Darah Dalam Mulut Gadis
Haji Salim menggigit bibir. Matanya merenung wajah saya dan Datuk
sebentar. Ia menarik nafas panjang sambil menepuk pangkal lengan Datuk.
“Bagaimana kalau kebolehan yang ada pada awak dan saya disatukan untuk
menentang perkara jahat.”
“Saya juga terfikir ke arah itu tapi…,” Datuk tidak meneruskan
kata-katanya. Saya lihat Datuk kerutkan kening macam ada sesuatu masalah besar
yang bermain dalam kepala.
“Apa masalah yang awak fikirkan?” mendadak Haji Salim mengajukan
pertanyaan.
“Dari mana harus kita mulakan kerja ni, inilah yang saya fikirkan.”
“Mudah saja.”
“Mudah macam mana?”…
“Kita tahu, ada orang yang memuja syaitan dan syaitan yang dipuja tu
mula bergerak dan kita harus menentangnya.”
“Banyak persediaan yang mesti kita adakan Haji.”
“Kita adakan,” tingkah Haji Salim tenang.
Datuk meraba pangkal leher berkali-kali. Sinar matahari petang yang
lembut masuk ke ruang tempat kami duduk melalui jendela yang terbuka. Haji
Salim terus memicit ibu jari kanan perlahan-lahan.
Datuk bangun dan berdiri di muka jendela, melihat beberapa ekor burung
gagak yang terbang rendah sambil berbunyi. Haji Salim juga bangun mengambil
sebilah keris. Mata keris itu dilurutnya dengan limau nipis. Air limau menitis
atas kain pelekat yang dipakai.
“Aduh,” jerit saya sekuat hati.
Cara tiba-tiba saya terasa batang leher ditekan oleh sepasang tangan
yang kasar dan berbulu tebal. Makin kuat saya bergerak, makin kejap tangan
berbulu itu menekan leher membuat saya susah bernafas.
Datuk dan Haji Salim segera menghampiri saya. Aneh, bila mereka berada
dekat saya, tangan kasar yang berbulu, melepaskan leher saya. Semua yang berada
di ruang itu bergerak dengan sendiri. Lembing yang tersusun di atas tempatnya
bergerak lagi, macam dilanggar sesuatu.
“Benda sial tu, masih ada lagi di sini,” nada suara Datuk meninggi.
Matanya, merenung ke setiap penjuru ruang. Haji Salim terus menghampiri saya,
melihat bahagian tengkuk saya yang disentuh oleh tangan ghaib.
“Leher cucu kamu lebam dan bercalar,” Haji Salim memberitahu Datuk
dengan wajah yang sedikit cemas.
“Tak apa, benda tu mencabar kita,” balas Datuk.
“Kalau selalu dicabar, padahnya kita yang menanggung,” rungut Haji Salim
penuh kesal.
Haji Salim terus mengurut tengkuk saya. Rasa sakit dan sengal terus
berkurangan. Saya dapat menggerakkan leher saya ke kiri dan ke kanan dengan
aman. Rasa pedih dari kesan tercalar itu masih dapat saya rasakan. Datuk dan
Haji Salim kembali di tempat asal.
Benda-benda yang berada di ruang tersebut terus bergerak. Datuk dan Haji
Salim tidak ambil kisah dengan semuanya itu, seolah-olah tidak ada apa yang
berlaku di situ. Mereka terus merancang untuk melakukan sesuatu.
“Huuuupppp…,” jerit Haji Salim sambil melompat. Seekor belalang kunyit
yang besar hinggap di pangkal lengan Haji Salim. Mata belalang itu kelihatan
bersinar-sinar merenung ke arah Datuk dan saya.
Haji Salim cuba menangkap belalang tersebut. Usahanya tidak berjaya,
setiap kali ia cuba mengangkat tangan, belalang itu terbang ke tempat lain.
Bila Haji Salim diam, belalang itu datang padanya. Hinggap di mana suka. Ada
masanya di pangkal hidung, di telinga atau di kening. Tindak tanduk belalang
kunyit itu memang tidak menyenangkan Haji Salim. Ia jadi marah.
“Belalang sial,” jerit Haji Salim bila belalang kunyit itu hinggap di
cuping telinganya untuk kali yang kelima. Ia bangun dan terus mengambil batang
penyapu.
Belalang itu terbang ke arah dinding dan hinggap di situ. Haji Salim angkat
penyapu dan hayun ke dinding. Belum pun sempat penyapu menjamah dinding,
belalang itu terus terbang dan hinggap di batang hidungnya. Marah Haji Salim
kian menjadi-jadi, mukanya kelihatan kemerah-merahan, sinar matanya nampak
garang sekali.
“Sudah, jangan dilawan nanti awak penat sendiri,” kata Datuk.
“Sial betul.”
“Ada cara menghalaunya, ambilkan saya sebiji cili kering, sebiji bawang
besar dan limau nipis,” kata Datuk dengan tenang.
“Nak buat apa?”
“Saya nak menumis sambal belalang kunyit?”
“Ah…,” Haji Salim terkejut. Wajah Datuk direnungnya tepat. Ia mahu
memastikan apakah Datuk bercakap benar atau sekadar untuk bergurau senda.
“Kau bergurau dalam masa orang cemas begini?”
“Tidak,” Datuk bangun menuju ke ruang dapur. Tiba-tiba belalang yang
terbang ke sana ke mari dalam ruang, terus menghilang tanpa dapat dikesan.
“Dah hilang,” kata saya. Langkah Datuk terus mati. Haji Salim letakkan
penyapu atas pelantar. Kami merenung ke setiap sudut tidak bergerak lagi.
Suasana terasa sepi sekali.
“Aku harap dia keluar terus dari sini,” keluh Datuk lalu melangkah dan
berdiri di muka jendela. Melihat langit petang yang cerah, beberapa ekor burung
gagak kelihatan terbang dengan bebas sambil berbunyi.
“Biar kami balik dulu,” kata Datuk. Saya pun segera bangun mengikut
langkah Datuk menuju ke muka pintu.
“Boleh saya gunakan petua awak untuk menghalau belalang tu, kalau-kalau
ia datang lagi,” Haji Salim berlari mendapatkan Datuk. Saya lihat Datuk
tersenyum.
“Boleh, saya dapat petua tu dari orang tua-tua yang terdahulu. Kata
mereka itulah petua menghalau hantu syaitan seperti pelesit dan jembalang,”
terang Datuk dengan tenang. Haji Salim anggukkan kepala.
PULANG
Saya dan Datuk meninggalkan rumah Haji Salim. Matahari terus beransur
condong. Burung-burung gagak berkeliaran melompat dari dahan ke dahan sambil
berbunyi dalam nada suara yang nyaring. Lebih kurang dua puluh langkah kaki
melangkah, saya menoleh ke arah rumah Haji Salim. Saya lihat Haji Salim masih
tercegat di muka pintu, melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan Datuk.
“Ada masanya petua orang tua-tua tu boleh dipakai, kau sendiri tengok.
Lepas aku cakap begitu belalang tu terus ghaib entah ke mana,” beritahu Datuk
kepada saya. Macam selalu, bila Datuk berkata demikian, saya cuma anggukkan
kepala sahaja.
Kira-kira sepuluh minit perjalanan, akhirnya saya dan Datuk sampai ke
rumah. Saya terus menuju ke bilik dapur. Saya lihat nenek sedang duduk memilih
antah beras. Tanpa membuang masa, saya terus duduk di sisi nenek dan terus membantunya
memilih antah beras.
Saya mampu bertahan di sisi nenek cuma kira-kira lima minit sahaja.
Memilih antah beras memang membosankan dan tidak layak untuk dikerjakan oleh
orang lelaki. Saya terus bangun untuk pergi ke ruang anjung rumah. Baru mahu
melangkah nenek terus bersuara.
“Kau dan Datuk singgah di mana? Hingga lambat balik. Air kopi yang
disediakan semuanya sudah sejuk.”
“Singgah rumah Haji Salim,” sahut Datuk dari atas.
Saya senyum memandang ke arah nenek. Saya lihat nenek tersenyum. Saya
terus masuk ruang anjung. Tukar baju dan seluar. Saya ambil gasing dan tali di
bawah meja. Kemudian melompat ke halaman rumah. Hasrat hati saya mahu pergi
mencari kawan untuk diajak main gasing.
“Tamar.”
“Ya tuk.”
“Kau mahu main gasing dengan kawan-kawan.”
“Ya tuk.”
“Jangan main lama-lama, dekat Maghrib mesti balik. Aku tak mahu kau
merayau ke mana-mana. Keadaan tidak begitu aman.”
“Saya pergi main kejap aje tuk.”
“Pergilah.”
“Baik tuk,” saya terus melompat keriangan. Kemudian terus berlari menuju
ke rumah beberapa orang kawan. Menjelang waktu Maghrib baru saya pulang. Tetapi
kepulangan saya, tidak segembira waktu saya pergi tadi.
Gasing kesayangan saya terbelah dua dipangkah oleh kawan. Mahu menangis
rasanya, melihat gasing yang dibuat dari batang limau terkopak dua dan pakunya
tercabut lalu hilang.
“Esok aku buat yang baru,” kata saya menghiburkan hati.
MENETAP
Sudah dua hari Haji Salim tidak datang ke rumah. Sudah dua hari
orang-orang kampung terhindar dari gangguan perkara-perkara yang ganjil.
Semuanya berada dalam keadaan aman.
Selama dua hari juga, Datuk tidak membincangkan perkara kubur lama di
hujung kampung dengan nenek atau saya. Datuk lebih banyak membisu dan membuat
amalan pada waktu malam. Pada sebelah siangnya, Datuk banyak menghabiskan
dengan membuat lukah atau memburu ayam hutan.
Berdasarkan pada tindak tanduknya itu, saya menganggap Datuk dan Haji
Salim telah berjaya membanteras perbuatan terkutuk itu dengan cara kebatinan.
Kalaulah anggapan saya itu benar, saya memang gembira.
Dua minggu kemudian, kira-kira pukul sepuluh malam, Haji Salim datang ke
rumah Datuk dengan membawa sundang. Datuk yang sedang membaca surah Yasin
terkejut dengan kedatangan Haji Salim.
“Bukankah sudah saya pesan, kita tak boleh berpandangan muka, bertegur
selama tiga minggu. Apa awak sudah lupa. Kalau macam ini awak, usaha kita akan
jadi sia-sia, kita buat perkara bodoh,” suara Datuk keras. Pertama kali saya
lihat Datuk bersikap kasar terhadap Haji Salim.
Datuk berdiri di muka pintu tanpa mahu menjemput Haji Salim naik ke
anjung. Andang daun kelapa yang di bawah oleh Haji Salim menerangi sebahagian
daripada halaman rumah. Cahaya andang itu juga menjalar hingga ke ruang anjung.
“Maafkan saya, saya ada masalah besar,” tambah Haji Salim yang memakai
kain pelekat petak besar, berbaju putih tebal yang sudah bertukar warna menjadi
agak kekuning-kuningan, bersongkok putih yang tepinya sudah bertahi lalat.
“Apa masalahnya?”
“Cucu saudara saya, hilang.”
“Lelaki ke perempuan.”
“Perempuan, baru anak dara sunti.”
“Haaa…,” Datuk mengeluh. Wajahnya mula resah. Kemarahan yang merajai
wajahnya sebentar tadi terus hilang.
“Sudah dicari ke belum?” tanya Datuk.
“Saya sudah puas mencarinya, bila tak terdaya baru saya jumpa awak. Saya
ingat pesan yang awak buat pada saya dulu, saya terpaksa melanggarnya. Saya
sudah terpaksa.”
“Sudah terpaksa tak apalah,” suara Datuk terus lembut.
Datuk terus menjemput Haji Salim naik ke anjung. Jemputan Datuk itu
segera ditunaikan. Andang daun kelapa di padam dan disandarkan pada pangkal
tiang. Tanpa dijemput saya datang ke anjung. Duduk bersimpuh dekat Datuk.
“Kita pergi ke kubur lama,” Haji Salim mengemukakan cadangan.
“Jangan terburu-buru, kita cari,” balas Datuk.
“Di mana kita nak cari, sudah puas mencarinya. Saya dah putus asa.
Sudahlah cucu saudara saya tu tak ada ayah, ada emak lumpuh pula, entah apalah
nasibnya,” Haji Salim tunduk merenung lantai.
Saya jadi hiba. Badan saya terasa sejuk dijamah angin malam yang membawa
suara katak dan cengkerik bersahut-sahutan. Bunyi burung hantu di hujung dahan
jelas kedengaran.
“Jangan putus asa, mari kita ikhtiar untuk kali terakhir kumpulkan
orang-orang kampung,” Datuk renung muka Haji Salim.
“Orang-orang kampung tunggu dekat dewan sementara menanti awak datang.
Saya tahu ini semua kerja orang yang memuja kubur, mereka dendam dengan saya,”
keluh Haji Salim.
“Sudahlah tu, mari kita ke dewan,” Datuk terus bangun meninggalkan ruang
anjung.
Haji Salim juga berbuat demikian. Sampai di halaman, Haji Salim
menghidupkan api andang daun kelapa. Datuk terus menyuluh ke kiri dan ke kanan
dengan lampu picit. Saya masih lagi berdiri di anjung rumah. Tidak tahu apa
yang harus saya lakukan. Apakah saya harus mengikuti mereka atau tinggal
bersama nenek di rumah.
“Kau jangan ikut Tamar,” kata nenek.
“Ha….saya nak ikut,” saya terus melompat, memburu Datuk dan Haji Salim
yang berada dalam jarak 30 kaki dari saya.
Datuk dan Haji Salim tidak menoleh ke arah saya, mereka terus melangkah
dengan rancak. Walau bagaimanapun, mereka tahu saya mengikuti mereka di
belakang.
Cahaya obor daun kelapa Haji Salim terus menerangi permukaan jalan,
bunga-bunga api dari obor daun kelapa berterbangan di udara ditolak angin malam.
Siulan cengkerik dan bunyi katak tidak pernah putus.
Kami sampai ke dewan, terdapat kira-kira antara enam hingga sepuluh
orang kampung yang duduk bertenggek pada bibir simen dan semuanya saya kenal.
Beberapa dari mereka menyedut rokok daun bertembakau jawa. Bau asap dari rokok
daun bertembakau jawa itu membuat nyamuk tidak berani dekat pada orang-orang
kampung yang ada di situ.
“Kau Daud, duduk dekat rumah budak tu, kau tentu tahu waktu bila budak
itu hilang,” Datuk mengajukan pertanyaan pada seorang lelaki yang berbadan
kurus.
“Budak perempuan tu memang selalu mandi di sungai waktu Maghrib nak
tiba, saya sudah tegur tapi dia tak peduli.”
“Bukan itu, aku nak tahu waktu bila ia hilang Daud.”
“Begini, petang tadi saya nampak dia ke sungai. Maghrib dia tak balik,
emaknya menangis dan suruh saya mencarinya.”
“Kau pergi cari?”
“Saya cari tapi tak jumpa, saya minta tolong jiran lain. Semuanya
sia-sia. Kemudian baru saya beritahu Haji Salim,” Daud berhenti bercakap.
Wajahnya sedih.
Dan orang-orang kampung yang ada di situ mengakui keterangan Daud itu.
Mereka terlibat dalam usaha mencari gadis sunti yang hilang itu. Mereka juga
memberitahu Datuk, mustahil gadis sunti itu dihanyutkan oleh arus sungai kerana
air sungai begitu cetek sekali. Mahu dikatakan gadis itu dilarikan oleh orang
jahat juga tidak masuk di akal. Belum ada orang jahat yang muncul di kampung.
“Ah, semuanya ni perbuatan orang yang memuja kubur,” tiba-tiba Haji
Salim bersuara lantang dan bersedia untuk mengeluarkan beberapa ungkapan lagi.
“Sudah haji, dalam sesuatu hal kalau kita terlalu menurut perasaan akan
membawa padah buruk pada diri kita,” tingkah Datuk. Orang-orang kampung yang
ada di situ anggukkan kepala, seolah-olah setuju dengan apa yang Datuk katakan
itu.
“Begini saja, kita cari malam ni juga,” Datuk mengemukakan cadangan.
Ternyata tidak semua orang-orang kampung yang ada di situ mahu menerima
cadangan Datuk.
“Siapa mahu ikut saya,” tanya Datuk lagi. Cuma tiga orang sahaja yang
mengangkat tangan tanda setuju, manakala yang lain tidak mengangkat tangan
termasuklah Daud, jiran terdekat keluarga gadis sunti yang hilang.
“Kenapa Daud?” soal Haji Salim.
“Kerja sia-sia. Susah mencari orang hilang waktu malam. Kami dah buat
tadi,” sahut Daud.
“Habis apa yang patut kita lakukan?” Soal Haji Salim.
“Kita cari siang esok, lagi mudah.”
“Tak apalah, siapa yang tak mahu boleh pulang. Siapa yang mahu ikut,
bersedia,” Datuk mengeluarkan arahan. Kumpulan Daud terus meninggalkan kawasan
dewan.
Bila saya hitung, ternyata cuma tiga orang sahaja orang kampung yang
mahu menyertai kami. Di campur dengan diri saya, Datuk dan Haji Salim, jumlah
kami menjadi enam orang sahaja.
“Kita pecahkan enam orang ni, menjadi tiga kumpulan. Tamar ikut Borhan,
Salleh ikut Haji Salim, Hassan ikut saya.” Datuk mula mengatur gerakan. Saya
segera berdiri di belakang Borhan yang sudah pun menyalakan obor daun kelapa.
“Saya yakin dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, budak perempuan
yang hilang tu akan kita jumpa juga,” kata Datuk lalu mengajak kami pergi ke
tebing sungai.
Ia menyuruh kami mencari kesan-kesan yang ditinggalkan oleh budak
perempuan yang hilang itu.
Seluruh kawasan tempat gadis sunti mandi, habis kami jajahi. Pokok
besar, pokok kecil semuanya kena pijak dan diselongkar. Tidak ada sesuatu kesan
pun yang dapat kami temui.
Haji Salim cacakkan andang daun kelapa ke tanah. Ia terus duduk di atas
sebatang pokok yang tumbang. Langit waktu itu kelihatan cerah. Gumpalan awan
putih bergerak perlahan-lahan arah barat daya. Bulan yang sedang mengecil terus
di pagar oleh bintang-bintang yang sedang mengerdip. Embun malam terasa
menjamah rambut.
“Begini, Tamar dan Borhan cari sebelah sana, terus hingga sampai ke kaki
bukit. Haji Salim sama Salleh dari sebelah sini hingga ke hilir sungai. Saya
sama Hassan cari dari seberang sungai hingga sampai ke kawasan bendang,” Datuk
mengeluarkan atur cara dari pertimbangan akal fikirannya. Tidak ada bantahan.
Semuanya berpecah mengikut arahan yang di tetap.
Saya jadi gementar, usia Borhan dengan saya jaraknya antara lima dan
enam tahun sahaja. Tidak ada pengalaman. Dan orang-orang yang mengikut Datuk
dan Haji Salim lebih beruntung lagi. Datuk dan Haji Salim orang tua yang banyak
pengalaman, tidak mudah gementar bila berhadapan dengan kecemasan.
Saya dan Borhan bertengkar kecil, masing-masing tidak mahu jadi kepala.
Borhan mahu saya jadi kepala, sedangkan saya keberatan kerana itu merupakan
tugas yang berat. Akhirnya Borhan mengalah.
“Tak apa, kalau kau tak mahu apa boleh buat, marilah,” Borhan terus
meredah hutan kecil.
Saya tersenyum tetapi, saya ditugaskan untuk membawa obor daun kelapa.
Kami terus meredah hutan.
Angin malam yang bertiup membuat badan saya terasa amat dingin. Beberapa
batang ranting kering dan daun kering berjatuhan ke bumi akibat dirempuh angin.
Bunyi katak dan cengkerik terus rancak kedengaran di samping bunyi tolongan
anjing liar yang ditingkah oleh bunyi kelawar yang terbang malam mencari
makanan.
Semua lubang, semua perdu pokok dan rimbunan lalang kami jenguk.
Beberapa ekor katak dan belalang berlompatan, bagaikan marah kerana tempat
mereka diganggu. Sesekali, kaki saya terpijak lopak. Dedaun yang saya langgar
merempuh batang leher lalu, menjatuhkan air embun yang lekat di hujungnya pada
kulit tengkuk. Terasa cukup sejuk.
Tiba-tiba saya tersepak sesuatu yang lembut dalam rumpun lalang. Bila
saya bergerak, terasa benda lembut itu memaut pergelangan kaki saya. Benda
lembut sejuk itu merayap hingga ke buah betis saya.
Dada saya berdebar, badan terasa seram sejuk. Lolongan anjung kian jelas
kedengaran. Suara cengkerik dan katak kian bertambah rancak. Angin terus
menggugurkan ranting-ranting kering yang bunyinya amat menakutkan.
“Kenapa berdiri di situ Tamar.”
“Ada…,” saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Badan saya terus
menggeletar. Malam yang dingin terasa panas hingga memercikkan peluh-peluh
halus di dahi.
“Kenapa muka kamu pucat Tamar?”
“Ahhh..Ahhh ada…,” mulut saya terus terlopong. Benda lembut sejuk itu
terus meraba buah betis saya.
Melihat saya dalam keadaan yang cemas itu, Borhan menghampiri saya dan
terus merampas obor dari tangan saya. Ia terus menyuluh ke arah rumpun lalang.
Biji mata Borhan terbeliak. Tangannya terus menggeletar dan obor terus bergerak
tidak tentu arah menurut getaran tangannya.
“Mayat Tamar,” suara Borhan separuh menjerit. Mukanya kelihatan berubah.
Mujurlah, rasa cemas itu sekejap saja menguasai dirinya. Beberapa minit
kemudian, ia kembali tenang. Ia menarik tangan saya dari rumpun lalang. Saya
angkat kaki kanan tetapi tidak berdaya. Kaki saya bagaikan ditarik oleh
sesuatu. Jari-jemari manusia saya rasa mula merayap dari buah betis menurun ke
buku lali.
“Mayat pegang aku Borhan.”
“Nanti aku lepaskan.”
Borhan pacakkan atas bumi. Dari cahaya obor itu saya melihat mayat
seorang gadis terlentang. Biji matanya terbeliak, mulutnya ternganga, penuh
dengan darah beku. Rambutnya mengerbang.
Perkara yang benar-benar mencemaskan perasaan saya bila saya melihat
jari jemari mayat itu memaut pergelangan kaki saya. Macam diarahkan oleh
sesuatu untuk berbuat demikian. Dengan ekor mata saya menjeling ke arah
jari-jemari mayat dan kaki kanan saya.
Rupa-rupanya telapak kaki kanan saya memijak pangkal lengan mayat itu.
Tidak hairanlah bila saya menggerakkan kaki, tangan dan jari-jemarinya turut
sama bergerak. Biji matanya yang terbeliak dengan rambut yang terhurai pada
mayat tersebut memang menakutkan.
Saya rasa matanya bagaikan melihat diri saya hingga ke jantung hati.
Kakinya terkangkang keras. Kain batik lusuh yang dipakainya terselak hingga ke
pangkal paha dan baju kebaya pula terkoyak di bahagian dada. Saya kira ada
perlawanan antara orang yang menyerang dengan mangsanya.
Borhan terus menatap mayat itu. Tanpa diduga, Borhan menutup kedua belah
matanya dengan telapak tangan.
“Mayat tu bergerak,” katanya.
“Bergerak,” pekik saya lalu membuka langkah seribu.
Habis pokok besar dan kecil saya redah, tidak terasa sakit walau sedikit
pun. Melihat saya lari, Borhan juga ikut lari lintang pukang di malam yang
gelap melanggar apa sahaja yang menghalang.
Anehnya, kami sampai serentak ke tempat mula datang tadi. Kami tidak
dapat berkata apa-apa, cuma tercungap-cungap macam ikan kekurangan air.
Tidak sampai lima minit kami berada di situ Haji Salim, Hassan, Salleh
dan Datuk pun tiba. Mereka tercengang melihat kami tercungap-cungap dengan
wajah yang pucat.
“Ada orang jumpa?” tanya Datuk.
“Adaa…,” jawab Borhan sambil menyandarkan badannya pada saya. Tiba-tiba
ia terus rebah. Haji Salim terus mendekatinya.
“Pengsan,” kata Haji Salim.
Semua yang ada di situ segera memberi pertolongan pada Borhan. Akhirnya,
Borhan pulih dari pengsan. Datuk memberikan rawatan dengan secukupnya pada
Borhan. Mukanya yang pucat lesi, kembali merah.
“Apa yang kau jumpa Borhan?” Datuk terus menyoal Borhan. Tangan Datuk
terus memicit setiap sendi tubuh Borhan. Air embun yang gugur terus menyentuh
rambut kami. Dua tiga orang menguap panjang.
“Cucu saudara Haji Salim, si Timah sudah mati,” suara Borhan lemah. Haji
Salim terus termenung panjang. Matanya merenung pokok-pokok hutan yang tegak
kaki di malam yang dingin.
Lolongan anjing sudah tidak kedengaran lagi. Diganti dengan suara burung
hantu dan jampuk. Bunyi katak dan cengkerik tetap hebat macam tadi.
Datuk dan Haji Salim mengadakan rundingan. Kemudian Datuk minta saya dan
Borhan menunjukkan rumpun lalang tempat mayat itu dijumpai. Kali ini saya jadi
kepala jalan. Saya tidak merasa takut atau gentar kerana ada Datuk dan Haji Salim.
Kami sampai ke rumpun lalang. Haji Salim terus mengangkat tubuh cucu
saudaranya yang sudah kaku. Usianya sekitar tiga belas tahun. Datuk merenung
mayat gadis malang itu dengan tenang.
“Lidahnya dipotong orang,” beritahu Datuk pada Haji Salim.
“Memang tak salah agakan saya.”
“Kita berusaha mencari orang yang membuat kerja laknat itu.”
“Ya, kematian cucu saudara saya harus dibalas,” nada suara Haji Salim
keras.
Saya, Hassan, Salleh dan Borhan hanya mendengar sahaja dengan apa yang
dikatakan oleh Datuk dan Haji Salim. Ketika mayat itu berada di pangkuan Haji
Salim, saya tidak berani merenungnya.
Mayat gadis sunti yang malang itu dibawa ke rumah ibunya. Diletakkan di
ruang depan. Siang esok mayat gadis malang itu akan diuruskan pengebumiannya,
begitu mengikut rancangan Haji Salim yang disampaikan pada Datuk.
Lebih kurang pukul empat pagi, saya dan Datuk meninggalkan rumah ibu
gadis yang malang itu. Haji Salim terus membaca Quran dekat cucu saudaranya.
“Biar kami balik dulu Haji,” kata Datuk pada Haji Salim. Waktu itu,
sudah pukul empat pagi, bintang timur sudah pun muncul di kaki langit. Udara
terasa bertambah dingin.
“Tak apalah, esok datang awal. Kalau boleh biarlah sebelum pukul lapan
pagi,”jawab Haji Salim pendek. Ia terus membaca Quran dekat jenazah cucu
saudaranya. Saya dan Datuk meninggalkan rumah gadis sunti yang malang.
TANAM
Sudah dua minggu , jenazah gadis sunti yang malang itu disemadikan di
tanah perkuburan Islam di Jalan Parit. Saya masih ingat, waktu orang-orang
kampung meratakan tanah kubur, kira-kira pukul sebelas pagi, cuaca begitu baik,
matahari memancar keras.
Tanpa diduga oleh sesiapa pun, dalam cuaca panas yang terik itu, hujan
turun dengan selebatnya. Pakaian orang kampung yang ada di situ semuanya basah
kuyup. Beberapa orang kampung meramalkan bahawa, hujan panas yang turun waktu
orang menanam jenazah membawa alamat yang kurang baik pada orang yang masih
hidup.