Manusia Berkepala Anjing
Imam Hamid
mengedutkan dahinya hingga berlapis empat. Dia renung muka Datuk. Dia renung
muka saya hingga kepucatan yang terhampir di wajahnya hilang
“Mustahak ke
?” soalnya agak ragu.
“Memang
mustahak, perkara yang mahu diceritakan ni ada hubungannya dengan diri Pak
Imam.”
“Dengan diri
saya ?”
“Iya,” Datuk
angguk kepala.
Tanpa banyak
bicara Imam Hamid mengikut Datuk dan saya ke rumah. Kami bertiga duduk bersila
di anjung rumah. Macam selalu Datuk bila berbual suka bersandar. Sebelah
kakinya berdiri lutut. Ini memang amalan Datuk. Menurut Datuk duduk begitu
bukan duduk yang kosong. Duduk yang ada makna. Susah kalau musuh mahu
menyerang, payah hantu syaitan mahu menggoda.
“Apa dia
perkara yang mustahak tu?” Imam Hamid mula mendesak. Datuk tersenyum. Serentak
dengan itu nenek pun meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.
“Begini,”
Datuk menggeliat dan terus bercerita :
“Anjang
Dollah sudah mati, pagi esok kita terpaksa uruskan mayatnya untuk di tanam. Dia
mati dibunuh syaitan yang dibelanya.” Imam Hamid terkejut. Kemudaan dia senyum.
Sepasang matanya meraut paras Datuk. Saya cuma diam sahaja. Tidak baik campur
orang tua-tua bercakap.
“Pemintaaan
saya diberkati Allah.” Itu yang terhambur dari mulut Imam Hamid. Matanya
bercahaya memandang muka saya.
“Dengan apa
Pak Imam membinasakan kerja laknat tu, “Datuk terus bertanya. Imam Hamid gosok
batang hidungnya beberapa kali.
“Dengan ayat
Quran, kau harus tahu tidak ada kuasa yang dapat mengatasi kekuasaan Tuhan,
lagi pun dalam Quran sudah lengkap semuanya. Kerja jahat memang tidak diberkati
Tuhan.” Itulah yang diberitahu oleh Imam Hamid pada Datuk. Datuk angguk kepala.
Imam Hamid pun terus bercerita pada Datuk tentang diri Anjang Dollah. Menurut
Imam Hamid, Anjang Dollah memanglah dukun yang tidak bersih. Ia tidak
mengamalkan ilmu kedudukannya untuk kebaikan manusia. Dia bekerja bergurukan
syaitan. Kerjanya mengorek kubur perempuan mati beranak, suka ambil kain kapan
rambut orang yang baru mati beranak.
“Agaknya dia
dukun sihir Pak Imam,” dengan mendadak Datuk bersuara. Imam Hamid mengakuinya
sambil berkata : ” Dia sudah dipengaruhi syaitan sanggup mengambil darah orang
mati beranak untuk makanan syaitan yang dipeliharanya.”
“Siapa pula
yang di belanya tu ?” saya tanya. Datuk merenung dengan marah pada saya.
“Hantu itu,
adik perempuannya sendiri, dia potong kepalanya dan hal tu tak dikesan oleh
sesiapapun.”
“Dahsyatnya,”
ujar Datuk.
“Memang
dahsyat dan aku menduga dia akan mengorek kubur anak aku. Jadi aku bersedia
untuk menghantarkannya.” Imam Hamid berhenti bercerita. Dia minta diri untuk
pulang ke rumahnya. Mula daripada malam itulah Datuk mendapat tahu, bahawa Imam
Hamid bukan sebarang orang. Dia banyak ilmu dunia dan akhirat. Sifat orang
terpuji pada diri Imam Hamid kerana dia tidak mahu menunjukkan kebolehannya di
mata orang ramai. Inilah yang mengagumkan diri Datuk.
Sebaik sahaja
Imam Hamid pulang. Saya dan Datuk tidak dapat tidur. Rumah Datuk diganggu
dengan bermacam-macam cara. Pintu rumah Datuk terbuka dengan sendiri. Kelambu
Datuk terbakar sendiri. Paling mengerikan bila rumah dibaling dengan batu dan
kayu. Datuk tidak bertindak dia cuma membiarkan sahaja. Dia cukup tenang duduk
di tengah rumah. Bila Datuk mahu pergi ke perigi untuk mengambil air
sembahyang. Dia terkejut. Ruang luas di anjung rumahnya penuh dengan daun buluh
dan batang pisang.
“Syaitan,
semuanya kerja syaitan,” keluh Datuk. Dia terus ke perigi. Saya juga ikut ke
perigi. Kami sembahyang subuh bersama. Selesai sahaja Datuk sembahyang semua
daun pisang dan batang buluh hilang. Pagi itu, kami berdua segera pergi ke
tanah kubur. Sampai sahaja di kawasan tanah perkuburan. Imam Hamid dan beberapa
orang kawannya sudah berada di situ. Mayat Anjang Dollah sudah dimasukkan ke
dalam guni. Dua orang anak muda sudah pun mengandar guni yang berisi mayat
Anjang Dollah.
Datuk segera
mendapatkan Imam Hamid minta kebenaran untuk melihat mayat Anjang Dollah.
Permintaan Datuk itu tidak dihampakannya. Sebaik sahaja Datuk melihat mayat
Anjang Dollah dalam guni. Air mukanya segera berubah. Jadi cemas.
“Kenapa jadi
macam itu ?” Datuk dengan tiba-tiba bersuara.
“Itulah
pembalasan yang dapat kita lihat, bila orang melakukan kerja-kerja yang
bertentangan hukum Allah,” bisik Imam Hamid pada Datuk. Mayat Anjang Dollah pun
dibawa ke rumah. Dia di mandi dan di kapan, akhirnya disemadikan di tanah
perkuburan.
Cerita
tentang Anjang Dollah pun padam dari jadi pokok perbualan orang-orang kampung.
Datuk mula berkawan dengan Imam Hamid. Tujuan utama Datuk berkawan ialah untuk
menambahkan ilmu buat dirinya. Orang yang selalu dibawa oleh Datuk ke rumah
Imam Hamid, saya sendiri. Kadang-kadang saya jadi bosan dan benci dengan
perangai Datuk itu. Bila saya memprotes, Datuk cuma ketawa sahaja. Dia berharap
benar-benar supaya saya ambil tahu tentang kepandaian orang Melayu dalam
beberapa bidang tertentu yang menurut Datuk kebolehan dan kepandaian itu sudah
mulai pupus. Pada dasarnya , saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh
Datuk itu.
“Aku tak mahu
kau jadi dukun atau pawang,” kata Datuk pada satu malam.
“Tak guna
saya ikut Datuk.”
“Ada
gunanya,”
“Apa gunanya,
sekadar untuk tahu sahaja tak lebih dari itu, aku mahu kau jadi doktor atau
peguam.”
“Jadi dukun,
sama juga tarafnya dengan doktor.”
“Itu pendapat
yang salah,” dalih Datuk.
Kerana malam
itu terlalu dingin, saya minta pada Datuk untuk tidur dalam biliknya.
Permintaan saya itu diizinkan oleh Datuk dengan syarat saya tidak dibenarkan
mengusik semua perkakas Datuk dalam biliknya. Pesan Datuk itu saya akur. Waktu
saya menolak pintu bilik Datuk, saya lihat jam di ruang tengah baru pukul
sebelas malam. Sepatutnya saya tidur lebih awal dari itu kerana esoknya saya
mesti pergi ke Kuala Lumpur untuk temu duga sebagai buruh hutan atau forest
labourer.
Datuk sudah
pun memberikan beberapa petua untuk temu duga tersebut. Antaranya, bila saya
mahu melangkah harus dimulakan dengan kaki kanan. Tidak boleh berpatah balik.
Bila berhadapan dengan orang yang menemu duga kelak. Saya harus membengkokkan
jari telunjuk saya sambil berkata.
“Aku tidak
mematahkan jariku, tapi mematahkan hati orang yang menyoal. Biar dia simpati
dan kasih pada diriku.” Sebaik sahaja berkata begitu, saya disuruh selawatkan
Nabi tiga kali sambil membaca ayat Qulya.
Semuanya saya
lakukan dalam hati. Saya masuk ke dalam bilik Datuk rebahkan badan atas katil.
Tiba-tiba saya rasa katil bergerak. Saya bangun dan menoleh ke kanan. Badan
saya menggeletar. Seorang lelaki berbadan tegap, bermandikan peluh, berdiri di
situ. Muka lelaki itu kelihatan hitam. Bila direnung lama-lama muka lelaki itu
berubah menjadi muka anjing yang garang mula dari pangkal lehernya.
Lelaki itu
menjelirkan lidah anjing dan cuba menjilat badan saya. Saya terus menjerit,
serentak dengan itu Datuk melompat ke dalam bilik dengan keris di tangan.
Manusia berkepala anjing merenung muka Datuk dan bersedia untuk menerkam
padanya. Datuk angkat tangan kiri separas dada. Tangan kanannya menunjuk ke
arah manusia berkepala anjing. Jari manis dan jari kelingking Datuk berkait
antara satu sama lain. Manusia kepala anjing melompat ke sebelah kiri, kemudian
hilang di balik dinding. Serentak dengan itu juga tingkap bilik Datuk terbuka kemudian
bagaikan dihempas oleh sesuatu benda, papan tingkap memukul jenang, seluruh
bilik bergegar.Barang-barang yang tersangkut di situ jatuh berserak ke lantai.
Datuk menerpa
ke tepi tingkap. Dilihatnya bulan sedang mengambang. Angin tidak bertiup tetapi
pokok rambutan gading di depan rumah bergerak. Beberapa minit kemudian
terdengar salakan anjing bersahut-sahutan. Datuk meniup tingkap. Dia menyuruh
saya pindah ke bilik lain yang dekat dengan bilik nenek.
“Jaga cucu
kita ni baik-baik,” Datuk beritahu nenek
“Awak nak ke
mana ?”
“Aku nak
selesai masalah baru ini di rumah Imam Hamid.”
“Awak nak
pergi seorang.”
“Tentulah,”
suara Datuk keras.
Baru lima
langkah Datuk melangkah di halaman terdengar jeritan orang perempuan dari rumah
Hussein Janggut. Datuk bergegas ke situ.
“Kenapa Sin
?” Datuk tercungap-cungap.
“Bilik anak
dara saya di masuk orang berkepala anjing.”
“Kemudian apa
jadinya ?”
“Dia cuba
membawa anak dara saya keluar dari rumah ni,” sungut Hussein Janggut parau.
Dalam beberapa detik sahaja rumah Hussein Janggut mula dikerumuni orang
kampung. Malam itu sahaja sekurang-kurangnya lima buah rumah yang ada anak dara
telah didatangi oleh makhluk manusia berkepala anjing. Seluruh kampung Paya
Liam jadi gempar. Malam itu juga bentuk dibentuk jawatankuasa pengawal kampung.
Seluruh isi perut kampung Paya Lima berazam mahu menangkap manusia aneh itu.
Perkara itu segera dilaporkan kepada pihak polis.
Dua malam
kemudian atas inisiatif Imam Hamid, orang lelaki Paya Lima dikumpulkan di
surau. Mengadakan pembacaan Yasin untuk hindarkan manusia kepala anjing
berleluasa di kampung tersebut. Ibu bapa yang mempunyai anak dara diminta
supaya jangan membenarkan anak dara mereka berjalan waktu malam, terutama
ketika bulan mula mengambang. Setiap anak dara disuruh membawa pisau atau
parang bila mahu tidur. Pintu dan tingkap harus dikunci. Datuk dan Imam Hamid
sungguh runsing dengan kejadian itu.
Dalam
sibuk-sibuk perkara manusia berkepala anjing, Imam Hamid menghilangkan diri
dari kampung tersebut. Dengan itu beberapa tuduhan mula dilemparkan oleh
orang-orang kampung pada Imam Hamid. Datuk bertindak tegas. Dia menolak semua
tuduhan itu dengan alasan yang dapat diterima oleh orang-orang kampung.
“Cara yang
paling selamat kita lakukan ialah berjaga pada setiap malam.” Itu nasihat Datuk
pada orang-orang kampung. Beberapa orang dukun memberikan petua pada anak dara
dan teruna supaya menaruh inai di jari manis. Dukun-dukun juga menasihatkan
setiap rumah harus menyimpan Quran dan membacanya pada setiap malam. Dengan itu
akan melumpuhkan kegiatan manusia kepala anjing datang ke rumah yang ada anak
dara dan teruna.
Dukun-dukun
atau pawang mengesahkan bahawa manusia kepala anjing itu adalah manusia yang
datangnya dari kampung berhampiran yang sedang mengamalkan ilmu salah. Dia
sedang menuntut ilmu seri pandang yang antara lain memaksa penuntut ilmu
menjadi anjing. Dia akan menjadi manusia yang kacak dan cantik, bila dia sudah
dapat memperkosa empat puluh orang gadis atau dapat menghisap darah anak teruna
sebanyak empat puluh empat orang. Kalau dia tidak dapat berbuai begitu, dia
akan terus menjadi anjing berbadan manusia hingga hari kiamat. Kalau dia
berjaya, dia akan dapat menguasai hantu syaitan yang akan memberikan kemewahan
pada dirinya.
Malam itu,
Datuk pulang dari surau sesudah membaca Yasin. Waktu Datuk mahu melintasi parit
kecil yang memisahkan Kampung Paya Besar dengan Paya Lima, Datuk terpandang
pokok keduduk dan serunai laut tepi parit bergerak-gerak. Datuk sembunyikan
diri di balik pokok besar. Di langit bulan mula mengambang, makin kuat sinar
bulan memanah bumi, makin kuat pokok-pokok kecil di situ bergerak.
Anjing mula
bersuara keras. Datuk membuat keputusan untuk mengetahui apakah gerangan yang
bergerak dalam hutan kecil itu. Bila bulan sudah cukup mengambang. Datuk
melihat satu lembaga manusia bergerak dan berjalan macam anjing, mencium tanah
dan pokok-pokok di situ.
“Syaitan,”
sergah Datuk. Lembaga itu terus menyalak macam anjing. Dari merangkak lembaga
itu tegak berdiri. Dengan tiba-tiba sahaja beberapa ekor anjing besar
mengelilingi lembaga itu.
“Engkau
rupanya memang aku cari selama ini,” suara Datuk keras. Bila dia melihat
manusia berkepala anjing hitam itu dengan matanya yang bercahaya
kemerah-merahan. Bulunya cukup tebal. Giginya putih tajam dan air liur meleleh
di muncungnya. Rupanya cukup mengerikan. Manusia berkepala anjing itu mula
menerkam pada Datuk. Macam selalu Datuk yang memang pandai bersilat itu
mengelak dengan mudah. Perbuatan Datuk itu menafikan darah manusia berkepala
anjing itu. Ia melolong dengan kuatnya. Empat ekor anjing hitam di sampingnya
datang menyerang Datuk. Anehnya semua anjing-anjing itu hilang entah ke mana,
bila Datuk membaca ayat Al-Kursi. Dengan itu menguatkan hati Datuk, bahawa dia
berhadapan dengan syaitan.
Sekarang,
Datuk berhadapan dengan manusia berkepala anjing satu sama satu. Tidak mudah
bagi Datuk untuk menewaskannya. Manusia berkepala anjing tidak menyerang Datuk,
tapi dia menenung muka Datuk dengan matanya yang bersinar tajam. Dua kali Datuk
jatuh terlentang. Belum pun sempat manusia berkepala anjing menerkam padanya
Datuk segera bangun. Datuk pun menggunakan ilmu kebatinannya untuk menentang
manusia kepala anjing. Di samping itu Datuk juga menggunakan ayat-ayat
al-Quran. Datuk mula terasa musuh yang ditentangnya beransur lemah.
Benarlah,
manusia kepala anjing itu mula rabah ke bumi. Dengan sekilas pandang Datuk
sudah dapat mengenali manusia berkepala anjing.
“Aku kenal kau,” pekik Datuk. Serentak dengan itu tempat manusia
berkepala anjing terus ghaib. Datuk menang dalam perjuangan ini. Tapi Datuk
memang tidak menduga manusia yang jadi kepala anjing itu, adalah manusia yang
dikenalinya. Dia pernah bercakap dengan orang itu. Memang di luar dugaan
perkara itu boleh berlaku. Apakah orang itu melakukan semuanya kerana mahu
membalas dendam. Persoalan ini timbul dalam kepala Datuk sepanjang malam.