Puaka Tiang Seri
Lebih kurang
pukul dua belas malam, Tok Kaya Sendi Diraja datang menemui Datuk. Dia pun
menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi memang tidak di duganya. Kalaulah
dia tahu kejadian itu akan membuka rahsia dirinya, memang dia tidak akan
mengundang Datuk ke rumahnya. Tetapi, Datuk terus menasihati Tok Kaya Sendi
Diraja supaya menerima kenyataan ini dengan rela hati.
"lnilah
kuasa Allah, dia melakukan sesuatu atau menunjukkan sesuatu di dunia untuk kita
supaya kita sedar. Allah boleh melakukan pembalasan terhadap kerja yang tidak
direlakanNya di muka dunia tanpa menunggu kita menemui ajal”
Apa yang di
perkatakan oleh Datuk itu di akui oleh Tok Kaya Sendi Diraja. Dan malam itu
juga, Tok Kaya Sendi Diraja menyatakan hasratnya untuk pergi menunaikan fardu
haji ke Tanah Suci Mekah. Bila melihat keadaan sudah tenang, Datuk pun
memberitahu Tok Kaya Sendi Diraja tentang hasratnya untuk pulang ke kampung.
Mendengar kata-kata itu, Tok Kaya Sendi Diraja nampak resah.
"Kenapa
cepat sangat nak balik? Tunggulah sehari dua lagi”, tahan Tok Kaya Sendi
Diraja.
Datuk
tersenyum sambil melihat langit petang yang berwarna kemerah-merahan dari
anjung rumah.
”Kita ada
anak isteri, ada binatang yang perlu di tengok Tok Kaya”
”Apa yang
dirisaukan, ada yang menjaganya”
"Betul.
Tapi isteri kita pun dah uzur jadi tak boleh tunggu sehari dua”
Tok Kaya
Sendi Diraja bangun dari kerusi. Berjalan ke depan, dekat tingkap. Kedua belah
tapak tangannya menekan jenang tingkap.
"Saya
masih mengharap pertolongan awak. Barang kali inilah pertolongan akhir saya
minta", kata Tok Kaya Sendi Diraja sambil memusingkan badannya memandang
wajah Datuk.
Tok Kaya
Sendi Diraja datang dekat Datuk lalu duduk atas kerusi.
"Apa
lagi yang mahu saya tolong?”
”Masalah itu
dah selesai, tetapi ada masalah lain"
"Maksud
Tok Kaya?”
"Orang
berbadan besar yang selalu ganggu saya"
Datuk
terdiam. Matanya tajam merenung keluar pada pokok-pokok pisang di dada jalan
raya Ipoh-Kuala Lumpur yang tidak putus dengan kenderaan.
Ada sesuatu
yang Datuk fikir. Saya memang mengharapkan supaya Datuk menolak permintaan Tok
Kaya Sendi Diraja itu. Sudah bosan saya tinggal di rumah itu. Jiwa dan fikiran
saya tidak pernah tenang dan aman.
"Baiklah,
apa yang Tok Kaya mahu dari saya?"
"Menghalau
penunggu rumah ini"
"Satu
kerja yang sulit. Kalau dia datang kemudian senanglah kita. Tetapi, kalau sudah
jadi penunggu turun temurun memang payah”
"Sebabnya?"
"Ini merupakan
satu dari warisan keturunan Tok Kaya"
Jawapan dari
Datuk itu mendatangkan rasa yang amat kecewa pada diri Tok Kaya Sendi Diraja.
Renungan matanya begitu redup tertumpu ke arah muka Datuk. Datuk bagaikan tahu
apa yang bergolak dalam dada Tok Kaya Sendi Diraja.
Dalam sejarah
saya mengikuti kegiatan Datuk, belum pernah dia menolak setiap pertolongan yang
di minta darinya. Permintaan Tok Kaya Sendi Diraja tidak dapat ditunaikannya,
tanya saya dalam hati.
"Kalau
Tok Kaya berhajat juga, boleh saya cuba", Datuk memberi harapan.
Segaris
senyum senang berlari di bibir Tok Kaya Sendi Diraja. Datuk meminta Tok Kaya
Sendi Diraja mencari tempat bara. Datuk juga mahu bara yang diisikan ke tempat
itu mestilah bara dari kayu keruing yang melintang uratnya. Dengan susah payah
Tok Kaya Sendi Diraja mencari kayu keruing melintang urat.
Nasibnya
cukup baik, dengan pertolongan Pak Ayub Naim kayu itu diperolehnya. Kayu itu
dibakar dan diambil baranya. Semua diserahkan pada Datuk. Datuk pun melihat ke
langit lagi sekali.
Dia melihat
awan putih yang bergerak lembut ke arah matahari. Bila sebahagian daripada awan
itu menutup bahagian pinggir matahari, Datuk pun melompat dan bersuara:
"Bawa
perasap itu ke tengah ruang”
Saya sambar
tempat bara api dan berlari membawanya ke tengah ruang rumah, dan meletakkannya
di situ. Saya berpatah balik ke tempat Datuk. Saya lihat Datuk sedang bercakap
dengan Tok Kaya Sendi Diraja.
"Di mana
kau letakkan benda tu?", tanya Datuk.
"Di
tengah rumah"
Datuk lagakan
gigi atas dengan gigi bawah. Tangan kanannya menyentuh dinding rumah. Mata
Datuk kelihatan rapat dan tangan kirinya diletakkan atas bahu Tok Kaya Sendi
Diraja. Secara mendadak saya lihat Tok Kaya Sendi Diraja jatuh, macam ditendang
sesuatu. Datuk buka mata dan memandang tepat ke arah saya. Dia pun membangunkan
Tok Kaya Sendi Diraja sambil berkata:
"Salah
satu tiang di dalam rumah ini ada penunggunya"
Muka Tok Kaya
Sendi Diraja kelihatan pucat. Badannya menggeletar. Bibirnya kelihatan
kebiru-biruan.
"Datuk
nenek Tok Kaya dulu memeliharanya dengan tujuan penjaga rumah”, jelas Datuk.
"Saya
tak tahu"
"Sekarang
Tok Kaya dah tahu”, ujar Datuk dengan ketawa memanjang. Tok Kaya Sendi Diraja
pun tersengih. Datuk pun menyuruh saya meletakkan tempat perasap dekat tiang
seri. Perintah itu saya patuhi. Bila saya mahu melangkah merapati Tok Kaya
Sendi Diraja dan Datuk, saya dapati mereka sudah pun berada dekat saya.
"Duduk”,
kata Datuk.
Saya pun
duduk, begitu juga Tok Kaya Sendi Diraja. Saya duduk sebelah kanan dan Tok Kaya
Sendi Diraja duduk sebelah kiri Datuk. Semua menghadap ke arah tempat perasap.
Datuk menaburkan kemenyan dalam bara api. Asap kemenyan menguasai ruang rumah.
Datuk bertafakur sejenak. Matanya rapat dan kedua lengan terletak di atas
kepala lutut. Suasana dalam rumah itu terasa aneh sekali. Terlalu sepi, saya
rasa seolah-olah berada di satu tempat yang cukup tenang dan terdengar bunyi
air sungai mengalir. Dari tiang seri rumah terhidu bahu yang cukup harum. Saya
mengerling dengan ekor mata ke arah tiang seri itu. Saya lihat tiang seri itu
mengeluarkan asap nipis, kemudian terus hilang. Datuk pun menoleh ke arah Tok
Kaya Sendi Diraja dan terus berkata:
"Ada
tanda kejayaannya”
Tok Kaya
Sendi Diraja terus tersenyum. Datuk pun menyatakan padanya bahawa dia telah
dapat berbicara dengan menunggu itu secara perasaan dengan tenang sekali.
Penunggu rumah itu akan keluar menemui Datuk pada tengah malam nanti. Sebelum
bertemu, penunggu yang berwajah garang dan berbadan besar itu minta diadakan
satu upacara kecil dengan menepung tawar tiang seri. Satu permintaan yang cukup
mudah dilaksanakan.
Menjelang
waktu Maghrib, tiang seri itu pun ditepung tawar Datuk. Tok Kaya Sendi Diraja
dan anak isteri turut menyaksikan upacara kecil itu.
"Begitu
saja, biar saya uruskan. Tok Kaya jangan campur tangan dalam soal ini”, ujar
Datuk dengan tenang.
"Maksud
awak?"
"Begini.
Saya akan berjumpa dengannya secara terbuka. Biar saya tanya asal-usulnya dan
petua bagai mana mahu menghalaunya”
"Saya
mahu tengok"
"Percayalah
pada saya. Kalau baik berita yang saya dapat, berita baiklah yang akan saya
beritahu, dan begitulah sebaiknya"
Tok Kaya
Sendi Diraja setuju. Dia yakin Datuk mahu menolongnya dalam masalah ini. Tok
Kaya Sendi Diraja yakin Datuk tidak memiliki hati yang bercabang.
"Kalau
dah begitu kata awak, saya menurut saja”, jawapan itu amat menyenangkan hati
Datuk.
Tepat jam dua
belas malam, Datuk pun meletakkan bantal dua bertindih di bucu katil. Cadar
katil yang berwarna kuning di bentangkan atas lantai. Cukup teliti Datuk
menyusun kedudukan barang-barang di atas katil. Sekali padang bagaikan
singgahsana raja-raja zaman silam, seperti yang selalu kita tonton dalam filem
purbawara keluaran tempatan dalam tahun enam puluhan. Datuk mengenakan baju dan
seluar hitam, berkain samping merah, memakai tanjak dan sebilah keris tersisip
di pinggang. Datuk juga menyuruh saya berpakaian kemas. Saya di suruh oleh
Datuk duduk di kaki katil. Saya diberi perintah supaya jangan panggungkan
kepala walau apa pun yang berlaku dalam bilik.
Suasana
bertambah sepi. Bulu roma saya secara mendadak meremang. Saya terasa cukup
seram. Bunyi kaki orang melangkah jelas kedengaran dan dituruti dengan bunyi
tapak kaki kuda di luar bilik. Datuk pun memadamkan lampu dan menyalakan
sebatang lilin. Saya cukup resah. Suasana yang sepi bertukar menjadi agak
bising dengan bunyi angin dan daun tingkap terbuka sendiri. Suara burung jampuk
kedengaran sayup-sayup bersama lolongan anjing yang memanjang. Ada kalanya
lolongan anjing itu berbunyi macam orang menangis dan ketawa. Tetapi, bunyi lolongan
memanjang dan sayu lebih kerap didengar. Datuk berdiri dekat pintu.
Daun pintu
terbuka dengan sendiri dan serentak dengan itu api lilin pun padam. Saya resah
di dalam kegelapan. Kali ini saya dapat mendengar dengan pasti bunyi orang
duduk atas katil. Kerana gelap saya tidak dapat melihat bentuk manusia itu.
Saya terdengar bunyi suara orang batuk dari atas katil, serentak dengan itu
suasana gelap bertukar menjadi samar-samar atau dalam istilah daerah tempat
saya keadaan begitu di panggil celah-celah tanah.
Kerana ingin
tahu, larangan Datuk saya langgar. Saya panggungkan kepala sedikit dan ekor
mata kanan menjeling ke arah katil. Saya lihat seorang lelaki berbadan besar,
siap dengan tanjak dan bintang kebesaran duduk atas bantal. Misainya cukup
lebat. Sinar matanya tajam dan di sebelah lutut kanan tersimpuh seorang puteri.
"Apa
hajat?", terdengar suara parau.
"Minta
tuan hamba keluar dari sini”, balas Datuk.
"Minta
maaf. Janji kita, selagi tiang seri ini berada di rumah ini, kita tidak keluar.
Itu janji kita dengan tuan punya rumah asal"
"Saya
minta pada tuan hamba. Saya minta maaf kami sekadar meminta”
”Kau dan aku
adalah makhluk Allah. Kenapa harus menghalau makhluk lain yang punya niat
baik"
"Maksud
tuan hamba?"
"Aku
dari jin yang percaya pada hukum Allah dan memang taat pada perintahnya.
Biarlah kami hidup di sini, sama-sama menjalankan hukum Allah dan melawan
perkara yang buruk"
ltulah
percakapan Datuk dengan makhluk ganjil itu. Datuk terdiam. Makhluk ganjil itu
turun dari katil dan duduk berhadapan dengan Datuk. Saya lihat mereka bagaikan
memperkatakan sesuatu. Perkara itu berlangsung agak lama dan saya bagaikan di
pukau kerana secara mendadak saya terasa mengantuk dan terus tidur. Apa yang
berlaku sesudah itu tidak saya tahu.
Setelah menyelesaikan
sembahyang subuh, Datuk terus membaca surah Yasin hingga tamat. Saya membaca
beberapa buah kitab yang memang dibawa khas oleh Datuk untuk saya baca bagi
mengisi masa lapang. Subuh itu, saya membaca kitab Tajul Muluk. Seronok juga
membacanya.
Tetapi Datuk
tidak berapa menggalakkan saya membaca kitab tersebut. Dia lebih suka kalau
saya membaca kitab-kitab fekah yang ada hubungannya dengan hukum-hukum agama
Islam. Lebih kurang pukul tujuh pagi, Datuk pun menemui Tok Kaya Sendi Diraja
di ruang bawah.
Apa yang
berlaku malam tadi Datuk ceritakan secara terperinci pada Tok Kaya Sendi
Diraja. Tok Kaya Sendi Diraja mengeluh panjang kerana Datuk tidak berjaya
mengusir penunggu rumah tersebut. Menurut Datuk, berdasarkan cerita dari
makhluk ganjil itu, penunggu itu akan berada di situ sampai satu masa yang
tidak dapat ditentukan, kecuali kalau rumah tersebut dirobohkan dan tiang seri
yang berwarna kekuningan itu dihanyutkan ke laut.
Datuk juga
memberitahu Tok Kaya Sendi Diraja, moyangnya dulu membeli kayu-kayu itu dari
sebuah istana lama di Acheh, Indonesia. Kayu-kayu itu di bawa dengan sebuah
tongkang dan mendarat di pelabuhan Bagan Datuk.
Moyang Tok
Kaya Sendi Diraja menyewa tongkang tersebut dengan seorang kawan yang berasal
dari Sumatera. Kawannya itu pula menggunakan kayu-kayu itu untuk membuat rumah
di Papan dekat Pusing, Batu Gajah. Rumah binaan kawannya itu terkenal sebagai
Istana Papan. Sekitar tahun tujuh puluhan, istana papan itu masih wujud lagi
dan di jaga oleh anak buah kawan moyang Tok Kaya Sendi Diraja. Apakah istana
itu masih wujud sekarang, saya tidak pasti kerana kawasan itu telah di
tinggalkan untuk kerja-kerja melombong bijih timah.
"Bagaimana
kalau bangunan rumah itu diruntuhkan dan tiang serinya kita hanyutkan ke
laut?”, tanya Datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja.
"Sayang,
itu rumah pusaka"
"Kalau
begitu biarkan ia tegak di situ. Kita cuma harus hati-hati jangan membuat kerja
yang tak baik. Tiap-tiap malam Jumaat panggil orang-orang berdekatan membaca
surah Yasin. Usah bimbang dia sekadar menumpang dan menjaga anak buah Tok
Kaya"
"Apa
boleh buat saya terpaksa berhadapan dengan semuanya ini”, keluh Tok Kaya Sendi
Diraja sambil tersenyum. Inilah kali pertama Datuk gagal dalam usahanya.
Anehnya, Datuk tidak pernah merasa kesal dengan peristiwa yang terjadi.
Ini merupakan
satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Datuk. Waktu Datuk dan saya
mahu meninggalkan rumah Tok Kaya Sendi Diraja pada pagi Selasa, Tok Kaya
menghulurkan sebanyak lima ratus ringgit pada Datuk. Sayangnya pemberian itu di
tolak oleh Datuk, dia sekadar mengambil wang tambang untuk pulang yang
berjumlah tidak sampai sepuluh ringgit.
Enam bulan
kemudian, Tok Kaya Sendi Diraja dan keluarganya berpindah ke rumah baru, di
Jalan Lapangan Terbang, Ipoh. Rumah besar yang di tinggalkan itu telah di sewa
oleh Jabatan Pelajaran Negeri Perak. Jabatan Pelajaran telah menempatkan
guru-guru pelatih perempuan yang gagai ke
Maktab
Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka. Dan bangunan itu di kenali oleh
masyarakat setempat sebagai pusat latihan guru-guru normal. Beberapa orang guru
pelatih perempuan telah dicampakkan menerusi tingkap oleh penunggu rumah besar
itu, kerana bercakap tidak senonoh dan mandi telanjang. Salah seorang daripada
mangsanya, berasal dari Tanjung Belanja dekat Parit yang sekarang masih
mengajar di daerah Kerian. Sudah mempunyai dua orang cucu.
Tempat yang
paling keras ialah tingkat atas. Lagi sekali Datuk di undang ke rumah batu
tersebut. Datuk pun memberi beberapa petunjuk untuk dipatuhi oleh guru-guru
pelatih perempuan yang tinggal di situ. Bila arahan itu di patuhi kejadian yang
ganjil itu tidak berlaku lagi. Sejak Tok Kaya Sendi Raya berpindah ke rumah
baru, hubungannya dengan Datuk tidak putus. Ketika anaknya Norbaya menikah
dengan orang Balik Pulau, Pulau Pinang, Tok Kaya sendiri menjemput Datuk datang
ke rumahnya dengan kereta. Begitu juga, ketika menghantar Norlin ke London
untuk menyambungkan pelajarannya, Datuk dijemput dan dibawa ke lapangan terbang
Kuala Lumpur.
Tetapi nasib
Tok Kaya Sendi Diraja kurang baik. Sebaik sahaja anaknya Norlin menamatkan
pengajian di England, anaknya terus menikah dengan orang putih dan menetap di
Essex, kira-kira 60 km dari London.
Perbuatan
anaknya itu amat mendukacitakan hati Tok Kaya Sendi Diraja. (Tok Kaya Sendi
Diraja meninggal dunia dalam tahun 1971. Norlin dan suami serta dua orang
anaknya tiba sesudah jenazah Tok Kaya Sendi Diraja dimasukkan ke dalam lubang
kubur di tanah perkuburan orang Islam Garap berhampiran jalan besar Ipoh-Kuala
Kangsar).
Kepulangan
Datuk ke kampung kali ini amat berbeza sekali. Dia selalu sahaja mengadu kepada
nenek yang dirinya, kerap diserang sakit tulang. Bila sakit itu datang, Datuk
terpaksa duduk berhari-hari di atas katil. Berbagai ubat cara kampung
dilakukan, sakitnya itu cukup susah mahu sembuh. Dan Datuk lebih banyak
menghabiskan masanya dengan membuat amal ibadat. Kegemarannya menembak ayam
hutan dilupakannya sama sekali.
Tetapi isteri
mudanya orang bunian selalu mengunjunginya terutama di malam Jumaat dengan
membawa ubat-ubat dari akar kayu, ternyata ubat-ubat itu tidak memberikan
sebarang kesan pada Datuk. Saya dan cucu-cucu yang lain telah membawa Datuk
menemui doktor swasta di Taiping, Setiawan dan Ipoh, namun usaha itu juga tidak
berjaya. Menurut doktor yang di temui sakit Datuk itu adalah sakit biasa yang
akan di alami oleh kebanyakan orang lelaki bila berusia hampir empat puluh
tahun.
"Inilah
akibatnya bila waktu muda kerja terus merantau ke sana ke mari, dah tua
penyakit pula hinggap”, keluh Datuk pada suatu petang.
"Itu dah
adat dunia, apa Datuk takut pada mati?" tanya saya.
Datuk ketawa
terkekeh. Secara terang-terangan dia mengatakan pertanyaan dari saya itu satu
pertanyaan yang bodoh.
"Mati
apa yang ditakutkan, cuma kita bimbang kalau amalan kita semasa masih hidup
tidak sempurna sebagai seorang Islam. Mati memang menanti kita”, jawab Datuk.
Saya terdiam.
Cakapnya itu memang benar dan tepat sekali. Saya menghabiskan masa petang itu
dengan mendengar cerita dari Datuk tentang pengalaman masa mudanya. Adakalanya
saya ketawa berdekah-dekah, bila Datuk membuka kisah lucu yang pernah
dialaminya. Bila duduk berduaan begitu terasa betapa mesranya Datuk melayani
saya. Bila sampai waktu Maghrib, Datuk terus memerintah saya untuk menunaikan
sembahyang Maghrib. Lepas Maghrib, Datuk mengajar saya untuk mengenali Allah
dengan lebih dekat lagi. Dia mengajar saya tentang sifat dua puluh. Dia juga
mengajar saya cara-cara sembahyang tahajud dan sembahyang hajat, di samping
beberapa doa yang harus dibaca selepas menunaikan sembahyang fardu.
"Kau
harus mengamalkan dalam hidupmu, selepas sembahyang Maghrib pada tiap-tiap
malam Jumaat, eloklah kau membaca surah Yasin”, Datuk mengingatkan saya dan
pesannya itu hingga kini masih terpahat dalam hati kecil saya.
Entah apa
mimpi Datuk, secara mendadak sahaja pagi itu kira-kira pukul sembilan dia
mengajak saya pergi ke Pekan Air Tawar. Pada mulanya, saya amat keberatan untuk
pergi. Ada dua sebab kenapa saya tidak mahu pergi ke sana. Pertama, Air Tawar
bukanlah satu pekan yang besar. Kedua suasana di pekan itu memang tidak menarik
minat saya.
"Aku nak
jumpa kawan dari Changkat Keruing, selalunya setiap hari Selasa dia turun ke
Air Tawar”, begitu Datuk menyatakan setuju utamanya dia mahu pergi ke situ.
"Sekarang
kita pergi Tok?"
"Tentulah,
pergi bersiap”, ujarnya.
Saya pun
tukar pakaian. Tidak sampai sepuluh minit saya pun sudah berada di kaki tangga.
Kemudian saya dan Datuk jalan beriringan menuju ke gigi jalan raya. Datuk
menahan bas. Kira-kira empat puluh minit berada dalam perut bas, kami pun
sampai ke tempat yang dituju. Setelah mundar-mandir dalam pekan kecil itu,
Datuk pun menemui kawan lamanya. Usianya tidak banyak beza dengan usia Datuk.
Mereka bercakap panjang. Saya hanya tumpang dengar saja. Saya terkejut bila
kawan Datuk itu mengajak Datuk untuk pergi ke Kuala Terung dengan tujuan
tertentu.
Datuk menolak
dengan alasan kalau sekader pergi ke Kuala Terung untuk mencari kayu bakau bagi
kegunaan menahan tebing sungai dari arus deras, Datuk tidak mahu. Berceritalah
kawan Datuk itu tentang rumahnya yang dibina tepi tebing Sungai Keruing. Tebing
itu setiap hari runtuh kerana dilanda arus sungai yang deras.
"Kau
bina rumah di tempat lain, habis cerita”, kata Datuk.
"Malas
nak pindah"
"Kalau
begitu, kau pacak tebing tu dengan batang buluh”, Datuk memberi nasihat.
Kawannya
terdiam. Mereka berpandangan dan senyum pun terukir di bibir mereka kedua.
Datuk merenung saya. Bahu kanannya dipegangnya serta ditekan. Kemudian Datuk
merenung kedua-dua biji mata kawannya lama-lama. Keresahan terbayang di wajah
kawan Datuk itu.
"Aku
tahu tujuan kau yang sebenar mengajak aku ke Kuala Terung”, cukup bersengaja
tekanan nada suara Datuk. Kawannya tersengih, dan wajahnya bertukar
kemerah-merahan menahan rasa malu. Kawan Datuk memalingkan wajahnya ke arah
lain.
"Kau
berterus terang saja kau mahu meminta pertolongan dari aku”, sambung Datuk
lagi. Dan kawannya anggukkan kepala. Saya terus menggigit bibir, mata saya
masih tertumpu ke wajah kawan Datuk.
"Aku
tahu, kalau berterus terang, kau tidak akan menolongnya, kau dah benci dengan
kerja-kerja menolong orang bukan?"
"Aku
tidak pernah memikirkan hal itu. Kalau untuk kebaikan, aku tidak pernah
menolak."
"Salah
dugaan aku”, keluh kawan Datuk dengan nada suara yang mengandungi kekesalan.
Kerana mahu
bercerita agak panjang, kawan Datuk itu mengajak saya dan Datuk masuk ke sebuah
warung kepunyaan orang Melayu keturunan Mendailing yang terletak di sudut kanan
jalan raya menuju ke Lumut. Dengan rasa agak kesal kawan Datuk itu memberitahu
kegagalannya menghalau syaitan yang bermaharajalela di sebuah kampung dekat
Kuala Terung. Akibat kegagalan itu tangan kanannya terasa lumpuh dan kebas
sepanjang malam. Tidurnya selalu di ganggu oleh mimpi-mimpi yang buruk dan
menakutkan. Ada kalanya dia tidak sedarkan diri sampai beberapa jam.
"Jadi
apa yang harus aku buat dalam hal ini?", tanya Datuk dengan nada suara
menurun.
Wajah
kawannya itu direnungnya tepat-tepat. Dengan tenang Datuk menghirup kopi di
hadapannya.
"Kau aku
harapkan menolong dalam hal ini"
"Susah
menyambung kerja yang terbengkalai”, keluh Datuk sambil merenung kosong ke
depan pada kenderaan yang bersimpang siur di dada jalan. Beberapa detik masa
berlalu tanpa diiringi dengan sepatah perkataan dari Datuk dan kawannya. Saya
terus menghirup kopi panas.
"Biar
aku fikirkan dulu, hari Selasa depan kau datang ke rumah aku”, beritahu Datuk
pada kawannya.
Saya lihat
kawan Datuk itu tersenyum senang. Datuk dan kawannya berjabat tangan sebagai
tanda perpisahan. Waktu berada dalam bas untuk pulang, Datuk memberitahu saya bahawa
kejadian aneh yang mengganggu penduduk dekat Kuala Terung itu harus diatasi.
Kalau dibiarkan nanti penduduk di situ salah anggap dan melupakan kekuasaan
Tuhan serta membuat kerja-kerja yang bertentangan hukum agama.
"Aku
bimbang mereka akan menjadikan kubur itu sebagai tempat keramat”, pendek saja
Datuk memberi tahu saya.
Dari apa yang
Datuk dengar melalui kawannya itu, jelaslah orang yang mereka kuburkan di tanah
perkuburan itu ketika hidupnya telah melakukan kerja-kerja yang ditunjukkan
oleh syaitan.
"Orang
perempuan atau lelaki tok?"
"Perempuan.
Masa hidupnya aku ingat telah menduakan suami dan derhaka pada suaminya
sendiri”, beritahu Datuk lagi pada saya. Satu keinginan timbul dalam hati untuk
mendengar cerita selanjutnya. Tetapi hasrat itu tidak terlaksana. Bagi Datuk
mengajak saya berhadapan dengan kejadian itu lebih baik dari bercerita.
"Kau
ikut aku ke sana"
Ungkapan dari
Datuk itu amat menggembirakan hati saya.