Ilmu Kaum Kubu
“Kamu ni ada-ada saja,” Datuk terus meraba dan menggosok serta memicit
pergelangan kaki saya. Berkerut muka saya menahan sakit. Sendawa saya bertalu-talu.
“Aku dah pesan. Setiap kali bangun tidur, jangan bangun terus. Pusing ke
kanan sekali, pusing ke kiri sekali sambil gerakkan kaki dan tangan
perlahan-lahan. Kemudian duduk dan membongkok dua tiga kali. Kemudian
menggeliat perlahan-lahan dan tarik nafas panjang-panjang,” Datuk mula
membebel.
“Saya jarang buat tuk.”
“Inilah yang susah. Ada petua diberikan tetapi tidak mahu diamalkan.
Tujuan aku suruh buat macam itu, untuk melembutkan urat, mengeluarkan angin
dari badan dan perut. Lepas sembahyang Subuh terus tidur. Tidak makan tidak
minum, akibatnya angin masuk perut,” tambah Datuk lagi.
Nenek yang baik hati terus menggosok-gosok bahu kanan dan kiri saya.
Datuk bangun dan terus keluar. Dengan langkah yang tenang saya terus ke dapur
mencuci muka. Lepas cuci muka saya terus makan.
Bila perut diisi dengan nasi dan lauk-pauk, badan mula terasa segar dan
malas mahu bergerak ke mana-mana. Saya sandarkan badan ke dinding. Datuk tetap
dengan kerjanya di luar. Selesai menjemur jalan, ia meraut bilah lukah.
Kadang-kadang saya merasa hairan dengan Datuk. Setiap masa ada sahaja kerja
yang dilakukannya. Ia seolah-olah tidak pernah merasa letih.
Setelah penat bersandar, saya bangun menuju ke arah serambi rumah. Baru
tiga kali melangkah saya teringatkan tentang barang yang dibungkus oleh Datuk
malam tadi. Saya tidak tahu di mana Datuk meletakkan barang tersebut. Saya
terus mendapatkan Datuk yang sedang meraut bilah lukah.
“Ha, apa yang kamu mahu. Kamu nak pergi menangkap burung?”
“Tidak tuk.”
“Kalau bukan itu, apa yang kamu mahu?”
“Saya nak tanya tentang barang yang tuk bungkus malam tadi.”
“Barang,” Datuk kerutkan dahi.
“Barang yang nampak bercahaya kemudian tuk bungkus,” saya mengingatkan
Datuk.
Datuk senyum. Ia faham dan ingat kembali peristiwa yang dialami. Ia
meninggalkan bilah-bilah lukah yang baru diraut separuh.
Datuk masuk bawah rumah, ia mengambil sesuatu dari gelegar rumah. Saya
hanya melihat dari luar. Tetapi, saya tahu Datuk meletakkan benda itu pada
gelegar rumah yang ada kuda-kuda dan kuda-kuda itu pula mengarah hala matahari
terbenam.
Tentu ada petua dan muslihat yang tertentu Datuk melakukan semua itu.
pada hal kalau diletakkan di mana-mana pun benda itu saya fikir tidak
mendatangkan mudarat pada sesiapa saja.
Ah, Datuk sudah tua ada pengalaman dan ada sedikit ilmu. Tentu dia tahu
dengan apa yang dibuatnya, fikir saya.
Datuk keluar dari bawah rumah membawa bungkusan kain merah. Tanpa
memanggil saya, Datuk menuju ke halaman rumah. Ia membuat garisan bulat di
tanah dengan ranting kayu. Bungkusan kain merah diletakkan di tengah dalam
garisan bulat.
“Tamar ke mari,” laung Datuk. Saya terus berlari menghampiri Datuk yang
duduk bertinggung di luar garisan bulat. Peluh terus membasahi baju Datuk dalam
panas yang terik dan garang.
“Kamu bertinggung di sini.”
Saya terus bertinggung di sisi Datuk. Peluh-peluh halus mula meruap di
muka saya. Dengan perlahan-lahan Datuk membuka bungkusan kain merah.
Bila bungkusan itu terbuka, saya lihat biji telur burung puyuh. Datuk
tidak menjamah telur tersebut. Ia menolak telur itu dengan ranting kayu supaya
kedudukannya beratur lima sebaris.
Saya menggigit bibir. Pelik, telur yang sekecil itu boleh mengeluarkan
api dan membakar dedaun kering. Memang sekali pandang telur puyuh itu tidak ada
bezanya dengan telur puyuh yang sering saya temui di sarangnya.
Tetapi bagaimana orang yang kakinya mempunyai tokak memanfaatkan telur
tersebut untuk mengancam keselamatan orang lain.
Pertanyaan itu terus berputar-putar dalam tengkorak kepala saya. Mahu
saya ajukan pertanyaan pada Datuk tetapi, bila saya melihat Datuk termenung
panjang, hasrat itu saya batalkan.
Datuk terus duduk bersimpuh sambil menguris-guris tanah dengan ranting
kayu. Ia menulis perkataan Allah dan Muhammad di tanah.
Beberapa minit kemudian tulisan di tanah itu dipadamkannya. Ia merenung
ke arah saya. Kedua belah bibirnya kelihatan bergerak-gerak. Bila mulutnya
berhenti bergerak, ia menyerahkan ranting kayu pada saya.
“Pukul semua telur tu hingga pecah,” katanya. Saya terus memukul ke
lima-lima biji telur puyuh itu dengan sekali gus. Saya lihat ada percikkan api
yang halus keluar dari telur.
Bila percikkan api itu berhenti, keluar asap nipis dan akhirnya asap itu
hilang dalam sinaran matahari yang keras.
“Orang itu menggunakan ilmu tuju-tuju telur puyuh, ilmu syaitan yang ada
di dadanya sudah terlalu tinggi,” beritahu Datuk pada saya. Datuk terus
menguis-nguis kulit telur burung puyuh hingga berserakan atas tanah.
Sekejap lagi, kamu nampak apa yang ada dalam telur yang baru kamu
pecahkan tadi,” dengan rasa dada yang lapang, saya terdengar ungkapan yang
diluahkan oleh Datuk.
Sepasang mata saya tumpukan pada kulit-kulit telur burung puyuh dalam
garisan bulat.
Panas terik terus menggigit kulit tubuh. Dan muka saya terus dibasahi
peluh. Datuk pun demikian juga. Saya terlihat beberapa batang jarum
berkelip-kelip dipanah matahari. Saya juga melihat beberapa ekor semut api
mengelilingi gumpalan rambut dan tulang ikan terubuk. Beberapa ketul batu juga
terdapat di situ.
“Tuju-tuju telur puyuh ini kalau kena tubuh kita, sukar untuk
diselamatkan. Bisanya tidak boleh ditahan. Seluruh badan jatuh biru. Tempat
yang jadi sasarannya dada, perut dan mata,” terang Datuk.
“Macam mana, kalau jatuh atas tanah boleh mengeluarkan api?” soal saya.
Datuk mengelap peluh di dahi dengan jari telunjuk.
“Bila ada orang yang mampu mengalihkannya, benda itu jatuh ke tanah dan
keluarkan api. Kalau jatuh dalam air menjadi racun. Berbulan-bulan baru racun
dalam air itu hilang.”
“Di mana orang ni menuntut ilmu syaitan ni tuk?”
“Aku agak dari kaum Kubu tu. Ilmu dunianya terlalu kuat.”
“Kau tak usah tanya semuanya itu. Makin lama kau hidup, makin banyaklah
hal-hal dunia yang diturunkan oleh syaitan pada anak Adam dan kau akan tahu,”
tamat berhenti bercerita.
Datuk menggenggam sekepal tanah dan tanah itu ditaburkan dalam garisan
bulat. Bila tanah yang ditabur oleh Datuk itu kena pada kulit telur, jarum,
rambut dan tulang terubuk terus menjadi hitam, macam arang. Kemudian hancur
menjadi abu. Tanah dalam garisan bulat bertukar menjadi warna kemerah-merahan
macam darah.
“Sekejap lagi tanah tu akan bertukar menjadi macam warna asalnya,” kata
Datuk. Tidak lama kemudian tanah yang di dalam garisan kembali dalam warna
asalnya. Datuk terus memadamkan garisan bulat dan menepuk bumi dengan tangan
kiri sebanyak tiga kali berturut-turut.
Kau tengok sendiri, kain kuning jadi lapik telur puyuh pun hangus jadi
abu,” Datuk menudingkan jari telunjuknya. Cakap Datuk itu memang benar. Kesan
kain kuning itu sukar dijejaki.
Suara azan Zuhur terus berkumandang. Datuk mengajak saya mengambil air
sembahyang. Selesai sembahyang Datuk mengajak saya duduk di ruang tengah. Ia
mengajar saya tentang sifat dua puluh serta menunjukkan cara sembahyang yang
betul.
“Awak tak pergi tengok Haji Salim?” nenek muncul di ambang pintu dapur
dengan wajah yang agak cemas. Datuk menutup kitab di depannya dan diletakkan
atas rak. Datuk mengenakan baju ke badan, menukarkan kain dengan seluar.
“Kenapa dengan Haji Salim, bukankah dia nak ubat sakitnya sendiri,”
Datuk berhenti melangkah dan merenung ke wajah nenek dengan seribu persoalan.
“Sakitnya datang balik. Dia muntah darah dan meracau tak tentu arah,”
jawab nenek.
“Apa yang nak dibuat oleh bininya?”
“Nak dihantar ke hospital.”
“Ah,” kata Datuk dan terus meluru ke muka pintu. Dengan sekelip mata
Datuk hilang dari pandangan saya.
IKUT
Tanpa mengucapkan sesuatu pada nenek, saya terus melompat dan memburu
Datuk dari belakang. Tercungap-cungap saya bila sampai ke rumah Haji Salim.
Saya lihat Datuk sedang memangku Haji Salim. Saya segera menghampiri Datuk.
“Bawakan saya ke hospital sahabat,” rayu Haji Salim.
“Saya tunaikan, kalau itu yang awak mahu,” balas Datuk dan meletakkan
kembali kepala Haji Salim atas bantal.
Datuk meninggalkan rumah Haji Salim. Datang kembali dengan sebuah teksi.
Haji Salim pun diusung dan diletakkan dalam perut teksi. Bila berada dalam
teksi batuk darah yang dideritai oleh Haji Salim berhenti. Ia tidak meracau
lagi.
“Ke mana kita, nak bawa ke Taiping atau ke Ipoh?” tanya Datuk pada
isteri Haji Salim yang memakai baju kurung kedah dan berkain batik. Isteri Haji
Salim termenung sejenak.
“Bawa ke Taiping. Anak saudaranya ada kerja di hospital Taiping,”
tiba-tiba sahaja isteri Haji Salim bersuara.
“Kerja apa?” tanya Datuk.
“Pembantu hospital. Kalau haji masuk hospital, saya boleh tumpang di
rumah anak saudaranya. Dapat saya menengok haji di hospital tiap-tiap hari,”
terang isteri Haji Salim.
Teksi pun bergerak meninggalkan halaman rumah Haji Salim. Saya dan nenek
serta jiran-jiran berdoa, semoga Haji Salim yang peramah, suka mengambil berat
tentang jiran-jiran akan segera sembuh.
“Mari kita balik Tamar. Kalau tunggu di sini pun tak guna, dia tu balik
lambat tu. Agaknya dekat Maghrib baru sampai,” ujar nenek pada saya. Nenek pun
merapatkan pintu rumah Haji Salim. Kami pun meninggalkan rumah sahabat baik
Datuk.
Sampai di rumah, saya beritahu nenek yang saya mahu pergi keluar. Tetapi
nenek keberatan untuk memenuhi permintaan saya. Nenek menyuruh saya menyambung
kerja-kerja Datuk yang belum selesai. Nenek suruh saya raut bilah lukah, nenek
suruh saya membetulkan jala yang koyak.
“Saya nak pergi ke sawah nak menangkap burung,” kata saya.
“Nak tangkap burung apa Tamar?”
“Burung wak-wak.”
“Panas macam ni. Eh kau tahu kalau terlalu lama berpanas nanti demam.”
“Tak apalah,” balas saya terus meninggalkan nenek.
Dengan nenek saya berani menentang atau membantah perintahnya. Tetapi,
dengan Datuk saya tidak berani buat demikian. Telinga saya pernah dipulas oleh
Datuk, macam mahu tercabut rasanya, akibat saya membantah cakapnya.
Sampai di kawasan sawah yang lapang, saya mula mencari rumpun Menerung
yang jadi tempat berlindung burung wak-wak. Pokok atau rumpun tersebut
berbatang lembut serta mempunyai tiga segi, berdaun kecil dan panjang,
mempunyai umbi dan akar yang kuat.
Tumbuhan jenis ini memang jadi musuh pada pesawah. (Mungkin di tempat
anda tumbuhan jenis ini disebut dengan perkataan yang lain.)
Kini saya berdiri di depan kawasan tumbuhan Menerung (nerung) yang luas.
Dua ketul kayu pembaling yang saya ikat di pinggang pun saya buka. Kayu itu
saya pegang. Kayu yang berukuran kira-kira satu kaki itu digunakan untuk
membaling ke arah burung wak-wak yang mahu terbang.
Tiga minggu saya belajar membaling ke arah wak-wak yang terbang dari
Haji Salim. Tanpa membuang masa saya terus meranduk ke dalam rumpun Menerung.
Beberapa ekor burung wak-wak muncul dari rumpun menerung dan terus
terbang untuk menyelamatkan diri. Tanpa membuang masa saya terus membalingi
kayu ke arah burung-burung tersebut.
Dua ekor tidak cukup. Paling kurang dapat sepuluh ekor baru cukup, saya
membuat keputusan tersendiri sambil mengikat kaki dua ekor burung wak-wak dan
saya letakkan di bawah perdu mempelam. Saya terus mengharungi rumpun menerung
lagi.
“Bagaimana? Banyak burung yang kau dapat?” saya tergamam sebentar.
Di depan saya wujud dua orang lelaki. Mereka ialah Kamal dan Daud. Saya
tidak menjawab pertanyaan mereka. Kamal mengangkat kaki yang dikuasai tokak
separas dada saya.
“Sampaikan salam kami pada Datuk kamu,” kata Daud.
Saya terus muntah bagaikan mahu keluar semua isi perut saya. Tanpa
membuang masa saya terus memusingkan badan dan lari langkah seribu.
Semua yang saya alami ketika berada di tengah sawah tidak saya ceritakan
pada nenek. Dan nenek terus menyindir saya kerana pulang dengan tangan kosong.
KEMBALI
Tepat pukul enam setengah petang, teksi yang membawa Haji Salim ke
Hospital Taiping pun pulang. Saya dan nenek bergegas ke rumah Haji Salim
kembali.
“Doktor sudah mengesahkan Haji Salim sihat. Sebaik sahaja meninggalkan
rumah ini batuk darahnya terus berhenti, badannya cukup sihat,” isteri Haji
Salim memberitahu nenek.
Datuk dan pemandu teksi menganggukkan kepala mengiakan kata-kata isteri
Haji Salim.
Bagi orang lain saya tidak tahu tetapi bagi saya, cerita yang
disampaikan oleh isteri Haji Salim itu menimbulkan keraguan dalam hati saya.
Dalam saat-saat begitu, saya teringatkan Kamal (si tokak di kaki) dan Daud.
Jiran-jiran yang berkerumun di halaman rumah terus dikejutkan dengan
suara batuk Haji Salim bertalu-talu. Setiap kali Datuk itu berakhir, Haji Salim
akan muntah darah. Darah yang diluahkannya berbuku-buku serta merah kehitam-hitaman.
Muntah dari Haji Salim Datuk kumpulkan dalam mangkuk putih. Jiran-jiran yang
berkumpul di halaman terus bercakap sama sendiri.
Ada yang mulut lepas mengatakan Haji Salim kena buatan manusia. Bila
kata-kata itu didengar oleh Haji Salim, ia segera bangun dan berdiri di muka
pintu. Tidak peduli dengan larangan Datuk dan isterinya yang menyuruh ia
baring.
“Hei kamu. Sakit yang aku tanggung ni bukan buatan manusia. Sakit ini
datangnya dari Allah. Baliklah ke rumah masing-masing. Jangan bercakap yang
bukan-bukan di sini,” suara Haji Salim meninggi.
Jiran-jiran yang jumlahnya antara sepuluh hingga lima belas orang
berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka bersurai. Haji Salim terus
merebahkan badanya atas pelantar.
Isterinya memberikan segelas air Lidah Buaya yang dicampurkan dengan
gula batu yang dibancuh dengan serbuk Lampoyang.
Bila bahan yang ada dalam gelas itu diteguk oleh Haji Salim. Batuknya
beransur kurang dan muntah darahnya tidak sekerap tadi berlaku.
“Kenapa awak halau jiran-jiran kita?” isteri Haji Salim mengajukan
pertanyaan. Perlahan-lahan Haji Salim mengalihkan wajahnya ke kanan, merenung
muka Datuk. Saya lihat Datuk meraba batang hidungnya dua tiga kali.
“Kalau dibiarkan mereka di situ, makin banyak perkara karut-marut mereka
cakapkan. Membiarkan mereka bercakap tentang manusia yang melebihi kuasa Allah,
mengajar mereka menjadi syirik. Aku tak mahu bersubahat dalam perkara semacam
ini,” kata Haji Salim dengan tenang. Datuk anggukkan kepala. Isteri Haji Salim
terdiam.
Saya terus menguap sambil merenung ke luar rumah. Sebentar lagi maghrib
pasti tiba. Tetapi, Datuk masih tidak berganjak dari duduk merenungi ke arah
Haji Salim.
Kerana cuaca sudah beransur gelap, isteri Haji Salim terus memasang
pelita minyak tanah. Pelita minyak tanah itu diletakkan tidak jauh dari saya.
Isteri Haji Salim terus bangun. Ia mahu menutup semua jendela rumah.
Bila semua jendela rumah sudah dirapatkan, isteri Haji Salim terus
keluar, menutup pintu reban ayam itik. Kemudian terus ke telaga.
Dari cahaya lampu minyak tanah, saya terlihat jejari Haji Salim yang
kasar dan keras meraba pergelangan tangan Datuk. Kemudian jejari Datuk dan Haji
Salim kelihatan bercantum.
“Kamu jangan balik, tunggu aku,” suara Haji Salim tenang.
“Ya, saya tunggu kalau itu hajat sahabat.”
“Aku rasa persahabatan kita tidak lama. Aku kembali kepada yang berhak.”
“Tak usahlah mengarut sahabat.”
“Aku bercakap benar. Banyak ayat-ayat suci yang aku amal sudah lupa atau
tersilap baca.”
“Sudahlah haji.”
“Aku mahu kau jadi imam maghrib di sini, kita sembahyang sama-sama.”
“Baiklah.”
Haji Salim tersenyum. Dengan perlahan-lahan ia bangun. Saya cuba
menolongnya tetapi, Haji Salim menolak pertolongan saya. Ia sendiri pergi ke
perigi mengambil air sembahyang. Kemudian menukarkan kain yang dipakainya
dengan kain baru.
Kali ini saya lihat, Haji Salim berpakaian lengkap sebagai seorang Haji.
Perkara seperti ini memang jarang dilakukannya. Datuk hanya memerhatikan sahaja
gerak dan tingkah laku kawan karibnya itu.
Apa yang nyata, sejak Haji Salim bercakap-cakap dengannya sebentar tadi,
Datuk lebih banyak termenung. Macam memikirkan sesuatu.
Dalam keadaan yang saya anggap berlainan dari keadaan biasa itu, saya
terdengar suara azan Maghrib. Beberapa saat kemudian Datuk mengambil tempatnya
sebagai imam.
Fardu Maghrib sudah ditunaikan. Doa dan wirid sudah pun selesai dibaca.
Tetapi, Haji Salim tidak membenarkan saya dan Datuk pulang. Sebenarnya, saya
tidak setuju dengan tindakan Haji Salim itu. Ada kerja yang perlu saya lakukan
di rumah.
Saya mahu menyiapkan sangkar burung yang belum siap. Apakan daya Datuk
sendiri memperkenankan permintaan Haji Salim. Sama ada rela atau tidak, saya
terpaksa akur dengan keputusan Datuk.
“Tunggu, kita sembahyang Isyak pula. Kali ini biar kita jadi imam. Lepas
tu kita makan dan baca Quran sampai pagi,” ujar Haji Salim dalam sinar lampu
gasolin yang menyinar menerangi tiap sudut ruang.
Datuk sandarkan badan ke dinding. Isteri Haji Salim menyorongkan tepak
sirih. Sehelai daun sirih yang besar dan hijau segar Datuk ambil. Datuk renung
urat-urat sirih yang berselirat. Datuk letakkan kembali daun sirih ke tempat
asalnya kembali.
“Ada sedikit petua yang nak kita sampaikan pada awak,” Haji Salim
bersuara tenang.
“Petua apa tua?” sahut Datuk.
“Nanti dulu, lepas sembahyang Subuh kita bagi tahu.”
“Tak apalah, saya tunggu.”
“Bila kita bagi tahu, amalkan petua tu.”
“Tengoklah, kalau sesuai dan saya yakin pula, tentulah saya amalkan.”
“Baguslah tu.”
Datuk dan Haji Salim berbalas senyum. Angin malam yang masuk melalui
jejaring bahagian atas dinding rumah, membekalkan rasa dingin pada diri saya.
Datuk menegakkan kaki kiri dan terus memeluk kepala lutut. Haji Salim memicit
daging lengan kirinya perlahan-lahan. Suasana begini amat membosankan bagi diri
saya.
Bunyi cengkerik dan dedaun yang disentuh angin jelas kedengaran.
Sesekali gegendang telinga saya menangkap bunyi suara kucing biang menggaru
papan, terdengar juga suara burung jampuk merayu di hujung dahan.
Isteri Haji Salim terus merendang ikan pekasam, baunya cukup
menyelerakan. Saya kira, isteri Haji Salim seorang yang cukup cekap membuat
kerja-kerja di dapur.
Kalau saya mahu mencari calon isteri, saya pasti memilih gadis yang
memiliki tingkah laku macam isteri Haji Salim. Barangkali cucunya, Saadiah
mewarisi perangai yang terpuji itu. Saya senyum sendirian.
Saadiah berwajah manis, memiliki lesung pipit di pipi, berkulit cerah
terus terbayang di ruang mata. Bagi saya, Saadiah gadis melayu yang cukup ayu,
bersopan santun tetapi berat mulut. Sinar matanya cukup tajam.
Pernah saya bermimpi berjalan dengannya sambil berpegang tangan. Dan
mimpi itu tidak pernah saya ceritakan pada sesiapa.
“Kenapa senyum seorang diri,” kejut Haji Salim. Matanya merenung muka
saya. Apakah Haji Salim dapat membaca rahsia hati saya? Kalau benar, perkara
itu amat memalukan, fikir saya.
“Orang yang senyum sendiri, dipermainkan syaitan,” tambah Haji Salim
lagi. Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat Haji Salim.
“Begini Pak Aji, saya fikir orang yang senyum sendiri dan bercakap
sendiri tu bukan dipermainkan syaitan. Tetapi ia melepaskan sesuatu yang
tersembunyi dalam hatinya,” antara berani bercampur takut, saya menjawab
kata-kata Haji Salim.
“Betul cakap kamu tu Tamar. Tapi syaitan tu selalu mengambil kesempatan
dari orang yang suka mengikut perasaan,” jawab Haji Salim.
“Macam mana nak mengatasinya Pak Aji?”
“Kita mesti selalu beristighfar Tamar.”
“Sekarang kau dah faham,” celah Datuk.
“Faham,” jawab saya.
Ingatan saya pada Saadiah terus punah. Kesal juga rasa hati bila
khayalan dikacau oleh orang lain. Saya terus menelan air liur. Harapan terus
juga berbunga, semoga pada satu waktu dan ketika, saya dapat bertutur sepatah
dua dengan Saadiah yang saya rindui secara diam-diam.
Saya menguap panjang. Badan kian bertambah dingin. Bunyi angin malam
kian keras bertiup di luar. Suara anjing terdengar sayup-sayup di pinggir
kampung.
Haji Salim bangun menuju ke ruang kerjanya. Datang kembali ke tempat
saya dan Datuk dengan sebilah keris tanpa ulu. Keris itu diletakkan atas
lantai.
Haji Salim bangun kembali. Kali ini masuk ke bilik tidurnya. Entah apa
yang dibuatnya di dalam, tidak ada sesiapa pun yang tahu. Haji Salim keluar
dari bilik. Di tangannya ada ulu keris berbentuk kepala burung garuda.
“Ulu dan mata keris ni, saya berikan awak.”
“Terima kasih,” Datuk menyambut pemberian itu dengan wajah tenang.
Beberapa saat, Datuk menatap ulu dan mata keris itu dengan teliti sekali. Saya
lihat Datuk menarik nafas dengan penuh bersemangat.
“Kenakan ulu dan matanya pada pagi Jumaat, buat sarungnya pada pagi
Isnin, ini petua.”
“Usah bimbang, pesan awak saya buat.”
“Simpanlah baik-baik.”
“Sudah tentu.”
Datuk terus menatap wajah Haji Salim tanpa berkedip. Haji Salim tetap
mempamerkan senyuman yang cukup manis. Dua tiga kali, saya terdengar batuk
isteri Haji Salim di dapur. Haji Salim terus memperkemaskan silanya.
“Awak ada dengar cerita, ilmu dunia boleh mengambil nyawa manusia,”
Datuk bagaikan terkejut mendengar kata-kata dari Haji Salim.
“Takbur dan bidaah,” sahut Datuk.