Mencari Harta Karun
Mahu atau
tidak mahu, saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang
pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.
“Berapa lama
kita di sana tok,” tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk
yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas
putih. Memang itu perangai Datuk. Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat
rajah dulu. Dia mahu memastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau
sebaliknya.
“Boleh jadi
sehari dua, boleh jadi seminggu dua, bergantung pada keadaan.”
“Keadaan mana
tok ?”
“Kalau banyak
burung yang kita dapat lamalah kita di sana.”
“Bila kita
nak bertolak.”
“Aku fikir
pagi esok saya.”
Datuk bangun.
Dia turun ke tanah. Saya kira Datuk bersiap-siap untuk pergi ke kampung bunian
menemui isteri mudanya. Dugaan saya tidak tepat. Datuk cuma pergi ke belakang
rumah melihat ayam dalam kandang. Saya barang yang mahu dibawa sudah saya
kemaskan. Saya melangkah ke anjung rumah. Sebuah kereta tua masuk ke dalam
kawasan rumah Datuk. Bila pintu kereta dibuka, keluarlah seorang lelaki
Inggeris. Kepalanya separuh botak. Saya kenal orang Inggeris itu. Namanya Mr.
Brown pengurus ladang getah, Sungai Beruas.
Mr. Brown
terus mendapatkan Datuk di belakang rumah. Pengurus ladang getah itu, memang
selalu menemui Datuk, kalau dia mengalami silap urat. Kalau dia diserang
penyakit dia lebih dulu meminta ubat cara kampung dari Datuk. Kalau tidak baik
baru dia menemui doktor. Pernah dia menawarkan kerja di ladang getah pada saya.
Dia suruh saya jadi kerani. Permintaan itu saya tolak. Kedatangannya pada hari
itu, tidak saya hiraukan. Saya agak tentu dia silap urat dan minta Datuk
mengurutnya. Kalau tidak masakan dia datang, fikir saya. Lama juga Mr.Brown
bercakap dengan Datuk di belakang rumah. Mr. Brown cukup fasih bercakap Melayu.
Dia boleh membaca dan menulis jawi. Pernah dia bercerita pada saya yang dia
lama duduk di Palestin dan Iraq masa perang dunia yang pertama dulu.
Saya terus
baring di anjung rumah. Mr.Brown naik ke atas anjung bersama Datuk. Saya bangun
dan duduk bersila macam mereka. Mr.Brown membuka peta.
“Di sini,
harta itu ada di sini,’ ujarnya dengan tenang sambil menandakan kawasan dalam
peta dengan pensel merah. Datuk termenung panjang.
“Kawasan itu
jauh, kalau silap masuk kita sesat dalam hutan,” tingkah Datuk sambil memeluk
lutut. Mr.Brown tersenyum. Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya
beberapa kali.
“Minggu dulu
mandur saya pergi menembak ayam hutan, mereka jumpa kubur besar dalam hutan,
macam kubur raja. Ada emas atas kubur, tapi mandur saya tidak berani ambil,”
jelas Mr.Brown lagi,
“Saya dah
minta kebenaran dari tuan OCPD untuk masuk kawasan itu dan membawa barang untuk
meletupkan gua.”
Datuk
terdiam. Saya mula resah. Saya tahu kawasan yang disebutkan oleh Mr.Brown itu,
ialah kawasan kerajaan Melayu Beruas lama yang sekarang menjadi hutan belukar.
Satu ketika dulu, pernah orang-orang kampung yang sesat dalam hutan kerana
mencari rotan terjumpa kawasan istana lama, lengkap dengan taman bunga, rumah
batu dan kawasan permakaman di raja. Bila orang itu pergi untuk kedua kalinya
mencari kawasan tersebut. Kawasan itu tidak dijumpai lagi. Malah orang pergi
itu, diserang demam panas berbulan-bulan lamanya. Menurut cerita arwah Haji
Hamid, kawasan itu cukup keras, Mahkota, emas berlian dan pedang kebesaran
raja-raja dahulu tertanam di situ. Orang-orang yang jujur dan ikhlas saja yang
selalu terjumpa kawasan tersebut. Arwah Haji Hamid dua kali terjumpa kawasan
tersebut. Anehnya, kalau sesiapa yang berniat mahu mencarinya, sampai kiamat
tidak akan terjumpa.
“Saya sudah
lama menyiasatnya, sejak saya datang.” Mr.Brown bersuara sambil melihat peta.
Datuk terus tersenyum.
“Di kawasan
ini, dulu ada kota kerajaan Gangga Negara,” Mr.Brown tanda peta dengan pensel
merah.
“Dari sini,
kita boleh pergi ke Padang Serai, dari situ kita pergi ke Segari. Tidak jauh
dari situ ada kawasan kerajaan Manjong,” Mr.Brown berhenti menandakan peta
dengan pensel merah. Saya gigit bibir. Datuk kelihatan tenang. Wajah Mr.Brown
nampak cemas. Mata merenung ke peta kembali. Kemudian Mr.Brown bercerita
tentang kerajaan Gangga Negara. Dia tahu semua kawasan dan wilayah kekuasaan
kerajaan Gangga Negara.
“Dari mana
awak tahu ?” Soal Datuk.
“Di London,
di sana semua fasal sejarah Malaya ada di muzium, saya datang ni bukan mahu
jadi manager, tapi saya mahu siasat negeri awak.”
“Kalau dapat
awak mahu buat apa ?”
“Barang-barangnya
saya bawa ke London, kemudian saya tulis buku sejarah negeri awak,” ujar
Mr.Brown dengan bangga. Kerana terlalu pandai Mr.Brown memujuk. Datuk mahu
membantunya mencari kesan sejarah lama itu. Mr.Brown berjanji dengan Datuk
kalau mereka berjumpa dengan barang-barang purba. Dia tidak akan mengambilnya.
Dia sekadar mahu melihat dan menyiasat serta mengambil gambar. Mr.Brown juga
akan membawa barang makanan yang secukupnya selama penyiasatan itu diadakan.
Selain daripada itu Mr.Brown akan membawa tiga orang pekerjanya untuk turut
sama dalam rombongan itu. Dalam tilikan Datuk, rombongannya akan bertemu dengan
kawasan yang dihajati oleh Mr.Brown itu.
Akhirnya,
rombongan itu berangkat ke tempat yang dituju. Saya cukup gembira, kerana saya
tidak dikecualikan dari rombongan tersebut. Rombongan kami bertolak dari
kawasan rumah Datuk, kira-kira pukul enam pagi dengan sebuah jeep menuju ke
kawasan pecah batu di Seputih. Dari situ berjalan kaki menuju ke tepi Sungai
Beruas. Kami menaiki sebuah sampan kecil yang berbumbung. Sebelum itu, Mr.Brown
dan Datuk sudah pun pergi ke Kampung Kota melihat tulisan di batu nisan lama
yang terdapat di situ. Menurut Mr.Brown, mencari kawasan lama itu lebih baik
melalui sungai daripada mengikuti jalan darat. Ada dua sebab, kenapa Mr.Brown
memilih ikut sungai, pertama mudah dan kedua orang-orang dahulu selalu membuka
kawasan di tepi sungai.
Lama juga
bersampan di Sungai Beruas. Akhirnya Mr.Brown menyuruh orang yang mendayung
sampan rapat ke tepi. Dari situ mendaki satu kawasan bukit kecil. Kami
berkhemah di situ. Dua hari kami di situ, masuk hari yang ketiga. Salah seorang
daripada rombongan kami jatuh sakit. Dia menjerit tidak tentu arah. Bagaikan
kemasukan hantu. Puas Datuk mengubatnya. Sakitnya tidak juga mahu hilang.
Matanya merah. Lidahnya sentiasa keluar. Mr.Brown mengambil keputusan untuk
menghantar pulang dua orang pekerjanya itu. Sepeninggalan Mr.Brown, Datuk dan
saya hanya duduk di dalam khemah saja.
Malam itu,
saya tidak dapat tidur dengan lena. Macam-macam suara yang saya dengan. Datuk
duduk di kanan saya, sekali-sekala, saya dengar Datuk bercakap. Dengan siapa
dia bercakap, saya tidak pasti. Tetapi suara orang yang dilawannya bercakap
jelas kedengaran. Orang itu menyuruh Datuk berpindah ke tempat lain, kerana
kawasan yang diduduki sekarang kawasan larangan. Datuk berjanji dengan orang
itu akan pindah pada pagi esok. Lepas itu, saya lihat Datuk tidur dengan lena
hingga ke pagi. Lebih kurang pukul sepuluh pagi Mr.Brown pun tiba. Dia membuka
peta lagi. Mr.Brown sukat peta dengan kayu pembaris.
“Kita masuk
ke dalam lagi,” katanya. Tanpa membantah Datuk dan saya mengikut perintahnya.
Satu kawasan lapang kami cari. Berkhemahlah kami di situ. Sementara menanti
matahari terbenam, Mr.Brown mengutip dan meneliti tanah dan batu yang ditemuinya
di kawasan tersebut.
“Kita berada
di kawasannya,” kata Mr.Brown pada Datuk sambil membaca buku tebal yang
dibawanya. Setiap kali dia dapat tanah atau batu dia buka buku. Matahari pun
terbenam di kaki langit. Datuk ambil air sembahyang dari kolam yang terdapat di
situ. Airnya cukup jernih. Lepas sembahyang Datuk dan Mr.Brown terus masak.
Lepas makan Mr.Brown baca buku. Lampu gasolin yang terpasang dalam khemah cukup
terang. Dalam ingatan saya, sudah tiga malam kami berkhemah dalam hutan tebal. Lebih
kurang pukul sembilan, saya sudah tidak berdaya membuka kelopak mata. Saya
mengantuk betul. Saya terus tidur dan bermimpi menemui seorang perempuan yang
cantiknya tidak dapat saya lukiskan. Dia bagaikan gadis bangsawan duduk
berjuntai kaki di balai rong seri sambil membawa lagu-lagu Hindu dengan irama
yang merdu dan halus. Dia bangkit lalu mendekati saya. Dia mengajak saya
berjalan mengelilingi istana. Kulitnya cukup halus. Bau badannya semerbak
wangi. Senyum sentiasa terukir di bibir nipisnya.
“Siapa namamu,”
tanya saya. Dia tidak menjawab. Jejari tangannya yang lentik terus mengheret
tangan saya menuju ke pokok besar. Saya patuh pada arahannya, berjalan di
rumput yang menghijau di depan istana.
“Ke mana ?”
soal saya. Dia tidak menjawab, tapi jari telunjuknya menuju ke arah pohon
beringin rendang.
“Siapa namamu
?” ulang saya lagi. Dia berhenti berjalan.
“Dayang pada
Tuan Puteri Zarid Gangga,” dia menjelaskan pada saya. Fahamlah saya sekarang.
Rupanya dia orang kanan dalam istana kerajaan Gangga Negara. Sebaik saja sampai
di bawah pohon beringin. Dia menghilangkan diri. Saya terkejut dan terbangun.
Saya lihat Mr.Brown masih lagi membaca buku dan meneliti ketul batu dan tanah
yang dikutipnya. Datuk masih lagi menghadap asap kemenyan yang dibakar. Saya ceritakan
pada mereka apa yang saya alami dalam masa tidur tadi.
Pagi esoknya,
kami mencapai kata sepakat untuk mengali tanah di bawah pohon beringin. Lima
jam kami mengali tanah. Akhirnya kami menemukan sebuah peti besi yang dibuat
dari logam kekuningan. Mr.Brown segera membuka peti itu. Datuk terkejut, kerana
dalam peti itu terisi tengkorak manusia. Kami berhenti menggali, kerana hari
sudah beransur gelap. Datuk membungkus tengkorak itu dengan kain kuning. Malam
pun tiba. Datuk mengusap tengkorak itu dengan kemenyan. Dua tiga kali dia
meletakkan tengkorak itu atas peti dan merimbasnya dengan kain hitam.
“Tengkorak ni
tak ada apa-apa,” kata Datuk pada Mr.Brown. Mr.Brown anggukkan kepala.
Tengkorak itu diletakkannya di dalam peti. Lepas itu kami masuk ke dalam
kelambu masing-masing. Menjelang tengah malam, saya terjaga. Bagaikan ada
tangan yang menggoyangkan bahu kanan saya. Yang pertama kali saya dengar, suara
wanita menyanyi sayup-sayup di selang-seli dengan bunyi gendang. Nyanyian dan
bunyi gendang makin lama makin dekat. Kemudian menghilang. Cuma yang kedengaran
bunyi desiran angin yang kuat. Di tingkah dengan bunyi raungan harimau, suara
burung tukang dan jampuk bersahut-sahutan. Terfikir juga oleh saya untuk
membangunkan Mr.Brown dan Datuk. Bila saya kaji dalam-dalam, mereka tidak perlu
dibangunkan.
Saya jatuhkan
kepala atas bantal. Desir angin dan nyanyian burung hutan terhenti. Saya
terdengar suara orang memanggil saya di luar khemah. Saya amati suara itu.
Datangnya dari arah pohon beringin. Suara itu cukup jelas. Saya membuat
keputusan untuk keluar dari perut khemah dan menuju ke pohon beringin seorang
diri. Di luar khemah, saya dongak ke atas. Malam memang tidak berbintang,
tetapi awan kelihatan cukup bersih. Angin malam bertiup cukup keras. Pepohon di
kiri kanan khemah bagaikan digoyang orang. Tiba-tiba saja hati saya membuat
keputusan tidak mahu pergi ke bawah pokok beringin. Saya masuk ke dalam belukar
di kanan khemah, saya mahu mengintip dari situ. Saya renung ke arah datangnya
suara wanita itu. Badan saya menggeletar. Sepasang mata saya melihat tubuh
seorang wanita berdiri tanpa kepala di situ. Tanpa saya sedari,dahi saya
berpeluh, kawasan tempat wanita itu berdiri cukup terang.
Saya membuat
keputusan untuk masuk ke dalam khemah. Bila saya mahu melangkah, kepala lutut
saya terasa cukup lemah. Saya jatuh terduduk atas tanah. Mata saya masih lagi
tertumpu ke arah pohon beringin. Saya saksikan sebuah kepala bergolek-golek
atas tanah, kemudian memanjat tubuh wanita itu, lalu bercantum dengan leher. Dalam
sekejap mata wanita itu hilang. Kemudian berdiri betul di depan saya, Tuhan
saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bumi serasa tidak ada. Peluh terus
menguasai seluruh badan saya. Suara sudah tidak mampu keluar dari kerongkong.
Dalam saat yang payah itu, segera wanita itu hilang. Berdiri di bawah pohon
beringin hilir mudek di situ. Memang sahlah, wanita itulah yang saya temui
dalam mimpi saya yang lalu.
Kemudian
wanita itu pergi ke khemah yang didiami oleh Mr.Brown dan Datuk. Lebih kurang
lima enam langkah mahu sampai ke gigi khemah, dia berpatah balik. Menuju ke
kolam tempat Datuk mengambil air sembahyang. Bila wanita itu berdiri di depan
kolam, dia terus menjerit. Saya lihat kepalanya jatuh ke tanah,
berguling-guling menuju ke pangkal pohon beringin. Tubuh wanita itu segera
ghaib. Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang bergaduh, saya terdengar
suara jeritan gajah. Saya terdengar bunyi pedang berlaga. Semuanya tidak
kelihatan dan berlaku di kawasan dekat khemah kami. Bila semuanya tidak kedengaran
lagi, saya lihat ada tubuh lelaki hitam memeluk seorang gadis genit, tanpa baju
dan kain. Lelaki hitam membalutkan tubuh wanita itu dengan jubah yang
dipakainya. Wanita dibawanya naik ke atas belakang gajah. Mereka bergerak ke
selatan bersama dengan bunyi gendang perang yang hebat.
Sementara itu
fajar pagi pun tiba. Saya masih tertiarap atas tanah. Seluruh badan saya terasa
lemah. Datuk yang bangun untuk sembahyang subuh bagaikan tahu yang saya tidak
ada dalam khemah. Selesai sembahyang subuh dia pun mencari saya.
“Kenapa
begini,” tanya Datuk terkejut melihat saya terbaring atas tanah. Saya mahu
menceritakan semua yang saya lihat, tapi suara saya tidak keluar. Datuk kembali
ke khemah mengambil kain hitam. Barulah saya boleh bergerak dan bersuara. Datuk
memimpin saya ke khemah. Dia merungut dan marahkan saya, kerana saya keluar
tidak memberitahunya. Semua yang saya lihat saya ceritakan pada Mr.Brown dan
Datuk dengan jelas dan terang. Ketika Mr.Brown membuka peti besi kecil tempat
menyimpan tengkorak, dia terkejut. Tengkorak yang berbungkus kain kuning,
hilang entah ke mana.
Datuk
mencadangkan pada Mr.Brown supaya menggali tanah di sekitar kawasan kolam.
Mr.Brown tidak setuju , dia lebih suka kalau air kolam itu di keringkan,
kemudian perut kolam itu digali. Datuk terima cadangan itu, kerana mengeringkan
air kolam itu bukanlah satu perkara yang sukar. Mr.Brown sendiri ada membawa
jentera untuk mengeringkan air. Lebih kurang pukul lapan pagi, kerja untuk
mengeringkan kolam pun bermula. Satu jam kemudian air dalam kolam pun kering.
Saya terkejut, rupanya kolam itu dibuat dari batu gunung yang tersusun rapi.
Batu bahagian permukaannya sudah banyak yang pecah serta ditimbus oleh tanah.
Datuk
menduga, kolam itu tempat mandi dan tempat bermain keluarga bangsawan dalam
zaman pemerintah Gangga Negara. Bila air kolam sudah kering betul. Datuk,
Mr.Brown dan saya pun memecahkan lantai kolam. Tanah di situ pun kami gali.
Barang-barang yang kami temukan di dalam kolam itu ialah rangka manusia dan
peti besi yang berisikan tengkorak yang hilang dari simpanan Mr.Brown. Dengan
perintah Datuk tulang-tulang serta tengkorak itu ditanam semula dalam satu
lubang dekat pokok meranti. Pada sebelah malamnya, Datuk membuat keputusan yang
nekad. Dia mengajak saya dan Mr.Brown tidur dekat kolam yang sudah dikeringkan
itu.
“Ini
merbahaya,” bantah Mr.Brown.
“Kalau awak
mahu mencari apa yang awak hajat, awak kena ikut saya.” Suara Datuk meninggi.
Matanya mula merah.
“Ok saya
ikut.”
“Begitulah.”
Datuk pun ketawa berdekah-dekah.
Sepanjang
malam di tepi kolam itu, Datuk terus menerus membakar kemenyan. Dia memakai
baju hitam, seluar hitam. Sekali pandang, Datuk bagaikan hulubalang kerajaan
Melayu Melaka. Datuk terus membaca mantera di depan asap kemenyan.
Sekali-sekala dia membuka silat. Tiba-tiba Datuk diam. Matanya pejam. Badannya
tidak bergerak. Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara. Datuk rebah di
situ. Saya segera mahu menghampirinya.
“Jangan, dia
menerima pertunjuk dari orang lain,” kata Mr.Brown sambil memegang bahu kanan saya.
Malam terasa cukup dingin dengan tiupan angin yang sungguh kencang. Suara
burung hantu dan salakan anjing serigala kedengaran sayup-sayup. Datuk melompat
dan terus duduk bersila memandang muka Mr.Brown sambil berkata: Seorang
pengasuh puteri datang pada aku, dia mengucapkan terima kasih, kerana kita
telah mempersatukan tubuh dengan kepalanya serta menanam jasadnya dengan penuh
hormat. Ketika aku tanya kenapa dia mengalami nasib buruk itu. Dia telah
menerangkan pada aku, kepalanya telah dipancung oleh angkatan Raja Suran,
badannya dicampakkan ke dalam kolam, kepalanya ditanam di bawah pokok beringin.
Dia ingin membalas jasa kita semua. Dia telah memberitahu pada aku di mana
barang-barang Raja Gangga Negara, seperti pedang kebesaran, mahkota dan emas berlian
ditanam.”
“Di mana
tempatnya tok, ” tanya saya tidak sabar.
“Sabar, esok
saja aku ceritakan.” Suara Datuk tenang. Lepas itu dia mengajak kami kembali ke
khemah semula.
Pagi esoknya,
Datuk menyuruh saya dan Mr.Brown meruntuhkan khemah. Kemudian turun ke dalam
sampan. Dari situ kami menyusul tebing sungai Beruas yang penuh dengan buaya
liar ke sampai ke Tanjung Ara - dekat Pangkalan Bharu. Dari situ kami mendarat
di satu kawasan berbukit. Hutannya cukup tebal. Kami berjalan ke arah matahari
jatuh hingga bertemu dengan kawasan tanah yang agak tinggi yang gondol itu
penuh dengan batu-batu pejal. Datuk menyuruh kami mendirikan khemah di situ.
“Puteri itu
telah membawa aku ke mari, ” kata Datuk, “menurutnya Raja Gangga Negara, Shah
Johan telah menanam hartanya di sini. Jauh dari pusat kerajaannya, dia
melakukan ini, sebelum kepalanya dipancung oleh Raja Suran.” Datuk pun berhenti
bercerita. Mr.Brown ketawa berdekah-dekah. Barang yang dicari dan dihajati
sudah ada di depan matanya.
Kawasan itu
segera kami bersihkan. Saya terjumpa patung ular yang dibuat dari tembaga di
puncak tanah tinggi itu. Patung ditegah oleh Datuk dari dijamah oleh
sesiapapun. Kata Datuk di bawah perut patung itulah tempat harta karun Raja
Gangga Negara.
Mr.Brown pun
menyiapkan alat peletup. Menurutnya pendapatnya harta-harta itu tertanam lebih
kurang sepuluh meter ke dalam bumi. Bila dinamit yang dipasang itu meletup,
boleh menolong melongsorkan tanah sedalam enam atau lapan meter, kemudian tanah
itu akan digali. Datuk setuju dengan cadangan itu, masa untuk meletupkan
kawasan itu ditetapkan pada tepat pukul empat petang.
Tepat pukul
empat petang, terdengarlah satu letupan bergema dalam hutan tebal, batu-batu
berterbangan, pokok-pokok habis tercabut. Tanah tinggi di situ kelihatan rata.
Mr.Brown cukup gembira, dia tidak putus-putus ketawa. Bila ketawanya berhenti,
Mr.Brown terkejut besar, dari kawasan tanah yang diletupkan itu keluar
beratus-ratus ekor ular sebesar paha menyerang kami. Saya, Datuk dan Mr.Brown
lari lintang pukang menuju ke perahu untuk menyelamatkan diri, semua
barang-barang kami tinggalkan. Sampai di perahu saya lihat dahi Mr.Brown
berdarah. Seluarnya habis koyak.
Kami menyusul
tepi sungai Beruas menuju ke arah Pekan Pangkalan Bharu, Ketika itu senja sudah
pun tiba, hari sudah mula gelap. Perahu kami tiba-tiba tidak boleh bergerak.
Air sungai melimpah dengan tiba-tiba. Tebingnya yang tinggi ditenggelami air.
Datuk nampak cemas. Kemudian dia senyum dan berkata : “Kalau kami salah
ampunkanlah.”
Sehabis
sahaja Datuk berkata, dari perut sungai timbul seorang lelaki yang bertubuh
besar dengan pakaian kebesaran seorang raja. Anehnya semua pakaiannya itu tidak
basah, mesti pun ia baru timbul dari dasar sungai. Wajahnya kelihatan bengis.
Malam yang gelap itu bertukar menjadi cerah bagaikan siang hari. Datuk terus
berhadapan dengan orang itu.
“Awak mesti
tahu, tidak seorang pun yang boleh mengambil harta kerajaan Gangga Negara. Itu
milik kami. Awak sebenarnya manusia bodoh, kalau ular yang keluar dari lubang
yang awak letupkan itu awak tangkap, ular-ular itu akan bertukar menjadi harta
karun dan emas. Awak mesti menerima hukuman kerana mengkhianati kami,” lelaki
bertubuh besar bersuara.
Datuk masih berhadapan dengannya, cukup tenang menghadapi suasana yang
gawat itu. Datuk mengenakan tanjak di kepala dan mencabut keris dari pinggang.