Bertemu
Dengan Penunggu Babi Hutan
Percakapan
datuk dengan jin semakin hangat, secara perlahan-lahan percakapan itu bertukar
kepada pertarungan kebatinan. Kemampuan dan kekuatan datuk benar-benar teruji.
Mata datuk bercahaya garang dengan urat-urat timbul di dahi dan lengannya.
Peluhnya jangan dikira terus menerus membasahi seluruh badan.
Datuk tahu kalau dia kalah. Dia akan rebah ke bumi. Seluruh badannya akan lebam. Jadi datuk bertekad untuk melawan dengan apa cara sekali pun. Masa berlawan itulah datuk terasa cuping telinga sebelah kirinya lembik. Datuk senyum, satu tanda baik. Kemenangan akan berada di pihaknya. Datuk terus mengucapkan begini :
Jong
keli jong, tali cemati tebang buluh bunting pagi melemang...
Belum
pun tamat datuk mengucapkan mentera itu. Dia terasa pangkal belikatnya keras
macam batu. Datuk tidak boleh bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk terus
bertempik dengan menyeru nama guru ilmu batinnya, serentak dengan itu datuk
mengambil senapang seraya berkata : "Kalau aku kalah, aku rebah, kalau aku
menang, aku berdiri dan kau pulang ke tempat asalmu." Datuk pun melepaskan
satu tembakan kepada rusa. Tepat tembakan datuk kena pada kening rusa. Rusa
yang berjumlah tujuh ekor itu hilang entah ke mana. Kawasan itu jadi sepi.
Pemandangan datuk kembali normal yang ujud di depannya sekarang iailah sebatang
pokok besar dengan akar-akar bergayutan yang mencecah muka bumi.
Datuk
menang dalam pertarungan itu. Sebelum meninggalkan tempat itu, datuk segera
mencari anak-anak kayu yang bercabang tujuh yang mengarah ke matahari jatuh.
Anak kayu bercabang tujuh itu datuk tikam ke bumi. Cabang yang tujuh ke bawah.
Lepas itu datuk memotong cabang tujuh lalu berkata : "Ini kawasan manusia,
dan kau telah pulang ke tempat asalmu."
Datuk
pun mencari arah, dia mula masuk tadi. Dia duduk di situ lebih kurang setengah
jam. Kemudian baru kawan-kawannya pulang. Semua binatang buruan di masukkan ke
dalam bonet kereta Ford Anglia kepunyaan datuk. Dalam perjalanan pulang datuk
dan kawan-kawannya singgah di pekan Pengkalan Bharu. Mereka makan dan minum
kopi disebuah warung dekat surau. Cara kebetulan pula tuan punya warung itu
adalah kenalan datuk yang sama-sama satu datang dari Aceh. Datuk pun
menceritakan tentang peristiwa yang dialaminya. Menurut tuan punya warung itu,
setiap pemburu yang berjumpa dengan rusa yang berjumlah tujuh, selalunya cukup
sulit untuk keluar dari kawasan hutan, kalau keluar pun dia tidak akan sihat
atau separuh gila.
"Biasanya
bila meraka sampai ke rumah, mereka terus sakit dan meninggal, masa sakit
itulah mereka tidak tentu arah, kalau silap dilayan atau tidak berjumpa dengan
dukun yang handal penyakit itu akan berjangkit pada si anak, biasanya sakit
suka pada anak bongsu." Terang tuan punya warung itu pada datuk. Datuk
terdiam kemudian datuk mengajak tuan punya warung itu ke tepi sungai. Datuk
minta tuan punya warung itu memandikannya dengan air yang bercampur dengan daun
tujuh jenis, untuk mengelakkan badi rusa itu mengikut datuk balik ke rumah.
Walau bagaimanapun, datuk terhindar dari serangan sebarang penyakit. Malah,
kegemarannya untuk memburu bertambah giat dan hebat. Asal terdengar saja
padanya ada kawasan terdapat landak, kancil atau kijang, datuk tidak akan
melepaskan peluang untuk memburu. Kalau tidak dapat waktu siang, dia akan pergi
waktu malam. Memburu adalah suatu kerja yang amat dicintai oleh datuk.
Kalau
sudah tiba masanya datuk untuk berburu. Jangan siapa cuba menghalang. Dia tidak
peduli. Kalau dilarang juga datuk naik darah. Selalu jadi korban kemarahan
datuk ialah nenek saya yang tidak bergitu senang dengan sikap datuk itu. Selain
dari berburu datuk cukup rajin berlajar ilmu-ilmu kebatinan. Datuk pernah
bertapa di Gua Ulu Licin tujuh hari tujuh malam tanpa makan sebiji nasi, tapi
tubuh datuk tidak susut.
Kalau
ada dukun ilmu batin mengubat orang cara kebatinan, datuk tidak segan-segan
berkawan dan mencuri ilmu dari dukun itu. Anehnya, datuk tidak berhajat untuk
menjadi seorang dukun. "Semua yang dicari hanya sekadar untuk pelindung
diri," kata datuk.
Pada
suatu pagi ahad, datuk telah menerima kunjungan seorang temannya dari Port
Weld, dekat Taiping iaitu Lee Kong Hua, seorang pengusaha kilang kopi. Setelah
berbincang agak lama dengan kawannya itu. Datuk pun mengambil keputusan untuk
pergi memburu babi yang selalu merosakkan tanamannya di Paya Besar. Kawannya
itu bersetuju, mereka terus pergi ke balai polis Bruas memberi tahu tentang
hajat mereka untuk memburu babi.
Hasrat
datuk dan kawannya itu tidak dihalangi oleh pihak polis, kerana kawasan Paya
Besar masih lagi belum telibat dengan kawasan hitam. Dengan kereta Ford Anglia
mereka masuk ke dalam kawasan Paya Besar ikut jalan enam kaki. Sampai ke
kawasan kebun getah lebih kurang pukul sepuluh pagi.
Kemudian
datuk dan kawanya itu menyusul jejak tapak kaki babi menghala ke utara. Lebih
kurang dua jam berjalan, babi yang dicari masih tidak ditemui. Mereka masih
tidak putus asa. Lee Kong Hua sudah merancangkan bila dapat babi hutan nanti,
dia akan membawa babi itu pulang dengan lori kepunyaan seorang kawannya yang
sudah bersetuju datang ke kebun getah datuk lebih kurang pukul tiga petang. Dia
mengira paling kurang lima ekor babi akan diperolehinya, kerana dia tahu datuk
memang cekap menembak.
Jalan
punya jalan akhirnya datuk dengan kawannya tersua dengan seekor babi hutan yang
besar. Datuk melepas tembakan tapi, babi segera melompat masuk ke dalam belukar
kecil yang penuh dengan pokok serunai laut, senduduk, datuk dan kawannya
mengelilingi belukar kecil itu, tiba-tiba babi itu keluar dari belukar dan
berlari ke arah Ulu Dendang. Mereka terus memburunya. Masa memburu datuk dan
kawannya terserempak dengan satu kumpulan babi. Dan babi yang mereka kejar itu
berada tidak jauh dari kumpulan tersebut.
"Dia
sudah luka," Datuk memberi tahu kawannya.
"Hati-hati
babi hutan luka selalunya ganas."
"Aku
tahu, tunggu di sini, dia mesti ditembak, kalau tidak kita akan
diserangnya," tambah datuk lagi. Kawannya akur pada cakap datuk.
Datuk
memintas babi itu dari belakang. Babi itu berpusing mengadap ke datuk. Alangkah
gembiranya hati datuk. Dia sudah mengambil tempat yang baik. Dia terus
menghalakan muncung senapang ke arah kepala babi hutan itu. Macam selalu
sasaran yang dipilih oleh datuk ialah pada kening setiap binatang buruannya.
Bila pemetik senapang mahu ditarik babi itu memusingkan tubuhnya lalu masuk ke
hutan sebelah kiri. Datuk terus mengikutinya dengan tenang.
Suatu
ketika binatang itu berhenti. Datuk sudah pun mencari tempat yang baik untuk
melepaskan tembakan. Entah macam mana bagaikan ada suatu kuasa yang menarik
tangan datuk menarik pemetik senapang. Dan satu ledakan bergema. Babi terkejut
dan terus lari. Gatuk terus juga memburu hingga sampai ke Ulu Sungai Dendang.
Di seberang sungai datuk melihat babi hutan itu menyondol-nyondol tanah dengan
tenang. Datuk berjalan menyusul tebing sungai ke hulu. Dia menyeberang melalui
sebatang pokok merbau tumbang yang merintangi Sungai Dendang. Jadi berada di
kawasan itu, seperti berada di kawasan sendiri fikir datuk. Datuk pun sampai ke
seberang. Ternyata datuk tidak boleh mendekati babi itu, kerana di pisahkan oleh
satu kolam kecil yang airnya keroh. Kalau datuk melepaskan tembakan dari situ
pun boleh, tapi datuk tidak mahu. Dia mahu menembak babi jarak yang dekat
sekali. Datuk pun melompat kolam kecil yang seluas kira-kira lima kaki itu.
Datuk merangkak dan mencari tempat yang baik.
Babi
hutan itu itu terus juga nyondol tanah. Datuk berdiri di seballik pokok ara.
Tiba-tiba datuk terasa telinganya berdesing, pandangannya berubah dan jadi
berpinar-pinar. Datuk bagaikan berada di satu dunia lain yang sunyi tapi amat menyeramkannya.
Dengan pokok-pokok yang beranika ragam dengan akar yang berjuntaian. Datuk
mengira semuanya terjadi kerana dia terlalu letih, banyak membuang tenaga
kerana belari. Dia mahu merebahkan babi hutan itu dengan segera, kalau babi itu
tidak mati, nanti dia mengamuk, semua penoreh getah di Paya Besar akan
diserangnya.
Datuk
tahu, kalau babi hutan mengamuk cukup buruk padahnya. Datuk melihat babi hutan
itu menyondol tanah di pangkal pokok besar. Datu meletakkan buntut senapang di
bahu. Dengan hati-hati dia pun menarik pemetik senapang. Datuk jadi gawat
sekali. Senapang itu tidak berbunyi dan babi hutan terus menyelinap ke balik
pokok besar.
Dari
celah pokok besar itu muncul seorang wanita yang sungguh cantik. Dia mahu
mendekati datuk dan mengatakan bahawa babi itu berada tidak jauh daripada pohon
itu. Dia suruh datuk memburunya dan datuk sudah tahu, dia terperangkap lagi.
Wanita di hadapan datuk terus bercakap dengan manjanya. Bau harum yang sangat
asing menyusuk lubang hidung datuk. Datuk merasa dirinya seakan-akan
melayang-layang.
Datuk
segera bertafakur menyatukan mata batin dan seluruh kekuatan pancainderanya.
Dia terasa ada sesuatu kuasa yang menyuruh dia kembali ke seberang sungai.
Datuk menentang kuasa itu dengan penuh keyakinan. Kali ini datuk terasa dia
mula tewas. Dia terdengar suara perempuan cantik itu ketawa. Datuk membuka
mata. Perempuan cantik itu sudah tiada lagi di hadapannya.
Datuk
berpatah balik.
Bila
datuk sampai ke seberang. Suara desing di telinganya sudah hilang. Pandangnya
tidak berkunang. Pokok-pokok besar yang dilihat bergayut dengan akar tadi,
ternyata hanya pokok-pokok kecil yang tidak ada akar bergayut. Datuk duduk di
situ, beberapa saat, kemudian kawannya Lee Kong Hua pun sampai ke tempatnya.
"Kenapa
?" tanya kawan datuk
"Kita
balik."
Mereka
pun segera pulang ke kebun getah. Sampai di situ sudah ada lori yang dijanjikan
oleh Lee Kong Hua menunggu. Datuk terkejut disamping pemandu dua orang anggota
polis seorang berpangkat sarjan dan seorang lagi polis biasa.
Datuk
kenal yang berpangkat sarjan itu namanya Ali, lebih dikenali dengan nama Sarjan
Ali, orang Paya Ara dan membeli tanah berhampiran dengan rumah datuk.
"Kenapa
Tuk," tanya datuk dengan tenang kepada sarjan itu.
"Kalau
saya tahu tadi, awak nak memburu saya tahan, saya tahu awak akan sampai ke Ulu
Bendang," kata Sarjan Ali.
Datuk
diam. Kemudian Sarjan Ali terus menyoal datuk, kalau datuk mengalami perkara
ganjil semasa berburu. Datuk bercerita apa yang dialaminya tadi.
"Saya
dah duga kawasan itu keras ada penunggunya, banyak orang yang berburu ke situ
tidak pulang, sebulan dulu Cina dari Setiawan hilang ghaib entah ke mana
berburu di situ, bila dikesan cuma jumpa kain dan rangka sahaja yang
tinggal," sambung Sarjan Ali. Mengeremang bulu datuk mendengarnya.
Kemudian
datuk dan kawannya ke jalan besar. Terus pulang ke rumah. Penerangan yang
diberikan oleh Sarjan Ali itu membuat datuk ingin lagi sekali pergi berburu di
daerah itu. Walau bagaimana pun hasrat itu dibatalkan oleh datuk sesudah dia
menemui seorang tua di Kampung Cangkat Berangan. Orang itu berkata pada datuk
begini : "Jangan pergi, kalau kau menerima cakap perempuan itu yang
menyuruh kau mencari babi itu, kau akan hilang entah ke mana."
"Saya
nak jumpa juga."
"Tambahkan
lagi ilmu pendinding diri untuk kau." Kata orang tua itu. Namanya Tok Aki
Simbang, waktu mudanya dia seorang pendekar malah pernah terlibat dalam
peperangan Larut. Dia adalah orang kuat Long Jaafar.
Datuk pun belajar lagi beberapa ilmu kebatinan dengan
Tok Aki Simbang. Orang tua itu pun mencurahkan ilmunya pada datuk. Dan datuk
memang pun berazam untuk menemui perempuan cantik itu.