Kelawar Puntianak
Biji-biji getah yang dikutip saya lambakkan atas tanah. Datuk masih lagi
menjalin bilah buluh dengan rotan. Dia membuat lukah (bubu) baru yang
panjangnya satu hasta dengan injap bermata belas. Memang perangai Datuk, kalau
membuat lukah, mesti dimulakan waktu matahari terbit. Bila matahari sudah
tinggi segalah, kerja itu diberhentikan.
Kalau diteruskan, lukah yang dibuat tidak membawa tuah. Ertinya, tidak
ada ikan yang mahu masuk dalam lukah. Saya terus memecahkan kulit biji getah
dengan kayu. Isinya saya taruh dalam penapis buluh.
“Jumlahnya mesti ganjil,” tegur Datuk ketika saya mencucukkan dawai
halus ke dalam isi biji getah untuk umpan lukah.
Saya terpaksa mengira kembali isi biji getah yang sudah dicucuk
berangkai. Semua jumlahnya ganjil belaka. Tetapi, ada satu yang mesti saya
patuhi. Isi biji getah itu tidak boleh dilangkah, tidak boleh kena bayang.
“Sekarang kau masukkan umpan biji getah ke dalam lukah yang kita angkat
dari sungai pagi tadi, sandarkan ke pangkal pokok manggis,” Datuk suruh dengan
hati-hati. Kalau tersilap, pasti Datuk bertempik dari atas pelantar.
“Menahan lukah dengan umpan biji getah ni bagus, bila biji getah tu dah
masam, ikan akan mencari sampai ke dalam bubu,” Datuk tersenyum dan terus
bangun.
Semua bilah buluh, rotan serta pisau peraut diletakkannya dalam bakul
mengkuang. Datuk tidak mahu meneruskan kerja tersebut kerana matahari sudah
meninggi.
“Tuk nak ke mana?”
“Aku nak tengok putik Salak Jambi,” katanya.
“Tapi tuk, orang yang berjanji dengan kita dulu datang hari ini,
tempohnya dah cukup.”
“Aku tahu, dia orang datang sebelah petang,” balas Datuk dengan tenang.
Langkahnya dipercepatkan menuju ke perdu Salak Jambi yang ditanamnya tidak jauh
dari kawasan rumah.
Saya tidak tahu, kenapa Datuk menaruh perhatian yang besar pada perdu
Salak Jambi yang jumlahnya tidak sampai lima perdu.
Datuk Cuma memberitahu saya yang pokok salak itu benihnya dibawa dari
tanah Jambi.
Buahnya besar dan agak panjang bentuknya, berbeza dengan buah salak dari
Pahang dan Terengganu. Rasanya manis dan isinya juga tebal.
Datuk tidak pernah menjual buah salaknya. Dia lebih suka memberi percuma
pada orang-orang kampung. Datuk juga menyuruh orang-orang yang menerima
pemberiannya menanam biji salak tersebut.
Kata Datuk, pada satu waktu nanti, buah salak akan menjadi buah yang
berharga dan amat digemari orang ramai. Hanya keadaan saja yang dapat
menentukan kebenaran dari kata-kata Datuk itu.
Saya mengelap peluh yang mula mengalir di bahu dengan telapak tangan.
Matahari terus memancar dengan garang. Semua kulit-kulit biji getah yang
bertaburan atas tanah saya kumpulkan dalam kertas lalu saya buangkan ke tempat
sampah. Petang nanti akan saya bakar.
TEGUR
“Apa yang kau menungkan,” tegur nenek bila melihat saya termenung
panjang di halaman rumah. Saya tidak menjawab pertanyaan kecuali memberikan
senyum mesra.
“Kenapa tak ikut tuk tengok pokok salak?”
“Habis kau nak buat apa.”
“Saya nak pergi ke surau, saya nak main gasing dengan kawan-kawan di
situ.”
“Ikut suka kaulah,” balas nenek.
Saya terus ke surau. Sampai di halaman surau saya lihat sudah ada dua
tiga orang kawan-kawan main gasing. Saya turut campur dalam permainan tersebut.
Saya bangga kerana gasing yang saya buat dari kayu limau berjaya memecahkan dua
buah gasing kawan. Setiap kali saya memangkah gasing dalam gelanggang
kawan-kawan semuanya terdiam. Mereka tumpukan perhatian ke arah saya. Kerana
terlalu asyik bermain, saya pulang ke rumah kira-kira pukul lima petang dengan
perut yang lapar.
Mungkin kerana ada tetamu di rumah, Datuk tidak marah pada saya. Macam
selalu, pukul berapa saya pulang, nenek yang baik hati akan menyediakan
hidangan untuk saya. Nenek cuma menasihatkan saya supaya jangan mengulangi
perbuatannya yang tidak disenangi oleh Datuk.
Datuk tidak marah saya bermain gasing dengan kawan-kawan. Apa yang jadi
pantangnya, kerana asyik main, saya lupa sembahyang Zuhur serta lewat
menunaikan fardu Asar.
“Bila kau main gasing sampai melupakan perintah Allah, ertinya kau
bermain dengan syaitan,” kata Datuk dengan nada suara yang lembut, ketika saya
melintas di depannya menuju ke bilik.
Tetamu yang datang menjeling ke arah saya. Terasa tebal kulit muka bila
saya disindir begitu. Saya terus memencilkan diri dalam bilik.
“Sudah awak buat perkara yang saya suruh,” saya terdengar suara Datuk.
Telinga saya rapatkan ke dinding. Saya tidak dapat mengawal perasaan ingin tahu
yang timbul meluap-luap dalam dada.
“Sudah,” terdengar suara perempuan menjawab. Pasti suara Sariyah.
“Apa kesannya?”
“Anak-anak ular hitam dan belalang tidak datang lagi. Tetapi, saya tidak
dapat tidur lena, selalu terjaga, mimpi yang bukan-bukan.”
“Apakah mimpi yang kau alami sama pada setiap malam?”
“Ya sama.”
“Apa mimpinya.”
“Orang hitam berbadan besar menangkap saya, dibawa ke sarang ular bisa.
Saya mahu dicampakkan ke situ. Bila saya menjerit saya terus terjaga.”
“Pelik,” kata Datuk.
Dengan tiba-tiba bulu roma saya tegak. Saya terasa macam ada makhluk
halus yang tidak dapat saya lihat berdiri di belakang saya. Dan saya rasakan
makhluk itu berbadan besar seperti apa yang diceritakan oleh Sariyah pada
Datuk. Saya lawan perasaan yang terjadi dalam diri saya itu. Makin saya lawan,
makin terasa seram. Benda ganjil yang tidak dapat dilihat itu seperti
mengarahkan biji matanya ke arah saya.
Saya terus meluru keluar. Duduk dekat Datuk. Saya lihat wajah Datuk
begitu tenang, seolah-olah dia mengerti dengan apa yang terjadi. Sariyah dan
ibunya tercengang melihat kedatangan saya itu.
“Sekarang awak urut perempuan ini lagi,” beritahu Datuk pada nenek. Dahi
nenek nampak berkedut.
“Tak payah pasang tirai? Awak ni dah mengarut nak mengurut perempuan di
depan lelaki,” nenek melahirkan protes dalam senyum. Datuk terdiam sejenak.
“Tak payah, bawa dia masuk ke dalam bilik Tamar.”
“Lagi?”
“Saya akan memberi perintah dari luar macam yang kita buat dua minggu
lalu.”
“Awak tahu, lepas saya mengurut perempuan ini dua minggu lalu, saya
mimpi seperti apa yang diceritakannya pada awak, kemudian seluruh badan saya
terasa bisa-bisa.”
“Kenapa awak tak cakap?”
“Malas nak cakap dengan awak,” nenek menjuihkan bibirnya ke depan. Datuk
tersenyum panjang.
Sariyah dan ibunya masuk ke dalam bilik saya dengan ditemani oleh nenek.
Datuk memperkemaskan silanya dengan meletakkan kedua belah lengannya atas kedua
belah tempurung lututnya. Kedua belah matanya Datuk rapatkan.
“Urut rusuk kiri bawa ke kanan. Berhenti di situ. Tekan pangkal pusatnya
dengan tangan kiri. Tangan kanan tekan pangkal pinggangnya kuat-kuat,” begitu
Datuk mengeluarkan arahan dengan mata terpejam. Saya kira nenek tentu mengikut
apa yang Datuk suruh.
“Aduhhh, tolong,” saya terdengar suara Sariyah.
“Jangan lepaskan, biar dahinya berpeluh,” balas Datuk.
“Ada ketul keras macam batu,” jawab nenek.
“Tekan, jangan lepas,” balas Datuk.
“Tolong sayaaaa,” suara Sariyah bertambah lemah. Akhirnya saya terdengar
Sariyah mengeluh kuat. Lepas itu tidak terdengar apa-apa.
Dalam masa yang sama, tanpa angin. Daun-daun tingkap bergerak lalu
menghempaskan kayu jenang, melahirkan bunyi yang kuat macam ada orang yang
membuka dan menutup, kain langsir putus dari pengikatnya, tidak ubah macam
direntap oleh tangan manusia dengan kasar.
PEDULI
Datuk tidak mempedulikan keadaan yang agak ganjil itu. Dia terus
pejamkan matanya. Dan suasana yang tidak menyenangkan itu terus hilang.
“Sudah lepaskan bahagian yang awak pegang,” seru Datuk dari luar. Saya
terdengar suara Sariyah kembali dengan keadaan normal, bercakap sesuatu dengan
ibunya.
“Sekarang genggam penumbuk di tangan kiri dan tekankan ke perut
perempuan itu di bahagian pusatnya,” sambil mengeluarkan perintah itu Datuk
membuka silanya lalu bertinggung untuk beberapa minit. Datuk duduk kembali.
“Buka tangan awak dan lihat apa yang ada.”
“Serpihan papan berbalut kain merah,” jawab nenek.
“Masukkan barang itu ke dalam mangkuk putih, tutup dengan kain atau
kertas, kemudian bawa pada saya,” selesai saja Datuk bercakap, kedua belah
kelopak matanya dibuka.
Nenek keluar dari bilik lalu meletakkan mangkuk putih bertutup kain di
hadapan Datuk. Bila nenek mahu melangkah ke dalam bilik Datuk terus bersuara:
“Awak urut dia macam awak mengurut perempuan yang baru lepas bersalin
tiga hari.”
“Baiklah.”
Nenek masuk ke bilik lalu melakukan apa yang Datuk suruh. Bila nenek
selesai mengurut, Sariyah dan ibunya segera keluar.
Saya lihat muka Sariyah berseri-seri dan merah, macam wajah anak dara
yang baru berusia belasan tahun. Kalau dilihat sekali imbas, pasti orang tidak
menyangka yang Sariyah sudah punya anak lima.
Saya tidak menafikan, sesungguhnya dalam usia saya yang begini, saya
memang tertarik pada dirinya. Air mukanya begitu menarik dan menawan boleh
membuat lelaki tidak tidur malam.
Mereka terus duduk di hadapan Datuk. Saya lihat kulit Sariyah yang
kemerah-merahan itu bersih dan gebu sekali, tidak terlihat lubang-lubang bekas
jerawat seperti sebelumnya. Kulitnya cukup lembut sekali.
“Awak mesti mematuhi syarat-syarat yang saya berikan ini, jika awak
benar-benar mahu masalah yang awak alami ini berakhir,” kata Datuk sambil
merenung wajah Sariyah dan ibunya.
“Apa dia syarat-syaratnya tu?” Tanya ibu Sariyah macam tidak
sabar-sabar. Datuk termenung sejenak.
“Mudah saja, syarat pertama jangan meninggalkan sembahyang lima waktu,
membaca Yasin malam Jumaat dan selalu bersedekah pada anak-anak yatim atau
orang miskin bila awak mampu berbuat begitu,” Datuk bercakap sebentar.
“Syarat kedua, jangan mengatakan atau membabitkan orang lain yang
kononnya penyakit awak ni, adalah perbuatan orang lain, itu perbuatan yang
salah,” Datuk raba pangkal tengkuknya sejenak.
“Awak mesti berbaik dengan ipar dan mak mentua awak,” tambah Datuk lagi.
“Kalau mereka menolak dan menyakitkan hati saya bagaimana?” Tanya
Sariyah.
“Awak harus bersabar, biar apa pun yang mereka lakukan jangan melawan
mentua, emak mentua sama juga dengan emak sendiri, kalau tidak tahan dengan
sikapnya, cari jalan asalkan jangan sampai timbul permusuhan, saya tidak mahu
awak memberitahu orang lain awak berubat di sini.”
“Saya berjanji dan saya berterima kasih pada tuan.”
“Jangan berterima kasih pada saya tetapi, bersyukurlah pada Allah kerana
dengan Allah juga, saya boleh menolong awak, jangan panggil saya tuan, panggil
saja ayah atau pakcik.
“Ya ayah.”
“Kerana awak saya kira perempuan yang baik dan jujur, mulai dari hari
ini awak saya anggap macam anak saya sendiri,” Datuk luahkan apa yang tersirat
dalam hatinya.
Sariyah dan ibunya berpandangan. Mereka pun berbalas senyum tetapi,
tidak dapat mengatasi senyum nenek yang membayangkan kepuasan tersendiri.
Dengan wajah yang manis Datuk menyuruh saya memetik tujuh helai daun
sirih yang bertemu urat di belakang rumah. Suruhannya itu segera saya patuhi.
Tujuh helai daun sirih bertemu urat saya serahkan padanya.
Datuk patahkan semua tangkai sirih, begitu juga dengan bahagian
hujungnya. Tiap daun sirih Datuk lipat tiga. Semua tulang belakang daun sirih
Datuk buang. Daun-daun sirih yang sudah dilipat itu Datuk taruh tiga butir gula
pasir.
“Ini bukan apa-apa, cuma petua untuk penyeri wajah kamu, tiap-tiap daun
sirih ini ada tiga biji gula putih, jangan jatuhkan gula-gula itu, selepas
bangun tidur kumur mulut dan kunyah daun sirih ini hingga hancur, telan hampasnya
sesudah itu barulah kamu basuh muka dengan air suam, kenakan air itu ke seluruh
kulit muka kamu,” kata Datuk.
Sebelum Datuk serahkan daun-daun sirih pada Sariyah Datuk membaca
sesuatu.
“Pantangnya, jangan makan benda-benda masam dan pahit sebelum masuk
waktu Asar selama tiga bulan, lepas itu tak apa,” Datuk mengingatkan Sariyah.
Semua daun sirih yang dibungkus itu diserahkan pada Sariyah. Datuk juga
mengingatkan Sariyah supaya daun sirih itu jangan dilangkah atau terkena bayang
diri.
“Berapa upahnya ayah?” Soal Sariyah.
“Saya tidak mencari rezeki cara ini.”
“Tapi ayah sudah menolong saya.”
“Ayah tidak menolong awak, Allah yang berkuasa menolong awak, saya cuma
berusaha, kalau Allah tidak mengizinkan, usaha saya tidak berjaya, lupakan hasrat
awak tu.”
“Oh…” keluh Sariyah.
“Pulanglah ke rumah awak, jangan lupa dengan syarat yang saya kenakan,”
ujar Datuk dengan tenang.
Sariyah dan ibunya terus bersalaman dengan nenek. Kemudian mereka
meninggalkan rumah dengan tenang.
“Apa yang awak rasa waktu mengurutnya tadi,” Datuk bertanya pada nenek.
“Sudah banyak berubah, sudah cukup syaratnya sebagai seorang isteri,
semua urat-urat dalam perut dan sendinya bergerak macam manusia yang sempurna,
tidak terasa macam papan sekeping, sudah ada lekuknya, sebagai orang perempuan
saya tahu apa yang ada pada diri seseorang isteri, semuanya itu ada pada
Sariyah,” jelas nenek pada Datuk. Datuk puas hati dengan keterangan yang
diberikan oleh nenek itu.
PISANG
Matahari sudah mula condong tetapi, Datuk masih juga mahu mengajak saya
ke kebun pisang. Saya tidak tahu kenapa Datuk harus pergi ke tempat tersebut
dalam waktu begini.
Biasanya, kalau matahari sudah condong, Datuk tidak mahu pergi ke kebun
pisang.
Dia lebih suka menghabiskan masa petangnya membuat kerja dalam rumah
hingga menjelang waktu Maghrib.
“Sudah petang benar tuk.”
“Tak apa, bila hari sudah remang-remang senja kita baliklah ke rumah.”
“Tak apalah tuk,” balas saya.
Saya dan Datuk pun menuju ke kebun pisang. Dedaun pisang yang tua
dibuang. Anak-anak pisang yang tumbuh banyak di sesuatu perdu dikurangkan
menjadi satu atau dua. Buah-buah pisang yang sudah cukup tua diambil untuk
dibawa pulang.
Saya begitu seronok bekerja dalam suasana petang yang begitu tenang dan
aman. Datuk juga begitu.
Tanpa disedari matahari kian rapat ke kaki langit, suasana yang terang
mula beransur kelam, beburung kelicap sudah mula kurang hinggap di jantung
pisang. Semuanya pulang ke sarang.
“Sudah beransur gelap tuk,” saya mengingatkan Datuk.
“Tunggu sikit lagi Tamar, biar aku buang anak pisang yang tak berguna
ni,” Datuk masih lagi membongkok di perdu pisang.
Bila kerjanya selesai di perdu pisang tersebut, Datuk meneruskan
kerjanya di perdu pisang lain.
Tidak ada tanda-tandanya yang Datuk akan pulang segera. Dia sungguh
asyik dengan kerjanya. Cara ini membuat saya resah dan gelisah.
Hari sudah beransur gelap. Suara gagak liar terbang senja mula
kedengaran. Beberapa ekor gagak liar terus hinggap di pokok pisang sambil
berbunyi.
Saya baling burung-burung gagak itu dengan kayu. Burung-burung terbang
sebentar kemudian datang semula ke pokok pisang sambil berbunyi. Saya cuba
sorak dengan suara yang kuat. Burung-burung gagak itu tidak peduli. Terus
berbunyi seolah-olah tidak takut dengan manusia. Saya jadi lemas dalam keadaan
yang tidak menyenangkan itu.
Hari mula beransur gelap. Puncak bukit yang letaknya tidak jauh dari
kawasan kebun pisang sudah tidak jelas untuk saya tatap. Burung-burung gagak
liar terus berbunyi. Saya terus berlari ke arah Datuk. Darah saya tersirap.
Datuk sedang berguling-guling atas tanah. Tiga ekor kelawar yang bentuk
tubuhnya lebih besar dari kelawar yang biasa saya temui, menuju ke arah pangkal
leher Datuk. Suara kelawar itu cukup nyaring sambil mengeluarkan giginya yang tajam
berbentuk taji ke arah Datuk. Suara kelawar itu juga berbeza dengan suara
kelawar biasa, begitu juga dengan bentuk giginya.
Dalam keadaan yang berguling-guling itu Datuk sempat membelitkan
daun-daun pisang kering ke batang lehernya. Cara Datuk mempertahankan diri dari
jadi mangsa kelawar aneh itu. Dalam keadaan yang cemas itu, salah seekor dari
kelawar tersebut menjunamkan badannya ke arah Datuk.
Dengan cepat Datuk menghalakan parang panjangnya ke arah kelawar.
Tetakan dari Datuk tidak kena sasaran. Dan kelawar itu sempat membenamkan
kukunya ke lengan kiri Datuk. Baju di lengan terbelah dua. Dalam keadaan yang
samar-samar itu, saya melihat darah mengalir dari lengan kiri lalu membasahi
seluruh lengan baju yang berwarna putih. Suara kelawar bertambah kuat, bagaikan
orang bersorak dalam sesuatu perlawanan bola.
“Berlindung Tamar,” jerit Datuk, saya segera berlindung di balik pokok
pisang.
Datuk saya lihat berjaya bangun. Dia terus menghayun parang panjangnya
ke arah tiga ekor kelawar. Salah seekor dari kelawar itu terkena parang
panjang. Sayapnya putus dua. Kelawar itu jatuh atas tanah. Sementara yang dua
ekor lagi terus menyerang bertubi-tubi ke arah muka Datuk. Saya terdengar suara
Datuk menjerit, mukanya mula berdarah. Datuk terus berjuang hingga kedua-dua
ekor kelawar aneh itu terkorban. Datuk segera menghampiri saya. Darah masih
lagi mengalir di mukanya.
“Pipi kanan aku kena cakar,” kata Datuk tercungap-cungap sambil mengesat
darah di mukanya dengan pucuk pisang yang belum kembang.
“Kelawar apa tu tuk, ganjil benar rupanya.”
“Kelawar jenis ni menghisap darah manusia dan binatang, kata orang
kelawar pontianak. Selalunya kelawar jenis ini berada dalam hutan tebal
terutama di kawasan yang banyak terdapat rusa, landak dan harimau, banyak pemburu
yang jadi korbannya,” Datuk menerangkan pada saya.
“Macam mana boleh masuk ke kampung kita tuk?”
“Entahlah, agaknya sudah banyak hutan yang dibuka orang atau sudah tak
ada harimau dan rusa lagi dalam hutan, kelawar jenis ni mencari mangsa waktu malam.”
“Seram saya tuk.”
“Apa mahu diseramkan, mari kita balik, hari dah gelap benar. Waktu
Maghrib sudah masuk,” balas Datuk.
Memang benar hari sudah gelap. Suasana dalam kebun pisang terasa kurang
menyenangkan. Belum pernah Datuk meninggalkan kebun pisang dalam keadaan
begini.
Sambil melangkah saya terus merenung ke kiri dan ke kanan. Saya lihat
dedaun pisang terus bergerak, walaupun tiada angin yang bertiup. Saya lihat
beberapa ekor burung gagak liar berterbangan tanpa suara.
“Datuk,” jerit saya. Datuk pun mematikan langkahnya.
“Ada apa Tamar?”
“Tuk tengok ke kanan.”
Datuk segera toleh ke kanan. Dia tidak berkata apa-apa. Badan saya terus
menggeletar. Siapa yang tidak menggeletar bila melihat bayang manusia yang
besar dan tinggi bergerak dalam kebun pisang sambil mematahkan batang-batang
pisang.
Dalam saat-saat tertentu, bayang-bayang itu memperlihatkan bentuk
badannya yang sebenar. Wajahnya mengerutu. Dagunya panjang. Kepalanya botak dan
kuku dari sepuluh jarinya terjulur kira-kira dua kaki. Biji matanya terperosok
ke dalam dan mengeluarkan cahaya yang halus.
“Tak ada apa-apa pun Tamar,” balas Datuk.
“Ada hantu tuk.”
“Ah jangan mengarut mana ada hantu di sini, cepat jangan fikir yang
bukan-bukan.” Sergah Datuk.
Saya cuba melangkah tapi tidak terdaya. Bayang-bayang itu serasa memburu
saya. Bila melihat keadaan saya begitu. Datuk terus mendukung saya. Sampai di
rumah saya diletakkan di anjung. Saya terkapar di situ. Tidak terdaya bangun.
Sendi-sendi badan terasa tidak dapat digunakan seperti selalu. Datuk terus
menunaikan fardu Maghrib. Sementara menanti Datuk selesai sembahyang
bayang-bayang aneh itu terus mengganggu saya dalam pelbagai bentuk.
Ada ketikanya wajah yang mengerutu itu mengeluarkan darah ke seluruh
muka. Ada ketika lain pula bertukar menjadi wajah yang paling hodoh dengan mata
satu di tengah dahi. Dari kulit wajah yang hodoh itu keluar beribu cacing
tanah. Dan cacing itu dimakannya macam orang makan mi rebus atau mi goreng.
Paling menakutkan bila bayang-bayang itu mempamerkan giginya yang
bertaring dua. Darah celah-celah taring kulit keluar ulat tidak ubah macam ulat
tahi dengan bau yang amat busuk. Saya tidak terdaya melawan. Hanya berserah
pada Allah.
“Ayahmu menghalang apa yang aku buat, sekarang aku mahu kamu merasakan
kesakitan dari apa yang aku buat,” terdengar bergemuruh suara dari
bayang-bayang tersebut, waktu saya mendengar suara itu, saya melihat cacing
tanah berguguran dari wajahnya lalu menimpa muka saya.
Kemudian, saya terlihat kaki besar, seperti kaki gajah yang kulitnya
berlapis-lapis. Dari lapisan kulit yang berbulu itu mengalir nanah bercampur
darah bersama ulat-ulat halus yang bentuknya panjang, kira-kira dua inci.
Ulat-ulat itu bergerak ke kiri dan ke kanan.
Anehnya, kaki itu cuma sebelah sahaja yang dapat saya lihat. Lagi
sebelah saya tidak tahu ke mana perginya. Kaki gajah itu bergerak untuk memijak
dada saya. Sampai di sini saya tidak terdaya lagi. Saya terus menjerit.
SUARA
Datuk dan nenek terus menerpa pada saya. Mereka meraba seluruh badan.
Saya tidak terdaya mengeluarkan suara. Tekak saya terasa amat kering dan panas
sekali.
“Ambilkan aku semangkuk air,” saya terdengar suara Datuk. Air yang
diminta segera nenek adakan. Diserahkan pada Datuk. Dengan tenang Datuk membaca
surah Al-Fatihah yang jumlahnya saya tidak tahu. Datuk curahkan air itu ke muka
saya. Bila air terkena muka baru saya boleh bersuara dan tekak tidak terasa
panas lagi.
“Apa yang kau nampak Tamar?”
“Benda dari kebun pisang datang.”
“Apa yang dibuatnya pada kamu?”
“Mahu memijak dada saya tuk.”
“Kenapa kau tak baca ayat Quran yang aku ajar untuk menghalau syaitan.”
“Saya terlupa tuk.”
“Ah…,”
Datuk dan nenek terus mengusung saya ke bahagian dapur, saya dimandikan.
Kemudian saya diletakkan atas katil lalu diselimutkan dengan kain tebal.
Nenek terus mengurut badan saya.
“Cuba bangun dan berjalan,” saya terdengar suara Datuk. Selimut saya
buka. Saya turun dari katil dan cuba melangkah. Saya terjatuh. Sepasang kaki
saya jadi lemah dengan tiba-tiba.
Kerana saya tidak mahu ditinggalkan sendirian di atas katil, nenek dan
Datuk terpaksa mengusung saya ke tengah rumah. Saya disuruh duduk bersandar
pada dinding. Nenek meneruskan kerjanya di dapur. Dan Datuk terus membaca
al-Quran.
Lebih kurang pukul dua belas tengah malam, Datuk berhenti dari membaca
Quran. Suasana malam terasa sepi dan dingin sekali. Saya sudah dua kali
terlelap dalam duduk. Datuk sudah bersedia untuk melakukan sembahyang sunat,
sebelum melakukan sembahyang istikharah.
Tiba-tiba Datuk menghampiri saya. Dia tidak jadi melakukan sembahyang
sunat.
“Kalau kau mengantuk, biar tuk bawa kau ke dalam bilik.”
“Tak apa tuk, biarlah saya di sini.”
“Kalau sudah begitu kata kau, tak apalah.”
Tanpa diduga Datuk terus menarik sepasang kaki saya dengan kuatnya. Saya
terus jatuh. Tetapi, saya tidak merasa sakit di bahagian kaki yang Datuk tarik.
Saya tidak merasakan apa-apa. Jauh sekali untuk menjerit dan mengadu sakit.
Datuk mendudukkan saya seperti sediakala. Air mukanya nampak berubah.
Saya dapat menduga Datuk berada dalam keadaan pilu dan hampa yang amat sangat.
Tetapi, dia tidak mengeluarkan air mata. Datuk terus memeluk dan mencium dahi
saya.
“Tamar, kau lumpuh dengan tiba-tiba, kau tidak dapat menemani Datuk ke
mana-mana, apa dosa cucuku hingga dia jadi begini,” keluh Datuk. Dia terus
mencium saya dan saya terasa air matanya mengalir di dahi saya.
Datuk terus masuk bilik mengambil bantal. Dia suruh saya baring dan
badan saya terus diselimutkan. Saya lihat Datuk berada dalam keadaan yang serba
salah. Sekejap menggigit bibir, sekejap menggigit bibir dan lidah.
Datuk terus membuka pintu dengan luasnya. Saya dapat melihat keadaan
yang gelap di luar. Angin malam terus menyerbu masuk ke dalam rumah. Suara
pungguk terdengar sayup-sayup, bersama dengan bunyi suara kucing jantan mencari
betina.
Belum pernah saya lihat Datuk melakukan pekerjaan seperti itu. Macam
kerja orang bodoh membuka pintu rumah waktu malam. Tidak ada sesuatu keindahan
yang dapat dilihat dalam malam yang pekat, selain dari rasa sejuk, bunyi burung
pungguk, bunyi burung hantu dan lolongan anjing liar yang memanjang dan
menyeramkan.
Datuk terus duduk menghadapi pintu yang terdedah. Kerana perbuatan itu
agak asing bagi diri saya lantas saya menyoal.
“Kenapa buka pintu tuk?”
“Ada tetamu yang nak datang malam ni, begitulah mengikut petua dan gerak
tubuhku Tamar.”
“Siapa orangnya tuk? Orang gila saja yang berjalan malam.”
“Aku sendiri pun tak tahu, kalau yang datang baik, baiklah yang aku
beri, kalau jahat yang datang, jahatlah yang aku beri,” kata Datuk.
Datuk terus duduk menghadapi muka pintu yang terdedah. Lengan bajunya
yang agak labuh itu nampak bergerak-gerak disentuh angin, begitu juga dengan
hujung rambutnya yang terjulur dari bawah songkok hitamnya.
Saya terdengar bunyi kucing menggaru papan yang diikuti dengan suara
burung tukang dan jampuk bersahut-sahutan. Datuk masih lagi duduk di tempatnya.
“Masuk,” saya terdengar suara Datuk. Serentak dengan itu sekeping papan
yang panjangnya kira-kira lebih dari lima kaki masuk ke tengah rumah menerusi
pintu, macam ada tangan ajaib yang menolak papan itu masuk.
Papan sekeping yang sudah agak reput itu membawa beberapa cebisan kain
putih yang terlekat pada papan tersebut tertanggal dengan sendirinya.
“Bukan papan dan kain saja yang datang, ada pengikutnya kenapa tak
tunjukkan diri, bukankah kita semuanya makhluk Allah,” ujar Datuk dengan
tenang.
Habis sahaja Datuk bercakap, semua tingkap rumah yang tertutup terbuka
dengan sendiri. Kemudian tertutup kembali. Papan sekeping di tengah rumah terus
bergerak tersandar pada dinding.
“Ada yang mengangkat dan mengubahnya, aku tahu iblis dan syaitan selalu
menipu dan menggoda manusia mengikut kemampuan yang ada pada diri manusia,
kalau manusia boleh mengubat manusia yang sakit, syaitan akan mencelah untuk
memesongkan keyakinan orang itu, kalau boleh cuba mahu memaksa orang itu
memainkan ayat-ayat Quran untuk tujuan yang tidak baik,” Datuk terus
berkata-kata dengan tenang.
Datuk terus berdiri. Saya lihat di depannya wujud seorang lelaki
berjanggut dan berjubah membawa tasbih. Orang itu tersenyum pada Datuk. Bila
Datuk hulurkan tangan untuk bersalam orang itu tidak mahu menyambutnya.
“Tak apa kau tak mahu bersalam dengan aku. Tetapi, aku megah kerana kau
datang dalam keadaan begini, kau datang seperti orang alim yang taat pada hukum
Allah, kau berbuat begitu kerana kau tahu aku selama ini patuh dengan perintah
Allah,” tambah Datuk lagi.
Orang itu tersenyum. Dia terus membilang tasbih di tangan.
“Kau halang kerja aku?” suara lelaki itu keras.
“Halangan itu terjadi dengan izin Allah.”
“Tapi, aku memberi pertolongan pada orang yang memerlukan pertolongan,
bukan itu jalan kebaikan.”
“Bukan pertolongan, kau mahu memisahkan sebuah rumah tangga yang
didirikan oleh manusia dengan cara yang betul. Allah tidak menyuruh sesiapapun
di dunia memisahkan si suami dengan isteri yang dinikahinya secara halal.”
Orang itu terdiam. Datuk tetap tenang. Saya saksikan kejadian dengan
penuh minat, meskipun kedua belah kaki saya ketika itu berada dalam keadaan
lumpuh.
“Aku ini Wali Allah, jangan permainkan aku.” Orang berjanggut dan
berjubah tinggikan suara. Tasbih di tangan terus di bilangnya tanpa berhenti.
“Tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa dirinya Wali Allah, sama ada
orang itu Wali atau tidak ditentukan oleh Allah Yang Maha Besar, bukannya
dirinya sendiri atau manusia yang masih hidup menentukannya, kau syaitan,”
pekik Datuk.
Lelaki berjanggut dan berjubah jegilkan biji mata. Datuk terus membaca
ayat-ayat dari al-Quran. Tiba-tiba lelaki itu terus hilang. Tempatnya, segera
digantikan oleh bayang seorang lelaki.
Orangnya berbadan sederhana, memakai songkok dan misai tebal. Sekali
imbas orang itu macam seorang yang baik dan warak. Orang itu merenung wajah
Datuk.
Beberapa saat kemudian bayang orang itu hilang. Begitu juga dengan papan
sekeping di tengah rumah.
Datuk rapatkan daun pintu. Datang menghampiri saya. Badan saya
digosoknya berkali-kali.
“Masih ada halangan yang panjang kerana aku menolong Sariyah dan
menjadikan dia anak angkat aku,” kata Datuk.
“Siapa orangnya tuk.”
“Aku tak kenal, tapi orang itu berteduh di bawah ketiak syaitan, banyak
menggunakan ilmu salah dan sihir dalam menolong orang, pandai memainkan
ayat-ayat suci untuk tujuan jahatnya.”
“Kenapa begitu tuk?”
“Aku pun tak tahu, mungkin untuk dihormati mungkin juga untuk mencari
wang, dan orang itu satu ketika akan membalas dendam,” keluh Datuk sambil
merenung wajah saya.