Bercakap Dengan Jin

Bercakap Dengan Jin

Sunday, 14 June 2015

Siri 31 - Rumah Misteri


Rumah Misteri

Datuk pun melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Angin petang yang bertiup kencang menggugurkan dedaun getah tua yang memagari pinggir kampung. Mata saya masih tertumpu ke arah rumah papan yang beratap rumbia. Pintu dan tingkap rumah bertutup rapat. Di kaki tangga ada tempayan besar. Sebelah kanan rumah terdapat pokok mempelam telur yang sedang berbunga lebat.

"Apa yang kau nampak?", tanya Datuk pada saya.

"Tak ada apa-apa tuk"

"Baguslah”, balas Datuk dan terus duduk di atas tunggul getah. Anak muda yang sejak tadi berdiri di sebelahnya juga turut duduk. Anak muda itu nampak cemas.

"Nama kamu siapa?"

Saya tersenyum, kenapa begitu lambat Datuk mahu mengetahui nama anak muda itu. Agaknya Datuk terlupa atau sengaja dia berbuat demikian dengan tujuan tertentu, fikir saya dalam hati.

"Nama saya?", ulang anak muda itu.

"Ya nama kau"

"Orang kampung panggil saya Man Beliung, nama sebenar ikut kad pengenalan dan surat beranak Osman"

"Fasal apa orang kampung panggil kamu Man Beliung?", Datuk mencungkil rahsia.

Osman segera bangun dan kerutkan dahi sempitnya. Sinar matahari petang kian redup. Beberapa ekor burung gagak liar mula hinggap ke atas tulang bumbung rumah papan beratap rumbia. Gagak-gagak itu berbaris menghala ke arah matahari sambil berbunyi. Suara gagak itu parau dan kalau di teliti bunyinya macam orang mencarik kain kapan.

"Sebabnya, fasal saya lahir dulu, bidan yang menyambut saya bersama sebilah beliung kecil”, Osman membuka kisah dirinya.

"Mana kau tahu?", tanya Datuk lagi.

"Ayah saya yang cakap dan ibu saya sendiri mengakuinya. Menurut kata ayah, kalau saya tidak disambut dengan beliung kecil itu saya tidak akan lahir dan ibu akan mengandung sampai mati. Beliung itu ayah yang berikan pada bidan"

Datuk terdiam mendengar cerita dari Osman. Suara gagak di atas tulang bumbung rumah papan beratap rumbia terus berbunyi. Saya menumpukan perhatian ke arah rumah tersebut, sebahagian daripada rumah itu tidak kena cahaya matahari kerana terlindung oleh pokok besar. Tiba-tiba sahaja badan saya terasa saya terasa seram. Bulu roma saya mula tegak, anehnya bila saya tidak melihat ke arah rumah itu rasa seram tidak saya rasai.

"Beliung itu ada pada kau?", saya terdengar Datuk menyoal Osman.

"Ada saya simpan. Berbalut dengan kain kuning dan diikat dengan benang tujuh warna"

"Apa warnanya?"

"Saya tak berapa ingat. Tapi warna hitam lebih banyak dari warna lain"

Datuk saya lihat resah tidak menentu. Sekejap dia kerutkan dahi, sekejap menggaru pangkal kening. Sekejap memicit pangkal hidung. Semua yang Datuk lakukan serba tak kena. Dalam keadaan Datuk yang tidak menentu itu, saya renung ke arah rumah beratap rumbia. Saya lihat bahagian tingkap yang tidak kena sinar matahari terbuka dengan sendiri. Ada kelibat manusia berdiri di situ. Saya memberanikan diri untuk melihatinya, tiba-tiba telinga terasa kosong. Tidak ada satu pun yang dapat saya dengar dan kepala saya terasa pening. Saya segera merenung ke arah lain. Pendengaran saya kembali macam biasa, rasa mahu pening terus hilang. Saya tidak berani mengulangi perbuatan itu lagi.

"Kau simpan beliung tu di mana?"

Saya mula bosan dengan sikap Datuk. Tidak habis-habis menyoal Osman dan tidak merasa bosan macam saya. Dia menjawab dengan jelas apa yang disoal oleh Datuk. Osman terus memberi tahu Datuk bahawa beliung itu disimpan di rumahnya yang terletak berhampiran jalan raya. Osman juga memberitahu tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya berjumlah lima ekar lebih. Tiga ekar lagi dijadikan dusun.

"Rumah ini ayah saya dirikan di dalam tanah dusun”, kata Osman tanpa memandang ke arah rumah peninggalan ayahnya, dia bagaikan takut memandang rumah pusaka itu. Matahari kian condong ke barat.

Burung gagak kian bertambah duduk atas tulang bumbung rumah papan beratap rumbia. Bila Datuk menyoal Osman kenapa dia mendirikan rumah di tepi jalan raya atas tanah kerajaan, secara terus terang Osman menerangkan bahawa dia pernah mendirikan rumah di atas tanah pusaka peninggalan ayahnya. Malah, dia sendiri sudah pun mencari seorang gadis sebagai calon isterinya. Dia mahu menjadikan tanah pusaka itu sebagai sumber rezekinya. Tetapi hasratnya tidak terlaksana bila rumah sudah di dirikan dan dia tinggal di situ. Osman merasakan tanah peninggalan ayahnya bukanlah satu tempat yang aman. Setiap malam dia diganggu oleh makhluk ganjil yang dapat dilihatnya.

"Setiap malam badan saya dan pakaian saya dilumuri dengan najis manusia dan binatang. Tiang rumah saya digoncang setiap malam, kerana itu saya pindah”, beritahu Osman pada Datuk.

Osman juga memberitahu, tidak ada orang yang mahu menoreh di kebun getahnya kerana setiap orang yang cuba menoreh akan di serang oleh beribu kelawar dan gagak. Akibatnya orang yang kena serang kelawar badannya agak gatal dan bengkak. Manakala orang yang diserang burung gagak badannya kemerah-merahan akibat dicakar oleh burung tersebut.

"Kebun getah tu, sudah jadi hutan”, keluh Osman.

Hati saya cukup hiba, bila Osman menyatakan dia berhasrat untuk meninggalkan kampung buat selama-lamanya.

"Tidak ada gunanya saya tinggal di sini. Orang-orang kampung mula mencurigai saya. Tidak ada gadis yang mahu bersuamikan saya dan tidak ada orang yang sudi menjadikan saya menantu. Bila pakcik sudah berjaya, semua tanah ini akan saya jual jika ada orang mahu membelinya. Kalau tak ada biarkan jadi hutan”, wajah Osman muram sungguh.

Datuk segera menepuk bahu Osman. Datuk menyanjung cita-cita Osman di samping memberi satu pengharapan baru pada dirinya.

"Jangan putus asa. Allah tidak suka pada orang yang cepat putus asa, hidup mesti berusaha”, bisik Datuk ke telinga Osman.

Dia senyum. Datuk menggaru pangkal telinga sebelah kanan dua kali berturut-turut. Osman pun melihat jam tangan.

"Dah pukul enam pakcik”, ujarnya.

Saya renung wajah Datuk. Dan Osman menoleh ke kiri dan ke kanan, macam mencari sesuatu.

"Mari kita masuk ke rumah tu”, suara Datuk separuh keras.

Osman dan saya berpandangan. Dada saya berdebar dan saya tidak dapat menduga apa yang bergolak dalam hati kecil Osman.

"Mari”, ulang Datuk lagi sambil menarik tangan Osman.

Osman patuh dengan perintah Datuk. Baru lima tapak Osman melangkah, mukanya kelihatan pucat. Tidak berdaya untuk mengatur tapak ke hadapan. Wajah Datuk ditatapnya sejenak.

"Kita menempah bahaya pakcik”, katanya.

"Macam mana kau katakan bahaya, kita belum pun sampai"

"Saya terasa seram sejuk pakcik"

"Usah takut, aku ada dekat kau"

Datuk terus mengajak Osman. Ternyata Osman tidak dapat berdalih lagi. Saya dan Osman terus mengekori Datuk, macam anak ayam mengikut ibunya mencari makanan. Bunyi suara gagak kian gamat seolah-olah tidak merestui atas kedatangan kami bertiga. Beberapa ekor burung gagak terbang rendah ke arah kami. Berlegar-legar atas kepala kami sebelum hinggap di dahan pokok kiri kanan kami. Saya tidak dapat mengawal mata saya menyorot tajam ke arah burung-burung gagak itu. Memang bentuk burung gagak itu agak besar sedikit dari gagak yang selalu saya lihat. Bahagian kepalanya botak hingga ke leher. Di bawah muncungnya tumbuh bulu yang agak jarang tetapi panjang macam janggut manusia.

"Jangan tengok burung tu”, kata Datuk pada saya sambil memusingkan leher saya hingga tertumpu ke hadapan. Memang, terasa sakit leher bila Datuk berbuat demikian pada saya.

"Jangan belajar jahat. Kawal mata dan hati kamu. Sini bukan tempat suka-suka tau”, tambah Datuk.

Nada suaranya cukup keras. Saya terus membisu. Ketika itu langit kelihatan cerah bersama kepulan awan nipis yang berarak ke utara, meskipun hari sudah pukul enam lebih. Kami terus melangkah mengikut langkah Datuk yang teratur. Dada saya terus juga terus berdebar. Lebih kurang dalam jarak dua puluh kaki mahu sampai ke kaki tangga rumah papan beratap rumbia, secara mendadak sahaja Datuk berhenti melangkah.

Dia menyuruh saya berdiri di kanan dan Osman di sebelah kirinya. Dia meminta kami melangkah serentak mengikut langkahnya. Dan langkah pertama dimulakan dengan kaki kiri. Setiap kali melangkah tumit tidak boleh menyentuh bumi. Ketika itu, kami tidak dibenarkan oleh Datuk memakai sepatu. Semua sepatu diletakkan di satu tempat khas. Datuk juga mengingatkan kami supaya jangan menegur kalau terlihat sesuatu yang ganjil. Semua perintah Datuk kami patuhi. Akhirnya kami sampai di kaki tangga rumah tersebut. Datuk meletakan tapak tangan kanannya atas kepala tiang tangga yang terbuat dari kayu Medang Sawa. Kepala tiang itu terukir indah dalam bentuk awan larat yang cukup seni. Lama juga Datuk meletakan tapak tangannya di situ. Saya lihat lengannya bagaikan bergoyang-goyang hingga urat-uratnya kelihatan timbul, macam ada sesuatu yang menekan tangan Datuk. Mukanya mula berpeluh. Urat di kiri kanan dahi Datuk nampak cukup tegang.

"Allahu Akbar..”, pekik Datuk sekuat hati.

Serentak dengan itu dia menarik tangannya dari memegang kepala tangga. Datuk undur dua tapak ke belakang. Datuk pun membaca beberapa potong ayat al-Quran.

"Begini, kita naik ke rumah dengan cara membelakang”, kata Datuk sambil merenung wajah saya dan Osman. Burung gagak terus berbunyi. Tiba-tiba Datuk bersuara lagi, "Biar aku naik dulu”

Saya dan Osman berpandangan lagi, Datuk menukar rancangan dengan mendadak. Datuk pun melangkah anak tangga pertama. Matanya merenung kami, tetapi kakinya terus melangkah. Memang, satu kerja yang sukar memijak anak tanah dengan cara yang ganjil. Bila sampai ke tangga akhir barulah Datuk memusingkan badannya. Kemudian dia menolak daun pintu yang tidak berkunci.

"Naik macam biasa, jangan ikut macam aku tadi”, katanya dengan lantang.

Kami pun segera naik ke rumah. Dalam beberapa saat sahaja kami sudah berada di dalam perut rumah papan beratap rumbia. Rumah itu mempunyai tiga bilik. Salah satu dari pada bilik itu berkunci. Menurut Osman bilik itu semasa ayahnya masih hidup tidak dibenarkan sesiapa masuk di dalamnya. Kerana itu Osman sendiri tidak tahu apa yang terdapat dalam bilik itu. Datuk melihat keadaan rumah yang penuh dengan sawang dan sarang labah-labah dari anjung hingga ke dapur. Ketika berada di ruang tengah Datuk menguis beberapa helai bulu burung gagak serta beberapa ekor bangkai kelawar yang sudah kering. Tulang dan kepala kelawar yang kering dan keras itu bertaburan di situ.

Waktu Datuk mahu menjamah tulang-tulang kelawar itu, kami terdengar bunyi deru angin yang cukup kuat. Serentak dengan itu seluruh ruang di penuhi dengan beribu-ribu ekor kelawar yang bersedia untuk menyerang kami. Datuk pun membuka baju hitamnya dan menutup kepalanya hingga menjadi bulat. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Saya dan Osman terus resah. Tidak tahu apa yang mahu dilakukan ketika itu. Datuk melemparkan bajunya ke arah dinding. Dengan serta-merta kelawar yang beribu-ribu itu hilang dari dalam rumah. Datuk ambil baju dan terus menyarungkan kembali ke badannya.

Datuk melangkah ke pintu bilik yang berkunci. Dengan tangan kiri Datuk memegang ibu kunci erat-erat. Mukanya merah padam. Saya lihat Datuk meramas-ramas ibu kunci hingga hancur. Besi dari ibu kunci bertaburan atas lantai. Datuk menolak pintu bilik dan menyuruh Osman masuk. Pada mulanya Osman enggan, namun setelah didesak barulah Osman melangkah dengan diikuti oleh Datuk dan saya. Dalam bilik itu Datuk menjumpai satu rangka manusia terletak atas tilam yang berlapik kain kuning. Tengkorak dari rangka itu terletak dari atas sebatang kayu Pulai kering.

"Kita balik”, kata Datuk.

Tanpa banyak bicara kami ikut perintah Datuk. Ketika itu hari sudah beransur gelap. Dengan langkah yang cepat kami menuju rumah Osman di tepi jalan raya. Bila sahaja kami masuk ke dalam rumah, Osman jatuh pengsan. Datuk terpaksa merawat Osman hingga pulih. Tidak jauh dari tempat Osman jatuh tadi, Datuk menemui seketul batu sebesar ibu jari. Batu yang berwarna merah itu Datuk masukkan ke dalam uncangnya.

Malam itu selepas menunaikan sembahyang Isyak, Datuk minta Osman mengeluarkan beliung kecil yang disimpannya. Tanpa berlengah-lengah lagi Osman mengeluarkan beliung kecil itu dari dalam kotak kecil yang diletakkan di bawah katil. Lama juga Datuk menilik beliung kecil itu. Datuk terus memberitahu Osman bahawa beliung yang disimpannya itu bukanlah beliung yang dibuat dari pada besi, tetapi dibuat dari tulang manusia. Selagi beliung itu di simpannya ada satu kuasa yang mendampingi dirinya.

Beliung kecil itu merupakan amanat ayahnya untuk Osman mewarisi ilmunya di samping memelihara hantu kelawar peninggal ayahnya.

"Kau harus membuangnya. Kalau tidak dirimu selama-lamanya didampingi oleh syaitan. Bila sampai masanya, kau akan memberikan dia makan dengan darahmu sendiri, kalau tidak dia akan menjahanamkan orang lain”, kata Datuk pada Osman.

"Saya tak tahu pakcik”, balas Osman jujur.

Datuk termenung sebentar. Datuk yakin apa yang dikatakan oleh Osman itu memang benar. Bagi menghilangkan keresahan di hati Osman, Datuk terus berjanji padanya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Osman.

"Minta pakcik al-Quran”, ujar Datuk pada Osman lagi.

"Saya tak ada menyimpannya pakcik"

"Surah Yasin?"

"Pun tak ada"

"Sebagai seorang Islam kau harus menyimpan al-Quran di rumah atau Surah Yasin. Bukan tujuan untuk jadi perhiasan almari, kau harus menyimpan dan membacanya. Paling kurang setahun sekali kau harus membaca Al-Quran selama satu bulan pada setiap bulan Ramadhan. Surah Yasin pula dibaca pada setiap malam Jumaat. Kau boleh membaca Quran?"

"Boleh pakcik"

"Bagus. Paling akhir kau membaca al-Quran bila?"

"Paling akhir sekali kira-kira lima tahun yang lalu waktu saya tamat belajar dengan Haji Mat Zain"

"Lepas itu?"

"Tak pernah"

Datuk mengeluh kecil. Datuk menyatakan rasa kesalnya atas sikap Osman itu. Menurut Datuk, orang muda sekarang kian jauh dari al-Quran walaupun mereka tahu dan boleh membaca al-Quran. Perbuatan membaca al-Quran itu diamalkan masa kecil, bila sudah dewasa perangai membaca al-Quran akan terpisah dari diri mereka.

"Ada yang memikirkan membaca al-Quran sebagai satu sikap menunjukkan diri sebagai orang kampung dan ketinggalan zaman. Jadi mereka lebih senang membaca buku komik atau kartun yang tidak mendatangkan faedah”, Datuk mula berkhutbah. Untungnya dia tidak berkhutbah panjang.

Malam itu Osman terpaksa pergi ke rumah Haji Mat Zain (guru al-Quran kampung tersebut) meminjam kitab suci al-Quran. Bila al-Quran berada di hadapan Datuk, dia terus membacanya hingga ke subuh.

Sepanjang malam itu tidak ada perkara aneh yang kami alami di pondok Osman. Tetapi, bila saya mengikuti Datuk mengambil air sembahyang subuh, di seberang anak sungai yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah Osman, Datuk telah dilemparkan dengan najis dari arah kiri. Kerana hari gelap, Datuk tidak dapat melihat siapa yang melemparkan najis padanya. Najis itu mengenai perut Datuk.

"Jangan kacau aku!", pekik Datuk.

Bila suara Datuk hilang, beberapa pokok besar bergoyang dan daun dari pokok-pokok berguguran. Datuk tidak peduli dan terus mandi membersihkan badan. Bila sudah selesai mandi, Datuk terus menyarungkan seluar hitam dan bersedia mahu mengambil air sembahyang. Dalam samar-samar subuh itu, saya dan Datuk terpandangkan kaki manusia yang cukup besar. Datuk terpegun sejenak. Manakala suasana di tebing sungai mula gamat dengan bunyi suara burung hantu dan gagak. Datuk tidak berkata sepatah pun. Dia melangkah tenang menuju ke rumah Osman. Sampai di rumah ternyata Osman masih tidur lagi. Datuk jadi marah dengan tiba-tiba.

"Bangun. Jangan tidur bersama syaitan, mari kita sembahyang!”, pekik Datuk sambil menyepak punggung Osman.

Tergesa-gesa Osman bangun lalu mengambil air sembahyang. Bila Datuk membaca doa qunut, saya rasa rumah itu bergegar. Datuk terus menyelesaikan sembahyang subuhnya. Masa Datuk memberi salam akhir, satu tendangan hinggap di belakang Datuk kemudian pipi saya bagaikan ditamparkan oleh orang. Kibasan tangan itu saya lihat berbulu panjang dan besar pula. Datuk tidak ambil kisah dengan kejadian itu. Dia tetap meneruskan kerjanya membaca doa. Rumah terasa bergoncang lagi. Satu lembaga hitam berdiri di hadapan Datuk. Makin lama lembaga itu berdiri di satu, warnanya segera bertukar dari hitam menjadi seakan-akan kuning, kemudian menjadi putih. Saya amati lembaga itu cukup besar. Bentuk kakinya macam kaki gajah. Dari paras pusat penuh dengan bulu tebal.

Datuk selesai membaca doa. Dia terus mendongakkan kepalanya pada lembaga itu. Di luar rumah, bunyi burung gagak kian hebat bersama dengan suara burung hantu. Sesekali terdengar suara orang menangis dan meratap dalam bahasa yang tidak saya fahami. Subuh itu, bagi saya merupakan subuh yang amat menakutkan. Suasana subuh yang hening dan damai itu tidak saya nikmati seperti subuh yang lain. Osman tidak terkata walau sepatah apa pun. Mukanya pucat lesi.

"Memang kau syaitan. Kau tidak menghampiri orang yang sedang sembahyang. Apa yang kau mahu”, Datuk pun bangun sambil mengambil kain merah lalu mengikat ke kepalanya.

Datuk berdiri dengan kaki kanannya ke hadapan dalam jarak satu kaki dengan kaki kiri. Datuk terus memeluk tubuh. Dia membaca sesuatu. Bila mulut Datuk tidak bergerak, lembaga di hadapannya hilang dan terpacak tubuh badan manusia yang berbalut dengan kain kapan. Bahagian atas kain kapan itu terikat kemas. Begitu juga dengan bahagian kaki. Lembaga itu bergerak dengan meloncat-loncat. Datuk menjatuhkan kedua belah tangannya. Kaki kanan rapat dengan kaki kiri. Kemudian Datuk menepuk tangan. Saya lihat kain kapan yang membungkus lembaga itu terbuka.

"Ayah”, jerit Osman.

Datuk segera berpaling dan menendang bahu kanan Osman. Dan Osman terus pengsan.

"Biarkan dia di situ kau jaga dia. Kalau dia rapat dengan syaitan ni, roh jahat akan meresap ke tubuhnya”, demikian Datuk memberitahu saya. Sekarang lembaga itu membukakan ke dua belah tangannya dan bersedia mahu menyerang. Datuk dengan melompat sambil membuka kain ikat kepalanya lalu memukul ke arah lembaga itu. Lembaga itu hilang dan tempatnya diganti oleh batang pisang. Batang pisang itu terus membesar hingga sampai ke bahagian palang dan akhirnya menjadi satu bentuk yang lain pula iaitu manusia berkepala burung.

"Lalu kamu dari sini. Sebentar lagi matahari akan terbit dan kau tidak boleh terkena cahaya matahari. Aku tahu itu sumpah kamu. Sebaik sahaja Datuk mengakhiri cakapnya, burung itu terus hilang. Di kaki langit, matahari mula menampakkan diri. Datuk memulihkan Osman dari pengsannya. Datuk mengambil beliung yang dibuat dari tulang. Datuk basuh beliung kecil itu dengan tujuh jenis air bunga serta tujuh jenis air dari daun yang hujungnya menghala ke arah matahari terbit. Kemudian Datuk merendamkannya pula ke dalam air yang berlumpur. Bila matahari sudah cukup keras bersinar, Datuk letakkan beliung tulang yang direndam itu di tengah halaman.

Bila beliung tulang itu terkena panahan matahari, muka Osman yang duduk di sisi Datuk menjadi merah macam udang kena bakar. Tiba-tiba beliung itu terbakar dalam bekasnya. Wajah Osman kembali macam sedia kala. Bekas merendam beliung tulang itu Datuk tanam di pangkal pokok rambutan di tepi jalan raya. (Seminggu selepas itu pokok rambutan itu mati akibat di panah petir).

Pagi itu juga saya dan Osman serta Datuk pergi ke rumah papan teratap rumbia. Lagi sekali bila terlihat rumah itu kami gelisah. Keadaannya cukup berbeza dengan keadaan yang sebenarnya. Di ruang tengah rumah bertimbun-timbun bulu gagak dan bangkai kelawar. Bila kami masuk ke bilik tempat rangka manusia, kami dapati rangka itu sudah tidak ada lagi. Tempat meletakkan rangka semuanya menjadi abu. Sebelum Datuk meninggalkan kawasan rumah itu, Datuk menanamkan empat batang buluh sepanjang enam inci di empat penjuru kawasan rumah tersebut. Di kaki tangga Datuk tanam pula paku karat yang berbalut kain kuning.

"Dengan izin Allah, dia tidak akan dapat masuk ke rumah ini lagi”, bisik Datuk pada Osman dan saya.

Kami anggukkan kepala mengiakan cakap Datuk itu. Lebih kurang sembilan pagi, dengan ditemani oleh Osman, Datuk terus menemui ketua kampung.

"Memang kami tunggu kedatangan awak”, kata ketua kampung yang berkulit hitam manis, memakai songkok hitam. Usianya dalam lingkungan enam puluhan. Dia mempersilakan kami duduk.

"Memang arwah ayah Osman ni saya kenal benar. Tetapi, saya tidak menduga yang dia tu ada memakai ilmu salah. Saya kesian pada Osman ni. Dia tidak tahu apa-apa dan jadi mangsa orang kampung”, beliau menyatakan pada Datuk.

Secara diam-diam ketua kampung menyatakan bila keadaan sudah baik, dia berhasrat mahu menjodohkan Osman dengan anak bongsunya. Menurut ketua kampung, hanya dengan cara itu sahaja boleh mengembalikan kepercayaan orang kampung terhadap Osman. Kalau boleh biar semua anak buahnya berada dalam keadaan selamat. Dia tidak rela anak buahnya hidup menderita.

"Sikap Tuk Ketua ini memang dituntut oleh ajaran Islam, kita orang-orang Islam wajib membantu sesama saudara Islam walau dalam apa bentuk pun yang tujuannya untuk kebaikan. Ini merupakan satu ibadah”

Saya lihat ketua kampung tersenyum lebar.

"Bagaimana, ada harapan perkara ni akan berakhir?”, tanya ketua kampung.

"Dengan izin Allah akan berjaya"

"Kami dah berusaha membaca Surah Yasin selama empat puluh empat hari, nampaknya tidak berkesan”, tambah ketua kampung lagi.

"Satu perkara yang harus kita ingat bahawa membaca Surah Yasin tidak semestinya permintaan kita dikabulkan oleh Allah. Kita harus memenuhi syarat-syarat tertentu umpamanya kita mesti terlebih dahulu mendekatkan diri kita pada Allah. Menjalankan segala perintah dan larangannya. Cara kita meminta itu harus dengan ikhlas. Dan tidak memaksa, jangan bila sudah terdesak baru ingatkan Allah, di samping itu kita harus berikhtiar”, lagi sekali Datuk memberikan kuliahnya di hadapan ketua kampung. Setelah mengadakan perundingan dari hati ke hati, ketua kampung sanggup menemani Datuk berjaga di hadapan rumah papan beratap rumbia pada sebelah malamnya.

Malam itu, selepas selesai sembahyang Isyak, kami membentang tikar mengkuang di halaman rumah papan beratap rumbia. Seperti selalu, bila mahu menjalankan tugas-tugas yang berat Datuk akan memakai seluar hitam, baju hitam, di samping kain ikat kepala berwarna merah. Lebih kurang pukul dua belas malam, kawasan tempat kami duduk diganggu oleh bunyi yang amat mengerikan,macam suara gajah.

Bila suara itu hilang, keadaan tempat kami terang berderang. Saya terkejut, lembaga manusia yang berkepala burung berdiri di hadapan kami. Bila melihat keadaan yang ganjil itu, ketua kampung terus pengsan. Osman jadi lemah dan dia juga pengsan. Datuk segera mematahkan pokok keladi di sekitar kawasan itu dan menutup badan ketua kampung dan Osman. Saya mula terdengar suara anjing menyalak dari arah belakang rumah papan beratap rumbia. Saya tidak tahu macam mana anjing-anjing liar berada di situ. Suara burung jampuk dan burung hantu bertalu-talu dan kedengaran suara orang bergendang dan ada kalanya macam suara orang menangis dan merayu.

Lembaga manusia berkepala burung itu masih berdiri di hadapan Datuk matanya bersinar-sinar bagaikan mengeluarkan cahaya api. Dalam saat yang sama saya melihat berpuluh-puluh mayat yang sudah di kapan dengan kain putih terbujur di hadapan Datuk. Mayat itu bagaikan bergerak dalam kain putih.

Datuk terus menepuk bumi. Dia mengambil sebahagian dari tanah di hadapannya. Tanah itu dibulatkannya sebesar guli. Kemudian Datuk menggenggam tanah itu kejap-kejap. Dari celah-celah jari Datuk keluar asap. Bila tangannya di buka, tanah itu menjadi merah menyala. Datuk membaling tanah itu ke arah lembaga berbadan manusia berkepala burung.

Bila tanah itu terkena pada lembaga itu, serta-merta lembaga itu ghaib. Datuk melompat ke hadapan. Datuk mengeluarkan buluh yang sudah ditajamkan hujungnya kira-kira lapan inci panjang dari rusuk kirinya.

“Inilah sumpah kau. Aku tahu buluh saja yang boleh menghilangkan kuasamu”, jerit Datuk lalu menikam ke kiri dan ke kanan.

Pelik juga saya melihat telatah Datuk menikam sesuatu yang tiada. Sudah tujuh kali Datuk menikam, tidak ada apa-apa yang aneh terjadi di hadapan saya. Bila Datuk menikam ke kiri untuk kali yang ke sembilan, saya terdengar suara jeritan yang cukup kuat.