Toyol Jadi-jadian
Kalaulah
bukan Datuk yang mengejutkan saya di tengah malam buta itu sudah pasti kena
penendang sulung saya. Kerana Datuk, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Terpaksa
saya terima dengan manis muka, mesti pun hati meradang dengan perbuatannya.
“Kenapa tok?”
tanya saya sambil menggesel kelopak mata. Datuk tersenyum sambil meraba-raba
misai bengkoknya yang macam tanduk seladang jantan. Sekali-kali misainya turut
bergerak.
“Kita sudah
hampir pada matlamatnya.”
“Matlamat apa
tuk?”
“Mencari
orang yang jadi tuan toyol.”
“Kalau kau
faham baguslah.”
Datuk
merebahkan badannya di sisi saya. Memang saya tidak sedar waktu mana Datuk
bangun. Bila saya buka kelopak mata, Datuk sudah pun selesai sembahyang subuh.
Dia memaksa saya pergi ke perigi sendirian untuk mengambil air sembahyang. Saya
patuh dengan cakapnya itu.
Datuk tidak
dapat melupakan kebiasaannya berjalan berbatu-batu sambil membasuh muka dan badannya
dengan air embun waktu pagi. Datuk pula tidak mengambil semua air embun di daun
kayu untuk membasuh muka dan badannya. Dia memilih jenis daun yang tidak miang
atau gatal. Cara dia menyapu air ke muka juga agak ganjil. Dia memulakan dari
pangkal dagu membawa ke atas hingga sampai ke gigi rambut. Kemudian baru dia
membasuh kedua belah keningnya. Paling akhir sekali dilakukannya ialah
memasukkan air ke dalam lubang hidung hingga bersin.
Kemudian
Datuk akan memijak rumput hijau tujuh kali ke arah matahari naik dan enam
langkah ke arah matahari jatuh. Kebiasaannya itu, dibuatnya juga semasa dia
berada di Ulu Kuang dekat Chemor, apa yang Datuk lakukan saya terpaksa
membuatnya dan Datuk berjanji, pada suatu hari kelak, bila umur saya genap dua
puluh satu tahun dia akan memberi beberapa mantera yang perlu dibaca bila mandi
air embun.
Pagi itu,
berjalanlah saya bersama Datuk di pinggir Kampung Ulu Kuang sambil mandi air
embun. Saya terasa seronok melihat matahari pagi dengan sinar yang
kilau-kilauan di celah-celah pokok besar. Bila sinar matahari itu menikam air
embun di hujung daun, kelihatan bermanik-manik dan sungguh menarik sekali.
Damai dan
terhibur hati saya mendengar bunyi kicau berburung hutan yang bermacam ragam
dan bermacam rupa yang terbang dan melompat dari dahan ke dahan. Sambil
berjalan Datuk memberitahu nama-nama burung yang saya nampak. Bila matahari
mula meninggi satu galah, saya dan Datuk sudah jauh meninggalkan pinggir
Kampung Ulu Kuang. Kami memasuki satu lorong kecil menuju ke arah sebuah anak
bukit. Di kaki bukit itu ternampak sebuah pokok berdinding tepas dan beratapkan
daun rumbia. Tiangnya dari kayu hutan jenis bulat. Dalam jarak lima puluh
langkah mahu sampai ke halaman pondok itu Datuk berhenti berjalan.
“Kenapa
Datuk?” tanya saya ragu-ragu. Datuk diam, kedua belah tangannya dilekapkan atas
dada. Kedua belah kelopak matanya dirapatkan. Datuk melangkah tujuh tapak ke
depan dan berdiri atas kedua belah tumit kakinya beberapa detik. Bila mata
dibuka dan kedua belah tangan diluruskan serta tapak kaki memijak bumi, Datuk
kelihatan tersenyum.
“Memang tidak
salah penglihatan aku malam tadi, cahaya dari tanah kubur itu menuju ke sini,
“dengan tenang Datuk bersuara. Saya jadi termangu-mangu.
“Kita balik,
kalu kita maju, kita bahaya,” Datuk pun menarik tangan saya. Kami berpatah
balik menuju ke rumah adik Datuk.
Sepanjang
jalan pulang itu Datuk tidak banyak bercakap. Dia lebih banyak memerhatikan
gerak geri rumput dan dedaun. Saya faham benar, bila Datuk berbuat demikian
ertinya dia menumpukan seluruh perhatiannya pada sesuatu benda yang tidak dapat
dijangka oleh akal fikiran manusia biasa. Saya kira, fikiran dan perasaannya
tertumpu ke satu alam yang lain.
Saya tidak
berani bertanya padanya tentang hal itu. Saya takut dia naik angin. Kalau Datuk
naik angin, saya kena maki dengan percuma. Kalau Datuk tidak maki, dia akan
menjegilkan biji matanya sebesar telur ayam hutan.
“Jauh
berjalan pagi ni,” soal adik Datuk sebaik saja kami tiba di kaki tangga. Dia
baru saja melepaskan ayam di reban. Saya tidak menjawab kecuali tersenyum
panjang.
“Macam
biasa,” balas Datuk. Kami terus membasuh kaki dan memijak tangga naik ke rumah.
Di rumah
tengah rumah sudah tersedia sarapan. Air kopi pekat dan rebus ubi kayu serta
kelapa parut.
“Rumah siapa
dekat belukar tu,” Datuk mengemukakan soalan. Adik Datuk terdiam mengingati
sesuatu.
“Rumah
Kidon.”
“Orang sini
jati?”
“Tidak, macam
kita juga berasal tanah seberang.”
“Orang Padang
ke orang Jambi.”
Pertanyaan
Datuk itu segera dijawab oleh adiknya. Saya sudah pun berhenti makan ubi rebus,
Isteri adik Datuk sudah turun ke tanah pergi ke ladang. Bila pertanyaan itu
tidak mendapat jawapan, Datuk tidak lagi mahu mengemukakan pertanyaan. Dia
terus menghirup air kopi dengan tenang.
“Dari
Sumatera katanya dari keturunan Batak,” tiba-tiba saja adik Datuk bersuara.
“Ada bini
tak?” cara tidak sengaja saya bertanya. Datuk menjeling tajam pada saya.
“Dah mati,
bininya orang Kedah, emak bapanya bininya menetap di Kuala Kangsar” terang adik
Datuk dengan jujur.
“Ada anak?’
cepat-cepat Datuk meningkah.
“Tak ada,
bininya tu mati bersalin anak sulung,”
“Hummmm…,”
suara Datuk perlahan. Dia menekan pipi kirinya dengan tangan kanan.
Terus-terang Datuk menyatakan pada adiknya, bahawa dia perlu duduk di Ulu Kuang
paling kurang enam bulan. Datuk juga meminta adiknya membuat sebuah pondok
untuk diri dengan alasan senang untuk beramal ibadat serta berusaha
menghancurkan tuan punya toyol jadi-jadian. Permintaan Datuk itu tidak
keberatan untuk dipenuhi oleh adiknya.
Seminggu
kemudian, terpacaklah sebuah pondok baru di Ulu Kuang Chemor yang didirikan
secara gotong-royong oleh penduduk-penduduk di situ. Saya dan Datuk pun
pindahlah ke pondok baru.
Perkara yang
tidak menyenangkan hati saya, bila duduk di pondok baru, ialah bila bulan mengambang
penuh. Ketika itu kelihatanlah beberapa ekor harimau besar di depan pondok.
Dari atas pondok Datuk melompat ke tanah lalu bersilat dengan harimau-harimau
itu.
Sekiranya,
Datuk malas ke tanah kerana badannya terlalu letih. Harimau-harimau itu akan
menjulurkan ekornya dari celah lantai buluh. Datuk akan mencium atau
mengurut-urut ekor harimau itu sambil membelitkan ke batang lehernya. Bila
terdengar bunyi suara burung jampuk atau burung hantu, barulah Datuk
memerintahkan harimau-harimau peliharaannya pulang.
“Ambilkan aku
kain putih, mangkuk putih, taruh air dalam mangkuk putih separuh, kain putih
letakkan ke dinding,” Datuk mengeluarkan perintah pada saya malam itu. Kalau
tidak silap, malam itu malam Rabu kira-kira pukul sepuluh . Apa yang diperintahkan
Datuk saya lakukan dengan senang hati.
Datuk duduk
bersila di tengah pondok, Asap kemenyan dari dupa melentuk-liuk memenuhi ruang
pondok. Baunya semerbak. Datuk mengatur tujuh piring di depan. Piring tepi
sebelah kanan ditaruh batang lengkuas, sementara di sebelah kiri ditaruh
sebatang serai. Piring tengah ditaruh darah ayam yang disembelihnya petang
tadi.
Tiba-tiba
seekor kucing hitam melompat masuk ke tengah pondok melalui pintu yang
terdedah. Kucing itu merenung muka Datuk dengan tajam. Datuk menghalaunya,
kucing itu tidak mahu bergerak. Saya lihat Datuk mengeluarkan secekak
tulang-tulang ikan dari karung yang terletak sebelah kanannya. Datuk
melemparkan tulang-tulang ikan kering itu pada kucing hitam. Dengan tiba-tiba
batang lilin yang menyala padam. Saya menyalakan lilin tersebut. Saya lihat
kucing hitam sudah hilang dan tempatnya diganti oleh sebungkus kain hitam. Saya
kenal, kain hitam itu kepunyaan Datuk.
Datuk
menyuruh saya memadamkan lampu minyak tanah. Sebatang lilin yang bercahaya dipadamkannya.
Keadaan dalam rumah jadi agak samar-samar dan sepi sekali. Bunyi katak dan
cengkerik jelas kedengaran. Sayup-sayup terdengar suara burung hantu ganas di
ranting. Atap pondok bagaikan bergerak-gerak di tempoh angin. Serentak dengan
itu terdengar bunyi air menimpa atap pondok. Bulu roma saya tegak berdiri bila
terdengar bunyi suara orang perempuan ketawa dan menangis tersedu-sedu, dekat
pokok tembusu di belakang pondok.
“Suara
langsuir, bertenang cucuku, bertenang kita mencari jalan kebaikan dan bukan
jalan jahat,” bisik Datuk ke telinga saya.
Datuk tidak
bergerak bila seketul batu besar meluru masuk ke dalam pondok. Batu itu tepat
mengenai pangkal bahu kiri Datuk. Bila batu jatuh atas lantai, pondok kecil
bergegar Datuk tidak peduli. Dengan pertolongan cahaya lilin saya merenung ke
muka pintu. Satu lembaga besar tanpa tangan, tanpa kaki dan kepala berdiri di
situ.
Datuk menarik
muka saya. Dia suruh saya melihat air dalam mangkuk putih. Di luar guruh
bersahut-sahutan sedangkan cuaca malam itu cukup baik.
“Pedulikan
semuanya itu, sekarang kau tengok kain putih tu, apa yang kau lihat, jangan kau
ceritakan pada sesiapa, kalau kau buat juga padahnya kau tanggung sendiri,”
kata Datuk, dia terus menabur kemenyan atas bara dalam dupa.
Saya terpaku,
saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat pada kain putih. Saya raba
ibu jari kaki saya, saya raba telinga kanan saya, semuanya ada dan saya tahu,
bahawa apa yang saya lihat itu bukan mimpi. Saya melihatnya dalam keadaan sedar
dan siuman.
Saya melihat
pada kain putih itu, batang tubuh seorang lelaki sedang menggali kubur. Lelaki
itu melakukannya waktu malam, Badannya kelihatan berpeluh.
“Itulah Kidon
mengorek kubur anaknya,” Datuk memberi tahu saya.
Saya lihat
mata cangkul Kidon menyentuh papan keranda. Kidon meletakkan cangkul ke tepi
lalu menyapu peluh di dahi sebentar.
Kidon
mengambil sebatang besi lalu mencungkil papan keranda. Bau busuk membuat dia
hampir-hampir muntah. Kidon tidak peduli semuanya itu. Dia turun ke dalam
lubang kubur. Dia menatang mayat anaknya keluar dari dalam kubur. Diletakkan
dekat pokok.
Kidon
masukkan papan keranda kembali, kemudian menimbus lubang kubur seperti sedia
kala. Kidon masukkan mayat anaknya ke dalam guni plastik berwarna hijau. Dia
memikul cangkul dan besi di bahu kiri. Tangan kanannya menjinjing mayat
anaknya, macam menjinjing ikan dari pasar.
Sampai di
rumah Kidon membuka kain kapan anaknya. Mayat anaknya diletakkan atas para yang
sudah disiapkannya terlebih dahulu. Dia membasuh mayat anaknya dalam baldi
besar.
“Air basuh
mayat itu, diambil dari tujuh kuala anak sungai,” beritahu Datuk pada saya.
Saya angguk kepala. Mata tidak berkelip melihat kain putih, macam menonton
wayang gambar, cuma tidak ada iringan muzik saja. Datuk hanya menerangkan
sesekali saja pada saya. Anehnya Datuk tidak melihat apa yang terjadi pada kian
putih. Kedua matanya pejam rapat seperti orang tidur, dengkur nafasnya macam
orang yang sedang tidur lena.
Ketika itu,
saya seperti tidak berada di dalam pondok. Saya berada di satu tempat asing
sungguh sunyi sepi sekali.
“Air itu
diambil ketika remang-remang senja, bersama bunyi gagak,” ujar Datuk.
Saya lihat
Kidon membuka semua pakaian di badan. Dia sudah bogel. Tujuh bunga yang
berlainan warna dimasukkan ke dalam baldi. Selesai memandikan mayat anaknya,
Kidon merenjiskan pula dengan air sebanyak tujuh kali, mulutnya membaca sesuatu
Kidon basuh muka dan minum air yang telah digunakan membasuh mayat anaknya
tadi.
Saya
perhatikan,. Kidon melakukan semuanya itu dengan teliti. Setitik air pun tidak
jatuh ke atas lantai. Mayat anak itu diletakkan atas para. Kidon ambil air
mandi mayat anaknya. Disiramkannya ke atas kepalanya hingga ke hujung kaki.
Selesai
dengan tugas itu, Kidon melumurkan mayat anaknya dengan abu dapur dan minyak
kelapa. Mayat anaknya itu dibawa masuk ke dalam satu bilik. Di situ sudah
tersedia sebuah salai tergantung. Mayat anaknya diletakkan atas salai tersebut
dan ditutup dengan kulit kambing.
Kidon keluar
dari kamar itu. Masuk semula dengan membawa zink buruk. Zink itu diletakkan di
bawah salai. Atas zink itu ditaruh kayu arang dan habuk-habuk papan. Kidon
menghidupkan api. Bila kayu arang sudah menjadi bara, barulah dia beredar.
“Mayat itu
disalai selama empat puluh empat hari, dan Kidon terpaksa berpuasa selama tujuh
hari tujuh malam, amalan itu dikenali dengan nama puasa pati Geni,” Datuk
membisikkan ke telinga saya. Di kain putih saya lihat Kidon duduk dengan
meletakkan kedua belah tangannya atas lutut kiri dan kanan. Dia membilang biji
tasbih. Menurut Datuk pekerjaan itu dilakukan tanpa diketahui oleh orang lain,
selepas menjalani puasa tujuh hari barulah Kidon keluar rumah membuat pekerjaan
biasanya iaitu menoreh getah di kebun Haji Ahmad Alam Shah. Bila mayat bayi
sudah cukup disalai selama empat puluh empat hari, Kidon pun mencari dan
menyediakan manisan lebah, pisang emas dan pisang embun. Kidon juga menyediakan
sebuah katil lengkap dengan cadar dan bantal untuk seorang bayi.
Waktu tengah
malam mayat itu pun diturunkan dari tempat salai, panjangnya cuma sejengkal dan
besar lebih kurang sama besar dengan anak yang berusia dua tahun, sambil
memangku bayinya di tangan kiri, Kidon membasahkan tubuhnya dengan air dengan
tangan kanan. Dia terus berbisik dengan tenang ke telinga anaknya begini :
“ Dengarlah
anakku, Perasaan dan hatimu, Bersatu dengan aku,Dua tubuh Satu harapanku.Kaulah
yang mengerjakannya, Tujuh lapis bumi, Tujuh lapis langit, Bersatu di Bukit
Kaf, Bersemadi dalam diri kita."
Selesai Kidon
membisikkan pada telinga anaknya, dia menarik nafas panjang-panjang, kemudian
bibir bayi yang kering itu ditiupnya. Dia melakukan ini selama tujuh pagi dan
tujuh malam. Mayat bayi kering itu diletakkan di tempat tidur dengan berteman
lampu yang terus menyala selama dua puluh empat jam. Kidon yang berbadan kurus
itu, bertambah kurus kerana kurang tidur. Tapi dia merasa puas. Dalam tempoh
beberapa hari lagi mayat anaknya akan dapat digunakan untuk mencari harta orang
kampung. Dia terus membayangkan tentang kemewahan dan kesenangan dirinya
sendiri.
Masa yang
ditunggu pun tiba. Kidon masuk ke dalam bilik bayi keringnya. Dia mencium
ubun-ubun bayi kering itu. Tiba-tiba ubun-ubun bayi kering itu mengeluarkan
asap setelah Kidon menggunakan jampi serapah. Bayi kering itu menjelma menjadi
kucing jantan hitam. Menjilat-jilat tapak tangan Kidon. Kidon pun menepuk-nepuk
kepala kucing hitam. Kidon menjilat kaki kucing dengan lidahnya. Kemudian Kidon
memberikan belut kering pada kucing itu. Dalam masa beberapa saat saja, belut
kering itu habis dimakan oleh kucing itu.
“Kau pergi ke
rumah orang kaya, kau ambil wangnya separuh dan bawa ke mari,” Kidon memerintah
kucing hitam.
Kucing itu
menggaru-garu papan lantai akhirnya terjun ikut tingkap. Tugas Kidon setiap
malam ialah menumpukan perhatian pada pelita minyak tanah di depannya. Jika api
pelitanya bergoyang tanpa angin ertinya toyol jelmaannya dalam bahaya, bagi
mengatasinya dia harus memadamkan api pelita itu dengan secepat mungkin. Toyol
jelmaannya akan ghaib dari pandangan orang. Saya terkejut bila melihat Kidon
tersungkur di kain putih.
“Ilmunya
sudah aku tawarkan,” suara Datuk keras.
Dia membuka
mata. Air dalam mangkuk putih tertumpah dengan sendirinya. Lilin yang padam
menyala sendiri begitu juga dengan pelita minyak tanah. Saya lihat dari kain
hitam keluar asap berkepul-kepil. Tulang-tulang ikan yang berserakan atas
lantai berkumpul dengan sendiri dan bergerak masuk ke dalam karung di samping
Datuk. Bila asap dari kain hitam hilang. Datuk pun mengangkat kain hitam itu.
“Kau lihat,”
ujar Datuk pada saya. Saya menggigit bibir. Saya lihat mayat kering terdampar
atas lantai pondok. Baunya cukup busuk. Tekak saya jadi loya dan mahu muntah
dibuatnya. Datuk membiarkan mayat kering itu di situ.
“Kau
pulangkan pada yang berhak,” Datuk bersuara lagi sambil menyiramkan darah ayam
pada mayat kering. Saya perhatikan mayat kering itu bagaikan bergerak-gerak.
Bila Datuk melangkah mahu duduk di tempat asalnya. Seorang lelaki muncul di
muka pintu membawa parang panjang. Badannya kurus. Di luar bunyi suara burung
hantu kembali menguasai malam yang sepi. Di bawah pondok terdengar bunyi suara
perempuan menangis.
“Kau datang
Kidon,” lantang suara Datuk.
“Jangan buat
aku begini, aku mahu hidup, jawab Kidon.
“Kerjamu
salah di sisi agama. Kau menyeksa mayat anakmu. Kau jadi tuan pada toyol
jelmaan ini. Aku tahu dalam minggu ini kau mahu mencari pasangannya, bukan
begitu Kidon.”
“Memang
benar, begitutah rancangan aku, tapi aku terpaksa membatalkannya, kerana
menurut firasatku ada orang yang tahu rancangan aku tu, orang itu adalah kau.”
“Sekarang, apa
yang kau mahu dari aku Kidon?”
“Pulangkan
toyol jelmaan itu pada aku, aku sembah kau, aku sujud pada kau, janganlah
perkara ini dihebohkan.”
“Aku tidak
mahu menghebahkan pada sesiapa tapi toyolmu akan aku pulangkan ke tempatnya
malam ini juga.” Datuk memberi keputusan muktamad.
Kidon terdiam seketika. Dia melompat turun dan menghilangkan diri dalam
kegelapan malam. Suara langsuir ketawa kedengaran dengan jelas. Bila suara itu
hilang, saya terdengar suara orang menjerit meminta tolong. Saya renung muka
Datuk. Dia kelihatan muram. Niat saya mahu bertanya padanya suara siapa yang
menjerit itu jadi terbantut melihat wajahnya dalam keadaan begitu. Suara siapa
itu? Saya bertanya dalam hati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dada
saya. Dia pun rapat pada saya.