Kain Dalam Perut Gadis
Sesudah
perempuan muda itu mencium tangan Datuk, dia pun membetulkan selendangnya yang
jatuh ke atas bahu. Saya lihat alis mata perempuan itu cukup tebal dan lentik.
Kerlingnya cukup tajam. Datuk memperkemaskan silanya dan sepasang mata Datuk
terus meratah ke paras wanita muda di depannya. Nenek terus menghidangkan
lemang dan rendang. Bunyi mercun dan meriam buluh sekali-kali terdengar juga
memecah kesunyian kampung. Tiba-tiba saya terkejut, perempuan tua bangun
serentak, tanpa menjamah barang-barang yang dihidangkan oleh nenek.
Mereka menuju
ke muka pintu, sampai bendul pintu mereka merenung ke arah nenek dan Datuk
sambil melambaikan tangan. Datuk kelihatan tersenyum senang. Perempuan tua dan
perempuan muda memijak anak tangga. Sinar matahari yang mencerah di luar
menerpa ke wajah mereka.
Datuk,
tiba-tiba terbatuk dengan kuat. Mata nenek dan mata saya tertumpu ke wajah
Datuk sebentar. Bila saya dan nenek berpusing ke arah muka pintu, batang tubuh
perempuan muda dan tua sudah tidak kelihatan lagi di situ. Hilang entah ke
mana.
“Ke mana
mereka pergi tok?” saya bertanya. Datuk merenung muka nenek. Mereka berbalas
senyum lalu Datuk menghadapi hidang yang tersedia.
“Siapa mereka
tok?”
Datuk terus
menghampiri saya. Dia menepuk bahu saya sambil berkata :
“Itulah nenek
muda kau,” suara Datuk menendang gegendang telinga saya. Wajah Datuk saya
lihat, terpamir sejuta kepuasan dalam dirinya. Saya renung muka nenek, rasa
cemburu di wajahnya tidak timbul. Betapa nenek berkorban untuk kebahagiaan
Datuk. Fikir saya dalam hati.
“Sudahlah tu,
mari minum,” Datuk menarik tangan saya. Nenek ketawa melihat telatah saya yang
menurut perintah Datuk itu. Nenek terus duduk di sisi saya. Selesai makan
ketupat dan rendang Datuk mengajak saya ke tanah perkuburan untuk melihat
pusara Datuk nenek. Selesai menziarahi kubur Datuk nenek dan menghadiahkan
Al-Fatihah atas roh, mereka, Datuk terus mengheret saya bertandang ke rumah
kenalannya. Satu kerja yang amat tidak saya senangi. Menyusurlah saya di bawah
pepohon getah mengikut langkah Datuk yang rancak. Sinar matahari yang keras
petang itu memaksa badan saya mengeluarkan peluh. Baju dan seluar terasa
bergetah. Kain samping sudah tidak lekat di pinggang sudah bertukar menjadi
kain selimpang.
“Ke mana kita
tok, saya dan tak tahan ni,” saya mengadu.
“Jalan sikit
lagi, kita pergi ke rumah Ujang Selamat.”
“Jauh lagi ke
?”
“Lepas pokok
asam kumbang sampailah kita.” Suara Datuk mula keras. Matanya, tajam memandang
muka saya.
Tempat yang
dituju sampai juga, sebuah rumah papan beratap zink di pinggir bukit Paya
Takung . Halaman rumah yang bersih itu menghala ke sawah yang saujana mata
memandang. Itulah rumah Ujang Selamat ketua kampung Paya Takung dan rumahnya
adalah rumah yang paling cantik dan besar di dalam kampung tersebut.
Ujang Selamat
yang berbadan tegap, bermisai lebat memakai seluar dan baju hitam mempersilakan
saya dan Datuk naik. Datuk dan Ujang Selamat bersalaman. Ujang Selamat ketawa
menampakkan giginya yang besar dan kekuningan itu. Data Datuk, Ujang Selamat
berasal dari negeri Petani di Selatan Siam. Dia meninggalkan kampung halamannya
sesudah tercetus peperangan antara rakyat Petani yang menuntut kemerdekaan dari
kerajaan Siam.
Dalam
pertempuran itu, banyak rakyat petani yang tewas ditawan oleh tentera Siam.
Ujang Selamat melarikan diri hingga sampai ke kampung Paya Takung. Dia bertani
dan bercucuk tanam hingga berjaya mendirikan rumah dan membeli tanah di situ.
Kemudian kahwin dengan orang di situ hingga beranak cucu.
Sedang saya
dan Datuk asyik menjamah lemang, tiba-tiba rumah Ujang Selamat didatangi
tetamu. Lima orang semuanya. Ujang Selamat memperkenalkan saya dan Datuk pada
tetamu tersebut. Kami bersalaman, berkenal mesra dan sama-sama menjamu selera.
Selesai
mengisi perut. Kelima-lima tetamu itu meninggalkan rumah Ujang Selamat. Saya
bingkas, duduk kat bendul.
“Memang hajat
tu nak ke rumah awak, bila awak dah datang elok benarlah,” kata Ujang Selamat
pada Datuk sambil mengipaskan badannya dengan kertas surat khabar.
“Apa halnya?”
“Awak pawang
besar tentu tau atau dapat tanda-tanda,”
“Saya
bukannya pawang, saya cuma berusaha untuk menolong.”
“Begini.”
Ujang Selamat memperkemaskan silanya. Perut gendutnya yang berlapis itu
bagaikan bergerak-gerak. Angin dari tengah sawah terasa menyapu wajah.
Datuk
termenung panjang, saya lihat daun telinganya bergerak tiga kali ke depan,
macam telinga arnab. Mata dan muka Ujang Selamat ditenungnya.
“Ada saudara
mara awak yang sakit?” tanya Datuk.
“Semalam, ada
orang dari Parit mencari, kalau ada orang yang boleh mengubat anak dara
berperut buncit.”
“Tidak, dia
sakit,” biji mata Ujang Selamat terbeliak memandang wajah Datuk. Saya sandarkan
badan ke dinding. Matahari petang kian condong.
“Kaum awak
Ujang?” soal Datuk.
“Ada kena
mengena dengan bini saya.”
“Jadi apa
ikhtiar kau?”
Minta jasa
tok pawanglah untuk mencari orang mengubatnya atau tok pawang sendiri
berusaha.”
Datuk
terdiam, saya tahu Datuk tidak berapa senang kalau dia dipanggil pawang atau
bomoh. Itu bukanlah cita-citanya, tetapi kalau dia dipanggil pemburu atau tok
buru, dia memang tak menolak. Dia megah kalau ada orang yang memanggilnya
demikian. Datuk termenung panjang. Saya memanglah tidak begitu gembira kalau
Datuk memenuhi permintaan Ujang Selamat itu, tetapi sesiapa pun tidak dapat
menahan sikap terpuji Datuk yang suka menolong orang itu.
Di luar,
matahari mula condong, tanah sawah yang sudah ditumbuhi rumput-rumput padi
sudah tidak berapa jelas kelihatan, burung pipit terbang rendah menuju ke pohon
yang memagari batas sawah.
“Bagaimana?”
soal Ujang Selamat sebaik saja kami sampai di kaki tangga. Datuk terdiam. Ujang
Selamat masih lagi berdiri di tepinya. Memang, Ujang Selamat minta kata pasti
dari Datuk.
“Kena tengok
macam mana jenis penyakitnya.”
“Bila
agaknya, kita boleh pergi.”
“Ujang,
usahlah kau susah, pagi esok kita pergi dengan bas.”
“Baiklah,”
suara Ujang Selamat dibungai kegembiraan.
Malam itu
Datuk menceritakan pada nenek tentang hasratnya untuk menolong orang sakit.
Nenek membantah dengan alasan, sejak akhir-akhir ini, setiap kali Datuk pulang
dari mengubati orang sakit, dia pula akan diserang sakit, hingga terpaksa
menjemput isteri mudanya. Dan hal begini tidak berapa digemari oleh nenek,
sebagai seorang wanita walau sebaik mana hatinya, rasa cemburu itu tetap wujud
dalam dirinya. Akhirnya, nenek mengalah juga bila Datuk menerangkan bahawa di
dalam hidupnya dua perkara saja yang boleh menggembirakan hatinya.
Pertama
memburu binatang dan kedua menolong orang sakit dengan tidak membelakangi kasih
sayang dan tugasnya sebagai seorang suami terhadap isteri. Seperti biasa
sebelum Datuk pergi ke suatu tempat untuk mengubat orang dia akan melakukan
sembahyang hajat. Mohon restu dari Allah yang maha besar. Dan malam itu Datuk
pun melakukan sembahyang hajat.
Dan pagi
esoknya, saya, Datuk dan Ujang Selamat bertolak dengan bas menuju ke Parit.
Dari pekan kecil itu kami menaiki perahu menyeberangi Sungai Perak menuju ke
sebuah kampung. Belanja Kiri namanya. Dari pangkalan perahu kami berjalan arah
ke utara menuju ke sebuah rumah yang dikelilingi dengan pokok buah-buahan
seperti durian, langsat, manggis dan rambutan.
Ujang
memperkenalkan Datuk dengan Haji Azhar tuan rumah. Dan Ujang Selamat menyatakan
tujuan dan maksud Datuk datang ke rumahnya. Haji Azhar yang berkulit putih
berambut jarang itu tersenyum. Dia mempersilakan kami naik ke rumahnya. Kami
naik ke rumahnya. Kami duduk di bahagian anjung rumah. Haji Azhar terus
menyatakan rasa putus asanya untuk mengubati sakit yong dideritai oleh anaknya.
Sudah berbelas ekar tanah bendangnya dijual. Sudah berpuluh dukun Siam, China,
Gurkha dan orang Asli ditemui mengubati sakit anaknya, semuanya menemui
kegagalan.
Dia hanya
menyerahkan pada keadaan saja. Dan menerima siapa saja yang datang ke rumahnya
untuk mengubati sakit anaknya itu. Untuk mencari dukun atau pawang dia tidak
mahu. Dia benar-benar kecewa.
Datuk meminta
izin pada Haji Azhar untuk melihat si sakit. Dengan rasa rendah hati Haji Azhar
membawa saya dan Datuk masuk ke dalam bilik anaknya. Datuk merenung muka anak
dara Haji Azhar sambil mulutnya membaca sesuatu.
Anak dara
Haji Azhar gelisah di tempat perbaringan. Matanya bersinar-sinar merenung ke
wajah Datuk. Perut anak dara Haji Azhar kelihatan membusut mengandung sembilan
bulan. Nafasnya kelihatan tersangkut-sangkut, rambut panjangnya menutup bantal
di bawah kepalanya.
Datuk minta
kebenaran pada Haji Azhar dan isterinya untuk menjamah tubuh anaknya. Mereka
mengizinkan. Datuk pun meraba pergelangan tangan anak dara Haji Azhar lalu
berkata :
“Dah berapa
lama kena sakit ni?”
“Dah dekat
setahun , tapi baru dua bulan ni yang teruknya.”
“Berjalan ke
bilik air pun kena pimpin,” celah isteri Haji Azhar. Datuk anggukkan kepala.
Saya, Datuk
dan Haji Azhar kembali ke ruang tengah rumah. Kami dapati Ujang Selamat tidak
ada . Dada saya berdebar. Dengan tidak diminta Haji Azhar terus menceritakan
pada Datuk selain daripada berubat cara kampung dia juga sudah membawa anaknya
ke rumah sakit Ipoh. Hampir sebulan anaknya ditempatkan di rumah sakit
tersebut.
Setelah
diperiksa didapati anaknya itu tidak mengalami sebarang sakit ataupun
mengandung. Pihak rumah sakit berpendapat sebab perut anaknya buncit kerana
mengandungi air. Dan mereka pun berusaha mengeluarkan air dari perut anaknya
itu, tetapi usaha itu gagal. Perut anaknya tidak juga mahu surut. Akhirnya anak
kesayangan Haji Azhar dibawa pulang.
Dua bulan
sesudah itu lagi sekali Haji Azhar membawa anaknya ke rumah sakit besar - Ipoh.
Perut anaknya di X-ray. Pihak doktor di rumah sakit itu tetap berpendapat
anaknya tidak menghidap sebarang jenis penyakit, malah salah seorang doktor
Melayu bertugas di situ, Dr. Megat Khas telah menasihatkan Haji Azhar supaya
berubat cara kampung. (Dan Megat Khas sudah meninggal dunia dalam tahun tujuh
puluhan).
Semua yang
diceritakan oleh Haji Azhar itu, didengar oleh Datuk dengan cukup teliti. Dan
setip kali Haji Azhar berhenti bercakap sepasang matanya tetap tertumpu ke
wajah Datuk, seolah-olah dia mengharapkan sangat-sangat Datuk dapat
menyembuhkan penyakit dideritai oleh anaknya itu.
“Siapa nama
anak tuan Haji itu?”
“Latifah.”
“Dulu pernah
dipinang orang atau ada menaruh hati pada sesiapa?”
“Menaruh hati
tu, saya tak tahulah, tapi orang meminangnya memang ada.”
“Jadi
bertunang.”
“Tidak, saya
tolak.”
“Sebab.”
“Belum
masanya.”
Datuk
anggukkan kepala dua tiga kali. Sesekali Datuk merenung keluar ikut tingkap
rumah yang terdedah. Kemudian Datuk memberi janji pada Haji Azhar untuk
berikhtiar mengubati anaknya, dengan syarat Haji Azhar harus menyediakan buah
pinang merkah di pokok, daun delima dan tulang kucing hitam. Dengan pertolongan
Ujang Selamat semua benda-benda itu dapat diadakan.
Lebih kurang
pukul sepuluh malam Datuk pun mula menjalankan tugasnya dengan penuh teliti.
Sedang Datuk membaca mantera, tiba-tiba seketul batu melayang masuk ke dalam
rumah. Jatuh di hujung kepala anak dara Haji Azhar. Dengan sekelip mata saja
batu kecil itu, mengeluarkan asap yang berkepul-kepul penuh satu ruang rumah.
Semua orang dalam rumah itu habis terbatuk.
Datuk bangun,
lalu membuka kain lilit kepalanya. Dua tiga kali dia mengibaskan kain lilit
kepalanya ke kanan dan ke kiri. Asap itu berhenti dan batu pun ghaib. Tempat
batu itu jatuh nampak berlubang dan hangus. Datuk berhenti dari meneruskan
kerjanya.
“Nampaknya
sakit anak tuan haji ni, dibuat dengan cara sihir, ada orang dendam dengan
keluarga tuan haji. Ini semua kerja syaitan,” rungut Datuk sambil merenung muka
Haji Azhar.
“Orang yang
membalas dendam ni, bukan kepalang orang, saya minta diri untuk mengubatnya,”
sambung Datuk. Muka Haji Azhar berubah. Saya perhatikan kedua belah kelopak
matanya digenangi air jernih. Anaknya yang terlentang kelihatan resah dan
badannya berpeluh.
Datuk menarik
tangan Haji Azhar ke sudut rumahnya. Datuk merapatkan mulutnya ke telinga Haji
Azhar.
“Tangguh
dulu, kita ikhtiar cara lain malam, esok,” kata Datuk.
“Saya
mengikut saja, asalkan sakit anak saya baik.”
“Saya tahu,
sakit anak tuan haji ni, bukan sebarang sakit, ada campur kerja syaitan.”
“Habis apa
yang mesti saya buat?”
“Bersabar dan
berikhtiar, dalam alam ini, yang maha berkuasa adalah Allah dan tidak ada
penyakit yang tidak boleh diubat, kalau diizinkan Allah.”
Mendengar
cakap Datuk itu, Haji Azhar tersenyum. Masih ada harapan untuknya berusaha.
Ujang Selamat juga memberi harapan yang begitu juga pada Haji Azhar. Sepanjang
malam itu, saya dan Datuk tidak dapat tidur dengan cukup lena, kerana
bermacam-macam bunyi yang kami dengar di luar rumah Haji Azhar, bila hal itu
diceritakan pada Haji Azhar pagi esoknya, dia mengakui bahawa sejak anaknya
jatuh sakit. Bunyi begitu memang selalu didengarnya.
Datuk membuat
keputusan untuk pergi ke rumah kawannya di Sungai Rokam - Ipoh. Menurut Datuk
kawannya itu berasal dari Bawean dan boleh mengubati sakit yang dialami oleh
anak Haji Azhar itu. Dengan daya usaha Ujang Selamat, Datuk pun bertolak ke
Ipoh dengan sebuah kereta kepunyaan anak buah Ujang Selamat. Datuk meninggalkan
Kampung Belanja Kiri di tepi tebing Sungai Perak itu, kira-kira pukul lapan
setengah pagi. Dan pukul lima petang dia pun pulang dengan seorang wakil yang
berbadan kurus.
“Ini kawan
saya, namanya Wansi, dah dua kali ke Mekah,” Datuk memperkenalkan kawannya pada
Haji Azhar dan orang-orang yang menyambut kepulangannya di halaman rumah. Datuk
terus bercerita tentang kawannya itu pada orang ramai. Kata Datuk, kawannya itu
dulu bekerja dengan Kelab Lumba Kuda Perak, memang handal berjudi, minum arak
dan kaki perempuan, bila dia jatuh sakit teruk, tiga bulan terlantar di rumah
membuat dia insaf, bila dia baik dari sakit terus menjadi baik dan meninggalkan
kerja-kerja yang ditegah oleh Allah.
Sebelum
mengubati anak dara Haji Azhar, Wansi meminta hanya saya, Datuk dan dirinya
saja yang boleh berada di tempat dia akan lakukan kerjanya. Semua permintaannya
itu dipenuhi. Dia juga meminta pada Haji Azhar semua kerja yang dilakukannya
jangan diberitahu pada orang ramai.
Satu syarat
yang agak ganjil yang dikenakan oleh Wansi, dia minta Haji Azhar membuat sebuah
pondok kecil di depan rumah Haji Azhar dan pondok itu tidak berpintu. Orang
yang boleh mendiami pondok itu ialah saya, Datuk dan dirinya sendiri. Hari yang
dipilih oleh Wansi untuk mengubat ialah hari Rabu, mulai pukul satu tengahan.
Sebelum itu,
kami tidak dibenarkan menemui sesiapa, selama lima jam, kami tidak boleh
memijak tanah, tidak buang air kecil dan besar. Satu kerja yang cukup seksa
saya rasakan, kerana Datuk mahu saya mengenali berbagai ragam kehidupan yang
ganjil atas dunia ini, saya terpaksa mematuhinya.
Tengahan
Rabu, matahari sudah agak tergelincir dari ubun-ubun kepala. Saya dan Datuk
serta Wansi menghadap dupa yang mengeluarkan asap kemenyan kerana semua tingkap
di pondok itu ditutup, badan terasa panas.
“Sedia,” kata
Wansi yang sebaya dengan usia Datuk. Dia pun mula bercakap dalam bahasa Bawean,
terlalu cepat cakapnya. Dia berhenti lalu merenung pada Datuk. Dia angguk
kepala. Datuk juga angguk kepala. Datuk menghampirinya.
“Ada apa
Wansi?” tanya Datuk.
“Kita baca
ayat Quran dulu,” jawab Wansi sambil menerangkan pada Datuk ayat mana yang
mesti dibaca. Sedang mereka asyik membaca ayat-ayat suci itu, pondok kami
bagaikan di gegar orang, serentak dengan itu api menyala dengan tiba-tiba di
tengah pondok. Bila api itu dipadamkan, menyala pula di bahagian lain. Saya
jadi kelam-kabut di buatnya.
Dengan tenang
Wansi mencampakkan seketul besi ke tempat api yang menyala itu. Tiba-tiba api
itu padam dengan sendiri. Dan api ajaib itu tidak lagi datang menyerang pondok.
Saya diberitahu oleh Datuk, besi yang berjaya memusnahkan api ajaib itu di
depan dupa.
Muka Wansi
kelihatan berkerut. Seekor kelawar hitam terbang rendah di depan dupa lalu
jatuh di situ. Wansi mengambil kelawar hitam itu dimasukkan ke dalam uncang
yang dibuat dari kain hitam.
Wansi bangun.
Dia merenung Datuk dan saya. Wansi melangkah keluar pondok, ikut tingkap. Saya
dan Datuk juga berbuat demikian, sebaik saja kami bertiga memijak bumi, dua
tiga titik darah jatuh atas pipi kami, dari mana datangnya saya pun tidak tahu.
Wansi naik ke rumah Haji Azhar terus masuk ke dalam bilik tempat anak dara Haji
Azhar terkapar.
Saya
terkejut, bila Wansi merentap kain yang menutup perut anak dara Haji Azhar.
Perut anak dara itu kelihatan berkilat dengan urat-urat yang timbul sekali
imbas macam buah tembikai. Wansi menekan perut anak dara itu dengan kedua belah
tangannya. Jeritan anak dara itu menguasai seluruh Kampung Belanja Kiri. Saya
dengan Datuk hanya melihat saja. Jeritan anak dara yang kuat itu, makin lama,
makin beransur kurang dan akhirnya berhenti terus. Dari hidung anak dara itu
keluar darah.
Wansi terus
menekan perut anak dara itu, saya lihat tangan Wansi yang keras itu masuk ke
dalam perut anak dara itu bagaikan terkoyak. Pergelangan tangan Wansi penuh
dengan darah. Tiba-tiba Wansi berpaling pada Datuk dan berkata:
“Sudah
dapat.”
“Apa dia?”
Wansi tidak
menjawab pertanyaan Datuk itu. Dia terus menarik tangannya dari perut anak
dara. Saya lihat di tangan Wansi terlekat kain batik Jawa yang berlipat cantik.
Dengan segera perut anak dara yang buncit itu terus kempis dan rata. Wansi
melihat lelehan darah di perut anak dara itu. Dia membaca sesuatu, kemudian
perut anak dara itu digosoknya dengan tapak tangan kanan tiga kali
berturut-turut. Dalam sekelip mata saja perut itu bercantum kembali tidak
terdapat sebarang kesan luka atau darah di situ
Anak dara
Haji Azhar sedar dari pengsan. Dia membuka matanya dan memandang ke arah Datuk.
Anak dara Haji Azhar bangun dan terus duduk.
“Kenal, kain
siapa ni?” tanya Datuk pada anak dara Haji Azhar.
“Saya punya,
tapi sudah lama hilang dalam simpanan saya.”
“Di mana
hilangnya?” Wansi pula menyoal.”
“Kain batik
tu, saya jemur di ampai, tiba-tiba hilang, itu saja yang saya ingat,” terang
anak dara Haji Azhar dengan jujur.
Datuk pun
memanggil Haji Azhar dan isterinya. Mereka mengakuinya, bahawa kain batik tu
dibeli oleh Haji Azhar ketika dia pergi menziarahi keluarganya di
Bandung-Indonesia, bila pulang ke rumah kain itu dihadiahkan pada Latifah
anaknya. Dan pada suatu hari Latifah mendapati kain batik itu hilang di ampaian
sesudah basuh.
Pada petang
Rabu itu juga, Latifah anak dara Haji Azhar dimandikan dengan tujuh jenis bunga
di tepi tebing Sungai Perak oleh Wansi, Menjelang waktu Maghrib Latifah di
letakkan di atas pelantar yang dibina berhampiran dengan ampai tempat kain
batiknya hilang. Semua kerja dilakukan oleh Wansi.
Pada sebelah
malamnya, ketika Wansi dan Datuk bercakap di anjung rumah, seketul tulang
lengan manusia dilemparkan oleh satu lembaga hitam dari halaman rumah. Bila
tulang lengan itu dijamah oleh Datuk, tulang itu terus menjadi arang.
“Sekarang,
kita mesti menangkap orang yang menyihirkan kain batik ke dalam perut anak dara
Haji Azhar,” ujar Datuk pada Wansi.
“Ya, tapi aku
tak mahu orang itu dibalas memadai saja dia disuruh bertaubat,” sebaik saja
Wansi habis bercakap, wajah seorang lelaki muncul di depan Wansi dari dalam
kegelapan malam itu, bila Datuk mengamati wajah pemuda itu ternyata dia adalah
pawang orang asli yang terkenal dari batu enam belas jalan Tapah ke Cameron Highland,
Pahang.
Wajah lelaki yang bengis itu kelihatan mengeluarkan asap dan melangkah
mahu menerkam ke arah Datuk dan Wansi.