Bercakap
Dengan Jin
Suatu
petang dalam tahun 1960, datuk yang sudah menjangkau usia 57 tahun,
membersihkan senapang kampung berlaras satu di anjung rumahnya. Dengan tenang
dia berkata pada saya "Kamu usah jadi pemburu." "Kenapa
tok?" Dia tidak menjawab. Datuk terus menimang-nimang senapangnya.
Kemudian datuk ambil golok perak. Dia mengasah golok di batu dekat kepala
tangga. Dan saya masih menanti jawapan dari datuk. "Aku tak mahu cucu-cucu
aku jadi pemburu," tiba-tiba datuk bersuara. Dia duduk di anjung rumah
kembali. Mendengar cakapnya itu saya buat keputusan tidak akan mengajukan
sebarang pertannyaan padanya. Datuk mudah naik darah, kalau selalu ditanya atau
disoal. Dia juga tidak suka orang membangkang cakapnya, terutamanya dari
anak-anak cucunya sendiri.
Datuk memang handal memburu. Tidak ramai orang kampung Mandi Upeh macam datuk. Cukup asyik dengan kegemaran memburunya, hampir seluruh hutan Jajahan Dinding dijelajahnya. Orang-orang kampung menganggap datuk bukan pemburu sebarangan. Pemburu yang ada isi, kalau tidak masakan dia berani masuk ke dalam hutan yang tidak pernah didatangi oleh manusia. Datuk tidak menembak sebarangan pada binatang-binatang buruannya. Dia akan memilih tepat dikening diantara kedua-dua kening binatang itu. Dan setiap kali datuk masuk ke hutan dia akan memulakan langkah kaki kiri dahulu. Kedua belah tumitnya tidak memijak bumi, kecuali sesudah lima tapak melangkah. Lepas itu datuk berhenti dia membaca sesuatu, lalu mematah ranting kayu yang berada di bawah ketiak kanannya. Dilemparkannya sebelah kiri.
Datuk
dapat senapang bukan kerana dia HomeGuard atau AP. Dia minta sendiri pada
kerajaan dengan alasan mahu menjaga tanahnya yang seluas lima belas ekar yang
ditanam dengan getah, durian dari serangan monyet dan babi hutan. Pemintaan
datuk dipenuhi oleh Inggeris, sesudah pegawai polis, tuan DO serta penghulu dan
ketua kampung memeriksa tanah datuk. Datuk beli senapang dari Taiping dalam
tahun 1949. Sejak itulah datuk giat memburu dengan senapang. Sebelum itu datuk
hanya berburu dengan membuat jerat dan sebagainya. Banyak perkara-perkara aneh
yang datuk lalui sepanjang kariernya. Dan saya antara cucu yang selalu mendengar
cerita-cerita datuk itu, kerana saya selalu menolongnya mencangkul di kebun,
kadang-kadang menjadi temannya ke surau. Datuk terlalu sayangkan saya, kerana
saya adalah cucu lelakinya yang pertama dari anak sulungnya iaitu ibu saya.
Saya tahu apa kelemahan datuk dan kegemarannya. Dia pemurah dan suka mendengar
orang mengaji Quran, kebetulan pula saya cucunya yang agak terkenal membaca
al-Quran di kampung itu. Datuk tidak kedekut mengeluarkan wangnya untuk
memberikan pada orang mengaji tapi datuk tidak memberikannya sendiri melainkan
melalui saya.
Biasanya,
kalau datuk suruh beri sepuluh ringgit, saya hanya memberikan separuh saja,
yang separuh lagi masuk saku saya. Pernah datuk bercerita pada saya: Suatu
ketika datuk dan kawan-kawannya masuk hutan dekat dengan Gunung Tunggal di
Kawasan Segari berhampiran dengan Pantai Remis. Kawasan itu tidak pernah
dimasuki oleh manusia. Datuk dan kawan-kawannya berjaya menembak beberapa ekor
binatang. Kerana terlalu asyik memburu, tanpa disedari datuk telah terpisah dengan
seekor rusa besar. Datuk mengikutnya dengan teliti. Datuk memintas rusa itu
sebelah kiri dan mengambil tempat di sebalik pokok besar. Datuk menghala
muncung senapang pada kepala rusa. Dia yakin sasarannya akan tepat pada tempat
yang dimahunya. Tetapi rusa itu bagaikan mengerti dan mempunyai pengalaman. Dia
mempermainkan datuk, macam mempermainkan kucing. Rusa merendahkan badannya
kemudian menyelinap di depan datuk dan terus hilang.
Datuk
terkejut dan bercampur hairan, tapi datuk bukanlah manusia yang mudah putus
asa. Dia mencari kesan jejak rusa itu. Diperhatikannya ke arah mana tapak rusa
itu lari. Dia mencium daun-daun kering yang terdapat di situ. Akhirnya, datuk
merapatkan telinganya dengan bumi. Dia mengeluh, ternyata kesan rusa itu sukar
diperolehinya. Waktu datuk berpusing-pusing di situ, seekor rusa lain muncul di
depan datuk. Rusa itu jauh lebih besar dan tegap dari rusa yang pertama tadi.
Matanya berkilau-kilau bagaikan menentang mata datuk yang terbeliak kerana
terkejut. Datuk tidak melepaskan peluang dan terus melepaskan tembakan. Datuk
gembira, tembakannya tepat mengenai kening rusa itu. Dia mencabut golok perak
di tangan untuk menyembelih rusa. Golok ditayangkan di depan matanya. Datuk
membaca sesuatu dan menghentakkan ulu golok ke tanah.
Bila
datuk memulakan langkah. Rusa itu segera bangun. Di depan mata datuk sekarang
wujud dua ekor rusa. Serentak dengan itu dada datuk berdebar. Dia mula terasa
ada sesuatu yang kurang baik akan terjadi. Datuk terdengar kokok ayam hutan.
Datuk melepaskan tembakan. Kena pada salah seekor rusa itu di kening. Rusa itu
rebah dan bangun kembali menjadi tiga ekor. Datuk yakin ada sesuatu kejadian
yang lain di sebalik semuanya itu. Tapi, datuk bukannya manusia lemah semangat,
kalau tidak masakan dia berani meninggalkan kampung halamannya di Aceh,
berperahu ke Pengkalan Bharu dan bermukim di kawasan Bruas. Datuk terus
menembak bertalu-talu. Rusa terus menjadi tiga,empat,lima,enam dan tujuh. Kokok
ayam hutan bertambah nyaring.
Daun-daun
hutang di keliling datuk bergerak-gerak bagaikan digoncang orang. Tanah yang
dipijaknya jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk menumbuk tanah dengan tangan
kiri. Dirasa daging pangkal lehernya bergerak-gerak. Datuk senyum. Dia tahu
perkara ini mesti dihadapi dengan cara lain. Dia teringat pesanan arwah
neneknya dari tanah seberang, kalau berburu binatang dan terasa daging pangkal
leher bergerak, alamatnya yang diburu bukan binatang lagi, tapi boleh jadi
penunggu hutan atau syaitan dan orang bunian. Datuk letakkan senapang atas
tanah. Dia duduk bertafakur mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera
yang diamalkannya. Melalui pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat dengan
jelas, bahawa rusa itu adalah jin penunggu hutan itu.
Muka
datuk jadi merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya rapat-rapat. Mata
datuk tidak berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri lembaga berbadan besar,
matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit. Giginya besar, dua
giginya di sebelah kiri dan kanan terjulur keluar, macam gading gajah. Dia diapit
oleh enam jin yang sama hebat dengannya.
"Kurang
ajar, manusia laknat," suara itu bergema, daun-daun hutan bergerak macam
ditiup angin.
Datuk
diam bertafakur.
"Kau
tahu kesalahan kau manusia ?" Tambah suara itu . Belakang datuk terus
dibasahi peluh. Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang-lubang kelemahan
tubuhnya dengan ilmu batin yang dipusakainya dari arwah neneknya, hingga jin
itu tidak berpeluang menyatukan dirinya ke dalam tubuh datuk.
"Tidak,"
jawab datuk dengan berani.
"Kau
masuk ke dalam kawasan larangan ku."
"Aku
sudah meminta kebenaran."
"Aku
tidak membenarkan." Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang
terjulur bergerak-gerak.
"Kalau
kau tidak membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa aku masuk
tadi." Cukup tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi
semuanya.
"Kau manusia biadap," pekik jin itu, pokok
hutan bergerak-gerak.