Bersuamikan Hantu Raya
Tanpa
bertangguh-tangguh lagi Datuk pun menceritakan, apa yang kami alami dalam hutan
Ulu Kinta pada orang-orang kampung Ulu Kinta yang menanti kami di depan Balai
Polis Tanjung Rambutan. Saya tidak melibatkan diri ketika Datuk bercerita. Saya
lebih senang duduk di pangkal pokok kelapa di rusuk kanan balai tersebut. Balai
itu kini sudah dirobohkan, digantikan dengan bangunan yang baru.
“Pelik juga
ceritanya, betul ke ni?” Saya terdengar salah seorang daripada orang kampung
itu bersuara. Sepasang mata Datuk merenung tepat ke arah batang hidung orang
itu.
“Terpulanglah
pada awak, sama ada awak mahu percaya atau tidak, saya dan cucu sudah merasa
dan mengalaminya.”
“Apa yang
orang tu berikan pada awak.”
“Beri apa?
Awak gila ke.” Suara Datuk mula meninggi dan orang itu terus diam.
Seorang
anggota polis menghampiri kumpulan orang yang mengerumi Datuk lalu
bertanyakannya: “Apa halnya ni.”
“Orang hilang
ni dah jumpa di sini,” seorang lelaki berbadan tegap memberitahu anggota polis
yang sudah berusia hampir lima puluh tahun itu. Tanpa diminta Datuk pun
menceritakan apa yang dialaminya pada anggota polis itu.
Kemudian
anggota polis itu mengakui apa yang dialami oleh Datuk itu pernah dialami oleh
beberapa orang penduduk di sekitar Tanjung Rambutan yang pergi memburu ke
kawasan itu.
“Tapi, saya
belum pernah bertemu dengannya,” suara anggota polis itu merendah. Menurutnya,
dalam waktu-waktu tertentu lelaki berserban hijau itu pernah muncul di Market
Tanjung Rambutan. Anehnya, dia hanya bersalam saja dengan siapa yang
disukainya, bila orang yang disalami mahu bertanya sesuatu padanya dia akan
hilang dengan sekelip mata sahaja.
“Bagi saya perkara
ni, sudah jadi perkara biasa,” anggota polis itu menamatkan ceritanya dengan
Datuk. Datuk tidak puas hati dengan apa yang dicakapkan oleh anggota polis itu.
“Biasa macam
mana?’ Datuk mendesak Anggota polis yang mahu melangkah masuk ke dalam balai berpatah
balik.
Dia berdiri
betul-betul di depan Datuk. Matanya cukup tajam menyorot wajah Datuk kemudian
dia senyum sinis.
“Awak orang
luar, mana awak tahu.” Termenung sejenak Datuk mendengar cakap anggota polis
itu.
“Memang, saya
bukan orang di sini, tentulah banyak perkara yang tidak saya tahu.”Datuk
merendah diri.
“Saya orang
Tambun, saya tahu serba sedikit tentang orang yang awak kata itu.”
“Itulah yang
mahu saya dengar.”
“Begini,
orang itu namanya Haji Lokman. Masa zaman Jepun dulu, dia membunuh tiga orang
askar Jepun di Pekan Tambun.”
“Sebabnya?”
“Dia tak
tahan melihat penyeksaan yang dilakukan oleh askar-askar Jepun pada orang
kampung.”
“Jepun tak
tangkap dia?” soal Datuk lagi.
Anggota polis
yang berbadan tegap itu memicit pangkal dagunya sambil mengerutkan kening
lebatnya.
“Jepun cuba
menangkapnya tapi tidak berjaya. Akhirnya dia ditangkap ketika menunaikan
sembahyang Zuhur. Dia dikurung, pada sebelum malamnya dia berjaya melepaskan
diri, sejak itu dia tidak pulang ke rumahnya.”
“Agaknya dia
dibunuh Jepun, cerita dia melepaskan diri waktu malam tu sengaja diada-adakan,”
celah Datuk.
“Itulah yang
anehnya, nak dikatakan mati, orang selalu berjumpa dengannya. Kalau dia hidup
apa faedahnya menyeksa diri dalam hutan meninggalkan anak bini.”
“Betul juga
cakap awak tu.”
“Tapi awak
jumpa dia bukan?” soal anggota polis itu. Datuk angguk kepala.
“Lupakan saja
perkara itu,” tambah anggota polis itu sambil meninggalkan Datuk, Orang-orang
dari Ulu Kuang yang berhimpun di situ berpandangan sama sendiri.
“Sudah,
anggaplah ini pengalaman yang berharga untuk awak, sama ada orang mahu percaya
atau tidak itu bukan soalnya, tapi awak sudah melihat dan bercakap dengannya,”
salah seorang penduduk Kampung Ulu Kuang membisikkan ke telinga Datuk.
“Betul cakap awak
tu,” balas Datuk.
Datuk dan
orang-orang dari Kampung Ulu Kuang meninggalkan Balai Polis Tanjung Rambutan
menaiki bas menuju ke Chemor . Dari Chemor naik basikal menuju ke Kampung Ulu
Kuang.
Dua hari
kemudian, saya dan Datuk pun meninggalkan Kampung Ulu Kuang.
Pengalaman-pengalaman aneh yang saya alami itu merupakan khazanah pengalaman
yang tinggi nilainya. Saya kira boleh dijadikan panduan untuk hidup.
Sekali gus
mengajar saya erti kebesaran serta kekuasaan Allah. Sesungguhnya Allah maha
besar dan maha berkuasa boleh melakukan apa saja yang diingininya dan tidak
terjangkau oleh akal fikiran manusia yang selalu mendakwa sudah cukup maju
dengan ilmu pengetahuan.
“Tahukah kau,
di dunia ini, tidak saja dipenuhi dengan manusia, tetapi dipenuhi juga dengan
jin yang tak dapat dilihat dengan mata kasar, di sinilah pentingnya agama untuk
manusia,” kata Datuk pada saya ketika bas yang kami naiki melintasi Pekan
Menglembu.
“Aku harap,”
tambah Datuk lagi, “kau akan jadi orang Islam yang baik. Manusia yang tidak
beragama selalu sesat.”
“Saya pun
berharap hidup saya akan menjadi manusia yang dikasihi oleh Allah.”
“Bagus tu,
kau mesti patuh apa yang diperintahnya, jauhi dari perkara yang ditegahnya.
Tunaikan apa yang ditetapkan oleh rukun kerana Islam itu tiang agama.”
“Saya faham
tok.”
“Jika tidak
patuh pada yang lima tu, Islam kau tidak akan sempurna.”
“Saya tahu
tok,” tekanan suara saya merendah. Angin yang masuk ikut tingkap bas menolak
rambut saya dengan mesranya.
Sampai saja
di kampung halaman Datuk kami disambut oleh nenek dengan senang hati. Datuk
tidak menceritakan apa yang dialaminya pada nenek.
Sayalah yang
jadi tukang lapur kejadian pada nenek dan nenek tidak memberikan sebarang
pendapat tentang peristiwa itu. Dia lebih banyak tersenyum dan angguk kepala.
Saya tidak tahu apakah nenek suka atau percaya dengan apa yang saya katakan.
“Saya nak
pergi,” tiba-tiba Datuk muncul di ambang pintu tengah. Perbualan saya terhenti.
Saya lihat Datuk sudah berpakaian cukup kemas dengan baju melayu teluk belanga hitam
serta seluar hitam. Songkok juga hitam.
“Ke mana ?”
tanya nenek.
“Ke rumah
bini muda,” balas Datuk selamba. Nenek mengizinkan Datuk pergi.
Dua hari
sesudah Datuk pergi ke rumah bini mudanya di kampung orang bunian. Saya
dipanggil oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak ke Batu Gajah untuk menjalani
temu duga bagi memenuhi jawatan buruh hutan yang kosong dalam jabatan tersebut.
Saya terpilih
dan ditempatkan di Slim River. Tidak lama saya bertugas di situ. Cuma satu
minggu sahaja. Saya berhenti kerana kerja itu saya kira tidak sesuai dengan
jiwa saya.
“Aku tahu,
kau tak sesuai, perangai kau tak suka diperintah orang. Kau ni layak kerja
sendiri jadi petani atau peniaga,” kata Datuk menyambut kepulangan saya di
anjung rumah.
Sesungguhnya
jiwa saya rasa tenteram menjaga kebun Datuk dan menjual buah-buahan hasil dusun
Datuk di Cangkat Berangan. Saya rasa hidup begini agak bebas. Sekali sekala
ikut Datuk menembak rusa atau kijang di mana-mana yang disukainya.
Pagi itu,
seperti biasa saya pergi ke dusun memetik buah langsat dan rambutan untuk
dijual pada peraih yang datang pada sebelah petang. Sedang saya asyik bekerja,
Datuk menemui saya.
“Banyak yang
kau dapat langsat?”
“Kira dua
pikul ada tuk.”
“Tinggalkan
pada nenek untuk menyelesaikan bila peraih Kum Meng datang petang ni.”
“Kenapa ?”
“Aku nak ajak
kau ke kampung Cangkat Cermin, ada wakil ketua kampung datang menjemput aku.”
“Apa halnya.”
“Usah tanya,
ikut cakap aku.”
Saya terdiam
dan meninggalkan bakul buah langsat di dusun. Dengan basikal saya dan Datuk ke
kampung Cangkat Cermin yang terletak di lebuh raya Ipoh - Lumut. Masa itu,
lebuh raya masih belum dibina lagi. Kami terpaksa berbasikal membelah jalan
tanah merah.
Sejak adanya
lebuh raya, orang-orang di Changkat Cermin tidak menggunakan jalan tanah merah
yang lama itu. Kami sampai ke rumah ketua kampung lebih kurang pukul dua
petang. Saya dan Datuk ditempatkan di satu bilik khas.
“Apa salahnya
Tok Sidang memanggil saya ?” soal Datuk kepada Ketua Kampung yang berjanggut
itu. Ketua Kampung mengerutkan keningnya.
“Ada hajat
besar.”
“Apa
hajatnya?”
“Anak buah
saya berlakikan hantu raya.”
“Ha…,” mulut
Datuk ternganga.
Saya mula
resah tidak menentu. Ketua Kampung terus bercerita tentang diri anak buahnya
yang malang itu. Setiap malam anak buahnya yang baru kematian suami itu di
datangi oleh hantu raya. Menurut ketua kampung itu, hantu raya tersebut tidur
dan bercumbuan mesra dengannya hingga menjelang subuh.
“Siapa nama
perempuan itu?” Datuk mula menyoal.
“Timah.”
“Bila
suaminya mati?”
“Kira-kira
enam bulan yang lalu.”
“Ada anak?”
“Tak ada,
suaminya mati dilanggar lori balak di Pekan Air Tawar.”
“Ini kerjanya
sulit sikit.” Datuk separuh mengeluh.
“Dia mengadu
pada saya minta tolong, bukan setakat itu saja, hantu raya itu kadang-kadang
mengacau orang kampung,” tambah Ketua Kampung.
Datuk
terdiam. Dia berfikir. Tiba-tiba Datuk bangun. Berdiri dan berjalan di anjung
rumah Ketua Kampung.
“Saya perlu
jumpa dengannya,” itu yang terkeluar dari mulut Datuk.
“Bila ?”
“Kalau boleh
sekarang juga.”
Ketua
Kampung, saya dan Datuk turun dari rumah. Ketua Kampung membawa kami ke rumah
Timah dengan melintasi ladang getah kepunyaan orang Inggeris. Rumah Timah
terletak di sebidang tanah yang agak terpisah dengan rumah-rumah penduduk di
situ. Di kawasan sekeliling rumahnya ditanam dengan ubi kayu dan keledek. Di
bahagian belakang rumahnya terdapat sepohon pokok cempaka. Tidak jauh daripada
pokok itu terdapat sebatang pokok Pulai.
Dari kaki
tangga, Ketua Kampung memberi salam. Tidak ada jawapan. Lagi sekali salam
diberi. Pintu rumah Timah terkuak dengan sendiri. Batang tubuh Timah tidak juga
muncul. Datuk pandang saya dan saya pandang Ketua Kampung. Dahi Ketua Kampung
kelihatan berkerut.
Sinar
matahari petang beransur teduh. Saya terdengar bunyi burung helang
bertalu-talu, beberapa ekor burung gagak terbang rendah sambil berbunyi. Saya
terasa bunyi burung gagak itu agak berbeza dengan bunyi suara gagak yang selalu
saya dengar.
Tiba-tiba
Timah muncul dari bawah rumah. Rambutnya tidak terurus. Mukanya kelihatan pucat
dan matanya nampak tidak bercahaya. Dia semacam takut saja melihat kedatangan
kami. Ketua Kampung segera memberi tahu tujuan kedatangan Datuk dan saya. Timah
tersenyum lalu mempersilakan kami naik ke rumah.
“Minta maaf
ya,” kata Datuk sambil memandang ke wajah Timah. “Rumah ini ada dua bilik, yang
satu lagi untuk siapa?”
“Untuk …,”
Timah terdiam. Dia merenung muka Ketua Kampung. Melihat keadaan itu Datuk tidak
mengemukakan pertanyaan lagi.
“Memang rumah
ini ada dua bilik, saya ingat kerana saya yang mendirikan rumah ini bersama
arwah suaminya dulu,” kata Ketua Kampung memberi penjelasan.
Datuk angguk
kepala. Saya agak terkejut bila Datuk bersikap kurang ajar sedikit. Dia bangun
lalu melihat kedua-dua bilik yang terdapat di dalam rumah itu. Saya tahu Ketua
Kampung dan Timah tidak senang dengan sikap Datuk itu.
“Itu bilik
saya ! jangan masuk,” jerit Timah bila Datuk menghampiri bilik di bahagian kiri
rumah. Datuk angguk kepala sambil meraba-raba misai tebalnya. Datuk pergi ke
bilik yang satu lagi.
Saya terkejut
bila Datuk tunduk sambil kedua-dua belah tangannya memegang perut. Saya segera
menerpa untuk membangunkan Datuk. Secara mendadak saya rasa pangkal lehar saya
dipukul oleh sesuatu. Pandangan saya berpinar.
“Jangan
datang,” pekik Datuk bila dia melihat Ketua Kampung mahu menerpa ke arahnya.
Ketua Kampung pun tak jadi datang. Saya dan Datuk segera meninggalkan bilik
tersebut.
“Merbahaya,
kita mesti balik sekarang,” kata Datuk. Ketua Kampung tergamam, begitu juga
dengan Timah. Dalam keadaan kelam kabut itu, Datuk mengemukakan soalan pada
Timah,
“Bilik siapa
itu?”
“Bilik suami
saya,” Jawab Timah
“Dia dah
mati. Untuk apa bilik tu buatnya.”
“Saayyyya…,”
suara Timah terputus.
Datuk
tersenyum. Dia sudah tahu apa yang dirahsiakan oleh Timah. Kami bertiga
meninggalkan rumah Timah pulang ke rumah Ketua Kampung. Sebaik saja sampai ke
kaki tangga, Datuk meminta jasa baik Ketua Kampung untuk meminjam senapang
kampung dan pada sesiapa yang memiliki senapang.
“Buat apa?”
Ketua Kampung menyoal penuh ragu,.
“Nak menembak
gagak untuk menolong Timah.”
“Begitu,”
suara Ketua Kampung menurun.
Dia segera
mencari senapang kampung. Setengah jam kemudian Ketua Kampung kembali dengan
senapang di bahu dan menyerahkan pada Datuk.
Datuk
membidik-bidik senapang itu. Dia melurut laras senapang dengan tapak tangan
kanan. Dengan tenang Datuk memasukkan peluru ke dalam laras senapang, kemudian
dia meludah tapak tangan kanan dua tiga kali. Buntut senapang digosok dengan
tapak tangan yang ada air liur itu.
Datuk
menghalakan senapang ke arah sepasang burung gagak yang terbang rendah mencari
ulat daun pisang di kawasan rumah Ketua Kampung. Datuk segera mengambilnya
segera. Bangkai gagak itu digantungnya pada dahan pokok mempelam dekat rumah
Ketua Kampung.
Datuk naik ke
rumah. Waktu hari mula remang-remang senja Datuk menuju ke pangkal pokok
mempelam. Dia menepuk bangkai gagak tiga kali sambil menabur garam halus di
bangkai gagak tersebut . Gerak-geri Datuk itu saya perhati dengan teliti dari
tingkap rumah Ketua Kampung.
“Suami Si
Timah itu mengamalkan, ilmu salah, membela hantu raya semasa hidupnya.
Begitulah Datuk menyatakan pada Ketua Kampung sebaik saja dia masuk ke dalam
rumah. Dengan jujur Ketua Kampung menyatakan dia memang tak tahu walaupun suami
Timah kawan rapatnya.
Ketua Kampung
juga mengakui terdapat beberapa perkara aneh pada diri arwah suami Timah,
antaranya dia selalu ditemui oleh orang kampung bekerja di ladang pada waktu
malam seorang diri, bertukang rumah waktu malam, mencari kayu waktu malam seorang
diri. Ketika orang-orang melihat kejadian aneh itu , suami timah sebenarnya
tidak ke mana-mana, berbual kosong dengan Ketua Kampung di rumahnya.
Bila Ketua
Kampung bertanyakan hal itu suami Timah. Dia menafikan yang dia membuat
kerja-kerja itu. Malah menuduh orang-orang kampung mengadakan cerita yang
bukan-bukan kerana dengki dengan kesenangannya. Dan dengan penjelasannya itu
Ketua Kampung tidak menyoalnya lagi.
Setelah
menunaikan sembahyang maghrib Datuk mengajak saya pergi ke suatu kawasan hutan
tebal. Dia mengandar bangkai gagak dengan tenang. Saya lihat mulut Datuk
terkumat-kamit membaca sesuatu. Datuk menyuruh saya bersembunyi di sebalik
pokok besar. Datuk meletakkan bangkai gagak yang sudah dipanggang itu di
kawasan lapang. Datuk menghidupkan api. Dia duduk di depan unggun api itu
sambil berpeluk tubuh.
Dengan
pertolongan cahaya api itu , saya lihat satu lembaga hitam besar berdiri di
depan Datuk. Serentak saya terdengar bermacam-macam bunyi. Ada bunyi suara
orang menangis dan menggilai. Ada suara gendang dipalu.
“Aku tidak
bertujuan jahat, aku minta kau ambil anak kau semula, kau dari jin dan kami
dari manusia. Tidak serupa cara hidupnya,” suara Datuk meninggi. Lembaga hitam
itu bertambah besar. Dua tiga pokok besar yang dirempuhnya habis tumbang.
Seluruh
kawasan itu saya rasa seperti dilanda ribut taufan yang amat kuat. Saya
terdengar bunyi burung gagak berbunyi dan dalam saat itu juga burung gagak
Datuk terbang menuju ke lembaga itu. suasana menjadi tenang. Lembaga hitam
hilang dari pandangan saya. Datuk segera bangun dan mendapatkan saya.
“Kita ke
rumah Timah,” perintah Datuk. Saya pun ikut perintahnya. Bukan lah suatu
perkara yang mudah berjalan dalam gelap. Dua tiga kali saya terjatuh tapi
bangun semula. Akhirnya kami sampai rumah Timah. Lama juga kami di situ, tidak
ada sesuatu pun yang dapat kami lihat. Semuanya macam biasa.
Datuk
mengajak saya pulang ke rumah Ketua Kampung. Datuk menunaikan sembahyang Isyak.
Sesudah makan, Datuk mengajak Ketua Kampung ke rumah Timah kembali. Kali ini Datuk
menyuruh saya dan Ketua Kampung berpecah, mencari tempat perlindungan
masing-masing. Datuk memakai baju hitam dan seluar hitam. Dia membawa tiga
batang serai, tiga puntung kayu yang sudah menjadi arang serta sebatang paku.
Datuk tidak memakai seluar hitam, dia memakai seluar kuning dan mengikat
kepalanya dengan kain putih. Badan mula merasai kedinginan. Embun jantan mula
menitik. Angin malam yang bergerak melanggar dedaun di halaman rumah. Dedaun
yang berlaga sama sendiri itu melahirkan bunyi tidak menentu. Bunyi katak
bersahut-sahutan sesekali terdengar bunyi suara anjing bertingkah dengan bunyi
suara burung hantu dan jampuk.
Saya lihat
pintu rumah Timah berkuak dengan sendirinya. Sinar lampu minyak tanah menerangi
sebahagian dari halaman rumah itu. saya lihat ada bayang-bayang hitam berdiri
di muka pintu. Serentak dengan itu terdengar bunyi suara orang lelaki batuk
bertalu-talu. Saya berlari mendapatkan Datuk. Saya duduk di sisinya, tiba Datuk
menyepak pangkal paha saya, saya terduduk.
“Jangan
dekati aku,” katanya.
Saya pun
segera menjauhkan diri darinya. Datuk membakar kemenyan dan membakar sesuatu.
Dari rumah Timah terdengar suara lelaki. Anjing kian kuat melolong. Saya
terdengar kicau burung murai di tengah malam. Bulu roma saya berdiri. Ketua Kampung
datang ke tempat saya dan Datuk.
Perhatian
kami tertumpu pada pintu rumah Timah yang terdedah. Saya lihat seorang lelaki
sedang duduk di muka pintu sambil menghisap rokok. Mukanya tidak berapa jelas
kelihatan. Angin malam terus bertiup.
“Kau kenal siapa
tu?” tanya Datuk pada Ketua Kampung. Ketua Kampung terdiam. Dia terus menumpu
perhatian pada rumah Timah.
“Latif, laki
Timah,” katanya pendek. Datuk angguk kepala. Datuk meletakkan tiga batang serai
di depannya. Tangannya menggenggam paku.
“Itu bukan
Latif, Itu hantu raya,” kata Datuk. Sebaik saja Datuk selesai bercakap, seketul
batu melayang ke arah Ketua Kampung. Kerana Ketua Kampung juga pandai bersilat,
dia mengelak. Batu terkena pangkal pokok. Datuk mencabut keris lalu menikam
bumi. Ketika Datuk mencabut keris pintu rumah Timah terkatup dengan sendirinya.
Kami bertiga masuk ke bawah rumah Timah. Apa yang kami dengar Timah bercakap
sesuatu. Kami juga terdengar suara Timah merayu dan suara lelaki sedang di
lamun berahi yang kuat. Suara Timah bertambah manja dan mengerang kepuasan.
“Hantu tu
sedang berkasih dengan Timah,” Datuk memberitahu Ketua Kampung.
Datuk menikam
tiang seri rumah Timah dengan sekuat hati. Bila Datuk mencabut keris rumah
Timah bergegar. Semua barang yang ada dalam rumah bergerak dan jatuh ke atas
lantai. Timah menjerit dan terjun ke halaman rumah. Terjelepok Timah di situ.
Satu lembaga hitam yang besar terus mengangkat Timah yang tidak sedar diri itu.
Datuk
menyerbu ke arah lembaga hitam itu. Datuk melintas di depannya. Ketua Kampung
dan saya turut sama ke situ.
“Berhenti,
kau syaitan.,” jerit Datuk.
Lembaga hitam
itu melepaskan Timah ke atas bumi. Dia merenung tajam ke arah Datuk.
“Latif…,”
pekik Ketua Kampung.
Lembaga hitam
itu segera bertukar menjadi lelaki yang berbadan kurus, berkain pelekat tanpa
baju dengan rambut tak terurus. Dia membuka langkah mengatur silat.
“Tidak ada
jalan lain, kita mesti memusnahkannya malam ini juga, kalau sudah sampai subuh
kita tidak berjaya membunuhnya selama-lamanya kita tidak akan dapat melenyapkannya
dari kampung ini,” ujar Datuk.
Mendengar
cakap Datuk, lelaki kurus itu bertambah marah dan bertukar menjadi lembaga yang
hitam sehitam bulu burung gagak. Seluruh badannya berbulu. Matanya kelihatan
mengeluarkan cahaya.
Datuk
mengambil tiga batang serai sambil mengacu-acu ke arahnya. Setiap kali serai
itu di lihatnya, lembaga hitam itu akan menjerit. Seluruh kampung bergema
dengan jeritannya yang amat menakutkan itu. Lembaga itu menutup matanya dari
melihat batang serai. Datuk lalu menayangkan pula kepak burung gagak ke
arahnya. Lembaga hitam itu berguling-guling di atas tanah bagaikan menahan
kesakitan.
“Aku tahu
asal usul mu dan roh mu tidak diterima bumi, aku akan menyempurnakan diri mu
kerana engkau adalah manusia yang berasal dari tanah dan ke tanah juga lah
engkau kembali,” kata Datuk. Lembaga itu terus berguling-guling.
“Dia bini
aku,” secara mendadak lembaga itu bersuara dan bangun. Datuk tergamam. Dalam
rasa cemas itu lembaga hitam menerpa ke arah Datuk sambil kedua-dua belah
tangannya yang hitam berbulu tebal menekan batang leher Datuk.