Bomoh Hujan Kena Uji
Suara jeritan
itu bergema ke seluruh kampung melepasi puncak Gunung Tungga. Datuk terus
mencacakkan buluh runcing ke dada bumi dan melipatkan kaki seluar sebelah kiri
separas lutut. Datuk duduk mencangkung dengan tapak tangan kirinya terletak
pada bahagian atas buluh runcing. Mulutnya terus bergerak, membaca sesuatu.
Ketua kampung masih belum sedarkan diri. Saya lihat kaki kanan Osman
bergerak-gerak lemah. Kedua belah tangannya menguakkan dahan dan dedaun yang
menutupi tubuhnya.
"Bangun”,
bisik saya pada Osman dan memberitahu padanya supaya jangan bertanya sesuatu.
Osman patuh
dengan permintaan saya itu tetapi wajahnya masih pucat lesi. Waktu saya menoleh
ke kanan kembali saya lihat Datuk sudah berdiri dengan kedua belah tangannya
lurus mengarah ke rumah papan beratap rumbia. Mukanya nampak berpeluh. Bila
Datuk menjatuhkan kedua belah tangannya, saya terdengar satu letupan, macam orang
memukul bumi dengan pelepah pisang. Serentak dengan itu, saya lihat api mula
berbunga di tulang bumbung rumah. Api itu terus marak dengan hebatnya. Bahang
dari api itu terasa panas memukul wajah saya. Kulit muka rasanya bagaikan
terbakar.
Cahaya api
dari bumbung rumah itu menerangi kawasan tempat kami berteduh. Api terus
menjulang ke langit dengan hebat bersama bunyi letupan kecil yang
sambung-menyambung. Tidak sampai dua jam, rumah papan beratap rumbia itu terus
menjadi abu. Ketua kampung pun tersedar dari pengsan.
"Kenapa
panas sangat ni?", tanya ketua kampung.
"Itu”,
saya menunjukkan ke arah rumah yang sudah menjadi bara dengan jari telunjuk.
Biji mata ketua kampung terbeliak.
"Siapa
yang bakar?", tanyanya lagi.
"Terbakar
sendiri!"
Ketua kampung
mengerutkan dahi sambil menggaru batang leher. Datuk pun mencabut buluh runcing
yang di tanam ke bumi. Datuk melihat bahagian bawah buluh yang sudah ditajamkan
itu. Memang terdapat kesan-kesan darah pada buluh itu. Datuk menghilangkan
kesan darah pada hujung buluh dengan menikamkan buluh itu pada batang pisang
emas yang baru tumbuh jantung. Bila Datuk mahu mencabut buluh dari batang
pisang, saya dan Osman serta ketua kampung disimbah dengan air dari arah
belakang.
Saya tidak
dapat memastikan dari mana arah air itu datang, sama ada dari sebelah kanan
atau kiri kerana malam terlalu gelap. Di langit kelihatan bintang-bintangan
bertaburan di mana-mana. Angin malam yang bertiup agak keras membuat badan saya
menggeletar kesejukan. Saya tidak dapat mengagak dengan tepat pukul berapa
ketika itu. Tetapi berdasarkan arah tiupan angin dan gerak awan bersisik ikan
di langit, saya agak waktu itu sudah pukul empat pagi. Suara pungguk dan
lolongan anjing liar sudah tidak kedengaran lagi.
Dari
longgokan bara rumah yang punah, asap nipis nampak berkerut menjulang ke udara
yang kemudian berpecah dirempuh angin malam. Datuk menghampiri saya.
"Kau
kena simbah air Tamar?"
"Ya
tok"
"Cuba
kau cium lengan kiri kau, ada bau busuk tak"
Saya pun ikut
perintah Datuk. Walaupun perintah itu ditujukan pada saya tetapi, ketua kampung
dan Osman turut bersama mencium lengan kiri masing-masing.
"Busuk,
macam bau bangkai”, jawab mereka serentak dan saya anggukkan kepala.
Setuju dengan
apa yang dikatakan oleh ketua kampung dan Osman. Datuk menyuruh kami bertiga
berdiri di bawah pokok pisang emas yang baru tumbuh jantung. Kami disuruh
berdiri dengan menemukan bahu masing-masing. Sesudah itu, Datuk menyuruh saya
melihat ke arah utara, ketua kampung ke arah selatan dan Osman ke arah barat. Dengan
keadaan itu kami tidak dapat memandang wajah antara satu sama lain. Datuk terus
menggoncangkan perdu pisang emas yang baru tumbuh jantung dengan sekuat hati.
Air embun yang melekat pada daun pisang itu menimpa badan kami.
"Sekarang
cium lengan kiri kamu semua”, ujar Datuk dengan tenang sambil menekan pangkal
dagunya dengan ibu jari kiri.
"Tak ada
baunya lagi”, jawab saya.
"Dah
hilang busuknya”, tingkah Osman.
"Ya dah
hilang”, sahut ketua kampung bersama senyum.
Datuk
menyuruh kami duduk semula di tempat asal. Dengan tenang Datuk membuka lipatan
kaki seluar sebelah kiri. Angin sudah tidak sekuat tadi bertiup, menandakan
waktu subuh hampir. Langit kelihatan cerah dan bintang-bintang beransur kurang.
Bara api
masih kelihatan merah menyala di tapak rumah yang punah, bunga-bunga api
kelihatan menjulang pendek di udara sebelum padam. Datuk memperkemaskan silanya
dan terus menekapkan kedua belah tangannya ke dada. Embun subuh sudah terasa
menitik ke ubun-ubun kepala. Rasa sejuk kian terasa. Saya tidak tahu apakah
yang dilakukan oleh Datuk ketika itu. Biji mata saya terbeliak bila saya
terpandang dari atas bara api keluar benda putih dan bulat, sebesar buluh
lemang yang panjangnya kira-kira dua kaki, terapung-apung di udara macam
ditarik oleh sesuatu dari atas. Benda putih terus naik setinggi pokok kelapa
dara. Berhenti di situ sebentar.
Kemudian
benda bulat itu bergerak macam kilat menuju ke arah kami. Datuk menyuruh kami
meniarap supaya benda itu tidak mengenai kepala. Tetapi angin dari benda bulat
itu berjaya menerbangkan songkok ketua kampung dan cuping telinga saya bagaikan
mahu tercabut rasanya dirempuh oleh angin dari benda bulat itu.
Ketika itu
juga dari hutan kecil sebelah kami terdengar bunyi suara katak betung
bersahut-sahutan yang diselang-seli dengan bunyi suara orang bersorak dan
ketawa yang amat menyeramkan. Embun subuh kian rancak menimpa kulit kepala.
Terdengar kokok ayam hutan bertali-temali dari kaki Gunung Tunggal.
Saya tidak
dapat menahan rasa sejuk yang amat sangat itu. Dahi saya kerutkan. Dagu saya
menggeletar yang mengakibatkan gigi atas dan bawah saya berlaga dan
mengeluarkan bunyi kerup-kerup yang tidak tentu panjang pendeknya. Suara lolong
anjing liar mula kedengaran sayup-sayup dan memanjang macam orang menangis dan
meratap sesuatu.
Benda putih
itu terus berlegar-legar atas ruang kepala kami. Hari masih lagi gelap. Dalam
keadaan yang agak gawat itu, saya lihat Datuk berguling-guling atas tanah
menuju ke pangkal pisang yang baru tumbuh jantung. Datuk duduk sambil
menyandarkan badannya pada perdu pisang itu. Datuk merasa selamat kerana benda
putih yang bergerak di awang-awangan itu tidak memburunya. Datuk segera berdiri
sambil menekapkan ke dua belah tapak tangannya ke cuping telinga kiri dan
kanan, macam orang yang mahu melaungkan azan. Lebih kurang dua tiga minit Datuk
berkeadaan demikian.
Akhirnya dia
datang ke kawasan lapang. Benda putih itu mula meluru ke arahnya. Datuk tidak
melarikan diri malah berdiri dengan gagah di situ. Kedua-dua belah tumit
kakinya tidak jejak ke bumi dan lutut kanannya dibengkokkan sedikit. Bila benda
putih itu berada betul-betul di ubun kepalanya dengan segera Datuk membuka kain
merah yang melilit kepalanya. Benda putih itu terus mengelilingi tubuh badan
Datuk sambil mengeluarkan suara yang berdengung macam suara ayam kampung kena
jolok. Kerana terlalu cepat dan ligat benda putih itu berpusing mengelilingi
tubuh Datuk. Saya tidak dapat melihat Datuk dengan jelasnya. Dalam sekelip mata
saja saya lihat Datuk terhuyung-hayang macam ditolak sesuatu.
Hati saya
menggelabah, saya tahu Datuk sedang berjuang menentang sesuatu. Ada niat
menolongnya tetapi saya tidak berdaya bergerak. Tempurung lutut dan sendi-sendi
kaki saya terasa bagaikan longgar sekali. Ketika itu, ada cahaya terang mula
bangkit di kaki langit, keadaan hari mula beransur cerah. Datuk masih lagi
terhuyung-hayang tidak tentu arah. Tetapi di tangannya masih terlekat kain
merah. Datuk bertempik dengan sekuat hatinya sambil melompat setinggi tiga
kaki. Ketika Datuk melompat itu dia memukul benda putih itu dengan ikat
kepalanya. Dua kali lompat, dua kali pukul tidak mendatangkan sebarang kesan
pada benda putih itu. Datuk kelihatan letih dan tidak bermaya. Saya lihat Datuk
rebah ke bumi sambil terbatuk-batuk. Mukanya pucat.
Datuk mencium
bumi sambil membengkokkan badannya, tidak ubah macam kucing yang bersedia untuk
menerkam tikus. Kemudian Datuk melompat untuk kali yang ketiga dan terus
memukul benda putih itu dengan kain ikat kepalanya sekuat hati. Hari mula
beransur samar-samar, di kaki langit cahaya putih mula kelihatan dengan jelas.
Datuk kali ini saya lihat terhumban berhampiran dengan bara api yang sedang
marak memamah kayu-kayu rumah yang punah. Belum pun sempat badannya menjamah
bumi, Datuk sudah meletakkan badannya dalam keadaan tegak. Ketika itu juga bara
api bertambah kuat cahayanya dan beberapa bahagian dari bara api itu
mengeluarkan api. Saya terasa desiran angin di permukaan bumi.
Saya lihat
tapak kaki Datuk tidak mencecah bumi. Datuk berdiri atas angin sambil memeluk
tubuhnya erat-erat. Dan benda putih di awang-awangan tidak bergerak tetapi
mengeluarkan asap nipis. Bila asap nipis itu hilang, terdengar letupan seperti
letupan mercun kecil. Benda putih itu terus hilang dan masa itu juga beberapa
bilah buluh kering bertaburan atas tanah. Datuk segera menghampiri kami. Kali
ini saya lihat wajahnya berseri dan kedua kelopak matanya lembam sedikit kerana
kurang tidur.
"Kita
balik, sembahyang subuh”, kata Datuk.
"Dah
selesai ke semuanya pakcik?", tanya Osman.
"Dah.
Dengan izin Allah yang Maha Besar dan Maha Mengetahui nampaknya kita
berjaya"
"Dia tak
ganggu kita lagi?", ketua kampung pula bertanya.
"Nampaknya
begitulah"
Kami terus
pulang ke pondok Osman dan menunaikan fardu subuh. Ketua kampung mempersilakan
kami ke rumahnya untuk sarapan pagi. Dia juga menyatakan pada saya, ada sesuatu
yang mahu dibincangkannya dengan Datuk.
"Saya
rasa eloklah sekarang ini kita pergi ke rumah saya”, ulang ketua kampung dengan
senyum.
Osman
merenung ke muka saya. Datuk menggigit ibu jari sambil merenung kosong ke
depan.
"Begini
saja Tuk Ketua. Biarlah Osman dan Tuk Ketua pergi dulu”, nada suara Datuk
lembut sambil bangun.
"Kenapa
begitu?"
"Saya
ada hal sedikit"
"Apa
halnya?"
"Saya
nak bersenam kemudian nak mandi air embun itu saja. Lepas semua kerja tu saya
buat, saya pergilah. Masa saya sampai ke rumah awak hari pun cerah dan kopi
sudah tersedia”
"Ha tak
apalah”, balas ketua kampung.
Datuk dan
ketua kampung ketawa besar. Ketua kampung dan Osman meninggalkan saya dan Datuk
di pondok. Saya diminta oleh Datuk supaya bersenam gerak kucing dan harimau
bangun tidur. Tujuan senaman cara lama itu dilakukan untuk menghindarkan dari
mengalami sakit pinggang dan lenguh-lenguh sendi. Satu senaman baru yang
diajarkan oleh Datuk pada saya dan di situ ialah senaman ular salin kulit.
Senaman jenis ini lebih banyak memberatkan perkara menarik dan melepaskan
nafas, serta pergerakan sendi-sendi urut. Tujuan utama senaman ini ialah,
memelihara kulit badan dan muka. Kulit badan tidak mudah kendur dan muka
kelihatan muda atau tidak dimakan tua.
Senaman jenis
ini hanya dilakukan seminggu sekali. Orang yang melakukan senaman ini di tegah
memakan makanan yang banyak mengandungi zat asam selama tiga hari tetapi
digalakkan memakan daun hijau yang boleh dibuat ulam seperti daun pegaga, daun
ulam raja, daun saderi dan daun kesum serta pucuk manggis muda. Selesai
melakukan semua jenis senaman itu, saya dan Datuk terus merayau-rayau ke
seluruh kawasan kecil berhampiran pondok Osman untuk mandi embun. Akhirnya
Datuk mengajak saya pergi ke bekas rumah papan beratap rumbia. Ada sesuatu yang
mahu Datuk cari di situ. Waktu saya dan Datuk tiba ke situ, saya dapati bara
api sudah banyak yang padam, kayu-kayu alang rumah semuanya sudah rentung
menjadi arang.
"Mari
kita cari buluh yang jatuh bertabur malam tadi”, saya terkejut dengan ungkapan
dari Datuk itu.
Bulu tengkuk
saya terus meremang. Dada terasa berdebar.
"Mari”,
Datuk terus menarik tangan saya.
Memang saya
tidak ada pilihan lain untuk membantah. Lama juga kami berlegar-legar di kawasan
yang kami jangkakan tempat bilah-bilah buluh itu jatuh. Apa yang kami temui di
situ ialah bilah-bilah buluh yang sudah rentung. Datuk menguis-nguiskannya
dengan hujung kaki.
"Memang
buluh sumpahnya”, keluh Datuk sambil menggigit bibir.
"Saya
tak faham cakap tok ni?”
"Hanya
dengan buluh saja yang boleh menghilangkan kuasa ilmu orang yang menuntut ilmu
itu. Aku harap malapetaka yang menimpa orang-orang di sini akan tamat”, tambah
Datuk lagi, lalu mengajak saya ke rumah ketua kampung.
Sarapan pagi
di rumah ketua kampung memang enak. Kami dihidangkan dengan kopi panas dan
pulut berlaukkan ikan gelama goreng. Anehnya Datuk tidak menjamah pulut itu.
Dia hanya minum kopi panas sahaja. Ketua kampung tidak puas hati dengan sikap
Datuk.
"Kenapa
tak makan pulut?", tanya ketua kampung.
"Minta
maaf tuk ketua, saya memang tak makan pulut ni."
"Kami
tak tahu, apa sebabnya? Ada pantang larang ya?"
"Saya ni
mengidap sakit angin. Orang sakit angin memang tak elok makan pulut, kerana
pulut ni cukup bisa bagi orang yang mengidap sakit itu. Kalau sudah sembuh pun
akan sakit semula jika makan pulut"
Ketua kampung
puas hati dengan penerangan Datuk itu. Ketua kampung merasa bersalah kalau
Datuk tidak makan di rumahnya. Kerana itu, dia menyuruh anaknya membeli kuih di
kedai.
"Jangan,
ini sudah cukup untuk saya”, beritahu Datuk pada ketua kampung.
"Saya
tak puas hati kalau awak tak makan di rumah saya. Begini saja, tengahari ni,
makan di sini", ketua kampung membuat tawaran lagi.
Tawarannya
itu diterima oleh Datuk dengan senang hati. Sementara menanti tengahari Datuk
kembali ke pondok Osman. Ketua kampung ikut sama. Sampai saja di pondok, Osman
ambil sebuah baldi kosong dan mengambil air perigi. Air itu Datuk campurkan
dengan tujuh jenis daun dan tujuh jenis bunga. Kemudian Datuk memerintahkan
Osman memakai kain basahan dan di suruh duduk di bawah tangga.
"Nak
buat apa ni?,” bisik saya ke telinga Datuk.
"Nak
buang sial dan badi ilmu salah yang hinggap ke badannya”, balas Datuk.
Bila Osman
duduk di bawah tangga, Datuk terus menjirus air ke tubuh Osman dalam tiga
peringkat. Lepas itu, Datuk tepuk bumi tujuh kali dan dada Osman tujuh kali.
Bila sudah selesai barulah Osman disuruh oleh Datuk memakai pakaian semula.
"Aku
harap kau akan selamat terus dan syaitan peliharaan ayah kau sudah hancur. Kau
boleh hidup aman di atas tanah miliknya”, jelas Datuk pada Osman.
Ketua kampung
hanya melihat sahaja apa yang di lakukan oleh Datuk itu dengan tenang.
"Memanglah,
syaitan tak pernah sunyi dari mempengaruhi umat manusia”, Datuk tersenyum
mendengar cakap ketua kampung itu.
"ltu
memang kerjanya. Dalam Surah An-Nisa telah menjelaskan kerja-kerja syaitan yang
berbunyi: Dan kehendak syaitan itu ialah menyesatkan kamu satu kesesatan yang
jauh”, ujar Datuk lagi.
Ketua kampung
angguk kepala. Perbualan Datuk dengan kedua kampung cukup rancak sekali. Banyak
benar kisah yang Datuk dengar dari ketua kampung. Malah Datuk sendiri tidak
merasa segan dan silu mencari pengalaman-pengalamannya di masa lalu. Perbualan
mereka terganggu bila anak gadis tok ketua yang dikiranya mengganggu perbualan
antaranya dengan Datuk.
"Apa
halnya”, kata ketua kampung.
Osman segera
bangun dan merenung tajam ke wajah anak gadis ketua kampung yang berambut
panjang, berkulit putih. Mukanya bujur sirih. Tinggi lampai dan berleher
jinjang. Saya memang tertarik dengan gadis desa berwajah ayu itu. Bila saya
lihat wajah Osman, rasa tertarik yang mula berputik di hati segera saya
padamkan.
"Ada
orang datang ayah"
"Siapa?"
"Pak
Mardan bomoh hujan"
"Hum,
sekejap lagi aku balik"
Anak gadis
ketua kampung meninggalkan kawasan pondok Osman. Kerana waktu makan tengahari
sudah hampir, ketua kampung mengajak kami pergi bersamanya sekali.
"Eloklah
tu, saya ingin juga berkenalan dengan bomoh hujan tu, kalau dia baik hati dapat
saya menuntut ilmu darinya”, Datuk segera bangun.
"Dia tu
bukan orang lain dengan saya, kami satu pupu”, tingkah ketua kampung dengan
tenang.
Ada rasa
megah dalam dirinya kerana Datuk mahu menuntut sesuatu dari sepupunya. Lepas
makan tengahari Datuk dapat bercakap panjang dengan Pak Mardan yang sudah
berusia hampir lima puluh tahun. Orangnya tegap. Memelihara misai, janggut dan
jambang. Dia tinggal di Kampung Kota yang terletak lebih kurang dua batu dari
pekan kecil Bruas dalam daerah Manjung. Menurut Pak Mardan, dia kenal baik
dengan bomoh patah yang tinggal sekampung dengannya iaitu Bedul Hasyim. Datuk
minta Pak Mardan menyampaikan salamnya pada Bedul Hasyim bila dia pulang ke
kampungnya kelak.
"Dengan
izin Allah akan saya sampaikan”, katanya.
"Saya
dah lama tidak jumpa dia"
"Dia
masih sihat lagi”, balas Pak Mardan.
Menurut Pak
Mardan dia dalam perjalanan ke Sungai Tinggi (sebuah kampung yang terletak
dalam daerah Matang, lebih kurang dua puluh batu dari bandar Taiping). Dia di
undang oleh anak saudaranya kerana anak saudaranya mahu menikahkan anak
perempuannya dengan orang dari Gunung Semanggol.
"Tujuan
mengundang kita tu ada tujuan yang tertentu”, keluh Pak Mardan sambil merenung
muka ketua kampung.
"Apa
tujuannya?", soal Osman.
"Tenaga
aku ni diperlukan anak buah, bila mahu menghalau hujan”, Pak Mardan melahirkan
rasa hampanya, disambut oleh ketua kampung dengan ketawa memanjang.
Bila Pak
Mardan mengajak Datuk pergi ke Sungai Tinggi Datuk menolak dengan alasan dia
tidak dijemput ke majlis nikah kahwin. Tetapi bila Pak Mardan dan ketua kampung
menyatakan bahawa mereka telah diberi kuasa untuk menjemput orang lain ke
majlis orang nikah kahwin itu, Datuk menerimanya dengan senang hati. Saya
mengerti, tujuan utama Datuk menerima undangan itu bukanlah kerana mahu makan
nasi minyak. Tetapi dia mahu belajar serba sedikit tentang ilmu menahan hujan
dari Pak Mardan.
Esoknya saya,
Pak Mardan dan Datuk terus pergi ke Sungai Tinggi. Kami bertolak dengan bas
dari Segari pada sebelah pagi dengan bas. Ketua kampung dan keluarganya
bertolak lebih lewat daripada kami. Kedatangan kami di sambut dengan ramah oleh
anak saudara Pak Mardan. Kami sempat menyaksikan acara akad nikah yang diadakan
pada sebelah pagi, lebih kurang di antara pukul sepuluh hingga sebelas. Acara
naik pelamin diadakan kira-kira pukul empat petang setelah tetamu yang dijemput
selesai makan.
Pak Mardan
merasa senang kerana tidak ada tanda-tanda hari akan hujan. Beberapa orang anak
muda di situ melancarkan kutipan memungut wang secara kilat bagi mengundang
pancaragam dari bandar Taiping pada sebelah malamnya. Kutipan itu, ternyata
tidak cukup dan nasib baik pihak tuan rumah sanggup menambahkan bahagian yang
tidak cukup itu. Majlis perkahwinan itu bertambah rancak dengan kehadiran
pancaragam dari Taiping itu yang membawakan lagu-lagu rancak dan irama Melayu
asli yang disampaikan para penyanyi dari pancaragam tersebut, antara
penyanyinya ialah Kamal Harun, Aida Suhana dan Zainal Udah.
Walaupun
begitu rancak pancaragam dari Taiping mempersembahkan permainannya, saya lihat
Pak Mardan tetap gelisah, begitu juga dengan Datuk. Bagi menghilangkan rasa
resah itu Pak Mardan terpaksa menghisap rokok tembak berbelas-belas batang. Pak
Mardan menarik tangan Datuk untuk pergi ke satu sudut.
"Aku
rasa ada sesuatu yang tak kena malam ni”, Pak Mardan menyatakan pada Datuk.
Datuk
termenung panjang mendengar cakap Pak Mardan itu. Dia meraba pangkal kening
kanan tujuh kali, meraba telinga kiri lima kali.
"Usah
bimbang, kalau ada yang perlu saya tolong tetap saya tolong”, kata Datuk.
Walaupun begitu wajahnya saya lihat agak sugul sedikit.
"Malam
ini ada majlis bersanding?", Datuk menyoal Pak Mardan.
"Ada.
Sekejap lagi pengantin lelaki datang”
"Kalau
begitu eloklah kita beringat-ingat, manalah tahu kalau ada hal buruk
terjadi"
"Saya
faham tu”
Pak Mardan
dan Datuk duduk kembali di tempat asal. Bila orang ramai mula datang mahu
melihat pengantin naik pelamin, tiba-tiba hujan turun mencurah-curah bersama
dentuman petir dan guruh. Muka Pak Mardan kelihatan pucat, dia lalu membisikkan
pada Datuk bahawa hujan yang turun malam itu, bukan sebarang hujan. Pak Mardan
yakin hujan itu dibuat oleh manusia dengan kuasa ilmu halus yang tujuannya
tidak baik. Hujan jenis ini amat berbahaya buat manusia, sebabnya di dalam air
hujan itu terkandung berbagai-bagai kekotoran buatan manusia, begitulah Pak
Mardan memberitahu Datuk.
"Kau
tunggu di sini Mardan”, kata Datuk, sebaik sahaja ungkapan itu berakhir, saya
dapati Datuk ghaib dari penglihatan saya.
Pak Mardan
terpinga-pinga. Lebih kurang lima minit Datuk menghilangkan diri. Dia muncul
kembali di hadapan saya dan Pak Mardan.
"Aku
setuju dengan kau Mardan, kita hadapi semuanya ini”, tekanan suara Datuk mula
meninggi.
Lalu Datuk
minta Pak Mardan mencari baldi plastik untuk menadah air yang turun dari curung
(hujung) atap. Bila air sudah penuh satu baldi, Datuk merendamkan tangan
kirinya ke dalam baldi itu. Pak Mardan dan saya jadi terkejut bila melihat
tangan Datuk hitam dan air dalam baldi bergolak. Muka Datuk merah padam mulutnya
membaca sesuatu, tiba-tiba baldi plastik itu pecah.
"Aku
rasa kau saja selesaikan semua urusan ini. Kau sudah tahu hujan itu buatan
manusia jahat", Datuk memberikan amanat pada Pak Mardan. Dengan senang
hati Pak Mardan menerimanya dan meminta saya membantunya.
"Bantulah
dia Tamar. Aku ada, bukan apa-apa kau hanya melihat saja”, Datuk memberikan
keizinan pada saya. Dia juga memberikan saya beberapa butir batu gunung yang
putih untuk di taruh dalam kocek baju.
"Mardan,
dalam dugaan aku, orang ini mengirimkan guna-guna melalui hujan buatannya pada
pengantin perempuan”, pesan Datuk pada Pak Mardan.
Saya lihat
Pak Mardan anggukkan kepala lalu meminta baldi plastik yang baru dari tuan
rumah. Dia menadah air hujan hingga penuh satu baldi. Kemudian Pak Mardan mengajak
saya masuk ke rumah dan terus ke bilik pengantin.
"Usah
bimbang, aku ni pangkat Datuk pada kau”, Pak Mardan memberitahu pada pengantin
perempuan yang duduk terseliput di hadapan katil. Kemudian Pak Mardan meminta
pada pengiring pengantin supaya membawa pengantin itu ke bilik lain. Permintaan
Pak Mardan dituruti. Tinggallah saya dan Pak Mardan dalam bilik itu. Pak Mardan
terus membasuh seluruh mukanya dengan air hujan di dalam baldi. Dia kemudiannya
memusatkan seluruh pancaindera dan membaca mantera yang dipelajari dari
gurunya. Saya lihat mulut Pak Mardan bergerak sebanyak 29 kali. Bila mulutnya
bergerak untuk kali yang ketiga puluh, saya terdengar bisik-bisik halus dari
jauh yang tidak menentu. Tetapi akhirnya saya dengar nama Halimah disebut-sebut.
"Apa
yang kau dengar?", Pak Mardan menyoal saya.
"Orang
memanggil nama Halimah"
"Halimah
tu nama pengantin tadi, kita masih ada masa untuk berusaha"
"Kau
tunggu di sini"
Pak Mardan
terus keluar. Saya mula terasa khayal tidak menentu, bermacam-macam bunyi yang
saya dengar. Rasa khayal itu segera hilang bila Pak Mardan menepuk bahu kiri
saya. Bila saya menoleh ke belakang, pengantin perempuan sudah ada dalam bilik.
Pak Mardan menyuruh pengantin perempuan itu duduk di tepi katil. Dia juga
menyuruh tuan punya rumah memberitahu orang ramai dan pihak pengantin lelaki
acara bersanding terpaksa di tangguh dengan alasan Halimah sakit. Pak Mardan
menyuruh Halimah memegang besi kuning yang diberikan oleh Pak Mardan padanya.
"Kau
pegang besi kuning tu kuat-kuat, jangan kau lepaskan walau ada yang terjadi.
Kau jangan menjerit”, itulah pesan Pak Mardan pada Halimah.
Saya lihat
Halimah anggukkan kepala. Kemudian saya dan Pak Mardan keluar dari bilik
pengantin. Pak Mardan membimbit baldi. Hujan dan petir terus menjadi-jadi.
"Ke mana
Pak Mardan?"
"Ke
bahagian belakang rumah"
Saya dan Pak
Mardan memijak anak tangga dengan teliti. Bila sampai di hadapan Datuk, Pak
Mardan tersenyum.
"Buatlah
apa yang patut. Aku menanti di sini kerana perbuatan jahat dibuat melalui air
hujan eloklah kau saja yang selesaikan. Kau lebih arif dari aku”, cukup tenang
Datuk bercakap dan Pak Mardan menerimanya dengan rasa yang tenang.