Menunggang Harimau Di Tengah Malam
Datuk terus
membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu
dibaling pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan
lelaki yang besar dan gagah. Dia segera menjerit dengan sekuat hatinya.
Kemudian dia menghilangkan diri. Air sungai yang melimpah terus surut. Suasana
yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan.
Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepok dalam perut sampan.
“Dia sudah
pergi,” kata Datuk dan terus mengalah sampan ke hilir. Lebih kurang pukul
sepuluh malam kami sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ Datuk
menumpang lori ikan menuju ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke
balai polis. Sarjan Ramli menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa Datuk
ke Jambatan Pengkalan Bharu kembali.
Dengan kereta
polis kami menghantar Mr.Brown ke banglonya. Kerana jam sudah pukul dua belas.
Mr.Brown menyuruh saya dan Datuk tidur di banglonya. Kira-kira pukul dua pagi
Mr.Brown menjerit tidak tentu arah. Dia berlari ke seluruh kawasan banglonya
sambil menjerit. Semua pekerja ladangnya menjadi gempar. Datuk dengan bantuan
pekerja ladang getah berjaya menangkap Mr.Brown. Mr.Brown terpaksa diikat di
pangkal pokok getah di depan banglonya dengan rotan seni. Dan Datuk terpaksa
menjaganya hingga ke pagi. Seorang kerani besar di ladang tersebut. Mr. Anadurai
terus menghubungi Hospital Lumut. Lebih kurang pukul sepuluh pagi sebuah
ambulans dari Hospital Lumut tiba. Mr.Brown yang masih menjerit dan mengoyak
pakaiannya dimasukkan ke dalam kereta tersebut. Dari Hospital Lumut dia dibawa
ke Hospital Besar Ipoh. Seminggu Mr.Brown duduk dalam jeriji besi di Hospital
Besar Ipoh.
Lepas itu
Mr.Brown dibawa ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan. Tiga bulan Mr.Brown
ditempatkan di situ. Datuk tidak pernah sekali pun melawatnya. Penyakit
Mr.Brown tidak juga mahu sembuh.
“Orang putih
tu tak jujur,” Datuk mengadu pada saya.
“Kenapa tok
kata macam tu ?”
“Aku yakin
dia tak jujur,” suara Datuk merendah. Saya bertambah bingung kerana Datuk tidak
menerangkan apakah maksudnya dengan perkataan tidak jujur itu. Dan saya tidak
mahu menyoal lebih lanjut tentang perkara tersebut. Datuk nampak resah saja
sepanjang hari itu. Semua kerja yang dibuatnya terganggu. Dia asyik mahu marah
saja, kalau saya membunyikan radio agak kuat.
“Aku mahu ke
rumah orang putih bangsat tu, memanglah orang-orang dari England ni, satu
bangsa yang tak boleh dipercayai, di depan kita bukan main baik, belakang kita
jadi pengkhianat pada diri kita sendiri,” Datuk merungut panjang. Dia pun
mengenakan seluar hitam dan baju merah ke badannya.
“Buat apa
Datuk ke rumah dia ?” Dia bukan ada.”
“Kau mana
tau, ini urusan aku.” Datuk memijak anak tangga turun dan mengambil basikal di
bawah rumah. Dengan basikal dia pergi rumah besar Mr.Brown. Lebih kurang pukul
lima petang Datuk pun pulang. Saya melihat dia membawa satu bungkusan kecil di
pelantar basikalnya. Sebaik saja Datuk menongkat basikal saya terus
menghampirinya.
“Jangan
pegang bungkusan tu.”
“Apa bendanya
tok ?”
“Tanah yang
diambil Mat Salleh bangsat tu, di tempat puaka disembunyikan dalam beg.”
“Tok nak buat
apa dengan tanah itu.”
“Aku nak
pulangkan balik, kalau tak dipulangkan kita kena petakanya.
Mendengar
cakap Datuk itu, fahamlah saya kenapa dia menuduh Mr.Brown tidak jujur. Dan
malam itu saya menemani Datuk menghanyutkan tanah di sungai. Datuk meletakkan
tanah segumpal itu di atas upih pinang, kemudian dihanyutkan. Masa Datuk
melakukan semuanya itu, dia tidak bercakap atau bersuara cuma lulutnya saja
yang kelihatan kumat-kumit membaca sesuatu.
Seminggu
selepas Datuk menghanyutkan tanah puaka itu. Datuk mendapat berita dari kerani
besar ladang getah yang Mr. Brown telah meninggal dunia. Mayatnya telah pun
dihantar ke England. Tempat Mr. Brown segera diganti oleh J. Mackintos dari
Singapura, tetapi yang anehnya pengurus baru itu tidak berani duduk di banglo.
Setiap kali dia tidur di banglo tersebut. Dia selalu saja diganggu oleh satu
lembaga yang menyerupai Mr. Brown. Kadang-kadang pengurus baru itu diangkat dari
bilik tidur ke ruang dapur. Ada kalanya dicampakkan ke tengah halaman banglo.
Jadi, banglo besar yang serba lengkap terbiar. Dalam tahun 1960 banglo besar
itu dibakar oleh seorang pekerja ladang getah yang naik darah kerana setiap
malam dia terdengar bunyi orang menangis dalam banglo tersebut. Sebaik saja
banglo itu hangus di makan api. Pekerja itu mati ditimpa oleh salah satu tiang
dari dalam banglo itu hingga kini masih wujud. Penuh dengan pokok-pokok hutan.
Semua
peristiwa itu dijadikan Datuk sebagai pengajaran. Dia selalu mengingatkan saya
begini : Lakukan semua pekerjaan atau apa saja dengan rasa tanggung jawab dan
jujur. Kerana kejujuran adalah harga diri manusia yang tidak ternilai. Terlalu
sedikit manusia yang tidak jujur pada diri sendiri, pada janji dan sebagainya,
bila kau menjadikan kejujuran itu panduan hidup, engkau akan merasa kebahagiaannya.
Saya cuma
anggukkan kepala sahaja bila mendengar dia berkata begitu. Beberapa bulan
berselang, Datuk menyatakan hasratnya untuk pergi ke Kampung Sadang untuk
memikat burung waktu malam. Saya tidak tahu bagaimana Datuk teringatkan hal
itu. Pada fikiran saya dia sudah tentu melupakannya. Sebenarnya, saya sudah
memutuskan dalam hati, bahawa saya tidak akan menurut bersama Datuk pergi ke
tempat tersebut.
“Minggu
depan, petang Jumaat aku nak pergi,” Datuk mengingatkan saya.
“Baguslah tu
tok, barang-barang yang dulu semuanya ada di dalam bilik.”
“Kau
bagaimana ? Tak mahu ikut sama ?” tanya Datuk.
“Saya
malaslah Datuk.” Datuk puas hati dengan jawapan saya itu. Sementara menanti
petang Jumaat, Datuk hanya duduk di rumah saja. Kadang-kadang dia menjenguk
bini mudanya di kampung bunian. Pada suatu petang. Selepas Datuk menemui isteri
mudanya, dia memanggil saya. Cepat-cepat saya menghampirinya. Datuk duduk
terjuntai kaki di kepala tangga.
“Ada apa
Datuk ?”
“Dua tiga
hari ni, aku selalu teringatkan adik bongsu aku yang duduk di Hulu Kuang,
agaknya dia sakit.”
“Habis Datuk
nak pergi ke sana ?”
“Hajat tu
memanglah begitu.”
“Kata Datuk,
Datuk nak pergi ke Kampung Sadang.”
“Itu tak
mustahak yang penting adik beradik.” Saya terdiam mendengar cakap Datuk itu.
Saya segera teringat, kali terakhir saya bertemu dengan adik bongsu Datuk yang
saya panggil ayah Ngah itu, dalam tahun 1947. Lepas itu saya tak pernah bertemu
dengannya lagi, terlalu sukar untuk pergi ke Hulu Kuang. Tidak ada kenderaan
yang boleh sampai ke sana. Lagipun kawasan itu termasuk dalam kawasan hitam,
(sekarang sudah ada jalan raya dan kenderaan yang berulang-alik dari Chemor ke
Hulu Kuang) kerana hal-hal itu saya dan Datuk terpisah dengan keluarga.
Petang itu
juga kami bertolak dari rumah Datuk ke Ipoh dengan naiki bas. Dari Ipoh kami
menyewa teksi pergi ke Chemor. Sampai ke Chemor sudah pukul enam petang. Kami
tidak dibenarkan masuk ke Hulu Kuang, kerana kawasan itu terlibat dengan
perintah berkurung dari jam enam petang hingga enam pagi.
Datuk terus
melaporkan dirinya ke Balai Polis Chemor kerana kami membuat keputusan untuk
tidur di masjid Chemor. Sesudah memberikan butir-butir mengenai diri kami
kepada pihak polis, kami dibenarkan tidur di masjid tersebut. Sesudah
menunaikan sembahyang Isyak, saya terus baring di bucu masjid. Datuk baring
dekat tiang. Akhirnya saya terlena. Lebih kurang pukul dua malam, Datuk
mengejutkan saya.
“Bangun kita
pergi ke Hulu Kuang.”
“Macam mana
nak pergi, nanti kita kena tangkap atau ditembak askar.”
“Kau ni
banyak cakap pula, bangun sajalah,” suara Datuk keras.
Dia menarik
tangan saya hingga terduduk. Saya terus kesat mata dengan belakang tangan.
Datuk menyuruh saya berdiri di muka pintu masjid. Perintahnya saya ikuti.
“Sebentar
lagi dia datang,” Datuk beritahu saya.
“Apa yang
datang tok ?” tanya saya ingin tahu.
“Kau jangan
banyak cakap,” Datuk menyergah saya.
Mukanya
kelihatan bengis. Masa itu Datuk sudah pun mengenakan baju hitam, seluar hitam
di badan. Kepalanya juga dililit dengan kain hitam. Dalam hati kecil saya
timbul keraguan tentang diri Datuk. Saya mengira dia ada hubungan dengan
pengganas komunis. Kalau tidak masakan dia berani berjalan malam waktu zaman
darurat.
“Ke tepi,”
Datuk menolak badan saya yang tercegat di muka pintu masjid. Saya tersungkur
atas lantai. Datuk menampar tangan kanannya ke pangkal paha kanannya dengan
sekuat hati. Dia melemparkan tujuh biji batu bertih ke tengah laman masjid.
Kemudian Datuk menekan ibu jari kanannya ke tapak tangan kiri tujuh kali
berturut-turut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara harimau mengaum. Cukup
kuat. Kepala lutut saya menggeletar. Dengan tiba-tiba sahaja saya rebah atas
lantai masjid dan tidak berdaya bangun. Seekor harimau belang yang cukup besar
muncul di depan halaman masjid sambil menguit-guitkan ekornya.
“Makanlah kau
lapar,” suara Datuk keras. Saya lihat harimau itu terus memakan tujuh biji
bertih. Bila harimau itu selesai makan. Datuk segera merapatinya. Datuk
menggosok-gosok kepala harimau itu dengan tangannya. Dan lidah harimau yang
panjang itu menjilat pipi dan hidung Datuk. Harimau itu berguling-guling atas
tanah sambil kakinya menampar seluruh badan Datuk. Datuk menggosok perut
harimau itu. Datuk mengira kuku di jari harimau. Datuk bermain-main dengan
harimau macam bermain dengan anak kucing. Akhirnya Datuk menepuk dahi harimau
tujuh kali dengan tangan kiri. Harimau pula menjilat telinga kanan Datuk tujuh
kali.
“Bangun, kau
dah kenyang.” Mendengar cakap Datuk itu , harimau besar segera bangun sambil
menguap. Saya bertambah ngeri melihat giginya yang tajam dan putih. Harimau itu
mengaum lagi. Datuk memanggil saya. Saya cuba bangun tapi saya tidak berdaya.
Tempurung lutut saya terasa longgar. Datuk terus menarik tangan saya. Saya
diheret hingga ke depan harimau besar.
“Ini cucu
aku,” Datuk memberitahu harimau besar. Saya lihat sepasang mata harimau itu
merenung ganas ke wajah Datuk. Datuk berdeham tiga kali berturut-turut. Harimau
itu melunjurkan kaki depannya. Badannya direndahkan. Datuk mengangkat badan
saya lalu diletakannya di pangkal tengkuk harimau berbadan besar serta
berbelang tebal. Saya rasa nyawa saya sudah melayang dari badan. Badan saya
jadi lembik. Saya tidak boleh duduk tegak. Dada dan muka saya terhempap atas
batang leher harimau.
Bulu harimau
yang kasar dan keras itu mencucuk batang hidung dan pipi saya. Bila harimau itu
mengerak-gerak badannya saya juga ikut bergerak.
“Peluk
tengkuknya kuat-kuat,” Datuk mengingatkan saya.
Antara sedar
dengan tidak saya lihat Datuk terus naik atas belakang harimau. Harimau besar
itu segera menegakkan badannya. Datuk terus menepuk-nepuk punggung harimau,
macam gembala lembu menepuk punggung lembu.
“Ke Hulu
Kuang,” saya terdengar suara Datuk. Serentak dengan itu harimau pun melangkah.
Saya rasa harimau itu berjalan bagaikan tidak jejak ke bumi. Melayang-layang di
udara membelah pekan Chemor melintasi jambatan keretapi. Terus menghala ke
kampung Cik Zainal serta melintasi kawasan Kampung Baru Tanah Hitam. Saya
nampak tentera berjaga dengan senjata di tangan. Semuanya tidak memandang ke
arah kami. Kerana terlalu laju harimau itu bergerak. Badan saya terasa sejuk.
Belum selesai saya menghitung dari satu sampai ke sepuluh. Harimau itu sudah
pun tiba di kaki tangga rumah adik bongsu Datuk. Hari masih gelap lagi. Kokok
ayam masih kedengaran. Datuk menurunkan saya dari belakang harimau.
Sebelum
harimau meninggalkan kami, Datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih.
Saya tidak tahu dari mana bertih itu diperolehi oleh Datuk. Selesai saja
harimau itu memakan bertih. Lagi sekali Datuk menepuk-nepuk dahi harimau. Datuk
membisikkan sesuatu ke telinga harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti
dengan apa yang diucapkan oleh Datuk kerana telinganya bergerak-gerak.
“Balik ke
rumah kita jaga kampung serta tanah ladang kita,” suara Datuk meninggi. Harimau
itu menguap panjang. Dengan sekelip mata saja harimau besar hilang dari
pandangan saya. Datuk tidak segera mengejutkan adik bongsunya. Menurut Datuk
pantang besar kalau kita menunggang harimau mengejutkan tuan rumah yang kita
pergi sebelum tuan rumah itu terjaga. Adik bongsu Datuk terkejut , bila dia
membuka pintu rumah pagi itu didapatinya kami duduk di kaki tangga. Dia
mengucap panjang dan merasa takjub bagaimana kami boleh sampai pagi ke
tempatnya sedangkan perintah berkurung berakhir pada jam enam pagi. Dia terus
menyoal Datuk bagaimana kami boleh sampai terlalu awal. Pertanyaan atau soalan
itu tidak dijawab oleh Datuk. Datuk mengubah tajuk perbualan pada perkara lain.
Sambil minum
kopi pagi, adik bongsu Datuk menceritakan keadaan kampung Hulu Kuang sambil
bertanya khabar hal nenek serta anak cucu Datuk. Perbualan Datuk dengan adik
bongsunya sungguh rancak pagi itu. Saya tidak banyak campur dalam perbualan
mereka. Saya lebih senang berdiri di muka tingkap melihat daun-daun pokok yang
menghijau serta puncak gunung yang diselimuti kabus nipis.
“Kau sakit,
aku nampak kau kurus sangat ni,” saya terdengar suara Datuk. Saya segera
menoleh ke belakang. Saya lihat Datuk sedang memerhati tubuh adik bongsunya
yang cengkung dan kurus.
“Saya baru
baik dari demam, dan tu kena berjaga malam pula,” jawab adik bongsu Datuk.
“Hai, musim
darurat pun kena berjaga malam ?”
“Berjaga
dalam rumah ?” sahut isteri adik bongsu Datuk dari dapur. Saya tertarik hati
dengan perbualan itu. Memaksa saya duduk di sebelah Datuk. Datuk saya lihat
mengerutkan keningnya.
“Kenapa pula
tu. Ada pencuri ke ?” Pertanyaan itu tidak dijawab oleh adik bongsu Datuk dan
isterinya. Mereka kelihatan resah dan tidak menentu.
“Apa halnya
cakap. Kalau boleh aku tolong, aku berusaha menolong kalau tak boleh kita cari
orang lain untuk menolongnya,” Datuk memberi sebuah harapan. Isteri adik bongsu
Datuk tersenyum. Adik bongsu Datuk termenung panjang.
“Susah orang
nak menolongnya,” begitu hampa nada suara adik bongsu Datuk.
“Susah macam
mana ?” tanya Datuk.
“Kerja
iblis.”
“Kita lawan
cara iblis.”
“Begini, di
kampung ni ada toyol jadi-jadian , sekejap menjelma jadi kucing, sekejap jadi
tikus.” Adik bongsu Datuk menerangkan sambil merenung ke kiri kanan. Datuk
terdiam. Lama juga Datuk termenung. Datuk bangun berdiri di muka pintu. Tangan
kanannya memaut jenang pintu. Datuk duduk kembali. “biasanya toyol jadi-jadian
ni, ada orang yang membelanya. Dia mesti sepasang ada jantan betinanya. Rumah
kau ada dia masuk ?”
“Ada, dia
menyerupai kucing hitam, bila terserempak dengan kami dia menghilangkan diri.”
Dengan penerangan adik bongsunya itu Datuk dapat menduga bahawa toyol
jadi-jadian itu masih belum mempunyai pasangan lagi.
Dan orang
yang membela akan berusaha mencari pasangannya. Datuk memberitahu adik
bongsunya, perkara itu boleh diatasi atau dilenyapkan terus dengan syarat dia
harus tinggal di Hulu Kuang agak lama sedikit. Untuk mencari tuan punya toyol
jadi-jadian itu memakan masa. Memerlukan beberapa syarat yang tertentu.
“Kerjanya sulit,
tapi harapan masih ada kerana tuan punya masih mencari pasangannya lagi,” jelas
Datuk dengan tenang.
“Macam mana
caranya ?” soal isteri adik bongsu Datuk. Mendengarkan pertanyaan itu Datuk
tersenyum panjang sambil memicit pangkal dagu.
“Kita tunggu kalau
ada perempuan mati beranak sulung, baru senang menangkap tuannya. ” Cakap Datuk
itu membuat adik bongsu Datuk dan isterinya berpandangan.
Dalam kepala
isteri adik bongsu Datuk mula terbayang tentang perempuan-perempuan di Kampung
Hulu Kuang yang mengandung anak sulung. Ada lima orang semuanya. Atas
persetujuan orang-orang Kampung Hulu Kuang Datuk diminta duduk di kampung
tersebut selama dua bulan untuk menghalau toyol jadi-jadian yang mengganggu
kampung mereka. Nasib Datuk dan saya agak baik, baru tiga minggu di Hulu Kuang,
terdengar salah seorang daripada penduduk kampung itu meninggal dunia ketika
melahirkan anak sulung. Anak dan ibu mati serentak. Datuk pergi ke rumah
keluarga yang malang itu, Datuk turut sama menghantar jenazah ibu dan anak itu ke
tanah kubur.
Tetapi,
sebaik sahaja Datuk pulang dari tanah kubur. Datuk tidak dapat tidur sepanjang
malam.
Dia didatangi
dengan berbagai-bagai mimpi yang ngeri dan menakutkan. Datuk membuka kertas
firasat yang dibawanya. Waktu dia membaca firasat itulah Datuk terdengar suara
perempuan memujuk anak yang menangis di bawah rumah. Datuk membuka pintu, Datuk
melihat satu cahaya berekor panjang naik ke udara dari tanah perkuburan.
Datuk pun mengejutkan saya.