Bertarung Dengan Bomoh Orang Asli
Dan Wansi
segera bangun. Datuk juga begitu. Dalam beberapa saat saja lelaki itu hilang
dari penglihatan Datuk dan Wansi. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan
Latifah yang cukup keras dan nyaring. Datuk dan Wansi segera masuk ke dalam
bilik Latifah. Latifah berguling-guling atas lantai, kedua belah tangannya
memegang batang leher. Matanya kelihatan merah. Haji Azhar dan isterinya tidak
dapat berbuat apa-apa selain daripada menangis. Wansi segera memegang
pergelangan kaki kiri Latifah. Ditekannya dengan sekuat hati atas lantai.
Jeritan Latifah berhenti dan tidak lagi berguling-guling atau meronta-ronta.
Wansi menyuruh Haji Azhar mengangkat anaknya ke atas tilam. Datuk rapat kepada
Wansi dan mendengar dengan teliti apa yang dicakapkan oleh Wansi padanya. Datuk
keluar dari bilik untuk beberapa minit. Masuk kembali dengan kain hitam
terselempang di bahu. Wansi menyambar kain hitam itu lalu melibas ke badan
Latifah tiga kali berturut-turut.
Datuk duduk
di hujung kepala Latifah. Dia membaca sesuatu. Tiga kali dahi Latifah
ditamparnya dengan belakang tangan. Latifah bangun dan terus duduk.
“Apa yang kau
nampak nak?” tanya Wansi.
“Orang hitam
mengajak saya keluar,” suara Latifah merendah.
“Lagi apa
yang dibuatnya pada kau,” sanggah Datuk.
“Dia lari
dengan tiba-tiba,” jawab Latifah tenang.
Wansi terdiam
seketika. Dia meminta pencil dan kertas. Bila kertas dan pencil sudah ada di
tangannya. Dia menulis sepotong ayat al-Quran. Kertas yang sudah ditulisnya itu
diserahkan pada Haji Azhar.
“Bacalah ayat
ini, ke telinga Latifah bila dia agak resah. Dan kau harus mengamalkannya,”
ujar Wansi.
“Caranya?”
tanya Haji Azhar.
“Baca seratus
kali selepas kau sembahyang yang lima waktu, bila dia sebati dengan dirimu,
banyak faedahnya. Untuk menghalau hantu syaitan.” Cukup lembut nada suara
Wansi. Serentak dengan itu dia menyerahkan sebatang besi pendek yang berbentuk
tulang. Menurut Wansi besi itu adalah besi tulang lengan mawas.
“Besi ni saya
tinggalkan pada awak untuk tiga minggu, lepas tu saya ambil balik,” tambah
Wansi. Besi tulang mawas bertukar tangan dari Wansi ke tangan Haji Azhar.
“Untuk apa?”
“Untuk
mengubat penyakit anak kau,” sahut Datuk.
“Kalau dalam
tempoh tiga minggu, anak saya tak baik macam mana?”
“Dengan
pertolongan Allah anak kau akan baik. Percayalah, dengan syarat selama tiga
minggu, jangan beri sesiapa menemui Latifah, kecuali kau dan emaknya,” Wansi
memberikan sebuah keyakinan dan harapan pada Haji Azhar.
Haji Azhar
tersenyum. Sebelum meninggalkan bilik Latifah Wansi berpesan pada Haji Azhar
supaya mengunci bilik dari dalam. Dan jangan hiraukan dengan apa yang berlaku
di luar. Haji Azhar angguk kepala.
Rumah Haji
Azhar cukup besar. Ada lapan bilik di dalamnya. Jarak bilik Latifah dengan
anjung rumah memang agak jauh juga jaraknya. Pada mulanya Haji Azhar menawarkan
dua bilik penginapan untuk kami, tetapi Datuk dan Wansi menolak dengan alasan
tidur di anjung lebih baik. Tidak panas serta mudah menjalankan kerja-kerja
untuk mengubati Latifah.
Saya resah
tidak menentu. Dua tiga kali saya memejamkan mata. Saya tidak juga mahu tidur.
Lampu gasolin sudah lama dipadamkan. Digantikan dengan lampu minyak tanah
sengaja dipendekkan oleh Datuk. Cahayanya sekadar cukup menerangi wajah Datuk
dan Wansi, tetapi lingkaran cahaya lampu itu sampai juga ke muka saya, agaknya
kerana itulah saya tidak dapat tidur.
Saya merenung
ke arah Datuk dan Wansi. Mereka sedang membalut rokok daun sambil bercakap
sesuatu. Saya mula terdengar kokok ayam bertalu-talu, saya kira sudah hampir
pukul dua malam. Dugaan saya tepat sekali. Tidak lama lepas itu, terdengar
bunyi jam loceng Haji Azhar berbunyi dua kali berturut-turut.
Angin malam
yang bertiup menambahkan rasa dingin di badan. Saya terpaksa membengkokkan
badan, seperti angka lima. Sayup-sayup saya terdengar suara burung hantu dan
suara anjing menyalak panjang. Datuk dan Wansi masih juga belum tidur.
Tiba-tiba,
Datuk dan Wansi melompat dan lampu padam. Bila Datuk menyalakan lampu minyak
tanah kembali terdapat batang pisang berkembar dua terletak atas lantai di
anjung rumah. Batang pisang itu seolah-olah baru lepas digunakan untuk
memandikan mayat. Bila Datuk mahu menjamah batang pisang tersebut, cepat-cepat
Wansi menyepak tangan Datuk.
“Jangan
dipegang,” kata Wansi.
Saya
menggeletar sendirian. Dua kali saya cuba bangun, tetapi saya terjatuh dengan
sendiri hingga kain yang saya pakai terlucut dari pinggang. Saya bogel dalam sinar
samar-samar cahaya lampu minyak tanah. Wansi yang terpandangkan saya turut
tersenyum.
“Kau pergi ke
sana,” katanya pada saya, sambil merungut kerana Datuk membawa saya. Tanpa
banyak bicara saya akur dengan perintahnya. Saya bersandar pada tiang rumah.
Saya lihat dari batang pisang itu keluar asap berkepul-kepul. Dua tiga ekor
kelawar hitam berterbangan dengan bebasnya di anjung rumah, kelawar hitam itu
akan kencing, airnya merah macam darah.
Di luar
anjung, kedengaran bunyi deru angin yang cukup kuat. Saya lihat ada bayang
putih memanjang melayang di halaman rumah. Darah saya tersirap. Benda putih itu
masuk ke dalam kawasan anjung dan hilang betul-betul di tengah-tengah batang
pisang. Suasana di luar rumah agak gamat juga dengan bunyi suara kokok ayam,
salakan anjing dan suara jampuk bersahut-sahutan. Kelawar yang hinggap di
bahagian anjung rumah terus bersuara, cukup seram, giginya yang putih berkilat
itu nampak tajam di samping memperlihatkan taringnya.
Saya jadi
tidak tentu arah. Berdiri salah, duduk pun salah. Apakah syaitan-syaitan ini
akan meragut nyawa saya. Timbul pertanyaan dalam diri. Dalam keadaan yang serba
gawat itu, saya masih dapat membaca beberapa potong ayat al-Quran yang saya
kira dapat menghalau syaitan-syaitan itu. Datuk dan Wansi kelihatan tenang
memandang batang pisang yang berasap itu.
Wansi berdiri
lalu mengangkat sebelah tangannya ke atas. Lengan tangan kanan yang diangkatnya
itu dirapatkan pada lubang telinga kanannya. Sementara tangan kirinya
diletakkan atas dada, kaki kanannya, menapak dua tapak ke depan. Manakala kaki
kirinya dibengkokkan sedikit.
Wansi
menjerit sekuat hati. Bila jeritannya berakhir. Dia bercakap dalam loghat
bahasa Bawean, selesai dia bercakap, beberapa ketul batu dan kayu berterbangan
masuk ke dalam anjung rumah. Wansi sedikit pun tidak bergerak. Bunyi suara
kucing hutan melalak di bawah rumah. Beberapa ekor tupai hitam, entah dari mana
datangnya berlompatan di lantai. Semuanya melompat ke tanah. Sebaik saja
tupai-tupai itu ghaib, seekor beruk besar muncul di depan Datuk dan Wansi.
Kali ini
Datuk mara ke depan dan menolak Wansi ke belakang. Saya agak, tentulah Datuk
tahu, bahawa kawannya itu tidak berdaya menentang cubaan syaitan-syaitan itu.
Datuk berpeluk tubuh. Dia membaca mantera hingga tubuhnya kelihatan berasap.
Batang pisang di tengah anjung bagaikan diangkat orang, bergerak sendiri menuju
ke muka pintu dan hilang dalam gelap.
Tempat batang
pisang itu digantikan dengan api yang menyala ganas. Bahang panas itu terasa ke
muka saya. Wansi mengambil uncang hitam lalu memukul ke arah api. Api itu mula
runduk. Wansi memukul lagi hingga api itu bertukar menjadi bara sebesar bola
pingpong. Bara itu terbang. Berlegar-legar dalam rumah akhirnya keluar menuju
ke pondok tempat saya dan Datuk serta Wansi bernaung dulu. Pondok itu terbakar.
“Orang ni
benar-benar mahu memalukan keluarga Haji Azhar dan mahu membinasakan kita,”
kata Wansi sambil melurut lengan kirinya dengan tapak tangan kanan. Dalam
beberapa saat saja pondok itu hancur menjadi abu. Bara api sebesar bola
pingpong menuju ke arah kepala Wansi. Cepat-cepat Wansi mengelakkan diri.
Sementara itu , Datuk masih berusaha untuk menghalau syaitan-syaitan ganas itu
mengikut kemampuan yang terdaya olehnya.
Bara api
sebesar bola pingpong terus berlegar-legar dalam ruang anjung. Wansi mula
bertindak, saya lihat mukanya berubah. Mulutnya terus bercakap dalam bahasa
Bawean. Wansi membalut tangan kanannya dengan uncang hitam, kemudian bola bara
api itu dipegangnya sekuat hati. Saya lihat tapak tangannya berasap. Saya kira
dalam hal ini Wansi lebih gagah dan banyak ilmu dunianya jika dibandingkan
dengan kehandalan yang terdapat dalam diri Datuk.
Datuk
tersandar di dinding. Mukanya kelihatan biru. Dua kali Datuk terbatuk dan
mengeluarkan darah yang cukup kental. Saya urut belakang Datuk. Wansi
meletakkan bola api yang sudah menjadi seketul arang itu di tengah anjung
rumah. Dia rapat pada Datuk. Dua kali dia menumbuk belakang Datuk.
Datuk
terbatuk,dari mulut Datuk keluar segumpal cacing tanah dan ulat bulu. Cacing
dan ulat bulu itu bergerak atas lantai. Wansi memukulkan uncangnya ke muka
Datuk. Datuk segera pulih. Wansi kembali ke tempat arang yang diletaknya. Arang
itu masih berasap. Bila asapnya hilang saya lihat ada kepala manusia terletak
di situ, Berlilit dengan kain. Matanya terkedip-kedip merenung ke muka Datuk,
bagaikan minta pertolongan.
“Saya kenal
dia Wansi,” kata Datuk.
“Siapa
manusia ni?”
“Bomoh orang
asli, dari batu enam belas, saya pernah bertemu dengannya dua kali,” terang
Datuk dengan jujur. Wansi tersenyum. Wansi duduk bersila di depan kepala
manusia yang seolah-olah melekap pada papan lantai itu.
“Kenapa kau
buat jahat dengan orang?” tanya Wansi.
“Saya dapat
upah encik,” jawab kepala itu dalam gaya bahasa orang asli bercakap Melayu.
Matanya terkelip-kelip macam katak puru kena sembur air. Wansi atau Datuk.
Biarkan mereka dengan tugas mereka. Saya cuma mahu melihat peristiwa ini
sebagai bahan kenangan atau sejarah yang tersimpan dalam diri saya. Itu saja
tekad saya.
“Siapa yang
mengupah kau?” Datuk menyoal.
“Orang
kampung ini juga.”
“Siapa
namanya.”
“Tak boleh
cakap encik, itu sumpah saya,”
“Awak tahu,
kerja awak ni menyusahkan saya dan orang lain,” kian keras nada suara Wansi.
Datuk mula resah. Dia berpusing-pusing dua tiga kali di depan kepala yang
terlekap di lantai.
“Tak tahu
encik, dia datang minta tolong, katanya orang itu meludah mukanya waktu dia
usik-usik untuk ajak kahwin, orang itu maki dia, jadi saya ingat perbuatan
orang itu tak baik menghina sesama manusia kerana itu saya tolong dia.”
Bagaikan mahu berbuih mulut orang itu bercakap, cukup seksa.
Datuk dan
Wansi berbisik. Kepala yang terlekap di lantai kelihatan bergerak-gerak.
Mukanya berpeluh-peluh. Dua tiga helai rambunya gugur. Suasana malam yang tadi
agak gawat sekarang sudah cukup tenang.
“Awak mesti
bercakap betul dengan saya, kalau tidak saya botakkan kepala awak di sini,”
Wansi mula mengugut. Datuk menggigit bibir.
“Jangan buat
jahat dengan orang encik.”
“Saya tak
buat jahat, awak yang mulakan dulu.”
“Saya
mengaku, saya dah kalah, encik kuat. Apa yang encik mahu sekarang?”
“Jangan kacau
orang di baruh, nanti orang di darat susah, siapa orang di baruh yang upah
awak?”
“Baiklah
encik, kalau saya cakapkan, encik mesti berjanji dengan saya tidak balas
dendam.”
“Kami tak mahu
balas dendam, kami cuma mahu tahu saja.”
“Orang itu
akan datang sendiri berjumpa encik minta maaf, saya akan suruh dia jumpa
encik,”
“Bila?”
potong Datuk dengan cepat.
“Dua hari
lagi.”
Selesai saja
orang itu bercakap. Wansi pun memukul kepala orang itu dengan uncang yang
dibuat dari kain hitam. Kepala orang itu pun hilang. Jam milik Haji Azhar
berbunyi empat kali berturut-turut. Dingin subuh mula meresap ke batang tubuh
saya. Dalam kedinginan yang menggigit tulang itu saya terlelap . Bila saya membuka
kelopak mata, matahari pagi sudah pun memancarkan sinarnya di halaman rumah.
Murai dan merbah sudah pun berhenti berkicau.
Datuk dan
Wansi duduk bersila panggung sambil menghisap daun rokok nipah. Mereka merenung
ke arah pondok yang tertegun gagah di bawah kelopak matahari pagi. Kepala saya
terasa pening kerana malam tadi saya menyaksikan dengan mata kepala saya
sendiri pondok itu musnah dijilat api. Apakah saya bermimpi atau ditipu oleh
perasaan takut yang menguasai diri saya. Timbul berbagai pertanyaan dalam hati
kecil saya.
“Kenapa
pondok ini tidak hancur tok, malam tadi saya lihat terbakar,” itulah pertanyaan
pertama pagi itu, saya ajukan pada Datuk. Datuk merenung muka saya sambil
tersenyum.
“Memang
terbakar, tetapi dibakar oleh syaitan,” balas Datuk.
Saya terdiam.
Memanglah perkara ini tidak masuk di akal. Kalau diceritakan pada sesiapapun
tidak ada orang yang percaya sedangkan pada kenyataannya saya melihat
kejadian-kejadian itu sendiri.
Bila Datuk
melihat daya termenung panjang, dia pun menghampiri saya. Dan menyatakan apa
yang saya lihat itu, bukanlah satu perkara yang aneh. Semuanya terjadi atas
kemahuan Allah yang maha besar.
“Allah itu
maha pemurah dan penyayang.”
“Jadi,”
tingkah saya.
“Dia akan
memperkenankan apa juga yang diminta oleh makhluknya sama ada jahat atau baik.”
“Kalau minta
jahat bagaimana?”
“Dipenuhinya
dan tanggunglah akibat dari permintaan itu. Sebagai manusia kita diberikan
fikiran untuk meminta sesuatu yang baik atau jahat.”
Saya pun
angguk kepala mendengar cakap Datuk itu. dalam masa yang sama Haji Azhar minta
Datuk dan Wansi duduk sebulan di tempatnya.
“Minta maaf,
saya banyak urusan. Saya boleh tunggu hingga hari Jumaat kerana ada orang yang
akan datang ke sini?” Saya lihat wajah Wansi cukup tenang.
“Siapa?” soal
Haji Azhar.
“Nantilah
saya beritahu kemudian, lagi pun saya mesti balik cepat kerana saya belum lagi
membuat persiapan untuk…’” suara Wansi terhenti. Dia merenung keluar pada
pepohon rambutan dan langsat yang disentuh angin pagi. Matahari terus bersinar
garang.
“Nak ke mana
selepas mengubat anak saya ni?”
“Saya nak
berangkat ke Tanah Suci,” jawapan Wansi itu amat mengejutkan hati Datuk. Memang
sebelum ini, Wansi tidak pernah menceritakan hal itu padanya. Saya merasa amat
kagum dengan Datuk dan Wansi yang tidak mahu menceritakan apa yang di alaminya
malam tadi pada Haji Azhar. Meskipun Haji Azhar bertanya beberapa kali.
Seolah-olah mereka sepakat merahsiakan perkara itu.
Bagi menanti
hari Jumaat yang ditunggu, saya dan Datuk serta Wansi ke Cangkat Banjar dan
Cangkat Melintang mencari akar-akar kayu dan pucuk-pucuk hutan. Akar-akar kayu
yang dipilih itu dijadikan minuman menggantikan kopi, sementara pucuk-pucuk
kayu dijadikan air pembasuh muka selepas menunaikan sembahyang subuh.
Menurut Wansi
akar-akar kayu itu berguna bagi mencegah sakit buah pinggang, darah tinggi.
Pucuk-pucuk hutan pula berkesan bagi perjalanan darah di samping mengkalkan
wajah supaya kelihatan muda dan merah.
Memang sudah
menjadi amalan dalam hidup Datuk selepas menunaikan sembahyang subuh, dia akan
membaca Quran. Begitu juga dengan Wansi. Saya disuruh oleh Datuk membaca surah
Yasin. Kelam-kabut juga saya dibuatnya oleh Datuk. Bagaimana tidak menggelabah
bila Datuk menyuruh saya membaca surah Yasin tanpa naskah Yasin Bila melihat saya
dalam keadaan cemas begitu. Wansi memberikan naskah Yasin pada saya.
“Kau mesti
ikut macam Datuk kau, boleh baca Yasin tanpa buku,” ujar Wansi.
“Dah diajar,
tapi cucu saya ni keras kepala sikit,” tingkah Datuk. Disambut dengan ketawa
yang memanjang dari Wansi.
Ketika
matahari mula bersinar. Dari muka jalan masuk ke rumah Haji Azhar, kelihatan
seorang pemuda berbadan tegap mendatangi ke arah Datuk dan Wansi. Sebaik saja
sampai di kaki tangga pemuda itu memberi salam. Wansi mempersilakannya naik.
“Jangan
mengapakan saya, malam tadi saya tak boleh tidur, badan saya macam terbakar
hangat sampai ke pagi,” terus terang pemuda berkulit hitam manis, berhidung
mancung, rambut ikal itu meluah kan rahsia dirinya. Wansi dan Datuk
berpandangan.
“Badan saya
masih terasa dingin, walaupun matahari bersinar terang, kabus nipis kelihatan
keluar dari bumi di antara pepohon manggis dan langsat. Suasana di Kampung
Belanja kiri pagi itu terasa cukup tenteram dengan kicau burung. Melompat dari
dahan ke dahan.
“Apa sebabnya
awak datang ke sini?” Datuk bersuara parau.
“Sayalah yang
mengupah bomoh orang asli memasukkan kain batik ke dalam perut anak Haji
Azhar,” sambung pemuda itu sambil merenung lantai. Wansi memperkemaskan
silanya.
“Kau harus
tahu membuat atau menganiaya sesama manusia satu dosa besar. Allah tidak dapat
mengampunkannya sekiranya orang yang kena aniaya itu tidak memaafkannya,”
terang Wansi.
“Saya tahu,
saya bertaubat tuan, saya melakukannya kerana mengikut nafsu.” Sebaik saja
pemuda itu selesai bercakap. Haji Azhar dipanggil oleh Wansi. Haji Azhar pun
segera datang. Duduk bersila di antara Datuk dan Wansi.
“Inilah orang
yang saya tunggu,” kata Wansi pada Haji Azhar. Bila mata haji Azhar terbeliak.
Dia kenal benar dengan pemuda itu, pernah bekerja dengannya sebagai pemandu bot
penambang dari Belanja Kiri ke Pekan Parit, di seberang tebing Sungai Perak,
Haji Azhar tahu pemuda itu boleh bergerak bebas dalam kawasan rumahnya.
Orangnya pendiam dan bersopan-santun.
“Apa, dia
keluarga awak?” Satu pertanyaan keluar dari mulut Haji Azhar.
“Tidak tuan
Haji,” pendek jawab Wansi.
“Habis kenapa
dia jumpa awak.”
“Usah tanya
tentang hal itu, kalau awak sayangkan anak awak, jangan rosakkan budak ni,
jangan dipukul atau membalas dendam.”
“Saya tak
faham.”
“Saya boleh beri
awak faham, tapi awak jangan membalas dendam kerana perbuatan itu ditegah oleh
agama kita yang suci, kalau awak boleh memenuhi syarat ni, awak akan bahagia
hidupnya dan pemuda ini akan tenteram jiwanya.”
“Saya
berjanji,” satu keputusan tegas dari Haji Azhar.
Datuk serta
Wansi berdiri. Pemuda dan Haji Azhar duduk berhadapan sambil bersalaman, waktu
salam keduanya belum terbuka. Datuk membaca ikrar yang bermaksud, bahawa Haji
Azhar tidak akan membalas dendam dan pemuda itu akan bertaubat. Selesai saja ikrar
itu dibuat, barulah Wansi menceritakan apa yang dilakukan oleh pemuda itu
terhadap anaknya. Badan Haji Azhar saya lihat menggigil menahan marah.
Bila semua
urusan selesai. Pada sebelah malamnya diadakan kenduri doa selamat. Dan pada
keesokan harinya kami bertiga pun berangkat meninggalkan Kampung Belanja Kiri.
Dua bulan lepas itu, saya dijemput oleh Haji Azhar datang ke rumahnya lagi
sekali, untuk menyaksikan Latifah bersanding dengan pemuda yang dipilih oleh
Haji Azhar.
Dengan pemuda
pilihan bapanya itu, Latifah memperoleh dua orang anak. Sekarang Latifah
menetap di Kulai, Johor. Menurut cerita yang terbaru saya dengar, anak sulung
Latifah sudah melahirkan dua orang anak. Haji Azhar meninggal dunia dalam tahun
1980 di Belanja Kiri kerana sakit tua, isterinya masih lagi hidup dan tinggal
bersama Latifah.
Pemuda yang
mengupah bomoh siam itu meninggalkan kampung, Belanja Kiri, sesudah meminta
ampun dan maaf pada Haji Azhar. Walaupun perkahwinan Latifah pada hari itu
cukup meriah tetapi Datuk tetap berwajah suram, kerana Wansi yang banyak
berjasa pada keluarga Haji Azhar tidak dapat datang. Dia meninggal dunia di
Tanah Suci.
Dua hari
selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Haji Azhar itu, saya dengan Datuk
pergi ke Cangkat Pinggang dekat Kampar kerana urusan membeli tanah dusun. Dua
malam tidur di rumah ketua Kampung Cangkat Pinggan. Lepas itu kami bertolak ke
Tapah. Di Tapah Datuk menginap dua hari di rumah kawannya di Lubuk Katak
kira-kira suku batu dari Pekan Tapah.
Pada keesokan
harinya saya dengan Datuk bertolak dari Pekan Tapah menuju ke Cameron
Highlands. Sampai di Batu enam belas Datuk memetik loceng bas. Kami turun di
situ. Dari gigi jalan kami memasuki satu lorong yang kiri kanannya di tumbuhi
pokok-pokok hutan. Di hujung lorong itu terdapat sebuah perkampungan orang
asli.
Tidak jauh
dari kampung orang asli pada masa itu, terdapat beberapa buah bangunan
pekerja-pekerja yang terlibat dengan pembinaan projek hidro elektrik.
Kebanyakan pekerjanya terdiri daripada pemuda-pemuda Melayu terutama di
bahagian buruh kasar seperti menebuk terowong dan meratakan batu. Pergerakan
pekerja-pekerja itu dapat dilihat dengan mudah dari perkampungan orang asli
yang terletak di kawasan tanah yang tinggi. Sekarang projek itu sudah siap.
Kedatangan
saya disambut dengan baik oleh bomoh orang asli yang berwajah agak garang itu.
Namanya Bah Lanjut. Dia mempersilakan saya dan Datuk duduk di anjung rumahnya.
Apa yang mendatangkan rasa kurang senang dalam diri saya, bila melihat anjing
kepunyaannya berkeliaran dalam rumah. Hati saya agak terhibur kerana dari
radionya terdengar suara Saloma mendendangkan lagu Mengapa Dirindu yang menjadi
lagu top ketika itu.
Kerana mahu
menghormati Datuk dan saya yang diketahuinya tidak berapa senang dengan keadaan
rumahnya, lalu dia menempatkan kami di sebuah pondok yang keadaannya cukup
bersih. Siap dengan tempat tidur dan tikar sembahyang. Menurut Bah Lanjut,
pondok itu memang dikhaskan untuk orang Melayu dan Islam bermalam bila meminta
ubat darinya. Dalam pertemuan itu Bah Lanjut berkali-kali minta ampun dan maaf
atas perbuatannya di masa lalu. Malah, dia sanggup mengajar beberapa ilmu yang
ada pada dirinya untuk Datuk.
Hasratnya itu tidak ditolak, Datuk mahu menuntut ilmu darinya asalkan
ilmu yang dituntut itu tidak bercanggah dengan hukum-hukum Allah. Bagi tujuan
itu, Datuk dan saya terpaksa tinggal di perkampungan orang asli itu selama dua
minggu. Di sini tugas saya bertambah lagi, terpaksa menjadi tukang masak pada
Datuk di samping berburu ayam hutan dan pelanduk untuk lauk makan tengahan dan
malam, beras disediakan oleh Bah Lanjut hasil dari tanaman padi humanya di
lereng bukit.