Terkencing Dalam Seluar
Bulan di
langit mula dilitupi awan. Angin kian keras bertiup. Bunyi dedaun yang
bergeseran sama sendiri amat menakutkan. Dan Datuk terus melangkah dengan
tenang. Api yang memakan daun kelapa, sekerap marak, sekejap suram.
“Kenapa kita
ikut sini tok ?” tanya saya. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Datuk,
bunga-bunga api dari andang daun kelapa jatuh atas bumi. Saya tidak tahu kenapa
Datuk ikut jalan ini. Kenapa dia tidak mahu ikut jalan biasa yang mudah dan
senang. Tidak perlu melintas tanah sawah yang luas terbentang.
Saya yang
memakai baju Melayu cekak musang terpaksa menggulung lengan baju hingga ke
siku, kasut getah dan hujung seluar hitam saya mula basah diresapi oleh air
embun. Langkah Datuk terus lancar. Andang kelapa diangkatnya tinggi-tinggi.
“Kita patah
balik ikut jalan lain tok,” saya mengemukakan cadangan. Datuk berhenti. Dia
cacakkan andang daun kelapa tepi batas. Datuk membuang pacat yang singgah di
kaki seluarnya.
“Kenapa mesti
patah balik, ikut sini dekat,” Datuk cabut andang daun kelapa. Saya diam.
Cakapnya
tidak boleh di bantah. Saya melangkah dengan hati-hati. Silap langkah nanti
jatuh ke dalam sawah. Cahaya dari andang daun kelapa menerangi rumpun-rumpun
padi yang baru pecah anak, sesekali terdengar bunyi haruan melompat dalam air
sawah menangkap anak. Suara burung hantu dan jampuk saling tingkah meningkah.
Bulan sudah tidak mengeluarkan sinarnya. Awan telah melindungi permukaan bulan.
Suara lolongan anjing kian bertambah keras. Daun-daun dari pokok besar yang
memagari batas sebelah kanan tetap bergerak hebat. Angin malam cukup keras
bertiup. Badan saya rasa cukup dingin.
“Lagi cepat
kita sampai, lagi baik,” suara Datuk parau. Dia menoleh ke arah saya.
“Saya sejuk
tok, jauh lagi ke ?”
“Ah, kejap
lagi sampailah, sekarang kau jalan dulu, biar aku ikut kau dari belakang.” Itu
perintah Datuk. Badan saya jadi menggeletar, macam-macam perkara buruk datang
dalam hati saya.
“Tok jalan
dulu, saya tak tahu jalan,” saya berdalih.
“Kau tak
tahu, atau pun kau takut ?” Datuk ketawa. Dia memaksa saya jalan dulu. Saya
tidak ada pilihan lain. Saya menurut perintahnya. Saya dan Datuk sampai di
sebuah tali air. Datuk menyuruh saya ke belakang. Lama juga dia berhenti di
tepi tali air itu sambil merenung pada air yang mengalir.
“Jalan ke
depan lagi, di sana ada titi tak payah kita melompat,” ucap Datuk dengan
tenang. Kami mara ke depan. Berhenti di bawah pokok mempelam telur yang berdaun
lebat. Cakap Datuk memang tepat, di pangkal pokok mempelam telur terdapat titi
batang pinang. Kami menyeberang dengan selamat, dari situ kami mendaki bukit
kecil yang penuh dengan pokok pisang hutan, selesai mendaki bukit itu , kami
berhadapan dengan sebatang jalan tanah merah yang lebarnya kira-kira dua kaki.
“Ikut jalan
ini ke utara,” ujar Datuk sambil meraba Ulu golok peraknya. Saya anggukkan
kepala dua tiga kali. Berjalanlah saya dengan Datuk, suara burung hantu terus
juga menyumbat lubang telinga. Kami melintasi sebuah tanah perkuburan. Dari
sinar api andang daun kelapa itu, saya melihat batu-batu nisan terpacak dengan
gagahnya. Suara burung hantu kian kuat. Suara salakan anjing kian dekat
terdengar. Pokok-pokok puding dan pokok-pokok kecil lain yang berhampiran
dengan tanah kubur saya lihat bergerak-gerak, bagaikan ada benda yang menggoncangnya.
Awan tebal
yang melindungi bulan mula beredar, dan sinar bulan mula menerangi sebahagian
dari jalan yang kami lalui, tiba-tiba awan tebal datang kembali menutup bulan
dan andang kelapa yang saya bawa pun padam. Datuk berhenti, dia membakar andang
kelapa yang baru, memang Datuk membawa dua tiga andang daun kelapa untuk
digunakan dalam satu-satu keadaan yang tertentu.
“Jalan cepat
sikit, aku rasa tak berapa sedap hati di sini,” Datuk menyuarakan suara
hatinya. Saya diam.
“Langkah
panjang sikit,” tambah Datuk lagi. Saya hanya boleh anggukkan kepala sahaja.
Tidak lebih dari itu. Angin malam yang bertiup menjatuhkan dedaun tua dan
ranting-ranting, berderup-derup bunyinya, bagaikan orang mematah kayu kering.
Saya mula terasa cemas, tapi saya tidak menyatakan hal pada Datuk.
Saya dan
Datuk jalan dan terus berjalan, matlamat kami mahu sampai ke rumah Anjang
Dollah dengan secepat mungkin. Barangkali Anjang Dollah sudah bersila di muka
pintu menanti kedatangan kami, agaknya Anjang Dollah sudah menyediakan semua
barang yang digunakannya untuk kami, fikir saya dalam hati.
Tanah
perkuburan tua agak jauh kami tinggalkan. Dada saya terasa lapang, tapi batin
saya terus menyumpah seranah suara burung hantu yang seakan-akan mengikuti
langkah kami. Datuk berhenti berjalan.
“Siapa tu,”
suaranya perlahan. Saya merenung ke depan. Saya terpandangkan benda putih
berjalan terhincut-hincut di depan Datuk dan saya, kerana bulan dilitupi awan
tebal dan cahaya dari andang Datuk tidak menyala dengan baiknya, saya tidak dapat
melihat dengan jelas benda tersebut.
“Barangkali
ada orang nak lalu,” Datuk bersuara tenang. Saya juga sependapat dengan Datuk.
Suara burung hantu dan jampuk bertambah galak. Salakan anjing bertalu-talu,
sayup-sayup dan memanjang pula, bagaikan orang menangis di malam sepi. Benda
putih terus menghampiri kami, bila Datuk mahu menegurnya, benda putih tersebut
itu pun hilang. Entah ke mana. Saya tidak dapat memastikan apakah dia masuk ke
dalam hutan pokok pisang di kanan, atau masuk ke dalam belukar di kiri jalan.
Benda putih itu menjelma di depan kami lagi.
“Bukannya
manusia,” Datuk bisik ke telinga saya. Serentak dengan itu dia memadam api
andang daun kelapa.
“Kita ke
tepi, biarkan dia lalu,” perintah Datuk. Saya patuh pada arahan Datuk. Kami
berdiri di balik pokok getah besar. Benda putih itu melintas di depan kami.
Saya tidak dapat melihat bentuk mukanya. Apa yang saya lihat pada benda putih
itu berjalan tanpa kaki, tidak mempunyai kepala. Berjalan menuju ke kawasan
tanah perkuburan, saya dan Datuk melihat Anjang Dollah datang membawa cangkul.
“Apa ni tok,”
tanya saya pada Datuk.
“Kau diam,
kau ikut saya apa yang aku buat,”
“Baik tok,”
saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Datuk melangkah ke jalan tanah merah. Dia
menarik tangan saya mengikuti langkah Anjang Dollah menuju ke kawasan
perkuburan. Saya menurut sahaja. Dua tiga kali saya tersungkur kerana tersepak
batu-batu nisan. Datuk berhenti. Saya mendongak ke langit, awan tebal sudah
berlalu dari sisi bulan. Dengan pertolongan sinar bulan enam belas, kami dapat
apa yang dilakukan oleh Anjang Dollah. Dia sedang mencangkul tanah perkuburan.
Benda putih duduk dekat batu nisan.
Anjang Dollah
dapat menyelesaikan semua tugas-tugas dalam masa kurang lebih empat puluh lima
minit. Seluruh badannya dibasahi peluh, nampak berminyak-minyak ditampar sinar
rembulan enam belas. Dia duduk di pangkal pokok cempedak. Kemudian dia berkata
pada kawannya yang nampak putih itu. Benda putih tanpa kepala dan kaki itu,
bagaikan berawang-awangan, bergerak dan berhenti di depan Anjang Dollah.
“Hai
sahabatku, tunggu di sini, biarkan aku ambil kain kapan dan rambut perempuan,
kemudian kau bawa barang-barang itu pulang ke rumah kita kau tunggu aku di
sana, aku tak boleh balik bersama, kerana banyak kerja yang mahu aku
selesaikan,” itulah yang dicakapkan oleh Anjang Dollah pada sahabatnya.
Anjang Dollah
terjun ke dalam kubur. Dia mengambil kain kapan orang mati beranak dan rambut.
Lama juga Anjang Dollah berada di dalam lubang kubur. Benda putih tanpa kepala
dan kaki berlegar-legar di tepi kubur. Kadang-kadang dia nampak bagaikan duduk
di akar pokok cempedak. Suara burung hantu kian gamat. Suara jampuk bersahut-sahutan.
Lolong anjing tingkah meningkah. Suara dahan kayu berlaga sama sendiri jelas
kedengaran di rempuh angin malam. Ranting tua dan daun tua gugur ke bumi.
Saya bagaikan
terdengar bunyi orang berjalan di belakang. Bila di toleh , tidak ada apa-apa.
Saya bagaikan terdengar bunyi burung terbang di atas kepala. Bila diperhatikan
tidak ada apa-apa. Bulu bengkok saya berdiri tegak. Macam-macam perkara aneh
saya rasakan. Saya rapat pada Datuk yang duduk tenang. Mulutnya membaca sesuatu,
saya sendiri tidak tahu apa yang dibaca olehnya.
“Kau ingat,
tidak ada benda yang berkuasa di dunia ini, selain daripada Allah yang maha
besar, dan tiada manusia yang boleh melawan kekuasaannya. Ingatkan Allah yang
maha besar,” Datuk memberitahu saya, bila dilihatnya saya menggeletar
sendirian.
“Kau lihat di
depan,” Datuk menajamkan mulutnya ke arah kubur yang digali oleh Anjang Dollah.
Saya merenung ke depan. Saya lihat benda putih tanpa kepala dan kaki itu terjun
ke dalam kubur. Saya terdengar bunyi suara Anjang Dollah terpekik dalam kubur,
tanah kubur berterbangan ke udara, serentak dengan itu juga saya dengar suara
mengaum macam suara harimau dari dalam kubur.
Suara jeritan
Anjang Dollah beransur lemah. Tanpa dapat ditahan Datuk meluru ke tanah kubur.
Datuk mahu menolong Anjang Dollah, dia mengambil sepotong kayu, lalu memukul
benda putih yang keluar dari lubang kubur. Setiap kali Datuk memukulnya, benda
itu tidak melawan, malah dia mengelak, akhirnya ghaib dari kawasan perkuburan.
Datuk memanggil saya, waktu saya mahu sampai dekat Datuk, saya rasa pangkal
seluar saya basah. Sesungguhnya, saya tidak sedar waktu bila saya terkencing
dalam seluar. Datuk suruh saya membakar andang daun kelapa. Saya patuh dengan
cakapnya. Bila andang daun kelapa sudah terbakar. Kawasan sekitar tanah kubur
yang digali oleh Anjang Dollah terang.
“Kau lihat ,”
Datuk menuding jari kelingkingnya ke dalam lubang kubur. Lubang kubur saya
jenguk. Anjang Dollah terbaring di dalamnya. Seluruh mukanya berdarah. Di
sebelahnya terdapat mayat seorang perempuan, kepalanya sudah terpisah dengan
badan. Kain kapannya sudah koyak dan berdarah.
“Perbuatan
yang dikutuk oleh Allah, perbuatan sesat yang terpisah dari ajaran agama, cuma
orang yang tidak beriman dan tidak percayakan Allah saja yang berani membuat
kerja sial ini,” Datuk merungut panjang. Saya renung muka Datuk. Wajahnya penuh
kesal. Memang, di luar dugaan Datuk, bahawa pawang Anjang Dollah boleh membuat
kerja yang tidak direlakan oleh agama Islam.
“Apa yang
patut kita buat Datuk,” saya menyoal Datuk. Lama juga Datuk termenung di situ.
Saya tidak tahu apa yang difikirkannya.
“Sebagai
orang Islam, Anjang Dollah tidak boleh dibiarkan begini, dia harus dimandikan,
di kapan dan ditanam serta dibacakan talkin,” terang Datuk.
“Siapa yang
mahu menguruskan semuanya ini.”
“Siapa lagi,
kita yang mesti menyelesaikannya,” Datuk bersuara tegas.
“Dia membuat
kerja yang silap, biarkan dia di situ,” bantah saya. Datuk senyum. Suara burung
hantu dan jampuk terus bersahut-sahutan, tapi suara salakan anjing sudah tidak
ada lagi. Bunyi dahan jatuh masih kedengaran.
“Kau silap,
kita tahu dia memang beragama Islam, soal dia membuat kerja yang tidak baik tu,
soal dia dengan Tuhan,” Datuk memberitahu saya. Datuk membuat keputusan yang
tepat. Dia mahu memberitahu pada seluruh penduduk tentang peristiwa yang
menimpa diri Anjang Dollah. Dia mahu menghebahkan hal itu ke seluruh kampung.
Datuk juga mengharap pada sesiapa yang mengambil ilmu salah atau yang berguru
dengan Anjang Dollah supaya bertaubat dan membuangkan semua ilmu itu untuk
kembali ke jalan Allah.
Saya merenung
ke dalam kubur kembali. Saya lihat mayat perempuan mati beranak itu masih
berdarah, saya kira perempuan itu tentu sahaja baru ditanam. Hal itu saya
tanyakan pada Datuk.
“Agaknya dia
mati semalam,” kata Datuk.
Dia menarik
tangan saya keluar dari kawasan perkuburan. Kami berpatah balik menuju ke
kampung. Bila sampai di kampung nanti, Datuk mahu melapurkan perkara itu kepada
penghulu. Kami kembali meredah tanah sawah yang luas terbentang. Kali ini saya
tidak mahu berjauhan dengan Datuk. Datuk tahu perasaan hati saya. Dia menyuruh
saya memegang pinggang seluarnya.
Sebaik sahaja
kami sampai di gigi kampung, saya dan Datuk terserempak dengan Imam Hamid. Dia
agak terkejut bila kami nyatakan yang kami baru sahaja kembali dari tanah
kubur.
“Apa halnya,”
tanya Imam Hamid.
“Panjang
ceritanya dan Pak Imam ni dari mana,” soal Datuk.
Imam Hamid
terdiam. Kemudian dia memberitahu kami, bahawa dia juga mahu pergi ke kubur.
“Apa
sebabnya,” Datuk mengemukakan soalan. Imam Hamid diam sejenak.
“Anak aku
Sepinah mati beranak, dah ditanam pun pagi semalam.”
“Kami tak
tahu,” jawab Datuk.
“Silap aku,
aku mahu menanamnya cepat, tiba-tiba malam ini hati aku teringatkan dia, aku
bimbang kuburnya dikorek orang, kau sendiri tahulah sekarang, kubur perempuan
mati beranak suka sangat digali orang,” terang Imam Hamid.
Mendengar
cakap Imam Hamid itu, wajah Datuk segera berubah. Dia mula ragu dengan apa yang
dituturkan oleh Imam Hamid. Jauh dalam hati Datuk, timbul satu pertanyaan
apakah Imam Hamid bersubahat dengan Anjang Dollah dalam perkara ini ? Datuk
terus menepuk bahu Imam Hamid dalam mengajak dia pulang. Imam Hamid keberatan.
Datuk terus memujuk. Ada sesuatu yang mahu disoal oleh Datuk pada Imam Hamid.
Kalaulah Imam Hamid membuat kerja terlarang, dia mahu memujuknya supaya kembali
ke jalan Allah.
“Ke rumah
saya saja malam ini, ada hal yang mahu saya tanya pada Pak Imam,” kata Datuk.
Mendengar cakap Datuk itu muka Imam Hamid berubah menjadi pucat.