Berjaga di
Hujung Jambatan
Datuk
amat merahsiakan peristiwa yang terjadi pada dirinya pada anak cucu. Pada orang
lain perkara itu bukan rahsia bagi datuk. Dia boleh menceritakan peristiwa itu
dari A sampai Z . Biasanya, perkara itu cuma sekali sahaja datuk mahu
menceritakannya. Kalau ada orang minta datuk bercerita bagi kali yang kedua,
datuk akan marah.
"Aku
bukan tukang cerita," katanya. Dan ada orang yang tidak percaya dengan apa
yang terjadi pada diri datuk. Malah, ada yang mengatakan datuk cuma mengadakan
cerita itu untuk tujuan bersuka-suka pada sebelah petang, bila datuk tidak
berburu. Datuk tidak marah dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kawan-kawan
pada dirinya. Cukup mudah bagi datuk menjawab cabaran itu dengan berkata :
"Mari
ikut aku atau biar aku hantarkan kalian ke tempat tersebut dan kalian lihat
nanti, apa yang akan terjadi." Anehnya, tidak ada seorang pun dari
kalangan kawan-kawan datuk yang mahu menjawab cabaran itu. Akhirnya, cerita
datuk bertemu dengan perempuan cantik dan bermalam di rumahnya, merupakan satu lagenda
yang jadi buah mulut orang-orang setempat. Sekarang, cerita itu tidak lagi
diperkatakan oleh orang.
Dua
bulan berselang sesudah peristiwa itu., datuk telah diserang penyakit, seluruh
badannya sakit dan bengkak-bengkak. Anak cucu membawa datuk ke klinik kerajaan
dan swasta, tapi sakit datuk tidak juga mahu hilang. Bila anak cucu mengambil
keputusan untuk menghantarnya ke Rumah Sakit Lumut atau Batu Gajah, bagi
mendapatkan rawatan yang sempurna, datuk membantah dengan alasan, dia tidak
suka duduk di hospital. Tidak ada seorang cucu datuk yang berani memaksa datuk
untuk tinggal di hospital. Jadi datuk terpaksa dirawat secara kampung. Semua
dukun dan bomoh yang terkenal dipanggil untuk merawatnya. Sakit nya tidak juga
mahu hilang. Seorang dukun dari Mambang di awan dekat Kampar mengatakan sakit
datuk sukar diubat, kecuali oleh pawang yang benar-benar handal.
"Kenapa
tok bomoh ?" seorang cucu datuk bertannya.
"Sakitnya
dibawa oleh orang atas," jawabnya pendek.
"Siapa
orang atas tu tok bomoh," desak cucu datuk. Dan bomoh itu tidak mahu
memberikan jawapannya. Begitulah datuk, ia terus terlantar di tempat tidur
menanggung sakit. Walaupun sakit terlentang merenung atap rumah, datuk masih
mahu bercakap, kalau ada kawan-kawannya yang datang melawat. Kadang-kadang
datuk memaksa dirinya untuk duduk. Bila anak cucu mahu datang membantunya. Dia
segera melarang dan menepis tangan anak cucunya.
"Aku
masih kuat lagi," katanya. Dengan itu semua anak cucu pun menyepi. Pada
sutu malam, semua anak cucu datuk berkumpul dan mengambil keputusan untuk
memanggil dukun orang asli yang tinggal dekat Grik. Entah macammana rancangan
itu sampai ke pengetahuan datuk. Dia jadi berang dan membuang semua benda yang
berhampiran dengannya. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Kemudian datuk terus
dipujuk untuk menerima rawatan doktor swasta yang sanggup datang ke rumah untuk
merawatnya.
Memang
di luar dugaan, anak cucu , datuk setuju dengan rancangan itu. Menurut doktor
itu, sakit datuk tidaklah berapa serius sangat, tapi dia memerlukan rawatan
yang agak lama. Sesudah menerima suntikkan dan memakan pil yang diberikan oleh
doktor itu, datuk pun boleh bangun dan berjalan dari ruang tengah ke anjung
ruamh. Mukanya nampak berseri. Tidak pucat lagi. Datuk mula boleh makan nasi.
Sebulan, sesudah menerima rawatan dari doktor swasta ternyata datuk beransur
sihat, tapi pada satu malam, datuk terus rebah sesudah menunaikan sembahyang
Isyak. Dia tidak boleh bercakap. Terpaksa diusung ke tempat tidur. Semua anak
cucunya mengerumuninya. Semua anak cucu yang mengerumuninya resah, bilik tidur
datuk dikuasai oleh bau-bauan yang wangi, diganti pula dengan bau kemayan.
Serentak dengan itu datuk mula terbatuk dua tiga kali. Dia terus duduk.
"Carikan
aku tiga biji limau, tiga gelai daun sireh putus urat, seulas pinang, kemenyan
dan tempat membakarnya," ujar datuk tenang.
"Nak
buat apa," tingkah nenek.
"Usah
banyak soal, sediakan perkara yang aku mahu itu sekarang," datuk
membeliakkan matanya. Semua keperluan itu disediakan. Diletakkan dalam dulang
tembaga berlapikkankain kuning. Bila barang-barang itu tersedia, bau harum
datang kembali menguasai bilik tidur datuk. Duduklah datuk mengadap dulang
tembaga, asap kemenyan pun keluar dari dupa, bagaikan ada kuasa ghaib yang
menaburkan serbuk kemenyan di dalam dupa.
"Duduklah,"
datuk bersuara sambil merenung ke tepi dinding. Anak cucu merenung ke tepi
dinding. Tidak ada siapa pun yang bediri di situ. Kemudian anak cucu datuk
melihat buah limau tiga biji bergerak-kerak bagaikan ada tangan yang menyentuh.
"Kalian
keluarlah, ada pawang nak mengubat aku," datuk memberi perintah. Semua
anak cucu keluar. Datuk mengunci pintu biliknya dari dalam. Tapi, bau kemenyan
terus juga lepas keluar. "Dah berapa lama sakit ini, kenapa tak
beritahu," anak cucu datuk terdengar suara orang perempuan bercakap di
dalam bilik. Semua hati anak cucu berdebar dan cuba mengintai dari celah pintu
. Tidak ada orang lain dalam bilik selain dari datuk sahaja yang terlentang
dekat dulang tembaga, sesekali datuk bergerak, bagaikan ada tangan yang sedang
mengurut badannya. Sesekali datuk melipatkan kaki kanannya menandakan dia tidak
mahu kaki kanannya diurut.
"Berapa
lama sakit ni," terdengar lagi suara perempuan.
"Dah
dekat tiga bulan," sahut datuk
"Patutlah
lama tak ke rumah."
"Sibuk."
"Apa
asalnya , ada jatuh atau ada tersalah makan."
"Salah
makan tu tak ada, tapi jatuh jatuh memang ada,saya jatuh dekat perigi
buta."
"Patutlah,
kalau jatuh cepat berurut atau berubat, kalau tak diubat inilah jadinya.
"Itu
salah saya," datuk mengaku.
Suasana
dalam bilik datuk sunyi, cuma yang kedengaran hanyalah bunyi orang mengambil
sesuatu serta bunyi orang mengoyakkan daun sireh.
"Amalkan
apa yang saya buat, tapi ingat kalau dah sihat jangan lupakan tempat
saya,"terdengar lagi suara perempuan. Beberapa saat kemudian, datuk
memebuka pintu bilik , bau wnagi masuk ke ruang rumah. Lepas itu datuk memebuka
pintu depan. Datuk berdiri di muka pintu.
"Selamat
jalan," kata datuk pada malam yang samar-samar itu. Datuk melambaikan
tangannya. Entah pada siapa datuk melambaikaikan tangan. Tidak seorang pun anak
cucunya yang tahu. Perkara itu berlanjutan hingga tiga malam. Masuk malam
keempat datuk mengadakan kenduri kesyukuran. Datuk sudah pulih. Datuk sudah
boleh berjalan dan memandu kereta buruknya . Datuk sudah pun mengucapkan ribuan
terima kasih pada doktor swasta yang datang merawatnya. Dan anak cucunya
bertambah pening. Antara doktor dan dukun siapakah yang sebenarnya merawat
datuk hingga sembuh. Lalu anak cucu datuk membuat kesimpulan begini : Masa kuat
sakitnya doktor yang mengurangkannya dan dukun itu cuma mendapat rahmat dari
doktor sahaja. Seminggu kemudian, datuk ghaib dari rumah dan anak cucu tidak
merasa apa-apa atas kehilangannya itu, semuanya tahu, bahawa datuk pergi ke
rumah isteri orang bunian. Dan datuk akan kembali ke pangkuan nenek sesudah
tinggal dengan isterinya orang bunian itu selama tiga empat hari. Nenek tidak
pula merasa cemburu. Apa yang nenek fikirkan ialah tentang kebahagiaan diri
datuk. Biarlah datuk buat apa sahaja. Asalkan datuk gembira dan boleh panjang
umur. Cukup mulia hati nenek.
Macam
selalu, bila datuk pulang dari rumahnya di kampung bunian, datuk akan membawa
seekor dua ayam hutan dan buah labu atau mentimun untuk nenek dan anak cucunya.
"Siapa
yang merawat dalam bilik dulu," tanya nenek pada suatu petang. Datuk
tersenyum mendengar pertanyaan itu.
"Isteri
muda kitalah."
"Siapa
?"
"Orang
bunian."
"Hum,
lagi apa katanya pada awak."
"Tidak
ada apa-apa, cuma dia berpesat satu sahaja, kalau ada apa kesusahan pada
keluarga kita, segera beritahu padanya." Jawapan yang diberikat itu cukup
menyenangkan nenek.
Sebagai
seorang rakyat yang cintakan negara, datuk terlibat dalam pengambilan ahli-ahli
pengawal kampung untuk menentang pihak komunis yang sentiasa mengancam
keselamatan penduduk kampung. Datuk telah dipilih untuk menjadi anggota AP.
Kerana itu datuk kena menjaga kampung pada setiap malam secara gergilir-gilir
dengan orang-orang kampung yang lain. Kerana datuk dianggap penduduk yang
tertua di kampung itu dan tahu pula serba sedikit ilmu dunia, datuk telah
dipilih untuk menjadi ketua.
Kadang-kadang
datuk dipanggil juga oleh pasukan keselamatan untuk masuk ke hutan untuk
mengempar sarang komunis. Ini bukanlah beban yang berat baginya. Datuk
mernerimanya dengan rasa senang hati. Satu keistimewaan datuk, ialah dia cukup
kurang tidur tapi badannya tetap sihat. Wajahnya tidak cengkung atau pucat.
Satu malam telah diarahkan pasukan keselamatan untuk membawa anak buahnya
menjaga kawasan kampung yang bersempadan dengan jalanraya yang merintangi
sebuah anak sungai. Datuk pecahkan anak buahnya kepada dua pasukan, setiap
pasukan dianggotai oleh lima orang. Satu pasukan ditugaskan peronda tapi sungai
mengala ke utara. Sedangkan datuk dengan kawan-kawan menguasai sebelah selatan
hingga sampai ke jabatan besi. Datuk memilih pangkal jambatan besi itu sebagai
tempat ia mengatur sebarang gerakan.
Malam
itu datuk bertugas dengan tenang di atas jambatan besi. Sesekali malam yang
sepi itu dipecahkan oleh bunyi jentera lori pasukkan keselamatan yang melintas
di atas jambatan besi. "Kau berdua pergi ke hujung sama, dan kau berdua
pergi berjaga dekat pokok besar," datuk memerintahkan anak buahnya.
"Di
sini, siapa nak tunggu, tanya Hamid, salah seorang dari anak buahnya. Datuk
tidak menjawab pertanyaan itu dengancepat. Dia termenung berfikir.
"Di sini, biar aku tunggu," katanya. Anak
buahnya yang sudah diperintah mengikut arahan yang ditetapkan. Malam bertambah
sejuk. Datuk mengigil kesejukan. Dua tiga kali dia menguap. Badannya
disandarkan pada besi jambatan. Tiba-tiba datuk terkejut, seekor ular berbelang
kuning dan hitam meniti atas palang besi jambatan menuju ke arahnya. Lebih kurang
satu ela mahu sampai padanya , ular itu berhenti. Panggung kepala. Menjulurkan
lidah. Mata ular itu nampak merah. Dari mulut ular itu terpancar sesuatu macam
api. Bila ular itu mengkatupkan mulutnya. Api itu padam dan api itu akan wujud
kembali, bila ular itu membuka mulutnya.