Panjat Bilik Anak Dara
Sepanjang
malam itu, Datuk tidak tidur. Dia duduk termenung di anjung rumah hingga
matahari pagi terbit di kaki langit. Cuma ada satu saja yang Datuk rasa agak
ganjil, setelah menemui manusia berkepala anjing dia tidak mendengar suara
perempuan pun menjerit atau menerima pengaduan dari anak buahnya sama ada mereka
bertemu atau memburu manusia berkepala anjing.
“Agaknya, dia
sudah lari dari sini,” beritahu Datuk pada nenek ketika sarapan pagi. Nenek
tidak menjawab. Dia cuma merenung muka saya dengan wajah yang sangsi.
“Lari atau
menyiapkan diri,” terungkap dari mulut nenek. Datuk tersenyum. Saya terus
menghirup air kopi.
“Biasanya
perkara yang jahat tidak lama berkuasa,” suara Datuk lembut.
“Maksud awak
?”
“Yang jahat
tidak diperkenankan oleh Tuhan,” sahut Datuk dan terus bangun.
Datuk
menyuruh saya pergi ke Paya Besar untuk melihat anak-anak getah yang baru
ditanam semula. Dia juga menyuruh saya menebang pokok-pokok pisang di celah
anak-anak getah.
“Tebang yang
mana kau agak boleh merosakkan anak getah kita,” pesan Datuk. Saya mengangguk.
Ke Paya Besarlah saya pagi itu dengan basikal tua membawa sebilah parang. Lebih
kurang pukul tiga petang saya kembali ke rumah. Terkejut juga saya, bila
melihat ada beberapa orang duduk di anjung rumah berbincang dengan Datuk. Saya
kira mereka membincangkan peraturan berjaga malam. Saya terus ke sungai untuk
mandi. Lepas itu makan dan membaca surat khabar jawi, memang Datuk tidak pernah
tinggal membeli akhbar sejak dari zaman muda lagi.
Tanpa di duga
Datuk memanggil saya. Cepat-cepat saya campakkan surat akhbar dan meluru
padanya.
“Ada apa tok
?”
“Malam ini,
kau turut sama berjaga.”
“Sayaaa…..”
suara saya mati di situ. Kawan-kawan Datuk mengetawakan saya.
“Kau takut ?”
tanya Datuk sesudah suara ketawa kawan-kawannya mati. Semua biji mata
kawan-kawan Datuk tertumpu ke muka saya.
“Tidak,”
jawab saya tegas. Kawan-kawan Datuk berpandangan sama sendiri. Saya ditugaskan
berjaga dekat surau hingga ke rumah Haji Shafie, kawan saya yang disyorkan oleh
Datuk ialah Bidin yang agak tiga suku sedikit perangainya.
Sementara
menanti malam tiba, saya berpeluang menyoal Datuk tentang kehilangan Imam
Hamid. Tidak banyak yang mahu diceritakan oleh Datuk tentang Imam Hamid. Datuk
cuma mengatakan Imam Hamid meninggalkan kampung kerana urusan peribadi. Menurut
Datuk manusia berkepala anjing ini memang sudah lama wujudnya. Tapi dapat
diatasi oleh orang yang cukup handal dalam ilmu kebatinan.
“Tapi orang
yang macam tu dak ada lagi,” keluh Datuk. Di mukanya terbayang rasa kecewa dan
kesal yang amat sangat. Dia bimbang kalau manusia kepala anjing itu tidak dapat
dihancurkan, bukan satu perkara yang mustahil ada gadis yang menjadi korbannya.
“Macam mana
orang tu boleh jadi begitu tok ?” soal saya. Datuk renung muka saya
tepat-tepat. Dia mengaru pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya merenung kosong
ke depan.
“Kadang
berpunca dari keturunan, ” ujar Datuk.
“Caranya.”
“Boleh jadi
masa dulu ada Datuk neneknya mengamalkan ilmu itu untuk mempertahankan diri,
bukan untuk tujuan jahat, maklumlah orang zaman dulu banyak mengembara dalam
hutan terpaksa banyak menggunakan berbagai ilmu,” Datuk berhenti bercakap. Dia
telan air liur dua tiga kali. Matanya masih juga merenung ke depan.
“Biasanya
yang datang dari keturunan tu,” jadi bila dia terdesak dan tak sedarkan diri,
umpamanya dipukul oleh orang dengan tidak tentu fasal baru dia jadi, jenis ni
tidak merbahaya, boleh dibuang dengan ancak dan rakit ke dalam tujuh kuala
sungai. Dan orang itu akan sempurna terus,” saya mendengar cakap Datuk dengan
penuh teliti.
“Di kampung
kita ni macam mana ?” soal saya.
“Orang ini
menuntut, tapi silap bawa, fasal tu dia mengganas.”
“Silap macam
mana ?”
“Tujuan dia
menuntut untuk diri sendiri, tapi masa dia menuntut tu, boleh jadi dia
menjalani pertapaan, masa itu dia dipengaruhi syaitan untuk membawa kerja yang
tidak baik.”
“Jadi.”
Mendengar
cakap saya itu, Datuk jadi tergamam. Bila rasa tergamamnya hilang. Dia
tersenyum dan terus menepuk bahu saya dua tiga kali.
“Dia terus
jadi syaitan,” tambah Datuk
“Kerana itulah
bila mahu menuntut ilmu keduniaan, terlebih dahulu mengisi dada dengan ilmu
agama, dapat membezakan mana yang direlakan oleh agama dan yang mana pula
ditegahnya. Tak boleh main ikut-ikut silap-silap gaya kita terkeluar dari
ajaran agama.
“Keluar macam
mana.”
“Takbur dan
menafikan kebesaran dan kekuasaan Tuhan, sedangkan sesuatu yang berlaku adalah
atas kehendaknya, kita boleh jadi murtad,” Datuk segera bangun. Memang kalau
dia masih ada depan saya, banyak lagi pertanyaan yang mahu saya tanyakan. Datuk
tahu perangai saya. Dia memilih jalan mudah dengan meninggalkan saya.
Tepat pukul
sepuluh malam. Saya dan Bidin tiga suku mundar-mandir dari satu kawasan ke satu
kawasan. Kemudaan menuju ke kawasan rumah Haji Shafie dengan membawa sebatang
kayu panjangnya kira-kira empat kaki. Saya tidak suka dengan perangai Bidin
tiga suku yang suka bercakap besar. Sesekali dia bersilat tidak tentu fasal.
Tidak boleh terdengar katak melompat. Dia buka silat. Kalau dekat dengannya
bertabur darah kepala kena kayu di tangganya. Memang saya tahu, Bidin tiga suku
baru dua bulan belajar silat cekak.
“Kau jalan
seorang dulu Din, aku nak rehat di tangga surau,” kata saya sambil duduk di
anak tangga bongsu. Ketika itu sudah pukul sebelas lebih, bulan mula
mengambang. Suara salakan anjing. Mula kedengaran. Sayup-sayup.
“Ok, kalau
aku jumpa, aku lipat empat,”
“Jangan
begitu, tak baik.” Saya terdiam. Bidin tiga suku terus meronda. Dua minit
kemudian Bidin tiga suku datang pada saya.
“Kenapa ?”
tanya saya sambil melihat muka Bidin tiga suku yang pucat lesi. Dia tidak
bersuara, jari kelingkingnya menunjukkan ke arah pangkal pokok mempelam. Dada
saya berdebar. Saya beranikan diri pergi ke pangkal pokok mempelam. Sebaik saja
saya sampai ke pangkal pokok tersebut. Saya terserempak dengan seekor kucing
hitam belang putih menangkap tikus. Saya segera mendapatkan Bidin tiga suku
kembali.
“Tak ada apa
pun di situ ?” kata saya.
“Di situ, aku
jumpa dia, biarlah aku balik dulu, perut aku sakit,” kata Bidin tiga suku
terputus-putus. Saya membenarkan dia pulang. Tahulah saya kenapa Bidin tiga
suku jadi begitu. Saya terus berjaga tanpa Bidin tiga suku. Berjaga tanpa kawan
bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Dua tiga kali saya membuat keputusan
untuk pulang, tapi kerana memikirkan keselamatan orang ramai saya terpaksa juga
berjaga. Suara lolongan anjing makin hebat. Sekali-sekala terdengar bunyi suara
burung jampuk. Tingkah meningkah dengan suara burung hantu.
Angin malam
terus juga bertiup, dedaun bergerak. Saya keraskan semangat dan terus meronda.
Kalau ada apa-apa yang meragukan hati, saya akan terus memukul beduk
memberitahu kawan-kawan lain. Saya terus berjalan di bawah sinaran bulan yang
agak kabur itu. Waktu saya sampai ke pangkal pokok mempelam bagi kali yang
ketiga. Saya lihat kucing hitam berbelang putih masih lagi bermain dengan tikus
yang ditangkapnya. Saya berdiri di situ. Tiba-tiba bahu saya ditepuk dari
belakang. Darah saya tersirap. Badan saya menggeletar. Tidak berani saya
menoleh ke belakang saya benar-benar jadi kelam-kabut. Saya mula mahu menjerit,
tapi sepasang tangan mencekup mulut saya dengan keras. Saya berhempas pulas
berusaha melepaskan diri. Saya terasa mulut saya tidak dicekup lagi. Segera
saya menoleh ke belakang.
“Pak Imam.”
“Iya, jangan
bising,” Imam Hamid memberi amaran. Dia berkain pelikat. Berbaju Melayu putih
dan bersongkok putih. Matanya merah merenung ke muka saya.
“Ke mana Pak
Imam menghilang.”
“Itu bukan
urusan kau.”
“Pak Imam
yang jadi……,” belum sempat saya menghabiskan perkataan, Imam Hamid menarik
tangan saya ke bawah pokok mempelam. Dia suruh saya duduk dan dia berdiri gagah
di depan saya tidak memalingkan pandangan ke mana-mana. Saya tentang wajahnya
dengan harapan di bawah sinaran bulan yang muram, saya dapat melihat pertukaran
wajahnya dari manusia kepada anjing. Apa yang saya harapkan tidak terjadi. Pak
Imam tetap berwajah manusia. Suara salakan anjing terus menerus. Burung kian
kuat berbunyi. Angin malam menggugurkan mempelam tua. Dengan mendadak saja bulu
tengkuk saya berdiri.
“Datuk kau
berjaga sebelah mana ?”
“Sebelah
barat Pak Imam ?”
“Bagus, satu
peluang yang baik.”
“Apa yang Pak
Imam cakapkan ini.”
“Kau mana
tahu,” suaranya keras sekali. Dia menarik tangan saya dengan kasar menuju ke
surau. Tidak lama kami berdiri dekat surau. Pak Imam menarik tangan saya menuju
ke rumah Pak Jalil. Dia berdiri betul-betul dekat tingkap bilik Minah anak dara
Pak Jalil. Saya makin yakin, bahawa manusia berkepala anjing yang dicari selama
ini, adalah Pak Imam. Cara yang paling baik saya pilih ialah memukul kepala Pak
Imam dekat kayu bila dia terlali.
Sesungguhnya
Pak Imam cukup berhati-hati dalam kerjanya. Dia tahu dan ingat tiap langkah
yang sudah dan langkah yang akan dibuatnya.
“Saya panggil
orang kampung Pak Imam.”
“Jangan,
tegahnya. Saya bertambah bingung dengan sikap dan tindak-tanduk Pak Imam Hamid.
“Mari
berlindung,” Pak Imam Hamid menolak badan saya hingga jatuh atas tanah.
Kemudian kami merangkak perlahan-lahan menuju ke pangkal pokok asam jawa yang
dikelilingi oleh semak samun. Pak Imam Hamid mendongak ke langit melihat bulan.
Wajahnya nampak muram, kerana bulan di langit dilindungi oleh awan tebal. Bila
awan tebal berlalu bulan tersembul indah di dada langit. Wajah Pak Imam nampak
berseri-seri. Mulutnya mula kumat-kumit membaca sesuatu. Dada saya mula
berdebar.
Dalam keadaan
yang mendebarkan itu, saya lihat Pak Imam Hamid menukar baju dan kain dengan
seluar. Seluruh badan Imam Hamid dibalut oleh kain hitam. Songkok putihnya juga
ditukar hitam.
“Aku mahu
jadi anjing,” katanya sambil menekan batang leher saya ke bumi. Hidung saya
mencium tanah. Imam Hamid meniarap. Sama rata dengan tanah. Dia memberitahu
saya supaya jangan lari atau menjerit. Kalau saya tidak menurut perintahnya,
dia akan menikam saya dengan lawi ayam. Saya bertambah menggeletar. Suara
anjing bertambah kuat. Angin makin kencang bertiup. Berdetup-detap bunyi
ranting menimpa bumi. Bulan terus mengamban. Suara katak bertambah rancak
menyanyi. Imam Hamid masih meniarap. Matanya merenung ke arah rumpun senduduk
dan serunai laut di sebelah kanan rumah Pak Jalil. Dua ekor anjing hitam keluar
dari situ meraung panjang ke bulan. Ekornya terpacak ke langit. Rumpun senduduk
dan serunai laut bergerak hebat. Imam Hamid tidak berkata sepatah apa pun.
Mulutnya terus kumat-kumit. Saya lihat matanya tidak berkedip memandang belukar
kecil di depannya.
“Lihat
katanya.” Saya memandang ke depan, seorang lelaki berkulit hitam berkepala
anjing keluar dari celah semak itu. Di meraung bagaikan anjing merenung bulan.
Lembaga manusia berkepala anjing melompat ke arah tingkap tempat Minah tidur.
“Datuk kau di
mana ?” bisik Imam Hamid.
“Macam saya
cakap tadi. Orang ini membalas dendam, selagi keluarga Datuk kau tidak
dirosakkan dia tidak akan berhenti,”
Saya segera
teringat Pak Jalil memang ada hubungan keluarga dengan Datuk, malah dalam
perkiraan Datuk, Minah mahu dijadikannya isteri pada seorang cucunya. Jadi
cakap Imam Hamid ini memang ada benarnya. Fikir saya sendirian. Dalam berfikir
begitu saya lihat manusia berkepala anjing menepuk dinding, dan daun tingkap
rumah Pak Jalil terkuak dengan sendirinya.
Manusia
berkepala anjing melompat ke atas. Bertenggek di bendul tingkap. Saya bertambah
kelam-kabut. Imam Hamid bangun menuju ke bawah rumah. Dia terus bertempik dan
menjerit sekuat hati., kemudian diikuti dengan suara azan yang nyaring. Saya
terus menuju ke surau lalu memukul beduk. Bila saya pulang ke tempat asal, saya
lihat Imam Hamid sedang berhadapan dengan manusia berkepala anjing. Manusia
berkepala anjing terus menyerang Imam Hamid.
Dengan tenang
Imam Hamid mengelak serangan itu. Saya mendekati Imam Hamid. Dia menyuruh saya
pergi jauh. Jelas kedengaran Imam Hamid membaca ayat-ayat suci masa dia
bertarung dengan manusia berkepala anjing. Saya terus berdoa semoga orang-orang
kampung akan datang segera ke tempat Imam Hamid. Dalam keadaan yang gawat itu,
saya lihat manusia berkepala anjing tidak berdaya menyerang Imam Hamid. Dia
lemah. Ketika itulah Imam Hamid memasukkan jawi ayam ke perut manusia berkepala
anjing. Imam Hamid meneruskan pembacaan ayat-ayat suci.
Manusia
berkepala anjing berguling-guling atas tanah. Seluruh isi rumah Pak Jalil
terjaga. Dan orang-orang kampung pun tiba. Datuk meluru ke depan, Imam Hamid
segera menghalang.
“Jangan dekat
dia, biarkan di situ nanti kita akan tahu siapa dia.”
“Biar saya
tikam,” kata Datuk.
“Jangan, kita
cuma boleh menikam hanya sekali, kalau dua kali kita tikam dia tidak akan
mati,” terang Imam Hamid. Datuk akur dengan perintahnya itu. Bila manusia
berkepala anjing itu berhenti menggelupur, kepalanya segera hilang dan diganti
dengan kepala manusia.
“Anjang
Dollah,” kata Datuk. Imam Hamid senyum, saya bertambah bingung. Macam mana
orang yang sudah mati boleh hidup kembali. Perkara itu segera tanyakan pada
Imam Hamid. Dengan senyum Imam Hamid menjawab, “roh dan badannya tidak di
terima bumi, kerana mengamalkan ilmu salah.”
“Begitu,”
sahut saya lembut. Saya lihat bekas tempat manusia berkepala anjing itu
berguling terdapat batang pisang. Datuk terus memotong batang pisang itu tujuh
kerat. Dua dibuang ke dalam semak dan yang lima lagi dicampakkan ke laut pada
keesokan harinya. Atas arahan Imam Hamid, dia menyuruh penduduk kampung membaca
Yasin empat puluh empat malam berturut. Perintah itu juga dituruti oleh
orang-orang kampung. Sejak itu kampung saya tidak diserang oleh manusia
berkepala anjing hingga sekarang.
Dua bulan lepas peristiwa itu, Datuk mengajak saya pergi ke Kampung
Sungai Sadang. Datuk ke situ kerana, dia diajak oleh kenalan rapatnya menangkap
burung waktu malam. Saya membantah rancangannya, tapi Datuk yang terkenal
dengan keras kepala itu tidak peduli dengan bantahan saya.