampung Raja.
"Mari,"
ajak Bah Lanjut, Kami lagi sekali menyelusup di bawah akar dan pokok hutan.
Akhirnya kami sampai ke sebuah kawasan perkampungan orang asli. Bah Lanjut
membawa kami ke sebuah rumah di tepi pokok meranti. Bah Lanjut memperkenalkan
Datuk pada penghuni rumah itu.
Bah Lanjut
juga meminta tuan rumah itu menyediakan sebuah tempat khas untuk Datuk dan
saya, tempat itu mestilah bersih, tidak boleh anjing masuk ke situ. Tuan punya
rumah itu sanggup menyediakan apa yang diminta oleh Bah Lanjut. Saya dan Datuk
ditempatkan di sebuah rumah kosong berhampiran dengan sebuah anak sungai.
Datuk
gembira, kerana dia mudah mengambil air sembahyang dan mandi. Sesudah
meletakkan barang-barang yang di bawa ke rumah itu, saya dan Datuk kembali
semula ke rumah yang mula-mula di temui. Bah Lanjut sudah menanti di situ. Bah
Lanjut bercakap dalam bahasa ibundanya dengan tuan rumah itu.
Kemudian, Bah
Lanjut membawa saya dan Datuk ke satu ruang di tengah rumah. Seorang gadis
orang asli terbaring di situ. Cantik juga raut wajahnya. Di hujung kaki itu
terletak beberapa naskah majalah filem. Di hujung kepalanya pula terletak
beberapa batang keladi dan pucuk ubi kayu.
Bah Lanjut
memberitahu Datuk nama gadis itu ialah Kuntum. Menurut Bah Lanjut, dulu Kuntum
tinggal di Jalan Parang, bersekolah di situ. Gagah untuk menyambungkan
pelajaran ke sekolah menengah di Tapah. Dia terpaksa pulang ke kawasan Kampung
Raja membantu orang tuanya bercucuk-tanam. Hinggalah pada suatu hari, Kuntum
telah di tangkap oleh satu lembaga hitam, ketika dia menanam padi di lereng
bukit.
Tiga hari,
tiga malam Kuntum hilang, akhirnya orang bertamu Kuntum duduk menangis di
pangkal pokok bertam yang berduri lebat. Bila bawa pulang ke rumah, Kuntum
meraung-raung tidak tentu arah. Kuntum terpaksa diikat, dengan kepandaian Bah
Lanjut, sakit Kuntum beransur baik, anehnya pula, Kuntum tidak dapat bergerak
ke mana-mana waktu siang. Dia terkapar di ruang khas.
Bila malam,
Kuntum akan sihat seperti orang yang tidak terkena apa-apa. Dia boleh memasak,
membaca dan menyanyi. Kadang-kadang turun ke tengah halaman menari dengan
iringan bunyi suara buluh yang dihentakkan ke bumi. Menjelang dinihari, satu
lembaga hitam akan datang lalu memangku Kuntum untuk di bawa ke dalam hutan.
Bila fajar
subuh bangkit ke kaki langit lembaga hitam akan memulangkan Kuntum.
Kerana hari
sudah beransur gelap, Datuk minta diri untuk pulang ke rumah yang disediakan
untuk kami. Datuk berjanji akan pulang ke rumah Kuntum sesudah waktu Isyak.
Datuk tidak dapat memberikan kata putus sama ada dia boleh mengubati atau tidak
penyakit yang dideritai oleh gadis orang asli itu. Datuk sekadar menyatakannya.
Saya lihat
Datuk sudah mengenakan baju dan seluar hitam ke badan. Kepalanya dililitkan
dengan kain merah selebar dua jari. Datuk mengikat uncang hitam di pinggang.
Dia menyuruh saya memakai baju Melayu putih dan seluar putih. Belitkan kain
kuning ke kepala saya. Hati saya berdebar, belum pernah Datuk menyuruh.
"Bermacam
usaha telah dilakukan, pernah orang-orang di sini menyerang lembaga hitam itu,
tetapi semua tidak berjaya, lembaga hitam itu lebih kuat dari kami,"
beritahu Bah Lanjut pada Datuk. Datuk kelihatan resah. Dia gigit bibir.
"Jadi
sekarang bagaimana?" tanya Datuk.
"Kedua
orang tua Kuntum tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan menyerahkan Kuntum pada
lembaga hitam itu, saya pun harap awak akan dapat menolong kami dalam hal
ini," secara jujur Bah Lanjut menyuarakan hasrat hatinya.
Dia
memberitahu kepada kedua orang tua Kuntum bahawa dia akan menyiasat dan
mengkaji punca penyakit itu terlebih dahulu, sebelum memberikan ubat. Selepas
sembahyang Isyak, Datuk terus baring. Pusing kiri, pusing kanan. Akhirnya dia
terlelap. Bila melihat Datuk terlelap, saya pun merebahkan badan dengan harapan
Datuk akan melupakan janjinya dengan Bah Lanjut. Saya tahu dan faham benar,
kalau Datuk pergi ke situ. Sejam dua jam kerjanya tidak akan selesai.
"Bangun,"
sergah Datuk pada saya. Kelam-kabut saya dibuatnya. Saya memakai pakaian. Mahu
bertanya, saya takut Datuk naik angin. Jalan paling baik saya ikuti ialah,
patuh saja dengan apa yang di perintahnya.
"Bawa
damar," ujar Datuk.
Saya pun
ambil damar dari beg yang terletak dekat dinding rumah. Kemudian, saya ikut
Datuk turun. Sebaik saja kaki saya memijak bumi, saya terasa badan saya seram
sejuk. Saya melihat cahaya api yang berkelip-kelip dari arah rumah orang tua
Kuntum. Datuk terus melangkah sambil menarik tangan saya.
"Datuk,"
jerit saya sekuat hati bila melihat satu lembaga hitam berdiri di kiri saya.
Datuk pun menoleh ke arah lembaga itu. Cepat-cepat Datuk meraba mancis api di
dalam saku seluarnya. Datuk membakar kertas yang baru diambil dari dalam uncang
hitam. Cahaya dari kertas yang dibakar, menerangi kawasan dari sekitar. Saya
dapat melihat lembaga hitam itu dengan jelas. Tingginya, lebih kurang tinggi
saya, seluruh badannya berbulu.
Wajahnya
macam wajah beruk. Datuk menerkam ke arah lembaga hitam itu sambil membuka
silat harimau meniti batang. Lembaga hitam itu menepis setiap buah silat yang
Datuk lepaskan, saya lihat lembaga hitam itu juga boleh bersilat, mengikut
rentak silat Datuk. Api yang membakar kertas padam. Datuk terus bersilat.
Suara lembaga
hitam itu mengaum sambil mematahkan pokok-pokok kecil di sekelilingnya. Kerana
Datuk tidak dapat menahan serangan lembaga hitam itu, Datuk berundur hingga
sampai ke kaki tangga, saya terus naik ke rumah, lalu membawa pelita minyak
tanah ke muka pintu. Cahaya dari pelita minyak tanah itu, dapat menolong saya
melihat gerak lembaga hitam itu bertarung dengan Datuk.
Satu
tendangan yang kencang membuat lembaga hitam itu terguling.
Lembaga hitam
menjerit dengan sekuat hati. Serentak dengan itu beberapa lembaga hitam lain
muncul semuanya mahu menyerbu ke arah Datuk. Kali ini saya tidak wajar
membiarkan Datuk berjuang sendirian. Saya harus bertindak.
Saya ambil
golok yang terletak di ruang rumah kemudian melompat ke tanah, lalu membuka
silat halilintar. Saya melompat ke kiri dan ke kanan sambil menikam bertubi.
Salah satu lembaga hitam itu yang terkena tikaman saya menjerit lalu masuk ke
dalam hutan, dengan di ikuti oleh lembaga hitam yang lain. Datuk terduduk atas
tanah. Dadanya berombak -ombak menahan penat. Dengan mendadak saja saya lihat
Bah Lanjut muncul di hadapan saya dan Datuk.
Hati saya
segera bertanya sendirian, apakah lembaga hitam itu ada hubungannya dengan Bah
Lanjut. Apakah lembaga hitam itu jelmaan dari Bah Lanjut. Semuanya bersarang
dalam kepala saya. Dengan cara berbisik, saya ajukan pertanyaan itu pada Datuk.
Tanpa diduga,
Datuk terus menampar muka saya. Sakitnya bukan kepalang. Bah Lanjut terkejut
melihat aksi Datuk itu. Tetapi dia tidak berani bertanya kenapa Datuk melakukan
hal itu pada saya. Dengan cara penuh diplomasi Datuk menyuruh Bah Lanjut
menunggu kedatangannya di rumah orang tua Kuntum. Bah Lanjut akur dengan
permintaan Datuk itu.
Bila Bah
Lanjut sudah agak jauh dari kami, barulah Datuk dan saya memulakan perjalanan
ke rumah orang tua Kuntum. Datuk memilih jalan belakang. Ada dua sebab kenapa
Datuk memilih jalan belakang, pertama dia mahu kedatangannya tidak di ketahui
oleh Kuntum dan kedua orang tuanya. Kedua, Datuk mahu mengesan dari arah mana
lembaga hitam itu masuk ke rumah
Kuntum.
"Kenapa
ikut belakang, pintu depan terbuka," suara Bah Lanjut nyaring dalam gelap.
Dia muncul tiba-tiba di hadapan saya dan Datuk. Lagi sekali hati saya berdebar.
Dan macam-macam sangka yang buruk terhadap Bah Lanjut timbul di hati. Datuk
tidak menjawab dan saya mengikut langkah Bah Lanjut. Kemudian naik ke rumah.
Ayah Kuntum
tersenyum menyambut kedatangan kami. Sementara ibunya duduk mencangkung dekat
dinding. Datuk terus bercakap dengan kedua orang tua Kuntum. Datuk membuka
uncang kain hitam dan mengeluarkan kain merah, lalu dibakarnya bucu kain merah.
Bila api itu mula mahu marak, Datuk memadamkannya. Secara mendadak saja Kuntum
bangun lalu menyepak tangan Datuk. Dia bercakap sesuatu yang saya lihat Datuk
mengerti. Datuk terus memukul tulang kering Kuntum dengan belakang tangan.
Kuntum
menjerit lalu rebah. Ayah Kuntum bangun sambil mengeluarkan parang mahu menetak
Datuk. Perbuatannya itu segera di tahan oleh Bah Lanjut. Segera Bah Lanjut
menerangkan padanya kenapa Datuk berbuat demikian. Ayah Kuntum mengerti dan
minta maaf pada Datuk.
Kuntum segera
diangkat ke tempatnya dan dibaringkan di situ. Malam bertambah larut. Di luar
rumah terdengar orang berjalan dan bunyi ranting kering patah kena pijak.
Beberapa ekor
kelawar liar berterbangan. Tiba-tiba hidung saya tercium bau wangi yang amat
sangat. Mata saya terasa berat sekali. Kepala terasa sakit dengan mendadak.
Saya lihat ayah dan ibu Kuntum tersungkur ke lantai, begitu juga dengan Bah
Lanjut. Tidak sampai lima minit mereka berdengkur.
"Berikan
aku damar," Datuk minta damar dari saya. Saya serahkan damar pada Datuk.
Datuk segera memecahkan damar itu dengan hati-hati. Separuh diberikan pada saya
dan separuh lagi diambilnya.
Datuk suruh
saya menekapkan damar itu ke hidung. Bila saya tercium damar,mata saya kembali
segar. Kemudian Datuk menyuruh saya pura-pura tidur dan berdengkur. Datuk juga
berbuat begitu. Saya terasa rumah bergegar. Saya membuka mata sedikit tetapi
saya terus pura-pura berdengkur.
Kuntum
berlari ke tengah rumah. Dia menghulurkan tangannya pada lembaga hitam yang
macam beruk di muka pintu. Lembaga hitam yang berwajah hodoh itu memeluk
Kuntum. Hidungnya yang dempak dan keras itu di tekan ke pipi Kuntum yang lembut
sambil bersuara "Heh ... heh heh ... heh ... hum".
Kuntum
menjerit manja kerana terasa geli bila bulu lembaga hitam itu menikam kulit
badannya. Lembaga hitam itu terus mendukung Kuntum ke tempat tidur. Saya dan
Datuk menggolek-golekkan badan sambil berdengkur hingga sampai ke pintu ruang
tempat Kuntum tidur. Lembaga hitam meletakan Kuntum ke atas lantai. Dia terus
mencium Kuntum bertubi-tubi. Kuntum mengerang kepuasan.
Datuk menarik
kaki saya lalu meratakan bibirnya ke telinga saya.
"Kau
pergi ke sana, jangan lihat," ujar Datuk. Saya mengesotkan badan ke arah
lain. Tempat saya segera di ganti oleh Datuk. Walaupun begitu telinga saya
masih dapat menangkap suara Kuntum yang sesekali mengerang bersama bunyi suara
lembaga hitam itu. Saya terkejut bila lembaga hitam itu menjerit. Saya sudah
tidak dapat berpura-pura tidur lagi. Saya buka mata.
Saya lihat
Datuk berdiri di hadapan lembaga hitam. Kuntum terkapar di lantai. Telanjang
bulat, matanya tegak merenung atap rumah. Datuk menyuruh saya melekapkan damar
ke lubang hidung Bah Lanjut dan kedua orang tua Kuntum. Bila damar dicium,
semuanya bangun. Masing-masing terkejut melihat Datuk berhadapan dengan lembaga
hitam. Bah Lanjut lalu memasang lampu minyak tanah. Ruang menjadi terang
benderang.
Saya nampak
cukup jelas, lembaga hitam itu sebenarnya ialah sejenis monyet besar dan
mempunyai sepasang mata yang cukup tajam. Datuk terus mempertahankan diri dari
serangan lembaga hitam. Bah Lanjut dan kedua orang tua Kuntum mula rapat ke
arah lembaga hitam.
Melihat
keadaan yang cemas itu, lembega hitam itu terus melompat dua tiga kali.
Kemudian menghempaskan badannya di dinding rumah yang di perbuat dari kulit
kayu. Dinding rumah pecah. Lembaga hitam itu jatuh ke tanah dan menjerit lalu
melarikan diri dalam gelap yang pekat.
Tanpa
membuang masa lagi Datuk terus rapat kepala kepada Kuntum. Tubuh Kuntum dibalut
dengan kain batik. Datuk minta Bah Lanjut mencarikan daun dedap. Bah Lanjut
segera mencarinya.
Datuk
merimbas daun itu ke tubuh Kuntum sebanyak tujuh kali. Kuntum terkejut dan dia
bagaikan tersedar dari mimpi lalu bertanya pada ibunya apa yang sudah terjadi.
Ibunya menceritakan peristiwa yang berlaku. Kuntum menangis.
Datuk
mengambil damar itu diramasnya kuat-kuat. Saya lihat dari celah-celah jari
Datuk keluar asap. Damar yang sudah hancur itu digaulkan dengan daun dedap
dalam satu bekas. Datuk melumurkan semuanya ke tubuh Kuntum.
Datuk
membiarkan Kuntum berguling atas lantai. Kuntum kelihatan macam ikan kekeringan
air. Kuntum terus lemah dan tidak berdaya. Tubuh Kuntum dilitupi asap dan asap
itu membentuk satu lembaga yang menyerupai monyet besar berdiri hingga sampai
ke bumbung. Datuk membaca sesuatu lalu menghembuskan ke arah asap yang
berbentuk lembaga itu.
Asap berpecah
sekejap, bercantum kembali, berbentuk macam bantal guling, melayang-layang di
dalam rumah. Datuk pun menggigit bibir.
Dengan
tangkas Datuk membuka tapak tangan dan menghalakan ke arah asap berbentuk
lembaga. Datuk menghembus ke arah tapak tangannya. Asap berbentuk lembaga itu
menuju ke arah pintu lalu keluar.
"Binatang
sial itu, sudah meresapkan semangatnya ke dalam Kuntum," kata Datuk.
Bah Lanjut terkejut.
Datuk menyuruh Bah Lanjut menjaga Kuntum hingga ke siang. Dan Datuk serta saya
kembali ke rumah khas. Pagi esoknya, saya dan Datuk menemui kesan dan tapak
kaki seperti yang kami temui di Kampung Batu Enam Belas.
Datuk segera
memanggil Bah Lanjut. Mereka membuat keputusan untuk mengesan tapak kaki itu ke
arah mana lembaga hitam itu lari. Sebelum pergi, saya dan Datuk melihat Kuntum
dulu. Saya lihat Kuntum bertambah segar, tetapi mukanya kelihatan pucat.
Setelah
berbincang dengan Bah Lanjut lebih kurang sepuluh minit, kami pun mula mengesan
tapak kaki lembaga hitam itu. Kerana malam tadi tidak hujan, kesan tapak kaki
itu dapat dilihat dengan jelas.
Kami terus
berjalan sambil memotong anak-anak pokok hutan sebagai tanda tempat itu sudah
kami lalui. Dua kali saya berhenti kerana perjalanan itu terasa cukup jauh.
Matahari yang tadi terang sudah beransur condong. Tempat yang kami tuju masih
juga belum sampai. Bila hari sudah beransur gelap, kesan kaki itu sudah dapat
kami kesan. Ia hilang betul-betul di hadapan sebuah gua.